RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 27 November 2011

Misteri Terkena Santau


MISTERI TERKENA SANTAU

BACHOK, KELANTAN JIKA tiada angin, masakan pohon boleh bergoyang dengan sendiri. Begitulah jika berlaku sesuatu kejadian, semestinya ada sebab dan musabab tertentu sehingga berlakunya perkara sedemikian. Adalah amat mustahil wujudnya sesuatu musibah sehingga menyebabkan sakit kemudiannya didapati sihat serta merta jika tiada punca dan penyebabnya.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang mangsa, Marzuki Riffin, 40, dari Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan berkata, secara tiba-tiba dia diserang cirit-birit dan muntah walaupun pada awalnya beliau dalam keadaan sempurna sihat.

Katanya, ketika kejadian beliau sedang melaksanakan kerjanya untuk menyiapkan beberapa lot rumah kediaman sebagai buruh binaan di Sungai Dua, Kandis, Bachok. Secara tiba-tiba beliau diserang cirit-birit yang agak luar biasa sejak pagi sehingga malam. Seingatnya, pada hari itu beliau tidak tersilap makan yang boleh menyebabkan perutnya meragam secara tiba-tiba.

Memandangkan keadaan cirit-biritnya dikatakan agak teruk, beliau bergegas pulang ke rumah. Agak aneh juga, apabila sampai di rumah, penyakit cirit-biritnya itu sembuh dengan serta-merta. Namun, selang beberapa minit badannya kembali berasa seram sejuk yang amat sangat sehingga ke tulang. Akibat sejuk yang semakin melarat itu menyebabkan tangannya berbintil-bintil malah badannya semakin menggigil menahan sejuk.

Bimbang sesuatu kejadian buruk berpanjangan dan boleh mengganggu kesihatannya, beliau bergegas ke klinik swasta berhampiran. Berikutan pihak klinik tidak dapat memberikan keputusan terhadap penyakitnya, pihak doktor merujuknya ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (2), di Kota Bharu pula. Namun, sesuatu kejadian pelik juga berlaku apabila doktor yang merawatnya memberitahu beliau tidak mengalami sebarang penyakit. Akhirnya, tepat jam 4.00 petang pada hari itu beliau dibenarkan pulang.

"Selang dua hari saya berada di rumah, dengan tiba-tiba tubuh saya menjadi seram sejuk dan gementar, mata menjadi cengkung dan suhu badan secara tiba-tiba menjadi panas, dengan kata lain saya mengalami demam mengejut.

"Atas desakan isteri, saya dinasihatkannya ke hospital dengan segera, bimbang sesuatu kejadian penyakit yang memudaratkan. Namun, saya enggan pergi kerana tidak berdaya untuk bangun", cerita Marzuki sambil menggeleng-geleng kepala.

Kata Marzuki, pada hari yang sama ramai jiran tetangga berkunjung ke rumahnya dengan mengadakan majlis membaca surah Yassin beramai-ramai. Dalam keadaan demikian, beliau berasa perutnya memulas-mulas untuk mengeluarkan isinya. Malah secara tidak diduga juga tekaknya berasa loya hendak mengeluarkan isi dalam perut lalu bergegas ke tandas. Setelah muntah, beliau berasa sihat kembali dan tidak lagi memulas seperti sebelumnya.

Setelah beliau pulih dan dapat bangun, Marzuki kemudiannya bergegas ke Hospital Besar Bachok untuk mendapatkan rawatan bagi mengenal pasti masalah kesihatan dan punca penyakit yang dialaminya. Walau bagaimanapun, pihak hospital berkenaan terpaksa merujuk beliau ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (2), Kota Bharu sebagaimana pengalaman pertamanya sebelum ini.

Di wad kecemasan hospital berkenaan, beliau ditahan selama seminggu dan pihak hospital berkenaan mendakwa beliau mengalami demam kura-kura. Agak hairan juga, sepatutnya demam kura-kura hanya dialami oleh individu yang sering ke bukit-bukau dan hutan belantara saja. Namun, dakwaan pihak doktor yang mengesyakki demam beliau itu berpunca dari aktiviti di bukit memang tidak masuk akal, lantas beliau menafikannya. Selepas itu, pihak hospital mengambil contoh darah beliau untuk dianalisis dan hasilnya beliau bebas dari penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Selang beberapa minit, beliau agak terkejut dengan dakwaan doktor kononnya beliau ada memelihara makhluk halus pula melihatkan keadaan matanya yang masih cengkung, namun beliau menafikannya. Disebabkan tidak mendapat maklumbalas yang sewajarnya, keesokannya beliau dipindahkan ke Wad 15 di Tingkat 5. Di wad tersebut, beliau kemudiannya ditahan selama seminggu pula. Ini kerana, pihak doktor yang merawatnya ingin melihat keadaan kesihatan beliau disebabkan suhu badannya agak tinggi. Tindakan seterusnya akan diberikan memandangkan beliau masih lagi dalam keadaan demam.

Dalam pada itu, semasa masih terlantar di wad, beliau dimaklumkan oleh keluarganya tentang peristiwa misteri berlaku apabila rumahnya pula seperti dihentak tapak kaki beberapa kali dan selepas itu bunyi seperti pasir ditabur di atas bumbung rumahnya. Malahan ketika salah seorang anaknya masuk dan ketika ingin melelapkan mata, dengan tiba-tiba anaknya melihat satu bentuk lembaga seperti seorang wanita tua berpakaian putih sedang melangkah perlahan-lahan ke arah tempat anaknya sedang berbaring.

Tambah Marzuki, kesemua ahli keluarganya seramai lapan orang mengalami beberapa peristiwa yang menakutkan silih berganti akibat daripada gangguan tersebut. Bagi menenangkan keadaan sedemikian, seorang bomoh dari kampung berdekatan dipanggil dalam usaha untuk mengekang gangguan yang datang setiap malam itu. Ketika bomoh berkenaan sedang melakukan rawatan terhadap ahli keluarganya, agak hairan juga bahawa beliau yang berada di wad tiba-tiba sembuh dengan serta merta. Peralatan rawatan yang disambungkan ke tubuhnya ditanggalkannya sendiri kerana beliau berasa hendak muntah. Malahan selepas beliau muntah dengan banyaknya di samping berasa lega selepas melepaskan hajat, tubuhnya pulih dan sihat seperti sediakala.

"Sejak pulang dari hospital sehingga sekarang, saya masih dalam keadaan sihat. Namun, saya syakki ada pihak-pihak tertentu cuba melakukan santau terhadap saya dan ahli keluarga yang tinggal di rumah ini. Adalah mustahil saya mendapat sakit serta merta tanpa sebarang sebab", ujarnya dengan nada kesal ekoran sikap segelintir individu yang sanggup melakukan perbuatan khianat yang bertentangan dengan Islam.

Sementara itu, menurut bapa tirinya, Mamat bin Deraman, 66, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat turut mengakui sewaktu makhluk berkenaan bertandang ke rumahnya terutamanya di waktu petang, beliau dapat merasakan dirinya dalam keadaan sejuk dan gementar yang luar biasa. Bahkan ketika beliau ingin mengerjakan solat sekalipun, beliau dapat rasakan seperti ada sesuatu yang cuba menghalang tujuannya itu.

Jelas Pak Mat, ketika anak tirinya itu terlantar di hospital, anak telinganya terdengar bunyi yang jelas sesuatu sedang berjalan dalam sebuah bilik dalam rumahnya. Beliau yang ingin mengetahui punca bunyi agak aneh itu terus menerpa ke arahnya dan ketika itu anak matanya dapat melihat kelibat lembaga sedang melarikan diri darinya.

Bahkan katanya, sewaktu beliau sedang memerhatikan di sekeliling arah bilik berkenaan, ketika itulah beliau terasa seram sejuk dan seumpama diserang ketakutan, lantas Pak Mat melarikan diri dari bahagian dapur rumahnya. Berikutan itu, beliau kemudiannya terdengar pintu rumahnya diketuk bertalu-talu sehingga pintu rumahnya terbuka dengan sendirinya. Setelah pintu itu terbuka, Pak Mat melihat Marzuki, anak tirinya sedang tidur nyenyak. Ketika melihat Marzuki itulah, Pak Mat meraung sekuat hati kerana terkejut yang amat sangat menyebabkannya tidak sedarkan diri. Ini kerana, setahunya Marzuki masih terlantar di hospital, bagaimana pula secara tiba-tiba Marzuki sudah berada di rumah, sudah sembuhkah dia tanpa diberitahu kepadanya terlebih dahulu?

Setelah kembali pulih dari pengsan selama satu jam, beliau mendapati kaum keluarganya termasuk jiran-jiran tetangga sudah memenuhi ruang rumahnya. Tambah Pak Mat, beliau dapat merasakan seperti ada sesuatu yang menggigitnya di bahagian tengkuk dan kakinya menyebabkannya terasa berat untuk bangun, sama ada untuk berpaling ataupun melangkah. Bahana kesakitan masih terasa beberapa hari akibat gigitan makhluk yang mengganggu beliau dan keluarganya di rumah itu. Sehinggalah beliau mendapatkan khidmat Pengamal Rawatan Tradisional, Warisan Pusaka Tok Kenali dari Kota Bharu, Aziz Haji Daud, barulah dirinya dalam keadaan stabil dan tidak lagi terus diganggu.

Katanya lagi, beliau mengesyakki ada pihak-pihak yang irihati dan tidak puas hati dengan kesenangan yang diperolehinya berbanding dengan jiran-jiran yang melakukan sihir dan santau sedemikian. Jika tidak ada pihak yang melakukannya, masakan anak tirinya, Marzuki mengalami cirit-birit  dan muntah yang agak luar biasa sedangkan dia tidak keracunan makanan. Malah dirinya juga turut menjadi mangsa sikap tidak berhati perut pihak yang cuba menjadikannya mangsa cemburu tidak bertempat itu, sedangkan beliau tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, namun sampai hati individu berkenaan ingin menjadikannya sebagai musuh.

Sehubungan dengan itu, beliau serta Marzuki berharap individu yang cuba melakukan sihir serta santau terhadap keluarganya supaya menghentikannya dengan segera. Ini kerana, perbuatan sedemikian tidak memberikan sebarang manfaat menyebabkan syirik terhadap Allah dan sebagai umat Islam perbuatan sedemikian tentunya boleh menjejaskan akidah mereka sendiri. Paling penting nasihat darinya kepada individu terlibat supaya sentiasa mengingati panggilan kematian dan dalam masa yang sama berharap Allah turut memberikan petunjuk ke jalan kebenaran untuk mengelakkan individu terbabit tidak terus terjebak ke jalan kemungkaran.

Marzuki Riffin di Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan.

Mamat Deraman atau Pak Mat.

Aziz Haji Daud atau Abang Aziz ketika mengadakan rawatan.

Abang Aziz melakukan kaedah menghalau gangguan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan: