RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 31 Disember 2011

Pulih Mangsa Santau


PULIH MANGSA SANTAU

KOTA BHARU, KELANTAN:  KERANA dengki dan tidak puas hati menyebabkan seorang ahli perniagaan dan hartawan berjaya dari Ketereh, Kelantan telah disihir dan disantau. Mangsa berkenaan yang didapati menderita selama 20 tahun akibat perbuatan individu yang tidak berperikemanusiaan termasuk dari kakitangannya sendiri itu menyebabkan tubuhnya mengalami masalah kesakitan yang terlalu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Beliau hanya menyedari apabila mengetahui keadaan dirinya semakin lemah dek penangan makhluk halus yang telah menghuni dan menumpang dalam tubuhnya hasil kelicikan bomoh sihir yang berjaya menembusi tubuhnya.

Hal ini diakui sendiri oleh seorang Pengamal Rawatan Tradisional dan Ilmu Ghaib, Darus Mootalu, 43, ketika ditemui Wartawan RELATIF di sebuah restoran miliknya di Kedai Mulong dekat sini yang telah berjaya merawat dan memulihkan selepas dapat menangkap makhluk yang dikenali dan menjelma sebagai 'langsuir' yang dikatakan punca segala masalah yang dialami oleh hartawan tersebut.

Menurut Darus Mootalu yang berasal dari Desa Menado Grontalo, Sulawesi, Indonesia itu berkata, sebelum ini hartawan tersebut telah disantau oleh salah seorang bomoh santau dari sebuah negeri di Pantai Timur dengan cara menggunakan beberapa ekor udang yang digoreng. Tujuan udang berkenaan digoreng adalah untuk menyiksa mangsa santau supaya sentiasa berkeadaan tidak selesa, panas dan menggelabah. Dengan cara sedemikian, akan menyebabkan mangsa sentiasa di dalam kegelisahan untuk menjadikan hidupnya tidak tenteram sehinggakan tubuh pesakit yang disihir beberapa tahun itu mengalami perubahan ketara tidak sebagaimana sebelumnya. Namun begitu, masalah yang dihadapi oleh mangsa berkenaan akhirnya dapat dipulihkan hasil rawatan yang dilakukan oleh Darus Mootalu.

Walau bagaimanapun katanya, menjadi kebiasaan kepada individu yang masih dengki, jika percubaan pertama gagal, akan dicuba buat kali kedua supaya mangsa yang sama menderita berpanjangan. Dengan demikian, santau secara "tuju-tuju" ini akhirnya mengena juga dengan kaedah menggunakan khidmat jin yang lebih tinggi dikenali sebagai makhluk "langsuir".

"Saya terima panggilan daripada pesakit itu. Katanya, tubuhnya masih lagi tidak bermaya. Saya diminta untuk melihatnya dari jarak jauh. Jadi, saya buatlah, memang benar, tubuhnya ada masalah, ada sesuatu dalam tubuhnya", ujar Darus Mootalu ketika diminta menceritakan masalah yang dihadapi oleh hartawan tersebut.

Menurut Darus, setelah menerima panggilan dari mangsa yang sama, beliau bergegas ke tempat yang dimaksudkan dan hasil pemeriksaan sememangnya mangsa di dalam keadaan yang agak kritikal, lalu beliau memberikan rawatan sebagaimana yang sepatutnya. Sememangnya agak licik juga perbuatan bomoh sihir itu apabila mengeksploitasi hawa dari tubuh mangsa supaya makhluk halus yang bakal menghuni dalam tubuh pesakit itu akan menemui kejayaan apabila didapati tubuh mangsa semakin hari semakin lemah yang menjadikan mangsa cukup menderita sekian lama.

Darus Mootalu tidak dapat memberikan rawatan sebaiknya di saat itu, kecuali apabila beliau pulang ke rumah. Di kediamannya beliau akan mendapat memberikan sepenuh perhatian terhadap rawatan yang bakal diberikan kepada mangsa sihir itu. Dengan menggunakan ketinggian ilmunya itu, Darus akhirnya mengetahui punca sebenar mangsa menderita akibat perbuatan sihir yang dilakukan oleh bomoh ilmu hitam yang mempunyai kepentingan sendiri. Namun, beliau tidak mempedulikan bomoh tersebut kerana, dari pengetahuannya bomoh itu kini di dalam ketakutan apabila beliau mengetahui perbuatan tidak bertamadun bomoh sihir itu.

Dalam situasi berkenaan, beliau meminta khodam makhluk itu supaya menyelesaikan masalah itu supaya datang berjumpa dengannya. Dalam saat itu, Darus tidak menunjukkan dirinya lebih hebat tetapi sekadar ingin melihat keadaan makhluk tersebut dalam rupa sebenar, barulah beliau boleh membuat keputusan untuk perhitungan.

Akhirnya, khodam tersebut memberitahu akan datang menemui Darus tepat jam 9.00 malam dan beliau diminta menunggu kehadiran makhluk yang dimaksudkan di dalam perbualan dan perjanjian berkenaan. Memang tepat pada masanya, makhluk itu datang pada malam itu dengan menjelma dalam bentuk seperti seorang wanita di mana rambutnya kelihatan mengerbang seolah-olah ditiup angin untuk menunjukkan rupa bentuknya yang hodoh.

"Khodam makhluk itu minta saya tunggu, jadi saya tunggulah. Tepat jam 9.00 malam makhluk itu datang, tapi tak boleh buat apa-apa", ujar Darus mengingatkan peristiwa beliau berdepan dengan makhluk langsuir pada malam berkenaan.

Dengan kekuatan dan kehebatan ilmunya menjadikan makhluk itu bertukar rupa dari ketinggian dua meter, akhirnya makhluk itu mengecil dengan sendirinya kerana tidak mampu menghadapi ilmu yang dimiliki Darus. Di saat itulah, Darus menelangkupkannya dengan sebiji botol menyebabkan makhluk langsuir itu berteriak minta dilepaskan.

Tambah Darus, kejadian yang berlaku pada bulan Januari 2009 itu dilihat seperti babak dalam sebuah filem seram dan orang ramai yang berkesempatan hadir ternyata dapat menyaksikan peristiwa tersebut.

Justeru, langsuir yang dihantar oleh bomoh sihir itu mengganggu mangsa dan kini telah dapat ditangkap, keadaan mangsa semakin sihat. Namun, tiada siapa yang akan menyangka kerana rambut manusia memang berwarna hitam, tetapi berlainan hati. Kita tidak tahu, apakah episod seterusnya yang bakal diterima mangsa. Mungkinkah kegagalan buat kali kedua ini akan dilakukan buat kali ketiga dengan bomoh ilmu hitam yang lain pula, hanya Allah jua yang maha mengetahui hati budi manusia masing-masing.

Darus Mootalu ketika diwawancara Wartawan RELATIF

Udang goreng untuk menyiksa mangsa supaya tidak selesa, panas dan menggelabah.


Makhluk yang diperdaya mulai masuk ke dalam bekas.

Inilah makhluk 'langsuir' yang menjadikan mangsa tidak tenteram.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 30 Disember 2011

Rawat Penagih Dadah


RAWAT PENAGIH DADAH

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Tahukah anda bahawa penagih rokok dan najis dadah tidak perlu berasa bimbang jika diberikan jolokan sebagai "mayat hidup" setelah terjebak ke kancah penagihan dadah jika mereka berhasrat untuk meninggalkan tabiat yang tidak berfaedah itu. Ini kerana, jika ada pihak yang menyatakan penagih dadah tidak boleh dipulihkan, dakwaan berkenaan adalah tidak tepat. Hakikatnya, penagih dadah tidak perlu melalui sessi kaunseling atau rawatan khusus bagi membolehkan mereka kembali ke pangkal jalan tetapi hanya sekadar mendapat rawatan berdasarkan kepada kaedah perubatan tradisional melalui pakar di bidang terlibat.

Salah seorang pakar merawat penagih dadah dikenali ramai, Mohd. Sohaimi bin Ahmad, 53, atau lebih dikenali sebagai Abang Mi dari Kampung Lambor, Wakaf Baharu, Kelantan yang ditemubual Penulis berkata, beliau mempunyai kaedah tertentu sehinggakan penagih tegar sekalipun boleh dirawatnya dengan syarat penagih itu sendiri benar-benar insaf untuk tidak mengulanginya.

Menurut Abang Mi, sebelum ini beliau adalah seorang peniaga ikan tetapi kerana Allah berkuasa menjadikan sesuatu menurut kehendak-Nya dan kepada siapa akan diberikan anugerah itu pun tidak siapa yang tahu. Itulah hakikatnya yang diterima oleh Abang Mi, begitu besarnya nikmat yang diterima olehnya dan dari anugerah seumpama itu dijadikannya satu tekad untuk berbakti kepada orang ramai yang memerlukan bantuan terutamanya kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan penagihan najis dadah tanpa mempelajari dari mana-mana guru mahupun selok-belok merawat pesakit. Ini kerana, beliau hanya berpegang kepada satu prinsip bahawa, bukan beliau yang menyembuhkan seseorang pesakit. Beliau hanya sebagai perantaraannya sahaja untuk membuktikan hamba-hamba-Nya yang terpilih sahaja boleh melakukan hal-hal sedemikian.

Berbekalkan anugerah Allah yang agak luar biasa itulah, pada tahun 2003 beliau memulakan sessi rawatan secara mudah, tanpa melalui suntikan dan kaunseling sehinggakan beliau diakui oleh beberapa keluarga penagih yang datang menemuinya memaklumkan bahawa rawatan penagihan najis dadah yang dilakukannya didapati sembuh sepenuhnya.

"Cara Abang Mi rawat perlu kepada kehadiran pesakit itu untuk melihat keadaan fizikalnya dan wajahnya sama ada penagih baru berjinak-jinak ataupun penagih tegar, kemudian melalui pengalaman Abang Mi akan tahu keadaannya. Maklumat dari pesakit amat penting, tanpanya tahap pemulihan agak lambat kerana maklumat yang diperlukan itu perlu tepat", ujarnya.

Setelah beliau melakukan rawatan terhadap pesakit secara mudah dengan membaca dan mengisikan doa ke dalam air tersebut, kesannya akan dapat diketahui dalam masa dua hari sama ada penyakit itu berjaya disembuhkan atau tidak. Ini kerana, di samping membuat rawatan beliau juga turut menghasilkan ubatan herba paling mujarab khusus untuk penagih-penagih dadah dengan meminta mereka memakan ubat-ubatan berkenaan selepas rawatan dibuat.

Ubatan yang diberikan perlu dimakan oleh pesakit selama dua hari sahaja iaitu dua biji pagi dan dua biji petang. Jika pesakit itu memakan ubat sebagaimana yang disarankannya, pada hari ketiga kesannya akan dapat diketahui sama ada sembuh atau sebaliknya. Kadang-kadang dalam masa setengah jam sahaja pasti pesakit yang ketagihan dadah itu akan melupakan terus bahan yang paling berbahaya terhadap kesihatan dan nyawa manusia itu.

"Abang Mi percaya setelah pesakit memakan ubat yang diberikan, pesakit dadah yang sebelum ini sering berkawan dengan golongan kutu rayau dan penagih lain tidak akan berbuat demikian lagi, seolah-olah seperti wujudnya rasa benci terhadap rakan dan bahan yang tidak berguna itu.

"Disebabkan pesakit itu tidak lagi mengambil dadah kerana timbulnya rasa benci tadi, bermakna fikirannya kembali waras untuk meninggalkan perbuatan yang boleh menjejaskan fikiran", katanya.

Berikutan mengetahui kejayaannya melakukan rawatan dan menghasilkan ubatan herba khusus untuk golongan penagih, beliau banyak menerima pesakit dari Terengganu dan Singapura. Beliau juga pernah merawat seorang anak anggota polis dari Negeri Sembilan hingga sembuh. Manakala pesakit dari Sabah dan Sarawak beliau akan membuat hantaran melalui pos sahaja.

"Abang Mi terlalu banyak pengalaman bersama pesakit. Ada penagih sehingga tahap lima tahun dan paling lama mencecah 10 tahun. Punca utama terlibat dengan dadah kerana dipengaruhi rakan, ada juga di antaranya sikap rakan yang menipu sehingga terjebak dengan bahan terlarang itu.

"Satu contoh, salah seorang penagih dadah dari Pasir Pekan, Kelantan terpaksa menghabiskan ubat sebanyak dua botol. Boleh dikatakan 90 peratus penyakit ketagihannya berhenti. Tetapi apabila pesakit berkenaan bekerja kira-kira setahun di Johor Bahru, apabila pulang ke Kelantan terpaksa membeli ubat darinya kerana tabiat ketagihan dadah masih ada ekoran dipengaruhi rakan-rakan di sana", jelasnya.

Kebanyakan pesakit berpunca dari dadah yang pernah dirawat oleh Abang Mi meliputi beberapa remaja belasan tahun. Namun, terdapat juga kes pesakit berusia 30 tahun yang telah berumahtangga dan mempunyai cahaya mata turut dirawat oleh beliau berikutan terlibat secara langsung dengan dadah itu.

Tambah Abang Mi, beliau tidak pernah menerima undangan untuk datang ke rumah pesakit terlibat sebaliknya pesakit itu sendiri yang perlu datang ke rumahnya kerana baginya rawatan yang dilakukan di rumahnya sendiri agak lebih selesa berbanding dilakukan di luar.

Tambah Abang Mi, kebanyakan pesakit dan keluarga mereka mengetahui kemampuan beliau merawat kalangan pesakit melalui perbualan secara lisan dari mulut ke mulut selain kisahnya pernah tersiar dalam dalam akhbar dan majalah tempatan. Manakala sambutan di kalangan penagih-penagih dadah yang ingin ke pangkal jalan untuk dirawat olehnya agak menggalakkan. Menurut Abang Mi, beliau melakukan hal sedemikian dalam usaha untuk menginsafkan golongan penagih yang terjebak bertahun-tahun lamanya serta mengakui tabiat mereka itu adalah satu kesilapan yang tidak patut dimaafkan.

Setakat beliau merawat penagih-penagih dadah berkenaan menurut Abang Mi, beliau banyak menerima maklum balas tentang kemampuannya merawat pesakit sehingga didapati sembuh sepenuhnya dengan izin Allah melalui kerelaan masing-masing. Keadaan ini menggambarkan penagih-penagih berkenaan benar-benar insaf untuk mengulangi atau mengambil bahan berbahaya itu lagi.

"Sebotol ubatan herba ini Abang Mi jual dengan harga RM200. Nampak agak mahal, tetapi percayalah sukarnya untuk mendapatkan tumbuhan herba dan resipi yang dihasilkan itu memang mujarab. Tetapi orang ramai perlu sedar, bukan dinilai harga sebotol ubat itu tetapi perlu dititikberatkan supaya sifat ketagihan dadah itu yang perlu dihentikan.

"Ubatan herba ini bukan sahaja boleh merawat penagihan dadah tetapi mampu untuk mencerdaskan minda kanak-kanak. Caranya, sebiji pil itu hendaklah dibahagi dua. Maknanya, jika kanak-kanak terlalu nakal dan enggan mendengar nasihat, insya Allah kanak-kanak seumpama itu akan sembuh dan tidak akan nakal lagi", ujarnya memberi tips istimewa untuk memulihkan kanak-kanak nakal melalui rawatan yang diperkenalkannya.

Nasihatnya kepada penagih-penagih dadah khususnya penagih-penagih tegar sehingga mencecah 5 hingga 10 tahun tentunya telah sebati dalam diri masing-masing, walaupun telah dirawat perlu kepada rawatan ulangan supaya pulih sepenuhnya. Ini kerana, terdapat kes penagih dalam kategori ini telah menghabiskan sebotol ubat, pesakit berkenaan berasa sembuh seperti sediakala. Namun, beliau menyarankan perlu tambahan ubat dan rawatan ulangan.

Jadi, sekiranya ubatan perlu dimakan 2 biji pagi dan 2 biji petang, bagi sebotol ubat sekadar dapat bertahan selama sebulan sahaja. Apabila masuk bulan kedua perlu diamalkan sebiji pagi dan sebiji waktu petang hingga seterusnya sehingga lima bulan. Dalam hal ini, kebanyakan pesakit apabila didapati ubat telah habis dalam tempoh sebulan, mereka tidak lagi mempedulikan untuk mendapatkan rawatan ulangan.

Di samping itu, beliau turut menekankan kepada penagih-penagih supaya menghentikan tabiat pengambilan pil-pil kuda yang dianggap tidak berfaedah, memudaratkan kesihatan dan boleh membawa maut. Ini kerana, pil kuda sebenarnya dibuat dari "tulang mayat" yang diproses menjadi serbuk. Sebab itulah remaja-remaja yang terlibat dengan pil-pil kuda akan menjadi ganas seperti sanggup mencuri, memukul ibu bapa, lumba haram atau merempit dan bertindak di luar kawalan.

Sejajar dengan itu menurutnya, beliau berharap kepada penagih-penagih yang pernah menerima rawatan daripadanya atas dasar telah insaf dan ingin kembali ke jalan sempurna supaya mengelakkan daripada terus berkawan atau dipengaruhi rakan-rakan dari kutu rayau, kerana merekalah punca kebanyakan golongan baik terjebak ke lembah hina itu. Ini kerana, jika terus berdampingan dengan mereka, penagih yang telah didapati sembuh sekalipun pasti akan kembali terjerumus dengan bahan-bahan itu buat kali kedua. Justeru, pilihlah sahabat yang berakhlak mulia yang boleh mendidik dan memandu kita ke jalan sempurna, jadi tepuk dada tanyalah hati.

Abang Mi boleh dihubungi melalui telefon:
017-9561700
      
Mohd. Sohaimi bin Ahmad atau Abang Mi.

Abang Mi ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Inilah ubatan herba yang boleh merawat penagih dadah.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jual Akar Kayu


JUAL AKAR KAYU

MACHANG, KELANTANBANDAR Machang dalam tahun-tahun 1960 hingga 1980 dulu sering menjadi tumpuan penjual ubat-ubatan tradisional seperti akar-akar kayu dan tumbuh-tumbuhan herba lainnya yang datang dari seluruh pelosok negeri Kelantan. Namun, suasana ketika itu tidak lagi wujud pada hari ini kerana kebanyakan dari mereka telah berpindah tempat dan ada di antaranya yang telah meninggal dunia.

Walau bagaimanapun percayalah, generasi yang memiliki ilmu khasiat herba sedemikian masih lagi meneruskan kehidupan sebagai mewarisi turun-temurun ahli keluarganya. Salah seorang dimaksudkan yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Abdul Karim bin Dara, 68, atau lebih selesa dikenali sebagai Pak Karim yang kini giat menjual tumbuhan herba dan akar-akar kayu di Pasar Besar Machang, Kelantan.

Katanya, beliau memperolehi ilmu mengenali jenis-jenis akar kayu, cara memberikan rawatan sekaligus menjual tumbuh-tumbuhan herba itu dengan mempelajari dari ibunya ketika berusia 17 tahun. Ini berdasarkan kepada minatnya yang begitu mendalam sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi apabila sering melihat ibunya menggunakan kaedah akar-akar kayu bermula daripada memilih jenis-jenis akar kayu, mencampurkannya sehingga proses merebus atau memasaknya untuk mengubati dan memberikan rawatan kepada setiap pesakit.

Jelas ilmu yang diperturunkan oleh ibunya itu tidak dipersia-siakannya kerana selain memberikan rawatan berasaskan akar kayu, beliau juga turut menjual tumbuh-tumbuhan herba itu atas permintaan masyarakat setempat. Beliau mengusahakan akar-akar kayu di Pasar Besar Machang bermula pada tahun 1978 lagi dan kini telah lebih 30 tahun beliau mengusahakannya di situ.

"Pada tahun-tahun 1970, pakcik banyak menghabiskan masa mencari akar-akar kayu di hutan dan bukit-bukit. Manakala menjualnya pula hanya ala kadar saja", jelasnya sewaktu ditemui di Pasar Besar Machang, Kelantan.

Disebabkan faktor usia itulah, aktiviti mencari akar kayu terpaksa dihentikan dan tumpuan utamanya ialah menjual tumbuhan herba itu sehingga sekarang. Jadi, kebanyakan bekalan akar-akar kayu diperolehinya dengan memberi upah pencari akar-akar kayu yang sering masuk ke dalam hutan dan bukit-bukau di negeri ini. Padanya juga, mengusahakan jualan akar kayu lebih mudah bukan sahaja minatnya sejak dulu, namun hakikat yang sebenarnya beliau tidak begitu mahir untuk melakukan kerja-kerja lain.

Kebanyakan akar-akar kayu yang dijualnya adalah yang asli dan dipilih dengan teliti supaya pesakit yang membelinya berpuas hati untuk mendapatkan kemujarabannya. Di antara akar-akar kayu yang dijualnya boleh mengubati pelbagai jenis penyakit seperti batuk, masalah urat saraf, bersalin, masalah angin dalam badan, buasir, kencing manis, resdung, darah tinggi dan lain-lain lagi. Bahkan ada juga akar kayu yang boleh mengubati penyakit jantung, namun jarang diketahui oleh kebanyakan orang ramai. Sebaliknya, jika ada pesakit jantung boleh datang menemui beliau untuk mencubanya terlebih dahulu bagi mengetahui keberkesanannya terhadap penyakit itu kerana setakat ini ubatan berkenaan belum pernah dicuba lagi.

"Kebanyakan sebutan akar kayu dari Kemboja dengan Kelantan amat berbeza. Misalnya "Tongkat Ali", di Kelantan dipanggil Tunjang Bumi manakala di Pahang pula disebut Pasak Bumi. Jika di Kemboja disebut "Tinjol Bomi'. Akar kayu yang sama tetapi berbeza dari segi sebutan.

"Pakcik menjual akar-akar kayu ini menurut kehendak pelanggan. Ada yang beli RM3, RM5 tetapi paling banyak RM10 pun ada. Tak perlulah guna alat timbang tetapi sekadar 'jemput-jemput'  saja", tambahnya sambil menunjukkan gaya 'jemput-jemput' apabila ditanya tentang cara beliau menjual tumbuhan herba berkenaan setiap kali diminta oleh pelanggan yang datang ke kedainya.

Menurut Pak Karim lagi, jika ada pesakit yang ingin mendapatkan rawatan berasaskan akar-akar kayunya itu, beliau akan memeriksa jenis-jenis penyakit yang dihidapi oleh pesakit terlebih dahulu sebelum menyarankan tumbuhan herba manakah lebih serasi dengan penyakit yang dihidapi. Misalnya jika berpenyakit buasir, penyakit ini ada dua jenis sama ada buasir yang menyebabkan bengkak dan darah keluar, jadi beliau akan memberikan akar-akar kayu yang berkaitan dengan penyakit itu sahaja dengan cara merebusnya untuk diminum oleh pesakit.

Suatu hal lagi menurutnya yang sering dialami oleh pesakit dewasa ini ialah masalah batuk. Batuk juga ada dua jenis sama ada jenis tibi dan disebabkan demam panas. Walaupun dikatakan batuk, ubatan yang diberikan kepada pesakit berbeza. Ini kerana, tidak akan sembuh jika batuk disebabkan demam panas diberikan kepada pesakit batuk tibi. Lantaran itu, pesakit tidak perlu bimbang tentang pemberian ubat-ubatan berkenaan kerana penyakit akan cepat sembuh berdasarkan kepada kesesuaian ubat-ubatan akar kayu yang disarankannya.

"Kebanyakan pesakit yang datang menemui pakcik kerana masalah urat saraf sama ada saraf rosak, bengkak atau terseliuh. Jadi, pakcik mengesyorkan supaya akar-akar kayu dicampurkan untuk menambahkan lagi khasiat yang sedia ada agar lebih mujarab", ujarnya.

Walau bagaimanapun menurutnya, saranan rawatan berasaskan kepada amalan meminum air dari tumbuhan herba itu adalah sebagai ikhtiar semata-mata dan tidak lebih dari itu. Oleh kerana penyakit itu datang daripada Allah, jika amalan meminum air dari akar-akar kayu berkenaan bersesuaian dengan penyakit yang dihidapi dan Allah mengizinkannya untuk sembuh, maka penyakit berkenaan pasti sembuh. Ini bermakna, baik atau tidak semuanya dari Allah, sebagai manusia beliau hanya berikhtiar untuk menolong insan yang memerlukan khidmatnya.

Pak Karim juga turut menyarankan bahawa, untuk mengekalkan khasiat yang ada dalam tumbuhan herba dan terus berkekalan apabila merebus ialah akar-akar kayu itu perlu dimasak dalam periuk yang dibuat dari tanah liat bukannya periuk dari keluli. Walaupun cara memasaknya agak sama, segala zat dan khasiatnya adalah berbeza. Jika dimasak dalam periuk yang dibuat dengan keluli, segala zat dan khasiatnya tidak akan berkekalan sebaliknya akan berkurangan kerana khasiatnya itu diserap keluli berkenaan.

"Orang tak biasa dengar jika periuk dibuat dari tempurung kelapa. Tetapi perlu diingatkan, merebus akar kayu dalam tempurung kelapa juga lebih baik dari periuk tanah liat", ujarnya.

Begitu juga dengan amalan meminum air rebusan akar kayu juga perlulah mengikut pesanan orang-orang tua dahulu. Ini kerana, orang-orang tua dahulu jarang mendapat sakit malah masih ada yang kekal sehingga ke usia 100 tahun kerana sering mengamalkan meminum air rebusan akar-akar kayu yang dibuat dari tanah liat atau tempurung kelapa. Berbanding dewasa ini yang menggunakan cawan atau gelas yang dibuat dari keluli dan plastik sebenarnya lebih banyak mengundang penyakit dari bersifat sembuh.

"Memanglah, orang-orang tua zaman dulu mereka mengamalkan meminum air dari akar-akar kayu menggunakan gelas yang dibuat dari tanah dan kadang-kadang dengan tempurung kelapa supaya lebih mujarab. Mendengarnya agak meloyakan, tetapi sebenarnya bahan-bahan itu berunsur perubatan. Manusia berasal dari tanah, maka dari tanah juga boleh menyembuhkan penyakit dalam badan manusia", ujarnya panjang dan penuh semangat.

Pak Karim juga banyak menerima pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis yang berharap supaya sembuh dengan segera setelah meminum air rebusan akar kayu yang dibeli di kedainya. Sedangkan penyakit kronik memang sukar dirawat apatah lagi untuk cepat sembuh. Ini kerana menurutnya, ubat kencing manis perlu diminum dalam tempoh yang agak panjang sampai berbulan-bulan lamanya, namun paling penting ialah pesakit perlu sentiasa mematuhi dua perkara penting iaitu dengan berpantang dan jangan serik untuk memakan ubat.

"Amalan pantang dan memakan ubat adalah penting. Akan menjadi sia-sia jika rajin makan ubat namun berpantangnya tidak.

"Contohnya jika kita alahan kepada makanan seafood yang menyebabkan gatal-gatal kulit seperti kerang, udang, sotong dan sebagainya. Sekalipun kerap ke hospital dan memakan ubat mengikut arahan doktor, penyakit itu tidak akan sembuh jika tidak berpantang. Jadi, jika mahu cepat sembuh, elakkan memakan makanan itu", ujarnya.

Dalam konteks kencing manis ini pula menurut Pak Karim lagi, untuk mengelakkan atau supaya penyakit kencing manis cepat sembuh adalah wajar mengurangkan pengambilan susu dan gula yang boleh menyebabkan darah menjadi manis. Jika boleh meneruskan memakan ubat dan dalam masa yang sama dapat mengawal pengambilan makanan dan minuman yang manis itu lebih baik lagi.

Pak Karim juga turut memberikan tips dan kaedah meminum air rebusan akar kayu dengan betul. Dalam sebungkus akar-akar kayu itu boleh direbus sebanyak enam kali sahaja dan selepas kadar kemujarabannya akan berkurangan. Bahkan akar-akar kayu itu juga perlu direbus setiap hari dan perlu diminum sebanyak tiga kali sehari dalam kuantiti tiga cawan setiap kali diminum menurut amalan orang-orang Melayu zaman lampau umpamanya waktu pagi, petang dan malam.

Dalam pada itu menurut Pak Karim, salah tanggapan di kalangan segelintir masyarakat Melayu tentang kaedah meminum air rebusan akar-akar kayu juga penyebab kepada timbulnya sesuatu yang tidak diingini. Keadaan ini menurutnya, ada sesetengah pesakit yang meminum segelas besar air rebusan akar kayu kononnya dengan cara itu akan menambahkan khasiat untuk melawan penyakit serta cepat sembuh.

"Meminum air dalam jumlah itu tidak mengapa jika ubat itu bersifat sejuk. Tetapi jika ubat itu bersifat panas seperti Tongkat Ali akan menyebabkan pening kepala. Jika berlaku hal seumpama ini, bukanlah salah ubat itu tetapi yang salahnya pesakit itu sendiri", katanya.

Pengalaman Pak Karim dengan seorang wanita yang datang ke kedainya membeli akar kayu Tongkat Ali untuk tujuan mengubati darah tinggi kononnya diberitahu oleh seorang individu bahawa tumbuhan herba berkenaan boleh mengubati penyakit darah tinggi. Pada mulanya Pak Karim tidaklah bertanya untuk tujuan apa wanita berkenaan membeli tumbuhan herba itu, tetapi setelah diketahui wanita berkenaan pening dan jatuh tersungkur disebabkan badannya terlalu panas kerana dos berlebihan. Selepas peristiwa itu beliau mula berhati-hati untuk tidak menjualnya kepada yang tidak berkenaan supaya tidak ingin lagi dialami oleh orang lain.

"Akar kayu ini sama ubat dari klinik atau hospital. Contohnya bagi seseorang yang sukar tidur, jika arahan doktor makan ubat tidur hanya sebiji saja janganlah makan sampai empat biji akan menyebabkan tidur terus", jelasnya sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Satu lagi pengalaman Pak Karim yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila dikunjungi seorang lelaki untuk membeli ubat kencing manis. Melihatkan keadaannya, Pak Karim enggan menjual akar kayu yang berkaitan kerana bimbang lelaki tersebut tersilap menggunakannya apatah lagi beliau sendiri tidak yakin akan sembuh sepenuhnya.  Namun, lelaki berkenaan ingin mencubanya juga kerana didapati kakinya telah berulat dan beliau sebenarnya takut kakinya itu dipotong. Walau bagaimanapun, berkat sering mengamalkan meminum air rebusan tumbuhan herba yang dimaksudkan itu, beliau dimaklumkan oleh lelaki berkenaan bahawa kakinya tidak lagi berulat malah telah kering dan sembuh sepenuhnya.

Pak Karim juga sempat mengimbau kenangan ibunya yang diserang sakit perut ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Untuk bergegas ke hospital terlalu jauh dari kediaman apatah lagi ketika itu tiada pengangkutan yang boleh membawa kereka ke sana. Justeru, terpaksalah ibunya merawat sakit perutnya itu sendiri dengan mengambil tujuh helai pucuk jambu batu lalu direbus sebanyak tiga cawan, tetapi diambil satu cawan sahaja untuk diminum sebagai ubat. Dengan kehendak Allah, sakit perut ibunya itu sembuh dengan segera. Penyebab sakit perutnya sembuh kerana daun jambu batu rasanya pahit, kelat dan bersifat sejuk. Manakala sakit perut itu bersifat panas, justeru sesuailah penyakit itu sembuh dengan segera kerana rawatan tadi tumbuhan herba perlu ada kedua-dua unsur berlawanan untuk mendapatkan tindakan sewajarnya terhadap penyakit.

"Misalnya demam panas juga boleh disembuhkan dengan meramas bunga raya bersama daunnya sekali sama ada berwarna putih atau merah, kemudian sapukan di tempat terasa panas tadi. Jika didapati kering sapulah lagi, nescaya bahang panas dan pening-pening akan hilang", ujar Pak Karim menambah.

Sehubungan itu, Pak Karim juga turut berpesan kepada orang ramai bahawa, jika rawatan moden didapati tidak sembuh, cuba berikhtiarlah dengan cara tradisional pula. Ini kerana menurutnya, sebagai manusia yang berakal kita perlu berfikir jangan menganggap perubatan moden saja yang sesuai tetapi rawatan tradisional yang berasaskan tumbuhan herba tidak baik. Ini kerana, sembuh atau tidak penyakit yang dihidapi itu bukannya terletak di tangan manusia tetapi daripada Allah jua.

Umpama memakan ubat juga, jika ubat itu tidak menyembuhkan penyakit yang dideritai cubalah ubat yang lain pula. Namun bagi Pak Karim, satu hal yang ingin diulangi pesanan itu ialah di samping makan ubat cubalah mengamalkan pantangnya sekali, barulah penyakit yang dihidapi cepat sembuh dengan sempurna.             

Abdul Karim bin Dara atau Pak Karim ketika diwawancara Wartawan RELATIF di gerai herbanya.




Beberapa jenis akar kayu siap dipotong untuk dijual kepada pelanggan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Urutan Minyak Kelapa


URUTAN MINYAK KELAPA

MACHANG, KELANTAN Urat saraf semestinya tidak dapat menanggung beban jika sering memikul benda-benda berat yang lebih dari kemampuan tenaga. Apatah lagi jika individu yang melakukan kerja-kerja berkenaan telah lanjut usia akan menyebabkan urat saraf terus meragam jika diteruskan juga, akan mengakibatkannya terseliuh dan tentunya akan menanggung kesakitan yang berpanjangan. Malahan jika tidak diurut, tentunya urat saraf tersebut akan terus membengkak.

Sebut saja perihal mengurut, rawatan saraf dan refleksologi secara tradisional ini masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat di Kelantan walaupun ubat-ubatan moden dikatakan mampu meredakan kesakitan yang dialami. Namun, ketahuilah bagi yang berharap kepada urutan dari tukang urut yang mahir dan berpengalaman dalam bidangnya akan mencuba kaedah tersebut kerana dengan cara ini sahaja urat-urat saraf yang bermasalah akan dapat diselesaikan.


Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kaedah mengurut secara tradisional ini, Penulis telah menemui seorang tukang urut yang agak mahir dan berpengalaman dengan sistem saraf, Awang bin Said, 47, atau dikenali Awang Tukang Urut yang berasal dari Kampung Pertok, Temangan telah diundang oleh bapa Penulis ke rumahnya di Kampung Temangan Lama yang meminta beliau untuk mengurutnya kerana mengalami masalah kekejangan urat saraf di beberapa bahagian anggota badan termasuk masalah kaki bengkak, ini tentunya amat menyukarkannya untuk melaksanakan kerja-kerja kampung.

Menurut Awang yang kini menetap di Kampung Pauh, Temangan, Machang, Kelantan berkata, keturunan beliau sebenarnya seorang tukang urut. Beliau yang memang mendapat ilmu terus dari arwah atuknya, Musa telah diwariskan ilmu tersebut kepadanya kerana beliau sememangnya berminat dengan kerja-kerja sedemikian. Abangnya yang sulung, Mamat bin Said juga seorang tukang urut yang mahir turut memperolehi ilmu dari atuknya itu.

"Masyarakat di Kampung Pertok memang maklum tentang kebolehan abang mengurut", jelasnya kepada Penulis.

Tambah Awang lagi, beliau belajar mengurut ketika usia 26 tahun dan pada ketika itu juga beliau mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya dari Kampung Temangan Lama. Justeru, atuknya pernah berpesan jika beliau ingin belajar beberapa kaedah mengurut yang ternyata pesakit tidak akan terasa kesakitannya sewaktu diurut adalah ketika hayatnya supaya sentiasa membaca Al-Quran, tidak meninggalkan solat dan selepas mengurut melepaskan segala beban yang datang dari pesakit agar tidak memudaratkannya sebagai tukang urut. Jadi, langkah pertama beliau belajar mengurut dengan melihat bagaimana arwah atuknya mengurut beberapa orang pesakit dari kampungnya sendiri yang sering datang ke rumahnya.

Dalam masa yang sama, beliau belajar dari atuknya itu cara mengenal urat saraf dan mengesan kesakitan di samping kaedah mengatasi kesakitan akibat pelbagai sebab dan keadaan. Atuknya juga turut memperkenalkan beberapa urat dari bahagian badan, urat yang seringkali merasa sakit dan mudah terseliuh dan ada juga dikenali sebagai 'urat manja'.

"Abang sememangnya tidak mengetahui sepenuhnya jenis-jenis urat dalam tubuh manusia, tetapi abang dapat tahu urat mana yang terasa apanila menyentuhnya. Atas ikhtiar kerana Allah saja, abang berusaha menyembuhkannya", ujarnya.

Menurut Awang, setelah mewarisi sepenuhnya ilmu mengurut yang diperturunkan oleh atuknya itu, maka pada tahun 1971 bermulalah khidmatnya sebagai tukang urut bermula di kampung asalnya itu. Minatnya kepada kerja-kerja mengurut itu digunakan sepenuhnya dengan ilmu itu apabila sering menerima pelawaan masyarakat dari kampungnya. Berita tentang kemahirannya mengurut ialah bermula dari seorang rakannya sendiri dari kampung yang sama yang memang mengetahui bahawa beliau seolah-olah tukang urut berpengalaman walaupun masih dalam usia muda. Dari situlah beliau mula dikenali hinga ke kampung-kampung jiran yang lain seperti Kampung Pangkal Chuit, Kampung Pangkal Jenereh dan kampung-kampung yang berdekatan.

Kaedah beliau mengurut amat kompleks dan mudah dilakukan jika diperhatikan betul-betul. Beliau mula mengurut pesakit dengan cara menyentuh bahagian belakang pesakit. Bemula dari bahagian belakang pesakit terutamanya dari bahagian bahu, kaki dan proses terakhirnya ialah di bahagian perut.

"Sebab-sebab dimulakan di bahagian belakang pesakit kerana kebiasaannya pesakit akan terasa uratnya sakit di bahagian belakang terutamanya dari bahagian bahu yang dikenali sebagai 'tulang kipas', tapak kaki, paha dan urat perut.

"Sebab lain ialah urat di bahagian bahu merupakan tempat punca bagi seluruh urat saraf yang pastinya akan terasa ke bahagian-bahagian lain seperti kepala dan kaki", jelasnya apabila ditanya kaedah beliau mengurut pesakit berbanding sesetengah tukang urut yang mengurut di bahagian perut.

"Masalah pening kepala yang sering dirasakan pesakit kerana berpunca masalah urat saraf. Manakala kencing tidak sempurna akibat masalah angin disebut "angin medu" dari urat perut. Jadi, apabila diurut di bahagian berkenaan masalah pening kepala dan kencing akan dapat diselesaikan", ujarnya menambah.

Menariknya sewaktu mengurut pesakit ialah beliau hanya menggunakan minyak kelapa sahaja. Berbanding dengan tukang-tukang urut lain yang sering menggunakan minyak sapu seperti minyak urat atau minyak panas yang pastinya pesakit akan berasa tidak selesa apabila diurut. Namun, apa yang dimaklumkan oleh Awang, beliau menggunakan minyak kelapa kerana akan menjadikan kulit pesakit licin dan mudah diurut di samping untuk memberikan keselesaan kepada pesakit sendiri berbanding minyak urut yang pastinya akan terasa kesat, kasar dan melekat kepada kulit pesakit.

Dalam pada itu menurut Awang lagi, tugasnya sebagai tukang urut telah banyak kali mengurut masalah bengkak sama ada pada kaki dan sendi. Ia sebenarnya dipengaruhi masalah urat saraf, jadi jika wujud hal berkenaan akan menyebabkan pesakit akan terasa sakit sewaktu berjalan. Manakala jika didapati urat pecah, beliau tidak akan mengurut urat tersebut kerana akan menimbulkan masalah kepada pesakit jika berbuat demikian. Namun, beliau akan membuat urutan di bahagian lain yang ada kaitan dengan urat yang bermasalah itu.

Tambah Awang seterusnya, beliau amat biasa menemui pesakit yang mengalami pening-pening. Keadaan ini menunjukkan urat di bahagian bahu sememangnya bermasalah. Dalam hubungan ini, apabila menyentuhnya didapati bahu pesakit akan terasa amat berat, jadi di samping bertindak mengurutnya di bahagian itu beliau tidak lupa untuk meringankan beban urat di bahagian paha pula. Tindakan demikian akan menyebabkan pesakit akan terasa ringan seumpama masalah yang dihadapi oleh mereka sudah dapat diselesaikan.

Katanya, banyak pengalaman yang dilaluinya sewaktu menjadi tukang urut. Terdapat dua pesakit dari kampungnya yang sukar diurut kerana pesakit berkenaan tidak dapat menahan kesakitan sewaktu diurut dan seorang lagi kerap ketawa kerana terlalu geli apabila beliau menyentuhnya di bahagian rusuk, tapak kaki, paha dan sebagainya.

Di samping itu menurutnya, terdapat juga mangsa kemalangan jalan raya yang perlu diurut untuk memperbetulkan masalah urat yang terseliuh di samping ada mangsa kemalangan yang sebelum ini telahpun dimasukkan besi dalam anggota badannya oleh pihak hospital berjaya diurutnya walaupun agak terlalu sukar untuk berbuat demikian. Seorang pesakit yang dimaksudkan dikenali sebagai Ismail di mana beliau terpaksa mengurut urat paha yang didapati agak tegang, apa pun urutan berkenaan memang berhasil kerana urat di bahagian berkenaan memang selari dengan urat-urat di bahagian lain.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan olehnya sehingga hari ini sewaktu mengurut pesakit berasal dari Kampung Bukit Besi yang diganggu makhluk halus di mana tubuhnya memang menjadi tempat untuk makhluk berkenaan menumpang. Akibat diganggu makhluk berkenaan, pesakit tersebut pengsan. Apabila beliau menyentuh tubuh mangsa, tubuhnya terasa seram dan bulu romanya meremang buat seketika untuk menunjukkan kehadiran makhluk halus itu. Tetapi berkat memohon pertolongan daripada Allah di samping meniupkan beberapa kalimah suci Al-Quran ke tubuh mangsa, pesakit berkenaan berjaya diurut dan sembuh sepenuhnya.

"Dalam tubuh manusia ini, sekurang-kurangnya terdapat 10 jenis nadi. Jika nadi itu masih hidup, rawatan dan urutan boleh dilakukan dan jika Allah mengkehendaki pesakit itu berjaya diurut dan sembuh, pesakit itu pasti sembuh", ujarnya.

Tambah Awang lagi, apabila didapati dirinya berpeluh untuk menunjukkan urutan yang dilakukan terhadap pesakit telah menemui kejayaan. Malah dalam masa yang sama, pesakit akan berasa tubuh badannya agak ringan daripada sebelumnya. Sehubungan dengan itu, beliau amat berharap kepada orang ramai sama ada lelaki dan wanita yang mengalami masalah urat saraf seperti terasa pening, bahu terasa berat, langkah didapati lambat malah sering sakit-sakit di bahagian sendi dan sebagainya, segeralah berurut dan janganlah malu-malu. Ini kerana, kesakitan yang wujud di bahagian berkenaan untuk menunjukkan aliran darah terganggu, Justeru, apabila diurut dan urat di bahagian terlibat dapat diservis, tentunya aliran darah kembali normal. Jika tidak, pesakit akan menghadapi masalah lain yang lebih kritikal jika lambat berbuat demikian.   


Awang Said.


Arwah bapa Penulis sedang diurut Awang Said.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 29 Disember 2011

Rawat Dengan Al-Quran


RAWAT DENGAN AL-QURAN

MACHANG, KELANTANTIDAK semua Pengamal Rawatan Tradisional dapat merawat penyakit melalui amalan berdasarkan tunjuk ajar daripada guru walaupun hakikatnya setiap pelajaran memerlukan kepada bantuan dan bimbingan guru. Namun percayalah setakat Penulis menemubual pengamal rawatan tradisional di Kelantan, inilah kali kedua pengamal yang dimaksudkan mendakwa tidak pernah mendapat tunjuk ajar daripada mana-mana guru.

Pengamal Rawatan Tradisional yang dimaksudkan ialah Derasid bin Seman, 115, atau lebih dikenali Paksu Derasid dari Kampung Bukit Besi, Temangan Lama, Machang, Kelantan adalah sesuatu yang agak luar biasa yang dianugerahkan kelebihan oleh Allah kepadanya.

Menurut Paksu Derasid yang berasal dari Kampung Kangkong, Pasir Mas, Kelantan dan sebagai peneroka tanah hutan di Kampung Bukit Besi itu berkata, sebelum zaman pendudukan Jepun di Kelantan beliau adalah seorang remaja yang tidak mempunyai sebarang kelebihan luar biasa. Namun, mungkin berkat amalan sering membaca dan mengamalkan setiap kandungan ayat-ayat dan surah di dalam Al-Quran kerana kitab berkenaan mempunyai banyak khasiat serta kelebihan yang sepatutnya dibaca dan dikaji selalu, sedikit sebanyak sebagai penyebab beliau mendapat ilham sedemikian terus daripada Allah.

Beliau yang mengalami masalah pendengaran akibat faktor usia dikatakan tidak ingin dikenali sebagai "bomoh", hanya mengetahui malah memperolehi kelebihan merawat pesakit yang ditimpa kesulitan selepas Jepun menyerah kalah, akur dengan pemberian Allah. Tambahnya, terdapat seorang pesakit yang datang ke rumahnya memerlukan bantuannya supaya merawat masalah yang dialami. Pada mulanya, beliau enggan menurut kehendak pesakit tersebut kerana beliau tidak pernah belajar atau menerima sebarang amanat daripada mana-mana guru sebagaimana pengalaman pengamal rawatan tradisional yang lain.

Mendengar penjelasannya itu menyebabkan pesakit berkenaan agak hampa kerana pada masa itu belum terdapat seorang perawat tradisional yang mampu merawat pesakit bahkan belum wujud kemudahan klinik dan hospital sebagaimana hari ini. Namun, berikutan tidak ingin menghampakan kehendak pesakit yang datang dari jauh, beliau cuba berikhtiar dengan berserah terus ke hadrat Allah. Berkat keyakinan hatinya yang putih bersih bahawa Allah yang mendatangkan penyakit, maka Allah juga yang menyembuhkannya, penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut sembuh dengan sempurna.

"Dari situlah Paksu mendapat kepercayaan dari kebanyakan orang ramai untuk datang mendapat rawatan yang sepatutnya", ujarnya ketika ditemui Penulis di kediamannya di Kampung Bukit Besi itu.

Tambahnya lagi, di antara rawatan yang dilakukannya bukan sahaja melibatkan penyakit kulit seperti bertih (tompok-tompok hitam), campak, panau, resdung dan kanser (barah). Namun beliau akan berikhtiar untuk menyembuhkan semua jenis penyakit dengan izin Allah.

Hari ini, ramai pesakit selain yang pernah menerima rawatan daripada pihak klinik dan hospital bukan sahaja dari Kelantan seperti Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang. Namun menurutnya, terdapat juga pesakit dari luar Kelantan datang mencarinya semata-mata ingin mendapatkan khidmat rawatan darinya.

Beberapa orang penduduk setempat mendakwa, penduduk di kampung itu termasuk kampung berjiran seperti Kampung Temangan Lama, Kampung Kerilla, Kampung Pasir Senor, Temangan Bandar, Kampung Bedal, Kampung Temangan Tengah dan Pertok akan menghadapi masalah sekiranya Paksu Derasid meninggal dunia. Ini menurut mereka, berikutan amalannya tidak bersandarkan kepada guru sudah tentu tidak diperolehi ilmu yang sepatutnya yang sewajarnya perlu diperturunkan kepada pelajar-pelajar.

Walau bagaimanapun, Paksu Derasid sempat memberikan beberapa amanat dalam menghindarkan masalah penyakit supaya sentiasa ingatkan Allah dalam setiap detik dan ketika, usaha dan ikhtiarlah di atas dunia ini semasa kamu hidup malah Allah jangan dilupakan. Di samping hidup di dunia ini sekadar bekerja untuk bekalan ke kampung akhirat, itulah sebaik-baik ilmu.  


Derasid bin Seman atau Paksu Derasid.

 Inilah kediaman Paksu Derasid di Kampung Bukit Besi, Temangan Lama, Machang, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Bidan Tradisional


TUKANG URUT DAN BIDAN TRADISIONAL

PASIR MAS, KELANTAN:  TUKANG URUT dan bidan tradisional atau disebut juga bidan kampung sudah semakin berkurangan dan boleh dikatakan agak terpinggir di zaman moden hari ini. Ini kerana, peranan bidan tradisional telah diambil alih oleh jururawat masyarakat dan jururawat desa. Manakala tukang urut pula kurang diberikan perhatian oleh sesetengah masyarakat apabila kebanyakan di antara mereka hanya bergantung kepada ubat-ubatan berbanding urutan urat saraf yang hakikatnya lebih baik jika wujudnya masalah urat saraf dan otot. Apatah lagi, timbulnya pelbagai tohmahan dan kepercayaan keliru masyarakat moden dewasa ini yang menganggap kononnya tukang urut tradisional adalah punca segala-galanya.

Walau bagaimanapun, di Kelantan misalnya peranan tukang urut dan bidan tradisional terhadap masyarakat kampung terutamanya di bahagian pedalaman masih tidak berbelah bagi. Ini kerana menurut mereka, walaupun ubat-ubatan moden dikatakan mampu mengatasi masalah kesakitan urat saraf, namun ubat-ubatan tersebut hanya sekadar bertindak untuk meredakan kesakitan itu sahaja berbanding dengan tukang urut dan bidan tradisional yang dapat menyelesaikannya sekaligus.

Sebagaimana dakwaan Tukang Urut dan Bidan Tradisional, Timah binti Taib, 74, atau lebih dikenali Mak Da dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Penulis berkata, urutan otot dan urat saraf perlu dilakukan terutamanya bagi golongan wanita yang terlalu penat atau terlalu banyak bekerja mengangkat benda-benda berat.

"Orang yang pakar dalam urutan akan dapat merasakan urat-urat saraf itu sakit, rosak atau mempunyai berbagai masalah selain menyentuh ibu kaki. Saraf yang terlibat perlu diberikan perhatian, jika tidak pesakit akan terus menderita kesakitan", jelasnya.

Katanya lagi, tukang urut yang mahir dan berpengalaman akan dapat mengetahui dengan mudah sama ada urat saraf tersebut bengkak dan bermasalah dengan hanya sentuhan. Ini jelas menunjukkan, tukang urut yang tidak berpengalaman boleh membuat urutan menurut cara mereka, tetapi akan mendatangkan masalah lain kepada pesakit, di mana pesakit tersebut akan merasa kesakitan yang amat sangat sehingga berbulan-bulan lamanya. Jadi, beliau menyarankan setiap pesakit yang memerlukan khidmat urutan, dapatkanlah tukang urut yang mahir dengan urat saraf dan bahagian anggota yang lain untuk mengelakkan saraf berkenaan luka dan rosak.

Menurut Mak Da, jika berlaku urat saraf yang sememangnya sakit di bahagian paha misalnya, apabila diurut di bahagian yang sakit itu kesakitannya akan dirasai di bahagian lain seperti di bahagian kaki dan jari kaki. Ini untuk menunjukkan urat saraf di bahagian paha itu telah rosak. Malah jika urat saraf yang masih berkeadaan baik, apabila diurut juga pesakit tidak akan merasa apa-apa kesakitan. Ini untuk menunjukkan urat saraf tersebut masih dalam keadaan sempurna lagi.

Tambahnya, setiap kali beliau mengurut pesakit akan dimulai dengan ibu kaki. Ini kerana, dengan menyentuh kedua-dua ibu kaki beliau sudah dapat mengetahui urat dan saraf di bahagian mana yang rosak atau rosak teruk. Berbanding di kalangan segelintir tukang urut yang dimulai di bahagian perut tentunya akan menyebabkan urat dan saraf akan mudah rosak.

Mak Da bukan sahaja gah di Kampung Slow Machang itu serta daerah-daerah lain di Kelantan semata-mata, tetapi juga cukup dikenali dari luar Kelantan kerana ketelitiannya dalam memberikan khidmat sedemikian. Beliau yang mendapat tunjuk ajar dari emak saudaranya bernama Mak Sah seorang Tukang Urut dan Bidan Kampung tersohor dari Tumpat, Kelantan ketika itu yang tidak mempunyai zuriat telah memeliharanya sejak kecil dan telah memperturunkan segala ilmu perbidanan dan urutan saraf kepadanya peringkat demi peringkat.

Sambungnya, sepanjang beliau mengurut pesakit banyak pengalaman yang telah ditempuhnya terutamanya ketika mengurut seorang yang lumpuh. Berkat kesabarannya, pesakit lumpuh itu berjaya dipulihkan. Ini menurutnya, urat saraf pesakit berkenaan dalam keadaan parah dan dilitupi lendir untuk menunjukkan pesakita tersebut sepanjang hidupnya tidak pernah melakukan servis bagi memperbetulkan keadaan urat sarafnya.

Selain itu, Mak Da juga pernah mengurut seorang lelaki yang mengalami penyakit uluran. Ketika itu jam 2.00 pagi, pada mulanya beliau enggan untuk berbuat demikian disebabkan pesakit itu adalah seorang lelaki dan tidak manis seorang wanita mengurut lelaki. Pesakit itu pula dalam keadaan nazak, tetapi melihatkan situasi itu suaminya mengizinkan beliau dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa. Jadi, hasilnya agak memuaskan apabila pesakit tersebut sihat kerana banyak urat-urat sarafnya dalam keadaan tidak tentu.

"Setakat Mak Da memberikan khidmat mengurut ni tak pernah lagi pesakit komplen. Bahkan ada pesakit yang memberitahu, mereka berasa selesa berurut dengan Mak Da dan tidak akan memilih tukang urut lain", ujarnya menambah.

Menariknya berdasarkan kepada pengalaman Mak Da ketika mula-mula menceburi bidang perbidanan iaitu semasa menguruskan seorang ibu yang bakal melahirkan seorang bayi. Pada mulanya beliau agak ragu-ragu dan enggan berbuat demikian kerana tugas berkenaan agak rumit apatah lagi terpaksa menunggu masa yang agak lama lebih-lebih lagi bimbang akan timbul masalah kepada bakal itu tersebut. Tetapi disebabkan desakan ibu berkenaan apatah lagi kerana kasihankan ibu itu yang bakal bersalin nanti tanpa bantuan sesiapa, jadi beliau terpaksa menghulurkan bantuan demi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi tersebut. Dari situlah beliau mula dikenali ramai kerana berjaya menyelamatkan keadaan.

Pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan oleh Mak Da ialah apabila sepasang suami isteri datang menemui di rumahnya bahawa mereka sudah lama mendirikan rumahtangga, masalahnya ialah sukar mendapat anak. Pasangan berkenaan berharap Mak Da dapat berikhtiar supaya mereka dikurniakan zuriat yang sepatutnya sebagai penyeri rumahtangga mereka nanti. Dengan takdir Illahi hasil ikhtiar Mak Da, ibu berkenaan hamil malah semasa proses bersalin pun menggunakan khidmat Mak Da juga.

Semenjak dari peristiwa itulah, namanya menjadi sebutan bakal-bakal ibu dan ibu-ibu yang akan bersalin untuk mendapatkan khidmagnya termasuklah khidmat bertungku. Selepas daripada itu beliau sering mendapat jemputan dari pesakit yang ingin berurut di rumah masing-masing termasuk juga dalam urusan bersalin dan bertungku. Selain yang datang berurut di rumahnya merupakan suatu tugas dan khidmat bantuan yang agak biasa baginya. Mak Da juga sering dianggap seorang yang peramah dengan ketawanya yang memukau pesakit apatah lagi kadar bayaran yang dikenakan tidak membebankan pesakit turut menjadi tarikan utama beberapa keluarga untuk mendapatkan khidmatnya.

Mak Da juga memberitahu, ada juga pesakit yang datang berurut secara ulangan bagi memantapkan dan memulihkan urat saraf yang bermasalah. Beliau juga bersedia memberikan khidmat kepada pesakit-peesakit dari luar Kelantan jika diminta untuk berbuat demikian sebagai usaha membantu individu yang memerlukan pertolongannya.      

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khatan Kali Kedua


KHATAN KALI KEDUA

KOTA BHARU, KELANTAN:  Berkhatan atau bersunat adalah dua istilah yang sama ertinya malah begitu sinonim dengan lelaki Islam. Kepentingan bersunat atau berkhatan adalah untuk membuang darah kotor yang terkumpul pada alat sulit kanak-kanak lelaki supaya berkeadaan bersih dan suci, malah solat yang dilakukan akan lebih sempurna jika bahan kotor itu dibuang. Tetapi ketahuilah bahawa, ada juga kalangan lelaki dewasa yang melakukan sunat kali kedua yang bertujuan untuk mengembalikan tenaga kelelakian yang kendur atau alat kelamin yang lemah terus bertenaga di samping menghindarkan masalah lemah tenaga batin.

Hal seumpama ini tidak diketahui oleh semua lelaki, kerana banyak kes-kes perceraian yang turut melibatkan "lemah tenaga batin" dan alat kelamin yang tidak bertenaga berpunca daripada masalah pihak lelaki sendiri. Isteri yang belum mencapai tahap kepuasan seks secara maksimum akan menyalahkan suami-suami mereka yang terbeban dengan masalah lemah tenaga seks itu.
Kurang tenaga kelelakian mahupun lemah tenaga batin bukan suatu perkara kecil dan remeh malah pesakit tidak sewajarnya mendiamkan diri jika menghadapi masalah sedemikian. Akibat terlalu malu menerima rawatan apatah lagi terdapat segelintir lelaki yang terlalu ego tidak akan mempedulikan masalah mereka lalu membiarkannya sehingga kepada tahap yang kritis.

Bagi menjelaskan perkara dan fenomena ini, Penulis berkesempatan mewawancara pakar merawat masalah  sedemikian yang juga seorang Mudim, Mohd. Azman Haji Mahmood, 46, dari Kampung Pauh Panji dekat sini. Beliau yang juga seorang pengusaha gerai makanan menjelaskan, beliau belajar sebagai seorang mudim dari arwah bapanya yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Perubatan (H.A) di Hospital Besar Kota Bharu (kini Hospital Raja Perempuan Sultanah Zainab II).

Selain begitu mahir dalam selok-belok mudim dan pakar berhubung dengan tenaga batin, adik-beradiknya yang lain seramai lima orang mempunyai minat dan kemampuan sepertinya juga. Namun, daripada pendapat arwah bapanya amat jelas, beliaulah yang begitu menyerlah yang mewarisi ilmu dan kemahiran sedemikian terus daripada arwah bapanya itu. Walaupun begitu menurutnya, semasa melakukan sunat atau berkhatan beliau tidak melakukannya seorang diri, tetapi turut dibantu oleh abangnya yang tinggal di Tapang, Kota Bharu, Kelantan.

"Abang Man tidak melakukan khatan itu secara bersendirian, sebaliknya turut dibantu oleh abang. Kadang-kadang anak lelaki Abang Man turut sama membantu. Upacara khatan ini Abang Man lakukan di rumah", ujarnya yang membahasakan dirinya Abang Man semasa kunjungan Penulis di kediamannya di Kampung Pauh Panji.


Menurut Mudim Azman lagi, minatnya menjadi mudim terdetik ketika beliau masih di peringkat remaja lagi iaitu dalam usia 17 tahun sehinggalah usianya 42 tahun. Beliau sering menurut ke mana bapanya pergi menjalankan tugas sama ada ke Gua Musang sehingga ke Perlis. Tiga tahun selepas itu, dia mula belajar cara-cara merawat lelaki mati pucuk dari arwah bapanya.

"Arwah bapa sentiasa menunjuk ajar nama jenis-jenis urat saraf, penyebab mati pucuk dan cara-cara mencegahnya, semuanya dapati difahami Abang Man dengan sempurna", katanya.

Beliau menjelaskan, penyebab orang mati pucuk berikutan darah yang mengalir melalui urat dan saraf berkenaan tidak begitu sempurna. Apatah lagi, pesakit mati pucuk itu sewaktu disunatkan dahulu tidak mengeluarkan darah. Keadaan ini amat membahayakan alat kelamin pesakit kerana sepatutnya darah tersebut dapat terus mengalir.

Contoh jelas apabila pengalaman beliau merawat seorang lelaki yang cuba membohonginya kononnya alat sulitnya itu masih berkeadaan baik. Sebaliknya, apabila beliau merawatnya didapati dengan jelas alat sulit lelaki tersebut sangat lemah. Akhirnya lelaki tersebut mengaku kerana tembelangnya cuba menyembunyikan hakikat sebenar telah diketahui. Akhirnya pesakit tersebut terpaksa dirawat dengan membebaskan darah itu selama satu minit kemudiannya dikeringkan selain beberapa urat saraf terpaksa diperbetulkan untuk mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung urat-urat saraf tersebut.

Mudim Azman menjelaskan lagi, masalah mati pucuk yang ditanggung oleh penghidapnya kerana beberapa sebab umpamanya kerana memakan ubat untuk menguatkan tenaga seks seperti "Viagra" dan ubat tahan lama, melakukan jimak ketika isteri datang haid serta individu yang sememangnya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.

Menurutnya, beliau melakukan upacara sunat dan khatan melalui kaedah moden dan bukannya secara tradisional. Malahan setakat beliau melakukan khatan tidak pernah berlaku pesakit yang datang bersunat dengannya bertempiaran lari kerana takut. Setakat ini juga pesakit yang pernah menerima rawatannya tidak pernah memberikan komen atau menunjukkan rasa tidak puas hati berhubung khidmat yang telah dicurahkannya.

Bersunat cara moden dan tradisional adalah hampir sama sahaja dan tidak betullah kalau dikatakan bersunat di hospital penyebab kepada ramai yang mengalami masalah mati pucuk. Cuma yang bezanya ialah dari segi tekniknya sahaja", katanya memperbetulkan dakwaan kononnya berkhatan di hospital penyebab mati pucuk.

"Abang Man juga banyak menerima pesakit yang bermasalah seperti masalah zakar, alat kelamin yang tidak mempunyai takuk dan adanya ketumbuhan ganjil datang berubat", ujarnya.

Mudim Azman menambah, di zaman arwah bapanya tidak mempunyai masalah sebagaimana di zaman ini. Ini kerana, setakat beliau menjadi mudim sehingga hari ini beliau kerap dikunjungi pesakit dari pelbagai golongan veteran yang alat kelaminnya tidak mempunyai takuk. Alat kelamin yang tidak mempunyai takuk kerana beberapa sebab umpamanya tidak pernah bersunat ataupun pihak mudim tidak pernah menyentuh bahagian tersebut menyebabkan kulitnya telah serasi dengan alat kelamin berkenaan.

Beliau juga banyak menerima kanak-kanak yang ingin berkhatan tetapi tidak diterima oleh pihak hospital kerana beberapa masalah tertentu. Justeru, beliau bersedia menghulurkan khidmat terhadap kanak-kanak yang mempunyai masalah alat kelamin pendek, alat kelamin masuk ke dalam, buta dan masalah zakar. Sebaliknya, jika golongan veteran yang mengalami masalah sedemikian dia akan menolaknya terutamanya jika masalah sejak asal lagi.

Mudim Azman turut menyentuh tentang masalah alat kelamin lelaki Melayu akan mengalami daya tahan yang agak lemah apabila usia seseorang itu telah mencecah 40 tahun ke atas ataupun 90 peratus dari kalangan mereka terdedah kepada masalah sedemikian. Maknanya, jika mereka mempunyai 4 hingga 5 orang anak, alat kelamin akan bertenaga hanya sekitar 70 hingga 80 peratus sahaja. Sebaliknya apabila diservis buat kali kedua pasti meningkat sehingga 90 peratus.

Pengalaman beliau membuat servis terutamanya bagi golongan veteran dari Bachok, Kelantan telah pulih sepenuhnya. Manakala terbaru ialah pesakitnya yang datang dari Johor telah menghabiskan sejumlah RM48,000 kerana berubat dari pelbagai bomoh untuk tujuan menambah tenaga alat kelaminnya, tetapi tidak juga berjaya. Setelah menemui beliau, pada mulanya pesakit berkenaan tidak begitu yakin dengan rawatan yang diberikan, tetapi apabila diyakinkan barulah rawatan dapat dilakukan. Akhirnya, setelah pesakit tersebut pulang ke Johor, beliau menerima panggilan yang menyatakan masalah yang dihadapinya itu telah selesai, malah beliau hanya menerima bayaran setakat RM100 sahaja.

Selain itu menurutnya, masalah kelamin lelaki bukan sahaja dialami oleh golongan Melayu semata-mata. Sebaliknya, kaum Cina dan India juga mengalami perkara yang sama. Kemampuan alat kelamin mereka bertenaga sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja, ini berdasarkan kepada pengalamannya merawat masalah yang dihadapi oleh mereka.

Berhubung dengan rawatan sedemikian, beliau kerap dikunjungi pesakit dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari Johor, Kuantan, Kelang, Seremban, Sabah, Sarawak, Brunei dan Thailand.

"Walaupun ada yang cuba meminum air rebusan akar kayu dan tumbuhan herba, untuk memulihkan masalah lemahnya alat kelamin tidak akan mencapai tahap seratus peratus. Ini kerana, air akar kayu dan tumbuhan herba semata-mata untuk memulihkan urat saraf sahaja. Sebaliknya untuk memulihkan masalah alat kelamin ini hanya dua cara sahaja iaitu dengan membuat urutan dan 'servis", ujarnya bagi memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak.

Dengan itu, beliau menyarankan kepada pesakit yang menghadapi masalah alat kelamin yang kurang tegang, beliau bersedia memberikan pendapat, jika perlu dirawat beliau bersedia merawatnya. Malah jika pesakit berkenaan menghidapi masalah mati pucuk asal, beliau tidak mampu untuk mengatasinya sebaliknya jika masih baru beliau boleh merawatnya dan insya Allah akan sembuh sepenuhnya.

"Maksud mati pucuk asal ialah apabila pesakit yang menghidapinya ketika zaman kanak-kanak lagi. Tetapi jika mati pucuk baru akibat tersalah makan ubat dan alahan terhadap ubat, Abang Man boleh membantu", jelasnya.

Mudim Azman juga ingin mengulangi bahawa, beliau tidak akan membantu pesakit yang menghidapi serangan darah tinggi, jantung dan kencing manis melebihi tahap 10 peratus di samping golongan telah berusia 70 tahun ke atas.

Pengalamannya merawat pesakit lelaki yang telah berusia 70 tahun ternyata mendatangkan masalah. Lelaki tersebut yang berhajat untuk memperisterikan seorang gadis berusia 23 tahun pada mulanya tidak mampu dipulihkan. Ini kerana, golongan berkenaan mempunyai struktur urat saraf yang rapuh. Jika diikat juga, struktur urat saraf  tersebut akan putus dan jika tersalah langkah pesakit akan menemui maut.

Walau bagaimanapun, atas usahanya tanpa mengenal putus asa dengan niat untuk membantu, akhirnya pesakit tersebut dapat dipulihkan tetapi sememangnya bermasalah. Menurutnya, jika hari ini ada lagi yang mengharapkan bantuannya seumpama itu, beliau tidak akan teragak-agak untuk menolaknya kerana tidak ingin mengambil risiko.

Mudim Mohd. Azman boleh dihubungi melalui telefon:
019-9080742 / 019-9064804


Mudim Mohd. Azman Haji Mahmood ketika ditemui Penulis.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 28 Disember 2011

Rawat dan Refleksologi


RAWAT DAN REFLEKSOLOGI

KOTA BHARU, KELANTAN:  PENYAKIT datang seperti kilat tetapi kembali (sembuh) seperti semut merayap. Ia berpunca daripada kecuaian serta sikap tidak ambil peduli di kalangan segelintir manusia yang terlalu lambat menerima rawatan. Apabila ditahap kritikal, barulah mereka mula menggelabah. Sepatutnya apabila berasa tanda-tanda tidak sihat seperti berdenyut, kebas atau sengal-sengal di beberapa bahagian sendi dan saraf merupakan sebahagian daripada syarat berlakunya gangguan kesihatan. Namun, kebanyakan kita tidak mempedulikannya, akibatnya menderita seumur hidup dan tentunya menyesal tidak sudah.

Membicarakan perihal rawatan, sama ada rawatan moden atau berdasarkan kaedah rawatan tradisional, kedua-duanya mempunyai satu tujuan sahaja dalam hidup manusia iaitu memperolehi kesihatan yang baik, sempurna serta dapat menjalani kehidupan yang sihat, jelas Pakar Urut, Refleksologi dan Rawatan Tradisional, Haji Remli bin Musa atau dikenali juga Abang Haji, 54, dari Kampung Seribong, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Penulis di kediamannya itu.

Selain pakar urut yang begitu mahir dengan sendi dan saraf dalam tubuh manusia, beliau turut menggabungkan di antara kaedah mengurut secara tradisional dan refleksologi, malahan turut merawat penyakit yang berpunca daripada gangguan makhluk halus berdasarkan kaedah tertentu sehingga pesakit sembuh sepenuhnya.

Ketika diminta menceritakan kisah hidupnya berhubung dengan rawatan yang dilakukannya, beliau mempelajari ilmu di bidang berkaitan semenjak usia 13 tahun lagi di mana beliau memperolehi ilmu tersebut secara sepontan (melalui ilham), walaupun tidak menolak disebabkan dari keturunan moyangnya sendiri yang mahir dengan perubatan terbabit. Apatah lagi, sejak kecil beliau sendiri amat berminat untuk berbakti kepada orang yang memerlukan pertolongan walaupun pada masa itu beliau masih belum memahami apa-apa tentang rawatan yang dimaksudkan.

"Pengalaman pertama saya semasa merawat pesakit strok di mana dalam hati saya berharap penyakit ini sembuh dengan segera. Selepas itu, saya merawat penyakit busung (uluran) terutama di kalangan kanak-kanak yang berpenyakit batu zakar besar sebelah.

"Kaedah rawatan saya ialah dengan memohon doa meminta Allah memperkenankan harapan saya supaya penyakit itu sembuh seperti sediakala", ujarnya yang juga pernah berlakon dalam sebuah drama tempatan sebagai pelakon tambahan.

Namun, disebabkan beliau masih belum dikenali menyebabkan rawatan yang dilakukannya seperti tenggelam dan timbul silih berganti kerana masih belum lagi memiliki ilmu yang secukupnya di bidang terbabit. Berikutan minat yang semakin mendalam ditambah pula dengan usahanya yang tidak pernah jemu kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit yang dianggap tenat pada masa itu, beliau mula mempelajari kaedah mengurut daripada bapanya dan semenjak itu juga minatnya dalam bidang mengurut semakin menyerlah. Pada tahun 2000 ketika usianya mencecah 48 tahun, dari sekadar minat mengurut beliau menjadikannya kerjaya sepenuh masa dalam usaha membantu orang ramai yang memerlukan khidmatnya sebagai pakar urut.

"Walaupun memulakan aktiviti mengurut, saya masih meneruskan pembelajaran di bidang berkaitan sehingga hafal tentang ilmu itu. Di samping mengurut, saya turut merawat mangsa buatan orang, kanak-kanak terkena sawan, lemah tenaga batin, resdung, buasir, masalah kencing, penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pasangan tidak memiliki anak", katanya.

Haji Remli berkata, sebelum membuat urutan beliau akan melihat keadaan pesakit terbabit. Sekiranya pesakit itu terseliuh urat di leher termasuk pesakit tersalah bantal semasa tidur, beliau akan memulakan urutan di bahagian leher itu. Apabila pesakit itu tersalah di bahagian pinggang, beliau akan mengurut di bahagian pinggang. Ini kerana menurutnya, di bahagian pinggang merupakan kawasan penting terletaknya urat saraf. Baginya, kebanyakan golongan lelaki ini mengalami gangguan kesihatan disebabkan masalah di bahagian pinggang, jadi sewajarnya bahagian tersebut perlu diberikan keutamaan.

Manakala di bahagian kaki pula beliau akan membuat urutan refleksologi kerana menurutnya di bahagian kakilah terdapatnya urat saraf yang berhubung kait dengan jantung, paru-paru dan organ-organ penting yang lain. Selain itu, beliau juga akan bergantung kepada keadaan kesakitan yang dialami oleh pesakit itu sendiri. Menurutnya, keadaan manusia tidak sama dan bertolak dari itu beliau berpendapat kadang-kadang individu manusia mempunyai penyakit yang agak pelik dan berbeza-beza.

Tambahnya, masalah terseliuh urat sebagaimana yang dialami kebanyakan orang kerana bersukan, terjatuh atau kemalangan akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat malah perlu diurut secepat mungkin. Katanya, terseliuh akibat terjatuh akan mengakibatkan sendi pesakit itu berlipat. Di bahagian cedera ini akan wujud darah beku (darah kotor). Dalam hal ini, jika di bahagian berkenaan tidak diurut, pesakit akan terus menderita sakit yang agak lama kerana urat di bahagian ini telah dimasuki angin.

Selain strok, beliau pernah merawat pasangan yang tidak memiliki anak walaupun beberapa tahun telah mendirikan rumahtangga. Tambahnya, apabila beliau memberikan rawatan pesakit perlu yakin dengan ikhtiar yang dilakukannya supaya masalah berkenaan menemui kejayaan.

Katanya, walaupun terdapat individu yang pernah menerima rawatan di hospital, jika belum sembuh juga, cuba-cubalah dengan rawatan tradisional. Ini kerana menurutnya, kadang-kadang ada jenis-jenis penyakit sembuh di hospital dan kadang kala sembuh dengan rawatan tradisional. Ini bermakna, di antara rawatan tradisional dengan moden perlu seiring.

Terangnya lagi, bagi individu yang telah lama mendirikan rumahtangga tetapi gagal mendapat zuriat, kedua-dua pasangan tersebut diminta datang berjumpa dengannya, penting untuk melihat keadaan pasangan untuk mengenal pasti, adakah suami isteri itu yang bermasalah. Menurutnya, kegagalan memperolehi cahaya mata berkait rapat dengan masalah hormon atau kelemahan hormon sama ada di pihak suami mahupun isteri. Kadang-kadang keadaan hormon di pihak isteri tersekat atau terhalang oleh sesuatu sebab tertentu. Jika wujud halangan hormon di pihak isteri, beliau akan meminta si wanita itu meminum air tawar yang telah diisikan dengan wirid dan doa dari ayat-ayat Al-Quran.

"Saya pernah merawat pesakit yang mengalami sesak nafas. Puncanya disebabkan tulang rusuk mangsa tersepit di antara kedua-duanya. Disebabkan masalah pernafasan itu menyebabkan oksigen tidak dapat mengalir masuk ke bahagian paru-paru.

"Selepas itu, saya menggunakan kaedah urutan di kedua-dua tulang rusuk menurut cara yang tidak menyakitkan dan disukai pesakit", jelasnya.

Selain itu, beliau juga turut membuat rawatan penyakit kulit di mana penyakit ini berpunca daripada keadaan darah yang kotor. Kaedah yang diamalkannya ialah dengan memberikan ubat tradisional yang dihasilkannya sendiri kepada pesakit di mana bahan-bahan resipinya adalah terdiri dari hormon tumbuh-tumbuhan. Jika pesakit enggan menerima rawatan darinya atas sebab-sebab tertentu, beliau menasihatkan pesakit supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Di samping itu, penyakit gastrik atau dialek Kelantan disebut 'medu' adalah berpunca daripada keturunan yang diakibatkan masalah gangguan angin dalam badan. Walaupun telah dirawat secara moden, penyakit ini tidak akan sembuh sepenuhnya. Oleh kerana penyakit ini disebabkan 'angin' dalam badan, perlulah pesakit berpantang. Setakat ini penyakit medu yang dirawatnya sembuh seperti sediakala kerana beliau berpegang kepada kata-kata Nabi S.A.W  bahawa "setiap penyakit itu ada ubatnya". Cara rawatan itu adalah penting, jika kena dengan kaedahnya, insya Allah penyakit yang dihidapi pasti sembuh.

Perumpamaan beliau berhubung masyarakat sekarang seperti sebuah kenderaan. Katanya, individu sekarang lebih menitikberatkan kenderaan daripada dirinya sendiri. Contohnya, apabila kenderaan mengalami kerosakan kenderaan tersebut dibaiki dengan segera kononnya jika kenderaan sakit perjalannya juga tidak sempurna. Tetapi apabila melibatkan diri sendiri mengalami gangguan kesihatan, individu terbabit tidak mempedulikannya kerana menganggap masih boleh bertahan lagi. Apabila tubuh tidak lagi boleh bangun, barulah mereka menggelabah untuk mendapatkan rawatan dengan memanggil beliau supaya merawatnya.

"Dalam soal ini, jangan tunggu sampai tahap mudarat barulah ingat untuk menerima rawatan. Justeru, apabila terasa kebas dan tidak selesa, segera dapatkan rawatan.

"Rawatan awal itu lebih baik dan boleh memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan. Sebab itu, jika ada individu terkena strok beliau akan memberikan rawatan segera walaupun tidak menjamin seratus peratus kerana kalau sembuh pun hanya separuh sahaja", ujarnya.

Dalam pada itu, sakit kepala yang dikenali "migrain" disebabkan masalah saraf. Untuk menyembuhkan penyakit ini perlukan urutan di mana sarafnya terletak di bahagian kepala. Saraf ini menurutnya adalah sejenis urat yang agak halus di mana urat ini tidak tahan kepada cuaca terlalu panas. Namun hakikatnya, migrain adalah berpunca daripada tekanan dan gangguan emosi. Jadi, jika berupaya boleh hindarkan dari tekanan, cuba hindarkan.

Di belakang tengkuk (leher) dipanggil saraf tunjang. Misalnya sebatang pohon semestinya ada akar. Begitulah halnya dengan manusia. Daripada saraf tunjang inilah manusia akan mengalami sakit kepala, sebab darah tidak mengalir ke bawah sebabnya terhalang oleh pelbagai masalah dalam saraf itu. Cara mengatasinya, urat di bahagian itu perlu diurut berdasarkan kaedah urutan yang betul.

Sementara itu, ada segelintir pesakit sering berasa kebas yang berpunca masalah perjalanan darah yang tersekat-sekat. Pertama, kena jaga supaya peralanan darah itu betul. Jika wujud kaitan seumpamanya rawatan seperti urutan dan refleksologi di bahagian jari seperti paru-paru, pankreas, saluran kencing dan buah pinggang adalah perlu. Ini kerana, kalau ingin disebutkan sehingga berpuluh-puluh urat dan saraf di tapak kaki, manakala dalam satu tangan mempunyai 12 jalur urat saraf seperti paru-paru, usus, jantung, buah pinggang serta injap dalam jantung. Apabila diurut di bahagian jari-jari tangan akan sampai ke bahagian otak dan organ-organ yang lainnya. Apabila diurut di bahagian ini, tukang urut sepertinya akan dapat mengetahui jenis penyakit yang dialami oleh mangsa.

"Biasalah tukang urut seperti saya, setiap kali selepas mengurut saya akan merawat diri sendiri bimbang disebabkan pesakit akan mendatangkan masalah kepada saya pula.

"Misalnya penyakit strok adalah salah satu gangguan syaitan dan iblis yang sukakan tempat tinggal menarik di antara sendi-sendi manusia. Makhluk itu akan melekat pada sendi-sendi dalam tubuh manusia umpamanya sendi lutut dan sendi tangan, sebab itulah kita tidak dapat melakukan pergerakan di mana dalam tubuh manusia ini, terdapat 300 sendi dan 666 urat saraf", terangnya.

Menurutnya lagi, setiap manusia yang ingin hidup sihat perlulah menjaga jantungnya sendiri seperti mengadakan aktiviti yang boleh menyihatkannya seperti bersenam dan juga mengurut. Jika dapat dituruti dua kaedah tersebut, tubuh manusia pastinya dalam keadaan selamat. Sehubungan itu menurutnya, apabila badan berasa agak berbeza dengan sebelumnya, segeralah melakukan pemeriksaan awal kerana dengannya akan dapat menyelamatkan tubuh kita. Ini kerana, tubuh manusia seumpama dengan kenderaan juga, jika kenderaan boleh rosak begitulah halnya dengan manusia, perlukan pemeriksaan dan rawatan.

Sementara itu, selain pakar dalam bahagian mengurut, Haji Remli juga bersedia merawat mangsa gangguan makhluk halus. Menurutnya, makhluk halus adalah makhluk Allah juga dan ia berada di mana-mana. Cuma dalam konteks manusia, jika manusia itu kuat semangat akan dapat mengatasi segala gangguan yang berpunca daripada makhluk berkenaan. Manakala golongan yang lemah semangat akan sentiasa disakat oleh makhluk tersebut.

"Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit akibat gangguan makhluk halus itu didapati mangsa pengsan. Walau bagaimanapun, mangsa akhirnya sedar dari pengsan itu setelah saya merenjiskan air solat hajat kepada mangsa. Dengan solat hajat itu menyebabkan terlerainya gangguan itu", katanya.

Tambahnya lagi, beliau pernah merawat seorang wanita yang menjadi mangsa makhluk halus berasal dari Kuala Lumpur. Mukanya bengis dan selalu marah-marah.

"Apabila saya tiba di rumah mangsa pada malam itu, saya merawatnya menggunakan benang, asam limau purut, sementara kaki mangsa saya pegang. Dalam waktu yang sama saya melaungkan "Allah hu akhbar" sebanyak tiga kali. Alhamdulillah, tak sampai beberapa saat, makhluk halus yang mendiami dalam tubuh mangsa itu keluar seperti angin".

Pada hari yang lain, beliau pernah dikejutkan oleh seorang pesakit yang diakibatkan oleh gangguan jin, ketika itu jam 2.00 pagi. Memanglah pada waktu itu beliau terasa amat mengantuk kerana sehari suntuk memberikan rawatan dan urutan kepada beberapa orang pesakit di rumahnya pada sebelah siang, namun beliau terpaksa gagahi juga kerana berharap pesakit tidak berasa kecewa. Apa yang beliau faham sehingga hari ini, pesakit tersebut berkeadaan baik kerana makhluk yang sering mengganggu mangsa tidak lagi berbuat demikian.

"Makhluk halus memang gemar kepada tubuh manusia, mereka memasuki tubuh manusia melalui kaki lantas bergerak melalui urat saraf menuju ke bahagian kepala. Itulah yang menyebabkan manusia diserang histeria", jelasnya.

Apabila ditanya tentang histeria dan santau, beliau menjelaskan bahawa histeria disebabkan sikap manusia sendiri yang cuba mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu. Kebanyakan mangsanya terdiri daripada kaum hawa walaupun tidak menolak kaum lelaki juga terkena gangguan ini kerana lemah semangat. Baginya, cara memulihkan gangguan histeria ialah dengan meminta makhluk halus itu berpindah ke kawasan lain yang lebih sesuai.

Sementara santau pula, beliau menyarankan kepada individu yang menaruh perasaan dendam kepada individu lain supaya tidak melakukan pekerjaan terkutuk itu, sebab perbuatan berkenaan adalah berdosa. Jika ada individu tertentu berniat untuk berbuat demikian perlulah berfikir secara matang untuk tidak melakukannya.

Ditanya tentang sambutan pesakit terhadap kaedah mengurut dan rawatan lain, beliau menjelaskan bahawa, setakat ini keyakinan pesakit terhadap rawatan yang dilakukannya amat menggalakkan disebabkan urutan dan rawatan yang dilakukannya agak berkualiti dan sempurna. Baginya wang upah rawatan adalah nombor dua, tetapi baginya pula niat untuk berkhidmat dan memberikan pertolongan itu adalah paling utama. Katanya, apabila kita membuat rawatan dengan sempurna, pesakit akan cari kita kerana menganggap kita mampu melakukannya yang terbaik. Kebanyakan pesakit yang pernah menerima rawatan darinya terdiri daripada menteri dan beberapa orang kenamaan, ahli politik, anggota polis dan bekas ketua turus angkatan tentera Malaysia.

Menurutnya, walaupun sewajarnya pesakit perlu datang ke rumahnya untuk menerima rawatan, namun jika keadaan pesakit itu agak tidak mengizinkan untuk berbuat demikian, beliau akan menemui pesakit berkenaan. Namun baginya, jika beliau perlu merawat di rumah pesakit, keluarga pesakit itu sendiri yang datang menjemputnya. Kesempatan ini akan digunakannya untuk memagar kawasan kediaman mangsa supaya tiada lagi gangguan makhluk halus luar datang mengganggu. Khidmat seumpamanya selain pesakit dari Kelantan sendiri, beliau pernah ke Kedah dan Perak untuk memagar rumah pesakit.

"Saya tidak meletakkan bayaran, atas dasar ikhlas pesakit dan keluarga mereka. Bagi saya tidak pernah berkata tidak cukup, namun kadang-kadang saya pernah menerima bayaran RM30, RM50 malah pernah diberikan sebanyak RM100, bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan pesakit itu sendiri", ujarnya.

Beliau menyarankan kepada individu yang berharap kepada khidmatnya, sebaik-baiknya perlu datang sendiri, kerana dengan kehadiran pesakit beliau akan dapat mengetahui masalah sebenar. Setakat ini, bukan sahaja beliau merawat di rumah pesakit, namun menariknya beliau juga membuat rawatan di hospital atas permintaan pesakit sendiri. Ini kerana, tidak semua penyakit dapat diatasi oleh doktor, justeru dalam masa yang sama khidmat rawatan alternatif juga diperlukan. Malahan kadang-kadang rawatan alternatif menemui kegagalan, jelas rawatan moden dan alternatif perlu seiring kerana kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Haji Remli turut menekankan tentang masalah penyakit yang menghantui manusia hari ini kerana sikap tidak peduli kalangan mereka sendiri. Orang-orang tua dahulu walaupun ketiadaan pusat rawatan seperti hospital, namun usia mereka agak panjang sehingga 100 tahun. Malangnya, dewasa ini usia seperti itu semakin menurun akibat permasalahan pemakanan yang terdiri daripada bahan-bahan yang memudaratkan menyebabkan ramai yang mendapat sakit dan meninggal dalam usia muda.

Perihal makanan yang dimakan oleh masyarakat kita sekarang tidak sebagaimana dulu. Masyarakat dulu memperolehi makanan yang bebas bahan-bahan kimia dan racun, sebab itulah usia mereka mencecah beratus tahun. Berbanding hari ini, teknologi makanan kini ternyata bergantung kepada bahan-bahan kimia dan racun dalam usaha menghindarkan masalah serangga perosak dan sebagainya. Cuma tumbuh-tumbuhan yang masih bebas dari bahan racun seperti pucuk paku dengan kangkung sahaja manakala bahan-bahan makanan yang lain telah dicemari bahan-bahan kimia dan racun.

Walau bagaimanapun, beliau perturunkan petua orang-orang tua dan kaedah untuk menghilangkan kesan racun ialah hendaklah direndam dengan air garam untuk mengelakkan kesan racun tersebut. Ini kerana, teknologi hari ini jika tidak menggunakan racun, ulat dan serangga mengambil peranan memakan bahan-bahan makanan itu.

Dalam hal ini, bersegeralah membuat pemeriksaan sama ada secara moden mahupun secara tradisional sama ada berjumpa beliau sendiri atau sesiapa yang mahir dalam bidang berkaitan. Jangan terlalu lewat melebihi tiga hari barulah ingin membuat pemeriksaan dan rawatan, ini tentunya akan mengancam kesihatan.

Justeru, ketahuilah juga tanda-tanda tidak sihat seperti berasa kebas untuk menunjukkan gangguan kesihatan bermula kerana aliran darah itu telah terganggu dan tersekat. Hebatnya tubuh manusia kerana dapat mengesan masalah gangguan dalam tubuh mereka. Cara mengatasinya ialah dengan mengurut supaya aliran darah itu kembali normal. Apabila tubuh kita sihat, tentunya kita dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan sempurna.

Haji Remli boleh dihubungi melalui telefon:
013-9671975
 
   

Di antara peralatan moden yang turut digunakannya.

Papan tanda arah tempat rawatannya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH