RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 30 Oktober 2012

Misteri Nahas Van


MISTERI NAHAS VAN

PASIR MAS, KELANTANTUGAS makhluk halus memang suka menimbulkan masalah, menyebabkan minda dan perasaan manusia sentiasa dalam kecelaruan malah akan berfikir kepada sesuatu yang dianggap tidak masuk akal. Kadang-kadang mangsanya akan merasai seperti dalam khayalan, terawang-awang seperti bermimpi, tidak sedarkan diri walaupun semua itu adalah suatu realiti. Dengan cara yang sedemikian, manusia pastinya tidak akan menyedari, setelah berlaku sesuatu yang tidak diduga, barulah manusia mula menyesal setelah menyedari kejadian yang dialami.

Itulah suatu pengalaman yang ingin dikongsi oleh seorang warga emas, Ismail bin Che Sulaiman, 59, atau lebih dikenali sebagai Abang Wail dari Kampung Chekok, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

Katanya, kejadian yang dialaminya berlaku pada tahun 1997. Pada suatu malam Ahad, beliau bersama salah seorang jiran sebelah rumahnya yang hanya dikenali sebagai Abang Mat ingin menyiapkan sebuah pondok untuk kegunaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Tujuan dibina pondok berkenaan disebabkan institusi berkenaan akan mengadakan mesyuarat sebagaimana yang dijadualkan. Beliau dengan rakannya itu perlu menyiapkannya dengan kadar yang segera.

Menurutnya, kerja tersebut diteruskannya bersama Abang Mat sehingga mencecah waktu pagi dan apabila jam 2.30 pagi, beliau pulang ke rumah. Namun, beliau tidak dapat melelapkan mata kerana giginya pula meragam, sakitnya bukan kepalang. Pada pagi Ahad esoknya, beliau bermenung seorang diri bagaimana untuk menyelesaikan masalah giginya yang sakit itu.

Disebabkan sakit yang amat sangat, beliau mengambil keputusan drastik untuk meminta bantuan seorang pengamal rawatan gigi secara tradisional dikenali sebagai Pak Nik Soh dari Kampung Padang Hangus, yang hanya terletak beberapa kilometer sahaja dari kediamannya itu. Dengan itu, pada pukul 7.30 pagi beliau mencapai motosikalnya lalu bergegas ke kebunnya terlebih dahulu untuk melihat keadaan kebun pisangnya dan dalam perjalanan pulang dari kebun pisangnya, beliau sempat singgah di rumah seorang pengamal rawatan gigi secara tradisional yang dimaksudkan.

Pak Nik Soh yang melihat kelibat Abang Wail juga agak hairan kerana pagi-pagi lagi Abang Wail sudah bertandang ke rumahnya. Kata Abang Wail, beliau berhasrat untuk mencabut giginya kerana terlalu sakit. Mengetahui tentang masalah yang dihadapi Abang Wail, Pak Nik Soh lantas membuat suntikan gusi bagi mengelakkan Abang Wail berasa sakit apabila giginya dicabut kelak.

Terkejut juga Abang Wail, beliau meminta dicabut giginya yang sakit, sebaliknya Pak Nik Soh mencabut giginya yang masih sihat. Jadi, akibat kempunan berikutan giginya yang sakit itu tidak dapat dicabut pada hari itu, beliau diminta untuk datang mencabutnya pada hari yang lain, lalu beliau pun beredar dari rumah Pak Nik Soh.

Setiba di rumahnya, jam masih belum menunjukkan jam 9.30 pagi, lalu beliau menyambung projek untuk menyiapkan pondok AIM yang tertangguh sejak semalam. Kira-kira jam 10.00 pagi beliau ke tempat kerjanya seperti biasa di Kampung Paloh, Tanah Merah sambil menunggang motosikalnya. Setibanya di Kampung Paloh, beliau mendapatkan sebuah kenderaan "van" milik majikannya untuk tujuan membawa dan mengangkut karpet dari rumah kakaknya di Bukit Panau, Tanah Merah kerana pada hari Isnin berikutnya beliau berhasrat untuk mengadakan kenduri "pertunangan" anaknya di rumahnya.

Ketika beliau memandu van dari rumah kakaknya di Bukit Panau dengan membawa pulang karpet kira-kira jam 12.00 tengah hari dengan melalui jalan utama Tanah Merah - Pasir Mas. Dalam perjalanan dari Bukit Panau itu lagi beliau memandu vannya itu dalam keadaan seperti tidak sedarkan diri (seperti dalam khayalan dan terawang-awang di udara). Sebabnya, ketika berselisih dengan salah seorang pelajar UiTM di Kampung Kubang Keli, beliau sememangnya mendengar pelajar tersebut membunyikan hon kenderaannya berulang kali terhadapnya, tetapi beliau tidak membunyikan hon van seperti yang lazim dilakukan oleh sesetengah pemandu sebagai komunikasi dua hala terhadap pelajar tersebut kerana beliau dalam keadaan sesuatu yang tidak dapat digambarkan ketika itu.

Namun, beliau meneruskan pemanduannya lalu berselisih pula dengan seorang petani dan petani terbabit juga turut membunyikan hon motosikal terhadapnya. Tetapi beliau tidak membalasnya juga. Selepas itu, beliau melalui hadapan rumah Abang Lah, seorang rakannya dari kampung yang sama. Ketika itu beliau tidak sedar tentang kejadian melalui hadapan rumah rakannya itu, dengan tiba-tiba van yang dipandunya merempuh sesuatu yang agak keras dan kasar. Setelah nahas itu, barulah beliau sedar dari khayalannya bahawa vannya telah merempuh sebuah rumah orang lain di tempat kejadian. Beliau tidak dapat memaklumkan, apakah objek yang telah dilanggarnya untuk menunjukkan ketika beliau sedang memandu itu seperti dikuasai oleh sesuatu kuasa ghaib sehinggakan beliau berkeadaan begitu.

Apabila ditanya, hakikat kejadian yang dialaminya disebabkan gangguan makhluk halus yang sedang mengekori van yang dipandunya. Katanya, beliau tidak menafikannya dan kemungkinan itu ada, jika tidak beliau pastinya akan menekan hon kepada pelajar UiTM yang pernah berselisih  dengannya di Kampung Kubang Keli itu termasuklah juga dengan seorang petani yang juga agak hairan dengan sikap Abang Wail pada hari itu.

"Pakcik pun tidak sedar masa pakcik melalui hadapan rumah kawan pakcik yang dikenali sebagai Abang Lah itu. Setelah pakcik merempuh objek keras dan kasar itulah pakcik mula menyedarinya.

"Pakcik mendengar orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian. Mereka tanya pakcik, tetapi pakcik tidak dapat jelaskannya kerana masih dalam keadaan mamai ketika itu. Setelah dilihat, rupa-rupanya bukan rumah saja yang pakcik langgar, tetapi sebuah kenderaan Econovan juga rosak dirempuh van pakcik sehingga pakcik terbabas lalu merempuh rumah itu pula", katanya.

Tambah Abang Wail, pengalaman seumpama itu bukan dia seorang saja yang mengalaminya, namun setakat ini beberapa kes pemandu kenderaan yang melalui laluan di hadapan kubur berkenaan akan mengalami nasib yang sama sepertinya apabila didapati ada satu lembaga sedang melintas di hadapan kenderaan yang sedang dipandu.

Justeru menurutnya, sebelum kejadian yang dialaminya banyak kejadian yang seumpamanya didapati dua pemandu kenderaan menemui ajal di tempat kejadian dan empat mangsa yang lain dalam keadaan selamat walaupun mengalami kecederaan ketika melintasi hadapan kubur terbabit. Setakat ini menurut Abang Wail, kejadian nahas ketika melalui hadapan tanah perkuburan yang dimaksudkan sebanyak enam kes.

Ismail bin Che Sulaiman atau Abang Wail.

Abang Wail ketika diwawancara Wartawan RELATIF.


Inilah laluan utama Pasir Mas - Tanah Merah. Makhluk halus sering melintasi laluan ini walaupun di siang hari.


Berhati-hati, lembaga makhluk halus kadang-kadang melintasi kenderaan yang dipandu dari arah kubur ini menyebabkan van yang dipandu Abang Wail dan kenderaan lain terbabas.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 20 Oktober 2012

Usahawan Kuda


USAHAWAN KUDA

TUMPAT, KELANTAN:  HOBI memelihara kuda dan melakukan aktiviti yang bersabit dengannya bukan sahaja memberikan banyak manfaatnya kepada diri sendiri, namun selebihnya juga dapat dimanfaatkan oleh orang lain dalam konteks pelbagai sudut. Selain individu yang mengusahakannya bergelar "usahawan kuda" tetapi juga ilmu yang dimiliki tentangnya boleh dikongsi bersama dengan orang lain dan dalam masa yang sama, akan mewujudkan aktiviti yang berfaedah untuk dinikmati oleh orang lain pula.

Seorang pemilik dan pengusaha kuda yang layak digelarkan usahawan muda, Anas bin Ariffin, 19, atau lebih dikenali sebagai Anas dari Kampung Paloh, Palekbang, Tumpat, Kelantan berkata, beliau mengusahakan ternakan kuda ini pada awal tahun 2004 bersama bapanya. Beliau yang telah dilabelkan sebagai "usahawan kuda" berbuat demikian kerana didorong oleh minat yang begitu mendalam selain dapat menjadikan haiwan berkenaan sebagai haiwan tunggangan yang terbaik untuk golongan muda dewasa ini.

"Minat utama saya ialah menunggang kuda. Ini kerana, orang suka menunggang kuda kesihatannya akan lebih terjamin, apabila urat dan saraf manusia seperti dirawat secara tidak langsung", ujarnya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya.

Katanya, kebanyakan kuda yang diternaknya itu dibeli oleh bapanya dari Kuala Terengganu dan tentang harga menurutnya agak tidak menentu. Misalnya "kuda padi" boleh dibeli dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 seekor. Manakala jika kuda baik dengan harga RM8,000 hingga RM11,000 pun ada. Lazimnya, kuda yang baik ini beliau akan membuat kacukan untuk mendapatkan generasi baka yang baik juga.

Di antara kuda baik yang dimaksudkannya selain kuda padi terdiri dari kuda Arab, Angelo dan Telebrate. Kuda padi lazimnya diperolehi dalam negara kita. Misalnya kuda Angelo adalah sejenis kuda kacukan dari Arab dengan baka lain.

"Lazimnya, kuda yang boleh ditunggang apabila mencecah usia tiga tahun kerana dalam usia berkenaan tahap ketahanan dan kecergasan kuda agak minimum. Manakala untuk kuda racing dalam usia antara 5 hingga 6 tahun", ujarnya.

Dalam pada itu menurut Anas, sesetengah pemilik kuda gemar memasang ladam di kaki kuda untuk menjadikan kaki kuda agak kuat selain sebagai alat keselamatan kaki haiwan tersebut. Namun bagi beliau, pilihan adalah di tangan pemilik dan pengusaha kuda itu sendiri. Ini kerana, sepanjang penglibatan beliau dalam ternakan kuda beliau tidak pernah memasang ladam untuk kudanya setiap kali membawa kuda berkenaan memasuki pertandingan atau bersiar-siar di luar kandang.

Menurut Anas lagi, kuda yang diternak dan dilatihnya itu hanya khusus untuk pertandingan dan perlumbaan peringkat Negeri Kelantan sahaja. Biasanya kuda jenis ini tahap kelajuan haiwan berkenaan mencecah 60 kuasa kuda sahaja.

Tambahnya, amalan yang sering dilakukannya untuk memberi makanan kepada kuda-kuda yang diternaknya hanya dua kali sehari iaitu di sebelah pagi dan malam. Di antara jenis makanan kuda seperti salad kuda, rumput segar (seperti rumput lembu). Namun, terdapat makanan kuda yang sering diberikan oleh kebanyakan penternak kuda dikenali sebagai makanan racing di mana harganya melebihi RM200 (bagi tiga kilo). Perbelanjaan makanan kuda (khusus untuk seekor kuda) hanya sebanyak RM10 sehari sahaja.

Bercerita tentang pertandingan yang pernah dihadirinya, kuda-kuda beliau pernah memasuki pertandingan yang diadakan di Kota Bharu seperti di Jalan Padang Tembak (Pengkalan Chepa), Pasir Hor (Kota Bharu) dan di Pasir Puteh. Katanya, kuda yang diternak dan dilatihnya itu pernah berentap dan menyandang "juara" beberapa kali setiap kali memasuki pertandingan lumba kuda dan setakat ini telah menyandang juara sebanyak lima kali.

"Di antara kategori kuda yang dibolehkan memasuki sesuatu pertandingan seperti kuda padi dari kategori A, B, C, D dan kacukan Kelantan. Manakala kuda dari kategori A lazim digunakan dalam setiap pertandingan kerana kuda berkenaan memang khusus untuk tujuan itu", ujarnya.

Bercakap tentang penyakit yang dihidapi kuda, menurutnya kuda juga seperti haiwan ternakan lain seperti lembu juga menghidap penyakit. Menurutnya, apabila kuda dihinggapi penyakit terpaksalah pihaknya mendapatkan khidmat seorang doktor haiwan dan Doktor Jaafar adalah seorang doktor haiwan yang agak disegani di Palekbang. Katanya, rawatan yang diberikan terhadap kuda dibuat apabila melihat kuda-kuda terbabit mengalami masalah kesihatan, terpaksalah doktor haiwan dipanggil dengan segera. Manakala ubat kecacingan diberikan dalam tempoh enam bulan sekali, ini termasuklah vitamin untuk kuda.

Manakala kuda yang mengalami masalah kesihatan dapat dikesan secara fizikal seperti keadaan kuda yang murung. Tetapi jika kuda berkenaan menunjukkan lebih daripada stamina dan semakin galak untuk menunjukkan kuda-kuda berkenaan dalam keadaan sihat dan cergas, malah lazimnya kuda-kuda berkenaan paling sukar untuk dipegang talinya.

"Kuda juga boleh dimakan sebagai "penawar kesihatan". Lazimnya, kuda yang mengalami masalah kesihatan sahaja yang disembelih untuk dimakan", katanya.

Sambungnya, najis kuda memang berbeza dengan najis lembu. Najis kuda tidak berbau busuk tetapi najis lembu bukan sahaja agak busuk, mengotorkan persekitaran tetapi amat bahaya kepada pernafasan manusia. Najis kuda memang senang dibuang kerana rupanya yang seakan dengan warna tanah, malah pernah juga dijadikan sebagai baja. Biasanya, najis kuda dicampur dengan habuk kayu untuk tujuan itu.

Katanya, bagi penunggang yang belum pernah naik kuda, salah seorang penjaga kuda perlu memegang kuda berkenaan untuk mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak diingini, apabila kuda tersebut terkejut dengan kehadiran seseorang yang tidak mahir dengan keadaan kuda.

"Kuda memang kenal dengan penjaga atau tuannya melalui "suaranya" yang girang. Apabila kuda itu mengenali seseorang, kuda akan mengeluarkan suara gembira sebagai tanda haiwan berkenaan menerima kedatangan orang terbabit.

"Lazimnya, untuk menjadikan kuda mengenali penjaga dan tuannya, tuannya itu perlu sentiasa berada di samping kudanya dalam tempoh masa tiga jam sahaja pun dianggap sudah memadai.

"Biasa terjadi, kuda amat takut terhadap orang yang tidak dikenali yang cuba mendekatinya, kuda berkenaan akan bertindak berlari dengan mengejut dan pantas. Apabila orang yang tidak dikenali itu cuba menyentuh dan menaiki kuda, kuda berkenaan akan melambung-lambungkan mangsanya supaya jatuh sebagai amaran untuk tidak menyentuh kuda tersebut", tambah Anas lagi.

Sementara itu menurut seorang peminat kuda, Mohd. Tarmizi bin Abdul Rahman, 33, atau lebih dikenali sebagai Megat dari kampung yang sama berkata, beliau merupakan seorang peminat tegar kuda. Selepas waktu kerja dan apabila mempunyai ruang masa, beliau akan ke rumah Anas untuk cuba menunggang kuda yang menjadi kegemarannya sejak dulu.

"Saya berminat dengan kuda sejak dari zaman kanak-kanak, namun disebabkan ketika itu kuda belum ada lagi, minat saya sekadar tinggal minat saja", katanya.

Menurutnya, semenjak sering ke rumah Anas kerana tinggal di kampung yang sama, beliau pernah beberapa kali menunggang kuda berkenaan. Ketika ditanya tentang perasaannya dapat menunggang kuda tersebut, beliau agak begitu seronok dan senang hati kerana dapat menunggang haiwan berkenaan. Kalau diharapkan untuk memilikinya sendiri, beliau tidak mampu berbuat demikian.

Tambahnya, bagi setiap penunggang baru akan merasai pengalaman seperti mudah terjatuh kerana belum biasa duduk di atas belakang kuda. Apatah lagi, sesetengah kuda terutamanya bagi kuda yang baru diajar, pasti akan terkejut kerana merasai sesuatu yang belum pernah dialami oleh kuda tersebut.

"Kuda mempunyai keistimewaan dan menjadi penawar untuk beberapa jenis penyakit yang dialami oleh manusia seperti dapat merawat uluran terutamanya uluran angin, urat saraf dan sebagainya. Jadi, bagi sesiapa yang berharap kepada kesihatan yang baik, cuba-cubalah menunggang kuda, pasti akan mendapat jawapannya", jelasnya.

Beliau juga berharap kepada golongan muda yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan supaya berjinak-jinak dengan aktiviti berkuda, kerana selain memperolehi pengalaman baru, paling utamanya ialah kita akan dapat mengetahui tentang dunia haiwan dan dapat menyemai sifat sayangkan haiwan sebagai rakan akrab yang saling memerlukan.

Anas bin Ariffin boleh dihubungi di talian:
014-8210811


Anas bin Ariffin atau Anas.

Anas ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Peminat tegar kuda, Mohd. Tarmizi bin Abdul Rahman atau Megat.


Penulis cuba untuk menunggang kuda.



Beberapa jenis kuda.

Penjaga kuda.

Seekor kuda ditempatkan untuk sebuah kandang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 11 Oktober 2012

Khasiat Halia dan Kesom


KHASIAT HALIA DAN KESOM

NEGARA kita memang kaya dengan kesuburan tanah-tanihnya sehinggakan darinya tumbuh pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan menghijau yang beraneka jenis untuk kegunaan dan keperluan manusia sendiri. Di antara pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan itu, sesuatu yang berharga darinya ialah tumbuh-tumbuhan bernilai perubatan yang dikenali sebagai "tumbuh-tumbuhan herba".

Tumbuh-tumbuhan herba ini pula banyak digunakan oleh nenek moyang kita di masa lampau. Ia tidak terbatas untuk digunakan sebagai bahan perisa asli dalam masakan, tetapi hakikatnya tumbuh-tumbuhan herba mempunyai keistimewaan malah menampung banyak khasiat yang tersendiri di samping mempunyai nilai perubatan untuk kesihatan tubuh badan manusia yang amat ketara.

Ia dikatakan berperanan untuk merawat dan meredakan pelbagai jenis penyakit sebagai asas penjagaan kesihatan walaupun dalam banyak hal masyarakat hari ini kurang menyedari tentang peranannya. Dua contoh tumbuh-tumbuhan herba tersebut ialah "Halia" dan "Kesom".

Halia

Orang-orang Melayu mempercayai bahawa Halia atau nama saintifiknya "Zingiber officinale" adalah tergolong dalam kategori ubat-ubatan tradisional Melayu yang sememangnya menampung banyak khasiat tersendiri serta dapat membantu dalam menyembuh dan meredakan penyakit-penyakit berikut:

1. Membantu untuk menghadam makanan.
2. Melembutkan perut dengan kelembutan yang sederhana.
3. Mengawal hati supaya tidak sejuk dan basah.
4. Membantu menguatkan tenaga batin dan menambahkan air mani.
5. Membuang angin yang terdapat dalam usus kecil dan usus besar.
6. Membuang kahak dan lendir yang melekat di bahagian halkum.
7. Menghilangkan bau busuk mulut.
8. Menghilangkan kadar kesejukan yang terdapat pada makanan, buah-buahan atau sayur-sayuran apabila sudah dimakan atau diminum.
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan)

Selain dari itu, halia juga dipercayai dapat menyelesaikan masalah pening kepala, mabuk, demam panas serta mencegah kelahiran.

Halia amat kaya dengan kandungan Kalium (125 mg), Fosforus (63 mg), Kalsium (17 mg) dan Tenaga (52 kcal).

Kesom

Sejenis rumpai herba yang sering digunakan sebagai perencah dan perisa dalam masakan orang-orang Melayu ialah "Kesom". Kesom atau nama saintifiknya "Polyonum minus" mempunyai keistimewaan tertentu terhadap kesihatan iaitu dapat membantu menyembuhkan mata kabur dan mencegah kesejukan atau supaya badan menjadi panas.

Dalam konteks khasiat pemakanan, kesom kaya dengan Beta Karoten (7433 mcg), Vitamin A (1239 mcg) serta Vitamin C (125.0 mg). Manakala bahan galiannya terdiri dari Kalium (308 mg), Kalsium (232 mg) di samping Fosforus dan Natrium (19 mg). Nilai tenaga dalam kesom amat tinggi iaitu 91 kcal dan hal ini amat sesuai dengan fungsinya terhadap kesihatan.

Berdasarkan kepada hakikat itulah, untuk memperolehi tubuh yang sentiasa sihat dan segar malahan kesihatan sentiasa terjamin dan bebas dari permasalahan penyakit, adalah lebih baik kita memakan makanan-makanan berkhasiat, asli dan segar sahaja.

Justeru itu, kandungan khasiat pemakanan di dalam tumbuh-tumbuhan herba umpamanya halia dan kesom adalah disarankan untuk kesihatan kerana juzuk pemakanan berkenaan tidak memerlukan resipi dan boleh dinikmati secara segar malah tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak sama ada dalam konteks rawatan atau ubat-ubatan moden. Malah kita juga jangan lupa, tumbuh-tumbuhan berkenaan mengandungi beberapa bahan yang boleh memusnahkan kuman dan bakteria di dalam badan yang kita sendiri tidak pernah menyedari tentang hubungannya dengan rawatan dan kesihatan.

Halia.

Kesom.

Nilai pemakanan dalam Halia dan Kesom.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Foto: Dulu & Kini

DULU DAN KINI
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Dulu & Kini" iaitu perbezaan suasana sebelumnya (dulu) dan kini (terbaru) yang dirakam di tempat dan kawasan yang sama
 Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

Dulu: Jalan Sultan Yahya Petra, Wakaf Siku ini sedang dalam pembinaan Jalan Bertingkat. Foto ini dirakam pada 4.11.2008.

Kini: Jalan Sultan Yahya Petra, Wakaf Siku ini dan Jalan Bertingkat hampir siap. Foto ini dirakam pada 11.10.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

Dulu: Jalan Bertingkat di Jalan Sultan Yahya Petra-Jalan Langgar, Wakaf Siku ini masih dalam pembinaan. Foto ini dirakam pada 21.4.2012.

Kini: Jalan Bertingkat yang menurun di Jalan Sultan Yahya Petra-Jalan Langgar, Wakaf Siku telah hampir siap. Foto ini dirakam pada 25.9.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN


Dulu: Jalan Telipot, Kota Bharu ini tidak mempunyai benteng penghadang jalan. Foto dirakam pada 1.5.2012.

Kini: Jalan Telipot, Kota Bharu ini telah dibina penghadang jalan untuk keselamatan pengguna jalan raya. Foto dirakam pada 29.9.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
 KOTA BHARU, KELANTAN


Dulu: Jalan Doktor adalah pusat bandar Kota Bharu menempatkan parkir motosikal. Foto ini dirakam pada 14.4.2011.

Kini: Jalan Doktor bertukar wajah dari tempat parkir motosikal ditukar menjadi "lorong pejalan kaki" pula. Foto ini dirakam pada 8.10.2012.

Terkini: Beberapa hari yang lalu, didapati "benteng" lorong pejalan kaki dibina di atas "penutup longkang". Namun, dalam masa 10 hari, benteng tersebut terpaksa dirombak kerana terlalu sempit lalu benteng berkenaan dijarakkan ke bahu jalan. Foto ini dirakam pada 18.10.2012.

Hari ini: Inilah wajah "lorong pejalan kaki" juga bertukar wajah apabila di bahagian tengahnya telah dibina kekotak longkang. Foto ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 8.11.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

Dulu: Laluan" Terminal Bas" ke Tesco di Kampung Sireh, Kota Bharu masih dalam pembinaan. Foto ini dirakam pada 17.5.2011.

Kini: Laluan "Terminal Bas" ke Tesco di Kampung Sireh, Kota Bharu telah siap dan telahpun digunakan. Foto ini dirakam di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu pada 11.10.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

Dulu: Laluan lampu trafik di Kampung Sireh ke Pasir Pekan agak sesak. Foto ini dirakam pada 7.3.2009.

Kini: Laluan Kampung Sireh-Pasir Pekan semakin selesa dengan pembinaan lampu isyarat dan Jalan Bertingkat. Foto ini dirakam pada 11.10.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
 JELI, KELANTAN

Dulu: Papan tanda "Sejarah Gunung Reng" ini agak uzur kerana telah dimamah usia, tulisannya juga telah padam dan sukar untuk dibaca. Foto ini dirakam di hadapan Gua Payong di Gunung Reng, Batu Melintang, Jeli, Kelantan pada 28.7.2007.

Kini: Papan tanda "Sejarah Gunung Reng" telah dibina baru. Foto ini dirakam di hadapan Gua Payong di Gunung Reng, Batu Melintang, Jeli, Kelantan pada 8.9.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
JELI, KELANTAN

Dulu: Gua Payong yang terletak di Gunung Reng ini masih dipenuhi hutan kerana tidak diberikan penjagaan. Foto ini dirakam di Gunung Reng, Batu Melintang, Jeli, Kelantan pada 28.7.2007.

Kini: Gua Payong yang terletak di Gunung Reng ini telah dibersihkan dari semak-samun. Foto ini dirakam di Gunung Reng, Batu Melintang, Jeli, Kelantan pada 8.9.2012.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 5 Oktober 2012

Misteri Rumah Pusaka


MISTERI RUMAH PUSAKA

KOTA BHARU, KELANTAN Amat jarang berlaku rumah pusaka mengusik. Namun, kejadian yang dialami oleh pemilik rumah pusaka berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Nik Zamri memang berlaku hampir setiap malam. Bahkan, lazimnya rumah yang didapati mengusik hanya berlaku apabila malam semakin larut mencecah waktu pagi, tetapi rumah pusaka yang terletak di Berek 12, Jalan Abdul Kadir Adabi dekat sini lain pula halnya. Asalkan malam menjelang, penghuninya pastinya akan mendengar pelbagai bunyi yang menakutkan. Salah satu bunyi yang agak lazim kedengaran semenjak keluarga berkenaan tinggal di situ ialah apabila bumbung rumahnya dipijak dan kadang-kadang seperti kedengaran suatu makhluk yang sedang berlari tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Bukan itu sahaja menurut Nik Zamri, makhluk halus itu bukan sahaja tidak puas hati dengan menjadikan bumbungnya sebagai padang bolasepak, pernah beberapa kali makhluk halus terbabit menjelmakan dirinya di ruang tamu dalam rumah, di cermin muka yang diletakkan di ruang tamu, kadang-kadang dalam bilik anaknya yang bongsu dan di bilik hujung anaknya yang sulung. Malah pernah berlaku jelmaan lembaga sedang bergayut di tempat (dapur) kakak iparnya sedang memasak kuih-muih untuk dijual kepada pelanggan.

Katanya, isterinya juga turut menjadi mangsa dijerkah oleh lembaga lelaki dengan suara yang kasar dan garau. Sebelum ini, isterinya seorang yang tidak ingin ambil pusing dengan hal gangguan tersebut, namun apabila dijerkah dengan suara garau itu menyebabkan isterinya juga berasa tidak sedap hati, apatah lagi dengan anak bongsunya yang semakin takut untuk tidur dalam bilik. Bukan itu sahaja, jika anak bongsunya berada di rumah seorang diri, gangguan berkenaan semakin bertambah.

Pernah berlaku menurut Nik Zamri, pocong menjelmakan dirinya di cermin yang diletakkan di ruang tamu rumahnya. Foto pocong yang berbungkus dengan kain putih itu sempat dirakam oleh anak bongsu Nik Zamri menggunakan telefon bimbitnya yang kemudiannya diberikan kepada Penulis.

Disebabkan tidak selesa dengan gangguan yang sedemikian, semenjak seminggu yang lalu beliau menghubungi skuad Skuad Ghostbusters di bawah Abjad Kelantan untuk tujuan memulihkan gangguan itu. Penulis yang merupakan salah seorang dalam skuad berkenaan bergegas ke rumah mangsa pada 2 Oktober, 2012 (malam) baru-baru ini. Namun, Skuad Ghostbusters memulakan operasi pada pagi 3 Oktober, 2012.

Ketika Skuad Ghostbusters melalui lorong di rumah keluarga berkenaan di Berek 12 itu, dari dalam kenderaan unit kami dapat merasakan bahang panas. Namun, unit kami tidak terus parkir di rumah berkenaan secara tergesa-gesa sebaliknya kami berpusing-pusing terlebih dahulu di sebuah selekoh yang terletak di hujung lorong tersebut. Selepas itu, barulah kami parkir kenderaan di tepi lorong bersebelahan rumah mangsa.

Apabila tiga anggota Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh (Penulis) serta Hafaizal Mat Ali keluar dari kenderaan lalu menuju ke tangga rumah mangsa, kami merasai bahang panas yang amat sangat. Setelah kami memberikan salah kepada tuan rumah, bahang panas tersebut semakin panas bahangnya.

Beberapa detik kemudiannya, kami meminta bahan-bahan sebagai salah satu kaedah yang akan digunakan untuk memulihkan dan menghindari gangguan makhluk halus yang semakin galak itu seperti garam. Kaedah yang kami gunakan pada malam itu ialah berdasarkan Warisan Pusaka Tok Kenali. Kaedah ini lazim Unit Ghostbusters gunakan dan dengan izin Allah, kejayaan sering berpihak kepada kami.

Selepas kaedah wirid, pandang Rabitah dan Wasilah yang kami gunakan, kami meneruskan operasi pada pagi 3 Oktober, 2012 itu dengan memagar empat penjuru rumah berkenaan supaya makhluk halus yang nakal itu terperangkap kerananya. Secara ringkasnya, Unit Ghostbusters kami mula beredar dari rumah pusaka yang bermisteri itu pada pukul 3.00 pagi.

Rencana ini adalah paparan dari aktiviti Skuad Ghostbusters di bawah Abjad Kelantan.


Kedua-dua lorong kawasan rumah mangsa ini diganggu bahang panas.



 Suasana rumah mangsa pada malam hari.

Kelihatan makhluk "orb" menghiasi malam di kawasan rumah mangsa.

Inilah lembaga (dalam bulatan merah) yang dapat dirakam Penulis menggunakan "infra-red".

Aura makhluk halus terserlah di ruang udara di atas bumbung rumah mangsa.

Inilah "pocong" yang menjelma di cermin rumah mangsa yang dirakam menggunakan telefon bimbit pada 21.8.2012 jam 6.52 petang. Foto sumbangan Nik Zamri.


Skuad Ghostbusters kami sedang melakukan kaedah awal.


Anggota Unit Ghostbusters, Hafaizal Mat Ali sedang menabur/melempar garam.


Aziz Haji Daud (Abang Aziz) mengambil giliran melakukan kaedah menabur garam ke tempat laluan makhluk halus.



 Kaedah menanam batu yang diisikan dengan wirid keempat penjuru rumah (pagar rumah).


Foto ini dirakam di Berek 12, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu, Kelantan pada 3.10.2012

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH