KRISIS AIR DUNIA
KALAU tidak kerana haiwan dan tumbuh-tumbuhan, jangan harap hujan akan turun. Namun jika hujan tidak turun, adakah manusia akan memperolehi air sebagaimana yang sepatutnya? Sebaliknya apabila dianugerahkan air sebagai bahan keperluan manusia, apakah tabiat dan sikap kita terhadap bahan keperluan tersebut?
Persoalannya, mengapa air bersih yang digunakan sebagai minuman, mencuci pakaian dan mandi yang ketika dahulu melebihi paras keperluan tetapi kini telah susut dan semakin menurun. Apakah puncanya dan siapakah penyebabnya sehingga di sesetengah tempat air sukar ditemui walaupun aktiviti menggali perigi sebagai alternatif untuk mendapatkan sumber bekalan air tidak berhasil?
Masyarakat kita jangan terlalu berharap bahawa bekalan air bersih masih mencukupi walaupun kita masih sempat minum, mandi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk. Kekurangan bekalan air yang menyebabkan beberapa batang sungai dan tempat simpanan air turut kering sebagaimana yang dialami di beberapa negeri sebelum ini adalah sebagai pengajaran bahawa air semakin berkurangan. Namun, tabiat membazirkan air masih terus dilakukan.
Dalam jangka panjang, manusia akan menghadapi krisis sumber bekalan air yang serius seiringan dengan krisis makanan dan krisis nilai mata wang yang juga dijangka bermasalah. Namun, air adalah lebih berharga berbanding makanan.
Tanpa makanan, manusia masih dapat hidup, sebaliknya jika tanpa air untuk selama tiga hari sahaja, manusia akan mati. Maknanya air itu lebih penting, tetapi jika air yang diminum turut tercemar ternyata akan lebih mendatangkan kesan buruk kepada jangka hayat manusia.
Menurut fakta, dianggarkan kira-kira 1.2 bilion penduduk kini kekurangan bekalan air bersih disebabkan beberapa punca seperti pencemaran, kemarau, pembaziran air, pembebasan karbon dioksida di udara, masalah lapisan ozon yang semakin nipis akibat pelepasan bahan-bahan kimia dan racun makhluk perosak, aktiviti pembalakan dan pembakaran terbuka serta peningkatan jumlah penduduk bumi dua kali ganda atau lebih dalam abad yang akan datang.
Wartawan alam sekitar BBC, Alex Kirby melaporkan "bumi ini tidak lagi mempunyai air bersih berbanding 2,000 tahun lalu apabila penduduk kurang dari saiz tiga (3) peratus daripada saiz hari ini".
Perbezaannya amat jelas apabila negara-negara Timur Tengah sebelum ini yang dilaporkan jarang-jarang mendapat hujan seperti Israel, Jordan dan Syria memperolehi sumber air dari Lembah Sungai Jordan. Tetapi kini, akibat dari kekurangan bekalan air tersebut, beberapa buah negara seperti Arab Saudi, Israel, Jordan dan Afrika terpaksa mengimpot air bersih, malah dianggarkan dalam tempoh 25 tahun lagi, kira-kira 48 buah negara dengan lebih dari satu pertiga penduduk dunia akan menderita kehausan air.
Semasa musim kemarau pada tahun 1984-1985 di Mesir, jumlah air yang mengalir ke Aswan telah jatuh sebanyak 38 bilion meter padu, di bawah bahagian yang diperuntukkan kepada Mesir.
Manakala pada tahun 1986, simpanan air Mesir telah jatuh ke paras 24 bilion meter padu atau kurang satu perlima daripada kandungan simpanannya dan lebih kurang satu pertiga jumlah penggunaan tahunannya. China juga menghadapi kekurangan bekalan air yang mana hanya lapan (8) peratus air jernih yang boleh dibaharui selain Rusia juga turut menjadi kontang akibat penggunaan air yang berlebihan.
Bagaimana pula dalam konteks negara kita, walaupun mempunyai standard sistem dan pengurusan air yang terbaik dengan adanya sistem takungan dan tempat tadahan air serta sungai-sungai dan tasik, adakah cukup untuk menampung generasi hari ini akan datang?
Beberapa kes catuan air serta kejadian beberapa batang sungai yang turut kering akibat kemarau sebelum ini adalah menjadi pengajaran kepada masyarakat di negara kita supaya tidak terus membazirkan air dan tidak mencemari sumber bekalan air bersih itu.
Kita sedia maklum bahawa, petanda kemarau yang mengakibatkan sungai dan tempat tadahan air menjadi kering adalah berpunca dari sikap manusia sendiri iaitu dengan sengaja mencemari bekalan air, menggondol bukit-bukau dan aktiviti menebang pokok dengan sewenang-wenangnya.
Perbuatan membuang sampah, menyalurkan sisa bahan kimia dan toksik ke dalam sumber bekalan air adalah sikap yang tidak bertanggungjawab manusia terhadap ekologi yang secara langsung menyebabkan air bersih semakin susut dan berkurangan.
Usaha pihak Jabatan Pengairan dan Saliran memulihkan beberapa batang sungai tercemar sebelum ini seperti Sungai Kelang, Sungai Juru, Sungai Kinta, Sungai Melaka dan Sungai Kedah adalah menunjukkan bahawa negara kita juga mengalami masalah sumber air tersebut.
Sejajar dengan itu, kalau sikap suka membazirkan air tidak dibendung, lambat-laun masyarakat di negara ini akan menghadapi krisis air yang kronik dan menderita kehausan air berpanjangan dan mungkin selama-lamanya.
Justeru, ingatlah kepada titah "Parakrama Bahu The Great, iaitu Raja Sri Lanka pada abad ke-12 telah membentuk satu standard pengurusan air iaitu "jangan membiarkan setitik air hujan mengalir ke laut tanpa memberi faedah kepada manusia". Dengan itu, hargailah air sebagaimana kita menghargai nyawa kita sendiri.
Hargailah air sebagai bahan keperluan untuk hidup.
Apabila kemarau, air semakin susut dan berkurangan.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan