RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 15 Mac 2012

Tragedi: Guru Lumpuh


TRAGEDI: GURU LUMPUH

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  DI ZAMAN mudanya, beliau seorang guru sekolah rendah yang cerdas dan begitu komited dengan tugas, malah bersedia untuk ditukarkan ke mana-mana tempat, dia akan tempuhi kerana itulah tugasnya sebagai guru. Kerjayanya bermula sebagai seorang guru pelatih pada bulan Februari, 1952 di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan selama lima tahun.

Kemudiannya beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Morak, Palekbang, Tumpat. Selama lima tahun beliau di sekolah rendah Morak itu, kemudiannya ditukarkan pula ke Sekolah Kebangsaan Cabang Empat Tumpat. Kira-kira lima tahun kemudiannya beliau ditukarkan pula ke Sekolah Kebangsaan Batu Melintang iaitu di Ulu Jeli selama tiga tahun. Selepas itu, beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Delima, Wakaf Baharu berhampiran dengan rumah kediamannya sekarang.

Selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Delima, beliau kemudiannya ditukarkan pula oleh Pejabat Pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Geting, Tumpat. Lebih kurang berkhidmat selama lima tahun di sekolah berkenaan, awal tahun 1980 beliau terjatuh dari pohon rambutan. Akibat tragedi itu, beliau didapati lumpuh sepenuhnya.

Begitulah malang yang menimpa Mohamad bin Daud, 78, atau lebih dikenali sebagai Ayah Mat dari Kampung Perupok, Wakaf Baharu, Kelantan. Ketika beliau ditemui Wartawan RELATIF untuk sessi temubual, beliau hanya mampu mendengar dan bertutur dalam keadaan baring dan tidak lebih dari itu.

Ketika menceritakan kejadian yang menimpanya sejak 32 tahun lalu itu berlaku semasa beliau pulang dari mendengar syarahan agama di sebuah surau di Kampung Perupok kira-kira jam 7.00 pagi. Beberapa hari kemudian, beliau mengajak anak saudara dan anak sepupunya seramai lima orang itu untuk memanjat sebatang pokok rambutan di Kampung Bechah Tembelang iaitu lebih kurang dua kilometer dari rumah yang didudukinya sekarang untuk diambil buahnya. Turut bersama adalah isterinya.

Katanya, ketika sedang asyik memanjat dari satu dahan ke dahan yang lain, beliau cuba memegang sebatang dahan tinggi yang didapati buahnya agak lebat dan ranum di mana beliau sememangnya memegang dahan berkenaan di bahagian atas lalu terpotong di bahagian bawahnya. Apabila dahan yang dipegangnya itu telah putus selepas dipotong, menyebabkan Ayah Mat terjatuh. Salah seorang anaknya yang turut serta bertempik kerana agak terkejut apabila melihat Ayah Mat terjatuh dan terkial-kial kesakitan.

Menurutnya, semasa beliau terjunam ke bawah, beliau terdengar bunyi suara tempikan tersebut kerana pada masa itu beliau dalam keadaan sedar lagi. Selepas itu, beliau dapati dirinya tidak dapat bergerak lalu diusung oleh kanak-kanak yang diasuhnya itu ke rumah sepupunya di kampung tersebut. Isterinya kemudiannya turut serta ke rumah sepupu suaminya sambil meminta bantuan untuk membawa suaminya itu ke wad Hospital Kota Bharu. Kejadian itu berlaku awal bulan Ogos 1980.

Ketika beliau berada di wad hospital berkenaan selama lapan bulan, beliau diberikan cuti sebulan sekali untuk pulang ke kampungnya sekarang. Usia semasa beliau terjatuh itu lebih kurang 25 tahun dan dalam masa cuti itu, beliau kemudiannya tinggal bersama dengan seorang tukang urut tersohor bernama Pak Nik yang merupakan seorang warga Siam (sekarang arwah) yang menetap di hadapan Sekolah Menengah Ibrahim (2) Pasir Mas, Kelantan.

Tambahnya, arwah Pak Nik Tukang Urut turut dibantu oleh dua orang pembantunya yang dikenali Pakcik Hassan berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Baharu dan seorang lagi bernama Tok Wan.

"Selepas cuti tamat, Ayah Mat kembali ke wad hospital untuk mendapatkan rawatan susulan iaitu rawatan memanaskan badan. Rawatan ini perlu dilakukan oleh Ayah Mat selama sebulan sekali di hospital berkenaan sambil membuat urutan di rumah Pak Nik tukang urut itu", ujarnya.

Sambung Ayah Mat, beliau memperolehi cuti mengajar tanpa gaji selama satu tahun. Namun kemudiannya beliau memperolehi gaji, mungkin pihak sekolah ingin membuat pelarasan gaji tersebut. Ketika menerima rawatan di rumah tukang urut terbabit, beliau tidak lagi pulang ke rumahnya sebaliknya terus ke hospital.

Disebabkan tidak tahan akibat terlalu lama berada di wad hospital, beliau memohon cuti terus dari pihak hospital terbabit dan hasratnya itu diluluskan oleh pihak hospital, kerana itu beliau tidak lagi ke hospital sekadar membuat urutan di rumah sahaja. Beliau menetap di rumah tukang urut terbabit selama setahun setengah. Ini meliputi makan minum dan mandi yang kesemuanya dijaga oleh tukang urut terbabit sehingga Ayah Mat menganggap tukang urut tersebut seperti anaknya sendiri kerana sanggup menjaganya tanpa dikenakan sebarang upah rawatan.

Kesanggupan tukang urut itu menanggung kos makan minum seperti nasi bungkus setiap pagi kepada beliau dan isterinya yang turut menjaganya di rumah tukang urut itu memang sesuatu yang tidak dapat dibalasnya dengan kata-kata, hanya Allah jua yang mengetahui keadaan perasaan hatinya ketika itu.

Selepas itu, beliau meminta izin tukang urut tersebut untuk pulang ke rumahnya sendiri. Ketika tinggal di rumahnya sendiri selepas itu, beliau hanya melakukan rutin hariannya dengan mengajar membaca Al-Quran kepada anak-anak jirannya. Sebenarnya, ketika usianya 14 tahun lagi, Ayah Mat sudah mampu mengajar Al-Quran di mana beliau mempelajarinya dari arwah bapa saudaranya, Abdullah bin Awang Besar yang merupakan seorang guru Al-Quran tersohor.

"Dalam masa Ayah belajar Al-Quran dengan bapa saudara, Ayah Mat juga banyak mengajar Al-Quran khususnya kepada kanak-kanak. Ini merupakan arahan guru yang meminta Ayah Mat menjadi guru Al-Quran kepada kanak-kanak tersebut", katanya.

Menurut Ayah Mat, dalam kejadian terbabit beliau terpaksa menerima rawatan urutan urat saraf dan sehingga sekarang kira-kira 10 orang tukang urut turut memberikan khidmat untuk mengurangkan masalah saraf yang dialaminya. Tetapi kini, beliau tidak lagi diurut oleh mana-mana tukang urut, sekadar baring semata-mata sambil mengajar Al-Quran di mana kebanyakan anak-anak muridnya terdiri daripada pelajar-pelajar setempat termasuk dari daerah Wakaf Baharu dan Bunut Susu, Pasir Mas berjumlah 300 orang malah Ayah Mat juga turut dibantu oleh lima pembantu.

Ditanya tentang kelebihan dan keistimewaan Ayah Mat sebagai seorang guru Al-Quran, tentunya beliau mampu merawat penyakit dan pesakit secara tradisional. Beliau menjelaskan, dalam masa beliau sedang baring, salah seorang anaknya memperkenalkan seorang alim dari Pattani, Siam bernama Baba Aziz. Usia Baba Aziz pada masa itu lebih muda darinya. Dalam masa beliau baring dan tidak dapat melakukan apa-apa, dengan tiba-tiba tercetus dari bibir mulutnya tentang dirinya yang tidak berilmu, dengan kaedah bagaimana beliau memperolehinya melihatkan keadaannya yang tidak dapat bergerak ke mana-mana itu.

Mendengar keluhan jiwa Ayah Mat, Baba Aziz menyatakan hal berkenaan tidak terlalu sukar lalu meminta Ayah Mat mengamalkan kalimah "Bismillah" sebanyak 785 kali dan "Al-Fatihah" sebanyak 320 kali setiap hari. Kalimah ini katanya perlu dihabiskan dan apabila cukup 41 hari, Ayah Mat diminta menghubungi Baba Aziz itu dan Baba Aziz akan memberikannya satu doa.

"Setelah selesai membaca kedua-dua kalimah sebagaimana yang dikehendaki oleh Baba Aziz, Ayah Mat kemudiannya menghubungi Baba Aziz. Lalu dikirimkan oleh Baba Aziz kepada Ayah Mat doa Bismillah dan Al-Fatihah itu. Selepas amalan selama 41 hari, Ayah Mat diminta menadah air paip (air paip di rumah Ayah Mat bertapis jernih) dalam satu tempayan.

"Ayah Mat kemudian diberitahu, air paip yang ditadah itu merupakan air penawar dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Tetapi Baba Aziz berpesan kepada Ayah Mat, air yang dicedok dari tempayan itu hanya boleh dilakukan oleh isteri Ayah Mat sahaja tetapi tidak orang lain. Ini bermakna, jika isteri Ayah Mat tiada di rumah ketika itu tetapi pesakit memerlukan air penawar berkenaan, air penawar berkenaan tidak boleh diambil", jelasnya.

Katanya, selepas itu ramai pengunjung yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan air penawar penyakit yang ada di rumahnya. Selepas mengambil air dari tempayan itu, Ayah Mat diminta oleh Baba Aziz untuk mengisikanya dengan surah Yassin dan sebarang surah yang boleh dibaca oleh Ayah Mat. Kemudiannya Baba Aziz memberitahu Ayah mat bahawa air penawar itu adalah penyembuh segala penyakit yang diizinkan oleh Allah.

"Kebanyakan pesakit yang datang ke rumah Ayah Mat untuk mengambil air penawar itu, Ayah Mat pula berpesan, sebelum menggunakan air penawar tersebut pesakit terbabit diminta membaca Al-Fatihah (1 kali) dan selawat (3 kali) lalu menghembuskan ke dalam air itu barulah boleh diminum.

"Jika permohonan daripada ibu bapa untuk kebaikan anak-anak mereka, Ayah Mat meminta mereka membaca Al-Fatihah sebanyak satu kali serta selawat sebanyak tiga kali barulah meminta pertolongan  (memohon doa) dari Allah S.W.T.  Bagi pihak pesakit boleh dipohonkan oleh pesakit sendiri. Ayah Mat sendiri menggunakan air penawar itu dengan memohon Allah S.W.T  membebaskan segala penyakit dari tubuh", katanya.

Sambung Ayah Mat lagi, buat masa sekarang, air penawar itulah rawatan mudah yang diperkenalkannya dan sehingga sekarang semakin ramai yang mengunjunginya untuk tujuan mendapatkan air penawar terbabit. Orang ramai yang datang bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan, namun paling jauh dari Pattani, Siam iaitu tempat tinggal gurunya yang bernama Baba Aziz itu. Paling menghairankannya, apabila penduduk dari Pattani, Siam sewajarnya mengambil air penawar dari sana, namun air penawar beliau lebih diutamakan dari tempat gurunya sendiri.

Katanya, bukti kemujaraban air penawar yang dihasilkannya telah diketahui oleh jiran-jiran dan semua penduduk setempat. Salah seorang jururawat Hospital Kota Bharu bernama Hasmah sentiasa dalam keresahan apabila diketahui anaknya terlibat dengan penagihan najis dadah. Beliau meminta semua pengamal rawatan tradisional tampil merawat penyakit gian dadah sebagaimana yang dialami oleh anaknya itu, lalu jururawat terbabit diberitahu bahawa Ayah Mat boleh ikhtiarkannya tetapi beliau bukan perawat tradisional tetapi sekadar guru Al-Quran sahaja.

"Jururawat itu datang ke rumah Ayah Mat dengan membawa air dari rumahnya sendiri. Ayah Mat mengusahakannya lalu diminum oleh anaknya. Setelah meminumnya, anaknya itu bergegas turun dari rumah Ayah Mat, tetapi anaknya itu tiba-tiba melompat kembali ke atas rumah. Katanya, di persimpangan jalan beliau nampak ramai anggota polis sedang memerhatikan ke arahnya, dengan itu anaknya itu tidak dapat ke mana-mana kerana bimbang ditangkap anggota polis terbabit kerana beliau pernah terlibat dengan najis dadah itu.

"Dengan izin Allah, anaknya yang dulunya gian dadah tetapi telah insaf selepas meminum air penawar Ayah Mat. Anaknya itu kini sentiasa ke masjid untuk solat berjemaah walaupun sebelum ini tidak begitu. Perubahan sikap anak jururawat tersebut dikesan oleh penduduk kampungnya yang bertanya beliau menerima rawatan dari perawat tradisional mana, lalu diberitahu bahawa Ayah Mat, seorang guru Al-Quran", ujarnya.

Bukti kedua pula menurut Ayah Mat, seorang anak penduduk kampung terbabit yang dianggap pencuri tegar dengan tiba-tiba berubah sikap dengan tidak mencuri lagi selepas meminum air penawar Ayah Mat. Sedangkan sebelum ini, habis barangan penduduk kampung dikebas oleh anaknya, salah seorang penduduk kampung tersebut.

Apabila ditanya, adakah gangguan makhluk halus juga boleh disembuhkan dengan air penawar tersebut, Ayah Mat menjelaskan, apa-apa penyakit sekalipun disebabkan gangguan makhluk halus boleh ditangani dengan hanya berharap dan meminta daripada Allah S.W.T. Kata Ayah Mat, beliau bukan seorang penyembuh penyakit, namun jika Allah yang mengizinkannya, penyakit terbabit pasti sembuh.

     
Ayah Mat hanya mampu mendengar dan bertutur dalam keadaan baring.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan