BANTERAS ROGOL-RAGUT
ROGOL dan ragut adalah dua kategori jenayah yang perlu diberikan perhatian khusus oleh semua pihak. Kedua-dua bentuk jenayah berkenaan membawa pelbagai masalah kepada mangsa dan boleh menjejaskan keharmonian setempat. Pihak yang bertanggungjawab perlu mengatasi dan membanterasnya sehingga akar umbi. Kedua-dua bentuk jenayah ini sememangnya menjadi kebimbangan wanita.
Tidak kurang juga wanita yang mengalami kejadian rogol tetapi untuk membuat aduan polis kerana akan mengaibkan diri dan keluarganya. Maka perogol bebas menunjukkan kejantanannya untuk merogol lagi. Akhirnya wujudlah "perogol bersiri" kerana menganggapkan dirinya berani dan hebat malah tidak siapa yang dapat mengambil tindakan terhadapnya.
Wujudnya kejadian rogol dan ragut adalah berpunca dari sikap wanita sendiri yang boleh menarik minat perogol dan peragut tersebut. Dalam konteks sehingga tercetusnya kejadian rogol, wanita pada zaman ini semakin berpenampilan yang berani dan memberahikan dengan mendedahkan bahagian-bahagian tubuh yang boleh merangsang nafsu dengan memperagakan pakaian yang ketat serta menjolok mata.
Begitu halnya dengan permasalahan ragut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Peragut memang sukar dikenali kerana mereka begitu bijak berlakon serta mengatur strategi untuk meragut mangsa. Mangsa yang cuai pastinya akan teraniaya dan padahnya ialah bukan sahaja wang ringgit hilang kerana diambil peragut. Sebaliknya nyawa turut melayang kerana disentap peragut secara pantas dan kasar yang hakikatnya tidak disedari oleh mangsa.
Kedua-dua kejadian ini tidak akan dapat dihapuskan jika tiada kerjasama dari semua pihak khususnya di kalangan masyarakat setempat. Masyarakat berperanan untuk menghindarkan masalah sedemikian apabila mereka dapat mewujudkan seperti rukun tetangga atau skim rondaan sukarela (SRS) di samping mengadakan majlis penerangan 'membasmi jenayah' kepada golongan muda mudi supaya menjauhi perbuatan ragut yang tidak memberikan sebarang manfaat itu. Di samping peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sedikit sebanyak dapat membendung kejadian tersebut.
Dalam pada itu, undang-undang yang lebih tegas perlu dipinda dari semasa ke semasa dengan memasukkan beberapa fasa yang lebih menyeluruh. Misalnya untuk mengelakkan kejadian rogol, tempoh tahanan perogol mungkin boleh dilanjutkan atau sebagainya.
Manakala dalam kes ragut pula, masing-masing memberikan cadangan supaya peragut dihukum potong tangan sebagai pengajaran kepada peragut lain untuk tidak mengulanginya lagi agar ditakuti oleh peragut-peragut lain. Manakala segelintir masyarakat menyelar peragut supaya mereka dibunuh. Ini kerana, peragut akan bertindak sebagai pembunuh apabila mereka terdesak.
Manakala golongan cerdik pandai agama tidak sekadar menjadikan masjid dan mimbar Jumaat sebagai tempat untuk memberikan penerangan dan pendidikan kepada masyarakat. Mereka sewajarnya berganding bahu dengan agensi kerajaan tertentu supaya sama-sama turun padang ke tempat-tempat yang menjadi sarang golongan tersebut.
Sikap menunding jari dan melepaskan tanggungjawab ke atas bahu pihak berkuasa keselamatan semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Ini kerana, tugas mengatasi dan membanteras permasalahan itu adalah tugas semua pihak.
Masyarakat sendiri tidak seharusnya sekadar berpeluk tubuh atau hanya pandai berbicara di warung kopi tetapi kolot apabila diminta untuk melaksanakannya apatah lagi untuk memberikan sumbangan dan buah fikiran dalam usaha untuk mengatasinya sebelum gejala berkenaan semakin parah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan