RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 25 Ogos 2012

Misteri Penunggu Tok Bali


MISTERI PENUNGGU TOK BALI

PASIR PUTEH, KELANTAN SEBUAH muara yang terletak di Pantai Tok Bali dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan sering menjadi tumpuan kaki pancing terutamanya apabila tiba waktu malam hari. Ini kerana, di muara terbabit menjadi tumpuan ikan-ikan dari pelbagai spesis dengan adanya "rumah api" apatah lagi menjadi laluan kapal dan bot nelayan untuk ke laut dalam. Bukan itu sahaja, muara berkenaan juga adalah pantai yang agak dalam dan suasananya agak sunyi tentunya menjadi tarikan kaki pancing untuk melabuhkan joran di muara itu sementelah ikan yang menghuni dalam lautan tersebut bersedia untuk bertarung dengan kaki pancing terbabit.

Mungkin ada yang menyedari atau sengaja tidak mempedulikannya, muara di Pantai Tok Bali pernah menyaksikan beberapa peristiwa yang agak menyeramkan kerana dikatakan di kawasan terbabit menjadi laluan makhluk halus sebagai penghuni setia di situ kerana suasananya yang agak sunyi. Sesetengah kaki pancing pernah memaklumkan, di kawasan yang dimaksudkan itu memang ada penunggunya sehingga hari ini kerana ada sebilangan kaki pancing yang pernah terserempak dengan makhluk halus di kawasan tersebut.

Begitu halnya pengalaman yang ingin dikongsi oleh seorang pengusaha bengkel dan mengecat kenderaan, Tuan Mustafa Tuan Musa dari Kampung Kuala Batas, Tumpat, Kelantan telah menjadi igauan buruk baginya apabila pergelangan kaki kirinya tersepit di celah batu setelah tergelincir ketika membantu seorang rakannya yang terpaksa berhempas-pulas untuk menaikkan seekor ikan pari dalam Pertandingan Memancing anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR), Tanah Merah di muara pantai itu pada tahun 2007. Seramai 1,000 peserta yang turut serta dalam pertandingan tersebut.

Katanya, dia bukan seorang kaki pancing, namun beliau ke muara Pantai Tok Bali itu sekadar memenuhi undangan rakannya sebagai temannya untuk memancing. Sedang beberapa ketika menunggu jorannya disentap ikan yang bakal menjadi rezeki rakannya pada malam itu, dengan tiba-tiba jorannya memang disentap ikan dengan agak kasar. Melihat tali jorannya terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang penghuni dalam air itu, rakannya cuba menyentap jorannya dengan pantas.

Nasib menyebelahi rakannya itu apabila jorannya yang dipacakkan di kawasan celah-celah batu di tepi muara pantai itu berhasil apabila seekor ikan pari sedang berhempas-pulas untuk melepaskan diri dari mata pancingnya. Oleh kerana saiz ikan pari itu agak kasar menyebabkan rakannya itu tidak berdaya untuk menaikkan ikan pari itu seorang diri. Melihat keadaan rakannya itu yang terhuyung-hayang ke sana ke mari melayan asakan ikan pari tersebut, beliau cuba memberikan bantuan.

"Dari cahaya langit, memang nampak kelibat ikan pari itu ingin melepaskan diri apabila tali joran itu ditarik ikan tersebut. Tetapi ketika saya cuba untuk membantunya, dengan tiba-tiba tali pancingnya tersimpul ke sebatang kayu di muara itu.

"Saya cuba juga ingin melepaskan tali yang tersimpul itu, tetapi akibat ditarik ikan itu agak kuat, tiba-tiba kaki saya tergelincir lalu terperosok ke celah batu di tebing muara itu", ujar Tuan Mustafa menceritakan detik beliar tergelincir di muara tersebut.

Katanya, ketika kakinya tergelincir di celah sebuah batu dalam suasana yang gelap itu iaitu ketika ingin melepaskan tali joran rakannya yang tersimpul di sebatang kayu terbabit, beliau tidak mengetahuim keadaan kakinya sama ada terkena batu, tersepit, luka dan sebagainya. Ini kerana, selepas beberapa ketika didapati kakinya mula berasa sakit yang amat sangat terutamanya di bahagian pergelangan kakinya.

Akibat nasib malang pada malam tersebut, beliau tidak dapat meneruskan kerja-kerjanya sebagai pengusaha bengkel dan mekanik kenderaan selama seminggu. Disebabkan sakitnya tidak dapat ditanggung lagi, beliau mendapatkan sebotol minyak urut cap ular yang baru dibelinya dari Siam. Minyak urut tersebut kemudiannya disapukan di tempat sakit tersebut berulang kali.

Selepas minyak urut itu disapukan di tempat sakit akibat tergelincir di celah batu pada malam kejadian, didapati kakinya mula terbakar. Melihatkan keadaan kakinya yang berkeadaan demikian, beliau bergegas ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Namun, doktor yang memeriksanya memaklumkan kepadanya, kulitnya yang dikatakan terbakar itu tidak mendatangkan masalah.

"Pada sebelah malamnya, saya tidak dapat duduk dan tidur dengan selesa kerana kaki saya yang terbakar itu mula berdenyut ke seluruh tubuh. Selepas itu, saya ke Hospital Besar Tumpat pula.

"Pihak hospital kata, saya mengalami masalah  kencing manis, lantas saya ditahan di hospital tersebut. Berikutan dakwaan doktor yang menyatakan saya menghidap kencing manis, saya tidak berpuas hati dengan dakwaan itu. Saya minta doktor memeriksa sekali lagi dengan sebaik mungkin bukannya melihat kepada masalah fizikalnya saja.

"Beberapa ketika kemudian, doktor yang merawat saya memaklumkan, saya tidak menghidap kencing manis dan mungkin masalah lain yang tidak dinyatakan", kata bapa 10 anak itu.

Tambah Tuan Mustafa, walaupun pihak hospital memaklumkan kepadanya beliau bebas dari simptom kencing manis, namun doktor yang merawatnya seolah-olah masih belum berpuas hati lalu beliau dirujuk ke Hospital Kota Bharu (kini Hospital Sultanah Zainab II) pula. Di hospital berkenaan, keadaan kulit dan tulang kakinya telah dibersihkan untuk mengelakkan jangkitan kuman yang boleh memudaratkan kesihatan dan anggota tubuhnya yang lain.

"Selepas pihak hospital membuat rawatan seumpamanya, dua bulan selepas itu saya mengalami masalah yang saya sendiri tidak ketahui puncanya, apabila seluruh tubuh saya pula berasa tidak selesa yang tidak pernah saya alami sebelum ini", ujarnya.

Berikutan ragu-ragu dengan rawatan yang diterimanya di Hospital Kota Bharu itu kerana dilihat kakinya tidak mengalami masalah, sedangkan tubuhnya pula berasa tidak selesa, beliau kemudiannya mendapatkan rawatan secara tradisional melalui Pengamal Rawatan Tradisional pula. Pengamal Rawatan Tradisional terbabit memberitahunya, beliau diganggu oleh sesuatu yang tidak dapat dengan mata kasarnya. Dengan kata lain, terdapat makhluk halus telah menyelinap masuk ke dalam tubuhnya di mana makhluk terbabit menjadikan tubuhnya pula sebagai galang ganti dan enggan keluar.

Cetusnya, dengan kepakaran yang dimiliki oleh Pengamal Rawatan Tradisional tersebut, makhluk halus yang menghuni dalam tubuhnya ekoran kejadian di muara Pantai Tok Bali pada tahun 2007 itu berjaya dikeluarkan. Katanya, beliau menerima padah kerana menurut rakannya memancing di kawasan yang salah dan bahana tersebut terpaksa dialaminya di muara tersebut. Selepas makhluk halus tersebut berjaya dinyahkan dari tubuhnya, tubuhnya berasa selesa serta sihat seperti sediakala untuk membolehkannya menyambung kembali kerja-kerjanya selama ini yang terbengkalai.

Pengamal tradisional tersebut memberitahunya, makhluk halus itu sedang menetap di sebuah batu menghadap ke arah muara tempat beliau melepaskan tali joran yang tersimpul di muara pantai terbabit. Mungkin beliau telah mengganggu tempat tinggalnya menyebabkan penunggu muara di situ geram dengan tindakannya. Maklumlah memancing hanya dua orang sahaja apatah lagi di malam hari yang sememangnya menjadi tempat kesukaan makhluk halus berkeliaran terutamanya di kawasan lautan terbuka.

Apabila ditanya, tidakkah beliau dapat melihat kelibat makhluk halus berkenaan ketika beliau tergelincir semasa melepaskan simpulan tali joran rakannya itu. Beliau menjelaskan, sememangnya beliau tidak dapat melihat makhluk ghaib itu tetapi tubuhnya berasa tidak selesa yang agak luar biasa iaitu sekejap sejuk dan sekejap panas dalam masa beberapa minit sahaja. Selepas itu, beliau terpaksa pulang awal dari yang dijadualkan.
 
Tuan Mustafa Tuan Musa.

Tuan Mustafa Tuan Musa ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah gerai makanan di kampungnya.

Keadaan parut pergelangan kaki kirinya yang tersandung ke celah batu di muara terbabit.

Mungkin di sinilah Tuan Mustafa tergelincir lalu tersandung ke dalam jerangkap batu muara itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan