RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 31 Mac 2012

Kampung Ana (Tumpat)


KEHIDUPAN MASYARAKAT
KAMPUNG ANA

TUMPAT, KELANTAN:  KAMPUNG ANA yang terletak dalam daerah ini pastinya terpinggir dari arus pembangunan sekiranya hal yang menyelubungi kebanyakan penduduk di kampung tersebut tidak diberikan perhatian. Ini kerana, walaupun kebanyakan bahagian pedalaman di Kelantan dikatakan telah maju dalam pelbagai aspek, namun kehidupan masyarakat di kampung terbabit seolah-olah diabaikan dan terbeban dengan masalah yang menimpa mereka.

Salah seorang penduduk Kampung Ana yang ditemui Penulis, Mat Rani bin Ismail, 57, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Rani berkata, kebanyakan penduduk di Kampung Ana terdiri daripada bangsa Melayu dan sebahagiannya kaum Siam.

"Saya tidak dapat menjelaskan asal usul Kampung Ana. Ini kerana, ketika saya dilahirkan Kampung Ana telahpun mempunyai nama, orang-orang tua telah memanggilnya Kampung Ana.

"Lagipun, setahu saya arwah moyang saya yang menetap di kampung ini dulupun menyatakan Kampung Ana telahpun wujud. Saya anggarkan, nama Kampung Ana telah wujud sejak lebih 50 tahun lalu", katanya apabila diminta menjelaskan sejarah dinamakan Kampung Ana ketika kunjungan Penulis di kediamannya.

Tambahnya, pada masa dulu hanya terdapat sebuah rumah sahaja di Kampung Ana. Pada masa itu, keadaan keluasan tanah tidaklah banyak sangat, namun apabila diduduki hanya sebuah rumah tentunya dapat diusahakan tanaman sampingan seperti sayur-sayuran dan sebagainya sebagai sumber rezeki. Tetapi jika dibandingkan dengan hari ini, keadaan penempatan di Kampung Ana agak sesak kerana rumah semakin banyak dibangunkan dan kini mencecah 12 buah rumah di Kampung Ana, dengan pembinaan rumah-rumah kediaman terbabit menyebabkan keluasan tanah di kampung berkenaan menjadi sempit.

"Kebanyakan rumah yang dibina di atas satu lot dianggarkan 12 buah yang didiami sekurang-kurangnya 86 orang penduduk dalam satu-satu lot tersebut. Satu lot tanah itu pula kira-kira 900 depa.

"Pada masa dulu sememangnya Kampung Ana adalah kawasan hutan, namun setahu saya ia adalah sawah padi. Peneroka asal yang tidak diketahui namanya tidak pernah menebang atau menebas untuk membangunkan Kampung Ana, namun sawah padi telahpun wujud dan sememangnya sesuai untuk tanaman padi sahaja tetapi tidak sesuai untuk sebarang tanaman lain", ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan rutin harian penduduk-penduduk Kampung Ana terdiri daripada petani sebagai pekerjaan turun-temurun dan tiada kerja lain yang dapat dilakukan di kampung berkenaan. Dalam konteks hari ini, kebanyakan tanah di kawasan Kampung Ana telah diambil alih oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Ana agak tertekan akibat masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan masalah yang dihadapi pada masa dulu, memang keadaan pada waktu itu agak sukar berbanding hari ini. Ini kerana, walaupun tanaman padi tiada lagi di Kampung Ana, namun dari segi pekerjaan hari ini agak tidak membebankan sebagaimana masa dulu. Ini berikutan, kebanyakan anak-anak petani di kampung berkenaan telah memperolehi pendapatan daripada pekerjaan lain yang diperolehi oleh mereka.

"Kampung Ana tidak menjanjikan sebarang pekerjaan buat penduduk-penduduknya selain sebagai petani. Kalau ada kerja-kerja kampung sekalipun, bersawah padi adalah pekerjaan turun-temurun di Kampung Ana.

"Hanya yang dapat ditanam di Kampung Ana ialah padi, usaha menanam sayur tidak dapat dilakukan kerana bukan sahaja tanah di Kampung Ana tidak sesuai untuk tanaman sayur, lebih menyedihkan apabila tiada tempat atau tanah untuk mengusahakan hal tersebut", ujarnya dengan nada agak sedikit sedih dengan perkembangan itu.

Menyorot tentang peralatan membajak sawah padi pada masa dulu sebagai salah satu pekerjaan utama di Kampung Ana, beliau berkata, kebanyakan peralatan yang digunakan oleh pesawah padi di kampung berkenaan adalah dengan bantuan kerbau dan lembu. Beliau difahamkan, keadaan masyarakat di Kampung Ana pada waktu itu memang agak susah, misalnya untuk mendapatkan bekalan ikan sebagai lauk-pauk amat sukar apatah lagi untuk menikmati ikan laut perlukan wang, dengan itu kebanyakan dari mereka menangkap ikan air tawar secara percuma di sebatang sungai di kampung berkenaan.

"Pada masa dulu, tanaman padi tidak dijual sebaliknya ditukar dengan ikan kerana nilai mata wang pada ketika itu adalah atas pertukaran barangan makanan. Jadi, padi terpaksa dibawa ke bandar Tumpat untuk ditukarkan dengan ikan, tidak sebagaimana hari ini.

"Masalah di kampung ini turut dibebani apabila banjir melanda akan memusnahkan segala yang ada di kampung ini", ujarnya.

Katanya, hari ini kebanyakan penduduk tidak dapat menanam padi berikutan tanah di kampung terbabit telah diambil alih oleh pihak Kada pula. Walaupun terdapat sesetengah penduduk yang dapat menjelaskan hasil tanah, namun kesemua itu berikutan penduduk terbabit masih lagi mempunyai tanah, jika tanah telah tiada bagaimana hasil dapat dijelaskan sebagaimana yang berlaku oleh kebanyakan penduduk di Kampung Ana hari ini.

Berikutan tidak mempunyai tanah untuk mengusahakan sesuatu sebagai mata pencarian selagi terdaya tentunya tidak dapat dilakukan. Kerana itu, jika keluarga terbabit ingin mendapatkan pekerjaan perlulah mereka ke bandar mencari pekerjaan sebagai tukang rumah dan sebagainya. Kesukaran semakin mencengkam, contohnya jika orang tua dahulu mempunyai tanah tidak sampai satu ekar, sedangkan anak seramai 10 orang, tentunya tanah tiada lagi dan bagaimana ingin mengusahakan tanah tersebut.

"Jika salah seorang menjual sebahagian tanah tersebut, duit yang diperolehi dibahagikan sama rata, yang ada cuma bekas tapak rumah sahaja. Apatah lagi, tapak bekas rumah saya sekarang ini pun sudah menjadi 12 buah rumah, jadi tidak ada lagi tempat atau kawasan yang dapat dibangunkan.

"Kalau ada anak-anak yang telah meningkat dewasa dan telah berkahwin tidak lagi dapat menetap di atas tanah ini, jadi mereka terpaksa membeli tanah dan menetap di tempat lain", katanya.

Apabila ditanya tentang sebab-sebab pengambilan tanah yang dimaksudkan, beliau berkata, pada masa dulu bagi keluarga beliau yang tidak mempunyai tanah terpaksa menanam padi kemudian kita berhasrat untuk melakukan perkara yang sama dengan tanah orang lain tidak dapat dilakukan. Katanya, hanya yang boleh dibuat setakat dua ekar dengan modal RM500 sahaja, yang lain pastinya tanah terbiar.

"Sebab-sebab lain tentang hal itu, kebanyakan golongan muda hari ini agak malas untuk mengusahakan tanaman padi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas yang masih meneruskan tradisi tersebut.

"Misalnya kalau mengikut usia saya sekarang, nak kerja sebagai buruh binaan sudah tidak larat berbanding dengan golongan muda, jadi golongan dewasa dan warga emas yang masih mengusahakan tanaman padi.

"Disebabkan tiada usaha kerana dilihat tanah terbiar, akhirnya tanah berkenaan terpaksa diambil alih untuk diusahakan projek tertentu yang boleh memberikan manfaat terhadap tanah terbabit", jelasnya.

Tekannya, dalam Kampung Ana terdapat 300 buah rumah. Manakala penduduk yang mengusahakan tanaman padi hanya 20 buah rumah sahaja. Dengan demikian menyebabkan tanah selebihnya itu menjadi terbiar, adi akhirnya kerajaan terpaksa mengambil tanah terbiar itu supaya dapat diusahakan.

"Akibat pengambilan tersebut menyebabkan rezeki segelintir penduduk di kampung ini memang tiada. Tetapi rezeki itu agak luas dan tidak semestinya terus pupus, jadi keluarga saya memperolehi rezeki melalui pekerjaan lain.

"Walau bagaimanapun, sebuah kawasan yang didiami oleh kaum Siam, mereka tidak membenarkan pihak Kada untuk mengambil alih tanah yang dimaksudkan, justeru Kada tidak mengambilnya, kerajaan pusat tidak memaksa", katanya.

Justeru, mungkin ada sinar baru yang dapat memancarkan cahaya ke Kampung Ana sebagaimana kampung-kampung yang lain di Kelantan yang tentunya mempunyai masalah yang sama, namun jika ada usaha tentunya beroleh kejayaan. Adalah wajar, masyarakat di kampung terbabit bangun dan pihak kerajaan juga diminta tidak terlepas pandang supaya penduduk di Kampung Ana tidak terus tersisih dari arus pembangunan negara.

Mat Rani bin Ismail atau Pakcu Rani.

Pakcu Rani ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Sawah padi yang diambil alih.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 30 Mac 2012

Pondok Paya Ular


PONDOK PAYA ULAR

PASIR MAS, KELANTAN:  PONDOK PAYA ULAR yang terletak di Kampung Paya Ular dalam daerah Bunut Susu dekat sini telah diasaskan oleh arwah Haji Wan Mamat iaitu bapa kepada Haji Wan Abdullah pada 13 September, 1984 selaras dengan pembukaan pondok orang-orang tua dan warga emas di kampung berkenaan. Selepas kematian bapanya itu, Haji Wan Abdullah terus mewarisi generasi pondok tersebut sehingga hari ini.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mamat dari Kampung Paya Ular, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkata, lazimnya kebanyakan pondok di negeri Kelantan terdiri daripada pelajar-pelajar remaja, namun bagi Pondok Paya Ular, pelajar-pelajarnya terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas.

Katanya, sebelum mewarisi pondok berkenaan dari arwah bapanya, beliau adalah seorang pelajar dan juga tenaga pengajar dari Pondok Berangan, Tumpat pada tahun 1950. Menyorot beliau sebagai pelajar pada sebelah siang bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 malam, di mana pada pukul 10.00 pagi adalah sekadar minum teh, manakala jam 12.00 tengah hari pula baru dapat menikmati hidangan.

Selepas solat Zohor, kuliah diteruskan seperti biasa sehingga jam 4.00 petang. Manakala pada sebelah malam iaitu selepas Maghrib, Tuan Guru menyambung kembali sebagai tenaga pengajar. Berhenti kerana solat Isyak, kemudiannya kuliah diteruskan sehingga jam 9.30 malam. Bermula jam 10.00 malam beliau menyambung kuliah tersebut sebagai guru (tenaga pengajar) sehingga jam 11.00 setiap malam, itulah rutin hariannya ketika berada di Pondok Kampung Berangan itu.

Menurutnya, beliau keluar dari Pondok Berangan untuk menyambung pelajaran di sebuah pondok yang terletak di Pulau Pinang yang juga salah sebuah sekolah Arab di Pulau Pinang dikenali Sekolah Arab Al-Masyhor dalam pengajian Syarah pada tahun 1964 di mana ketika itu beliau berusia 23 tahun. Setelah tamat belajar di sekolah tersebut, beliau pulang ke Kelantan di salah sebuah sekolah Arab selama tujuh bulan, sekolah ini adalah sebuah sekolah pembiayaan persendirian bukan di bawah kerajaan negeri.

Pada tahun 1970, di bawah kepimpinan kerajaan negeri yang diteraju oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Wan Asri Wan Muda (arwah), beliau menjadi guru di salah sebuah sekolah Arab. Pada masa yang sama, arwah Datuk Wan Asri amat memerlukan Guru Agama, beliau kemudiannya membuat permohonan ke jawatan tersebut dan dalam temuduga berkenaan beliau berjaya menjawat jawatan sebagai guru terbabit dan sejak itu beliau sebagai guru di Sekolah Arab Karangan Hulu, milik Kerajaan Negeri Kelantan selama tiga tahun.

Setelah mencurahkan khidmat bakti sebagai guru di sekolah berkenaan selama tiga tahun, beliau mengajar pula di Sekolah Kebangsaan Penggu, Pasir Mas selama tujuh tahun. Selepas itu, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Padang Mandul, Tumpat selama tujuh tahun diikuti Sekolah Kebangsaan Padang Embun, Pasir Mas selama tujuh tahun.

Setelah khidmat baktinya tamat di sekolah berkenaan, kerajaan pusat memerlukan seorang guru agama dan beliau ditawarkan sebagai guru agama lalu diminta mengajar di Sekolah Kebangsaan Tinggi, Machang selama empat tahun. Selepas berkhidmat di sekolah terbabit, beliau pulang ke kediamannya sekarang untuk menyambung generasi pondok yang diasaskan oleh arwah bapanya itu.

"Peranan saya di pondok ini adalah sebagai penyambung warisan arwah bapa dan bertindak sebagai mudir (guru agama). Turut membantu saya di pondok ini ialah Haji Wan Sanusi", katanya.

Tambahnya, kebanyakan pelajar di Pondok Paya Ular sekarang adalah terdiri daripada kalangan orang-orang dewasa meliputi lelaki dan wanita berusia 50 tahun dan ke atas. Paling ramai pelajarnya adalah kaum wanita seramai 20 orang dan tiga lelaki.

"Di antara mata pelajaran yang saya ajarkan pada sebelah malam terdiri dari Usuluddin, Tauhid, Fekah dan Tasauf. Pada sebelah pagi, lazimnya banyak pelajar dari luar negara seperti dari negara Qatar dengan menekankan aspek Bahasa Arab. Ramai yang datang belajar dengan saya berkait dengan bahasa Arab adalah terdiri daripada kalangan imam", jelasnya.

Ditanya, kenapa pelajar dari luar negara bertumpu di Pondok Paya Ular sedangkan banyak lagi pondok lain dan pusat pengajian Islam di negara terbabit, beliau menjelaskan bahawa di sana tiada tenaga pengajar yang benar-benar berpengalaman dan berpengetahuan. Apabila berkomunikasi dengan pelajar luar negara, beliau terpaksa bertutur dalam bahasa Arab kerana senang difahami.

"Misalnya perihal tentang Al-Quran diajar di sebelah siang, biasanya pelajar-pelajarnya terdiri daripada lima orang pelajar sahaja yang berminat", ujarnya.

Setakat ini menurutnya, sambutan yang agak luar biasa adalah di sebelah malam, kerana pengalaman beliau mengajar di sebelah malam pelajar-pelajarnya mencecah dari 40 hingga 50 orang, tetapi dianggap tidak menentu berbanding di siang hari. Kebanyakan pelajarnya sebelum ini datangnya dari Pattani (Siam), namun sejak kebelakangan ini beliau mendapati ramai pelajar dari Kampung Bunohan, Tumpat, Kelantan. Manakala jadual masa ditekankan bermula jam 9.00 hingga 11.00 pagi yang meliputi pengajian Al-Quran meliputi pelajar seramai enam orang, malah pengajian di Pondok Paya Ular tiada had.

"Saya mengalu-alukan jika ada sokongan dari para pelajar khususnya dari kalangan warga emas yang ingin belajar di pondok ini", ujarnya.

Apabila membicarakan tentang sumbangan pelajar terhadap Pondok Paya Ular pula, katanya, sesetengah pondok berharap sumbangan daripada pelajar-pelajarnya untuk menampung kos dan bayaran bekalan elektrik ditetapkan sebanyak RM5 seorang. Di samping penggunaan bekalan air paip, penggunaan peralatan menulis dan sebagainya. Namun, di Pondok Paya Ular beliau tidak mengharapkan sebarang sumbangan asalkan pelajar-pelajarnya itu mempunyai niat ikhlas untuk belajar di pondoknya itupun sudah memadai. Ini kerana, pondoknya itu telahpun memperolehi bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sambungnya, pengajian pondok tidak sebagaimana menuntut di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan kerana setiap tahun naik atau meningkat dari satu kelas ke kelas yang berikutnya. Pengajian pondok khususnya pengajian kitab amat sukar dan seseorang pelajar dianggap benar-benar lulus yang memerlukan pembelajaran selama lapan tahun.

Di Pondok Paya Ular, pelajar-pelajarnya tidak diwajibkan menduduki ujian kecuali dalam bab Al-Quran dan pengajian kitab, pelajar-pelajar perlu menulis untuk menambahkan lagi pengetahuan tentangnya.

Justeru, sebagai generasi pengasas Pondok Paya Ular, beliau mengalu-alukan hasrat di kalangan orang-orang dewasa dan warga emas khususnya untuk mempelajari bidang agama dan mendalami pengajian Al-Quran dipersilakan ke Pondok Paya Ular dan beliau bersedia berkhidmat untuk itu.

Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat boleh dihubungi melalui talian: 013-3367829.

Generasi Pengasas Pondok Paya Ular, Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat.

Haji Wan Abdullah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Papan tanda arah masuk ke Pondok Paya Ular.

Inilah surau dan di sebelahnya adalah pondok.

Inilah kediaman Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat.


 Rumah kebajikan orang-orang tua dalam kawasan Pondok Paya Ular.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 28 Mac 2012

Pusat Cuci Kenderaan


PUSAT CUCI KENDERAAN

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  KEHIDUPAN manusia berbagai sifat. Ada yang berusaha memohon pekerjaan di sektor awam semata-mata ingin hidup senang dengan mengharapkan pendapatan mudah secara "makan gaji". Namun, tidak kurang juga yang mudah berasa tidak selesa dengan hanya makan gaji kerana baginya tugas-tugas seumpamanya dianggap tidak mencabar kehidupannya, lantas lebih sanggup meletakkan jawatan semata-mata ingin membina kerjaya sendiri tanpa mendapat kekangan pihak lain.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang Pengusaha Mencuci Kenderaan, Mohd. Aliza bin Abdullah, 52, atau lebih dikenali sebagai Mat JPN dari Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu, Kelantan menganggap kerjaya sendiri lebih baik berbanding dengan makan gaji kerana bekerja sendiri tidak terikat dengan sesiapa, malah beliau akan berasa lebih puas apabila dapat menyelesaikan sesuatu tugas itu kerana itulah naluri kehidupannya.

Beliau yang telah berjaya menubuhkan pusat terbabit di laman rumahnya sendiri itu berkata, beliau lebih menggemari bekerja seorang diri daripada mendapatkan pembantu walaupun dengan adanya pembantu akan menjadikan semua kerja dapat diselesaikan dengan pantas, tetapi jika tiada kepuasan dalam diri apatah lagi dibimbangi jika pekerja terbabit menyelesaikan kerja-kerjanya secara ala kadar sahaja tidak sebagaimana kehendak dirinya akan menjadikan kerja-kerja itu dianggap tidak berguna.

Menyusuri sejarah kehidupannya sehingga berjaya menubuhkan pusat mencuci dan menggilap kenderaan di laman miliknya itu, beliau sebenarnya pernah berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam pada tahun 1979 di Pejabat Bahagian Pendidikan Guru di Kementerian Pendidikan Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur selama 10 tahun. Selepas itu, beliau ditukarkan ke Kota Bharu, Kelantan di Bahagian Perjawatan, Jabatan Pelajaran Kelantan di mana tugasnya ialah sebagai pencari fail. Beliau kekal di Kota Bharu selama 14 tahun. Dalam masa sedang berkhidmat selama 23 tahun di Jabatan Pelajaran, beliau beranggapan, tugas-tugas yang pernah dilakukannya itu dianggap tidak ke mana malah berhasrat untuk bertukar selera dengan bekerja sendiri.

Menurutnya, bidang kerja yang akan dilakukannya memang menjadi minatnya sejak zaman remajanya lagi kerana beliau juga berpengalaman dalam memilih bidang terbabit. Usianya pada masa itu dalam peringkat pelajar sekolah di mana minatnya menjadikan barangan seperti basikal, kereta dan sebagainya dapat dibersihkan sehingga kelihatan berkilat dan menarik hati apabila memandangnya. Beliau menganggapkan bidang mencuci kenderaan bukan sekadar kerjaya yang sempurna dengan jiwa dan nalurinya, tetapi sering menganggapkan bidang yang dipilih dan diceburinya itu sebagai salah satu cabang seni. Ini berikutan dirinya terbawa-bawa dengan sifat yang ada pada diri arwah bapanya yang merupakan seorang tukang emas di Kedai Emas Mat Yusoff yang terletak di Kota Bharu. Mungkin seni halus yang dimiliki oleh arwah bapanya itu telah meresap dalam dirinya.

Selesai mendirikan rumahnya sekarang yang terletak di Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu beliau dapati laman rumahnya sekarang agak lebar apatah lagi letaknya di jalan laluan utama, tentunya amat sesuai dijadikan tempat untuk pusat berkenaan secara komersial. Bermula di rumahnya sekarang, beliau bertekad untuk memilih bersara pilihan. Hasil perbincangan dengan isterinya seorang guru, isterinya tidak menolaknya malah memberikannya dorongan dan perangsang supaya meneruskan niat sucinya itu berikutan minat yang ditunjukkan dalam bidang yang diceburinya.

Selepas itu, beliau berbincang pula dengan bekas majikannya, Jabatan Pelajaran tentang pencen, adakah beliau layak menerimanya atau tidak. Dari maklumat bekas majikannya itu memaklumkan bahawa beliau memang layak mendapat pencen separuh. Di samping memperolehi hadiah sebanyak RM20,000. Dengan hadiah tersebutlah beliau jadikannya sebagai modal penuh untuk membuka pusat mencuci kenderaan  di laman rumahnya sekarang. Beliau meletakkan jawatan di jabatan berkenaan pada tahun 2002. Mulai tahun 2010 lalu, beliau mula memperolehi pencen di mana ketika itu usianya meningkat 50 tahun.

Ditanya tentang sambutan pelanggan yang datang ke pusat cuci kenderaan miliknya, beliau menjelaskannya semakin mendapat tempat di hati penduduk setempat. Ini berikutan, pelanggan yang sering berurusan dengannya memang memahami tentang sifatnya yang begitu cermat serta berhati-hati terhadap kerjanya.

"Banyak pengalaman yang saya perolehi semasa berurusan dengan pelanggan. Segelintir pelanggan suka cara mencuci secara ala kadar sahaja, namun terdapat juga pelanggan yang dianggap cermat.

"Dalam hal ini, saya memang suka sedemikian, namun bimbang kerja lambat disiapkan disebabkan saya melakukannya berseorangan, saya meminta pelanggan terbabit ke pusat mencuci kenderaan yang mempunyai pekerja yang mencukupi.

"Kaedah yang saya lakukan adalah menurut cara saya ingin melihat sesuatu itu secara seni. Begitu halnya dengan seorang tukang rumah ada seninya menurut kemahiran masing-masing. Manakala dalam kerja ini, walaupun agak lambat konsep sedemikian penting menurut cara saya.

"Walaupun pusat mencuci kenderaan milik saya ini semakin maju sekarang ini, saya tidak bercadang untuk menggaji pekerja kerana dengan adanya pekerja kepuasan tidak akan wujud dan begitulah sebaliknya", jelasnya.

Sambungnya, kebanyakan pemilik kenderaan yang datang ke pusatnya akan dibersihkan olehnya dengan puas hati berbanding di tempat lain. Manakala dari segi bayaran bagi sebuah kenderaan dikenakan sebanyak RM10 sahaja, berbanding dengan tempat lain, cucian dilakukan ala kadar sahaja sedangkan dikenakan bayaran yang lebih di antara RM15 hingga RM20. Dalam hal ini, beliau banyak menekankan tentang kepuasan yang akan dilakukannya agar kelihatan cantik, tentunya pelanggan akan berpuas hati.

Tambahnya, apabila tibanya musim hujan, kebanyakan pelanggan boleh dibilang dengan jari. Salah satu sebabnya, apabila kenderaan dicuci tentunya akan mengalami masalah kekotoran juga berbanding dengan musim kemarau. Misalnya dalam musim kemarau, dalam satu-satu masa terdapat kira-kira enam buah kenderaan yang berpusu-pusu masuk ke pusat cucian kenderaan miliknya. Sememangnya, dalam tempoh berkenaan beliau hanya mampu dapat menyiapkan kerja terbabit sebanyak enam buah kenderaan sahaja disebabkan pekerjanya adalah beliau seorang diri sahaja.

Manakala dalam proses menggilap pula, beliau hanya mampu menyelesaikan sebanyak tiga buah kenderaan dengan pendapatan yang diperolehi sebanyak RM70 hingga RM80 bergantung kepada kenderaan tersebut.

Selain itu menurutnya, beliau juga berminat dengan sistem bunyi (pa system) di mana bidang ini adalah bidang utama yang paling diminatinya sejak aman sekolah lagi selain mewujudkan pusat mencuci kenderaan sendiri. Katanya, untuk mendapat ilmu dalam bidang terbabit beliau mempelajarinya dari seorang guru yang juga dianggap mahir dalam sistem bunyi terbabit di mana konsep yang dipelajarinya seperti dari segi pengasingan suara dan base berdasarkan kepada kepuasannya sendiri.

"Peralatan sistem bunyi ini dikhususkan untuk majis kahwin, majlis sukan, seminar, hari guru, hari keluarga dan karaoke. Bagi orang ramai yang berminat ingin menyewa peralatan sistem bunyi ini, saya lakukan kesemuanya menurut kehendak penyewanya.

"Dalam bidang ini juga, saya tidak memerlukan pembantu kerana kebanyakan pembantu akan lari dari konsep yang saya jiwa saya kehendaki apatah lagi untuk mendapatkannya agak sukar sebagaimana pengalaman yang saya dapat", katanya.

Jelasnya, kebanyakan pengguna dan penyewa peralatan sistem bunyinya itu turut mendapat tempat di kalangan orang ramai terutamanya dari daerah Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu selain terdiri daripada penyewa-penyewa yang tinggal berdekatan dengan kediamannya.

Beliau menambah, sebab-sebab beliau bertumpu di kedua-dua bidang ini adalah kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap seni itu sendiri selain ingin mengenali setiap pelanggan ini agar sentiasa datang ke kedainya kerana amat berbeza dengan pendekatan yang dilakukan di pusat mencuci kenderaannya berbanding dengan tempat lain.

Justeru, beliau juga bercadang untuk membuka pusat cucian kenderaan berkenaan pada waktu malam tetapi pada hari raya sahaja. Ini adalah untuk tujuan memberikan peluang kepada pelanggan berhari raya dengan kenderaan bersih, seolah-olah suatu pengorbanan dan dalam usaha untuk mengambil hati pelanggan.

        
Mohd. Aliza Abdullah atau Mat JPN.

Mat JPN ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Mat JPN sedang membersihkan kenderaan di laman rumah miliknya.
 

 Minat utamanya adalah terhadap sistem bunyi (PA System).

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 26 Mac 2012

Ternak Ikan Air Tawar


TERNAK IKAN AIR TAWAR

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  KOLAM, parit, saliran dan sawah terbiar kadang-kadang memberikan pulangan yang lumayan jika diusahakan, salah satunya ialah dengan menternak ikan air tawar. Ini kerana, walaupun menternak ikan ait tawar mempunyai saingan di pasaran, namun percayalah permintaan terhadapnya begitu tinggi terutamanya di kalangan pemborong, restoran dan kedai makan berikutan penggemar terhadap ikan-ikan berkenaan mempunyai citarasa yang luar biasa.

Walau bagaimanapun, usaha untuk menjadi penternak ini bukan sengaja dibuat-buat tetapi di atas dasar minat yang begitu mendalam tentunya akan membuahkan hasil. Hal berkenaan memang diakui sendiri oleh seorang pengusaha ikan air tawar yang dimaksudkan, Fathan bin Ismail, 41, yang lebih dikenali sebagai Che Han dari Kampung Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Kelantan.

Katanya, beliau mengusahakan ternakan ikan air tawar bermula awal tahun 2003 di sebuah parit dan saliran, malah dalam masa yang sama turut membina dua buah kolam untuk tujuan yang sama. Pada masa itu juga, beliau adalah seorang guru fardu ain di sebelah petang. Pada ketika itu, beliau turut dibantu oleh adiknya seblum adiknya itu mendapat pekerjaan yang sesuai. Namun, selepas itu beliau mengusahakannya secara sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa lagi.

Pada dasarnya, beliau sebenarnya bukan sekadar minat menjadi seorang pengusaha ternakan ikan air tawar, namun atas dorongan keluarga terutamanya dari adik-adiknya sendiri yang turut berminat terhadap industri berkenaan. Ini kerana, beliau nampak ternakan ikan air tawar itu menghasilkan pendapatan yang lumayan berbanding dengan kerja-kerja lain yang pernah dilakukannya.

"Di peringkat permulaan, ikan-ikan yang didapati matang sudah boleh dipasarkan, saya menjualnya kepada individu termasuk kedai-kedai makan.

"Sekiranya stok ikan telah berkurangan dan tidak mencukupi, saya akan berusaha untuk mendapatkan bekalan ikan-ikan air tawar dari penternak-penternak yang dapat diperolehi secara mudah dan murah di sekitar Wakaf Baharu ini", ujarnya ketika ditemui Penulis di kediamannya.

Sambungnya, pada masa dulu beliau banyak menternak ikan jelawat atas permintaan orang ramai dan penggemar-penggemar ikan berkenaan yang semakin ramai selain ikan lampam dan wau merah. Tetapi sekarang beliau banyak menternak ikan patin dan keli berikutan selera pembeli lebih menumpukan terhadap ikan-ikan berkenaan pula, manakala ikan lampam dan wau merah terpaksa dilupakan.

"Dari segi jumlah, ikan yang diternak sekitar 12,000 ekor, disebabkan masalah kolam dan pukat yang longgar menyebabkan ikan boleh menyusur keluar arah parit dan saliran air. Manakala ikan patin dan keli sekarang ini diternak dalam jumlah 20,000 ekor", jelas Fathan lagi.

Apabila ditanya tentang minat terhadap ternakan ikan air tawar itu, beliau memang berminat menternak ikan terbabit berikutan di zaman kanak-kanak dan remajanya, beliau sering menangkap ikan dalam sawah padi di sekitar Pasir Pekan itu. Selain sentiasa berada di kawasan parit dan saliran kerana pada hematnya, di kawasan berkenaan didapati banyak ikan yang boleh ditangkap dengan mudah. Malah jika ikan sukar ditangkap, beliau akan menggunakan senjata seperti senapang yang dibuat sendiri. Ini berikutan, zaman kanak-kanaknya membesar di sawah padi sehinggalah zaman remajanya berlalu. Berpunca dari situlah tercetusnya minat untuk menternak ikan sebagaimana hari ini.

"Lazimnya, di antara makanan yang biasa diberikan kepada ikan yang diternak ialah dedak. Manakala ikan patin memang banyak makan sebab itulah makanan untuk ikan berkenaan terpaksa diberikan melebihi kadar yang selalu diberikan kepada ikan keli", katanya.

Menurutnya, kebiasaannya jika 1,000 ekor ikan patin anggaran makanan seperti dedak kira-kira RM50 sebulan terpaksa diberikan untuk ikan berkenaan. Selain itu, makanan lain seperti perut ayam dan usus ayam juga tidak lupa diberikan kepada ikan patin kerana ikan berkenaan memang banyak makan.

"Makanan ikan biasa diberikan ialah sejenis dedak yang mengandungi kadar protein yang tinggi untuk ikan. Makanan seumpama ini boleh dibeli di kedai-kedai yang dikhususkan untuk ikan air tawar. Namun, makanan ikan ini sering naik harga", ujarnya.

Ditanya tentang bekalan benih ikan yang biasa diperolehinya, beliau menjelaskan, benih ikan boleh diperolehi dengan mudah dan lazimnya beliau membelinya dari pengusaha benih ikan dari Tal Tujoh (Pasir Mas), Kampung Julok (Beris, Bachok) dan di Tanah Merah. Benih-benih ikan ini pula akan diperolehinya sendiri di tempat-tempat terbabit dan kadang-kadang pihak berkenaan akan menghantarkan kepadanya disebabkan beliau adalah pelanggan tetap.

"Dari segi harga pula, benih-benih ikan yang biasa saya beli berharga RM3,000 dan kadang-kadang berjumlah RM4,000 (1 kilo berjumlah RM4). Namun, saya pernah membeli benih ikan dengan harga RM1,000 jika harga sekilonya masih rendah. Manakala bagi ikan patin, benih ikan berkenaan berharga RM2,000", ujarnya.

Dari segi modal pula, beliau terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 untuk mengusahakan ternakan ikan air tawar ini termasuk menyediakan tempat ternakan seperti kolam dan sangkar. Untuk menyediakan modal, beliau tidak pernah membuat pinjaman daripada mana-mana bank atau institusi kewangan. Namun, beliau pernah memohon jasa baik pihak wakil rakyat sebanyak RM3,000 supaya membantu dari segi modal sahaja sebagai tambahan yang sedia ada.

Menyentuh tentang kerugian berikutan banyak ikan yang diternak didapati mati atau sebagainya, beliau berkata, mana-mana pengusaha ternakan ikan air tawar pasti akan menghadapi kerugian akibat ikan mati menjadi kelaziman dalam setiap sangkar tidaklah dianggap teruk berbanding dengan kejadian tsunami pada bulan Disember 2004. Ini kerana, kerugian yang terpaksa ditanggungnya akibat kejadian tsunami tersebut mencecah ribuan ringgit. Namun begitu, pihak Jabatan Perikanan kemudiannya memberikan ganti rugi akibat kejadian itu sebagai suatu bentuk bantuan dan galakan terhadap beliau.

Berhubung tentang pasaran ikan menurut Fathan, kebanyakan ikan yang diternaknya itu dipasarkannya sendiri tanpa melalui khidmat pihak lain. Pelanggan utama beliau ialah kebanyakan gerai makanan dan restoran di Pasir Pekan, Pasar Besar Wakaf Baharu dan Kota Bharu. Bahkan beliau juga turut menjualnya secara borong sehinggakan stok ikan air tawarnya tidak mencukupi. Ini menunjukkan permintaan terhadap ikan air tawar di luar jangkaan.

"Kebanyakan ikan yang ditempah, saya akan hantarnya sendiri kepada pembeli-pembeli yang pernah menempahnya misalnya restoran dan kedai makan.

"Permintaan terhadap ikan air tawar ini meningkat berikutan ikan yang dibekalkan kepada pembeli atau pelanggan dalam keadaan siap disiang dan boleh dimasak bukannya dijual secara hidup", ujar Fathan lagi.

Katanya, dari segi harga ikan keli, jualan secara borong bagi sekilo ikan berkenaan berharga RM3. Kalau dijual secara runcit kira-kira RM4.70 hingga RM5. Sedangkan harga pasaran lazimnya RM6 sekilo. Ini bermakna, beliau merupakan penjual paling murah berbanding dengan penjual ikan air tawar yang lain di kawasan Wakaf Baharu tersebut. Walaupun harga makanan ikan telah meningkat secara mendadak, namun beliau tidak sanggup untuk menaikkan harga ikan terbabit kerana lebih mempercayai pelanggan tetapnya yang sering berurusan dengannya. Malah katanya, walaupun harga jualannya dianggap paling murah berbanding dengan harga pasaran, beliau beranggapan keuntungan masih ada dan beliau tidak bercadang untuk menaikkan harganya dengan sewenang-wenangnya.

Tambah Fathan lagi, lazimnya ramai yang mengetahui beliau sebagai penternak dan penjual ikan air tawar melalui pembeli dan pemborong berdasarkan dari mulut ke mulut. Puncanya, harga yang ditawarkannya agak rendah berbanding dengan lain-lain penjual apatah lagi dengan harga pasaran. Di samping itu menurutnya, pihak Jabatan Perikanan juga memainkan peranan penting bagaimana orang ramai tahu beliau seorang pengusaha ternakan ikan air tawar sekaligus sebagi penjual.

Beliau berhasrat ingin memperbesarkan lagi ternakan berkenaan dan memang dari peringkat awal beliau akan mendapatkan peruntukan. Ini disebabkan, bidang berkenaan memang terbuka bagi setiap pengusaha sepertinya boleh mendapatkan peruntukan sama ada daripada Jabatan Perikanan sendiri, kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau turut menyarankan kepada bakal-bakal pengusaha ternakan ikan air tawar bahawa pasaran berkenaan memang luas. Walaupun saingan terhadapnya dikatakan agak ramai, namun permintaan terhadapnya agak memberangsangkan dan penternak tidak perlu risau untuk berkecimpung dalam bidang ini mahupun terpaksa menghadapi masalah kerugian akibat ikan yang diternak mati.

Justeru, pemborong ikan berkenaan memang ramai misalnya dari Pasir Pekan sendiri, Wakaf Baharu, Kok Lanas (Kota Bharu). Bermakna, banyak mana ternak ikan pasti ikan akan habis dibeli. Dalam hal ini, tiada masalah dalam pasaran ikan air tawar kerana selain pemborong kecil dan pemborong besar, pembeli biasa turut berminat terhadap ikan air tawar dan penternak tidak perlu risau tentangnya.

       
Fathan bin Ismail.

Fathan bin Ismail ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Fathan sedang memberi makanan ikan di sebuah kolam berhampiran rumahnya.

Ikan dalam kolam sedang berebut-rebut mendapatkan makanan.


Fathan juga menternak ikan dalam sangkar.


Jenis makanan ikan yang sering digunakannya.


Ikan keli ini siap disiang dan dibersihkan untuk dipasarkan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 15 Mac 2012

Tragedi: Guru Lumpuh


TRAGEDI: GURU LUMPUH

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  DI ZAMAN mudanya, beliau seorang guru sekolah rendah yang cerdas dan begitu komited dengan tugas, malah bersedia untuk ditukarkan ke mana-mana tempat, dia akan tempuhi kerana itulah tugasnya sebagai guru. Kerjayanya bermula sebagai seorang guru pelatih pada bulan Februari, 1952 di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan selama lima tahun.

Kemudiannya beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Morak, Palekbang, Tumpat. Selama lima tahun beliau di sekolah rendah Morak itu, kemudiannya ditukarkan pula ke Sekolah Kebangsaan Cabang Empat Tumpat. Kira-kira lima tahun kemudiannya beliau ditukarkan pula ke Sekolah Kebangsaan Batu Melintang iaitu di Ulu Jeli selama tiga tahun. Selepas itu, beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Delima, Wakaf Baharu berhampiran dengan rumah kediamannya sekarang.

Selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Delima, beliau kemudiannya ditukarkan pula oleh Pejabat Pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Geting, Tumpat. Lebih kurang berkhidmat selama lima tahun di sekolah berkenaan, awal tahun 1980 beliau terjatuh dari pohon rambutan. Akibat tragedi itu, beliau didapati lumpuh sepenuhnya.

Begitulah malang yang menimpa Mohamad bin Daud, 78, atau lebih dikenali sebagai Ayah Mat dari Kampung Perupok, Wakaf Baharu, Kelantan. Ketika beliau ditemui Wartawan RELATIF untuk sessi temubual, beliau hanya mampu mendengar dan bertutur dalam keadaan baring dan tidak lebih dari itu.

Ketika menceritakan kejadian yang menimpanya sejak 32 tahun lalu itu berlaku semasa beliau pulang dari mendengar syarahan agama di sebuah surau di Kampung Perupok kira-kira jam 7.00 pagi. Beberapa hari kemudian, beliau mengajak anak saudara dan anak sepupunya seramai lima orang itu untuk memanjat sebatang pokok rambutan di Kampung Bechah Tembelang iaitu lebih kurang dua kilometer dari rumah yang didudukinya sekarang untuk diambil buahnya. Turut bersama adalah isterinya.

Katanya, ketika sedang asyik memanjat dari satu dahan ke dahan yang lain, beliau cuba memegang sebatang dahan tinggi yang didapati buahnya agak lebat dan ranum di mana beliau sememangnya memegang dahan berkenaan di bahagian atas lalu terpotong di bahagian bawahnya. Apabila dahan yang dipegangnya itu telah putus selepas dipotong, menyebabkan Ayah Mat terjatuh. Salah seorang anaknya yang turut serta bertempik kerana agak terkejut apabila melihat Ayah Mat terjatuh dan terkial-kial kesakitan.

Menurutnya, semasa beliau terjunam ke bawah, beliau terdengar bunyi suara tempikan tersebut kerana pada masa itu beliau dalam keadaan sedar lagi. Selepas itu, beliau dapati dirinya tidak dapat bergerak lalu diusung oleh kanak-kanak yang diasuhnya itu ke rumah sepupunya di kampung tersebut. Isterinya kemudiannya turut serta ke rumah sepupu suaminya sambil meminta bantuan untuk membawa suaminya itu ke wad Hospital Kota Bharu. Kejadian itu berlaku awal bulan Ogos 1980.

Ketika beliau berada di wad hospital berkenaan selama lapan bulan, beliau diberikan cuti sebulan sekali untuk pulang ke kampungnya sekarang. Usia semasa beliau terjatuh itu lebih kurang 25 tahun dan dalam masa cuti itu, beliau kemudiannya tinggal bersama dengan seorang tukang urut tersohor bernama Pak Nik yang merupakan seorang warga Siam (sekarang arwah) yang menetap di hadapan Sekolah Menengah Ibrahim (2) Pasir Mas, Kelantan.

Tambahnya, arwah Pak Nik Tukang Urut turut dibantu oleh dua orang pembantunya yang dikenali Pakcik Hassan berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Baharu dan seorang lagi bernama Tok Wan.

"Selepas cuti tamat, Ayah Mat kembali ke wad hospital untuk mendapatkan rawatan susulan iaitu rawatan memanaskan badan. Rawatan ini perlu dilakukan oleh Ayah Mat selama sebulan sekali di hospital berkenaan sambil membuat urutan di rumah Pak Nik tukang urut itu", ujarnya.

Sambung Ayah Mat, beliau memperolehi cuti mengajar tanpa gaji selama satu tahun. Namun kemudiannya beliau memperolehi gaji, mungkin pihak sekolah ingin membuat pelarasan gaji tersebut. Ketika menerima rawatan di rumah tukang urut terbabit, beliau tidak lagi pulang ke rumahnya sebaliknya terus ke hospital.

Disebabkan tidak tahan akibat terlalu lama berada di wad hospital, beliau memohon cuti terus dari pihak hospital terbabit dan hasratnya itu diluluskan oleh pihak hospital, kerana itu beliau tidak lagi ke hospital sekadar membuat urutan di rumah sahaja. Beliau menetap di rumah tukang urut terbabit selama setahun setengah. Ini meliputi makan minum dan mandi yang kesemuanya dijaga oleh tukang urut terbabit sehingga Ayah Mat menganggap tukang urut tersebut seperti anaknya sendiri kerana sanggup menjaganya tanpa dikenakan sebarang upah rawatan.

Kesanggupan tukang urut itu menanggung kos makan minum seperti nasi bungkus setiap pagi kepada beliau dan isterinya yang turut menjaganya di rumah tukang urut itu memang sesuatu yang tidak dapat dibalasnya dengan kata-kata, hanya Allah jua yang mengetahui keadaan perasaan hatinya ketika itu.

Selepas itu, beliau meminta izin tukang urut tersebut untuk pulang ke rumahnya sendiri. Ketika tinggal di rumahnya sendiri selepas itu, beliau hanya melakukan rutin hariannya dengan mengajar membaca Al-Quran kepada anak-anak jirannya. Sebenarnya, ketika usianya 14 tahun lagi, Ayah Mat sudah mampu mengajar Al-Quran di mana beliau mempelajarinya dari arwah bapa saudaranya, Abdullah bin Awang Besar yang merupakan seorang guru Al-Quran tersohor.

"Dalam masa Ayah belajar Al-Quran dengan bapa saudara, Ayah Mat juga banyak mengajar Al-Quran khususnya kepada kanak-kanak. Ini merupakan arahan guru yang meminta Ayah Mat menjadi guru Al-Quran kepada kanak-kanak tersebut", katanya.

Menurut Ayah Mat, dalam kejadian terbabit beliau terpaksa menerima rawatan urutan urat saraf dan sehingga sekarang kira-kira 10 orang tukang urut turut memberikan khidmat untuk mengurangkan masalah saraf yang dialaminya. Tetapi kini, beliau tidak lagi diurut oleh mana-mana tukang urut, sekadar baring semata-mata sambil mengajar Al-Quran di mana kebanyakan anak-anak muridnya terdiri daripada pelajar-pelajar setempat termasuk dari daerah Wakaf Baharu dan Bunut Susu, Pasir Mas berjumlah 300 orang malah Ayah Mat juga turut dibantu oleh lima pembantu.

Ditanya tentang kelebihan dan keistimewaan Ayah Mat sebagai seorang guru Al-Quran, tentunya beliau mampu merawat penyakit dan pesakit secara tradisional. Beliau menjelaskan, dalam masa beliau sedang baring, salah seorang anaknya memperkenalkan seorang alim dari Pattani, Siam bernama Baba Aziz. Usia Baba Aziz pada masa itu lebih muda darinya. Dalam masa beliau baring dan tidak dapat melakukan apa-apa, dengan tiba-tiba tercetus dari bibir mulutnya tentang dirinya yang tidak berilmu, dengan kaedah bagaimana beliau memperolehinya melihatkan keadaannya yang tidak dapat bergerak ke mana-mana itu.

Mendengar keluhan jiwa Ayah Mat, Baba Aziz menyatakan hal berkenaan tidak terlalu sukar lalu meminta Ayah Mat mengamalkan kalimah "Bismillah" sebanyak 785 kali dan "Al-Fatihah" sebanyak 320 kali setiap hari. Kalimah ini katanya perlu dihabiskan dan apabila cukup 41 hari, Ayah Mat diminta menghubungi Baba Aziz itu dan Baba Aziz akan memberikannya satu doa.

"Setelah selesai membaca kedua-dua kalimah sebagaimana yang dikehendaki oleh Baba Aziz, Ayah Mat kemudiannya menghubungi Baba Aziz. Lalu dikirimkan oleh Baba Aziz kepada Ayah Mat doa Bismillah dan Al-Fatihah itu. Selepas amalan selama 41 hari, Ayah Mat diminta menadah air paip (air paip di rumah Ayah Mat bertapis jernih) dalam satu tempayan.

"Ayah Mat kemudian diberitahu, air paip yang ditadah itu merupakan air penawar dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Tetapi Baba Aziz berpesan kepada Ayah Mat, air yang dicedok dari tempayan itu hanya boleh dilakukan oleh isteri Ayah Mat sahaja tetapi tidak orang lain. Ini bermakna, jika isteri Ayah Mat tiada di rumah ketika itu tetapi pesakit memerlukan air penawar berkenaan, air penawar berkenaan tidak boleh diambil", jelasnya.

Katanya, selepas itu ramai pengunjung yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan air penawar penyakit yang ada di rumahnya. Selepas mengambil air dari tempayan itu, Ayah Mat diminta oleh Baba Aziz untuk mengisikanya dengan surah Yassin dan sebarang surah yang boleh dibaca oleh Ayah Mat. Kemudiannya Baba Aziz memberitahu Ayah mat bahawa air penawar itu adalah penyembuh segala penyakit yang diizinkan oleh Allah.

"Kebanyakan pesakit yang datang ke rumah Ayah Mat untuk mengambil air penawar itu, Ayah Mat pula berpesan, sebelum menggunakan air penawar tersebut pesakit terbabit diminta membaca Al-Fatihah (1 kali) dan selawat (3 kali) lalu menghembuskan ke dalam air itu barulah boleh diminum.

"Jika permohonan daripada ibu bapa untuk kebaikan anak-anak mereka, Ayah Mat meminta mereka membaca Al-Fatihah sebanyak satu kali serta selawat sebanyak tiga kali barulah meminta pertolongan  (memohon doa) dari Allah S.W.T.  Bagi pihak pesakit boleh dipohonkan oleh pesakit sendiri. Ayah Mat sendiri menggunakan air penawar itu dengan memohon Allah S.W.T  membebaskan segala penyakit dari tubuh", katanya.

Sambung Ayah Mat lagi, buat masa sekarang, air penawar itulah rawatan mudah yang diperkenalkannya dan sehingga sekarang semakin ramai yang mengunjunginya untuk tujuan mendapatkan air penawar terbabit. Orang ramai yang datang bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan, namun paling jauh dari Pattani, Siam iaitu tempat tinggal gurunya yang bernama Baba Aziz itu. Paling menghairankannya, apabila penduduk dari Pattani, Siam sewajarnya mengambil air penawar dari sana, namun air penawar beliau lebih diutamakan dari tempat gurunya sendiri.

Katanya, bukti kemujaraban air penawar yang dihasilkannya telah diketahui oleh jiran-jiran dan semua penduduk setempat. Salah seorang jururawat Hospital Kota Bharu bernama Hasmah sentiasa dalam keresahan apabila diketahui anaknya terlibat dengan penagihan najis dadah. Beliau meminta semua pengamal rawatan tradisional tampil merawat penyakit gian dadah sebagaimana yang dialami oleh anaknya itu, lalu jururawat terbabit diberitahu bahawa Ayah Mat boleh ikhtiarkannya tetapi beliau bukan perawat tradisional tetapi sekadar guru Al-Quran sahaja.

"Jururawat itu datang ke rumah Ayah Mat dengan membawa air dari rumahnya sendiri. Ayah Mat mengusahakannya lalu diminum oleh anaknya. Setelah meminumnya, anaknya itu bergegas turun dari rumah Ayah Mat, tetapi anaknya itu tiba-tiba melompat kembali ke atas rumah. Katanya, di persimpangan jalan beliau nampak ramai anggota polis sedang memerhatikan ke arahnya, dengan itu anaknya itu tidak dapat ke mana-mana kerana bimbang ditangkap anggota polis terbabit kerana beliau pernah terlibat dengan najis dadah itu.

"Dengan izin Allah, anaknya yang dulunya gian dadah tetapi telah insaf selepas meminum air penawar Ayah Mat. Anaknya itu kini sentiasa ke masjid untuk solat berjemaah walaupun sebelum ini tidak begitu. Perubahan sikap anak jururawat tersebut dikesan oleh penduduk kampungnya yang bertanya beliau menerima rawatan dari perawat tradisional mana, lalu diberitahu bahawa Ayah Mat, seorang guru Al-Quran", ujarnya.

Bukti kedua pula menurut Ayah Mat, seorang anak penduduk kampung terbabit yang dianggap pencuri tegar dengan tiba-tiba berubah sikap dengan tidak mencuri lagi selepas meminum air penawar Ayah Mat. Sedangkan sebelum ini, habis barangan penduduk kampung dikebas oleh anaknya, salah seorang penduduk kampung tersebut.

Apabila ditanya, adakah gangguan makhluk halus juga boleh disembuhkan dengan air penawar tersebut, Ayah Mat menjelaskan, apa-apa penyakit sekalipun disebabkan gangguan makhluk halus boleh ditangani dengan hanya berharap dan meminta daripada Allah S.W.T. Kata Ayah Mat, beliau bukan seorang penyembuh penyakit, namun jika Allah yang mengizinkannya, penyakit terbabit pasti sembuh.

     
Ayah Mat hanya mampu mendengar dan bertutur dalam keadaan baring.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 10 Mac 2012

Perusahaan Membuat Bot


PERUSAHAAN MEMBUAT BOT

TUMPAT, KELANTAN MEMBUAT bot bukan suatu kerja yang dianggap senang sekalipun dilihat nampak mudah. Kerja-kerja seumpama ini perlu dibuat dengan tekun, penuh yakin dan perlukan tumpuan yang sebaiknya. Apatah lagi perusahaan berkenaan bukan sahaja memerlukan tenaga yang mahir dan mencukupi, namun paling penting ialah perbelanjaan untuk menyediakan peralatannya sehingga kerja-kerja berkenaan selesai adalah dianggap rumit juga perlu diberikan perhatian oleh setiap pengusahanya.

Di negeri Kelantan, lazimnya kerja-kerja membuat dan membaikpulih bot banyak dilakukan oleh pengusaha Melayu yang kebanyakannya turut dibantu beberapa kenalan selain penduduk di kawasan terbabit. Namun, amat jarang ditemui kerja-kerja berkenaan diusahakan sendiri oleh kalangan ahli keluarga khususnya adik-beradik sebagai kesinambungan yang pernah diusahakan oleh orang tua mereka sendiri sejak dulu.

Salah seorang pengusaha bot yang ditemui Wartawan RELATIF, Zaffri bin Mahat, 40, dari Kampung Tanjung Che Mah, Tumpat, Kelantan berkata, pembuatan bot berkenaan bermula sejak zaman arwah bapanya sekitar tahun 1930. Malah setelah kematian bapa yang disayangi sejak 15 tahun lalu, beliau bersama adik-beradiknya yang seramai enam orang terpaksa mengambilalih kepakaran dan kemahiran dengan meneruskan tradisi berkenaan sehingga hari ini. Tujuannya adalah supaya tradisi membuat bot tidak ditinggalkan begitu sahaja kerana terdapat manfaatnya terutamanya buat ahli keluarga mereka.

"Sejak kematian bapa 15 tahun lalu, kami adik-beradik yang mewarisi kepakaran dan kemahiran arwah dalam perusahaan membuat dan membaikpulih bot ini. Sehingga hari ini, kami banyak menerima tempahan dalam kerja-kerja ini", ujar Zaffri ketika ditemubual Penulis di kediamannya yang telah telah dijadikan sebuah bengkel.

Katanya, dalam usaha untuk menghasilkan bot perkara utama adalah penggunaan kayu yang agak banyak dan tahan lama seperti kayu cengal. Beliau terpaksa mendapatkan bekalan kayu tersebut di Kuala Terengganu yang mana kayu ini dibawa menggunakan lori muatan.

Menurutnya, setakat ini beliau serta adik-beradiknya hanya menumpukan dalam pembuatan bot kecil kerana perbelanjaan untuk menghasilkan bot berkenaan memerlukan kos yang rendah berbanding bot laut dalam yang didapati kosnya agak tinggi.

"Untuk menghasilkan sebuah bot kecil memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000. Manakala sebuah bot besar untuk kegunaan laut dalam memerlukan kos RM3 juta. Ini kerana, untuk menghasilkan sesebuah bot memerlukan penggunaan kayu cengal kerana kayu cengal agak kukuh dan tahan lama di mana perbelanjaan kayu ini sahaja mencecah kira-kira RM9,000 satu tan. Sementara itu, bagi sebuah bot laut dalam beratnya di antara 200 hingga 300 tan", katanya.

Tambahnya, pada masa dulu beliau pernah memberikan kontrak membuat bot kepada orang lain. Namun, disebabkan harga barangan yang diperlukan pada masa itu tidak dapat dinilai, maka hal tersebut terpaksa diambil balik. Manakala dari segi ketahanan, lazimnya usia bot dapat bertahan selama 50 tahun, tetapi apabila pernah merempuh batu karang tempohnya menjadi pendek. Misalnya jika bot tersebut hanya berlegar di kawasan kuala pastinya akan tahan lebih lama lagi.

Menurut Zaffri, bagi setiap bot purata dapat disiapkan bagi sebuah bot memakan masa sehingga tiga bulan. Keadaan ini berdasarkan kepada barangan untuk membuatnya, kalau barangan tersebut didapati banyak yang rosak, tempoh masa siap dibaikpulih mungkin lebih dari itu tetapi jika sebaliknya hanya memakan masa tiga hari sahaja. Sebaliknya, bagi bot besar pula memerlukan masa siap sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Sambungnya, beliau tidak nafikan membuat bot bukan sesuatu yang senang bahkan amat sukar, kerana itu adalah pengalamannya, bukan sahaja memerlukan tenaga yang agak ramai dan sebagainya. Apatah lagi dalam usaha membentuk kayu menjadi bulat sebagaimana yang dapat dilihat dalam kebanyakan bot sememangnya amat sukar dilakukan.

"Misalnya kayu yang digunakan untuk membuat bot perlu dibentuk hampir sama dengan membuat perabot rotan yang mana kayu-kayu tersebut hendaklah dipanaskan terlebih dahulu untuk dijadikan badan bot. Lazimnya jika menggunakan api, akan menjadikan kayu-kayu dapat dibentuk dengan mudah, tetapi perlukan pemerhatian dan ketekunan yang tinggi", jelasnya.

Katanya, bot yang digunakannya sekarang dapat dilayarkan sejauh 200 batu. Ini bermakna kalau diukur jaraknya sehingga ke sempadan Indonesia iaitu perjalanan yang dilalui mencecah masa selama dua hari dan dua malam.

"Bot biasa atau bot kecil ini memerlukan tenaga awak-awak seramai enam orang, bermakna seorang tekong dan lima awak-awak.

"Manakala bagi bot besar pula memerlukan lebih lima orang awak-awak terutamanya bagi pukat tarik. Tetapi bagi pukat jerut, memerlukan seramai 25 orang awak-awak", jelasnya.

Apabila ditanya tentang bot, setelah badan dan bahagian-bahagian lain dalam bot didapati telah siap sepenuhnya, bagaimana pula halnya dengan enjin bot tersebut. Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa, beliau hanya menumpukan dalam pembuatan bot sahaja tetapi berhubung dengan penyediaan enjinnya dilakukan oleh pihak lain yang mahir tentangnya. Ini bermakna, tempat enjin dalam sesebuah bot itu memang disediakan oleh pihaknya, tetapi berhubung dengan pemasangan enjinnya dibuat oleh pihak yang lain pula.

Selain itu, apabila diminta membicarakan tentang hasil tangkapan yang lazimnya dilakukan oleh nelayan-nelayan tempatan terutamanya dari Tumpat sendiri, beliau berkata kebanyakan nelayan dari daerah berkenaan akan keluar rumah sehingga memakan masa sehingga tujuh hari. Kebiasaannya muatan hasil tangkapan yang diperolehi sehingga 10,000 tan.

"Berat bagi sesebuah kapal dan bot lebih kurang 15 tan, manakala bagi bot kecil sekurang-kurangnya lebih satu tan. Lazimnya, bot kecil ini dianggapkan oleh kebanyakan penduduk kampung sebagai "bot ke laut hari" yang mana pergi pagi dan pulang tengah hari.

"Manakala bot yang beratnya 15 tan, kebanyakan nelayan keluar rumah mencecah masa selama seminggu sekali. Bermakna, kalau nelayan terbabit keluar pagi Sabtu, mereka akan pulang ke rumah pada hari Sabtu yang berikutnya dan begitulah rutin harian setiap nelayan yang menggunakan bot 15 tan tersebut", katanya.

Menurutnya lagi, setiap nelayan yang turun ke laut berpandukan kepada keadaan cuaca. Jika keluar dari rumah dalam keadaan cuaca yang baik dan tenang, tetapi apabila sampai sehingga 50 batu tiba-tiba ribut melanda, nelayan terbabit terpaksa berpatah balik untuk mengelakkan sesuatu tragedi yang tidak diingini.

Zaffri bin Mahat boleh dihubungi melalui talian:
012-9885797

Zaffri bin Mahat.

Zaffri bin Mahat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel perusahaan botnya.

Bot ini berusia lebih 50 tahun tetapi masih boleh digunakan, hanya perlukan sedikit baikpulih.

Di antara bahagian bot yang didapati rosak.

Bot baru dalam proses menyiapkannya.

Inilah peralatan yang digunakan untuk membuat bot.

 Wartawan RELATIF bergambar kenangan bersama tenaga kerja membuat bot.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 8 Mac 2012

Banteras Rogol-Ragut


BANTERAS ROGOL-RAGUT

ROGOL dan ragut adalah dua kategori jenayah yang perlu diberikan perhatian khusus oleh semua pihak. Kedua-dua bentuk jenayah berkenaan membawa pelbagai masalah kepada mangsa dan boleh menjejaskan keharmonian setempat. Pihak yang bertanggungjawab perlu mengatasi dan membanterasnya sehingga akar umbi. Kedua-dua bentuk jenayah ini sememangnya menjadi kebimbangan wanita.

Tidak kurang juga wanita yang mengalami kejadian rogol tetapi untuk membuat aduan polis kerana akan mengaibkan diri dan keluarganya. Maka perogol bebas menunjukkan kejantanannya untuk merogol lagi. Akhirnya wujudlah "perogol bersiri" kerana menganggapkan dirinya berani dan hebat malah tidak siapa yang dapat mengambil tindakan terhadapnya.

Wujudnya kejadian rogol dan ragut adalah berpunca dari sikap wanita sendiri yang boleh menarik minat perogol dan peragut tersebut. Dalam konteks sehingga tercetusnya kejadian rogol, wanita pada zaman ini semakin berpenampilan yang berani dan memberahikan dengan mendedahkan bahagian-bahagian tubuh yang boleh merangsang nafsu dengan memperagakan pakaian yang ketat serta menjolok mata.

Begitu halnya dengan permasalahan ragut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Peragut memang sukar dikenali kerana mereka begitu bijak berlakon serta mengatur strategi untuk meragut mangsa. Mangsa yang cuai pastinya akan teraniaya dan padahnya ialah bukan sahaja wang ringgit hilang kerana diambil peragut. Sebaliknya nyawa turut melayang kerana disentap peragut secara pantas dan kasar yang hakikatnya tidak disedari oleh mangsa.

Kedua-dua kejadian ini tidak akan dapat dihapuskan jika tiada kerjasama dari semua pihak khususnya di kalangan masyarakat setempat. Masyarakat berperanan untuk menghindarkan masalah sedemikian apabila mereka dapat mewujudkan seperti rukun tetangga atau skim rondaan sukarela (SRS) di samping mengadakan majlis penerangan 'membasmi jenayah' kepada golongan muda mudi supaya menjauhi perbuatan ragut yang tidak memberikan sebarang manfaat itu. Di samping peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sedikit sebanyak dapat membendung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, undang-undang yang lebih tegas perlu dipinda dari semasa ke semasa dengan memasukkan beberapa fasa yang lebih menyeluruh. Misalnya untuk mengelakkan kejadian rogol, tempoh tahanan perogol mungkin boleh dilanjutkan atau sebagainya.

Manakala dalam kes ragut pula, masing-masing memberikan cadangan supaya peragut dihukum potong tangan sebagai pengajaran kepada peragut lain untuk tidak mengulanginya lagi agar ditakuti oleh peragut-peragut lain. Manakala segelintir masyarakat menyelar peragut supaya mereka dibunuh. Ini kerana, peragut akan bertindak sebagai pembunuh apabila mereka terdesak.

Manakala golongan cerdik pandai agama tidak sekadar menjadikan masjid dan mimbar Jumaat sebagai tempat untuk memberikan penerangan dan pendidikan kepada masyarakat. Mereka sewajarnya berganding bahu dengan agensi kerajaan tertentu supaya sama-sama turun padang ke tempat-tempat yang menjadi sarang golongan tersebut.

Sikap menunding jari dan melepaskan tanggungjawab ke atas bahu pihak berkuasa keselamatan semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Ini kerana, tugas mengatasi dan membanteras permasalahan itu adalah tugas semua pihak.

Masyarakat sendiri tidak seharusnya sekadar berpeluk tubuh atau hanya pandai berbicara di warung kopi tetapi kolot apabila diminta untuk melaksanakannya apatah lagi untuk memberikan sumbangan dan buah fikiran dalam usaha untuk mengatasinya sebelum gejala berkenaan semakin parah.

Gadis remaja bebas ke mana sahaja tanpa kawalan dari kedua ibu bapa.

Kejadian rogol berlaku kerana sikap dan kelemahan wanita sendiri yang menunjuk-menunjuk.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH