RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 11 November 2011

Bukit Panau: Xpdc Pertama - 28.7.2007


EKSPEDISI BUKIT PANAU PERTAMA
(28.7.2007)

TANAH MERAH, KELANTAN:  BUKIT PANAU yang berketinggian 800 meter yang terletak berhampiran Kampung Sungai Keladi di laluan utama Pasir Mas-Tanah Merah di Tanah Merah, Kelantan juga dianggap sebuah bukit yang tersohor sedikit masa dulu adalah juga bukit yang tertinggi di Kelantan berbanding dengan bukit-bukit yang lain.

Bukit Panau yang begitu gah terselindung di sebalik laluan umum bukan setakat kaya landskap hutannya yang menghijau dan turut dicemburui oleh sang bayu yang sentiasa bertiup di kakinya adalah sebuah tempat yang sunyi dan hening itu sememangnya amat sesuai untuk golongan bertapa untuk mendekatkan diri dengan pencipta-Nya dalam usaha mendalami ilmu kebatinan dan kerohanian dengan lebih khusyuk lagi.

Walaupun begitu, penduduk dari Kampung Bukit Panau ini sebenarnya telah ramai dihuni oleh penduduk dari daerah lain dan ternyata sukar untuk menemui penduduk asalnya yang kebanyakannya telah berpindah ke tempat lain atau telah menyahut panggilan Illahi.

Namun begitu, terdapat salah seorang warga emas yang juga penduduk asal kampung terbabit, Ismail Awang Kechik, 59, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Mail bagi mengungkap rahsia di sebalik Bukit Panau yang berdiri gagah di kampung tersebut.

"Susah nak bagi jawapan dari mana Bukit Panau dapat nama sebab Pak Su membesar pun, nama itu telah disebut-sebut dari zaman orang-orang tua dahulu", katanya apabila ditanya asal usul nama Bukit Panau.

Menurut Pak Su Mail, Bukit Panau tersohor kerana ramai dari golongan yang menuntut ilmu peringkat tinggi datang bertapa di bukit tersebut. Jelas Pak Su Mail lagi, sekurang-kurangnya enam orang bertapa yang menjadikan Bukit Panau sebagai tempat paling sesuai untuk berbuat demikian. Namun, hanya tiga orang sahaja yang sering dilihat menggunakan bukit tersebut untuk tujuan berkenaan.

Pak Su Mail menambah, orang pertama yang datang bertapa di bukit tersebut dikenali sebagai Pak Mat Dangar yang bertapa berdekatan dengan aliran air yang turun dari puncak bukit dikenali sebagai 'caruh'. Di kawasan laluan air itu banyak ditumbuhi pohon sagu yang agak subur dan keadaan ini memang agak sesuai bagi Pak Mat Dangar melakukan pertapaan.

"Pada masa Pak Mat Dangar bertapa di bukit ini, usia Pak Su ketika itu baru saja 13 tahun, sedangkan usia Pak Mat Dangar telah agak lanjut", ujarnya mengingatkan pengalamannya melihat dengan lebih dekat rupa paras Pak Mat Dangar yang datang bertapa di bukit itu.

Namun begitu menurutnya, walaupun Pak Mat Dangar agak berusia tetapi dari apa yang dilihatnya, beliau mempunyai beberapa kelebihan luar biasa yang tidak ada pada orang lain. Sebagai contoh, dalam usia yang agak uzur itu, beliau masih mampu membina pagar untuk mengelakkan penduduk-penduduk kampung itu membawa masuk haiwan ternakan mereka ke kawasan berkenaan.

Tempatnya ditumbuhi rumput yang agak subur. Apabila pemilik ternakan tiada, beliau akan mengangkat (bukan mengheret) lembu tersebut masuk ke dalam kawasan pagarnya supaya meragut rumput. Malahan, apabila lembu-lembu tersebut telah kenyang, beliau akan mengangkat lembu-lembu itu seekor demi seekor keluar dari pagarnya.

"Satu cerita paling menarik apabila seekor harimau belang telah masuk ke kawasan pagarnya. Dengan menggunakan ranting kayu sahaja, harimau itu lari lintang-pukang kerana ketakutan", katanya dengan nada lucu.

Selain Pak Mat Dangar, Pak Su Mail juga sering melihat seorang pertapa muda yang dikenali sebagai Mat Din di kawasan bukit itu. Mat Din berasal dari Seberang dan berusia sekitar 40-an tetapi belum beristeri dan merupakan seorang pelajar dari pusat pengajian pondok yang menjadi harapan gurunya kerana arif dalam hukum-hukum agama.

Mat Din bertubuh agak tegap, kacak dan berkulit putih mengalahkan seorang perempuan dan memiliki rambut yang tercacak. Kerana kekacakannya itu telah menambat hati seorang gadis dari Dewan Beta bernama Mek Nab yang sering datang ke tempatnya bertapa untuk mendapatkan ubat-ubatan penawar penyakit. Berikutan Mek Nab sering berkunjung ke situ, akhirnya terbit bibit-bibit cinta lantas mereka diijab kabulkan sebagai suami isteri yang sah.

Mat Din juga mempunyai kebolehan yang luar biasa sebagaimana yang pernah dilihat oleh Pak Su Mail. Ini kerana, pada suatu hari Pak Su Mail cuba menguji Mat Din dengan membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran bagi mengetahui apakah Mat Din pakar Al-Quran sebagaimana menjadi harapan gurunya.

Luar biasanya apabila Mat Din dapat menyatakan ayat yang dibacakan oleh Pak Su Mail dari surah tertentu di samping menerangkan khasiat yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibacakan itu. Ini menunjukkan, Mat Din bukan sebarangan orang dan amat benar bahawa beliau menjadi harapan gurunya kerana pakar dalam Al-Quran  sebagai pelajar yang paling pintar.

Manakala pertapa yang ketiga sering naik ke puncak Bukit Panau dengan menjadikan kawasan 'biruk' sebagai tempatnya bertapa. Biruk bermaksud besi yang berbentuk tiga segi yang dipacakkan oleh ahli Kaji Bumi Inggeris di puncak bukit tersebut sebagai penanda arah puncak Bukit Panau.

Menurut Pak Su Mail, suatu ketika dahulu, Bukit Panau mempunyai sebuah gua yang terletak di lereng puncaknya. Gua ini pada masa itu dikatakan pernah digunakan oleh Hang Tuah ketika remajanya untuk mempelajari dan mendalami ilmu persilatan dengan gurunya bernama Adi Putra. Selepas itu, gua berkenaan masih boleh dimasuki sesiapa kerana pintunya lebar tidak sebagaimana hari ini. Kini, gua tersebut tidak dapat lagi dimasuki kerana seketul batu besar dikenali 'batu hampar' sebagai penutup gua tersebut telah semakin turun sehingga lubang gua semakin sempit dan sesiapa yang ingin memasukinya terpaksa merangkak.

Gua di puncak Bukit Panau mempunyai dua arah yang mana arah pertama terus ke jurang dan arah kedua ke kawasan tanah yang berwarna kuning sedangkan tanah di kawasan lain berwarna gelap.

Pak Su Mail menambah, suatu perkara telah berlaku apabila seorang wartawan dan jurufoto dari sebuah majalah cuba untuk merakam gambar tanah yang berwarna kuning itu, lampu kameranya tidak berfungsi sebaliknya apabila dihalakan ke arah lain, ia berfungsi dengan sempurna.

Sebagaimana dakwaan Pak Su Mail memang benar. Pengalaman penulis pernah mendaki Bukit Panau pada tahun 2007  yang melalui laluan trek syarikat telekomunikasi dapat melihat sebuah batu besar di puncak Bukit Panau itu. Ketika memijaknya di awal pendakian, keadaan batu tersebut seperti biasa sahaja dan tidak menunjukkan sesuatu yang aneh. Namun, sewaktu hujan turun dengan lebatnya, penulis dapat menyaksikan kilauan kekuningan seperti kilauan emas selama lima minit pada batu yang dipijak.

Batu itulah yang merupakan penutup pintu gua sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Su Mail. Naluri penulis cukup kuat bahawa tanah berwarna 'kuning' yang pernah ditemui itu adalah sememangnya 'emas'.

Bukit Panau bukan sahaja menjadi tempat golongan bertapa untuk memperolehi ilmu kerohanian dan kebatinan tetapi juga kaya dengan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan herba sebagai bahan perubatan alternatif. Mungkin suatu hari nanti, Bukit Panau boleh dijadikan sebagai mercu tanda bagi produk pelancongan di Tanah Merah jika ia dibangunkan kerana keunikannya amat berbeza berbanding dengan bukit-bukit yang lain.

 
Laluan ke puncak Bukit Panau. Dari kiri: Mohamad Nasiruddin Mohamed Nor, Mohd. Rosli Mat dan Anis Sabirin bin Azmi.
        
Tempat golongan bertapa.

Sungai Kelantan, dirakam dari gua Bukit Panau.


Ismail Awang Kechik atau Pak Su Mail warga emas Bukit Panau.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

3 ulasan:

  1. bukit panau tu tingginya cuma 234m, bukan 800m...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Catatan pada laluan pihak komunikasi di Bukit Panau memang 800 m dan bukannya 234 m. Bukit tersebut telah menurun sedikit dari asalnya akibat aktiviti terhadap bukit tersebut. Ini jelas, apabila batu di puncak bukit itu telah turun ke bawah (menutup ruang guanya). Hal ini telah diakui sendiri oleh Pak Su Mail dan hasil tinjauan (ekspedisi) saya dengan rakan-rakan. Tuan diminta melihatnya sendiri atau mempunyai bukti yang tuan telah ke tempat itu, bukannya dengan membaca di laman atau blog lain yang dianggap meragukan. Harap maklum.

      Padam