RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 30 November 2011

Misteri Jambatan Tok Rendah


MISTERI JAMBATAN TOK RENDAH

KOTA BHARU, KELANTAN:  KAMPUNG SEBERANG LATING yang terletak di daerah Mulong, Kota Bharu, Kelantan adalah perkampungan yang masih lagi dilitupi sebahagian semak-samun dan hutan tebal walaupun terdapat di beberapa kawasan telah dibangunkan kerana kepentingan kepentingan penduduk. Namun, tanpa disedari ramai bahawa kampung berkenaan juga amat tersohor dengan kisah-kisah misteri kerana dikatakan berhampiran Jambatan Tok Rendah itu wujudnya makam Panglima Raja Jembal yang memerintah Kelantan dalam kurun ke-16 dahulu.

Menurut penduduk-penduduk dari kampung terbabit bahawa laluan berkenaan memang selamat dilalui, namun kebanyakan pemandu yang belum pernah menggunakan atau melalui kawasan jambatan di situ pastinya akan berasa kurang selesa dan amat menyeramkan. Ini kerana, dakwaan beberapa orang penduduk dari kampung berkenaan tidak menolak tentang wujudnya makhluk halus yang menjelma dalam rupa haiwan dari arah makam dan sungai berhampiran, malah kadang-kadang jelmaan itu akan menjadikan laluan terbabit sebagai tempat makhluk itu berehat.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, adik Fairuz Hisham Zulkifli, 16, atau Hisham dari Kampung Seberang Lating dekat sini berkata, beliau memperolehi cerita berkenaan daripada penduduk asal kampung berkenaan yang mendakwa, pada tahun 2006 memang terjadi jelmaan ular yang agak besar berhampiran dengan Jambatan Tok Rendah itu. Di kawasan itu juga terdapatnya deretan pohon buluh di samping tumbuh-tumbuhan lain yang hidup subur kerana adanya sungai yang mengalir saban tahun.

"Sering terjadi ular besar itu muncul dari arah rumpunan buluh berdekatan kubur di tepi sungai itu. Rupa ular itu bercorak batik seperti ular sawa dan panjangnya kira-kira 15 meter.

"Ular itu akan menyusur perlahan-lahan lalu melunjurkan badannya yang besar merintangi sebatang jalan berdekatan dengan jambatan berkenaan", ujarnya menceritakan pengalaman daripada penduduk asal kampung terbabit.

Tambah Hisham lagi, ular itu kerap kali akan muncul waktu malam sahaja tetapi tidak di siang hari. Namun, beliau tidak mengetahui jenis ular itu tetapi dari apa yang didengari daripada beberapa orang warga emas itu menyatakan jelmaan ular itu adalah makhluk halus dari bangsa jin. Beliau memang percaya kerana amat mustahil dikatakan ular biasa jika dilihat kepada ukuran lebar dan panjangnya. Apatah lagi, ia hanya muncul pada waktu malam sahaja. Malah, jika kena dengan masanya, pengguna laluan tersebut pasti berpeluang bertembung dengannya.

Sementara itu, adik Hakimi Fazrul Mat Nawi, 14, atau Kimi turut mencelah tentang beberapa kejadian agak luar biasa dan penuh misteri sebagaimana yang diberitahu oleh datuk dan bapanya. Menurutnya, memang terdapat dua buah kubur panglima berhampiran sungai itu dan mereka adalah bersaudara. Mereka sebenarnya meninggal dunia kerana beradu kekuatan dan dari situlah kawasan itu dianggap keras.

"Bukan jelmaan ular sahaja, kadang-kadang ada juga jelmaan beruk. Suatu ketika, semasa abang saya sedang memotong rumput berhampiran jambatan, dia terserempak dengan jelmaan beruk aneh sedang bertenggek di atas sebatang pohon durian sedang memerhatikan ke arahnya. Malah atuk juga pernah bercerita, kadang-kadang ular dan selepas itu beruk pula menampakkan dirinya silih berganti", katanya.

Tambahnya lagi, setakat ini jelmaan makhluk halus dalam rupa binatang itu belum pernah mengganggu penduduk di kampung terlibat tetapi sekadar memperlihatkan bentuk fizikalnya sahaja untuk menunjukkan kepada manusia bahawa makhluk halus dari keturunan jin adalah penghuni asal yang berkampung di kawasan berkenaan. 
   
Fairuz Hisham Zulkifli atau Hisham.

Hakimi Fazrul Mat Nawi atau Kimi.

Kimi menceritakan misteri Jambatan Tok Rendah kepada Wartawan RELATIF.

Seekor ular besar pernah merintangi Jambatan Tok Rendah ini.


Dari arah sungai berdekatan Jambatan Tok Rendah, seekor ular jelmaan makhluk halus muncul.

Inilah makam Panglima Perang Raja Jembal dua saudara dikatakan punca wujudnya pelbagai jelmaan haiwan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan