RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 27 November 2011

Misteri Rumah Lama


MISTERI RUMAH LAMA

KUALA KRAI, KELANTAN:  KEJADIAN berlaku tidak memilih masa dan tempat. Cuma bezanya, individu yang pernah bertemu dengan makhluk halus sama ada jelmaan lembaga dalam bentuk rupa atau sekadar lintasan cahaya semata-mata untuk menakutkan mangsa merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Tetapi tahukah anda bahawa, kejadian misteri yang berlaku ini adalah melibatkan sebuah rumah lama milik keluarga Inggeris yang ditinggalkan sejak tahun 1800 lagi. Ada yang mendakwa, semenjak berlakunya pembunuhan dalam rumah berkenaan sebelum ini sebagai penyebab wujudnya pelbagai gangguan yang menyeramkan di kawasan rumah terlibat.

Beberapa penghuni sebelum ini pernah menetap di rumah lama itu akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk berpindah kerana tidak tahan dengan pelbagai bunyi dan usikan yang menakutkan bukan sahaa berlaku di dalam rumah berkenaan, sebaliknya turut berlaku di luar rumah apabila seorang perempuan berpakaian serba putih (langsuir) sering terbang dan bertenggek di beberapa batang pokok di hadapan rumah terbabit menyebabkan tidak siapa sanggup tinggal di situ lagi.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Saiful Bahari  A.Bakar, 21, dari Kampung Batu Lada, Kuala Krai, Kelantan berkata, beliau menetap di rumah lama itu sejak tahun 2004 lagi kerana mengikut bapanya, seorang Pegawai Daerah, Majlis Daerah Kuala Krai yang menjadikan rumah tinggalan pegawai Inggeris itu sebagai kediaman rasminya sekarang.

"Kejadian misteri berlaku ketika saya baru menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Asalnya rumah ini adalah rumah yang ditinggalkan sejak dulu di mana keluarga Inggeris pernah menetap di sini.

"Sewaktu kami ingin menduduki rumah ini, memang ada orang kata tak nampak, sebabnya selain dibina di dalam hutan, letaknya pula di atas bukit. Apabila datang ke sini, saya terpaksa menebas dan membersihkan kawasan sekitar sebelum kami dapat menjadikannya sebagai kediaman rasmi", jelasnya.

Saiful menambah, kejadian pelik yang dilalui di rumah itu bukan hanya dialami di waktu malam tetapi turut berlaku di siang hari terutama ketika beliau berehat sendirian. Namun, segalanya diserahkan kepada Allah.

"Ketika bersendirian, saya pernah melihat lembaga berkenaan berada di lorong itu. Di waktu malam pula, langsuir bergayut dan bertenggek di atas sebatang pokok di hadapan rumah ini", ujar Saiful Bahari sambil menunjukkan tempat-tempat yang dimaksudkan itu.

Menurutnya lagi, pada awal menetap di situ, beliau sering diganggu seperti pintu rumah diketuk berulang kali dan bunyi hilai ketawa yang menyeramkan. Pernah juga beliau mencari dari mana datangnya suara hilaian itu tetapi tidak berjumpa. Kejadian itu turut diceritakan kepada rakan-rakannya, namun mereka tidak mempercayainya.

Beliau juga pernah terserempak dengan lembaga bermata merah yang memandang ke arahnya dengan begitu bengis ketika berada di selekoh menuju ke rumahnya. sewaktu beliau baru pulang dari kerja di sebuah restoran kira-kira jam 2.00 pagi.

"Saya dapat tahu dari orang-orang kampung bahawa rumah ini dulunya dibina oleh beberapa orang buruh kasar yang dikerah oleh pihak Inggeris. Dengarnya, pernah berlaku pembunuhan ngeri, kemungkinan mayatnya dicampakkan ke sebuah cerun di sana", terang Saiful lagi.

Katanya lagi, sewaktu hari persediaan majlis kenduri kakaknya pada tahun 2006, berlaku satu lagi kejadian misteri di hadapan rumahnya kira-kira jam 1.00 pagi. Ketika itu, beliau memang bercadang untuk ke Kota Bharu untuk membuat pesanan beberapa ekor ayam untuk keperluan majlis berkenaan yang dijadualkan akan diadakan pada keesokannya.

Dalam suasana berkenaan, beliau dengan jelas dapat melihat lembaga yang beliau rasakan 'langsuir' sedang bertenggek dia atas pokok berdekatan cerun, tetapi beliau tidak mempedulikannya.

"Saya pernah diberitahu mama apabila beliau juga melihat bayangan seorang lelaki Inggeris zaman dahulu bertubuh sasa. Bentuk fizikalnya agak tinggi, berambut panjang dan berpakaian putih. Rupanya tidak begitu jelas sedang melangkah ke arah biliknya", jelas Saiful Bahari.

Sementara itu, menurut Nur Hazwani, 24, kakak Saiful Bahari seorang guru di Sekolah Kebangsaan Guchil, Kuala Krai yang masih dalam pantang selepas bersalin ingin berkongsi cerita tentang pengalaman seorang warga emas yang juga jirannya dikenali sebagai Mak Su yang sering berkunjung ke rumahnya memberitahu, beliau sering melihat beberapa kanak-kanak bunian sedang mandi di sebuah anak sungai di kawasan kaki bukit tersebut. Kawasan yang dimaksudkan itu adalah di sebatang selekoh berdekatan dengan sebatang pokok dan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), turut didakwa sebagai penempatan bunian sejak dulu lagi dan kejadian misteri di situ masih lagi berlaku sehingga kini, namun keluarganya tidak mengambil kisah sangat tentangnya.

Justeru, menurut Saiful Bahari dan kakaknya itu menganggapkan, gangguan yang sering dialaminya sebelum ini tidak melemahkan semangat mereka untuk terus tinggal di rumah itu. Walau kerap kali melihat lembaga berpakaian putih sering mundar-mandir dalam rumah dan di atas pokok di hadapan rumah mereka, namun mereka buat-buat tidak peduli sahaja. Akhirnya, gangguan yang dianggap menakutkan itu tidak lagi berlaku hari ini dan mereka kini dapat menjalani kehidupan tanpa sebarang gangguan dari makhluk halus tersebut.    



Saiful Bahari A.Bakar ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

 Nurul Hazwani dan adik perempuannya turut alami pengalaman menyeramkan di rumah ini.

Kadang-kadang jelmaan lembaga berkeliaran dalam rumah ini.

Jelmaan lembaga seperti orang Inggeris sering wujud di sini.

Langsuir sering bergayut dan bertenggek di atas pokok ini.

Dikatakan mayat mangsa bunuh dicampak ke dalam cerun ini.

 Laluan masuk ke rumah Saiful Bahari iaitu kawasan selekoh dan pencawang TNB ini adalah penempatan bunian.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan