RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 30 Ogos 2012

Misteri Penunggu Kuala Tujuh


MISTERI PENUNGGU KUALA TUJUH

TUMPAT, KELANTAN:  KUALA TUJUH yang terletak di Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan memang agak tersohor kerana pemandangan sungainya yang menarik. Bukan itu sahaja, kawasan tersebut juga menjadi sebuah tempat yang paling aktif di kalangan kaki pancing untuk melabuhkan joran mereka kerana kawasan itu dikatakan dihuni spesis ikan yang agak banyak selain sebuah kawasan menangguk udang kerana keadaannya yang berteluk. Dikatakan juga spesis udang di situ secara berkawan, dengan demikian bagi penggemar udang mereka tidak ingin melepaskan peluang kerana rezeki pastinya terpampang di hadapan mata apabila berjaya ke Kuala Tujuh.

Walau bagaimanapun, tanpa disangka Kuala Tujuh yang turut dikenali sebagai "hujung kuala" tiba-tiba berubah wajah dan kawasan tersebut seolah-olah sebuah kawasan yang agak mengerikan. Setiap kali malam menjelma, mereka yang lemah semangat pastinya tidak ingin cuba mencari pasal untuk berkunjung ke Kuala Tujuh. Ini kerana, semenjak kejadian sekujur mayat yang dibunuh lalu reput di situ menyebabkan kawasan berkenaan "berpuaka" dan "mengusik".

Individu yang datang ke situ untuk tujuan mendapatkan hasil ikan dan udang yang tidak terkira jumlahnya adalah terdiri daripada mereka yang berhati cekal dan berani serta tahan dugaan walaupun kerap kali disakat. Ada yang mendakwa, Kuala Tujuh mempunyai penunggunya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia, tetapi makhluk halus itu dapat melihat manusia yang datang ke situ, siapa yang penakut dan siapa pula yang paling berani.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi, Tuan Mustafa Tuan Musa dari Kampung Kuala Batas, Tumpat, Kelantan bersedia berkongsi pengalamannya turut disakat di tempat terbabit ketika berkunjung ke hujung kuala itubersama seorang rakannya yang ingin menangguk udang.

"Pada mula-mula saya masuk ke situ, saya lihat sebatang pokok yang ada di hujung kuala itu tiba-tiba tunduk ke bawah. Pada masa yang sama, saya lihat pula pokok itu menegak dalam keadaan asalnya.

"Walaupunn begitu, saya tidak pedulikannya kerana menganggapnya sebagai biasa sahaja. Selang beberapa ketika, saya lihat pokok tersebut patah secara tiba-tiba di hadapan saya sendiri. Saya tidak dapat lihat sama ada ranting atau dahannya yang patah, sebab suasananya agak terlalu gelap.

"Apabila saya lihat balik didapati pokok tersebut dalam keadaan menegak seperti asal, tetapi tiada pun ranting atau dahannya yang patah. Memang agak pelik juga", cerita Tuan Mustafa.

Katanya, melihatkan hal berkenaan, rambutnya yang tersikat rapi pada masa itu secara tiba-tiba menegak dan kepalanya juga menebal, malah seluruh badannya berasa seram sejuk sebagai tanda ada sesuatu yang tidak kena dengan sebatang pokok yang berdiri di hadapan matanya di hujung kuala tempat beliau dan rakannya menangguk udang itu.

Menurut Tuan Mustafa, melihatkan situasi yang agak luar biasa dan aneh pada ketika itu, beliau cuba pusing kepalanya ke arah belakang dan melihat kembali pokok tersebut dalam keadaan asal tetapi tiada tanda-tanda ranting mahupun dahannya yang patah dan jatuh ke tanah.

"Rakan saya yang pada mulanya tidak mengetahui kejadian itu tiba-tiba melarikan diri dan keluar dari kawasan Kuala Tujuh itu secara tiba-tiba. Saya agak dia juga baru perasan akan hal itu.

"Tetapi ketika kakinya melangkah beberapa ela, dengan tiba-tiba rakan saya itu pula terpijak seekor ular. Saya tidak tahu dari mana ular itu muncul. Rakan saya lompat secara tidak sengaja kerana terkejut", ujarnya dengan nada lucu.

Menurut Tuan Mustafa, suasana malam pada ketika kejadian itu memang agak gelap walaupun langit kelihatan cerah. Katanya, beliau datang ke hujung kuala itu dengan perahu, jadi beliau tidak membawa lampu kerana mengharapkan bantuan cahaya dari langit saja.

Akibat kejadian pada malam itu menurutnya, beliau terpaksa bergegas naik ke perahu lalu pulang dengan keadaan gopoh-gapah. Harapkan hasil udang, namun beliau dan rakannya terpaksa berputih mata, mereka pulang dengan tangan kosong.

Apabila ditanya, mengapa hal tersebut terjadi di kawasan kuala tujuh, apa kaitan dengan pokok besar dan Kuala Tujuh yang menyebabkan kejadian yang dialaminya pada malam itu. Beliau menjelaskan, sememangnya pernah berlaku kematian di Kuala Tujuh itu. Katanya, salah seorang mangsa tetak (bunuh) dibiarkan menghabiskan riwayat hidup di kawasan hujung kuala itu. Mayat yang terbaring tidak bernyawa di kawasan terbabit tidak dipedulikan dan semenjak saat itu, kawasan Kuala Tujuh itu berpuaka dan mengusik siapa sahaja yang berkunjung ke situ. Beliau agak, kemungkinan kawasan tersebut telahpun dihuni penunggu yang dikenali sebagai makhluk halus disebabkan hal yang sedemikian.

Tambahnya, bagi yang berani tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan apabila melalui kawasan Kuala Tujuh itu, namun bagi yang dianggap penakut mereka pastinya tidak akan menjejakkan kaki ke kawasan hujung kuala itu. Sehingga hari ini katanya, beliau seakan fobia untuk ke Kuala Tujuh semula kerana kejadian usikan yang agak keras di kawasan berkenaan seolah-olah tidak membenarkannya terus ke situ.

Walau bagaimanapun, minatnya terhadap memancing tidak mematahkan semangatnya untuk kembali semula ke Kuala Tujuh biarpun pernah disakat oleh penunggu kuala itu. Walaupun aktiviti menangguk udang sebelumnya gagal mendapat hasil disebabkan peristiwa disakat penunggu yang tidak dapat dilihat oleh matanya tetapi sedang memerhatikannya di kawasan Kuala Tujuh pada malam itu. Kali ini beliau datang lagi tetapi dengan cara lain pula iaitu memancing ikan.

Dalam masa sedang asyik memancing, dengan tiba-tiba joran yang dipegangnya seperti digoyang sesuatu. Matanya melilau ke serata arah untuk melihat gerangan siapakah yang melakukannya, namun tiada sesiapa di kawasan itu kecuali beliau seorang diri.

Selepas kali pertama jorannya digoyang, beliau masih meneruskan aktiviti memancing di kawasan hujung kuala itu dengan harapan dapat membawa pulang hasilnya sama ada ikan mahupun udang pada malam terbabit. Buat kali kedua juga jorannya digoyang dengan agak kasar. Namun, beliau tidak pedulikan hal itu, beliau meneruskan aktiviti memancing itu tanpa memikirkan sesuatu yangt cuba mengganggunya. Selang beberapa minit kemudian, didapati jorannya digoyang dan ditarik dengan agak kasar.

Berasa sesuatu yang tidak kena dengan jorannya digoyang dan ditarik beberapa kali, beliau kemudiannya angkat kaki meninggalkan kawasan tersebut lalu bergegas pulang ke rumah tanpa memperolehi hasilnya. Buat kali kedua beliau gagal dalam misinya untuk mendapatkan hasil yang dihasratkan disebabkan gangguan penunggu Kuala Tujuh itu.

Disebabkan dua kali beliau mengalami perkara yang sama disakat ketika di kawasan Kuala Tujuh itu, beliau mula mengesyakki, mungkin berpunca dari mayat yang mati dibunuh dan terbiar reput di kawasan Kuala Tujuh itu menyebabkan orang yang lalu lalang di kawasan terbabit setiap kali malam menjelang akan kecut perut dan tidak lagi ke kawasan itu.

Sambungnya, berikutan kejadian gangguan itu menyebabkan aktiviti memancing serta menangguk udang di Kuala Tujuh seolah-olah tidak lagi dipedulikan. Mereka yang berkunjung ke situ terdiri daripada kalangan yang berjiwa kental. Bagi yang lemah semangat, sekali gertak saja sudah lari lintang-pukang.

Tuan Mustafa bin Tuan Musa.

Tuan Mustafa ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi.

Inilah wajah Kuala Tujuh atau dikenali juga hujung kuala yang dikatakan berpuaka dan sering mengusik.

 Kemungkinan inilah pokok (anak panah) yang dimaksudkan Tuan Mustafa berpenunggu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 25 Ogos 2012

Misteri Penunggu Tok Bali


MISTERI PENUNGGU TOK BALI

PASIR PUTEH, KELANTAN SEBUAH muara yang terletak di Pantai Tok Bali dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan sering menjadi tumpuan kaki pancing terutamanya apabila tiba waktu malam hari. Ini kerana, di muara terbabit menjadi tumpuan ikan-ikan dari pelbagai spesis dengan adanya "rumah api" apatah lagi menjadi laluan kapal dan bot nelayan untuk ke laut dalam. Bukan itu sahaja, muara berkenaan juga adalah pantai yang agak dalam dan suasananya agak sunyi tentunya menjadi tarikan kaki pancing untuk melabuhkan joran di muara itu sementelah ikan yang menghuni dalam lautan tersebut bersedia untuk bertarung dengan kaki pancing terbabit.

Mungkin ada yang menyedari atau sengaja tidak mempedulikannya, muara di Pantai Tok Bali pernah menyaksikan beberapa peristiwa yang agak menyeramkan kerana dikatakan di kawasan terbabit menjadi laluan makhluk halus sebagai penghuni setia di situ kerana suasananya yang agak sunyi. Sesetengah kaki pancing pernah memaklumkan, di kawasan yang dimaksudkan itu memang ada penunggunya sehingga hari ini kerana ada sebilangan kaki pancing yang pernah terserempak dengan makhluk halus di kawasan tersebut.

Begitu halnya pengalaman yang ingin dikongsi oleh seorang pengusaha bengkel dan mengecat kenderaan, Tuan Mustafa Tuan Musa dari Kampung Kuala Batas, Tumpat, Kelantan telah menjadi igauan buruk baginya apabila pergelangan kaki kirinya tersepit di celah batu setelah tergelincir ketika membantu seorang rakannya yang terpaksa berhempas-pulas untuk menaikkan seekor ikan pari dalam Pertandingan Memancing anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR), Tanah Merah di muara pantai itu pada tahun 2007. Seramai 1,000 peserta yang turut serta dalam pertandingan tersebut.

Katanya, dia bukan seorang kaki pancing, namun beliau ke muara Pantai Tok Bali itu sekadar memenuhi undangan rakannya sebagai temannya untuk memancing. Sedang beberapa ketika menunggu jorannya disentap ikan yang bakal menjadi rezeki rakannya pada malam itu, dengan tiba-tiba jorannya memang disentap ikan dengan agak kasar. Melihat tali jorannya terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang penghuni dalam air itu, rakannya cuba menyentap jorannya dengan pantas.

Nasib menyebelahi rakannya itu apabila jorannya yang dipacakkan di kawasan celah-celah batu di tepi muara pantai itu berhasil apabila seekor ikan pari sedang berhempas-pulas untuk melepaskan diri dari mata pancingnya. Oleh kerana saiz ikan pari itu agak kasar menyebabkan rakannya itu tidak berdaya untuk menaikkan ikan pari itu seorang diri. Melihat keadaan rakannya itu yang terhuyung-hayang ke sana ke mari melayan asakan ikan pari tersebut, beliau cuba memberikan bantuan.

"Dari cahaya langit, memang nampak kelibat ikan pari itu ingin melepaskan diri apabila tali joran itu ditarik ikan tersebut. Tetapi ketika saya cuba untuk membantunya, dengan tiba-tiba tali pancingnya tersimpul ke sebatang kayu di muara itu.

"Saya cuba juga ingin melepaskan tali yang tersimpul itu, tetapi akibat ditarik ikan itu agak kuat, tiba-tiba kaki saya tergelincir lalu terperosok ke celah batu di tebing muara itu", ujar Tuan Mustafa menceritakan detik beliar tergelincir di muara tersebut.

Katanya, ketika kakinya tergelincir di celah sebuah batu dalam suasana yang gelap itu iaitu ketika ingin melepaskan tali joran rakannya yang tersimpul di sebatang kayu terbabit, beliau tidak mengetahuim keadaan kakinya sama ada terkena batu, tersepit, luka dan sebagainya. Ini kerana, selepas beberapa ketika didapati kakinya mula berasa sakit yang amat sangat terutamanya di bahagian pergelangan kakinya.

Akibat nasib malang pada malam tersebut, beliau tidak dapat meneruskan kerja-kerjanya sebagai pengusaha bengkel dan mekanik kenderaan selama seminggu. Disebabkan sakitnya tidak dapat ditanggung lagi, beliau mendapatkan sebotol minyak urut cap ular yang baru dibelinya dari Siam. Minyak urut tersebut kemudiannya disapukan di tempat sakit tersebut berulang kali.

Selepas minyak urut itu disapukan di tempat sakit akibat tergelincir di celah batu pada malam kejadian, didapati kakinya mula terbakar. Melihatkan keadaan kakinya yang berkeadaan demikian, beliau bergegas ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Namun, doktor yang memeriksanya memaklumkan kepadanya, kulitnya yang dikatakan terbakar itu tidak mendatangkan masalah.

"Pada sebelah malamnya, saya tidak dapat duduk dan tidur dengan selesa kerana kaki saya yang terbakar itu mula berdenyut ke seluruh tubuh. Selepas itu, saya ke Hospital Besar Tumpat pula.

"Pihak hospital kata, saya mengalami masalah  kencing manis, lantas saya ditahan di hospital tersebut. Berikutan dakwaan doktor yang menyatakan saya menghidap kencing manis, saya tidak berpuas hati dengan dakwaan itu. Saya minta doktor memeriksa sekali lagi dengan sebaik mungkin bukannya melihat kepada masalah fizikalnya saja.

"Beberapa ketika kemudian, doktor yang merawat saya memaklumkan, saya tidak menghidap kencing manis dan mungkin masalah lain yang tidak dinyatakan", kata bapa 10 anak itu.

Tambah Tuan Mustafa, walaupun pihak hospital memaklumkan kepadanya beliau bebas dari simptom kencing manis, namun doktor yang merawatnya seolah-olah masih belum berpuas hati lalu beliau dirujuk ke Hospital Kota Bharu (kini Hospital Sultanah Zainab II) pula. Di hospital berkenaan, keadaan kulit dan tulang kakinya telah dibersihkan untuk mengelakkan jangkitan kuman yang boleh memudaratkan kesihatan dan anggota tubuhnya yang lain.

"Selepas pihak hospital membuat rawatan seumpamanya, dua bulan selepas itu saya mengalami masalah yang saya sendiri tidak ketahui puncanya, apabila seluruh tubuh saya pula berasa tidak selesa yang tidak pernah saya alami sebelum ini", ujarnya.

Berikutan ragu-ragu dengan rawatan yang diterimanya di Hospital Kota Bharu itu kerana dilihat kakinya tidak mengalami masalah, sedangkan tubuhnya pula berasa tidak selesa, beliau kemudiannya mendapatkan rawatan secara tradisional melalui Pengamal Rawatan Tradisional pula. Pengamal Rawatan Tradisional terbabit memberitahunya, beliau diganggu oleh sesuatu yang tidak dapat dengan mata kasarnya. Dengan kata lain, terdapat makhluk halus telah menyelinap masuk ke dalam tubuhnya di mana makhluk terbabit menjadikan tubuhnya pula sebagai galang ganti dan enggan keluar.

Cetusnya, dengan kepakaran yang dimiliki oleh Pengamal Rawatan Tradisional tersebut, makhluk halus yang menghuni dalam tubuhnya ekoran kejadian di muara Pantai Tok Bali pada tahun 2007 itu berjaya dikeluarkan. Katanya, beliau menerima padah kerana menurut rakannya memancing di kawasan yang salah dan bahana tersebut terpaksa dialaminya di muara tersebut. Selepas makhluk halus tersebut berjaya dinyahkan dari tubuhnya, tubuhnya berasa selesa serta sihat seperti sediakala untuk membolehkannya menyambung kembali kerja-kerjanya selama ini yang terbengkalai.

Pengamal tradisional tersebut memberitahunya, makhluk halus itu sedang menetap di sebuah batu menghadap ke arah muara tempat beliau melepaskan tali joran yang tersimpul di muara pantai terbabit. Mungkin beliau telah mengganggu tempat tinggalnya menyebabkan penunggu muara di situ geram dengan tindakannya. Maklumlah memancing hanya dua orang sahaja apatah lagi di malam hari yang sememangnya menjadi tempat kesukaan makhluk halus berkeliaran terutamanya di kawasan lautan terbuka.

Apabila ditanya, tidakkah beliau dapat melihat kelibat makhluk halus berkenaan ketika beliau tergelincir semasa melepaskan simpulan tali joran rakannya itu. Beliau menjelaskan, sememangnya beliau tidak dapat melihat makhluk ghaib itu tetapi tubuhnya berasa tidak selesa yang agak luar biasa iaitu sekejap sejuk dan sekejap panas dalam masa beberapa minit sahaja. Selepas itu, beliau terpaksa pulang awal dari yang dijadualkan.
 
Tuan Mustafa Tuan Musa.

Tuan Mustafa Tuan Musa ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah gerai makanan di kampungnya.

Keadaan parut pergelangan kaki kirinya yang tersandung ke celah batu di muara terbabit.

Mungkin di sinilah Tuan Mustafa tergelincir lalu tersandung ke dalam jerangkap batu muara itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 24 Ogos 2012

Foto: Keturunan Tok Deraman

ANAK CUCU TOK DERAMAN
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Keturunan Tok Deraman" di Hari Raya Aidilfitri Ketiga 2012 pada 21.8.2012
Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
DEWAN TOK JERULONG

KOTA BHARU, KELANTAN:  BUAT julung kalinya bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri 2012, silsilah keturunan Tok Deraman dapat berhimpun sebagai satu keluarga besar dalam satu Majlis Perjumpaan Anak Cucu Tok Deraman. Kira-kira 500 ahli keluarga yang terdiri daripada keturunan Tok Deraman telah hadir dalam majlis Hari Raya Aidilfitri Ketiga yang diadakan di Dewan Tok Jerulong, SMK Salor dekat sini pada 21.8.2012. Difahamkan, kediaman keluarga berkenaan kini menetap di Kampung Langgar, Salor dan majlis seumpama ini akan diadakan setiap tahun sebagai suatu aktiviti untuk mengumpul ahli keluarga daripada keturunan Tok Deraman.


























Tok Deraman (dalam bulatan) ketika di zaman mudanya.

Azmi Mohd. Salleh (Penulis, ketika zaman remaja) saling tak tumpah dengan Tok Deraman ketika mudanya.

Famili Penulis.

Foto ini dirakam di Dewan Tok Jerulong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, Kota Bharu, Kelantan dalam Majlis Perjumpaan Anak Cucu Tok Deraman sempena Hari Raya Aidilfitri Ke-3 pada 21.8.2012.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMAN BIN AZMI

Selasa, 21 Ogos 2012

Misteri Penunggu Sungai


MISTERI PENUNGGU SUNGAI

JELI, KELANTAN SUDAH menjadi kelaziman, tempat-tempat terpencil yang kurang dilalui oleh manusia, akibatnya kawasan terbabit pasti akan dihuni oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu "makhluk halus". Begitu halnya dengan kawasan sungai, jika kebanyakan sungai sering digunakan oleh manusia untuk mandi dan sebagainya sudah tentu makhluk terbabit tidak ingin lagi menetap di situ kerana apabila diketahui manusia sering menggunakannya, mereka pasti berlalu pergi. Sebaliknya, jika kawasan berkenaan kurang dilalui atau digunakan manusia, sudah tentu ada makhluk lain yang akan mengawal di kawasan berkenaan.

Pengalaman yang dilalui oleh Che Rahmah binti Seman (enggan disiarkan gambar), 51, atau lebih dikenali sebagai Kak Mah dari Kampung Kuala Long, Jeli, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu tidak menafikan tentang hakikat tersebut.

Menurut Kak Mah, beliau pernah disakat makhluk halus yang merupakan penunggu atau penjaga sungai tempat beliau menangguk ikan bersama enam rakan-rakannya di dua batang sungai yang memang jarang digunakan oleh manusia. Disebabkan hobinya gemar menangguk ikan di sungai terbabit, beliau bersama-sama rakan-rakannya memulakan aktiviti tersebut. Kejadian itu berlaku pada tahun 1980 di mana ketika itu beliau berusia 19 tahun dengan menyewa sebuah rumah di Jalan Karak, Mentakab, Pahang. Beliau yang merupakan seorang pekerja kilang plywood di negeri terbabit yang baru saja bercerai denga suaminya, cuba menjalani penghidupan seorang diri dengan memperolehi pendapatan daripada gaji bulanan di kilang tersebut.

Katanya, selain beliau, antara rakan-rakannya yang turut serta itu terdiri daripada empat wanita dan tiga lelaki yang kesemuanya berjumlah tujuh orang. Mereka ke sungai tersebut dengan satu tujuan iaitu untuk menangguk ikan dengan semahu-mahunya. Lazimnya katanya, semenjak beliau menangguk ikan di sungai tersebut sebelum ini, beliau tidak pernah memperolehi hasil walau seekor ikan pun. Namun, agak ganjil pada pukul 11.00 pagi hari yang dimaksudkan apabila ikan yang ditangguk diperolehi dalam jumlah yang agak luar biasa banyaknya. Bukan ikan sahaja yang berjaya ditangguk, sebaliknya terdapat belut yang agak besar juga diperolehi dengan jumlah yang banyak sebagai menandakan rezeki mereka pada pagi itu terlalu murah. Gembiranya memang tidak terkata kerana mereka mendapat tujuh guni hasil ikan yang berjaya diangkat dari sungai tersebut.

"Memang akak agak gembira kerana memperolehi hasil yang luar biasa banyaknya. Sebelum ini, akak tidak pernah dapat walaupun seekor ikan. Tetapi pengalaman memperolehi ikan dan belut pada pagi itu amat teruja sekali", ujar Kak Mah.

Katanya, setelah memperolehi hasil ikan yang agak memberangsangkan sehingga tujuh guni kesemuanya, mereka mengumpulkan hasil tersebut di suatu tempat di mana setiap seorang membawa satu guni. Disebabkan hasil ikan sudah memadai pada hari itu, mereka bertujuh mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Namun, tanpa disangka ketika mereka memikul guni yang berisi ikan untuk dibawa pulang disebabkan hari sudah menunjukkan jam 6.00 petang, dengan tidak disangka-sangka beliau dan rakan-rakannya itu tidak menemui jalan pulang. Dengan kata lain, jalan yang dilalui pada awalnya seolah-olah berbeza dengan jalan yang dialaminya ketika itu menyebabkan mereka tersesat jalan sehingga mencecah waktu Maghrib. Pada masa yang sama, beliau dan rakan-rakannya masing-masing bertekak antara satu sama lain dengan mendakwa mereka telah tersalah jalan.

"Akak dan rakan-rakan hanya berpusing pada arah dan tempat yang sama, dirasakan agak terlalu jauh juga sehingga sehingga akak terasa penat", ujar Kak Mah.

Disebabkan mereka tersesat dan tidak menemui jalan pulang, tentunya mereka agak keletihan kerana seharian di sungai tersebut. Masing-masing ingin menyerahkan hasil tangkapan tersebut kerana tidak lagi mampu untuk membawanya pulang, biarlah tidak berlaukkan ikan asalkan mereka dapat pulang tanpa mengalami sebarang masalah tidak sebagaimana yang dihadapi oleh mereka pada masa itu.

Akhirnya, beliau bersama-sama enam rakannya berusaha dengan apa cara sekalipun supaya dapat pulang ke rumah kerana hari sudah semakin senja. Dengan tiba-tiba beliau dan rakan-rakannya itu bertembung dengan seorang lelaki tua bertubuh hitam dan bentuk fizikal dan ketinggiannya seperti tubuh manusia. Manakala pakaian yang dipakai oleh orang tua tersebut seperti kebanyakan orang-orang tua kampung di kalangan manusia juga yang bersemutar di kepala. Kalau dilihat dengan agak jelas, memang agak pelik kerana setahunya orang-orang tua di Pahang tidak pernah bersemutar di kepalanya sebagaimana yang dilihatnya ketika itu.

Selepas itu, dalam keadaan tubuh yang agak keletihan dan rimas disebabkan keringat mengalir kerana selesai menangguk apatah lagi terpaksa berjalan dalam keadaan yang jaraknya agak jauh dan terpaksa memikul beban hasil tangkapan yang agak banyak dan berat tentunya memenatkannya begitu juga dengan rakan-rakannya. Beliau dengan segera menyandarkan tubuhnya di sebatang pokok getah di tepi laluan terbabit dalam usaha untuk merehatkan badan yang agak kepenatan.

Dalam masa mereka sedang berehat itu, salah seorang remaja lelaki yang turut serta bersama beliau meminta buah fikirannya tentang masalah yang dihadapi oleh mereka ketika itu. Ini kerana, dalam kalangan gadis termasuk beliau seramai empat orang, manakala tiga lagi di kalangan lelaki, beliau juga agak buntu memikirkannya, lantas beliau meminta pendapat rakan-rakannya yang lain, cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Hal ini timbul apabila remaja lelaki yang turut bersamanya itu mendakwa, setiap kali kaki melangkah mereka hanya menemui dua batang sungai itu sahaja.

Tambahnya, dua batang sungai tersebut terletak di Batu 9 berhampiran dengan kem tentera di Jalan Karak, daerah Mentakab, Pahang. Mereka memasuki ke kawasan ladang getah di tempat terbabit. Cara mereka menangguk ikan dengan membuat sekatan air di sebelah kiri dan mula menimba di sebatang sungai lagi supaya ikan terkepung untuk memudahkan mereka memungut hasilnya.

Dalam keadaan tubuh dibasahi keringat apatah lagi fikiran berserabut dan buntu memikirkan tentang masalah tersesat jalan ketika itu, beliau kemudiannya merayu supaya makhluk halus yang diistilahkannya sebagai "pakcik" itu untuk menunjukkan dan menghantarkan mereka bertujuh pulang ke rumah dengan selamat. Kalau tidak, mereka pasti tersesat selamanya kerana tidak menemui jalan pulang. Selepas selesai beliau berkata-kata sedemikian, makhluk itu memandang ke arahnya dan beliau melihat ke arah makhluk itu dengan pandangan yang aneh dan pelik silih berganti.

Makhluk itu memberitahu bahawa Kak Mah dan rakan-rakannya itu akan dapat pulang lalu makhluk itu menunjukkan jalan yang perlu dilaluinya untuk pulang ke rumah. Beliau bersama-sama rakan-rakannya menuruti arah jalan yang ditunjukkan oleh makhluk halus itu. Rupa-rupanya jalan yang dilaluinya itu seolah-olah jalan pintas tidak sebagaimana semasa beliau dan rakan-rakannya tersesat yang dirasakannya agak begitu jauh sebagai menandakan laluan tersebut telah dilitupi oleh makhluk halus yang bergelar "pakcik" itu.

Selepas itu, beliau tiba di rumah dengan selamat. Malangnya, kesemua ikan yang memenuhi tujuh buah guni itu terpaksa ditinggalkan di sungai itu dan mereka pulang dengan tangan kosong. Katanya, selepas dua malam berlalu beliau tiba-tiba bermimpi di mana makhluk tersebut memberitahu beliau dan rakan-rakannya terlalu gembira sangat menangguk ikan di sungai tersebut.

"Makhluk itu kata, sebab-sebab akak dan rakan-rakan tersesat kerana kami terlalu gembira sangat bermain di kawasan sungai itu. Makhluk halus itu memberitahu, dia tinggal di kawasan rumah itu sahaja dan bukannya di tempat lain", ujar Kak Mah.

Sambungnya, pakaian yang dipakai oleh makhluk halus itu adalah baju biasa berwarna hijau. Beberapa hari kemudian, abang sepupu yang turut serta bersamanya ketika menangguk ikan di sungai itu memberitahu, beliau bertemu kembali dengan "pakcik" makhluk halus yang dimaksudkan. Beliau pada mulanya memang tidak mempercayai kata-kata abang sepupunya itu dengan mendakwanya sebagai bohong semata-mata. Tetapi beliau bertanya, apakah kata-kata makhluk halus itu terhadapnya. Makhluk halus itu memberitahu bahawa, makhluk tersebut hanya tinggal di kawasan itu dan bukannya di tempat lain yang jauh.

Tidak berapa lama selepas itu, beliau kemudiannya bertembung dengan seekor ular berwarna hitam yang agak besar iaitu sebesar tiang rumah di mana ukuran badannya agak panjang melebihi 10 kaki malah mempunyai mata yang agak merah padam seperti biji saga. Ular itu yang sedang melilit di bahagian atas bumbung rumahnya tiba-tiba jatuh ke lantai. Ketika itu, beliau agak terkejut dan bimbang disebabkan beliau menetap di rumah sewanya itu hanya seorang diri. Lalu beliau memberitahu supaya ular tersebut keluar dari rumahnya kerana beliau amat takut dengan ular yang dimaksudkan.

Selepas Kak Mah berkata begitu, ular itu kemudiannya terus menyusur masuk ke bawah rumahnya. Sehingga berita berkenaan diketahui oleh abang sepupunya yang mendakwa beliau terlalu berani berbicara dengan ular tersebut. Jadi hal berkenaan dengan pantas dijawab oleh Kak Mah bahawa, kalau dia keluar dari rumah itu ketika ular itu menjelma dalam rumahnya, ke mana pula beliau ingin melarikan diri kerana hanya rumah sewa itu sahaja yang mampu didudukinya ketika itu.

Namun, kata-kata Kak Mah tidak dipersetujui oleh abang sepupunya kerana menganggap Kak Mah bermulut celupar. Namun, kata-katanya itu dipertahankannya malah beliau memang patut berkata begitu terhadap ular jelmaan tersebut kerana beliau tiada lagi tempat lain untuk menginap selain rumah sewa yang didudukinya ketika itu. Katanya, dalam masa sejam beliau mundar-mandir dalam kawasan rumahnya itu, didapati ular aneh berwarna hitam dan bermata merah sebesar biji saga itu tiada lagi di kawasan rumah sewanya ketika itu.

Selepas dua minggu kejadian beliau menemui ular tersebut, beliau diberitahu oleh makhluk halus yang digelarkannya "pakcik" yang ditemuinya di sungai ketika menangguk ikan itu memberitahunya supaya meninggalkan rumah sewanya dengan segera kerana ada sesuatu yang akan terjadi di rumah tersebut nanti. Lalu beliau memaklumkannya kepada abang sepupunya kerana beliau berhajat ingin meninggalkan rumah sewa tersebut sebagaimana yang dimaklumkan oleh pakcik tersebut.

Rupa-rupanya makluman daripada makhluk halus tersebut memang benar kerana pada ketika itu berlaku peperangan di mana tentera berdekatan merempuh kawasan rumah sewa yang didudukinya itu. Malah kata Kak Mah, sehingga hari ini beliau tidak pernah lagi pergi menjenguk rumah sewanya itu, adakah telah menjadi padang jarak padang tekukur atau sebaliknya.

Tambah Kak Mah, ketika beliau pulang dari kerja jauh-jauh malam dengan rakannya tentunya laluan yang sering digunakannya agak sunyi. Lazimnya jika awal malam, laluan tersebut sering dilalui kenderaan berat seperti lori dan sebagainya. Jadi, setiap kali beliau pulang melalui laluan yang sering digunakannya beliau memang menyedari bahawa ada makhluk lain yang sedang memerhati dan mengekorinya dari jarak yang agak jauh. Pada mulanya, dia tidak mengetahui apakah makhluk halus yang digelarkan "pakcik" tersebut sebab melihatnya seperti seorang tua, jadi dirinya tidaklah berapa bimbang sangat.

Baginya dengan berjalan berdua dengan rakannya apatah lagi kedua-duanya wanita pula beliau berasa bimbang jika dikhianati oleh remaja-remaja lelaki liar di kampung itu. Namun, dengan adanya "pakcik" di kawasan itu seolah-olah bertindak sebagai pengawal orang yang lalu lalang walaupun hatinya berbelah bagi adakah susuk tubuh tersebut sebagai manusia atau makhluk halus yang sering dikatakan orang di kampung terbabit.

Katanya, paling anehnya beliau kerap kali bertembung dengan anjing peliharaan manusia. Walaupun anjing yang dimaksudkan sering menyalak apabila melihatnya, anjing terbabit tidak pernah menerkamnya dan berbeza dengan rakannya yang lain pernah diterkam anjing terbabit. Buktinya, apabila beliau sering berjalan dengan anak saudaranya, walaupun sering dilihat anjing, namun anjing terbabit tidak pernah menerkam mereka berdua berbanding dengan rakan-rakannya yang pernah bersama sewaktu menangguk ikan di dua batang sungai tempoh hari.

Menurutnya, beliau menetap di Mentakab, Pahang itu kira-kira enam bulan. Katanya, lazimnya setiap kejadian misteri disakat makhluk halus segelintir individu akan mengalami dan sakit-sakit yang berminggu-minggu lamanya. Berbanding dengan beliau, beliau tidak pernah mengalami hal seumpama itu.

Kata Kak Mah, selepas tempoh itu, beliau kemudiannya pulang ke Kelantan di kampung asalnya kini. Menurutnya, semenjak bertembung dengan ular luar biasa di rumah sewanya di Mentakab pada tahun tersebut, sehingga beliau pulang ke Kelantan beliau belum lagi menemui ular yang luar biasa atau ganjil mahupun ular jelmaan berbanding ketika di rumah sewanya di Mentakab itu.

Pernah jiran-jiran yang memberitahunya bahawa pengalamannya itu untuk menunjukkan beliau agak sesuai untuk menjadi seorang "bomoh wanita" yang disegani. Namun, sejak dari dulu lagi beliau tidak bercita-cita ke arah itu. Katanya, seminggu sebelum beliau berangkat pulang ke Kelantan, beliau pernah bermimpi tentang buah nenas yang tumbuh secara tidak normal. Beliau tidak mengetahui tafsiran mimpi yang dialaminya tentang buah nenas tersebut sehingga masa yang ditetapkan untuknya pulang ke Kelantan sampai pada harinya.



Laluan di Kampung Kuala Long, Jeli, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 19 Ogos 2012

Foto: Lokasi Sampah-2

LOKASI SAMPAH-2
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Lokasi Sampah-2 sama ada di seluruh Kelantan mahupun di seluruh Malaysia.
 Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  SAMPAH tidak akan tercicir atau terlonggok secara luar biasa jika tidak tangan gatal yang mencampakkan di sesuatu kawasan. Hal ini amat jelas sebagaimana yang dipaparkan dalam foto di bawah, apabila bungkusan plastik dengan sewenang-wenangnya dibuang di kawasan laluan dan tumpuan umum di pusat bandar Kota Bharu untuk menunjukkan mental masyarakat kita amat rendah dan tidak berhemah. Sedangkan tong sampah telah disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sebelah papan tanda jalan bersebelahan sahaja. Sikap sedemikian bukan sahaja memalukan diri sendiri tetapi juga terhadap pimpinan negeri.

Foto ini dirakam di Jalan Maju, Kota Bharu, Kelantan pada 15.10.2012.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  TABIAT membuang sampah masih menjadi amalan sebahagian besar masyarakat di Kelantan khususnya di Kota Bharu. Kebanyakan mereka tidak menjunjung slogan "Membangun Bersama Islam" dan "Kelantan Serambi Mekah", akhirnya menjadi "Kelantan Serambi Sampah". Sampah masih dibiarkan dan dibuang di merata-rata tempat. Mereka tidak sakit mata memandang melihat sampah bertaburan dan berterbangan ditiup angin. Walaupun Nabi S.A.W  pernah menasihatkan umat-umat Islam dalam hadis, "menjadi bersihlah kamu, sesungguhnya agama Islam itu diasaskan di atas dasar kebersihan". Namun, melihatkan sampah yang semakin ketara, bermakna naluri umat-umat Islam tidak sampai ke tahap itu. Akhirnya, jadilah sebagaimana sampah yang dipaparkan dalam foto di bawah.




Foto ini kurang bermutu yang dirakam menggunakan telefon bimbit di bawah bangunan Wisma Square Point, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan pada 7.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN: KULIT dan tempurung kelapa tidak wajar dilonggokkan sesuka hati, apatah lagi di tepi jalan iaitu tempat laluan umum. Tabiat melonggok bahan buangan itu sebenarnya boleh mencacatkan pandangan apatah lagi jika hujan turun tempurung tersebut boleh memerangkap air yang sekaligus boleh menakung air berkenaan sebagai tempat sesuai untuk pembiakan nyamuk aedes. Peniaga air kelapa berkenaan sepatutnya melonggokkannya di dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang terletak berhampiran.



Foto ini dirakam di Jalan Tengku Mohd. Ma'asum, Kota Bharu, Kelantan pada 18.8.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH