RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 29 November 2011

Misteri Lorong Kubur Jepun


MISTERI LORONG KUBUR JEPUN

KOTA BHARU, KELANTAN:  JANGAN sangka hanya di kawasan hutan belantara dan bukit-bukau sahaja dianggap berpuaka tetapi tidak di kawasan bandar. Dalam hal ini, perlu diingatkan makhluk halus memang ada di mana-mana. Kemunculannya yang berkait-rapat dengan sesuatu tempat misteri yang secara kebetulan didiami manusia, maka individu terlibat pasti akan dapat melalui pengalaman bertemu dengan makhluk ghaib itu.

Menjelaskan tentang jelmaan makhluk halus di laluan umum di bandar-bandar utama bukanlah perkara baru, cuma manusia tidak pernah bertembung dengan makhluk berkenaan sahaja. Namun, pengalaman sebuah keluarga di Kampung Sireh, 600 meter dari pusat bandar Kota Bharu menganggap kejadian misteri di kampung berkenaan adalah berkait-rapat dengan sebuah bangunan yang dikatakan tempat markas tentera menyeksa mangsa tahanan sebagai bukti Lorong Bawah Lembah yang terletak di kampung terbabit adalah berpuaka.

Menurut Deris Mamat, 74, atau Tok Ayah Mat, mengakui laluan kenderaan bersebelahan bangunan yang ada sekarang iaitu pada masa dahulu memang berpuaka. Penyebabnya ialah di masa pendudukan Jepun di Kelantan, sebuah bangunan yang dibina oleh tentera Jepun sebagai markas mereka di situ telah dijadikan sebagai tempat untuk menyiksa mangsa yang ditahan. Jika mangsa meninggal, mayat mereka hanya sekadar ditimbus dengan tanah dan pasir yang ada tanpa melalui proses pengkebumian secara terhormat. Maka, pada waktu itu amat tersohor digelar sebagai 'Kubur Putat'.

Walau bagaimanapun, sama ada tentera Jepun mahu menghuni di bangunan itu, belum lagi berlaku sesuatu yang dianggap ngeri dan menakutkan. Namun, setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 yang kemudiannya diduduki pula tentera Punjab, kawasan berkenaan dianggap penduduk setempat sebagai kawasan yang agak keras kerana setiap kali tiba jam 9.00 malam akan kedengaran suara-suara yang agak menyeramkan dan menakutkan dapat didengari apabila melalui kawasan terbabit.

"Pada masa itu, umur Tok Ayah Mat baru mencecah 16 tahun. Paling ditakuti penduduk di sini pada masa itu ialah di bahagian dapur bangunan itu. Tok Ayah Mat syak bahagian dapur itulah tempat tentera Jepun menyiksa mangsa sehingga mati", ujarnya.

Menurutnya lagi, banyak kejadian yang menakutkan sering berlaku di kawasan tersebut. Mereka yang melalui kawasan itu terutamanya bagi yang lemah semangat akan terkena sampuk berikutan di bahagian tebing, lorong dan pohon jati yang masih ada di situ sehingga hari ini amat tersohor sebagai kawasan mengusik menyebabkan ramai mengalami pengalaman misteri ketika melalui laluan itu.

Tambahnya, pada masa dahulu, Kubur Putat memang menakutkan. Salah seorang keturunan Cina juga turut ditembak oleh tentera Jepun lalu ditimbus di kawasan berhampiran sungai itu. Ada di kalangan individu yang tamakkan harta sanggup mendapatkan barang-barang berharga yang ditanam bersama mayat.

Disebabkan mangsa yang mati tidak disempurnakan dengan cara yang betul, kawasan sekitarnya mengalami natijahnya apabila dianggap oleh penduduk setempat sebagai kawasan agak keras dan berpenunggu. Mereka yang sering berulang-alik di kawasan itu pada waktu malam pasti akan terserempak dengan jelmaan lembaga yang menakutkan sehingga ada yang menjadi kurang waras akibat terkena sampuk.

Menurut Tok Ayah Mat lagi, sebuah tadika berhampiran Lorong Bawah Lembah itu masih lagi berpuaka. Keadaan ini jelas sebagaimana yang diceritakan oleh seorang pengawal di tadika tersebut, Hj. Aziz bahawa sepupu Tok Ayah Mat sendiri mengalami gangguan yang agak mengerikan semenjak bekerja di situ dan akhirnya terpaksa meletakkan jawatan.

Manakala kejadian pada tahun 1988, sepasang suami isteri yang melalui lorong berhampiran pokok jati di situ tiba-tiba terlihat seorang kanak-kanak duduk berteleku seorang diri pada waktu tengah malam. Apabila cuba dihampiri, kanak-kanak itu sebenarnya seketul batu besar semata-mata.

Sementara itu, anak sepupu Tok Ayah Mat, Muhammad Tarmizi Muhammad Tajuddin, 19, atau Piji juga pernah mengalami kejadian mengerikan ketika melalui jalan tersebut apabila suaranya ditiru oleh lembaga yang sedang menunggu di situ.

"Memanglah agak seram juga mendengar suara itu seperti suara saya sendiri. Lebih-lebih lagi lembaga tersebut tidak kelihatan, hanya kedengaran suaranya sahaja", jelasnya.

Kejadian terbaru yang dialami adalah pada awal tahun 2008 apabila dia yang melintasi kawasan berhampiran pokok jati di lorong tersebut bersama rakannya terlihat lembaga berpakaian putih agak tinggi sedang memandang ke arah semak di situ dengan membelakanginya. Namun yang peliknya, hanya dia yang dapat melihat lembaga itu, sedangkan rakannya tidak.

Dalam pada itu, Mohd. Idham Deris, 24, atau Mat Ham menceritakan tentang kisah yang berlaku ke atas seorang remaja yang pada mulanya berkeadaan baik dan watas telah mengalami masalah mental sehingga ke hari ini akibat disakat ketika pulang dari solat Maghrib.

Manakala kejadian yang berlaku ke atas seorang lagi remaja ketika dia melewati pohon jati juga mengalami pengalaman menakutkan. Ini kerana, dari jarak beberapa meter sahaja, remaja itu terlihat seekor lembu tiba-tiba menjelma di hadapannya. Bagi mengelak motosikalnya dari melanggar lembu tersebut dan dalam keadaan terkejut, motosikalnya terbabas lalu merempuh pagar di kawasan itu. Dan dalam keadaan sakit, dia menoleh ke belakang untuk melihat lembu tersebut tetapi lembu itu terus ghaib sekelip mata.

Bagi Mohd. Amiruddin Deris, 22, atau Amir pula, dia pernah mendengar kisah seorang remaja berusia dalam lingkungan 20-an menjadi tidak waras berikutan mengalami peristiwa terkena sampuk lembaga yang bermukim di sebatang pohon manggis yang tumbuh berhampiran laluan di kawasan itu.

Menurutnya, selepas terkena sampuk oleh lembaga di pohon itu, dia mengalami demam yang agak luar biasa. Namun, selepas pulih dari demam, dia menjadi tidak keruan setiap kali tibanya waktu Maghrib dan akan bertandang ke kawasan puaka itu seolah-olah dipengaruhi oleh suatu kuasa halus yang mengajaknya ke situ. Orang-orang kampung cuba menghalangnya dan berusaha memulihkannya.

"Saya juga pernah diberitahu oleh beberapa penduduk kampung ini tentang sebatang pokok kuini yang tumbuh dekat tebing itu juga mempunyai penunggu. Beberapa ekor anjing yang sering menyalak di malam hari dikatakan kerap berada dan memandang ke arah pokok itu beberapa kali. Ini kerana, jika tidak ada makhluk yang menghuni di kawasan itu, tidak mungkin anjing tersebut berada di bawah pohon berkenaan", terangnya.

Sejajar dengan itu, amat jelas menunjukkan pengalaman misteri tidak sekadar berlaku di kawasan pedalaman sahaja, namun senario sedemikian boleh juga berlaku di kawasan bandar. Kenyataannya, makhluk halus boleh menjelma di mana-mana kerana itulah kerjanya yang suka menyakat dan menyebabkan mereka yang lemah semangat akan menerima padahnya apabila tersampuk.

Justeru, berlindunglah dengan membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci untuk mengelakkan dari gangguan makhluk yang berdarjat rendah itu dan belajarlah dari pengalaman kerana pengalaman boleh mendewasakan kita. 


Deris Mamat atau Tok Ayah Mat ketika ditemubual Penulis.

Muhamad Tarmizi Muhammad Tajuddin atau Piji.

Mohd. Idham Deris atau Mat Ham.

Mohd. Amiruddin Deris atau Amir.

Di sinilah seekor lembu jelmaan menyebabkan Mat Ham terbabas kerana mengelak lembu itu, akhirnya merempuh pagar parit tersebut.

Premis bersebelahan Lorong Bawah Lembah ini pada masa dulu adalah markas tentera Jepun untuk menyiksa mangsa dan dikenali Kubur Putat. Manakala pohon kuini itu pula dihuni lembaga sebagai penunggunya.

Inilah pohon jati yang dikatakan berpenunggu.

Kadang-kadang susuk lembaga menapak di hujung jalan ini.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan