RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 3 Disember 2011

Misteri Wanita Kebaya Putih


MISTERI WANITA KEBAYA PUTIH

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  SEJAK kebelakangan ini, jelmaan makhluk halus yang menyerupai manusia seperti seorang wanita sering kali kita dengar. Akibat jelmaan itu bukan sahaja ditakuti segelintir individu manusia yang pernah melihatnya apatah lagi jika jelmaan itu menyebabkan berlakunya nahas jalan raya di kawasan terlibat. Dalam hal ini, sebagaimana misteri jelmaan wanita kebaya merah di Lebuh raya Utara-Selatan dekat Sungai Petani, Kedah baru-baru ini. Hal yang sama juga turut berlaku di Kampung Bukit, Wakaf Baharu, Kelantan. Kejadian yang berlaku tahun lalu itu menjadikan beberapa penduduk di kampung terbabit seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku, namun itulah hakikatnya.

Berdasarkan pengalaman Shahman, 23, dari Kampung Bukit, Wakaf Baharu dekat sini ketika menceritakan pengalamannya kepada Penulis bahawa, pada tahun 2008 ketika beliau pulang kerja, matanya terlihat sesusuk tubuh lembaga kelihatannya seperti manusia sedang berdiri di atas tempat saluran air di tengah-tengah sawah padi kira-kira pukul 2.00 pagi. Kelihatannya lembaga tersebut adalah wanita berkebaya putih seperti sedang memerhatikan ke arahnya. Namun, kerana tidak begitu jelas disebabkan pandangannya agak jauh dan kabur dengan suluhan cahaya lampu kenderaan yang dipandunya, dia tidak menghiraukan lembaga tersebut kerana hasrat utamanya supaya selamat sampai di rumah. Kejadian seumpama itu dialaminya bukan setakat itu sahaja kerana di tempat yang sama beliau terlihat makhluk itu buat kali kedua.

Tambahnya, selepas kejadian beliau melihat wanita kebaya putih buat kali pertama, namun kali kedua pula dia melihat di tempat yang sama apabila lembaga terbabit sedang berdiri di atas tempat saluran air di tengah-tengah sawah padi itu juga pada pukul 2.00 pagi. Namun bezanya kali ini, wanita kebaya putih itu dilihatnya sedang berjalan sambil membongkok. Dari dakwaan beberapa orang warga emas, kanak-kanak dan remaja tentang lembaga tersebut memang benar apatah lagi turut dialaminya sendiri.

"Ada lagi satu kejadian berlaku pada pukul 1.00 pagi apabila salah seorang remaja dari kampung ini yang terlihat sesusuk lembaga wanita di tengah-tengah sawah. Akibat terkejut dengan jelmaan lembaga itu menyebabkan motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terbalik di situ juga.

"Remaja tersebut terpaksa melarikan diri kerana beliau dikejar oleh lembaga itu dari belakang", ujar Shahman mengingatkan pengalaman seorang remaja dari kampungnya itu yang dikejar lembaga itu ketika pulang lewat pagi.

Katanya, setahunya kemunculan dan jelmaan wanita kebaya putih itu apabila tibanya larut malam sehingga pagi. Ini bermakna, apabila menjelang jam 12.00 malam hingga 3.00 pagi, akan bermulalah episod seolah-olah lembaga yang dimaksudkan keluar dari tempat kediamannya. Jadi, pengalaman beberapa remaja yang sering pulang lewat pagi melewati kawasan sawah padi itu pasti akan berasa seram dan seperti dihantui ketakutan oleh makhluk berkenaan. Namun, jelmaan itu tidak pernah muncul ketika waktu Maghrib mahupun jam 8.00 malam.

Apabila ditanya, adakah rumah yang didiaminya sekarang turut diganggu oleh lembaga wanita kebaya putih itu, beliau menafikannya. Sememangnya menurut Shahman, beliau sebenarnya sedih dengan tuduhan segelintir penduduk dalam kampungnya yang mendakwa rumah yang didudukinya kini juga dihuni dan diganggu makhluk berkenaan kerana dikatakan sering mundar-mandir di sebatang jalan yang menghubungkan di antara Kampung Bukit, Kampung Delima dan Bunut Susu di Pasir Mas itu.

Walaupun beliau sedia maklum, rumah yang didiaminya kini pada masa dulu memang sebuah kawasan berpaya malahan pernah didakwa, ada beberapa bomoh pernah membuang saka di kawasan terlibat selain terdapatnya sebuah kubur lama yang didakwa menyebabkan pelbagai jelmaan dan gangguan dari wanita kebaya putih dan kadang-kadang berbaju kurung merah itu. Namun, kejadian itu berlaku di tengah-tengah sawah pada dan amat mustahil wanita yang hakikatnya makhluk halus itu menjelma di perkarangan rumahnya.

"Setakat ini, saya tak pernah nampak jelmaan wanita kebaya putih berlegar di perkarangan rumah ini. Itu sekadar andaian penduduk kampung ini sahaja", tegasnya.

Sementara itu, menurut abangnya yang hanya ingin dikenali sebagai Ijak, 28, tidak kurang dengan ceritanya yang menarik. Katanya, semasa beliau singgah di kedai makan Zaki di kampungnya itu, salah seorang penduduk dari Kampung Tok Malik yang dikenali sebagai Pak Mud memberitahunya, pada pukul 2.00 pagi dari arah Kampung Bukit ke Kampung Delima di Wakaf Baharu beliau diberitahu bahawa Pak Mud telah terserempak dengan seorang wanita aneh berambut panjang setinggi dua meter sedang melalui jalan berhampiran sawah padi dengan berjalan kaki. Melihat bentuk fizikal wanita berkenaan dari belakang yang menurutnya amat cantik berbaju kurung warna merah, beliau memberhentikan motosikalnya seraya bertanya wanita aneh itu. Jadi, tanpa usul periksa status wanita tersebut, Pak Mud mempersilakannya menumpang motosikalnya. Tanpa mengeluarkan sepatah perkataan, wanita aneh itu pun membonceng di bahagian belakang motosikalnya.

Sewaktu dalam perjalanan sambil memboncengkan wanita berkebaya merah itu, beliau bertanya tentang tujuannya berjalan seorang diri pada pagi-pagi buta itu apatah lagi tidak ditemani sesiapa. Pertanyaan Pak Mud itu tidak dijawab oleh wanita aneh yang menumpang motosikalnya. Tanpa perasaan curiga, beliau meneruskan perjalanan sehingga diarahkan oleh wanita terbabit supaya memberhentikan motosikalnya dengan segera. Di waktu beliau memberhentikan motosikalnya itu, Pak Mud sempat berpaling ke belakang lalu terlihat olehnya kepala wanita aneh itu hanya separuh sahaja.

Melihatkan keadaan bentuk fizikal wanita aneh tersebut, Pak Mud kemudiannya menghidupkan enjin motosikalnya sambil menunggangnya perlahan-lahan seraya berpaling ke belakang dan didapatinya wanita aneh itu ghaib serta merta di tempat itu.

Jadi, fahamlah oleh Pak Mud bahawa wanita aneh yang sering berjalan seorang diri setiap kali menjelang larut malam sehingga pagi malah telah menumpang motosikalnya itu adalah jelmaan makhluk halus yang ingin memberitahu penduduk kampung itu bahawa tempat saluran air di tengah-tengah sawah padi itu adalah tempat tinggalnya sejak beberapa dekad yang lalu dan jelmaannya hanya sekadar meminta ataupun memberikan peringatan terhadap manusia supaya sentiasa berhati-hati semata-mata.   


Shahman ketika menceritakan pengalamannya kepada Penulis.


Ijak ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Di sinilah lembaga wanita kebaya putih menjelma.

Seorang penunggang motosikal terbabas di laluan ini tatkala terlihat susuk wanita kebaya putih di tengah sawah. 


Lembaga perempuan itu sering mundar-mandir di laluan ini (bersebelahan rumah Ijak).

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Rumah Berhantu


MISTERI RUMAH BERHANTU

KOTA BHARU, KELANTAN:  PERCAYA atau tidak jika dikatakan di zaman moden ini masih lagi wujud rumah berhantu. Namun, walaupun didakwa rumah berhantu kerana beberapa lembaga sering menjelma dalam pelbagai rupa yang menakutkan, masih ada penghuni yang sanggup mendiaminya kerana itulah satu-satunya rumah yang paling cantik yang terletak di kawasan strategik dan berdekatan pula dengan gedung perniagaan yang juga pemilik rumah berkenaan.

Sebagaimana dakwaan pemiliknya yang juga Pengusaha Bengkel Kenderaan, Mohd. Rais Mohd. Nawi, 24, dari Taman Mawar, Kubang Kerian dekat sini berkata, rumah yang didiami oleh beliau bersama mamanya dibina sejak tahun 1987 lagi dan sekarang telah berusia lebih 22 tahun.

"Dulu, kawasan ini adalah sebuah paya dikenali Kampung Paya Budak. Pada masa itu di sini banyak ditumbuhi pohon-pohon kelapa selain kebun pisang.

"Setiap kali musim tengkujuh tiba, kawasan ini sering berlaku banjir. Paya yang wujud sejak asal di sini memang ditakuti penduduk-penduduk sekitarnya pada masa itu kerana setiap kali banjir melanda, kanak-kanaklah yang menjadi mangsa korban", ujar Mohd. Rais.

Menurut Mohd. Rais lagi, bukan sahaja kawasan berkenaan mudah terdedah dan sering ditenggelami banjir, namun peristiwa yang sering ditakuti oleh penduduk di tempat terbabit pada masa itu berikutan banyaknya kejadian misteri. Ramai warga emas di tempat berkenaan turut mendakwa kawasan Kampung Paya Budak yang dikenali Taman Mawar, apatah lagi salah seorang penangkap makhluk halus bernama Cikgu Naza yang mendakwa sebuah kandang kambing berhampiran dengan kediamannya dan kawasan sekitarnya adalah tempat asal taman permainan makhluk halus dari pelbagai golongan. Keadaan ini menurutnya lagi, walaupun hari ini kawasan terbabit telahpun berubah sesuai dengan peredaran masa dan zaman, namun kejadian misteri masih lagi wujud. Malahan rumah kediamannya yang pada pandangan beliau masih berkeadaan kukuh dan cantik adalah contoh paling dekat tentang wujudnya kejadian-kejadian misteri yang dimaksudkan.

"Selama saya tinggal di rumah ini, dua kes kejadian misteri yang saya lalui di mana salah satunya ketika sedang tidur di bilik atas dan kejadian kedua ketika saya sedang mencuci kenderaan. Kedua-duanya berlaku di antara jam 3.00 dan 4.00 pagi", terangnya.

Menceritakan pengalaman di bilik atas rumah pusakanya itu kadangkala turut menyeramkan juga kerana sering dialami ketika beliau sedang nyenyak dan tersedar dari tidur. Ketika kejadian, jam menunjukkan pukul 4.00 pagi, apabila beliau tersedar dari tidur di mana suasana dalam biliknya itu dalam keadaan gelap pekat, beliau terlihat seperti bayang putih sedang memerhatikan ke arahnya. Pembentukan bayang putih yang menyerupai makhluk aneh itu seolah-olah sedang duduk dan betul-betul sedang memerhatikan ke arah mukanya.

Katanya, bayang-bayang makhluk misteri itu dilihatnya sedang berdiri dalam keadaan rukuk betul-betul berdekatan dengan kedua-dua kakinya yang sedang berlunjur. Ketinggian makhluk misteri dalam bilik tidurnya itu dianggarkan kira-kira dua meter di mana kelihatannya seperti memakai jubah putih dan dari pengamatannya makhluk tersebut adalah lelaki.

Selain itu, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini adalah sewaktu sedang membersihkan kereta di halaman rumahnya itu seorang diri. Ketika itu pukul 3.00 pagi dan hanya beliau seorang diri sahaja berada di rumah tersebut. Walaupun keadaan suasananya agak meremang seluruh tubuhnya, namun beliau terpaksa lakukan juga untuk tujuan menghilangkan rasa kesunyian.

Semasa sedang asyik mencuci kenderaannya itu, telinganya dapat mendengar dengan jelas bunyi desiran seperti kepak lalat sedang bernyanyi sambil terbang ke arahnya. Oleh kerana amat bising seolah-olah mengganggu kerja-kerja yang sedang dilakukannya, beliau cuba menepis berkali-kali di telinga kirinya, namun bunyi seperti lalat itu masih didengarinya seolah-olah tidak mempedulikan tepisan dan kemarahan yang dilontarkannya ketika itu.

"Selepas beberapa saat saya berjaya menepis bunyi yang terngiang-ngiang di telinga, bunyi tersebut tiba-tiba hilang. Apabila bunyi seperti seekor lalat itu tidak lagi kedengaran, dengan tiba-tiba saya mendengar bunyi salahan seekor anjing, bunyinya sayup-sayup kedengaran.

"Kalau nak dikatakan salakan anjing biasa, bunyinya agak pendek saja. Tetapi bunyi anjing menyalak selepas bunyi lalat itu hilang, kedengarannya agak sayu dan sayup-sayup seperti berada agak jauh di atas bukit atau gunung", ujarnya.

Tambah Mohd. Rais lagi, berdasarkan hakikat sedemikian beliau percaya rumah pusaka yang didudukinya sekarang memang berhantu dan mengusik. Sesuatu paling jelas beberapa bulan lalu Cikgu Naza berjaya menangkap enam makhluk halus lalu dimasukkan ke dalam sebiji botol. Salah satu makhluk yang dapat ditangkap itu rupanya seperti perempuan juga telah dimasukkan ke dalam sebiji botol malahan beliau yakin, makhluk tersebut adalah langsuir yang sering mengganggunya dan keluarganya selama ini.

Menurut Mohd. Rais seterusnya, terdapat dua makhluk halus seperti kembar juga berjaya ditangkap lalu dimasukkan ke dalam sebiji botol. Selain makhluk langsuir yang berjaya ditangkap oleh Cikgu Naza, terdapat makhluk pocong yang bentuknya seperti mayat di mana di bahagian atas dan kakinya kelihatan seperti diikat dengan tali. Pocong ini ditangkap ketika sedang berada di salah satu sudut dalam bilik tidurnya.

Kaedah yang digunakan oleh Cikgu Naza untuk menangkap keenam-enam makhluk halus yang mengganggu dan menghuni dalam rumahnya itu dengan cara kesemua lampu di dalam bilik tersebut dipadamkan dan kelihatan bilik ketika itu dalam kegelapan. Dalam beberapa detik sahaja, makhluk halus yang dimaksudkan itu tiba-tiba menjelma dalam pelbagai rupa yang agak hodoh dan menyeramkan.

Justeru, beliau percaya makhluk halus lain tidak lagi cuba datang mengganggu berikutan penangkapan keenam-enam makhluk yang dianggap perosak suasana aman di dalam rumah pusakanya itu. Walaupun agak reda namun jauh di sudut hatinya masih menaruh rasa bimbang jika makhluk halus dari golongan lain pula yang ingin tumpang sekaki, beliau tidak akan pindah kerana itulah saja harta peninggalan arwah bapanya. Namun, semenjak keenam-enam makhluk halus itu dapat diberkas, keadaan kediamannya kini kembali ceria tidak seperti dulu. Jika berlaku lagi, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama iaitu menangkapnya. 

Mohd. Rais Mohd. Nawi.

Mohd. Rais Mohd. Nawi ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Tubuhnya berasa seram ketika mencuci keretanya jam 3.00 pagi di sini.

Kadang-kadang jelmaan lembaga melintasi pintu masuk ini.

Di hujung katil inilah Mohd Rais terlihat jelmaan lembaga lelaki aneh berjubah putih sedang rukuk sambil memerhatikan ke arahnya.

Kadang-kadang lembaga terbabit menjelma dekat sink ini.

Salah satu lembaga yang berjaya ditangkap oleh Cikgu Naza, dimasukkan ke dalam botol.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Kubur Pauh Ganja


MISTERI KUBUR PAUH GANJA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Kubur Pauh Ganja yang letaknya di Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, dekat sini memang tersohor sejak dahulu sebagai sebuah kawasan yang agak keras dan sering mengusik. Ini amat jelas dengan dakwaan beberapa penduduk tempatan termasuk beberapa pengalaman individu yang telah mengalami peristiwa sedemikian tentunya kenangan tersebut tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.

Kisah yang dialami oleh Mek Ani Ismail, 52, dari Kampung Padang Pohon Tanjung, Wakaf Baharu, Kelantan juga tidak kurang menariknya apabila beliau juga turut diusik makhluk halus di kawasan perkuburan itu.

"Pengalaman ini berlaku pada tahun 2001 sewaktu akak menunggang motosikal ke sekolah untuk menjemput anak akak pulang", ujar Mek Ani ketika ditemui Penulis di kediamannya.

Menurut Mek Ani, ketika itu cuaca agak panas, beliau menunggang motosikalnya seorang diri ke salah sebuah sekolah agama di Wakaf Baharu untuk menjemput anaknya yang menuntut dalam Tingkatan Lima yang sedangnya menunggunya pada jam 2.00 petang itu. Pada masa itu, tiada orang lain yang lalu lalang di kawasan Kubur Pauh Ganja itu kecuali beliau seorang sahaja.

Tanpa disangkanya, semasa beliau melintasi kawasan perkuburan itu, anak matanya terpandang sepasang lembaga yang kelihatan olehnya seorang lelaki dan seorang perempuan berpakaian serba putih sedang duduk bertenggek di atas sebuah pusara di bawah sebatang pohon pauh (mangga) tersebut, tetapi wajahnya berpaling ke arah lain. Pada mulanya beliau agak ada orang sedang membersihkan pusara, namun melihatkan keadaan cuaca pada hari itu yang agak panas berbahang, amat mustahil ada orang berbuat demikian.

Setelah menempuh perjalanan selama sejam, Mek Ani kemudiannya tiba di sekolah tempat anaknya menuntut yang ketika itu sedang menunggunya untuk dibawa pulang. Tanpa menolah ke belakang kerana itulah kelazimannya setiap kali menjemput anaknya, beliau telah dapat mengagak tentunya anaknya yang telah membonceng sebagaimana selalu apabila bahagian tempat duduk belakang motosikalnya itu dirasakan turun seumpama telah diduduki oleh seseorang, lantas beliau menunggangnya.

Ketika beliau sedang menunggang motosikalnya itulah, Mek Ani terasa agak pelik tidak sebagaimana selalu seolah-olah sedang memikul beban yang amat sangat. Pergerakan motosikalnya juga didapati perlahan tidak sebagaimana kelazimannya ketika beliau memboncengkan anaknya yang dirasakannya agak ringan. Namun, Mek Ani tidak mempedulikannya kerana sudah tentu di tempat duduk bahagian belakang motosikalnya kini adalah anaknya sendiri dan bukannya orang lain.

Katanya, setelah tiba berdekatan dengan pohon kelapa yang juga berhampiran rumahnya, beliau diminta oleh pembonceng motosikalnya itu supaya menurunkannya di situ dan beliau sekadar menganggukkan kepada tanpa menoleh ke belakang. Apabila pembonceng motosikalnya telah turun, motosikalnya dirasakannya terlajak ke hadapan dan dalam masa yang sama beliau terasa motosikalnya itu dalam keadaan ringan untuk menunjukkan pemboncengnya telah turun.

"Dia minta akak turunkannya dekat dengan pohon kelapa itu. Selepas turun, akak rasa motosikal itu ringan. Tapi hairan, tiada pun kelibat sesiapa yang masuk ke rumah", cetus Mek Ani agak kehairanan dengan peristiwa pada hari itu.

Melihatkan keadaan agak pelik dan luar biasa itu, barulah beliau berpaling ke belakang untuk memastikan siapakah pembonceng sebenar yang memintanya menurunkannya berdekatan sebatang pohon kelapa itu. Pemboncengnya memang telah turun kerana tiada lagi kelibat di tempat duduk motosikalnya.

"Akak cuba memandang ke kiri dan kanan berkali-kali lepas itu baru toleh ke belakang, memang terkejut juga kerana dia sudah tiada. Ingat anak akak yang naik tadi. Jadi, akan pusing motosikal pergi ke sekolah itu balik untuk jemput anak akak kalau-kalau dia tak sempat naik", cerita Mek Ani dalam keadaan pelik.

Mek Ani kemudiannya berpatah balik ke sekolah untuk tujuan menjemput anaknya yang disangka telah membonceng motosikalnya beberapa jam tadi. Dalam masa sedang menunggang itu, fikirannya bercelaru memikirkan peristiwa itu. Jika bukan anaknya yang membonceng di tempat duduk motosikalnya, siapa pula? Ketika itulah beliau terasa sesuatu yang agak berlainan apabila memikirkan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam hatinya selama ini.

Mek Ani menambah, apabila beliau tiba di sekolah, memang anaknya masih menunggu di situ sejak keluar dari bangunan sekolah lagi. Anaknya agak hairan juga dengan sikap mamanya berkeadaan begitu. Mek Ani yang masih dalam kebingungan dengan peristiwa pelik itu lantas menceritakan peristiwa aneh itu kepada anaknya menyebabkan anaknya ketawa kerana geli hati dengan gelagat mamanya. Ini kerana, ketika anaknya itu baru saja ingin meletakkan kaki di atas pemijak motosikalnya itu, mamanya terus menunggangnya tanpa menoleh ke belakang.

"Ingatkan anak akak sudah naik sebab terasa seperti ada orang telah naik, rupa-rupanya tidak. Jadi, tahu-tahu masa tiba di sebatang pohon kelapa itu, baru akan perasan bukan anak akak yang naik", ujar Mek Ani sambil ketawa kecil.

 Apabila ditanya, siapa yang menumpang motosikalnya itu jika bukan anaknya? Mek Ani menjelaskan, sudah tentu perbuatan hantu pari yang ingin memperdayakannya. Ini kerana menurutnya, sewaktu melintasi Kubur Pauh Ganja itu beliau perasan terdapat sepasang makhluk berpakaian putih sedang duduk di atas sebuah pusara di bawah pohon mangga dalam kawasan perkuburan tersebut. Pada mulanya beliau ingat ada individu atau ahli keluarga yang menziarahi ataupun sedang membersihkan kawasan perkuburan yang dimaksudkan, namun amat mustahil dilakukan ketika cuaca panas terik itu.

Justeru, beliau yakin dan percaya makhluk halus itu memang tahu sejak awal lagi beliau yang akan menjadi mangsa lantas mengikutnya dari belakang tanpa pengetahuannya dan apabila tiba di sekolah, anaknya pula digagalkan untuk membonceng motosikalnya  berpunca dari gangguan makhluk ghaib yang dikenali 'hantu pari' itu. Malahan menurutnya, sejak peristiwa itu Mek Ani mula berhati-hati supaya tidak lagi menjadi mangsa diganggu penunggu Kubur Pauh Ganja itu buat kali kedua.  


Mek Ani Ismail atau Mek Ani.


Mek Ani (berbaju kuning) ketika ditemubual Penulis di kediaman barunya di Kampung Paloh Chicha, Palekbang, Tumpat, Kelantan.

Inilah pohon pauh (anak panah) yang diduduki sepasang makhluk halus yang dikenali hantu pari di Kubur Pauh Ganja.


Inilah laluan yang digunakan oleh Mek Ani sehingga ditumpang oleh hantu pari di atas motosikalnya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Warga Emas Disorok


MISTERI WARGA EMAS DISOROK

PASIR MAS, KELANTAN:  BERITA tentang kanak-kanak disorok makhluk halus mungkin banyak kali kita dengar. Tetapi, jika golongan warga emas turut mengalami peristiwa sedemikian adalah sesuatu yang dianggap luar biasa. Namun begitu, percaya atau tidak kejadian pada bulan Disember 2008 apabila seorang warga emas yang hanya dikenali dengan nama Pak Lah telah disembunyikan makhluk halus ketika sedang menebang buluh dalam sebuah belukar di belakang Sek. Keb. Bunut Susu, dekat sini bukanlah cerita dongeng tetapi kejadian sebenar yang menimpa beliau.

Seorang pengusaha warung makanan, Abdul Halim Saamah, 54, atau Abang Halim berkata, Pak Lah adalah seorang tukang kebun Sek. Keb. Bunut Susu. Pak Lah masuk ke belukar tersebut atas permintaan pihak sekolah berkenaan untuk tujuan mengadakan satu majlis jamuan yang memerlukan banyak keperluan terutamanya buluh.

Jadi, untuk tidak mensia-siakan harapan guru-guru sekolah terbabit dan kebetulan pula Pak Lah memang mahir dengan keadaan hutan terus masuk ke hutan itu untuk mendapatkan bekalan buluh seperti yang diminta agar majlis yang dirancang akan berjalan lancar.

Sambil mencapai parang miliknya, beliau bergegas ke hutan berhampiran untuk melaksanakan tugas sebagaimana yang sepatutnya. Suatu kejadian aneh telah berlaku sewaktu Pak Lah sedang menebang pohon buluh itu secara tiba-tiba, selain tidak bermaya, Pak Lah tidak dapat bertutur umpama mulut dan lidahnya menjadi kelu seribu bahasa.

"Biarpun dilihat Pak Lah dalam keadaan sedar, namun beliau sebenarnya seperti sedang dipukau, tidak mampu berbuat dan berkata apa-apa. Bukan itu sahaja, beliau juga tidak dapat keluar dari kawasan pohon buluh itu. Walaupun dicuba berkali-kali, namun dia masih belum berjaya untuk keluar dari kawasan itu seolah-olah dirinya telah dirantai", cerita Abang Halim yang berasal dari Kampung Bukit, Wakaf Baharu itu kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Tambah Abang Halim lagi, selang 10 minit kemudian, Pak Lah dapat membebaskan dirinya dari ikatan dan kepungan  dalam rimbunan pohon buluh itu secara tiba-tiba. Peristiwa yang menimpanya itu diceritakan kepada rakan-rakannya menyebabkan mereka bergegas ke tempat kejadian untuk melihat secara lebih dekat tempat di mana Pak Lah dirantai.

Hasil pemerhatian rakan-rakannya itu, memang tidak terdapat suatu kesan yang mencurigakan bagi menyokong dakwaan Pak Lah itu. Dalam keadaan aneh itu, penduduk kampung berkenaan memang agak hairan sebab belum pernah berlaku kejadian aneh sebelum ini di kampung itu.

Selang beberapa jam selepas kejadian itu, suatu hal pelik telah berlaku terhadap Pak Lah apabila didapati mulutnya herot sebelah. Berikutan itu, Pak Lah bagaikan tidak sempurna seperti wujudnya gangguan makhluk halus dalam tubuhnya. Lalu orang ramai yang bersimpati dengannya berusaha mendapatkan khidmat bomoh bagi memulihkan semangatnya yang hilang akibat gangguan itu.

Menurut dakwaan bomoh yang merawatnya, di kawasan pohon buluh itu merupakan tempat tinggal makhluk ghaib itu. Kehadiran Pak Lah ke tempat itu seolah-olah mengganggu ketenteraman puak dan tempat kediaman mereka.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui, Mamat Hussein, 51, atau Pak Mat dari Kampung Tualang, Bunut Susu, dekat sini turut mengakui kejadian yang menimpa Pak Lah itu.

"Ketika Pak Lah menebang buluh itu, dengan tidak disangka-sangka Pak Lah menemui sebilah parang lain. Apabila melihat parang ganjil yang entah milik siapa, Pak Lah berhasrat untuk mengambilnya. Namun, hasrat itu dibatalkan dan ketika itulah Pak Lah jatuh dan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba", terang Pak Mat.

Tambah Pak Mat, sebelum Pak Lah jatuh, beliau sempat membaca sepotong ayat kursi apabila kepalanya secara tiba-tiba pening, terasa mamai dan terus rebah tidak sedarkan diri.

Kehilangan Pak Lah disedari guru-guru sekolah apabila Pak Lah yang ditunggu-tunggu tidak juga pulang membawa bekalan buluh seperti yang diminta. Justeru, usaha mencari Pak Lah dilakukan dan dalam pencarian itu, beberapa orang guru telah mendapati Pak Lah sedang terbaring pengsan di hadapan pohon buluh itu.

Menurut Pak Mat, beliau masih kurang jelas kaitan berhubung dengan kejadian Pak Lah itu sama ada ia disebabkan sebotol minyak orang mati dibunuh telah dicampakkan ke pohon buluhn itu atau sebaliknya. Namun, beliau memang percaya bahawa Pak Lah sememangnya telah disorok atau disembunyikan oleh makhluk halus yang menghuni dalam rimbunan pohon buluh itu kerana makhluk berkenaan menganggap Pak Lah telah mengganggu kehidupan keluarga makhluk ghaib itu.

Justeru, tindakan membalas dendam makhluk berkenaan sebagai memberi pengajaran supaya tidak ada lagi daripada kalangan manusia yang cuba mencari pasal dan mengganggu kehidupan makhluk berkenaan.

    
Abdul Halim Saamah atau Abang Halim.

Mamat Hussein atau Pak Mat.


Abang Halim dan Pak Mat menunjukkan tempat Pak Lah disorok dan ditemui pengsan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Jumaat, 2 Disember 2011

Misteri Jambatan Putra


MISTERI JAMBATAN PUTRA

KOTA BHARU, KELANTAN:  JAMBATAN GANTUNG yang terletak di Sungai Kampung Chengal, Ketereh, Kelantan pada masa dulu dibina dari batang buluh di mana di bahagian bawahnya diletakkan beberapa buah pelampung sejak 30 tahun lalu agak tersohor dengan kejadian misteri. Sehinggalah jambatan berkenaan diganti baru dikenali 'Jambatan Putra' telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-4, Tun Sri Mahathir Mohamed yang menghubungkan Kampung Chengal dengan Padang Halban, masih lagi berlaku kejadian yang menyeramkan dan menakutkan penduduk setempat. Walaupun jambatan berkenaan kini telah dijadikan lokasi pemancing, namun golongan pemancing yang datang ke situ sentiasa membawa teman untuk mengelakkan kejadian diganggu oleh makhluk halus yang berkampung di situ.

Mungkin individu yang belum pernah terkena gangguan makhluk halus yang menghuni di tebing sungai tersebut akan menafikan kejadian yang dimaksudkan, namun menurut beberapa orang pemancing yang merasai pengalaman sendiri apatah lagi turut dimaklumkan oleh beberapa orang warga emas di kampung itu sebagai bukti bahawa Jambatan Putra dan Sungai Kampung Chengal memang mengusik apabila menjelang pagi.

Seorang pemancing yang ditemui, Mohd. Rizal Jusoh, 35, dari Kampung Jambu Merah, Melor, Kelantan menyifatkan Jambatan Gantung yang dibina pada tahun 1978 itu hanya boleh dilalui kenderaan ringan seperti basikal dan motosikal sahaja itu memang berpuaka. Ini kerana menurutnya, warga tempatan sedia maklum jambatan berkenaan memang ditakuti ramai disebabkan mereka pernah terlihat jelmaan hantu air di sungai tersebut.

Di sebelah kanan jambatan gantung itu dikenali sebagai 'pengkalan mandi' yang menjadi tempat golongan remaja untuk mandi, manda, berenang dan bermain air kerana airnya agak dingin dan menyegarkan badan jika mandi di waktu panas matahari. Namun, suatu kejadian misteri telah berlaku pada pukul 12.00 tengah hari apabila salah seorang remaja perempuan yang sedang mandi bersama lima rakannya yang lain didapati ghaib di sungai tersebut. Remaja perempuan itu dikatakan sedang terjun seorang diri ke sungai terbabit dari jambatan itu didapati tidak timbul-timbul. Kejadian itu turut menggemparkan seluruh penduduk kampung terlibat kerana ada yang mendakwa amat mustahil remaja perempuan itu lemas kerana aliran airnya agak perlahan.

"Segelintir orang kampung ini kata remaja perempuan itu disembunyikan hantu air sebab itulah dia ghaib. Remaja perempuan itu kemudiannya muncul selepas empat hari berlalu kerana ikhtiar seorang bomoh, menyebabkan makhluk itu mengembalikannya", cerita Mohd. Rizal.

Kata Mohd. Rizal lagi, pada tahun 2008 salah seorang penduduk dari Kampung Chengal turut disakat makhluk halus di bawah jambatan berkenaan apabila perahu yang dinaikinya tiba-tiba tidak dapat bergerak seolah-olah sedang ditarik oleh suatu kuasa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Setelah berkeras dengan makhluk ghaib itu, barulah perahu yang didayungnya itu dapat meluncur seperti biasa tanpa diganggu lagi.

Menurutnya, beliau sendiri pernah mengalami suatu pengalaman sewaktu sedang mandi di bahagian hujung Jambatan Putra beberapa tahun lalu apabila makhluk halus yang sama turut menjelmakan dirinya dalam kocakan air di sungai terbabit. Namun, beliau tidak dapat melihat wajah makhluk halus itu kecuali terpandang badannya sahaja.

"Pada saya, sungai tempat saya dan rakan-rakan yang lain sedang memancing sekarang adalah satu kawasan agak keras dan berpuaka. Ini kerana, kawasan ini agak sunyi dan terlindung dari pandangan umum apatah lagi berhampiran hutan tebal dan sebuah tanah perkuburan, katanya.

Tambahnya, di tebing sungai berdekatan dengan tanah perkuburan sering berlaku kejadian usikan. Katanya, beliau pernah beberapa kali melihat seperti gumpalan angin yang bergerak pantas ke arah tanah perkuburan di atas tebing sungai itu sewaktu sedang menunggu jorannya disambar ikan ketika memancing di sebelah pagi di atas Jambatan Putra. Namun katanya, mujurlah golongan pemancing agak ramai berada di atas jambatan terbabit, jadi perasaan seram dan takut berkurangan.

Berbanding dengan pengalaman Sabri Mat Nawi, 39, dari Kampung Bukit Kechil, Melor, Kelantan yang merupakan seorang yang sanggup berjaga malam semata-mata memenuhi hobinya sebagai pemancing di atas Jambatan Putra itu apabila beliau sering tercium bau-bauan yang harum semerbak yang pada hematnya datang dari arah rumpun buluh berhampiran tiga buah pusara di tanah perkuburan yang sama.

"Bau-bauan harum itu kerap muncul pada pukul 2.00 pagi. Waktu itu memang cukup sunyi, jadi ikan patin gemarkan suasana yang sunyi.

"Jadi, sementara kami menunggu joran disentap ikan patin, ketika itulah munculnya makhluk yang tidak diundang cuba mengganggu ketenangan kami", ujar Sabri.

Katanya, semenjak beliau datang memancing dari dulu sehingga sekarang di sungai itu, beliau pernah beberapa kali melihat sesusuk tubuh sedang melintasi arah sungai itu menuju ke arah serumpun buluh yang terletak di bahagian hujung sungai berkenaan. Padanya, agak mustahil manusia sanggup dan dapat melintasi sungai itu dengan mudah seolah-olah berjalan di atas air kecuali makhluk halus yang dapat melakukannya.

Sabri menambah, berhampiran rumpunan buluh itu memang telah diketahui umum kerana dikatakan kawasannya agak keras dan ditakuti ramai. Penduduk setempat tidak akan melalui Jambatan Putra seorang diri apabila menjelang malam kerana dibimbangi dilintasi makhluk halus yang sering menjelmakan dirinya dan sering berjalan di atas air dari arah pusara tersebut kerana kawasan itu didakwa sesetengah pihak sebagai perkampungan makhluk ghaib itu.

Kata Sabri lagi, jelmaan makhluk halus berhampiran Jambatan Putra tempat beliau sedang memancing itu memang sering mengusik mereka kerana pada masa itu suasananya agak sunyi. Jelmaan makhluk halus yang menghuni di kawasan itu seolah-olah meniru atau mengikut mereka untuk turut sama memancing. Bezanya, makhluk itu seolah-olah sedang memancing dengan cara bertenggek di atas gumpalan rumput menghijau yang tumbuh di atas permukaan air di sungai itu berbanding kebanyakan pemancing yang berada di atas jambatan berkenaan.

Sabri menambah, usikan makhluk itu terhadapnya dan rakan-rakannya yang lain kerana mereka bukannya penduduk dari Kampung Chengal itu. Sebab itulah baginya agak tidak sesuai datang memancing seorang diri, bukannya terlalu takut disakat oleh makhluk itu tetapi bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku tentunya tidak diketahui oleh orang lain. Justeru, dengan kehadiran pemancing yang agak ramai sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan dan tumpuan terhadap hasil yang bakal diperolehi nanti. 


Mohd. Rizal Jusoh.

Mohd. Rizal Jusoh menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.

Sabri Mat Nawi.

Sabri Mat Nawi juga turut mengalami pengalaman misteri di Jambatan Putra.

Inilah Jambatan Putra, lokasi pemancing.

Setiap petang hingga pagi, inilah lokasi pemancing dari daerah lain bertumpu di Sungai Kampung Chengal ini.

Makhluk halus turut sama memancing di atas rumput ini.

Makhluk halus sering melintasi kawasan ini dengan berjalan di atas air tersebut.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH