RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 30 November 2011

Misteri Bukit Bilal


MISTERI BUKIT BILAL

MACHANG, KELANTAN:  BUKIT BILAL dan kampung-kampung sekitarnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Machang, Kelantan adalah sebuah bukit yang agak tersohor yang didakwa penduduk berhampiran sebagai sebuah bukit yang agak keras, bermisteri dan mempunyai penunggu. Walaupun kawasan berkenaan baru dibuka beberapa tahun lalu dengan disediakan kemudahan jalan raya dan selepas itu wujudnya penempatan penduduk serta beberapa buah pejabat berhampiran bukit itu dikatakan sebagai penyebab kepada pelbagai gangguan dan jelmaan lembaga yang sering berkeliaran di kawasan sekitarnya.

Suatu kisah menarik tentang Bukit Bilal adalah pengalaman salah seorang penduduk yang dapat melihat makhluk halus apabila pintu rumahnya diketuk berkali-kali tatkala beliau ingin melelapkan mata. Sangkanya ada jiran-jiran yang memerlukan pertolongan, lantas beliau membuka pintu. Alangkah terkejutnya apabila pintu dibuka, didapati lembaga itu tidak berkepala sebagai menunjukkan dirinya yang sebenar seraya ghaib ketika itu juga. Mangsa berkenaan kemudiannya terpaksa berpindah kerana tidak sanggup diganggu lagi.

Seorang lagi penduduk yang sempat ditemui Penulis, Zainuddin Awang, 39, atau dikenali Abang Jak dari Kampung Kaabah, Machang, Kelantan sanggup berkongsi cerita perihal Bukit Bilal di samping pengalamannya juga turut diganggu makhluk halus di kawasan tersebut. Kejadian yang berlaku pada tahun 2006 itu pada mulanya menyebabkannya terperanjat, tetapi beliau percaya Bukit Bilal memang ada penunggunya yang akan mengganggu sesiapa sahaja yang terserempak dengan makhluk berkenaan.

Menurut Abang Jak, pengalaman pertamanya yang bekerja sebagai pemandu jentolak menurap jalan di mana pada suatu hari beliau telah diarahkan oleh bosnya supaya datang bekerja seawal 3.00 pagi. Beliau yang tidak mempunyai lesen motosikal, sering menggunakan jalan kampung itu sebagai laluan alternatif paling singkat untuk ke tempat kerjanya lebih cepat dengan melalui sebuah jirat Cina. Di sebelah utara jirat Cina itu pula adalah kawasan lembah yang ditumbuhi serumpun pohon sagu yang agak subur.

Katanya, sebelum ini beliau telah acap kali melalui kawasan itu namun tidak pernah pula diganggu, tetapi apalah nasibnya pada pagi itu. Sewaktu motosikal yang ditunggangnya menuruni lembah untuk melintasi rumpunan pohon sagu di tepi jalan kampung itu yang agak sunyi kerana agak jauh dari kediaman penduduk, beliau terasa seram sejuk yang amat sangat sehingga ke tengkuk. Sambil memberhentikan motosikalnya buat seketika untuk memerhatikan keadaan yang bakal berlaku itu, beliau cuba menyentuh bulu romanya yang menegak agak luar biasa. Di saat itulah beliau teringat tentang cerita dan petua orang-orang tua memberitahunya, jika bulu romanya terasa seram dari paras pinggang ke bawah, itu tandanya ada binatang buas di kawasan itu. Tetapi, kalau bulu romanya tegak berdiri agak luar biasa dari paras pinggang sehingga ke bahagian atas tengkuknya, itu tandanya kehadiran atau makhluk halus sedang menunggu di kawasan tersebut.

Tambah Abang Jak lagi, seminggu selepas kejadian beliau disakat makhluk halus di rumpunan sagu tersebut, beliau kemudiannya menerima arahan yang sama supaya bekerja sebagaimana hari itu. Namun, kerana beliau bangun tidur agak lewat beliau tiba di tempat kerjanya jam 3.30 pagi. Setibanya beliau di tempat kerjanya yang terletak beberapa meter dari Bukit Bilal itu, beliau dapati suasana pada pagi itu agak lengang di mana tidak ada walau seorang pun pekerja kecuali dirinya sahaja. Ini kerana, setahunya Pengawal Keselamatan yang sepatutnya berkawal di pintu masuk pejabatnya itu yang dikenali sebagai Pak Mat tentunya sudah pulang.

Untuk tidak membuang masa, beliau sebagai pemandu jentolak menurap jalan, beliau menggunakan kesempatan itu sepenuhnya untuk membuat pemeriksaan tentang keperluan yang sepatutnya ada bagi sebuah jentolak seperti keadaan minyak pelincir, minyak diesel dan sebagainya bagi memudahkan beliau melaksanakan tugas-tugsanya nanti.

Tatkala beliau memijakkan kaki di atas jentolak itu, dengan tiba-tiba beliau terlihat kemunculan Pengawal Keselamatan yang bernama Pak Mat itu sedang berdiri betul-betul di tengah-tengah laluan di antara sebuah surau dan bengkel mekanik kenderaan sambil bercekak pinggang di mana kelihatan di tangannya sedang memegang sebilah senjata golok dengan wajah yang menyeringai bengis tepat memerhatikan ke arahnya untuk menunjukkan pengawal tersebut sedang marah.

Dalam hatinya agak tertanya-tanya dengan keadaan luar biasa pada pagi itu memandangkan Pak Mat itu sepatutnya sudah pulang. Tetapi hairannya kenapa pula Pak Mat muncul secara tiba-tiba. Tercetus juga dalam hatinya, adakah Pak Mat ingin menuduhnya sedang mencuri sesuatu? Sedangkan beliau tidak berniat serong untuk berbuat demikian kerana itulah periuk nasinya selama ini. Beliau ke situ sekadar untuk memeriksa jentolaknya sahaja bagi memastikan sentiasa berkeadaan baik dan sempurna apabila melakukan kerja-kerja menurap jalan nanti. Melihatkan keadaan pelik di pagi itu, beliau tidak mempedulikan lembaga Pak Mat itu kerana niatnya adalah benar dan bukannya menyimpang.

Selang beberapa minit kemudian, beliau dapati lembaga agak bengis yang dikatakan Pak Mat itu tiba-tiba ghaib serta merta di tempatnya berdiri tadi. Melihatkan keadaan demikian, hatinya berbisik sendirian kerana difahamkan beliau seorang sahaja yang ada di kawasan berkenaan ketika itu. Namun, agak hairan juga, siapa pula secara tiba-tiba hilang dalam sekelip mata tadi? Melihatkan suasana pada ketika itu, beliau berasa tidak sedap hati apabila bulu romanya meremang secara tiba-tiba dan tubuhnya pula berasa seram sejuk.

Bagi mengesahkan siapakah sebenarnya lembaga Pak Mat yang pada awalnya tercegat dengan bengis kemudiannya hilang secara tiba-tiba itu, beliau kemudiannya melangkah turun dari jentolak tersebut seraya mencari dan meninjau di sekeliling arah tentang ke mana perginya Pak Mat itu. Menurutnya, memanglah sebelum ini beliau berselisih pendapat dengan Pak Mat, jadi beliau bimbang jika Pak Mat masih menyimpan dendam terhadapnya. Namun, apabila teringatkan tentang keluarga Pak Mat bahawa hanya keluarganya sahaja yang dikatakan penghuni awal di Kampung Bukit Bilal itu dari sehingga hari ini, malahan menurutnya Pak Mat pernah memberitahunya tentang makhluk halus di situ dari pelbagai keturunan. Bahkan beliau percaya kemungkinan jelmaan lembaga Pak Mat sebagaimana yang pernah dialaminya itu adalah dari asal usul 'saka' arwah atuknya kerana hanya keluarganya sahaja yang tidak pernah diganggu.

"Abang Jak memang terlupa langsung hendak melihat adakah jelmaan lembaga Pak Mat itu kakinya berpijak bumi atau tidak. Memang tidak terlintas langsung untuk memerhatikan gerak geri lembaga Pak Mat itu.

"Pakaian yang dipakai oleh jelmaan Pak Mat itu juga hampir sama dengan pakaian yang sering dipakai oleh Pak Mat sewaktu bertugas. Jadi, melihatkan jelmaan itu, Abang Jak pada mulanya agak keliru, sebab yang sebenar dan jelmaan sama saja", ujar Abang Jak.

Menurut Abang Jak lagi, pernah rakannya yang juga pemandu lori bersama Abang Soh yang baru pulang dari Gua Musang tertidur dalam surau berhampiran pejabatnya akibat keletihan. Pada mula-mulanya nama rakannya sahaja yang dipanggil berulang kali. Katanya lagi, Abang Soh ingat panggilan namanya sekadar mimpi sahaja. Namun, sewaktu matanya ingin terlelap dengan tiba-tiba buat kali kedua kakinya pula ditarik dengan kasar. Melihatkan keadaan itu, Abang Soh bingkas bangun lalu meneruskan tidurnya itu di dalam sebuah lori yang diparkir di luar kawasan pejabat mereka bagi mengelak daripada gangguan itu lagi.

Dalam hal ini, Abang Jak tidak menolak jelmaan lembaga Pak Mat yang menyeringai bengis ke arahnya sewaktu beliau masih di atas jentolak tadi adalah makhluk halus yang cuba menguji keberaniannya. Apatah lagi, setahu beliau juga Pak Mat dan keluarganya sahaja tidak diganggu sedangkan Bukit Bilal menurut sejarahnya amat tersohor sebagai sebuah bukit yang mengusik. Apatah lagi, dengan pengalaman rakannya itu juga turut memberikan gambaran bahawa lembaga yang menjelma dalam rupa Pak Mat dan gangguan dari bukit tersebut mungkin dari generasi yang sama iaitu 'saka' yang ditinggalkan oleh atuknya untuk menunjukkan kawasan terbabit adalah tempat yang diteroka oleh keluarganya sejak dulu lagi.    
 

Zainuddin Awang atau Abang Jak.

Abang Jak (kanan) ketika ditemubual Penulis di kediamannya di Kampung Kaabah, Machang.

Di kawasan pohon sagu inilah Abang Jak diganggu sewaktu sedang menunggang motosikalnya.

Di sinilah jelmaan lembaga Pak Mat sedang memerhatikan ke arah Abang Jak dengan muka bengis.

Di surau inilah kaki Abang Soh ditarik dengan kasar sewaktu tidur di situ.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Jambatan Tok Rendah


MISTERI JAMBATAN TOK RENDAH

KOTA BHARU, KELANTAN:  KAMPUNG SEBERANG LATING yang terletak di daerah Mulong, Kota Bharu, Kelantan adalah perkampungan yang masih lagi dilitupi sebahagian semak-samun dan hutan tebal walaupun terdapat di beberapa kawasan telah dibangunkan kerana kepentingan kepentingan penduduk. Namun, tanpa disedari ramai bahawa kampung berkenaan juga amat tersohor dengan kisah-kisah misteri kerana dikatakan berhampiran Jambatan Tok Rendah itu wujudnya makam Panglima Raja Jembal yang memerintah Kelantan dalam kurun ke-16 dahulu.

Menurut penduduk-penduduk dari kampung terbabit bahawa laluan berkenaan memang selamat dilalui, namun kebanyakan pemandu yang belum pernah menggunakan atau melalui kawasan jambatan di situ pastinya akan berasa kurang selesa dan amat menyeramkan. Ini kerana, dakwaan beberapa orang penduduk dari kampung berkenaan tidak menolak tentang wujudnya makhluk halus yang menjelma dalam rupa haiwan dari arah makam dan sungai berhampiran, malah kadang-kadang jelmaan itu akan menjadikan laluan terbabit sebagai tempat makhluk itu berehat.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, adik Fairuz Hisham Zulkifli, 16, atau Hisham dari Kampung Seberang Lating dekat sini berkata, beliau memperolehi cerita berkenaan daripada penduduk asal kampung berkenaan yang mendakwa, pada tahun 2006 memang terjadi jelmaan ular yang agak besar berhampiran dengan Jambatan Tok Rendah itu. Di kawasan itu juga terdapatnya deretan pohon buluh di samping tumbuh-tumbuhan lain yang hidup subur kerana adanya sungai yang mengalir saban tahun.

"Sering terjadi ular besar itu muncul dari arah rumpunan buluh berdekatan kubur di tepi sungai itu. Rupa ular itu bercorak batik seperti ular sawa dan panjangnya kira-kira 15 meter.

"Ular itu akan menyusur perlahan-lahan lalu melunjurkan badannya yang besar merintangi sebatang jalan berdekatan dengan jambatan berkenaan", ujarnya menceritakan pengalaman daripada penduduk asal kampung terbabit.

Tambah Hisham lagi, ular itu kerap kali akan muncul waktu malam sahaja tetapi tidak di siang hari. Namun, beliau tidak mengetahui jenis ular itu tetapi dari apa yang didengari daripada beberapa orang warga emas itu menyatakan jelmaan ular itu adalah makhluk halus dari bangsa jin. Beliau memang percaya kerana amat mustahil dikatakan ular biasa jika dilihat kepada ukuran lebar dan panjangnya. Apatah lagi, ia hanya muncul pada waktu malam sahaja. Malah, jika kena dengan masanya, pengguna laluan tersebut pasti berpeluang bertembung dengannya.

Sementara itu, adik Hakimi Fazrul Mat Nawi, 14, atau Kimi turut mencelah tentang beberapa kejadian agak luar biasa dan penuh misteri sebagaimana yang diberitahu oleh datuk dan bapanya. Menurutnya, memang terdapat dua buah kubur panglima berhampiran sungai itu dan mereka adalah bersaudara. Mereka sebenarnya meninggal dunia kerana beradu kekuatan dan dari situlah kawasan itu dianggap keras.

"Bukan jelmaan ular sahaja, kadang-kadang ada juga jelmaan beruk. Suatu ketika, semasa abang saya sedang memotong rumput berhampiran jambatan, dia terserempak dengan jelmaan beruk aneh sedang bertenggek di atas sebatang pohon durian sedang memerhatikan ke arahnya. Malah atuk juga pernah bercerita, kadang-kadang ular dan selepas itu beruk pula menampakkan dirinya silih berganti", katanya.

Tambahnya lagi, setakat ini jelmaan makhluk halus dalam rupa binatang itu belum pernah mengganggu penduduk di kampung terlibat tetapi sekadar memperlihatkan bentuk fizikalnya sahaja untuk menunjukkan kepada manusia bahawa makhluk halus dari keturunan jin adalah penghuni asal yang berkampung di kawasan berkenaan. 
   
Fairuz Hisham Zulkifli atau Hisham.

Hakimi Fazrul Mat Nawi atau Kimi.

Kimi menceritakan misteri Jambatan Tok Rendah kepada Wartawan RELATIF.

Seekor ular besar pernah merintangi Jambatan Tok Rendah ini.


Dari arah sungai berdekatan Jambatan Tok Rendah, seekor ular jelmaan makhluk halus muncul.

Inilah makam Panglima Perang Raja Jembal dua saudara dikatakan punca wujudnya pelbagai jelmaan haiwan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 29 November 2011

Misteri Lorong Kubur Jepun


MISTERI LORONG KUBUR JEPUN

KOTA BHARU, KELANTAN:  JANGAN sangka hanya di kawasan hutan belantara dan bukit-bukau sahaja dianggap berpuaka tetapi tidak di kawasan bandar. Dalam hal ini, perlu diingatkan makhluk halus memang ada di mana-mana. Kemunculannya yang berkait-rapat dengan sesuatu tempat misteri yang secara kebetulan didiami manusia, maka individu terlibat pasti akan dapat melalui pengalaman bertemu dengan makhluk ghaib itu.

Menjelaskan tentang jelmaan makhluk halus di laluan umum di bandar-bandar utama bukanlah perkara baru, cuma manusia tidak pernah bertembung dengan makhluk berkenaan sahaja. Namun, pengalaman sebuah keluarga di Kampung Sireh, 600 meter dari pusat bandar Kota Bharu menganggap kejadian misteri di kampung berkenaan adalah berkait-rapat dengan sebuah bangunan yang dikatakan tempat markas tentera menyeksa mangsa tahanan sebagai bukti Lorong Bawah Lembah yang terletak di kampung terbabit adalah berpuaka.

Menurut Deris Mamat, 74, atau Tok Ayah Mat, mengakui laluan kenderaan bersebelahan bangunan yang ada sekarang iaitu pada masa dahulu memang berpuaka. Penyebabnya ialah di masa pendudukan Jepun di Kelantan, sebuah bangunan yang dibina oleh tentera Jepun sebagai markas mereka di situ telah dijadikan sebagai tempat untuk menyiksa mangsa yang ditahan. Jika mangsa meninggal, mayat mereka hanya sekadar ditimbus dengan tanah dan pasir yang ada tanpa melalui proses pengkebumian secara terhormat. Maka, pada waktu itu amat tersohor digelar sebagai 'Kubur Putat'.

Walau bagaimanapun, sama ada tentera Jepun mahu menghuni di bangunan itu, belum lagi berlaku sesuatu yang dianggap ngeri dan menakutkan. Namun, setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 yang kemudiannya diduduki pula tentera Punjab, kawasan berkenaan dianggap penduduk setempat sebagai kawasan yang agak keras kerana setiap kali tiba jam 9.00 malam akan kedengaran suara-suara yang agak menyeramkan dan menakutkan dapat didengari apabila melalui kawasan terbabit.

"Pada masa itu, umur Tok Ayah Mat baru mencecah 16 tahun. Paling ditakuti penduduk di sini pada masa itu ialah di bahagian dapur bangunan itu. Tok Ayah Mat syak bahagian dapur itulah tempat tentera Jepun menyiksa mangsa sehingga mati", ujarnya.

Menurutnya lagi, banyak kejadian yang menakutkan sering berlaku di kawasan tersebut. Mereka yang melalui kawasan itu terutamanya bagi yang lemah semangat akan terkena sampuk berikutan di bahagian tebing, lorong dan pohon jati yang masih ada di situ sehingga hari ini amat tersohor sebagai kawasan mengusik menyebabkan ramai mengalami pengalaman misteri ketika melalui laluan itu.

Tambahnya, pada masa dahulu, Kubur Putat memang menakutkan. Salah seorang keturunan Cina juga turut ditembak oleh tentera Jepun lalu ditimbus di kawasan berhampiran sungai itu. Ada di kalangan individu yang tamakkan harta sanggup mendapatkan barang-barang berharga yang ditanam bersama mayat.

Disebabkan mangsa yang mati tidak disempurnakan dengan cara yang betul, kawasan sekitarnya mengalami natijahnya apabila dianggap oleh penduduk setempat sebagai kawasan agak keras dan berpenunggu. Mereka yang sering berulang-alik di kawasan itu pada waktu malam pasti akan terserempak dengan jelmaan lembaga yang menakutkan sehingga ada yang menjadi kurang waras akibat terkena sampuk.

Menurut Tok Ayah Mat lagi, sebuah tadika berhampiran Lorong Bawah Lembah itu masih lagi berpuaka. Keadaan ini jelas sebagaimana yang diceritakan oleh seorang pengawal di tadika tersebut, Hj. Aziz bahawa sepupu Tok Ayah Mat sendiri mengalami gangguan yang agak mengerikan semenjak bekerja di situ dan akhirnya terpaksa meletakkan jawatan.

Manakala kejadian pada tahun 1988, sepasang suami isteri yang melalui lorong berhampiran pokok jati di situ tiba-tiba terlihat seorang kanak-kanak duduk berteleku seorang diri pada waktu tengah malam. Apabila cuba dihampiri, kanak-kanak itu sebenarnya seketul batu besar semata-mata.

Sementara itu, anak sepupu Tok Ayah Mat, Muhammad Tarmizi Muhammad Tajuddin, 19, atau Piji juga pernah mengalami kejadian mengerikan ketika melalui jalan tersebut apabila suaranya ditiru oleh lembaga yang sedang menunggu di situ.

"Memanglah agak seram juga mendengar suara itu seperti suara saya sendiri. Lebih-lebih lagi lembaga tersebut tidak kelihatan, hanya kedengaran suaranya sahaja", jelasnya.

Kejadian terbaru yang dialami adalah pada awal tahun 2008 apabila dia yang melintasi kawasan berhampiran pokok jati di lorong tersebut bersama rakannya terlihat lembaga berpakaian putih agak tinggi sedang memandang ke arah semak di situ dengan membelakanginya. Namun yang peliknya, hanya dia yang dapat melihat lembaga itu, sedangkan rakannya tidak.

Dalam pada itu, Mohd. Idham Deris, 24, atau Mat Ham menceritakan tentang kisah yang berlaku ke atas seorang remaja yang pada mulanya berkeadaan baik dan watas telah mengalami masalah mental sehingga ke hari ini akibat disakat ketika pulang dari solat Maghrib.

Manakala kejadian yang berlaku ke atas seorang lagi remaja ketika dia melewati pohon jati juga mengalami pengalaman menakutkan. Ini kerana, dari jarak beberapa meter sahaja, remaja itu terlihat seekor lembu tiba-tiba menjelma di hadapannya. Bagi mengelak motosikalnya dari melanggar lembu tersebut dan dalam keadaan terkejut, motosikalnya terbabas lalu merempuh pagar di kawasan itu. Dan dalam keadaan sakit, dia menoleh ke belakang untuk melihat lembu tersebut tetapi lembu itu terus ghaib sekelip mata.

Bagi Mohd. Amiruddin Deris, 22, atau Amir pula, dia pernah mendengar kisah seorang remaja berusia dalam lingkungan 20-an menjadi tidak waras berikutan mengalami peristiwa terkena sampuk lembaga yang bermukim di sebatang pohon manggis yang tumbuh berhampiran laluan di kawasan itu.

Menurutnya, selepas terkena sampuk oleh lembaga di pohon itu, dia mengalami demam yang agak luar biasa. Namun, selepas pulih dari demam, dia menjadi tidak keruan setiap kali tibanya waktu Maghrib dan akan bertandang ke kawasan puaka itu seolah-olah dipengaruhi oleh suatu kuasa halus yang mengajaknya ke situ. Orang-orang kampung cuba menghalangnya dan berusaha memulihkannya.

"Saya juga pernah diberitahu oleh beberapa penduduk kampung ini tentang sebatang pokok kuini yang tumbuh dekat tebing itu juga mempunyai penunggu. Beberapa ekor anjing yang sering menyalak di malam hari dikatakan kerap berada dan memandang ke arah pokok itu beberapa kali. Ini kerana, jika tidak ada makhluk yang menghuni di kawasan itu, tidak mungkin anjing tersebut berada di bawah pohon berkenaan", terangnya.

Sejajar dengan itu, amat jelas menunjukkan pengalaman misteri tidak sekadar berlaku di kawasan pedalaman sahaja, namun senario sedemikian boleh juga berlaku di kawasan bandar. Kenyataannya, makhluk halus boleh menjelma di mana-mana kerana itulah kerjanya yang suka menyakat dan menyebabkan mereka yang lemah semangat akan menerima padahnya apabila tersampuk.

Justeru, berlindunglah dengan membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci untuk mengelakkan dari gangguan makhluk yang berdarjat rendah itu dan belajarlah dari pengalaman kerana pengalaman boleh mendewasakan kita. 


Deris Mamat atau Tok Ayah Mat ketika ditemubual Penulis.

Muhamad Tarmizi Muhammad Tajuddin atau Piji.

Mohd. Idham Deris atau Mat Ham.

Mohd. Amiruddin Deris atau Amir.

Di sinilah seekor lembu jelmaan menyebabkan Mat Ham terbabas kerana mengelak lembu itu, akhirnya merempuh pagar parit tersebut.

Premis bersebelahan Lorong Bawah Lembah ini pada masa dulu adalah markas tentera Jepun untuk menyiksa mangsa dan dikenali Kubur Putat. Manakala pohon kuini itu pula dihuni lembaga sebagai penunggunya.

Inilah pohon jati yang dikatakan berpenunggu.

Kadang-kadang susuk lembaga menapak di hujung jalan ini.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 28 November 2011

Misteri Wanita Mengilai


MISTERI WANITA MENGILAI

GUA MUSANG, KELANTAN:  Tempat terpencil atau tersorok daripada pandangan umum apatah dahulunya kawasan hutan tebal yang menjadi tempat tinggal segala jenis makhluk halus. Beberapa kawasan baru diteroka di Gua Musang pada masa dulu dianggap kawasan keras kerana pengalaman penduduk setempat disakat makhluk halus yang berkampung di situ. Makhluk ghaib ini pula agak ramai malah suka mengganggu dan mengusik penduduk hingga ada yang takut untuk menetap di kawasan tersebut.

Peristiwa silam yang dikatakan menjadi penyebab wujudnya kejadian yang menyeramkan itu adalah sebagai petanda makhluk halus juga turut terancam apabila perkampungan mereka telah diceroboh untuk tujuan pembangunan material manusia. Walaupun terdapat kes kematian ngeri sebagai punca berlakunya gangguan, namun yang jelasnya ialah manusialah punca makhluk halus membuat onar.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Mohd. Nordin Yaacob, 45, atau lebih dikenali sebagai Din Prodata di kediamannya di Taman Wangsa Mewangi, Gua Musang, Kelantan menceritakan segala-galanya tentang pengalaman beliau dan keluarga termasuk jiran tetangga mengenai gangguan tersebut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Hal ini disebabkan pembinaan 100 blok rumah kediaman sejak bulan Ramadan 2008 lalu.

Ketika tinjauan Penulis di sebuah tapak pembinaan di belakang premis perniagaannya jam 1.00 hingga 3.00 pagi, beliau turut mengakui kawasan tapak pembinaan meliputi 100 blok rumah di belakang premis perniagaannya itu sewaktu ketika dulu merupakan tempat longgokan kayu-kayu balak yang didatangkan dari beberapa buah hutan di Gua Musang. Selain terdapatnya sebuah gua aneh yang menjadi tempat kuil Hindu, satu nahas ngeri telah berlaku apabila kayu-kayu balak yang diturunkan di situ telah menimpa dan menyebabkan beberapa orang pekerja balak itu mati di situ juga.

"Sebelum ini tidak pernah kedengaran suara mengilai dan bertempik, tapi sejak adanya pembinaan lot-lot rumah di belakang premis ini, kami sekeluarga termasuk jiran-jiran terdekat akan dapat mendengar suara seram itu", ujar Mohd. Nordin yang merupakan pemilik premis dan pengusaha Restoran RM Tropika itu.

Tambah Mohd. Nordin, semenjak pembinaan lot-lot rumah di kawasan itu beliau dan keluarganya sering terganggu dengan suara seperti perempuan sedang mengilai dan menangis kesakitan. Apabila dilihat melalui jendela premisnya itu tidak kelihatan sebarang objek sedangkan suara yang menyeramkan itu semakin jelas setiap jam 1.00 hingga 5.00 pagi.

Menurut beliau, walaupun telah berlaku kejadian ngeri beberapa pekerja balak di situ sewaktu ketika dulu yang kemudiannya telah dibersihkan untuk dijadikan tapak ekspo pameran serta permainan rakyat seperti persembahan dikir barat dan sebagainya, namun beliau dan jiran-jiran tetangga lainnya hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang gangguan makhluk ghaib itu. Tetapi semenjak pembinaan 100 blok rumah kediaman yang dianggap oleh sesetengah pihak yang berkemungkinan telah menutup tanah perkuburan lama di situ menyebabkan bermulanya gangguan yang menakutkan. Seolah-olah pembinaan bangunan perumahan di situ mengancam kehidupan makhluk berkenaan di kawasan terlibat.

"Pada mulanya telinga mendengar dengan jelas seperti seorang perempuan bertempik dan meminta tolong seperti minta dikasihani. Ia berterusan dan hampir berlaku setiap pagi", ujar Mohd. Nordin lagi.

Tambah Mohd. Nordin, disebabkan kawasan berkenaan pada masa dulu dipenuhi hutan, agak terpencil dan baru diteroka sudah tentu menjadi tempat dan perkampungan makhluk halus. Apabila adanya pembangunan seperti kemudahan jalan raya, bangunan dan rumah-rumah kediaman, seolah-olah manusia mengganggu kawasan perkampungan makhluk ghaib tersebut.

Malahan beliau juga tidak menolak punca lain yang menjadi penyebab kepada gangguan sedemikian rupa apabila sebuah gua lama telah dijadikan sebagai tempat kuil Hindu untuk melakukan pemujaan tentunya ada kaitan kerana dilihat keadaan suasananya yang selalu seram.

Menurutnya lagi, sebelum beliau menubuhkan restoran berkenaan beliau telah berpindah dan menetap di kawasan itu sejak tahun 2000 lagi. Namun, tidak pernah pula beliau terdengar suara-suara seram yang datang dari belakang premisnya itu.

"Bagi individu yang tidur lewat pasti dapat dengar suara-suara seram itu. Anak-anak saya sendiri pernah mengalaminya lalu memaklumkan kepada saya. Namun, saya buat-buat tidak tahu. Kalau saya menjelaskannya, bimbang jadi masalah nanti", jelasnya.

Apabila ditanya jumlah makhluk halus yang berkampung di kawasan belakang premisnya itu, beliau tidak dapat menyatakan jumlah sebenar. Sehinggalah beliau menghubungi Pengamal Rawatan Tradisional, Warisan Pusaka Tok Kenali, Kota Bharu, Aziz Haji Daud untuk menyelesaikan masalah dengan mendakwa, makhluk halus yang menghuni di tempat berkenaan agak ramai juga terdiri daripada jin kafir termasuk langsuir.

Jelas Mohd. Nordin, dengan aktiviti penangkapan makhluk halus oleh pakar makhluk halus berkenaan menggunakan bahan-bahan seperti sebiji kelapa segar, garam dan paku tentunya makhluk halus yang dimaksudkan itu tidak akan mengganggu keluarga dan jiran-jirannya lagi.

 
Mohd. Nordin Yaacob atau Din Prodata.


Inilah premis perniagaannya yang sering diganggu makhluk halus.


Tidak kelihatan makhluk halus ketika gambar dirakam pada 12.45 pagi.

Makhluk 'orb' mula menjelma apabila diberitahu akan menangkap makhluk berkenaan.


Makhluk halus akhirnya ditangkap menggunakan sebiji kelapa segar.

Makhluk halus yang enggan ditangkap dan melarikan diri, dihalau menggunakan garam dicampur arang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 27 November 2011

Misteri Terkena Santau


MISTERI TERKENA SANTAU

BACHOK, KELANTAN JIKA tiada angin, masakan pohon boleh bergoyang dengan sendiri. Begitulah jika berlaku sesuatu kejadian, semestinya ada sebab dan musabab tertentu sehingga berlakunya perkara sedemikian. Adalah amat mustahil wujudnya sesuatu musibah sehingga menyebabkan sakit kemudiannya didapati sihat serta merta jika tiada punca dan penyebabnya.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang mangsa, Marzuki Riffin, 40, dari Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan berkata, secara tiba-tiba dia diserang cirit-birit dan muntah walaupun pada awalnya beliau dalam keadaan sempurna sihat.

Katanya, ketika kejadian beliau sedang melaksanakan kerjanya untuk menyiapkan beberapa lot rumah kediaman sebagai buruh binaan di Sungai Dua, Kandis, Bachok. Secara tiba-tiba beliau diserang cirit-birit yang agak luar biasa sejak pagi sehingga malam. Seingatnya, pada hari itu beliau tidak tersilap makan yang boleh menyebabkan perutnya meragam secara tiba-tiba.

Memandangkan keadaan cirit-biritnya dikatakan agak teruk, beliau bergegas pulang ke rumah. Agak aneh juga, apabila sampai di rumah, penyakit cirit-biritnya itu sembuh dengan serta-merta. Namun, selang beberapa minit badannya kembali berasa seram sejuk yang amat sangat sehingga ke tulang. Akibat sejuk yang semakin melarat itu menyebabkan tangannya berbintil-bintil malah badannya semakin menggigil menahan sejuk.

Bimbang sesuatu kejadian buruk berpanjangan dan boleh mengganggu kesihatannya, beliau bergegas ke klinik swasta berhampiran. Berikutan pihak klinik tidak dapat memberikan keputusan terhadap penyakitnya, pihak doktor merujuknya ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (2), di Kota Bharu pula. Namun, sesuatu kejadian pelik juga berlaku apabila doktor yang merawatnya memberitahu beliau tidak mengalami sebarang penyakit. Akhirnya, tepat jam 4.00 petang pada hari itu beliau dibenarkan pulang.

"Selang dua hari saya berada di rumah, dengan tiba-tiba tubuh saya menjadi seram sejuk dan gementar, mata menjadi cengkung dan suhu badan secara tiba-tiba menjadi panas, dengan kata lain saya mengalami demam mengejut.

"Atas desakan isteri, saya dinasihatkannya ke hospital dengan segera, bimbang sesuatu kejadian penyakit yang memudaratkan. Namun, saya enggan pergi kerana tidak berdaya untuk bangun", cerita Marzuki sambil menggeleng-geleng kepala.

Kata Marzuki, pada hari yang sama ramai jiran tetangga berkunjung ke rumahnya dengan mengadakan majlis membaca surah Yassin beramai-ramai. Dalam keadaan demikian, beliau berasa perutnya memulas-mulas untuk mengeluarkan isinya. Malah secara tidak diduga juga tekaknya berasa loya hendak mengeluarkan isi dalam perut lalu bergegas ke tandas. Setelah muntah, beliau berasa sihat kembali dan tidak lagi memulas seperti sebelumnya.

Setelah beliau pulih dan dapat bangun, Marzuki kemudiannya bergegas ke Hospital Besar Bachok untuk mendapatkan rawatan bagi mengenal pasti masalah kesihatan dan punca penyakit yang dialaminya. Walau bagaimanapun, pihak hospital berkenaan terpaksa merujuk beliau ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (2), Kota Bharu sebagaimana pengalaman pertamanya sebelum ini.

Di wad kecemasan hospital berkenaan, beliau ditahan selama seminggu dan pihak hospital berkenaan mendakwa beliau mengalami demam kura-kura. Agak hairan juga, sepatutnya demam kura-kura hanya dialami oleh individu yang sering ke bukit-bukau dan hutan belantara saja. Namun, dakwaan pihak doktor yang mengesyakki demam beliau itu berpunca dari aktiviti di bukit memang tidak masuk akal, lantas beliau menafikannya. Selepas itu, pihak hospital mengambil contoh darah beliau untuk dianalisis dan hasilnya beliau bebas dari penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Selang beberapa minit, beliau agak terkejut dengan dakwaan doktor kononnya beliau ada memelihara makhluk halus pula melihatkan keadaan matanya yang masih cengkung, namun beliau menafikannya. Disebabkan tidak mendapat maklumbalas yang sewajarnya, keesokannya beliau dipindahkan ke Wad 15 di Tingkat 5. Di wad tersebut, beliau kemudiannya ditahan selama seminggu pula. Ini kerana, pihak doktor yang merawatnya ingin melihat keadaan kesihatan beliau disebabkan suhu badannya agak tinggi. Tindakan seterusnya akan diberikan memandangkan beliau masih lagi dalam keadaan demam.

Dalam pada itu, semasa masih terlantar di wad, beliau dimaklumkan oleh keluarganya tentang peristiwa misteri berlaku apabila rumahnya pula seperti dihentak tapak kaki beberapa kali dan selepas itu bunyi seperti pasir ditabur di atas bumbung rumahnya. Malahan ketika salah seorang anaknya masuk dan ketika ingin melelapkan mata, dengan tiba-tiba anaknya melihat satu bentuk lembaga seperti seorang wanita tua berpakaian putih sedang melangkah perlahan-lahan ke arah tempat anaknya sedang berbaring.

Tambah Marzuki, kesemua ahli keluarganya seramai lapan orang mengalami beberapa peristiwa yang menakutkan silih berganti akibat daripada gangguan tersebut. Bagi menenangkan keadaan sedemikian, seorang bomoh dari kampung berdekatan dipanggil dalam usaha untuk mengekang gangguan yang datang setiap malam itu. Ketika bomoh berkenaan sedang melakukan rawatan terhadap ahli keluarganya, agak hairan juga bahawa beliau yang berada di wad tiba-tiba sembuh dengan serta merta. Peralatan rawatan yang disambungkan ke tubuhnya ditanggalkannya sendiri kerana beliau berasa hendak muntah. Malahan selepas beliau muntah dengan banyaknya di samping berasa lega selepas melepaskan hajat, tubuhnya pulih dan sihat seperti sediakala.

"Sejak pulang dari hospital sehingga sekarang, saya masih dalam keadaan sihat. Namun, saya syakki ada pihak-pihak tertentu cuba melakukan santau terhadap saya dan ahli keluarga yang tinggal di rumah ini. Adalah mustahil saya mendapat sakit serta merta tanpa sebarang sebab", ujarnya dengan nada kesal ekoran sikap segelintir individu yang sanggup melakukan perbuatan khianat yang bertentangan dengan Islam.

Sementara itu, menurut bapa tirinya, Mamat bin Deraman, 66, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat turut mengakui sewaktu makhluk berkenaan bertandang ke rumahnya terutamanya di waktu petang, beliau dapat merasakan dirinya dalam keadaan sejuk dan gementar yang luar biasa. Bahkan ketika beliau ingin mengerjakan solat sekalipun, beliau dapat rasakan seperti ada sesuatu yang cuba menghalang tujuannya itu.

Jelas Pak Mat, ketika anak tirinya itu terlantar di hospital, anak telinganya terdengar bunyi yang jelas sesuatu sedang berjalan dalam sebuah bilik dalam rumahnya. Beliau yang ingin mengetahui punca bunyi agak aneh itu terus menerpa ke arahnya dan ketika itu anak matanya dapat melihat kelibat lembaga sedang melarikan diri darinya.

Bahkan katanya, sewaktu beliau sedang memerhatikan di sekeliling arah bilik berkenaan, ketika itulah beliau terasa seram sejuk dan seumpama diserang ketakutan, lantas Pak Mat melarikan diri dari bahagian dapur rumahnya. Berikutan itu, beliau kemudiannya terdengar pintu rumahnya diketuk bertalu-talu sehingga pintu rumahnya terbuka dengan sendirinya. Setelah pintu itu terbuka, Pak Mat melihat Marzuki, anak tirinya sedang tidur nyenyak. Ketika melihat Marzuki itulah, Pak Mat meraung sekuat hati kerana terkejut yang amat sangat menyebabkannya tidak sedarkan diri. Ini kerana, setahunya Marzuki masih terlantar di hospital, bagaimana pula secara tiba-tiba Marzuki sudah berada di rumah, sudah sembuhkah dia tanpa diberitahu kepadanya terlebih dahulu?

Setelah kembali pulih dari pengsan selama satu jam, beliau mendapati kaum keluarganya termasuk jiran-jiran tetangga sudah memenuhi ruang rumahnya. Tambah Pak Mat, beliau dapat merasakan seperti ada sesuatu yang menggigitnya di bahagian tengkuk dan kakinya menyebabkannya terasa berat untuk bangun, sama ada untuk berpaling ataupun melangkah. Bahana kesakitan masih terasa beberapa hari akibat gigitan makhluk yang mengganggu beliau dan keluarganya di rumah itu. Sehinggalah beliau mendapatkan khidmat Pengamal Rawatan Tradisional, Warisan Pusaka Tok Kenali dari Kota Bharu, Aziz Haji Daud, barulah dirinya dalam keadaan stabil dan tidak lagi terus diganggu.

Katanya lagi, beliau mengesyakki ada pihak-pihak yang irihati dan tidak puas hati dengan kesenangan yang diperolehinya berbanding dengan jiran-jiran yang melakukan sihir dan santau sedemikian. Jika tidak ada pihak yang melakukannya, masakan anak tirinya, Marzuki mengalami cirit-birit  dan muntah yang agak luar biasa sedangkan dia tidak keracunan makanan. Malah dirinya juga turut menjadi mangsa sikap tidak berhati perut pihak yang cuba menjadikannya mangsa cemburu tidak bertempat itu, sedangkan beliau tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, namun sampai hati individu berkenaan ingin menjadikannya sebagai musuh.

Sehubungan dengan itu, beliau serta Marzuki berharap individu yang cuba melakukan sihir serta santau terhadap keluarganya supaya menghentikannya dengan segera. Ini kerana, perbuatan sedemikian tidak memberikan sebarang manfaat menyebabkan syirik terhadap Allah dan sebagai umat Islam perbuatan sedemikian tentunya boleh menjejaskan akidah mereka sendiri. Paling penting nasihat darinya kepada individu terlibat supaya sentiasa mengingati panggilan kematian dan dalam masa yang sama berharap Allah turut memberikan petunjuk ke jalan kebenaran untuk mengelakkan individu terbabit tidak terus terjebak ke jalan kemungkaran.

Marzuki Riffin di Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan.

Mamat Deraman atau Pak Mat.

Aziz Haji Daud atau Abang Aziz ketika mengadakan rawatan.

Abang Aziz melakukan kaedah menghalau gangguan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Rumah Lama


MISTERI RUMAH LAMA

KUALA KRAI, KELANTAN:  KEJADIAN berlaku tidak memilih masa dan tempat. Cuma bezanya, individu yang pernah bertemu dengan makhluk halus sama ada jelmaan lembaga dalam bentuk rupa atau sekadar lintasan cahaya semata-mata untuk menakutkan mangsa merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Tetapi tahukah anda bahawa, kejadian misteri yang berlaku ini adalah melibatkan sebuah rumah lama milik keluarga Inggeris yang ditinggalkan sejak tahun 1800 lagi. Ada yang mendakwa, semenjak berlakunya pembunuhan dalam rumah berkenaan sebelum ini sebagai penyebab wujudnya pelbagai gangguan yang menyeramkan di kawasan rumah terlibat.

Beberapa penghuni sebelum ini pernah menetap di rumah lama itu akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk berpindah kerana tidak tahan dengan pelbagai bunyi dan usikan yang menakutkan bukan sahaa berlaku di dalam rumah berkenaan, sebaliknya turut berlaku di luar rumah apabila seorang perempuan berpakaian serba putih (langsuir) sering terbang dan bertenggek di beberapa batang pokok di hadapan rumah terbabit menyebabkan tidak siapa sanggup tinggal di situ lagi.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Saiful Bahari  A.Bakar, 21, dari Kampung Batu Lada, Kuala Krai, Kelantan berkata, beliau menetap di rumah lama itu sejak tahun 2004 lagi kerana mengikut bapanya, seorang Pegawai Daerah, Majlis Daerah Kuala Krai yang menjadikan rumah tinggalan pegawai Inggeris itu sebagai kediaman rasminya sekarang.

"Kejadian misteri berlaku ketika saya baru menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Asalnya rumah ini adalah rumah yang ditinggalkan sejak dulu di mana keluarga Inggeris pernah menetap di sini.

"Sewaktu kami ingin menduduki rumah ini, memang ada orang kata tak nampak, sebabnya selain dibina di dalam hutan, letaknya pula di atas bukit. Apabila datang ke sini, saya terpaksa menebas dan membersihkan kawasan sekitar sebelum kami dapat menjadikannya sebagai kediaman rasmi", jelasnya.

Saiful menambah, kejadian pelik yang dilalui di rumah itu bukan hanya dialami di waktu malam tetapi turut berlaku di siang hari terutama ketika beliau berehat sendirian. Namun, segalanya diserahkan kepada Allah.

"Ketika bersendirian, saya pernah melihat lembaga berkenaan berada di lorong itu. Di waktu malam pula, langsuir bergayut dan bertenggek di atas sebatang pokok di hadapan rumah ini", ujar Saiful Bahari sambil menunjukkan tempat-tempat yang dimaksudkan itu.

Menurutnya lagi, pada awal menetap di situ, beliau sering diganggu seperti pintu rumah diketuk berulang kali dan bunyi hilai ketawa yang menyeramkan. Pernah juga beliau mencari dari mana datangnya suara hilaian itu tetapi tidak berjumpa. Kejadian itu turut diceritakan kepada rakan-rakannya, namun mereka tidak mempercayainya.

Beliau juga pernah terserempak dengan lembaga bermata merah yang memandang ke arahnya dengan begitu bengis ketika berada di selekoh menuju ke rumahnya. sewaktu beliau baru pulang dari kerja di sebuah restoran kira-kira jam 2.00 pagi.

"Saya dapat tahu dari orang-orang kampung bahawa rumah ini dulunya dibina oleh beberapa orang buruh kasar yang dikerah oleh pihak Inggeris. Dengarnya, pernah berlaku pembunuhan ngeri, kemungkinan mayatnya dicampakkan ke sebuah cerun di sana", terang Saiful lagi.

Katanya lagi, sewaktu hari persediaan majlis kenduri kakaknya pada tahun 2006, berlaku satu lagi kejadian misteri di hadapan rumahnya kira-kira jam 1.00 pagi. Ketika itu, beliau memang bercadang untuk ke Kota Bharu untuk membuat pesanan beberapa ekor ayam untuk keperluan majlis berkenaan yang dijadualkan akan diadakan pada keesokannya.

Dalam suasana berkenaan, beliau dengan jelas dapat melihat lembaga yang beliau rasakan 'langsuir' sedang bertenggek dia atas pokok berdekatan cerun, tetapi beliau tidak mempedulikannya.

"Saya pernah diberitahu mama apabila beliau juga melihat bayangan seorang lelaki Inggeris zaman dahulu bertubuh sasa. Bentuk fizikalnya agak tinggi, berambut panjang dan berpakaian putih. Rupanya tidak begitu jelas sedang melangkah ke arah biliknya", jelas Saiful Bahari.

Sementara itu, menurut Nur Hazwani, 24, kakak Saiful Bahari seorang guru di Sekolah Kebangsaan Guchil, Kuala Krai yang masih dalam pantang selepas bersalin ingin berkongsi cerita tentang pengalaman seorang warga emas yang juga jirannya dikenali sebagai Mak Su yang sering berkunjung ke rumahnya memberitahu, beliau sering melihat beberapa kanak-kanak bunian sedang mandi di sebuah anak sungai di kawasan kaki bukit tersebut. Kawasan yang dimaksudkan itu adalah di sebatang selekoh berdekatan dengan sebatang pokok dan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), turut didakwa sebagai penempatan bunian sejak dulu lagi dan kejadian misteri di situ masih lagi berlaku sehingga kini, namun keluarganya tidak mengambil kisah sangat tentangnya.

Justeru, menurut Saiful Bahari dan kakaknya itu menganggapkan, gangguan yang sering dialaminya sebelum ini tidak melemahkan semangat mereka untuk terus tinggal di rumah itu. Walau kerap kali melihat lembaga berpakaian putih sering mundar-mandir dalam rumah dan di atas pokok di hadapan rumah mereka, namun mereka buat-buat tidak peduli sahaja. Akhirnya, gangguan yang dianggap menakutkan itu tidak lagi berlaku hari ini dan mereka kini dapat menjalani kehidupan tanpa sebarang gangguan dari makhluk halus tersebut.    



Saiful Bahari A.Bakar ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

 Nurul Hazwani dan adik perempuannya turut alami pengalaman menyeramkan di rumah ini.

Kadang-kadang jelmaan lembaga berkeliaran dalam rumah ini.

Jelmaan lembaga seperti orang Inggeris sering wujud di sini.

Langsuir sering bergayut dan bertenggek di atas pokok ini.

Dikatakan mayat mangsa bunuh dicampak ke dalam cerun ini.

 Laluan masuk ke rumah Saiful Bahari iaitu kawasan selekoh dan pencawang TNB ini adalah penempatan bunian.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Orang Tua Aneh Dari Kubur


MISTERI ORANG TUA ANEH DARI KUBUR

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  JIKA anda diberikan sepotong ayat yang dianggap aneh dari orang yang tidak dikenali lebih-lebih lagi anda sendiri yang meragui status sebenar individu berkenaan, anda dinasihatkan untuk merujuknya dari guru-guru agama yang bertauliah. Ini kerana, selain kita turut dibebani ajaran sesat yang ingin memesongkan akidah penganut-penganut Islam sejak akhir-akhir ini, namun perlu juga diketahui makhluk halus juga kadang-kadang boleh menjelma dalam bentuk manusia dengan alasan untuk memberikan pertolongan kepada individu yang baginya dianggap insan terpilih.

Namun, sama ada ingin menaruh perasaan curiga kerana ada yang mendakwa menemui wali Allah kerana sifatnya yang suka merendah diri, sanggup memberikan pertolongan bagi individu yang bermasalah, malah pakaiannya juga dikatakan agak lusuh sambil membawa tongkat bersama. Kita agak janggal untuk mendakwa jika individu berkenaan seorang wali atau sekadar jelmaan jin Islam jika perjalanannya begitu pantas turut menambahkan lagi kecurigaan yang bersarang di hati.

Hal seumpama ini bukanlah cerita rekaan tetapi pengalaman sebenar yang dialami oleh Mohd. Kamal Bahrin Ibrahim, 47, dari Kampung Padang Tok Ku, Wakaf Baharu, Kelantan ketika menceritakannya kepada Wartawan RELATIF.

Menurut Mohd. Kamal, kisah tersebut berlaku pada 11 Ogos, 2008 di mana ketika itu beliau sedang memandu kereta Perodua Kancil miliknya yang dalam perjalanan dari rumahnya ke Kampung Pohon Tanjung melalui tanah perkuburan Kubur Pauh Ganja. Menjadi kelaziman baginya setiap kali melintasi mana-mana tanah perkuburan beliau akan memberikan salam dan menyedekahkan surah Al-Fatihah.

Sambil memandu melintasi kubur tersebut, tanpa disedarinya seorang tua yang berserban lagak seperti seorang alim, berpakaian agak lusuh dan bertampung di sana sini sambil membawa tongkat muncul dari arah kubur itu di mana dari pemerhatiannya, orang tua itu seolah-olah terapung-apung di udara dan tidak berpijak ke bumi. Dari gerak hatinya, orang tua aneh itu tentunya agak keletihan seperti datang dari tempat yang jauh, beliau kemudiannya memberhentikan kenderaannya lalu parkir berdekatan dengan pagar kubur tersebut.

"Ana pernah tengok anta sebelum ini. Anta dari mana?" cetus Mohd. Kamal berdekatan dengan tempat orang tua itu muncul dari tanah perkuburan itu.

Orang tua aneh itu menjawab ringkas bahawa beliau datang dari Pondok Tok Selehor iaitu seorang wali Allah tersohor dari Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan. Orang tua tersebut turut memperkenalkan diri dengan nama Kamal juga, seorang penjaga Masjid Tok Selehor itu.

Orang tua itu memberitahunya bahawa beliau sangat-sangat ingin menemui Mohd. Kamal sambil makan angin kerana dikatakan Mohd. Kamal telah menyeru namanya dengan mengucapkan 'selamat sejahtera' terhadapnya. Keadaan ini menyebabkan Mohd. Kamal kebingungan dengan keadaan demikian lalu mengemukakan pertanyaan kedua, adakah orang tua aneh itu dari Pondok Tok Selehor. Ini kerana, setahunya jarak di antara Pondok Tok Selehor yang letaknya di Kampung Kok Pasir, Tumpat dengan Kubur Pauh Ganja, Wakaf Baharu itu sejauh kira-kira 13 kilometer, masakan orang tua berkenaan dapat berjalan atau berlari sepantas itu? Itulah yang memeningkan kepalanya.

Mohd. Kamal tidak mengesyakki apa-apa terhadap orang tua aneh yang tiba-tiba muncul dari tepi Kubur Pauh Ganja itu. Hanya yang terlintas di hatinya berkemungkinan orang tua aneh itu mempunyai status ilmu agak tinggi seperti ilmu ghaib, hanya Allah jua yang mengetahuinya. Malah orang tua aneh itu juga memberitahu Mohd. Kamal bahawa mereka berdua pernah bertemu di Masjid Tok Selehor dua bulan lalu.

"Sebelum bertemu dengan orang tua aneh itu dua bulan lepas di Masjid Tok Selehor, saya pernah melakukan zikir kerana menghadapi masalah peribadi. Selepas berzikir, orang tua aneh itu muncul secara tiba-tiba lalu memberikan salam kepada saya. Dan ketika itulah orang tua itu memperkenalkan namanya juga Kamal", ujar Mohd. Kamal di mana ketika itu beliau sememangnya masih berada seorang diri di atas Masjid Tok Selehor itu.

Kata Mohd. Kamal lagi, pada tarikh 11 Ogos 2008, orang tua aneh yang sama bertemu kembali dengannya. Kerana masalah peribadi yang masih belum selesai, dengan kedatangan dan kemunculan orang tua aneh di tanah perkuburan itu sebagai pertemuan yang tidak dijangka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Dengan pantas, orang tua aneh itu menulis di atas tapak tangannya menggunakan 'marker pen'. Menurut Mohd. Kamal, beliau tidak dapat menafsirkan ayat tersebut sama ada ayat pelindung diri atau mungkin juga ayat pelaris perniagaan kerana sememangnya urusan perniagaan yang dilakukannya setakat ini agak perlahan dan kekurangan pelanggan.

Selepas menerima ayat yang tertulis agak jelas di tapak tangannya yang menurut pandangannya tidak akan hilang kerana ditulis dengan dakwat yang sukar ditanggalkan. Lantas beliau memberikan sedikit buah tangan sebagai sedekah ikhlas darinya kerana mereka berdua berkemungkinan tidak akan bertemu lagi di lain kali.

Apabila beliau memperolehi ayat yang paling bernilai buat dirinya, dengan segera beliau masuk ke dalam kenderaannya untuk megelakkan dari dilihat oleh orang lain terutamanya ada sebuah kereta yang turut diparkir berhampiran simpang jalan di kubur itu. Kerana nalurinya agak curiga kalau-kalau tulisan ayat di telapak tangannya pasti tanggal juga akhirnya, lalu beliau merakamnya ke dalam telefon bimbit berkamera di samping memudahkan beliau untuk melihat ayat itu dengan lebih baik lagi. Dengan demikian, setelah dapat merakamnya, beliau segera menghidupkan enjin keretanya lalu bergerak perlahan meninggalkan orang tua aneh yang masih tercegat di kubur itu.

Dalam masa sedang memandu kenderaannya itu, ketika itulah beliau agak terkejut. Ini kerana, beliau dapat melihat dengan jelas di sebalik cermin pandang belakang keretanya bahawa sewaktu keretanya bergerak perlahan beliau melihat orang tua aneh itu melangkah perlahan-lahan menghala di tengah-tengah jalan batu kerikil yang berdebu lalu ghaib di situ. Selepas melihat orang tua aneh itu ghaib, dalam masa 15 saat sahaja sepotong ayat yang dituliskan oleh orang tua aneh itu di telapak tangannya juga hilang (ghaib) dengan tidak disangka-sangka.

Tambah Mohd. Kamal, beliau tidak dapat menjelaskan tentang orang tua aneh itu sama ada seorang wali atau jelmaan jin apatah lagi kemunculannya secara pantas dari arah tanah perkuburan itu, sedangkan kata orang tua itu dia datang dari jauh.
 
Walau bagaimanapun menurutnya, Kubur Pauh Ganja memang sebuah tanah perkuburan yang dianggap bersejarah berikutan terdapat beberapa orang alim dari golongan tasauf turut dikebumikan di situ. Namun, beliau juga tidak menafikan, kemungkinan kemunculan orang tua aneh yang bernama Kamal itu sebagai salah satu ujian daripada Allah terhadap dirinya supaya sentiasa bersabar dalam menempuh segala masalah yang menghantui hidupnya.

 Mohd. Kamal Bahrin Ibrahim.

Inilah ayat yang diberikan oleh orang tua aneh kepada Mohd. Kamal lalu dirakam di telefon bimbitnya.


Inilah Kubur Pauh Ganja iaitu tempat munculnya orang tua aneh itu.

Di sinilah Mohd. Kamal meletakkan kenderaannya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH