RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 31 Mei 2012

Alam Sekitar Kita


ALAM SEKITAR KITA

ALAM SEKITAR yang bersih sememangnya amat penting kepada kehidupan manusia termasuk pelbagai spesis hidupan lain seperti serangga, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini kerana, apabila alam sekitar dalam keadaan bersih, manusia akan menikmati kehidupan mereka dengan lebih sihat dan cerdas.

Tumbuh-tumbuhan pula akan hidup lebih subur dan kerananya akan memberikan hasil buah-buahan dan daun yang mekar yang tentunya dapat menampung kadar vitamin serta garam galian yang tinggi yang juga menjadi keperluan kepada manusia, haiwan dan serangga. Manakala habitat haiwan dan serangga pula akan dapat mencernakan spesis masing-masing dengan pembiakan baka yang berterusan sebagai penyeri alam dan darinya manusia dapat menjalan kajian yang tentunya memberikan impak yang baik kepada manusia sendiri.

Apabila membicarakan aspek alam sekitar, ia meliputi empat juzuk penting yang terdiri dari air, udara, tanah dan bunyi. Keempat-empat juzuk tersebut begitu penting kepada alam sekitar dan saling berhubung kait di antara satu sama lain. Namun, sejak kebelakangan ini penekanan yang sentiasa diberikan pihak kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi, badan-budan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan-pertubuhan alam sekitar di seluruh dunia mendakwa, pencemaran udara adalah lebih mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan manusia jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

Hakikat sebenarnya, pencemaran udara berlaku apabila ruang udara sebagai pernafasan manusia dan haiwan diganggu bahan-bahan cemar di ruang udara sama ada berpunca dari segi kimia dan fizik.

Perlu diingatkan bahawa, pencemaran udara banyak menyumbang kemusnahan kepada kesihatan manusia, kesuburan tumbuh-tumbuhan, berlaku perubahan iklim dan menyebabkan kualiti oksigen di ruang udara turut berkurangan dan musnah. Ini kerana, udara yang tercemar itu banyak mengandungi bahan-bahan terampai seperti mikro-organisma, debu, habuk dan asap yang boleh membahayakan kesihatan manusia.

Di dunia teknologi canggih hari ini, terjadinya pencemaran udara adalah berpunca dari pengabaian, kecuaian, kurang kesedaran hasil buatan manusia sendiri akibat mementingkan keuntungan tertentu iaitu:

1. Asap kenderaan bermotor

Pelepasan asap kenderaan berenjin ke udara sama ada yang menggunakan minyak petrol dan diesel turut menyumbang dan meningkatkan kehadiran karbon monoksida, hidrokarbon, plumbum, nitrogen oksida, sulfur dioksida serta jelaga karbon di ruang udara.

Kita sedia maklum bahawa, bandar raya Mexico mengalami masalah pencemaran udara yang serius dan paling teruk di dunia akibat pelepasan adap kenderaan berenjin. Keadaan ini menyusahkan orang ramai untuk hidup dengan baik dan bebas dari pencemaran. Maka pihak kerajaan juga mengalami nasib yang sama apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi semata-mata untuk membendung pencemaran udara yang mengerikan itu. Bahkan ia memakan masa yang lama untuk melihat bandar raya berkenaan pulih sepenuhnya dari masalah udara cemar.

Dalam hubungan ini, ruang udara yang tercemar akibat kehadiran gas-gas berkenaan menyebabkan kerosakan saraf, buah pinggang dan otak, masalah usus, menaikkan tekanan darah, anemia, gangguan pada paru-paru, rasa mengantuk, pening, muntah dan pelbagai simpton kesihatan lain lagi.

2. Pembakaran sampah secara terbuka dan tidak terkawal

Di negara kita, pembakaran sampah secara terbuka boleh dikatakan sebagai suatu kegemaran masyarakat setempat ekoran kurangnya keprihatinan mereka tentang keburukan pencemaran udara kepada pernafasan manusia.

Akibat dari sikap kurang sedar segelintir di kalangan masyarakat negara ini yang mengenepikan betapa melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka itu boleh menjejaskan kualiti udara kerana melalui Jabatan Alam Sekitar telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda RM500,000 dan/atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Maka masyarakat bandar dan desa perlu sentiasa bermaklumat tentang wujudnya undang-undang dan peraturan yang boleh mendakwa mereka di mahkamah ekoran kecuaian mereka menyebabkan udara tercemar akibat pencemaran yang disengajakan. Dengan itu, tabiat mencampakkan puntung-puntung rokok ke dalam semak dan belukar perlu dibendung kerana dengannya punca pencemaran udara terbesar pernah berlaku.

3. Penggunaan racun makhluk perosak, racun rumpai dan aerosol di ladang dan di rumah

Racun makhluk perosak, racun rumpai dan aerosol boleh mendatangkan kemudaratan terhadap pernafasan manusia terutamanya kepada bayi-bayi dan kanak-kanak. Bekas-bekas racun dan aerosol yang tidak dilupuskan menurut kaedah yang sepatutnya bukan sahaja boleh mengancam ruang udara tetapi menyebabkan kualiti air menjadi beracun dan menjadikan kesuburan tanah turut terjejas.

Para petani yang menggunakan racun makhluk perosak dan racun rumpai di ladang-ladang dan sawah padi perlu kembali kepada kaedah tradisi yang lebih selamat. Keadaan ini memandangkan, jika penggunaan racun makhluk perosak dan racun rumpai menjadi teras sebagai bahan kawalan dalam pertanian, lambat-laun kualiti kesuburan tanah akan turut berkurangan. Ini kerana, bakteria pengurai tanah yang bertindak "menyuburkan tanah" tidak lagi berupaya untuk menjalankan peranannya akibat musnah diracuni. Keadaan demikian boleh merugikan semua pihak jika tidak diberikan perhatian dan kawalan yang sepatutnya.

4. Cat rumah

Penggunaan pelbagai jenis cat rumah turut memberikan akibat dan kesan buruk kepada udara kerana ia mengandungi bahan-bahan kimia beracun, umpamanya plumbum.

Plumbum adalah logam beracun yang boleh berkumpul di dalam tubuh dan menyebabkan kerosakan otak serta masalah buah pinggang. Bagi ibu-ibu hamil pula, ia boleh menyebabkan keguguran dan selepas kelahiran, manakala bayi dan kanak-kanak pula mengalami masalah terencat akal serta daya intelektual yang rendah.

Di samping itu, peningkatan bahayanya kepada kesihatan amat ketara apabila berlakunya cat yang merekah untuk menunjukkan usianya telah terlalu lama dibiarkan tanpa sebarang perhatian dan tindakan.

5. Habuk dan debu

Bahan-bahan ini sering kali dikaitkan dengan pencemaran udara kerana ia mengandungi sejumlah mikro-organisma serta kuman merbahaya kepada sistem pernafasan dan kulit manusia.

Satu kajian mendapati, bahagian dapur merupakan tempat utama bahan cemar habuk dan debu yang merupakan kadar yang tertinggi pernah dicatatkan.

Menurut Hagemeyer, satu gram habuk rumah mengandungi 3,000 kutu debu.
(Sumber: Berita Harian, 20 Julai 1990)

Habuk dan debu memang membahayakan pernafasan manusia. Ini kerana, habuk mengandungi pasir, lumpur, benang, sisa makanan, rami dan bulu binatang. Manakala spora kulat, kutu debu, debunga dan bakteria boleh mendatangkan banyak masalah dan dikatakan punca penyakit hidung serta lelah (asma).

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa permasalahan jerebu yang melanda negara sejak bulan Ogos 1997 menyebabkan pertambahan pesakit-pesakit akibat masalah pernafasan umpamanya lelah (asma), radang paru-paru, batuk dan sakit tekak yang berpunca dari permasalahan habuk dan debu di ruang udara.

6. Penanaman pokok hiasan beracun untuk tujuan kecantikan dan keindahan bandar

Pokok hiasan bandar yang sering ditanam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tujuan mencantikkan bandar dan bandar raya seperti pokok pong pong adalah beracun apabila buahnya telah masak ranum atau tua. Buah yang tua ini akan gugur di jalanan dan apabila sering terkena kepanasan matahari, ia akan mengeluarkan racun.

Sepatutnya pokok seumpama ini tidak ditanam sebagai pokok hiasan bandar kerana negara Singapura telahpun mengharamkan penanamannya sebagai pokok hiasan. Walaupun pohonnya rimbun, tetapi bahaya yang paling jelas adalah pada buahnya yang beracun.

7. Aktiviti kilang industri

Kilang-kilang industri juga merupakan penyumbang kepada pencemaran udara. Ini kerana, kilang-kilang banyak melepaskan bahan cemar beracun umpamanya asap yang mengandungi bahan zink florida ke udara. Sesiapa yang terhidu bahan berkenaan akan mengalami sakit perut, muntah, sejuk badan dan mengalami kerosakan di bahagian dalaman badan.

8. Semburan asap kawalan penyakit

Di bandar-bandar malah di bahagian pedalaman kini, aktiviti semburan asap untuk tujuan kawalan penyakit seperti mencegah nyamuk aedes dan denggi boleh membahayakan alam sekitar. Walaupun tahap racun yang digunakan didakwa tidak membahayakan pernafasan manusia, namun alam sekitar akan mendapat padahnya dalam jangka masa panjang.

Paling penting, adakah dengan semburan tersebut nyamuk aedes akan terbunuh kerana dibimbangi kebanyakan nyamuk-nyamuk kini begitu kebal dengan racun berikutan banyak racun makhluk perosak digunakan tidak memberikan sebarang kesan terhadap serangga pembawa denggi tersebut. Jadi, jika berlaku hal tersebut, bermakna tahap keberkesanan racun perlu ditambah, akhirnya yang mendapat padahnya ialah manusia dan alam sekitar pula.

9. Kebakaran hutan dan telaga minyak

Sebagai pengetahuan umum, manusia menyedut oksigen dan menghembus karbon dioksida. Kadar oksigen di udara perlu berkualiti dan mencukupi untuk membantu manusia bernafas secara sihat dan dengan sempurna. Apabila oksigen di ruang udara telah diganggu-gugat oleh pelbagai faktor yang menjadikannya turut berkurangan dan tercemar, ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti sesak nafas, sakit kepala, pening, lemah, loya, muntah, mudah meradang, mudah menjadi keliru dan di dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan tidak sedarkan diri.

Di samping itu, pencemaran udara yang berterusan dan tidak terkawal boleh menyebabkan hujan asid. Ia terjadi akibat tindakbalas di antara sulfur dioksida yang bercampur dengan wap air dan air. Kehadiran hujan asid boleh menjejaskan kekuatan mahupun kekukuhan bangunan, konkrit dan catnya. Keadaan ini menunjukkan, pencemaran seumpama ini lebih cepat merebak dan amat sukar dikawal. Malahan pernah dilaporkan, pencemaran udara berpotensi menyebabkan lapisan ozon di ruang stratosfera menjadi nipis.

Sementara itu, menurut hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kira-kira 5,000 sumber utama pencemaran udara telah dikenal pasti di Malaysia. Sumber ini termasuklah stesen janakuasa elektrik, industri berasaskan kayu, kilang simen, kilang batu-bata dan tanah liat, rumah asap getah dan kilang padi.
(Sumber: Nur Addin Naquib, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Manakala aspek-aspek lain yang menyebabkan pencemaran udara turut meningkat ialah akibat penebangan dan pemusnahan hutan yang merupakan salah satu fenomena di dunia hari ini. Ini kerana, pokok dan hutan adalah agen yang berperanan untuk mengawal keseimbangan udara, merendahkan suhu dan mencegah pencemaran dunia.

Secara langsungnya, tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida dan diikuti berlakunya proses fotosintesis. Seandainya sumber-sumber ini dimusnahkan menyebabkan udara tidak lagi dapat disedut. Dengan itu, kualiti udara tercemar kerana bahan-bahan yang memasuki udara tidak dapat diserap oleh tumbuh-tumbuhan.

Berikutan betapa pencemaran udara boleh menimbulkan kesan buruk terhadap kesihatan manusia, menyebabkan kekurangan dan kemusnahan kualiti oksigen di udara serta berlakunya perubahan iklim, adalah wajar semua pihak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tidak melakukan pembakaran secara terbuka dan pembuangan sisa-sisa toksid ke dalam sistem bekalan air atau mencampakkan sampah-sarap di merata-rata tempat dengan sewenang-wenangnya.

Ingatlah, udara bukan menjadi hak dan milik kita sendiri sebaliknya menjadi hak semua orang. Sama-samalah menjaga kualiti udara dari dicemari untuk keperluan kesihatan yang lebih sempurna.      

  

Pembakaran terbuka mengakibatkan kualiti udara rendah dan tercemar.


Semburan asap juga boleh mengurangkan kualiti udara dan meracuni alam sekitar.

Sampah adalah bahan toksik boleh mengundang padah kepada alam sekitar.


Air yang bersih jangan dibiarkan dicemari sampah atau kotoran minyak.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 30 Mei 2012

Plastik Ancam Kesihatan


PLASTIK ANCAM KESIHATAN

TAHUKAH anda bahawa, kebanyakan bekas-bekas dan pembungkus makanan yang digunakan ke atas produk makanan yang digunakan oleh kita sebagai penggunanya mengandungi bahan-bahan kimia merbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan dan boleh mengancam nyawa. Malahan kita dapati juga, produk-produk makanan di zaman moden ini dilabelkan sebagai makanan untuk kesihatan dan selamat dimakan, sering disebarkan dalam pelbagai media massa untuk tujuan memerangkap pengguna yang lalai walaupun pada hakikatnya ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna secara keseluruhannya.

Dalam konteks peraturan pemakanan di negara kita sendiri, produk makanan berkenaan boleh mengancam kesihatan tanpa disedari oleh pengguna walaupun terdapat pelbagai dakwaan kononnya selamat untuk dimakan, sedangkan dalam konteks jangka panjang, ia boleh mengundangkan akibat. Pengguna yang kurang dan tidak bermaklumat sering terdedah dengan dakwaan ini dan mereka akan sanggup menerima apa sahaja yang ada di pasaran kerana tertarikh dengannya atau telah diperalatkan.

Sejajar dengan itu, kebanyakan makanan yang ada di pasaran hari ini sama ada makanan yang diproses yang menggunakan bekas mahupun pembungkus makanan yang dibuat dari plastik boleh memudaratkan kesihatan.

Sementara dalam konteks alam sekitar pula, plastik mengundang risiko pencemaran yang serius kerana tempoh pereputannya memakan masa hampir 1,000 tahun dan dalam tempoh berkenaan segala habitat kecil terancam bahkan sistem saliran dan sumber bekalan air turut tercemar dan menyebabkan kesuburan tanah menjadi musnah.

Namun dalam konteks makanan dan kesihatan manusia, di negara kita penggunaan plastik sebagai bekas dan bungkusan makanan sering digunakan sama ada terhadap makanan basah, makanan siap masak mahupun makanan yang diproses. Anda mungkin memakan nasi lemak, nasi ayam, rojak, aiskrim, mi segera dan sebagainya, malah kebanyakan makanan berkenaan tentunya dimasukkan ke dalam plastik. Anda sebenarnya terdedah kepada masalah kesihatan yang anda tidak ketahui kerana plastik berkenaan adalah "beracun". Ia dikenali sebagai "Stirena".

Menurut laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Stirena ialah hasil sampingan petroleum yang digunakan dengan banyaknya dalam plastik bungkusan makanan, terutamanya "polistirena" dan "busa polistirena" yang lebih dikenali sebagai "styrofoam".

Menurut kajian itu lagi, beberapa kajian dan penyelidikan menunjukkan bahawa ia melarut resap daripada bekas dan bungkusan makanan lalu mencemari makanan dan minuman.

Di Britain, ujian Kementerian Pertanian, Perikanan dan Makanan mengumumkan sesetengah 92 peratus daripada sejumlah 248 contoh makanan berjaya mengesan stirena dalam pelbagai jenis makanan terutama susu dan produk lemak bagi minuman, majerin, keju lembut dan dadih masam (yoghurt). Di Taiwan, ujian Persatuan Pengguna Taiwan pada tahun 1996 mengesan kandungan bahan kimia yang tinggi dalam mi segera yang dijual dalam cawan styrofoam. Manakala (pada bulan April) di Jepun, satu kajian yang dijalankan oleh institut pendidikan kebangsaan mengesan stirena dalam bekas polistirena untuk makanan segar dan bekas pengisi mi segera yang dijual di pasar raya. Manakala menurut Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan stirena sebagai karsinogen kumpulan 2B (agen penyebab kanser) dan berkemungkinan karsinogen manusia. (Sumber: Utusan Pengguna, CAP, September 1999)

Malah banyak lagi kajian yang telah dijalankan oleh pelbagai agensi antarabangsa dan pusat pengajian di seluruh dunia yang telah dapat mengesan dan mengesahkan kehadiran stirena dalam produk makanan. Namun masalahnya, bagaimana pula dengan tindakan kerajaan, kesedaran pengguna, pembekal produk makanan dan para peniaga di negara kita berhubung dengan bahayanya stirena terhadap makanan yang ternyata boleh menjejaskan kesihatan?

Di negara-negara Barat, atas kesedaran masyarakat pengguna dan prihatinnya kerajaan mereka terhadap permasalahan kesihatan yang akan dialami dalam jangka masa panjang akibat kehadiran stirena dalam makanan, penggunaan plastik dikenakan bayaran untuk tujuan menyelamatkan alam sekitar dan kesihatan manusia.

Menurut Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan bahawa, di negara-negara Eropah, pengguna digalakkan menggunakan beg kain atau guni yang boleh dibeli di kedai-kedai, manakala beg plastik dikenakan bayaran. Untuk barangan kecil, kertas digunakan sebagai pembalut. Manakala di negara Amerika pula, pekedai menyediakan beg kertas (brown paper bag) untuk pengguna.

Dalam hubungan ini, sudah sampai masanya para pengguna di negara kita beralih kepada penggunaan bahan yang lebih selamat untuk persekitaran dan kesihatan. Pengguna wajar menggunakan beg kertas dan pembalut dari kertas sebagai bahan yang cukup selamat untuk alam sekitar lebih-lebih lagi penggunaannya sebagai pembungkus makanan.

Kita perlu mencari langkah yang paling baik dan cukup bijak dari yang terbaik supaya masalah penyakit-penyakit kronik yang berpunca dari bahan-bahan kimia tidak mengancam generasi kita yang akan datang yang hakikatnya berpunca dari kecuaian dan kurangnya maklumat dan pengetahuan dari generasi kita hari ini.




Plastik mengancam kesihatan. Apabila dibuang merata-rata boleh mengancam alam sekitar.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 29 Mei 2012

Lemak: Risiko Kesihatan


LEMAK: RISIKO KESIHATAN

KITA akan berasa risau apabila mendapati tubuh badan tiba-tiba menjadi gemuk dan dikatakan banyak lemak. Tetapi individu yang gemuk menganggap lemak dalam badan sebagai perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan. Malah dalam sajian makanan harian, ada orang tidak gemar makanan yang berlemak tetapi tidak kepada individu yang menggemari makanan yang mengandungi kadar lemak yang ketara.

Dari kedua-dua perbandingan tersebut yang berdasarkan konsep pemakanan Malaysia hari ini, jelaslah yang mengandungi kadar lemak amat digemari masyarakat kita. Malahan mereka tidak mempedulikan makanan itu mengandungi lemak atau sebaliknya. Maka tidak hairanlah, ramai rakyat di negara ini bertubuh gemuk dan menyimpan banyak lemak.

Lemak merupakan sumber tenaga kalori yang padat. Nama lain bagi lemak juga disebut sebagai lemak beku, lelemak dan lemak khinzir (lard). Lemak boleh didapati melalui makanan secara semula jadi serta lemak secara tersembunyi.

Lemak secara semula jadi boleh didapati dari minyak, mentega, majerin, minyak sapi serta santan. Manakala lemak secara tersembunyi boleh diperolehi daripada makanan siap masak umpamanya karipap, kek, daging berlemak dan makanan bergoreng.

Di samping itu, makanan segera dan snek juga adalah contoh lemak dari sumber yang tersembunyi walaupun tidak kelihatan berlemak atau berminyak.

Dalam konteks pemakanan harian, lemak mengandungi dua peringkat iaitu lemak tepu dan lemak tak tepu. Menurut Unit Pendidikan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Kelantan, lemak tak tepu adalah lembut dan cair pada suhu yang rendah seperti di dalam peti ais. Ia diperolehi daripada sumber tumbuhan yang mengandungi dua jenis iaitu:

1. Mono tak tepu seperti minyak zaitun serta minyak kelapa sawit.
2. Poli tak tepu umpamanya minyak bunga matahari, minyak jagung dan majerin lembut.

Lemak tak tepu kurang membahayakan kesihatan kerana bersumberkan tumbuh-tumbuhan. Manakala lemak tepu boleh memudaratkan kesihatan seandainya pengambilannya secara berlebihan. Ini kerana, lemak tepu banyak diperolehi dari sumber haiwan dan beberapa lemak sayuran umpamanya santan. Pengambilan lemak tepu yang berlebihan di dalam badan boleh menyebabkan risiko serangan penyakit jantung dan darah tinggi.

Hakikat yang sebenarnya, tubuh kita sememangnya memerlukan kehadiran lemak kerana lemak merupakan sumber tenaga yang baik dan diperlukan untuk pencernaan vitamin larut lemak. Ia juga memberi rasa dan kualiti tekstur yang menjadikan makanan itu berperisa.

Walaupun begitu, kehadiran lemak yang berlebihan dalam badan boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan umpamanya menyebabkan penyakit jantung koronari, angin ahmar, kegemukan dan serangan kanser.

Sementara itu, berdasarkan buku "Makan Untuk Kesihatan", Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan, beberapa lokasi atau kawasan lemak dalam badan manusia merupakan faktor penting untuk menentukan risiko kesihatan bagi orang dewasa.

Menurut kajian tersebut, lebihan lemak di bahagian perut atau disebut "bentuk epal" mempunyai risiko yang lebih besar berbanding lebihan lemak di bahagian pinggang atau paha yang disebut sebagai "bentuk pear". Lebihan lemak di bahagian perut dikaitkan dengan darah tinggi, kencing manis (diabetes), peringkat awal penyakit jantung dan beberapa jenis kanser tertentu. Manakala jika anda lebih lebar di bahagian pinggang daripada bahagian pinggul, anda mempunyai risiko yang tinggi mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung koronari dan lain-lain penyakit kronik.

Berikutan itu, elakkanlah pengambilan lemak yang berlebihan terutamanya yang bersumberkan haiwan dan dapatkan juzuk makanan yang mengandungi rendah lemak umpamanya tauhu iaitu hasil kacang soya, kacang, kekacang, ikan, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Juzuk makanan berkenaan tidak dihadkan pengambilannya walaupun mengandungi lemak.

Dalam hubungan "lemak" dengan kesihatan manusia, lemak boleh dikurangkan apabila setiap individu dapat mengikuti beberapa langkah tertentu. Contohnya, masakan tradisi Melayu yang diamalkan di masa lampau menyumbang kepada penjagaan kesihatan kerana masakan berkenaan ternyata dapat mengurangkan lemak dalam makanan sebagaimana cara-cara berikut:

1. Memasak secara merebus atau mengukus.
2. Mengamalkan kaedah "bakar" dan memanggang ketika memasak.
3. Buangkan lemak dalam daging dan ayam sebelum dimasak.

Dengan yang demikian, berhati-hatilah dengan diet dan pemakanan anda khususnya terhadap penggemar makanan yang mengandungi lemak. Kehadiran penyakit kronik khususnya yang berpunca dari pengambilan lemak amat menyusahkan. Walaupun begitu, keputusan untuk menghindarinya adalah di tangan anda. Makanlah makanan berdasarkan pengetahuan kesihatan dan hindari makanan kerana runtunan nafsu selera semata-mata.



Lemak dalam daging mentah.


Lemak masih wujud walaupun daging dan ayam ini telah dimasak.



Lemak tersembunyi wujud dalam makanan-makanan ini.

 Ikan: sumber protein tanpa lemak. Banyakkan sumber ini untuk elakkan serangan jantung dan darah tinggi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 28 Mei 2012

Gula: Manisnya Membunuh


GULA: MANISNYA MEMBUNUH

RAMAI yang menggemari makanan dan minuman yang manis kerana dikatakan lazat dan menyelerakan. Dalam hal ini, tidak hairanlah penggemar-penggemar makanan manis begitu rakus menambah gula dalam setiap juadah yang mereka sajikan.

Akibat dari itu, masalah untuk mendapatkan gula seperti yang berlaku dalam negara beberapa dekad yang lalu turut meresahkan golongan berkenaan. Ini menunjukkan, bahawa masyarakat masih belum menyedari lebihan gula di dalam badan membawa risiko kesihatan.

Makanan yang menggunakan gula sebagai pelazat sememangnya enak dimakan. Tetapi hakikat yang perlu diketahui, pengambilannya perlu dikurangkan kerana badan tidak dapat menampung jumlah gula yang berlebihan.

Gula merupakan keperluan pemakanan yang tergolong dalam juzuk karbohidrat, juga merupakan salah satu sumber tenaga. Nama-nama lain bagi gula ialah maltosa, dekstrosa, sukrosa, glukosa, laktosa dan fruktosa. Ia meliputi gula melaka, gula putih, gula perang, gula mentah, madu dan sirap.

Umumnya, gula memainkan peranan penting di dalam badan manusia jika pengambilannya terkawal. Gula merupakan sumber tenaga di dalam tubuh kerana ia mengandungi kadar karbohidrat yang terpenting. Kekurangan gula boleh menyebabkan tubuh kurang bertenaga, gangguan otak dan kadang-kadang menyebabkan pitam. Oleh itu, gula amat perlu di dalam tubuh seseorang sebaik-baiknya dengan kadar 180 miligram (mg) sehari.

Di samping itu, salah tanggapan yang sering terjadi ialah ramai orang beranggapan kebanyakan gula diproses dari tebu. Tanggapan ini tidak tepat. Sebenarnya, gula mempunyai dua kategori iaitu gula asli dan gula tiruan.

Gula asli diperolehi dari buah-buahan, sebaliknya gula tiruan yang dikenali sebagai 'sukros' dan 'glukos' dihasilkan dari tebu dan lobak gula. Kedua-dua unsur ini amat sama tetapi berbeza dari segi kimia masing-masing. Namun, satu hal yang ketara berhubung dengan gula tiruan ialah ia diproses oleh manusia di kilang. Gula yang diproses melalui kilang menghasilkan gula putih, gula perang dan pelbagai lagi.

Dalam proses pengilangan, sumber-sumber protein, serat, vitamin, garam galian dan air yang terdapat dalam bahan mentah yang diperlukan oleh tubuh telah disingkirkan. Keadaan ini bermakna, gula putih yang ditambah dalam makanan dan minuman hari ini merupakan gula tiruan. Walaupun kaya untuk sumber tenaga, gula tiruan tidak mempunyai sebarang zat pemakanan yang lain.

Menurut anggaran "Buku Tahunan Gula 1984", secara purata rakyat Malaysia mengambil kira-kira 21 sudu teh gula sehari atau 38.4 kilogram gula setahun. Peningkatan ini amat ketara sejak tahun 1970. Pengambilan gula pada waktu itu hanyalah sekadar 17 sudu teh sehari atau setiap orang secara purata mengambil gula sebanyak 86 gram sahaja.

Sebaliknya kini, ramai orang merungut jika gula yang diinginkan sukar diperolehi. Pengusaha-pengusaha makanan tempatan beranggapan bahawa kuih-muih, masakan atau hidangan yang tidak (atau kurang) mengandungi gula rasanya tidak begitu enak. Bukan sahaja kuih-muih mengandungi gula, malah makanan-makanan proses sama ada biskut, kek, coklat, aiskrim, bijirin bayi dan minuman tin serta botol turut menggunakan gula. Tetapi sebagai pengguna, anda perlu menyedari bahawa gula di dalam makanan berkenaan adalah 'gula yang tersembunyi'.

Sebenarnya lebihan gula di dalam badan boleh mendatangkan ancaman terhadap kesihatan individu. Di antara gejala-gejala penyakit yang disebabkan pengambilan gula yang berlebihan ialah serangan jantung, kencing manis, kegemukan, gangguan penglihatan dan kerosakan gigi.

Langkah terbaik untuk menjamin kesihatan yang berterusan ialah dengan cara mengurangkan pengambilan gula. Ingatlah! Gula memang manis tetapi manisnya boleh membunuh. Lebihan gula merosakan kesihatan. Justeru, kalau anda sayangkan kesihatan dan nyawa, kurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman harian, itulah kaedah dan langkah terbaik untuk mengekalkan kesihatan yang sempurna.





Enak! Tetapi berhati-hati kerana terdapat gula yang tersembunyi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 27 Mei 2012

Cegah Kencing Manis


CEGAH KENCING MANIS

RAMAI orang akan berasa bimbang sekiranya mereka disahkan sebagai penghidap kencing manis (diabetes). Ini kerana, individu yang menghidapi penyakit berkenaan tentunya akan mengalami penderitaan khususnya komplikasi kaki dan mengakibatkan buta bahkan jika tidak dilaksanakan rawatan dengan segera, kemungkinan pesakit tersebut menemui maut.

Menurut perangkaan terdahulu yang dikeluarkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa jumlah kematian akibat penyakit kencing manis semakin meningkat sejak 1974 berjumlah 326 kematian, tahun 1980 (433 kematian) dan 1983 (481 kematian).

Menurut perangkaan terbaru oleh Koordinator Jawatankuasa Penjagaan Luka, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Harikrishna K.R. Nair berkata terdapat 5.6 juta pesakit diabetes. Daripada jumlah itu, 1.4 juta mengalami komplikasi kaki yang serius. (Sumber: Kosmo, 7 April, 2012)

"Malaysia mempunyai ramai pesakit diabetes berbanding 28 juta penduduknya. Implikasi penyakit itu mengundang kepada penambahan komplikasi kaki yang turut dipengaruhi oleh faktor pengambilan makanan seperti nasi dan gula yang tidak terkawal", ujarnya baru-baru ini.

Penyakit kencing manis merupakan suatu penyakit yang disebabkan kadar kandungan gula (glukos) yang terlalu berlebihan dalam darah. Kandungan gula yang berlebihan itu juga berpunca daripada kekurangan dan kecacatan mekanisma sejenis hormon dalam badan dikenali "insulin".

Insulin itu pula adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ pankreas yang terletak di bawah perut. Fungsi insulin ini adalah untuk membantu gula dalam darah untuk memasuki sel-sel badan dan ditukar kepada tenaga dalam badan kita.

Dari segi jantina pula, kebanyakan penghidap kencing manis terdiri daripada kalangan orang-orang muda kaum lelaki lebih ramai berbanding dengan wanita. Sebaliknya pesakit kencing manis di kalangan wanita adalah lebih ramai daripada lelaki apabila tiba usia 40 tahun ke atas.

Dalam pada itu, kemungkinan kebanyakan di kalangan individu tidak mengetahui bahawa mereka akan dan telah mengalami tentang penyakit tersebut. Dalam hal ini, individu perlu menitikberatkan untuk mengenal pasti apakah badan kita terdapat tanda-tanda atau gejala awal serangan penyakit berkenaan.

Menurut Unit Pelajaran Kesihatan, Jabatan Perubatan dan Kesihatan Kelantan telah menggariskan gejala-gejala awal dan gejala-gejala penyakit yang melarat akibat kencing manis.

Antara tanda-tanda awal itu seperti kencing yang terlalu kerap dan banyak, sentiasa dahaga, sentiasa lapar, lebih, berat badan menurun, gatal-gatal di bahagian kemaluan, kudis serta luka yang sukar untuk sembuh.

Manakala gejala-gejala penyakit yang telah melarat seperti kekeringan iaitu kehilangan air daripada badan, pecah bibir, kulit menjadi kendur, bau nafas manis dan tidak sedar (koma).

Akibat buruk sekiranya penyakit berkenaan enggan dirawat dengan segera, komplikasi akan dialami sebagaimana berikut:

1. Kudis atau bisul akibat jangkitan kuman. Ia boleh melarat hingga menjadi busuk (gangrene).
2. Kecacatan penglihatan seperti 'cataract'.
3. Melibatkan jantung seperti sakit jantung.
4. Kerosakan buah pinggang.
5. Kerosakan pada saraf terutama bahagian hujung kaki dan jari-jari tangan.
6. Pengsan disebabkan lebihan gula dalam badan atau kekurangan gula akibat ubat dalam badan.
7. Ibu-ibu hamil tetapi menghidap kencing manis, bayi yang dikandung menjadi sangat besar dan berat yang
boleh menyukarkan kelahiran.

Berdasarkan kepada kajian menunjukkan tentang bahayanya penyakit kencing manis, individu wajar berusaha untuk menjaga kesihatan dan sebaik-baiknya. Dalam waktu yang sama, penyakit kencing manis dapat dikawal melalui hal-hal berikut:

1. Ubat
2. Makanan
3. Penjagaan berat badan
4. Senaman
5. Mengelakkan jangkitan

Di samping itu, terdapat tiga aspek makanan yang sepatutnya dikurangkan pengambilannya tentunya terhindar daripada serangan penyakit kencing manis. Ia terdiri dari makanan yang patut dielakkan seperti gula, coklat, sirap, aiskrim, minuman ringan, gula-gula dan banyak lagi.

Makanan yang patut dikurangkan seperti roti, daging kambing, buah-buahan jeruk, bahan-bahan tenusu dan banyak lagi.

Manakala makanan yang boleh dimakan dengan bebas seperti serbuk lada, rempah-ratus dan serbuk kari. Cecair pula terdiri dari air, jus tomato, limau dan sebagainya. Sayur-sayuran yang patut dimakan dengan banyak seperti kacang panjang, kubis, timun, lobak merah, kangkung, sawi, cendawan, bayam, tomato, bunga kubis, kacang bendi, terung dan pelbagai lagi.

Kaedah pencegahan kencing manis sebagaimana yang diamalkan oleh orang-orang Melayu secara tradisional dikenal pasti dapat meredakan penyakit kencing manis. Salah satu caranya dengan mengambil lima kulit jering yang digoreng tanpa minyak sehingga garing. Kulit jering yang telah garing itu hendaklah ditumbuk sehingga halus. Kemudian bancuhkan bersama-sama kopi yang hendak diminum. Cara ini perlu diamalkan selama dua kali sehari.

Ataupun amalkan makan sayur setiap kali menyediakan hidangan bersama nasi, ataupun memakan buah jering dan petai sebagai ulam. Buah-buahan ulam ini dikenal pasti dapat mengurang dan menyembuhkan penyakit kencing manis.

Di samping itu, pengambilan minuman kesihatan terkini dikenali "Alga Mekah" dikenal pasti seratus peratus menyembuhkan penyakit kencing manis. Secara relevan, pencegahan cepat dan tepat dalam konteks perubatan untuk mencegah serangan kencing manis dan komplikasi kaki boleh disembuhkan dengan meminum Alga Mekah. Kaki yang telah dijangkiti kuman dan dipenuhi nanah akibat kencing manis dapat disembuhkan secara 'ajaib' dengan cara sapu di bahagian luka berkenaan kemudian meminumnya dalam kuantiti segelas.

Justeru, usaha untuk merawat dan mengubati penyakit serta menjaga kesihatan agar sentiasa terpelihara daripada segala risiko adalah di tangan individu itu sendiri. Kecuaian malahan bersikap tidak mempedulikan terhadap bahaya-bahaya penyakit dan bahan-bahan yang memudaratkannya, menyebabkan penderitaan yang terpaksa ditanggung.

Sayur-sayuran boleh merawat kencing manis.

 Jadikan ulam jering setiap kali memakan nasi.

Kulit jering juga boleh meredakan penyakit kencing manis.

Petai juga dapat meredakan penyakit kencing manis walaupun baunya dianggap busuk.

Alga Mekah: minuman kesihatan terkini yang berpotensi menyembuhkan seratus peratus penyakit kencing manis dan komplikasi kaki.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 26 Mei 2012

Kebaikan Makan Sayur


KEBAIKAN MAKAN SAYUR

SIHAT atau sakit, seringkali dipengaruhi oleh cara gaya pemakanan seseorang. Terlebih makan akan mengundang penyakit, sementara terkurang makan juga akan mendatangkan mudarat. Tetapi mengambil makanan dalam jumlah yang sederhana tetapi tidak seimbang akan juga mengurangkan manfaat.

Mengambil makanan yang seimbang adalah penting. Makanan yang seimbang ini merangkumi makanan daripada empat kumpulan pemakanan penting iaitu:

1. Kumpulan ikan dan daging
2. Bijirin seperti gandum dan beras
3. Sayur-sayuran dan buah-buahan
4. Susu dan hasil tenusu.

Membicarakan tentang kumpulan makanan ketiga seperti sayur-sayuran bahawa, ramai orang tidak menggemari sayur. Ada yang mendakwa, sayur-sayuran adalah batang dan daun-daun hijau yang tawar dan tidak menyelerakan.

Walau bagaimanapun, ramai orang yang tidak boleh makan nasi tanpa daging atau ikan, tetapi boleh makan dengan begitu berselera sekali tanpa sayur-sayuran sebagai hidangan. Kenapa hal seumpama ini berlaku dalam masyarakat kita? Ini menunjukkan masyarakat kita masih cetek pemikiran tentang kebaikan dan manfaat sayur dalam juadah dan hidangan mereka. Bahkan terdapat juga yang menggemari sayur, namun mereka memasak sayur sehingga terlalu layu menyebabkan zatnya hilang.

Tabiat seumpama ini tentulah lama-kelamaan akan menyebabkan tubuh tidak mendapat zat-zat makanan yang diperlukan untuk menjalankan fungsi tubuh yang normal. Sedarilah bahawa, di sebalik rupa sayur yang sedemikian, tersembunyi zat-zat pemakanan yang kaya. Daripada sayur, anda akan memperolehi vitamin A, B1, B2 dan C, protein dan garam galian seperti kalium, kalsium, fosforus, besi dan natrium. Manakala kandungan makanan lain seperti gentian, karbohidrat dan air.

Kekurangan bahan-bahan ini akan membantutkan pertumbuhan seseorang khususnya kanak-kanak yang memerlukan zat dan khasiat pemakanan yang seimbang untuk pembesaran di samping mencegah serangan penyakit khususnya jantung dan kencing manis kerana sayur kaya dengan serat yang diperlukan kesihatan.

Sejajar dengan itu, sebelum anda berkata "TIDAK" kepada sayur dalam hidangan anda akan datang, sila pertimbangkan dahulu fakta-fakta berikut:

1. Sayur murah dan mudah diperolehi.
2. Sayur membekalkan anda dengan sebahagian besar zat makanan yang diperlukan oleh tubuh untuk menikmati kesihatan yang sempurna.

3. Sayur adalah hidangan yang paling mudah dimasak atau dihidangkan.
4. Terdapat pelbagai jenis sayur dan anda bebas memilih mana yang digemari untuk dimakan.
5. Jika anda kekurangan masa untuk memasak, makan sahaja sayur yang tidak perlu dimasak seperti salad, tomato dan lobak merah.

Terdapat empat jenis sayur yang utama iaitu kekacang, daun, buah dan akar. Contoh bagi setiap jenis tersebut adalah kacang panjang, lobak, timun dan ubi kayu.

Selain kaya dengan zat pemakanan, sayur-sayuran juga mempunyai nilai perubatan. Biji timun misalnya dapat membantu mengeluarkan cacing yang mengganggu kanak-kanak ia mengandungi 'saponin'. Timun juga sesuai untuk kulit kerana ia mempunyai kesan membersih, menyejuk dan melembab. Ubi kayu pula dikatakan dapat membantu penyembuhan ulser.




Kacang panjang

Timun

Lobak

Terung

Kubis

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 24 Mei 2012

Kenali Vitamin A


KENALI VITAMIN A

APAKAH peranan vitamin di dalam tubuh manusia, itulah soalan yang lazim diutarakan. Sesetengah masyarakat langsung tidak mengambil kisah tentangnya, asalkan perut berasa kenyang menikmati setiap juadah yang dihidangkan. Sebenarnya, vitamin adalah bahan kimia yang mempunyai khasiat makanan yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dalam keadaan normal. Setiap vitamin yang terdiri dari vitamin A, B, C, D, E dan K mempunyai fungsi dan tugas-tugasnya yang tersendiri.

Sebab itulah, semua makanan yang dimakan seharusnya mencakupi segala khasiat vitamin yang diperlukan; kerana sekiranya kekurangan salah satu dalam zat makanan, tumbesaran tubuh akan terbantut dan boleh mendatangkan risiko terhadap sistem dalam tubuh manusia.

Oleh hal yang demikian, janganlah menganggap bahawa vitamin tidak perlu disebabkan adanya zat dan khasiat makanan yang lainnya. Ia bukan sahaja berperanan penting untuk orang-orang dewasa tetapi juga perlu diutamakan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan vitamin yang secukupnya dalam proses tumbesaran mereka. Vitamin boleh mempengaruhi perkembangan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak yang tidak terdapat pada bahan-bahan lain.

Apabila kita membicarakan persoalan mengenai vitamin, kita tentunya ingin mengetahui apakah sumber yang terhasil dalam setiap vitamin, khususnya Vitamin A.

Sumber-sumber Vitamin A lazimnya diperolehi daripada haiwan seperti minyak ikan, kuning telur, susu tulen, hati, keju dan banyak lagi. Ia dikenali sebagai pra-pembentukan Vitamin A yang dipanggil "retinol".

Manakala kandungan Vitamin A yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran seperti kangkung, daun pudina, lobak merah, betik, mangga dan labu dikenali sebagai pro-Vitamin A (karoten). Karoten bermaksud kandungan hijau daun. Semakin banyak hijau sesuatu daun, semakin tinggilah kandungan karotennya.

Menurut laporan Asian Health dan Diet Plan, Hodder (1985), berhubung dengan kandungan Vitamin A dalam makanan tempatan adalah seperti berikut:


Di samping itu, mungkin terdapat ibu bapa yang tidak mengetahui bahawa Vitamin A amat bernilai untuk anak-anak kerana ia dikatakan boleh mencegah sesuatu penyakit yang dialami oleh anak-anak seperti:

1. Mencegah rabun malam.
2. Membantu dalam merawat pesakit 'hipertiroidisme'.
3. Menggalakkan pembesaran tulang yang kuat, rambut, kulit, gigi dan gusi yang sihat.
4. Membentuk daya tahanan terhadap jangkitan saluran pernafasan.
5. Membantu merawat kes gangguan mata dan memperbaiki penglihatan yang lemah.

Menurut laporan itu lagi, Vitamin A dikatakan mempunyai ciri-ciri penyembuhan. Ramai saintis mempercayai bahawa Vitamin A boleh mengurangkan risiko kanser paru-paru, saluran kencing, pundi kencing dan peti suara (larinks).

Dalam pada itu, terdapat juga vitamin yang boleh memburukkan keadaan manusia kerana tidak dapat diserapkan di dalam tubuh. Ia dikenali sebagai 'vitamin tiruan' dan mendatangkan risiko kepada penggunanya apabila pengambilannya terlalu kerap.

Vitamin tiruan dihasilkan dalam pelbagai bentuk, di mana pengambilannya telah dianggap memudahkan penggunanya. Bentuk-bentuk tersebut seperti kapsul, pil-pil atau cecair adalah beberapa contoh vitamin tiruan yang digabungkan dengan vitamin serta zat makanan yang lain. Sukatannya boleh dikatakan tidak seimbang, malahan campuran gula di dalamnya akan mengakibatkan risiko kesihatan khususnya terhadap kanak-kanak.

Cara yang paling selamat untuk anak-anak memperolehi zat makanan yang seimbang dan baik adalah dengan mendapatkan makanan tulen tanpa dicampur sebarang bentuk makanan lain yang dikhuatiri boleh mendatangkan risiko. Mendapatkan makanan yang tulen bukanlah sesuatu yang sukar, bahkan ia lebih murah dan mempunyai khasiat yang banyak.

Hindarkanlah daripada mendapatkan makanan yang kekurangan zat serta vitamin tiruan agar tumbesaran anak-anak tidak terencat dan kesihatan mereka terjaga. Sebab itulah, adakalanya terdapat anak-anak yang tidak juga membesar dengan sempurna sedangkan pelbagai jenis vitamin tiruan diambil. Perlu diketahui juga, bahawa tidak semua makanan yang mahal itu melambangkan banyaknya khasiat dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh.

Dengan demikian, berhati-hatilah apabila memberikan vitamin tambahan kepada anak-anak sama ada dalam bentuk pil, kapsul mahupun cecair. Pastikan bahawa vitamin yang diberikan benar-benar menjamin khasiat dan bermutu tinggi dalam konteks kandungannya.

Justeru, anda juga tidak harus terpedaya dengan iklan dan promosi serta persembahan mengenai kelebihan vitamin tambahan yang dihasilkan kerana ada di antaranya yang meragukan, sungguhpun ada yang mendakwa bahawa ia mempunyai khasiat yang tinggi. Namun, sebaik-baik langkah yang boleh diambil ialah dengan mendapatkan pakar pemakanan terlebih dahulu seperti dari segi jenis vitamin yang perlu diambil dan kadar pengambilannya.   
                  


Buah labu memang kaya dengan Vitamin A.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 23 Mei 2012

Islam Itu Bersaudara


ISLAM ITU BERSAUDARA

AGAMA ISLAM merupakan agama yang baik dan sempurna di dalam segala hal. Berdasarkan istilah lain, agama Islam adalah agama yang bermutu dalam banyak agama yang dianuti oleh seluruh penduduk dunia. Agama Islam menitikberatkan kesejagatan dalam konteks ibadat kepada Allah, hubungan di antara manusia, manusia dan kerjaya dan manusia dengan persekitarannya.

Dalam hubungan di antara umat manusia, Islam tidak memandang kepada pangkat dan kedudukan, rupa paras yang cantik atau tampan, gagah atau kurang bermaya, kaya dan miskin sebagaimana yang menjadi kebanggaan sesetengah masyarakat hari ini. Tetapi perbezaan dan perbandingan di antara status berkenaan ialah terdiri dari manusia iaitu manusia yang bertuhankan harta dan kebendaan dunia.

Melalui perhubungan di antara umat manusia, Islam hanya mementingkan perdamaian dan persaudaraan tanpa mengira batas usia, kelompok dan asal keturunan. Islam amat membenci kepada perkelahian, permusuhan dan pertumpahan darah. Apatah lagi dengan tabiat suka berperang sesama manusia dan sesama saudara seagama.

Di dalam Islam, sikap tolak ansur, bersederhana dalam segala hal serta hidup secara harmoni sentiasa dicanangkan kepada penganut-penganutnya. Jika berlaku perselisihan faham dan perbezaan pendapat, Islam menasihatkan supaya kembali ke pangkal jalan dan merujuk kepada kitab Allah kerana di situlah terdapatnya penawar yang dapat menyembuhkan segala kesakitan dan kesilapan.

Di samping itu, Islam juga menggalakkan umat-umatnya supaya sentiasa memberikan pertolongan dan bantuan walaupun seseorang yang memerlukan bantuan itu terdiri daripada umat Islam sendiri atau orang bukan Islam. Ini kerana, orang yang diberikan pertolongan dan bantuan itu akan dapat hidup dengan lebih sempurna. Hal ini amat jelas sebagaimana firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya". (Surah Al-Maidah: ayat 2)

Dalam aspek memberikan pertolongan dan bantuan ini adalah bertujuan untuk menghindarkan segala permasalahan yang dihadapi oleh individu atau kumpulan masyarakat tersebut. Di antara bentuk-bentuk pertolongan seperti dalam bentuk kewangan, tenaga kerja yang mahir, makanan, air dan sebagainya. Dalam hal ini, sudah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam sendiri yang keberatan dan enggan menghulurkan bantuan kepada umat-umat Islam yang lain, siapakah lagi yang sanggup berbuat demikian?

Dari segi betapa sukar dan rumitnya jika individu berkenaan tidak diberikan pertolongan sebagaimana yang sewajarnya, Islam menganggapkannya  sebagai dicubit paha kiri tentunya di paha kanan akan terasa sakitnya. Maknanya, Islam itu hidup bersaudara dan setiap saudaranya yang menghadapi masalah, mereka patut diberikan pertolongan.

Sementara dalam konteks individu, seorang individu muslim yang sanggup memberikan pertolongan kepada saudara-saudaranya yang muslim, individu berkenaan dianggap seorang yang beriman. Ini kerana, seorang muslim yang dianggap beriman akan merasa dirinya bersalah seandainya segala pertolongan tidak dapat diberikan kepada individu terbabit.

Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa perihal memberikan pertolongan dan bantuan yang dianjurkan oleh Islam itu dianggap baik dan digalakkan, tetapi berikutan berlaku perubahan dunia dan zaman menyebabkan sebahagian umat-umat Islam khususnya seolah-olah mengabaikannya dan berada jauh dari hidayah Allah S.W.T. Terdapat umat-umat Islam hanya memberikan bantuan kepada golongan yang lebih kaya dan golongan berada atau kepada golongan yang tidak memerlukannya atau ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Perbuatan sedemikian dianggap membazir kerana dianggap tidak bermanfaat kepada mereka untuk dinilai oleh Allah di dunia dan di akhirat nanti. Umat itu dianggap rugi kerana pemberiannya tidak bernilai malah tidak berharga di sisi Allah kerana tidak kena pada tempatnya.

Islam tidak menganjurkan penganut-penganutnya untuk memberikan pertolongan dan sumbangan bukan kepada orang yang memerlukannya atau bukan kepada tempatnya. Ini kerana, Islam adalah suatu agama yang paling baik untuk kepentingan manusia sejagat. Maka amat tidak wajar sebagai seorang Islam, orang yang sepatutnya diberikan bantuan disisihkan. Dalam hubungan ini, Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik". (Surah Ali Imran: ayat 110)

Dengan demikian, amat jelas bahawa perlunya setiap manusia memberikan pertolongan, menjaga hubungan dengan Allah S.W.T  serta menjaga hubungan di antara manusia dengan manusia. Hal ini merupakan amanah yang perlu dijaga secara keseluruhannya dan amat tidak wajar kita mengingkarinya. Ingatlah tentang amaran Allah S.W.T  bahawa akan ditimpakan kehinaan kepada umat-umat manusia yang tidak menjaga hubungan-hubungan tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Ditimpakan kepada mereka kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan mereka kembali dengan mendapat murka dari Allah dan ditimpakan kepada mereka kelemahan. Demikian itu, kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat (keterangan-keterangan) Allah dan membunuh Nabi-Nabi dengan tidak patut, mereka mendurhaka dan melanggar batas". (Surah Ali Imran: ayat 112)

Berdasarkan kepada hakikat tersebut, kita seharusnya menjadi umat yang sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia, memberikan pertolongan dan bantuan yang diperlukan dan berlaku baik kepada semua manusia tanpa membezakan status, kedudukan, keturunan, warna kulit, rupa paras mahupun kaya atau miskin. Apabila disebut manusia, kita adalah sama.

      

Hubungan manusia khususnya sesama umat Islam, ibarat cubit paha kiri akan berasa sakit di paha kanan. 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH