MEMANFAATKAN MASA
MASA itu emas. Jangan bazirkan masa itu dengan perkara yang sia-sia. Masa itu tidak akan menunggu kita. Inilah sebahagian ungkapan dan kata-kata nasihat yang sering dicetuskan oleh orang-orang tua kita supaya setiap kanak-kanak, remaja yang masih di bangku persekolahan serta masyarakat umumnya tidak membazirkan masa paling berguna dalam kehidupan mereka.
Sebagaimana garapan Sasterawan Negara (SN), Datuk A. Samad Said melalui puisinya "Inti Masa" bahawa, masa itu sebenarnya ghaib tetapi ada. Namun kebanyakan manusia tidak menggunakan kesempatan dan ruang masa itu dengan sebaik mungkin. Sebaliknya manusia sering mensia-siakan masa dengan menjadikannya sebagai tunggul yang tidak berguna sehingga manusia sendiri lupa tentang hikmah di sebaliknya.
Setiap insan di dunia dikurniakan 24 jam atau 1,440 minit atau 86,440 saat dalam sehari. Masa itu pada hakikatnya penting mulai daripada lahirnya seorang bayi ke dunia sehinggalah akhir hayat mereka.Sebagaimana nasihat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W bahawa tidak wajar setiap manusia khasnya dan masyarakat muslim amnya membazirkan masa yang diperuntukkan kepada perkara-perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada diri mereka sendiri lebih-lebih lagi kepada agama, bangsa dan negara.
Seorang muslim yang baik, bijak dan berfikiran waras akan menilai kepentingan masa kepada mereka dengan sebaik mungkin. Ini kerana, jika ketinggalan sesaat masa seolah-olah mereka kerugian selama satu jam. Mereka akan melakukan segala aktiviti yang memberikan manfaat sahaja sebagai mengisi masa lapang. Golongan remaja dan adik-adik yang masih di bangku persekolahan juga tidak wajar menghabiskan masa yang diperuntukkan itu kepada aktiviti yang tidak mendatangkan faedah seperti menonton televisyen secara keterlaluan, bermain permainan video dan komputer, melepak, membaca komik dan majalah hiburan serta tidak berbuat apa-apa dengan menjadikan masa itu berlalu begitu sahaja.
Manakala aktiviti bermanfaat yang boleh adik-adik lakukan ialah menolong ibu bapa, mengemas rumah, membaca buku dan bahan bacaan yang berfaedah, belajar membaca dan menghafal Al-Quran dengan betul, bermain bersama kawan-kawan, bersenam atau beriadah, pergi ke perpustakaan dan gotong-royong membersihkan halaman rumah.
Sesetengah golongan dewasa juga sama ada kalangan lelaki dan wanita dikatakan sering menghabiskan masa yang berguna kepada aktiviti yang tidak mendatangkan keuntungan umpamanya berbual kosong, banyak tidur, menghabiskan masa di warung-warung kopi, bermain dam dan membeli-belah.
Amat malang sekali terdapat segelintir di kalangan ibu bapa yang menunjukkan teladan yang tidak baik kepad anak-anak mereka itu yang akhirnya turut ditiru oleh mereka.
Kenapa kita tidak melakukan aktiviti yang sihat sepanjang hari umpamanya bersenam untuk menyihatkan badan, membaca buku dan akhbar yang mempunyai banyak maklumat dan pengetahuan, membuat potongan akhbar dan ditampal ke dalam buku, membersihkan sampah-sarap untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes dan lalat, membersihkan longkang untuk mengelakkan air bertakung dan tersumbat, mengadakan perbincangan dalam hal-hal kemasyarakatan untuk mendekatkan hubungan sesama jiran tetangga, mendidik anak-anak membaca dengan lancar, mengajar anak-anak perempuan memasak dan sebagainya.
Sebagai seorang muslim dan muslimat yang sejati dan bijak yang dapat menilai masa sebagai nikmat yang paling berharga yang diperuntukkan oleh Allah S.W.T, maka tidak sepatutnya manusia mensia-siakannya kepada perkara-perkara yang membazir.
Seseorang yang ketinggalan masa bermakna dia telah ketinggalan usianya. Dengan itu, nilailah masa itu sebagai nikmat yang paling berharga dalam hidup. Sesungguhnya damai dan bertuahlah bagi seseorang yang dapat menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
Masa itu sebahagian daripada kehidupan manusia.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan