RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 31 Julai 2012

Pendudukan Jepun di Kota Bharu


PENDUDUKAN JEPUN DI KOTA BHARU

KOTA BHARU, KELANTANPENDUDUKAN Jepun di Kota Bharu, Kelantan bermula pada 8 Disember, 1941 apabila tentera Jepun yang diketuai Jeneral Hisroshi Takumi telah mendarat di Pantai Sabak dekat sini. Menurut Wikipedia, tiga batalion penuh tentera dari Matahari Terbit itu mendarat di Kota Bharu pada pukul 10.30 pagi dan setelah melalui pertempuran sengit, Kota Bharu akhirnya dapat ditawan pada 9 Disember, 1941 jam 2.00 petang.

Dalam pertempuran sengit di antara tentera Jepun dengan tentera Hindia British itu, tentera kedua-dua belah pihak banyak yang terkorban dan tercedera. Begitu juga dengan tentera Jepun. Kolonel Masanobu Tsuji menulis dalam bukunya bahawa 320 orang askar Jepun terkorban serta 538 orang tercedera dalam pertempuran itu dan menggelarkan Kota Bharu sebagai "salah satu kawasan pertempuran yang paling ganas dalam kempen Tanah Melayu".

Tentera Hindia British yang turut dibantu tentera Punjab yang mempertahankan kubu mereka dari diserang tentera Jepun akhirnya terpaksa mengaku kalah dan terpaksa berundur disebabkan kehabisan peluru.

Menurut salah seorang warga emas yang sempat ditemui Penulis, Che Mood bin Salleh, 77, atau lebih dikenali sebagai Pak Mud dari Kampung Gertak Lembu, Salor dekat sini berkata, ketika pendudukan Jepun di Kota Bharu pada masa itu, usianya masih di peringkat kanak-kanak.

"Akibat kehabisan peluru, askar Punjab tidak lagi dapat melakukann tentangan terhadap tentera Jepun. Peluang sedemikian digunakan sepenuhnya oleh tentera Jepun untuk naik ke darat dan askar Punjab terpaksa menyerah diri dengan kehadiran ramai tentera-tentera Jepun tersebut", katanya.

Dalam masa pendudukan Jepun di Kota Bharu, selama enam bulan penduduk di Kota Bharu tidak dapat menikmati ikan laut. Ini kerana, apabila berlakunya peperangan tentunya segala makanan turut terbakar, tercemar dan musnah. Apatah lagi, pada masa itu Tanah Melayu tidak lagi mempunyai kerajaan dan tentunya keadaan pada masa itu agak kelam-kabut.

Disebabkan ikan laut tidak lagi dapat dinikmati akibat terbakar, penduduk-penduduk kampung terpaksa memakan ikan-ikan darat seperti dari sungai dan sawah padi pula. Setelah agak lama tentera Jepun di Kota Bharu, mereka pula terputus bekalan makanan. Ketika tentera Jepun memasuki dan menggeledah kampung-kampung, mereka dapat melihat banyak pokok-pokok kelapa yang tumbuh subur, itulah salah satu caranya mereka memperolehi makanan ialah dengan menembak buah-buah kelapa tersebut.

Justeru, pada ketika itu keadaan penduduk-penduduk kampung memang dalam ketakutan apabila Jepun telah memasuki kawasan kampung-kampung Melayu, seolah-olah "nyawa di hujung tanduk" apatah lagi tentera Hindia British dan askar Punjab telah menyerah kalah dan mereka tidak lagi dapat membantu penduduk-penduduk kampung.

Katanya, apabila bekalan makanan pihak Jepun semakin mendesak bukan sahaja buah kelapa yang menjadi mangsa lahap tentera mereka, segala makanan milik penduduk kampung juga dirampas seperti ubi kayu, ayam dan sebagainya. Manakala petani yang sedang mengerja dan mengusahakan sawah padi, tentera Jepun memaksa petani-petani berkenaan menyerahkan hasil padi kepada mereka dan sesiapa yang cuba melawan akan dipancung.

Tambah Pak Mud, apabila kubu askar Punjab di Kampung Semut Api (berhampiran Pantai Cinta Berahi ketika itu) tidak lagi dapat dipertahankan, askar-askar Punjab di darat ini terpaksa berundur dari serangan Jepun melalui dua laluan alternatif iaitu sungai dan jalan darat. Melalui sungai pula, askar Punjab menaiki bot ke sebelah hulu iaitu suatu kawasan yang masih belum dijejak oleh tentera Jepun lalu mereka menenggelamkan bot-bot di situ untuk tujuan melarikan diri dan tentera Jepun terbabit.

Manakala dari jalan darat pula, sambil askar Punjab melarikan diri melalui Jalan Kuala Krai ke hulu dan apabila tiba di Wakaf Che Yeh, berlaku pula tembak-menembak dengan tentera Jepun yang lebih pantas memasuki Kota Bharu. Apabila askar Punjab tiba di bandar Machang, berlaku sekali lagi kejadian tembak-menembak dengan askar Jepun di situ. Ketika itulah didapati ramai penduduk-penduduk kampung terbunuh akibat terkena peluru sesat pihak tentera Jepun yang menyerang Kelantan agak terlalu pantas. Banyak mayat bergelimpangan di jalan-jalan utama akibat peperangan tersebut.

Tambah Pak Mud lagi, ketika zaman pendudukan dan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu khususnya di Kelantan kebanyakan penduduk terpaksa menanggung azab. Beliau pada masa itu masih dalam zaman kanak-kanak berusia sembilan (9) tahun terpaksalah memakan jagung dan pisang bersama kedua orang tuanya kerana pada masa itu padi tidak dapat diusahakan oleh bapanya. Ini kerana, kalau diusahakan juga tentunya akan dirampas oleh tentera Jepun.

Katanya, cara tentera Jepun merampas hasil makanan iaitu "pagi gemar" tanpa diproses ialah dengan menawan Penghulu Kampung terbabit supaya menyerahkannya kepada mereka. Tentera Jepun tidak menggunakan kekerasan sambil mengancam dengan senjata tetapi memaksa melalui lisan supaya Penghulu Kampung menyerahkan hasil tani kepada mereka dengan segera. Bukan sahaja padi yang siap diketam akan dirampas, padi yang masih di bendang juga terpaksa diserahkan kepada tentera Jepun untuk tujuan menyelamatkan nyawa dari terancam.

Setelah padi tersebut diperolehi, tentera-tentera Jepun terbabit akan menganyamnya dengan kaki untuk meleraikan biji-biji padi tersebut. Padi yang telah siap terkumpul akan dibawa ke satu tempat yang mungkin untuk proses menjadi beras pula dan hal ini memang tidak diketahui oleh sesiapa termasuk penduduk-penduduk kampung sendiri.

"Walaupun begitu, tentera Jepun tidak mengambil hasil padi tersebut secara keseluruhannya, malah mereka meninggalkan bakinya. Setiap hasil padi yang diambil dari keluarga petani terbabit mereka akan memberikan hadiah berupa sehelai "kain berko", katanya.

Ditanya tentang perasaan penduduk-penduduk kampung apabila dengan begitu ramai tentera Jepun memasuki kampung lalu mengambil barangan makanan mereka. Pak Mud menjelaskan, sememangnya orang-orang kampung dalam ketakutan kerana bimbang akan diapa-apakan oleh tentera-tentera Jepun terbabit. Hukuman bagi orang-orang kampung engkar ialah Jepun akan memberikan minum air sabun lalu menginjak-injak atas perut mangsa terbabit.

Menurut Pak Mud, sebuah tempat pasung (potong kepala) terbesar di Kota Bharu terletak di Penambang. Pernah salah seorang bakal mangsa pasung bertindak dengan melawan tentera Jepun terbabit sehingga beliau berjaya melarikan diri. Katanya, jika mangsa tidak mempunyai kekuatan untuk menentang, apabila dapat ditangkap oleh pihak Jepun, hukumannya ialah "pancung". Inilah yang menyebabkan orang-orang kampung ngeri serta sentiasa di dalam ketakutan, mereka tidak berupaya untuk melawan kekuatan tentera Jepun itu.

Sambung Pak Mud, Jepun memerintah Kelantan selama 3 tahun 8 bulan. Semasa pemerintahan awal Jepun, masalah untuk mendapatkan makanan tidaklah terlalu kritikal, namun semakin lama kehidupan penduduk kampung semakin terhimpit akibat kekurangan bekalan dan kesukaran untuk mendapatkan makanan. Maslaah gula juga satu hal, jadi orang-orang kampung terpaksa meminum air manisan seolah-olah menggantikan gula di mana selepas air dan manisan direbus lalu dicampur pula dengan halia.

"Ketika pemerintahan Jepun di Kelantan, makanan yang banyak sebelum ini telah kehabisan. Antara mahu dan tidak, terpaksa penduduk-penduduk kampung memakan ubi kayu, pisang dan sebagainya.

"Bagi segelintir penduduk-penduduk kampung yang baik dengan pihak Jepun, mereka akan mendapat kesenangan yang berpanjangan. Namun, lazimnya mereka pasti akan menjadi orang suruhan pihak Jepun pula", ujarnya.

Sambungnya, kebanyakan orang-orang Melayu yang bekerja dengan pihak Jepun tidak diberikan sebarang elaun atau gaji. Apabila semakin lama makanan kehabisan, Jepun menjual beras kepada orang-orang Melayu dengan wang Jepun sebanyak Yen100 secupak seperti pokok pisang (nilai dikira tandan) dan nenas. Tetapi kebanyakan barangan makanan penduduk-penduduk kampung dirampas untuk makanan pihak Jepun itu sendiri.

Dalam pada itu menurut Pak Mud, masalah anak-anak gadis juga sentiasa dalam ketakutan, apatah lagi dengan ibu bapa mereka. Ini kerana, apabila tentera Jepun melihat anak-anak gadis dan mereka berkenan dengan gadis-gadis tersebut, mereka akan merampasnya secara paksaan. Anak-anak gadis Melayu yang ditangkap pihak Jepun akan dibawa ke sebuah kawasan di Jerangau, Tanah Merah. Ada anak-anak gadis ini dipaksa untuk membina jalan di situ.

Katanya, ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu amnya dan di Kelantan khasnya akan berakhir, didapati ikan darat seperti keli, haruan dan puyu semakin banyak tetapi disebabkan ketiadaan garam, jadi terpaksalah ikan dimasak tawar.

Menyentuh tentang pembinaan landasan keretapi maut di Burma, katanya, apabila Jepun memerlukan khidmat pekerja-pekerja berkenaan, mereka akan mendapatkan keizinan Penghulu Kampung terlebih dahulu, jadi Penghulu Kampung akan mencari pemuda-pemuda terbabit untuk tujuan itu lalu diserahkan kepada pihak Jepun untuk tujuan tersebut.

Katanya, kebanyakan pekerja landasan keretapi maut di Burma terdiri daripada pemuda-pemuda di Salor, Kota Bharu yang berusia dalam lingkungan 20 tahun dipaksa menjadi pekerja di situ. Walaupun ada di antaranya yang dapat pulang setelah diselamatkan oleh pihak tentera Hindia British lalu dibawa melalui jalan laut. Namun, tubuh badan mangsa dipenuhi kudis untuk menggambarkan betapa tersiksanya mereka menjadi hamba abdi Jepun di situ. Bagi yang mengalami nyawa-nyawa ikan akan ditimbus ke dalam lubang dalam keadaan masih bernyawa lagi.

Che Mood bin Salleh atau Pak Mud.

Pak Mud ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Kampung Gertak Lembu dekat Salor juga turut digeledah tentera Jepun.


Dari arah Jalan Kota ini, tentera Punjab berundur dan melarikan diri dari kemaraan tentera Jepun.


Pekan Wakaf Che Yeh pernah digeledah tentera Jepun. Penduduk kampung ketika itu sentiasa dalam ketakutan.

Apabila kehabisan makanan, buah kelapa pula menjadi mangsa tentera Jepun.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 21 Julai 2012

Pandai Keris


PANDAI KERIS

PASIR MAS, KELANTAN KERIS menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga) adalah senjata bermata dua yang tajam (bilahnya lurus dan berlok atau berkeluk-keluk). Pada zaman dahulu, keris menjadi lambang kemegahan dan semangat orang-orang Melayu. Orang yang tahu bermain keris dianggap pendekar. Walaupun telah bertukar zaman, keris masih diminati malah tergolong dalam seni warisan Melayu sejak dahulu sehingga hari ini, keris tetap utuh di hati orang-orang Melayu. Keris memang sinonim dengan masyarakat Melayu walaupun kini minat terhadapnya dikatakan semakin luntur, namun percayalah keris tidak luput ditelan zaman dan ia tetap di hati masyarakat Melayu yang mengenalinya.

Membicarakan tentang keris, untuk membuatnya bukan suatu perkara yang senang jika tidak memiliki ilmu bertukang tentangnya. Orang yang mahir dalam membuat keris dianggap "pandai keris", namun untuk menyiapkan sebilah keris memerlukan masa. Tetapi untuk membuatnya, perlulah mempelajari selok-belok, cara dan kaedahnya sebelum melangkah lebih jauh untuk membuka bengkel sendiri, apatah lagi minat ke arahnya juga adalah sesuatu yang seharusnya ada bagi setiap orang yang ingin dianggap "tukang keris".

Salah seorang tukang keris yang dianggap "pandai keris" yang ditemui Penulis di bengkelnya, Mohd. Fadzil Abdul Deraman, 36, atau lebih dikenali sebagai Sham dari Kampung Jejuluk, Slow Machang dekat sini berkata, sejarah beliau berkecimpung dalam seni pembuatan keris disebabkan dirinya terlalu minat terhadap seni pertukangan keris sehingga mendorongnya membuka sebuah bengkel yang terletak di Kampung Chengal Hutan, Pasir Mas, Kelantan.

"Pada asalnya, saya menceburi bidang ini kerana tidak mempunyai sebarang kerja. Dengan menceburi bidang berkenaan bukan sahaja saya memperolehi pengalaman berguna, tetapi secara tidak langsung saya memperolehi pulangan yang memuaskan dari hasil jualan kepada orang ramai dan peminat seni ini", ujarnya.

Katanya, pada awalnya beliau tidak mempunyai sebarang kemahiran untuk membuat keris tersebut. Tetapi disebabkan sering memerhatikan orang-orang lama yang berpengalaman dan pakar-pakar dalam pertukangan keris di Kampung Perangkap, dalam hatinya terdetik, tentunya beliau juga mampu melakukan hal yang sama. Setelah banyak mengumpul pengalaman daripada pemerhatiannya itu, beliau mula memcuba sendiri dan menciptakan keris-keris tersebut di rumahnya menurut ilhamnya sendiri. Berkat tekun dan usaha tanpa mengenal jemu, akhirnya segala cita-citanya itu terlaksana di mana sekarang ini beliau mampu menghasilkan keris yang pelbagai corak mengikut tempahan daripada peminat dan penggemar-penggemar senjata itu.

"Setelah memperolehi pengalaman dari apa yang disaksikan sebelum ini, hal pertama yang saya perlu lakukan ialah dengan mewujudkan bengkel sebagaimana hari ini. Bengkel ini ditubuhkan pada tahun 2002 lagi secara sederhana. Dari situ, ramai orang mempercayai saya mampu menghasilkan beberapa bilah keris yang agak bermutu, malah mereka memuji hasil kerja saya", katanya.

Selain beliau sebagai tukang keris, turut membantunya ialah dua orang pekerja setianya di mana kedua-duanya terdiri daripada golongan belia atau anak muda yang mempunyai minat yang sama dan ingin melihat seni warisan keris Melayu tidak berkubur begitu sahaja. Jika tidak, kedua-dua pekerjanya itu tidak akan berada di bengkelnya itu.

Menurutnya, di kawasan berhampiran bengkelnya juga terdapat beberapa tukang membuat keris yang menurut jejak langkah sepertinya. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan tukang-tukang tersebut, beliau kini telah dianggap sebagai "pandai keris" kerana berjaya menghasilkan keris-keris yang bermutu tinggi dan menarik. Katanya, terdapat hanya dua orang tukang keris sahaja di kawasan Kampung Hutan Chengal itu termasuk beliau, sebaliknya kebanyakan yang lain hanya menghasilkan "sarung golok" sahaja.

Sememangnya, beliau membuat keris berdasarkan kepada tempahan orang ramai terutamanya di kalangan peminat dan penggemar-penggemar keris. Beliau terpaksa menyiapkan sebagaimana kehendak orang ramai kerana merekalah pelanggan yang sentiasa diharapkan olehnya.

"Lazimnya, dalam sehari saya mampu menyiapkan tempahan sebilah keris sahaja. Ini kerana, membuat keris bukan sesuatu yang dianggap senang walaupun kita sudah biasa dengannya, tetapi kesukaran itu tetap ada.

"Biasanya dalam sehari itu, saya menyiapkan keris termasuk sarungnya sekali dan kadang-kadang memakan masa selama dua hari", jelas Sham.

Tambahnya, oleh kerana beliau dianggap tukang yang telah agak lama berkercimpung dalam bidang pembuatan keris, biasanya peminat dan penggemar-penggemar keris akan berusaha mencarinya. Apatah lagi, sekarang ini dengan perkembangan teknologi maya, pembuatan keris ini turut dimuatkan ke laman sesawang bagi memudahkan pelanggan dan peminat-peminat keris melihat tukang-tukang keris yang berkemahiran dalam pembuatan keris. Ternyata, melihat perkembangan itu, sekarang ini beliau menjadi tumpuan umum. Banyak yang menempah dari internet, dengan perkembangan teknologi berkenaan lebih memudahkan beliau menghasilkan keris sebagaimana kehendak pelanggan terbabit.

"Saya hanya sebagai tukang keris sahaja, tetapi soal mempromosi dan jualan keris itu diserahkan kepada pihak lain pula", katanya.

Menurut Sham lagi, dari segi harga keris dikira mengikut kategori tertentu. Kalau keris biasa dijual dengan harga RM600 sebilah dan ada yang berharga lebih RM1,000. Sebaliknya, kalau "Keris Malela" memang dijual dengan harga yang agak mahal.

Apabila ditanya tentang lok-lok keris, tempahan lok-lok keris berkenaan berdasarkan kepada minat setiap pelanggan terbabit. Jika pelanggan itu berminat dengan lima lok, beliau akan menghasilkan lima lok, atas tempahan pelanggan sendiri.

"Saya banyak memperolehi bahan-bahan untuk menghasilkan keris umpamanya besi di tempat-tempat besi kitar semula. Biasa bagi saya di tempat kitar semula, saya akan menemui besi-besi lama yang masih boleh digunakan untuk membuat keris.

"Malah biasa juga bagi saya membuat keris dari besi hitam seperti Keris Malela, besi sauh dan besi landasan keretapi. Namun, lazim yang saya lakukan ialah menggunakan besi-besi lama yang dianggap tahan lama", ujarnya sambil menunjukkan keris-keris yang telah siap.

Ditanya, mana lebih baik jika keris dibuat di antara besi sauh dengan besi landasan keretapi. Katanya, membuat keris bukan berdasarkan kepada besi itu keras ataupun tidak. Jadi, dalam bahasa keris beliau akan mendapatkan besi yang mempunyai urat yang menarik kerana besi sedemikian memang sesuai untuk dibuat mata keris di mana jalurannya memang menarik untuk keris. Berbanding dengan Keris Malela yang tidak mempunyai jalur sebaliknya mempunyai lurah. Keris yang mempunyai lurah memang sukar dibuat dan hanya tukang-tukang keris tertentu yang berjaya menghasilkannya.

"Kebanyakan pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada golongan guru yang ternyata berminat dengan keris yang saya hasilkan. Dalam hal ini, saya mendapatkan pelanggan hanya dua orang sahaja yang benar-benar berminat dengan keris itu.

"Guru-guru terbabit akan bertindak sebagai penjual bagi pihak saya dan saya sendiri sebagai pembuat keris tersebut. Saya memang tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasarkan keris-keris itu. Sebabnya, untuk menyiapkan sebilah keris pun memakan masa yang agak lama, iaitu sebilah sehari", ujarnya.

Katanya, dari segi sambutan pelanggan terhadap keris buatannya agak menggalakkan terutamanya dari luar Kelantan seperti dari Kuala Lumpur dan Johor. Selain pelanggan tempatan yang mendapat info dari internet, beliau banyak menerima tempahan dari Negara Brunei (2 orang), Singapura (3 orang). Namun, pelanggan dari Singapura agak ramai yang menempah keris darinya. Bahkan menurutnya, maklumbalas daripada pelanggan setakat ini agak menggalakkan dan rata-ratanya mereka berpuas hati dengan kehalusan seni buatannya. Ini berikutan atas minat pelanggan, ada pelanggan yang memintanya merubah bentuk keris dan ada juga yang memintanya merubah bentuk sarung keris tersebut.

Sementara itu, membicarakan tentang sarung keris memang terlalu sukar baginya. Ini berikutan, kayu yang terbaik dikenali "Kemuning Mas" untuk membuat sarung keris terbabit tidak terdapat di bukit-bukit biasa dan lazimnya diperolehi di kawasan-kawasan hutan dan bukit yang belum pernah diteroka seperti di Gua Musang dan Jeli di pedalaman Kelantan.

Mohd. Fadzil Abdul Deraman atau Sham boleh dihubungi melalui telefon:
013-9119606

Mohd. Fadzil Abdul Deraman atau Sham.

Sham ketika ditemubual Penulis di bengkelnya.

Keris unik hasil ilhamnya yang paling disayanginya.

Sebahagian keris yang telah disiapkannya.

Inilah dua pekerja yang bertungkus-lumus di bengkelnya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 16 Julai 2012

Foto: Istilah Bahasa

KESALAHAN DAN KESILAPAN
ISTILAH BAHASA
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Istilah Bahasa" berhubung dengan kesalahan dan kesilapan ejaan, penggunaan kosa kata dan sebagainya
Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
TANAH MERAH, KELANTAN


TANAH MERAH, KELANTAN:  ISTILAH, perkataan dan bahasa menjadi cacat jika kita tidak memberikan perhatian terhadapnya. Begitu halnya dengan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing, Tanah Merah, Kelantan. Ada satu huruf "Kebangsaan" yang tertanggal iaitu huruf "N". Pihak pengurusan sekolah terbabit perlu cakna dan prihatin untuk memperbetulkan kesilapan nama sekolah tersebut supaya tidak mencacatkan pandangan.

Foto ini dirakam di Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan pada 14.7.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 13 Julai 2012

Foto: Komentar

TABIAT DAN BUDAYA
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Komentar" berhubung dengan sikap, tabiat dan budaya di samping pandangan umum terhadap kita
Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN


KOTA BHARU, KELANTAN:  SEWAKTU ketika dulu, tempat parkir motosikal di Jalan Doktor dekat sini telah ditukar status menjadi "lorong pejalan kaki". Tetapi kemudiannya, telah dibina kekotak dan apabila dilihat di bawahnya adalah longkang. Kalau terjatuh ke dalamnya, mangsa tentunya tidak dapat dikenali kerana dilumuri air longkang itu. Bahkan melihatkan air longkang itu bukan sahaja berbau busuk kerana didapati bertakung dan telah tersumbat. Longkang tersumbat pula mempunyai pelbagai sebab apabila di dasarnya dihuni pelbagai jenis sampah yang telah mendap. Inilah sikap manusia yang tidak mempunyai kesedaran, bukan sahaja air najis dilepaskan ke dalam longkang berkenaan tetapi sampah juga turut dicampak dengan sewenang-wenangnya.


Foto longkang tersumbat ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 8.11.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
PASIR PUTEH, KELANTAN

PASIR PUTEH, KELANTAN:  PAPAN tanda ini memandu arah ke Pantai Bisikan Bayu. Banyak cerita yang belum selesai apabila anda menjejakkan kaki di pantai berkenaan disebabkan sikap pihak terbabit membiarkan pantai berkenaan terbiar begitu sahaja, sehingga pantai yang begitu cantik dan pasirnya nan putih pada masa dulu kini bertukar wajah.

Papan tanda ke arah Pantai Bisikan Bayu.

Pantai Bisikan Bayu sebagaimana foto di atas adalah laluan masuk manakala di bawahnya di hujung pantai, dapat disaksikan keadaan lengang pada hari-hari biasa. Menurut salah seorang penjaja makanan dan minuman ringan yang ditemui Penulis di laluan pantai terbabit berkata, pada hari-hari biasa keadaan Pantai Bisikan Bayu memang lengang berbanding dengan cuti hari mingguan seperti hari Jumaat, Sabtu, cuti am dan cuti persekolahan. Berhubung dengan hal ini, sepatutnya pihak yang bertanggungjawab seperti Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan wakil rakyat sama-sama turun padang untuk mencorakkan aktiviti dan menghidupkan suasana pantai yang kini seperti "indah khabar dari rupa", berbelanja besar tetapi semakin tidak diperlukan mengakibatkan pengunjung semakin melupakan pantai ini walaupun pada hakikatnya pada masa dulu, apabila dikatakan Pantai Bisikan Bayu menjadi tempat aktiviti utama seperti pertemuan penulis dan penyair seluruh Kelantan dan luar Kelantan, agensi kerajaan dan sekolah. Tetapi kini, sepi tanpa berita.


Wajah Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan yang agak lengang pada hari-haru biasa.

Masalah najis lembu juga tidak dapat dibendung dan hal ini dapat anda lihat apabila menjejakkan kaki ke hujung Pantai Bisikan Bayu. Najis lembu itu pula betul-betul dapat dilihat di hadapan batu asas pantai berkenaan. Timbulnya masalah ini disebabkan sikap tidak cakna ketiga-tiga golongan tadi seperti Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan wakil rakyat. Hal lain boleh mereka berikan perhatian, tetapi tentang prasarana seumpama ini mereka membiarkannya begitu sahaja, sedangkan nikmat air, udara, tanah dan keindahan alam ini adalah dari Allah S.W.T  untuk manusia urus dan tadbir dengan baik dan sempurna. Tetapi itulah hakikatnya, manusia itu sebenarnya rakus dan tidak sedarkan diri dengan membiakan nikmat alam sekitar yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T  itu disia-siakan. 

Najis lembu berhampiran tugu (batu asas) Pantai Bisikan Bayu.

Sementara itu, batu asas (gambar ini) yang tercegat kukuh berhampiran laluan yang dibina di Pantai Bisikan Bayu didapati info yang dipaparkan pada batu asas berkenaan tidak begitu lengkap dan meluas sebagaimana yang sepatutnya, seolah-olah Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan wakil rakyatnya tidak mengetahui tentang sejarah pantai ini. Diminta pihak-pihak berkenaan sentiasa cakna dan memberikan perhatian terhadapnya.

Info sejarah yang diukir di tugu (batu asas) ini tidak begitu lengkap

Foto ini dirakam di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan pada 24.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  KECURIAN motosikal sering berlaku akibat kecuaian pemiliknya dengan meletakkan motosikal mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa berkunci. Lihatlah dalam foto ini, pemilik premis (kedai) memasang notis amaran "Awas! Kawasan Curi Motor", tetapi sikap tidak cakna pemiliknya, motosikal masih diletakkan di tempat larangan.


Foto ini dirakam di sebuah premis di Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 24.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  LAZIMNYA, hanya di pusat bandar Kota Bharu seperti di Jalan Doktor sahaja yang sentiasa sibuk dengan kenderaan yang bersimpang-siur, malah pemilik kenderaan parkir kenderaan mereka sesuka hati. Tetapi di Lorong Merican yang bersetentang dengan Jalan Telipot juga, pemilik kenderaan mengambil jalan mudah meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan (bukan di bahu jalan) sehingga mengganggu lalu lintas jalan. Pemilik kenderaan ini pula meninggalkan kenderaan mereka dengan senang hati untuk "menjamu selera" di sebuah restoran berdekatan. Sikap mereka sebenarnya amat menyusahkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Diminta pihak penguatkuasa MPKB-BRI dan polis memantau perkembangan ini di Lorong Merican terbabit.


Foto ini dirakam di Lorong Merican bersetentang dengan Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan pada 24.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
BACHOK, KELANTAN

BACHOK, KELANTAN:  BATU asas ataupun dikenali juga sebagai "tugu" adalah info awal tentang sejarah sesuatu tempat itu. Peranan tugu ini menggambarkan tentang wujudnya sesuatu yang agak tersohor pada masa dulu. Jikalau pengunjung tidak mengetahui tentang latar belakang sesuatu tempat itu, mereka boleh merujuknya kepada batu asas atau tugu itu. Tetapi bagaimana pula jika info yang dipaparkan pada tugu itu ala kadar atau tidak begitu lengkap. Dalam hal ini, peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan kerajaan negeri sepatutnya memainkan peranan yang sama penting.



Foto tugu atau batu asas tentang Bukit Marak ini dirakam di sebatang lorong di Kampung Bukit Marak, Bachok, Kelantan pada 21.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

KOTA BHARU, KELANTAN 

KOTA BHARU, KELANTAN:  SEBELUM ini, sebuah kawasan "penutup longkang" di Jalan Doktor dekat sini telah dijadikan tempat "parkir motosikal". Tetapi, pada 8.10.2012 yang lalu tempat parkir berkenaan telah ditukar status menjadi "lorong pejalan kaki" di mana "benteng" yang memisahkan dengan bahu jalan telah dibina di atas penutup longkang terbabit. Namun, dalam masa 10 hari didapati benteng berkenaan telah dirombak atau diubah dan telah dijarakkan sehingga mencecah bahu jalan. Kenapa hal ini berlaku? Adakah tiada perancangan awal supaya kerja-kerja tidak dilakukan dua atau tiga kali yang tentunya merugikan?

Inilah tempat parkir motosikal (anak panah) di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan. Foto ini dirakam pada 14.4.2011.

Di tempat yang sama, tempat parkir motosikal telah ditukar status menjadi "lorong pejalan kaki". Benteng pemisah dengan bahu jalan telah dibina di atas "penutup longkang". Foto ini dirakam pada 8.10.2012.

Dalam masa 10 hari sahaja, benteng pemisah untuk "lorong pejalan kaki" telah dirombak dan dijarakkan sehingga mencecah bahu jalan? Foto ini dirakam pada 18.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
 KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  SETIAP kali pengubahsuaian di bangunan-bangunan tinggi, hal utama yang perlu diberikan perhatian ialah soal "nyawa". Kontraktor terbabit wajar mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan dengan memberikan penekanan utama terhadap pekerja-pekerja mereka ialah soal "keselamatan" ketika melakukan kerja di tempat-tempat tinggi dengan menyediakan peralatan keselamatan seperti tali, topi  keselamatan dan sebagainya. Namun, melihatkan keadaan pekerja dalam foto di bawah ini, pekerja terbabit amat jelas terdedah kepada bahaya jika terjatuh.

Foto ini dirakam di sebuah bangunan Tabung Haji di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 16.10.2012.



Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  RESIPI "Nasi Goreng Pattaya" dilaporkan dibawa masuk dari Thailand ke Kelantan. Penulis amat kerap kali menikmati nasi goreng sedemikian di mana nasinya dibungkus dengan telur di bahagian luarnya. Pengalaman Penulis yang pernah menikmati nasi ini beberapa kali mendapati lauk (ayam yang digoreng) tidak bertulang dan sepatutnya tidak bertulang kerana yang memakannya tidak mengetahui adakah daging ayam saja yang dibungkus dengan telur itu. Jika daging ayam saja, tukang masak itu memang pandai, telus dan tulus. Tetapi jika dibungkus bersama tulang, tukang masak berkenaan tidak profesional, kerana telah menyusahkan pelanggan yang menyebabkan tergigit tulang ayam itu. Jika tulang itu tersedak, bagaimana halnya? Justeru, pengusaha restoran kena pantau tukang masak mereka.

Foto ini dirakam di sebuah restoran masakan panas di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan pada 26.9.2012.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
 KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  ORANG-ORANG tua zaman dahulu sering berpesan, jangan minum air sambil berjalan atau berdiri. Tetapi di zaman moden ini, amalan baik seperti itu tiada lagi. Bukan sahaja remaja hari ini tidak sabar untuk duduk tetapi lebih suka meminum air sambil berjalan, ada yang minum sambil baring, meniarap, sambil mencangkung dalam tandas dan sebagainya. Sikap yang ditunjukkan oleh gadis remaja dalam foto ini tidak wajar dijadikan contoh ikutan kerana minum sambil berjalan. Kalau dia seorang perempuan, wajarlah dirinya sabar dengan meminum air sambil duduk, kan itu lebih terhormat dan tertib sebagai seorang gadis Melayu, gadis Timur yang beragama Islam yang kaya dengan adat dan adab. Minum air pun memperolehi keberkatan kalau diamalkan secara terhormat dan penuh sopan-santun.

Foto ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 9.9.2012.



Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN: SEPATUTNYA haiwan perumah seperti kucing tidak wajar mendekati makanan apatah lagi kucing kurap. Sikap pengusaha sebuah restoran di Kubang Kerian dekat sini yang membiarkan kucing terbabit melahap dan menghabiskan sisa makanan di atas meja berkenaan menunjukkan pengusaha terbabit cuai dan tidak prihatin dengan perhatian umum.


Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit di sebuah restoran di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 12.7.2012 jam 11.22 malam.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 11 Julai 2012

Misteri Gadis Baju Kebaya


MISTERI GADIS BAJU KEBAYA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  MAKHLUK halus ada di mana-mana, itu suatu hal yang tidak boleh disangkal lagi. Di mana ada pesta keramaian, tempat sunyi, tanah perkuburan, pasar, masjid dan rumah di situlah menjadi tumpuan makhluk ghaib seperti jin yang menjelma dalam pelbagai rupa seperti manusia, haiwan dan sebagainya mengikut kategori makhluk tersebut. Disebabkan manusia berkongsi alam dengan mereka, maka mereka juga bebas sebagaimana yang dilakukan oleh manusia malah beranak-pinak serta bekerja mencari nafkah. Apatah lagi, jika sesuatu kejadian yang dikatakan tidak masuk akal atau dianggap "mustahil" itu berlaku itu di waktu malam. Ini kerana, selepas Maghrib adalah waktunya untuk makhluk ghaib itu keluar mencari makan dan bekerja. Apabila manusia terserempak dengan mereka, manusia pasti akan dapat melihatnya dan kadang-kadang dapat dirakam pula melalui kamera atau telefon bimbit berkamera.

Hal berkenaan bukannya cerita karut atau dianggap dongeng. Ini kerana, telah agak banyak bukti individu yang terserempak dengan makhluk ghaib yang dikenali sebagai "makhluk halus", kesemuanya berlaku selepas waktu Maghrib, kerana pada masa berkenaan adalah permulaan waktu di alamnya. Apabila makhluk berkenaan bergerak dan menjelma di alam manusia, manusia tertentu akan dapat melihatnya kerana alamnya dengan manusia berjarak tiga saat perjalanan sahaja iaitu paling hampir antara satu sama lain.

Kejadian bertembung dengan makhluk halus ketika awal Maghrib sering kita dengar sehingga menjelang pagi, sebelum waktu Subuh menyingsing. Begitulah halnya dengan pengalaman yang dialami oleh seorang mekanik motosikal, Mohd. Ikhwan Razali, 26, atau lebih dikenali sebagai Iwan dari Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, Kelantan ketika ditemui Penulis pada 10.7.2012.

Katanya, pada 11 Jun, 2012 yang lalu beliau bersama dua adiknya ingin menjamu selera di Restoran Mee Pak San dengan hasrat ingin merasa keenakan meenya yang dikatakan menyelerakan yang terletak di tepi laluan utama Kota Kubang Labu, Wakaf Baharu itu. Apabila sampai di restoran tersebut, beliau mendapatkan sebuah meja makan di bahagian dalam restoran berkenaan lalu menempah makanan yang dihajatkan dengan niat untuk menikmati keenakan mee di restoran terbabit.

Sementara menunggu makanan siap dimasak, salah seorang adiknya cuba merakam foto adiknya yang kedua di meja makan itu menggunakan telefon bimbit berkamera jenama Samsung GT-S5830 sekadar suka-suka sahaja. Ketika foto berkenaan dirakam jam menunjukkan 10.07 malam, beliau menyemaknya untuk melihat tentang status foto tersebut sama ada berkualiti atau kabur, maklumlah merakamnya di malam hari. Apabila terlihat sekeping foto tersebut, beliau agak terkejut kerana kelihatan objek asing yang agak jelas seperti seorang gadis separuh badan yang lengkap berbaju kebaya putih diikuti wajahnya yang agak kusam amat jelas kelihatan di sebelah kanan muka adiknya.

"Salah seorang adik saya yang merakam foto itu memang mengetahui kemunculan objek tersebut adalah makhluk halus. Namun, adik saya yang seorang lagi yang dijadikan sebagai model itu meracau dan menjadi tidak keruan setelah melihat objek makhluk lain tertera di sebelah kanan kepalanya pada malam itu.

"Apabila pulang ke rumah selepas menikmati mee di restoran itu menyebabkan perasaan adik saya tidak tenang seperti kerasukan. Menyedari masalah mangsa, terpaksalah adik saya dipulihkan melalui khidmat pengamal rawatan tradisional. Kini keadaannya telah pulih seperti sedia kala", ujar Iwan.

Apabila diminta komen tentang perasaannya setelah melihat foto tersebut, beliau sendiri berasa gementar kerana tidak pernah mengalaminya apatah lagi melihat makhluk lain yang kelihatannya agak jelas batang tubuh seperti itu apatah lagi dapat dirakam dengan telefon bimbit pula.

"Selepas itu, kami berpindah pula ke meja di bahagian luar restoran kerana bimbangkan kejadian awal berulang buat kali kedua secara realiti", katanya.

Ketika ditanya, kenapa kejadian itu berlaku di kawasan itu, beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan tentangnya. Namun, setahunya pada masa dulu Kota Kubang Labu merupakan sebuah kota dan Istana Raja Jembal yang agak tersohor dalam Sejarah Kesultanan Raja Jembal di Kelantan. Kawasan berkenaan dikatakan agak keras dan panas dan beberapa kes nahas jalan raya yang agak mengerikan pernah berlaku di kawasan terbabit walaupun kejadian pembunuhan ngeri dalam sejarah lampau telah bertahun lamanya berlalu.

Menurutnya, selepas kejadian itu foto dari rakaman yang disimpan utuh cuba diperlihatkan kepada rakan-rakannya untuk melihat reaksi mereka pula. Disebabkan itu, ada di kalangan rakan-rakannya yang enggan melihatnya kerana berasa takut dan seram disebabkan tidak pernah melihat makhluk halus sebagaimana yang sering diperkatakan oleh orang-orang tua selama ini.

Mohd. Ikhwan Razali atau Iwan, 26 Tahun.

Iwan ketika ditemubual Penulis di sebuah warung makanan berhampiran kedai mekaniknya.

Di restoran inilah tempat kejadian, yang dimaksudkan oleh Iwan.

Makhluk halus, gadis kebaya putih (dalam bulatan) muncul dalam telefon bimbitnya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH