RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 30 Mac 2012

Pondok Paya Ular


PONDOK PAYA ULAR

PASIR MAS, KELANTAN:  PONDOK PAYA ULAR yang terletak di Kampung Paya Ular dalam daerah Bunut Susu dekat sini telah diasaskan oleh arwah Haji Wan Mamat iaitu bapa kepada Haji Wan Abdullah pada 13 September, 1984 selaras dengan pembukaan pondok orang-orang tua dan warga emas di kampung berkenaan. Selepas kematian bapanya itu, Haji Wan Abdullah terus mewarisi generasi pondok tersebut sehingga hari ini.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mamat dari Kampung Paya Ular, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkata, lazimnya kebanyakan pondok di negeri Kelantan terdiri daripada pelajar-pelajar remaja, namun bagi Pondok Paya Ular, pelajar-pelajarnya terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas.

Katanya, sebelum mewarisi pondok berkenaan dari arwah bapanya, beliau adalah seorang pelajar dan juga tenaga pengajar dari Pondok Berangan, Tumpat pada tahun 1950. Menyorot beliau sebagai pelajar pada sebelah siang bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 malam, di mana pada pukul 10.00 pagi adalah sekadar minum teh, manakala jam 12.00 tengah hari pula baru dapat menikmati hidangan.

Selepas solat Zohor, kuliah diteruskan seperti biasa sehingga jam 4.00 petang. Manakala pada sebelah malam iaitu selepas Maghrib, Tuan Guru menyambung kembali sebagai tenaga pengajar. Berhenti kerana solat Isyak, kemudiannya kuliah diteruskan sehingga jam 9.30 malam. Bermula jam 10.00 malam beliau menyambung kuliah tersebut sebagai guru (tenaga pengajar) sehingga jam 11.00 setiap malam, itulah rutin hariannya ketika berada di Pondok Kampung Berangan itu.

Menurutnya, beliau keluar dari Pondok Berangan untuk menyambung pelajaran di sebuah pondok yang terletak di Pulau Pinang yang juga salah sebuah sekolah Arab di Pulau Pinang dikenali Sekolah Arab Al-Masyhor dalam pengajian Syarah pada tahun 1964 di mana ketika itu beliau berusia 23 tahun. Setelah tamat belajar di sekolah tersebut, beliau pulang ke Kelantan di salah sebuah sekolah Arab selama tujuh bulan, sekolah ini adalah sebuah sekolah pembiayaan persendirian bukan di bawah kerajaan negeri.

Pada tahun 1970, di bawah kepimpinan kerajaan negeri yang diteraju oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Wan Asri Wan Muda (arwah), beliau menjadi guru di salah sebuah sekolah Arab. Pada masa yang sama, arwah Datuk Wan Asri amat memerlukan Guru Agama, beliau kemudiannya membuat permohonan ke jawatan tersebut dan dalam temuduga berkenaan beliau berjaya menjawat jawatan sebagai guru terbabit dan sejak itu beliau sebagai guru di Sekolah Arab Karangan Hulu, milik Kerajaan Negeri Kelantan selama tiga tahun.

Setelah mencurahkan khidmat bakti sebagai guru di sekolah berkenaan selama tiga tahun, beliau mengajar pula di Sekolah Kebangsaan Penggu, Pasir Mas selama tujuh tahun. Selepas itu, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Padang Mandul, Tumpat selama tujuh tahun diikuti Sekolah Kebangsaan Padang Embun, Pasir Mas selama tujuh tahun.

Setelah khidmat baktinya tamat di sekolah berkenaan, kerajaan pusat memerlukan seorang guru agama dan beliau ditawarkan sebagai guru agama lalu diminta mengajar di Sekolah Kebangsaan Tinggi, Machang selama empat tahun. Selepas berkhidmat di sekolah terbabit, beliau pulang ke kediamannya sekarang untuk menyambung generasi pondok yang diasaskan oleh arwah bapanya itu.

"Peranan saya di pondok ini adalah sebagai penyambung warisan arwah bapa dan bertindak sebagai mudir (guru agama). Turut membantu saya di pondok ini ialah Haji Wan Sanusi", katanya.

Tambahnya, kebanyakan pelajar di Pondok Paya Ular sekarang adalah terdiri daripada kalangan orang-orang dewasa meliputi lelaki dan wanita berusia 50 tahun dan ke atas. Paling ramai pelajarnya adalah kaum wanita seramai 20 orang dan tiga lelaki.

"Di antara mata pelajaran yang saya ajarkan pada sebelah malam terdiri dari Usuluddin, Tauhid, Fekah dan Tasauf. Pada sebelah pagi, lazimnya banyak pelajar dari luar negara seperti dari negara Qatar dengan menekankan aspek Bahasa Arab. Ramai yang datang belajar dengan saya berkait dengan bahasa Arab adalah terdiri daripada kalangan imam", jelasnya.

Ditanya, kenapa pelajar dari luar negara bertumpu di Pondok Paya Ular sedangkan banyak lagi pondok lain dan pusat pengajian Islam di negara terbabit, beliau menjelaskan bahawa di sana tiada tenaga pengajar yang benar-benar berpengalaman dan berpengetahuan. Apabila berkomunikasi dengan pelajar luar negara, beliau terpaksa bertutur dalam bahasa Arab kerana senang difahami.

"Misalnya perihal tentang Al-Quran diajar di sebelah siang, biasanya pelajar-pelajarnya terdiri daripada lima orang pelajar sahaja yang berminat", ujarnya.

Setakat ini menurutnya, sambutan yang agak luar biasa adalah di sebelah malam, kerana pengalaman beliau mengajar di sebelah malam pelajar-pelajarnya mencecah dari 40 hingga 50 orang, tetapi dianggap tidak menentu berbanding di siang hari. Kebanyakan pelajarnya sebelum ini datangnya dari Pattani (Siam), namun sejak kebelakangan ini beliau mendapati ramai pelajar dari Kampung Bunohan, Tumpat, Kelantan. Manakala jadual masa ditekankan bermula jam 9.00 hingga 11.00 pagi yang meliputi pengajian Al-Quran meliputi pelajar seramai enam orang, malah pengajian di Pondok Paya Ular tiada had.

"Saya mengalu-alukan jika ada sokongan dari para pelajar khususnya dari kalangan warga emas yang ingin belajar di pondok ini", ujarnya.

Apabila membicarakan tentang sumbangan pelajar terhadap Pondok Paya Ular pula, katanya, sesetengah pondok berharap sumbangan daripada pelajar-pelajarnya untuk menampung kos dan bayaran bekalan elektrik ditetapkan sebanyak RM5 seorang. Di samping penggunaan bekalan air paip, penggunaan peralatan menulis dan sebagainya. Namun, di Pondok Paya Ular beliau tidak mengharapkan sebarang sumbangan asalkan pelajar-pelajarnya itu mempunyai niat ikhlas untuk belajar di pondoknya itupun sudah memadai. Ini kerana, pondoknya itu telahpun memperolehi bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sambungnya, pengajian pondok tidak sebagaimana menuntut di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan kerana setiap tahun naik atau meningkat dari satu kelas ke kelas yang berikutnya. Pengajian pondok khususnya pengajian kitab amat sukar dan seseorang pelajar dianggap benar-benar lulus yang memerlukan pembelajaran selama lapan tahun.

Di Pondok Paya Ular, pelajar-pelajarnya tidak diwajibkan menduduki ujian kecuali dalam bab Al-Quran dan pengajian kitab, pelajar-pelajar perlu menulis untuk menambahkan lagi pengetahuan tentangnya.

Justeru, sebagai generasi pengasas Pondok Paya Ular, beliau mengalu-alukan hasrat di kalangan orang-orang dewasa dan warga emas khususnya untuk mempelajari bidang agama dan mendalami pengajian Al-Quran dipersilakan ke Pondok Paya Ular dan beliau bersedia berkhidmat untuk itu.

Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat boleh dihubungi melalui talian: 013-3367829.

Generasi Pengasas Pondok Paya Ular, Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat.

Haji Wan Abdullah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Papan tanda arah masuk ke Pondok Paya Ular.

Inilah surau dan di sebelahnya adalah pondok.

Inilah kediaman Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat.


 Rumah kebajikan orang-orang tua dalam kawasan Pondok Paya Ular.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan