RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 21 Ogos 2012

Misteri Penunggu Sungai


MISTERI PENUNGGU SUNGAI

JELI, KELANTAN SUDAH menjadi kelaziman, tempat-tempat terpencil yang kurang dilalui oleh manusia, akibatnya kawasan terbabit pasti akan dihuni oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu "makhluk halus". Begitu halnya dengan kawasan sungai, jika kebanyakan sungai sering digunakan oleh manusia untuk mandi dan sebagainya sudah tentu makhluk terbabit tidak ingin lagi menetap di situ kerana apabila diketahui manusia sering menggunakannya, mereka pasti berlalu pergi. Sebaliknya, jika kawasan berkenaan kurang dilalui atau digunakan manusia, sudah tentu ada makhluk lain yang akan mengawal di kawasan berkenaan.

Pengalaman yang dilalui oleh Che Rahmah binti Seman (enggan disiarkan gambar), 51, atau lebih dikenali sebagai Kak Mah dari Kampung Kuala Long, Jeli, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu tidak menafikan tentang hakikat tersebut.

Menurut Kak Mah, beliau pernah disakat makhluk halus yang merupakan penunggu atau penjaga sungai tempat beliau menangguk ikan bersama enam rakan-rakannya di dua batang sungai yang memang jarang digunakan oleh manusia. Disebabkan hobinya gemar menangguk ikan di sungai terbabit, beliau bersama-sama rakan-rakannya memulakan aktiviti tersebut. Kejadian itu berlaku pada tahun 1980 di mana ketika itu beliau berusia 19 tahun dengan menyewa sebuah rumah di Jalan Karak, Mentakab, Pahang. Beliau yang merupakan seorang pekerja kilang plywood di negeri terbabit yang baru saja bercerai denga suaminya, cuba menjalani penghidupan seorang diri dengan memperolehi pendapatan daripada gaji bulanan di kilang tersebut.

Katanya, selain beliau, antara rakan-rakannya yang turut serta itu terdiri daripada empat wanita dan tiga lelaki yang kesemuanya berjumlah tujuh orang. Mereka ke sungai tersebut dengan satu tujuan iaitu untuk menangguk ikan dengan semahu-mahunya. Lazimnya katanya, semenjak beliau menangguk ikan di sungai tersebut sebelum ini, beliau tidak pernah memperolehi hasil walau seekor ikan pun. Namun, agak ganjil pada pukul 11.00 pagi hari yang dimaksudkan apabila ikan yang ditangguk diperolehi dalam jumlah yang agak luar biasa banyaknya. Bukan ikan sahaja yang berjaya ditangguk, sebaliknya terdapat belut yang agak besar juga diperolehi dengan jumlah yang banyak sebagai menandakan rezeki mereka pada pagi itu terlalu murah. Gembiranya memang tidak terkata kerana mereka mendapat tujuh guni hasil ikan yang berjaya diangkat dari sungai tersebut.

"Memang akak agak gembira kerana memperolehi hasil yang luar biasa banyaknya. Sebelum ini, akak tidak pernah dapat walaupun seekor ikan. Tetapi pengalaman memperolehi ikan dan belut pada pagi itu amat teruja sekali", ujar Kak Mah.

Katanya, setelah memperolehi hasil ikan yang agak memberangsangkan sehingga tujuh guni kesemuanya, mereka mengumpulkan hasil tersebut di suatu tempat di mana setiap seorang membawa satu guni. Disebabkan hasil ikan sudah memadai pada hari itu, mereka bertujuh mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Namun, tanpa disangka ketika mereka memikul guni yang berisi ikan untuk dibawa pulang disebabkan hari sudah menunjukkan jam 6.00 petang, dengan tidak disangka-sangka beliau dan rakan-rakannya itu tidak menemui jalan pulang. Dengan kata lain, jalan yang dilalui pada awalnya seolah-olah berbeza dengan jalan yang dialaminya ketika itu menyebabkan mereka tersesat jalan sehingga mencecah waktu Maghrib. Pada masa yang sama, beliau dan rakan-rakannya masing-masing bertekak antara satu sama lain dengan mendakwa mereka telah tersalah jalan.

"Akak dan rakan-rakan hanya berpusing pada arah dan tempat yang sama, dirasakan agak terlalu jauh juga sehingga sehingga akak terasa penat", ujar Kak Mah.

Disebabkan mereka tersesat dan tidak menemui jalan pulang, tentunya mereka agak keletihan kerana seharian di sungai tersebut. Masing-masing ingin menyerahkan hasil tangkapan tersebut kerana tidak lagi mampu untuk membawanya pulang, biarlah tidak berlaukkan ikan asalkan mereka dapat pulang tanpa mengalami sebarang masalah tidak sebagaimana yang dihadapi oleh mereka pada masa itu.

Akhirnya, beliau bersama-sama enam rakannya berusaha dengan apa cara sekalipun supaya dapat pulang ke rumah kerana hari sudah semakin senja. Dengan tiba-tiba beliau dan rakan-rakannya itu bertembung dengan seorang lelaki tua bertubuh hitam dan bentuk fizikal dan ketinggiannya seperti tubuh manusia. Manakala pakaian yang dipakai oleh orang tua tersebut seperti kebanyakan orang-orang tua kampung di kalangan manusia juga yang bersemutar di kepala. Kalau dilihat dengan agak jelas, memang agak pelik kerana setahunya orang-orang tua di Pahang tidak pernah bersemutar di kepalanya sebagaimana yang dilihatnya ketika itu.

Selepas itu, dalam keadaan tubuh yang agak keletihan dan rimas disebabkan keringat mengalir kerana selesai menangguk apatah lagi terpaksa berjalan dalam keadaan yang jaraknya agak jauh dan terpaksa memikul beban hasil tangkapan yang agak banyak dan berat tentunya memenatkannya begitu juga dengan rakan-rakannya. Beliau dengan segera menyandarkan tubuhnya di sebatang pokok getah di tepi laluan terbabit dalam usaha untuk merehatkan badan yang agak kepenatan.

Dalam masa mereka sedang berehat itu, salah seorang remaja lelaki yang turut serta bersama beliau meminta buah fikirannya tentang masalah yang dihadapi oleh mereka ketika itu. Ini kerana, dalam kalangan gadis termasuk beliau seramai empat orang, manakala tiga lagi di kalangan lelaki, beliau juga agak buntu memikirkannya, lantas beliau meminta pendapat rakan-rakannya yang lain, cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Hal ini timbul apabila remaja lelaki yang turut bersamanya itu mendakwa, setiap kali kaki melangkah mereka hanya menemui dua batang sungai itu sahaja.

Tambahnya, dua batang sungai tersebut terletak di Batu 9 berhampiran dengan kem tentera di Jalan Karak, daerah Mentakab, Pahang. Mereka memasuki ke kawasan ladang getah di tempat terbabit. Cara mereka menangguk ikan dengan membuat sekatan air di sebelah kiri dan mula menimba di sebatang sungai lagi supaya ikan terkepung untuk memudahkan mereka memungut hasilnya.

Dalam keadaan tubuh dibasahi keringat apatah lagi fikiran berserabut dan buntu memikirkan tentang masalah tersesat jalan ketika itu, beliau kemudiannya merayu supaya makhluk halus yang diistilahkannya sebagai "pakcik" itu untuk menunjukkan dan menghantarkan mereka bertujuh pulang ke rumah dengan selamat. Kalau tidak, mereka pasti tersesat selamanya kerana tidak menemui jalan pulang. Selepas selesai beliau berkata-kata sedemikian, makhluk itu memandang ke arahnya dan beliau melihat ke arah makhluk itu dengan pandangan yang aneh dan pelik silih berganti.

Makhluk itu memberitahu bahawa Kak Mah dan rakan-rakannya itu akan dapat pulang lalu makhluk itu menunjukkan jalan yang perlu dilaluinya untuk pulang ke rumah. Beliau bersama-sama rakan-rakannya menuruti arah jalan yang ditunjukkan oleh makhluk halus itu. Rupa-rupanya jalan yang dilaluinya itu seolah-olah jalan pintas tidak sebagaimana semasa beliau dan rakan-rakannya tersesat yang dirasakannya agak begitu jauh sebagai menandakan laluan tersebut telah dilitupi oleh makhluk halus yang bergelar "pakcik" itu.

Selepas itu, beliau tiba di rumah dengan selamat. Malangnya, kesemua ikan yang memenuhi tujuh buah guni itu terpaksa ditinggalkan di sungai itu dan mereka pulang dengan tangan kosong. Katanya, selepas dua malam berlalu beliau tiba-tiba bermimpi di mana makhluk tersebut memberitahu beliau dan rakan-rakannya terlalu gembira sangat menangguk ikan di sungai tersebut.

"Makhluk itu kata, sebab-sebab akak dan rakan-rakan tersesat kerana kami terlalu gembira sangat bermain di kawasan sungai itu. Makhluk halus itu memberitahu, dia tinggal di kawasan rumah itu sahaja dan bukannya di tempat lain", ujar Kak Mah.

Sambungnya, pakaian yang dipakai oleh makhluk halus itu adalah baju biasa berwarna hijau. Beberapa hari kemudian, abang sepupu yang turut serta bersamanya ketika menangguk ikan di sungai itu memberitahu, beliau bertemu kembali dengan "pakcik" makhluk halus yang dimaksudkan. Beliau pada mulanya memang tidak mempercayai kata-kata abang sepupunya itu dengan mendakwanya sebagai bohong semata-mata. Tetapi beliau bertanya, apakah kata-kata makhluk halus itu terhadapnya. Makhluk halus itu memberitahu bahawa, makhluk tersebut hanya tinggal di kawasan itu dan bukannya di tempat lain yang jauh.

Tidak berapa lama selepas itu, beliau kemudiannya bertembung dengan seekor ular berwarna hitam yang agak besar iaitu sebesar tiang rumah di mana ukuran badannya agak panjang melebihi 10 kaki malah mempunyai mata yang agak merah padam seperti biji saga. Ular itu yang sedang melilit di bahagian atas bumbung rumahnya tiba-tiba jatuh ke lantai. Ketika itu, beliau agak terkejut dan bimbang disebabkan beliau menetap di rumah sewanya itu hanya seorang diri. Lalu beliau memberitahu supaya ular tersebut keluar dari rumahnya kerana beliau amat takut dengan ular yang dimaksudkan.

Selepas Kak Mah berkata begitu, ular itu kemudiannya terus menyusur masuk ke bawah rumahnya. Sehingga berita berkenaan diketahui oleh abang sepupunya yang mendakwa beliau terlalu berani berbicara dengan ular tersebut. Jadi hal berkenaan dengan pantas dijawab oleh Kak Mah bahawa, kalau dia keluar dari rumah itu ketika ular itu menjelma dalam rumahnya, ke mana pula beliau ingin melarikan diri kerana hanya rumah sewa itu sahaja yang mampu didudukinya ketika itu.

Namun, kata-kata Kak Mah tidak dipersetujui oleh abang sepupunya kerana menganggap Kak Mah bermulut celupar. Namun, kata-katanya itu dipertahankannya malah beliau memang patut berkata begitu terhadap ular jelmaan tersebut kerana beliau tiada lagi tempat lain untuk menginap selain rumah sewa yang didudukinya ketika itu. Katanya, dalam masa sejam beliau mundar-mandir dalam kawasan rumahnya itu, didapati ular aneh berwarna hitam dan bermata merah sebesar biji saga itu tiada lagi di kawasan rumah sewanya ketika itu.

Selepas dua minggu kejadian beliau menemui ular tersebut, beliau diberitahu oleh makhluk halus yang digelarkannya "pakcik" yang ditemuinya di sungai ketika menangguk ikan itu memberitahunya supaya meninggalkan rumah sewanya dengan segera kerana ada sesuatu yang akan terjadi di rumah tersebut nanti. Lalu beliau memaklumkannya kepada abang sepupunya kerana beliau berhajat ingin meninggalkan rumah sewa tersebut sebagaimana yang dimaklumkan oleh pakcik tersebut.

Rupa-rupanya makluman daripada makhluk halus tersebut memang benar kerana pada ketika itu berlaku peperangan di mana tentera berdekatan merempuh kawasan rumah sewa yang didudukinya itu. Malah kata Kak Mah, sehingga hari ini beliau tidak pernah lagi pergi menjenguk rumah sewanya itu, adakah telah menjadi padang jarak padang tekukur atau sebaliknya.

Tambah Kak Mah, ketika beliau pulang dari kerja jauh-jauh malam dengan rakannya tentunya laluan yang sering digunakannya agak sunyi. Lazimnya jika awal malam, laluan tersebut sering dilalui kenderaan berat seperti lori dan sebagainya. Jadi, setiap kali beliau pulang melalui laluan yang sering digunakannya beliau memang menyedari bahawa ada makhluk lain yang sedang memerhati dan mengekorinya dari jarak yang agak jauh. Pada mulanya, dia tidak mengetahui apakah makhluk halus yang digelarkan "pakcik" tersebut sebab melihatnya seperti seorang tua, jadi dirinya tidaklah berapa bimbang sangat.

Baginya dengan berjalan berdua dengan rakannya apatah lagi kedua-duanya wanita pula beliau berasa bimbang jika dikhianati oleh remaja-remaja lelaki liar di kampung itu. Namun, dengan adanya "pakcik" di kawasan itu seolah-olah bertindak sebagai pengawal orang yang lalu lalang walaupun hatinya berbelah bagi adakah susuk tubuh tersebut sebagai manusia atau makhluk halus yang sering dikatakan orang di kampung terbabit.

Katanya, paling anehnya beliau kerap kali bertembung dengan anjing peliharaan manusia. Walaupun anjing yang dimaksudkan sering menyalak apabila melihatnya, anjing terbabit tidak pernah menerkamnya dan berbeza dengan rakannya yang lain pernah diterkam anjing terbabit. Buktinya, apabila beliau sering berjalan dengan anak saudaranya, walaupun sering dilihat anjing, namun anjing terbabit tidak pernah menerkam mereka berdua berbanding dengan rakan-rakannya yang pernah bersama sewaktu menangguk ikan di dua batang sungai tempoh hari.

Menurutnya, beliau menetap di Mentakab, Pahang itu kira-kira enam bulan. Katanya, lazimnya setiap kejadian misteri disakat makhluk halus segelintir individu akan mengalami dan sakit-sakit yang berminggu-minggu lamanya. Berbanding dengan beliau, beliau tidak pernah mengalami hal seumpama itu.

Kata Kak Mah, selepas tempoh itu, beliau kemudiannya pulang ke Kelantan di kampung asalnya kini. Menurutnya, semenjak bertembung dengan ular luar biasa di rumah sewanya di Mentakab pada tahun tersebut, sehingga beliau pulang ke Kelantan beliau belum lagi menemui ular yang luar biasa atau ganjil mahupun ular jelmaan berbanding ketika di rumah sewanya di Mentakab itu.

Pernah jiran-jiran yang memberitahunya bahawa pengalamannya itu untuk menunjukkan beliau agak sesuai untuk menjadi seorang "bomoh wanita" yang disegani. Namun, sejak dari dulu lagi beliau tidak bercita-cita ke arah itu. Katanya, seminggu sebelum beliau berangkat pulang ke Kelantan, beliau pernah bermimpi tentang buah nenas yang tumbuh secara tidak normal. Beliau tidak mengetahui tafsiran mimpi yang dialaminya tentang buah nenas tersebut sehingga masa yang ditetapkan untuknya pulang ke Kelantan sampai pada harinya.



Laluan di Kampung Kuala Long, Jeli, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan