RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 11 November 2011

Bukit Sejuk: Xpdc 26.1.2009


EKSPEDISI BUKIT SEJUK

GUA MUSANG, KELANTAN:  BUKIT SEJUK yang terletak di Kampung Chiku Satu, Gua Musang, Kelantan adalah sebuah bukit yang amat sejuk memang sesuai dengan namanya. Sejak perkampungan berkenaan dibuka dengan rasminya pada tahun 1960, Bukit Sejuk sudahpun berdiri gagah sejak azali yang berjarak 21 kilometer dari bandar Gua Musang. Bukit ini pada masa dulu menjadi laluan pencari teras kayu seperti kemuning hitam, aktiviti pembalakan serta menjadi kawasan kawanan 30 ekor gajah-gajah liar di sekitar bukit tersebut menjelang pagi.

Walau bagaimanapun, Bukit Sejuk bukan sekadar sebuah bukit yang berdiri tegak di situ tetapi tanpa diketahui umum, di bawahnya terdapat sebuah gua yang boleh memuatkan kira-kira 15 orang. Gua tersebut juga dikatakan bukan sahaja dihuni haiwan liar seperti kambing hutan, tetapi merupakan penempatan segerombolan makhluk halus yang dipimpin oleh seorang ketuanya bernama Tok Fakir berusia 600 tahun yang mempunyai pengawalnya seekor kucing bermata hijau serta seekor ular sebesar "Anaconda" sering muncul di laluan utama Kampung Chiku Satu setiap kali menjelang lewat petang hingga waktu pagi.

Semenjak laluan utama bagi pengguna jalan raya dari Kota Bharu - Gua Musang - Kuala Lumpur siap dan dibuka beberapa tahun sebelumnya dengan melalui Bukit Sejuk itu, bukit tersebut masih berdiri megah di tempatnya, ketika itu belum berlaku kejadian misteri dan ngeri terhadap mangsa.

Sehinggalah nahas ngeri pada 2 Januari, 2009 yang meragut 10 nyawa kira-kira satu kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R & R), barulah nama Bukit Sejuk mula mendabik dada, malahan terdapat pemandu kenderaan yang perlu melalui kawasan itu bukan sahaja perlu berhati-hati kerana terdapat juga di kalangan mereka yang diserang perasaan takut. Malahan setakat tarikh tersebut, telah berlaku 44 kes nahas jalan raya dan ramai yang menganggap Bukit Sejuk memang bermisteri dan terdapat juga individu yang menggelarkan Bukit Sejuk sebagai 'puaka Gua Musang'.

Bagi penulis, kekerapan kejadian nahas ngeri di kawasan Bukit Sejuk adalah suatu gangguan ghaib di jalanan sehingga berlakunya kejadian sedemikian. Oleh itu, dalam usaha untuk mengekang kejadian sedemikian, pada 26 Januari, 2009 penulis bersama peserta ekspedisi seramai sembilan orang telah melakukan "Ekspedisi Bukit Sejuk" yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis-Kota Bharu), Aziz Haji Daud (Abang Aziz-Kota Bharu), Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis-Kota Bharu), Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din-Machang), Fuad bin Alwi (Machang), Mohd Nordin Yaacob (Din Prodata-Gua Musang), Abd. Ghani Ismail (Jurupandu, Gua Musang), Rahimi bin Mohamad (penduduk tempatan) serta Azwan bin Azahari (penduduk tempatan).

Dari Kota Bharu, kami bertolak jam 11.00 pagi dan tiba di Kampung Chiku Satu kira-kira jam 2.30 petang. Kira-kira satu kilometer untuk tiba di Bukit Sejuk, Abang Aziz cuba melakukan meditasi dengan menyelam secara ghaib untuk melihat dan bertanya khabar makhluk yang mungkin wujud di bukit tersebut. Dan memang ternyata, ia telah disambut oleh makhluk halus yang paling berusia yang memperkenalkan dirinya dengan nama Tok Fakir berusia 600 tahun bahawa beliaulah ketua bagi makhluk halus di Bukit Sejuk yang menetap di dalam gua bukit itu, malahan kejadian nahas yang berlaku di persekitaran bukit tersebut memang angkara dirinya atas sikap manusia sendiri.

Apabila sampai di pinggir jalan Bukit Sejuk, kami seramai sembilan peserta mula meredah dan mendaki ke Bukit Sejuk yang mana jarak laluan utama ke tempat yang dituju jaraknya kira-kira 2 kilometer. Untuk sampai ke Bukit Sejuk, bukan sahaja kami terpaksa meredah semak-samun dan hutan belukar yang tidak pernah terusik, apabila sampai di sebuah kolam air terjun, kami terpaksa mendaki curamnya secara perlahan-lahan dan seorang demi seorang kerana laluan itulah yang dapat kami mendaki.

Selang kira-kira setengah jam kemudian, kami menemui sebuah lata dan anak sungai yang mana airnya telah kering, cuma tinggal batu-batu kecil sahaja yang kelihatan. Di kawasan anak sungai itulah, kami dapat merasai kesejukan hawanya, kerana asal di situlah nama Bukit Sejuk mendapat nama. Bagi penulis, melihatkan suasana sedemikian, sudah tentu jarak antara kami dengan Bukit Sejuk tidak berapa jauh lagi dan dari situ kami tiba di gua Bukit Sejuk dengan jarak masa selama satu jam.

Dari kawasan lata, kami meneruskan perjalanan untuk ke gua Bukit Sejuk sehingga kami tiba di sebuah kawasan agak sedikit lapang. Ketika kami berdiri di kawasan yang agak lapang itu, kami melihat sekeliling dan kelihatannya terdapat beberapa bekas tapak yang dianggap masih baru iaitu tapak gajah dan harimau. Menurut jurupandu ekspedisi kami, Abd. Ghani Ismail atau Pak Ghani tidak menolak bekas tapak yang kami saksikan itu adalah tapak harimau dan gajah. Dari situ, kami meneruskan perjalanan dan sekali lagi kami terpaksa mendaki tanah yang tidak rata sebelum tiba di gua Bukit Sejuk pada pukul 4.52 petang.

Setelah meninjau keluasan gua yang agak sederhana itu sambil merakam beberapa keping gambar, penulis mengambil peluang itu dengan mengalunkan azan untuk memaklumkan kepada penghuni gua itu tentang kedatangan kami pada masa itu dan Anis Sabirin yang memperolehi kamera daripada penulis telah merakam video ketika penulis mengalunkan azan berkenaan.

Selepas selesai mengalunkan azan, penulis mendapatkan kamera digital untuk merakam foto ke arah sebuah dinding gua yang mana di gua tersebut terdapat seperti sebuah pintu aneh. Setelah beraya merakam foto ke arah dinding gua itu, penulis menyemak kembali dan tanpa diduga dilihat sebatang tubuh sedang duduk di belakang Anis Sabirin yang menghadap ke arah sebuah pintu pelik jelas kelihatan di skrin kamera. Jadi, penulis beranggapan wajah seorang tua sedang duduk bersimpuh yang mana janggutnya mencecah tanah adalah Tok Fakir sebagaimana meditasi antara Abang Aziz dengannya sebelum itu.

Setelah selesai merakam foto suasana dalam gua, kami bergambar kenangan. Selepas itu, kami melangkah turun dari gua misteri di Bukit Sejuk untuk pulang pada pukul 5.15 petang.

Untuk pengetahuan pembaca dan pengunjung blog, bermula dari tarikh 26 Januari, 2009 sehingga hari ini penulis dapati tiada lagi kes nahas berlaku di Bukit Sejuk dan di persekitarannya. Justeru, ekspedisi kami ini 'Ekspedisi Bukit Sejuk' berjaya dan mencapai matlamatnya dengan niat untuk mengekang sebarang nahas di kawasan berkenaan.

Peserta Ekspedisi Bukit Sejuk, Gua Musang, Kelantan pada 26.1.2009.

Kawasan nahas ngeri. Ular sebesar 'Anaconda' sering muncul di sini.

Kami parkir kenderaan di tepi laluan umum, menghala ke Bukit Sejuk.

Kami terpaksa meredah semak-samun dan hutan belukar.

Penulis bergambar di sebuah kolam air terjun.


Peserta kami perlu mendaki batu-batu air terjun.

Inilah puncak air terjun.

Sekali lagi kami terpaksa meredah hutan belukar.


Peserta kami tiba di sebuah caruh air dan lata air terjun.


Di sinilah kami melihat tapak harimau dan gajah.

Inilah gua Bukit Sejuk. Kami sampai di sini jam 4.52 petang.

Rakam foto arah luar dari dalam gua.

Penulis mengalunkan azan untuk memberitahu Tok Fakir itu.

Selepas azan, Tok Fakir menjelma dan dapat penulis rakam (anak panah).

Mungkin inilah tempat tidur Tok Fakir itu.

Kolam dalam gua milik Tok Fakir.


Bergambar kenangan sebelum pulang.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Tahun ni Saja 2018 masih trdpt kemalangan maut laluan bukit sejuk. Korbannya adalah wanita yg memandu brseorangan menaiki proton persona & proton saga flx. semoga kacau gangu Tok fakir dpt di hentikan

    BalasPadam