RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 17 November 2011

Taman Rekreasi Tg. Anis (Rantau Panjang)


TAMAN REKREASI TG. ANIS
(RANTAU PANJANG)

RANTAU PANJANG, KELANTAN: Taman Rekreasi Tengku Anis yang terletak di kawasan seluas empat ekar di Jalan Lebuh raya Pasir Mas - Rantau Panjang, Kelantan adalah sebuah taman rekreasi amat berbeza dengan taman rekreasi yang dibina dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini kerana, taman rekreasi ini diwujudkan oleh gabungan Pihak Berkuasa Tempatan yang diilhamkan sendiri dan telah dirasmikan oleh DYMM Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid pada 27 Jun, 2000. Taman ini kemudiannya telah diserahkan kepada Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).

Di antara beberapa kemudahan yang disediakan di Taman Rekreasi Tengku Anis ini seperti wakaf rehat, kerusi rehat, surau, trek berjogging, taman permainan kanak-kanak serta tandas. Manakala berhampiran dengan taman ini pula terdapat beberapa buah gerai makanan yang menyediakan pelbagai jenis masakan.

Paling unik apabila anda mengunjungi taman rekreasi ini ialah sebuah wakaf rehat utama yang dibina di bawahnya sebuah alur sungai yang tidak ditemui di mana-mana taman rekreasi di tempat lain. Apabila wujudnya alur sungai akan lengkaplah landskap warna apatah lagi sungai juga boleh dianggap sebagai rakan antara angin dan tumbuh-tumbuhan renek yang sengaja ditanam di taman ini untuk menambahkan lagi kecantikan dan keindahan taman itu sendiri.

Walaupun taman rekreasi ini terletak di laluan antara Pasir Mas dan Rantau Panjang, namun pengunjung yang datang ke taman ini memang tidak putus-putus sekalipun di musim kemarau selain cuti mingguan dan cuti sekolah dan turut menjadi tempat persinggahan sementara untuk ke Rantau Panjang dan beberapa destinasi lain yang terletak berhampiran. Ini kerana, selain taman ini menjanjikan keindahan yang didombakan oleh setiap pengunjung, menariknya taman ini seolah-olah memberikan hiburan sebagai halwa telinga apabila pengunjung turut disajikan dengan kicauan burung dan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa.

Dalam hubungan ini, silalah berkunjung ke Taman Rekreasi Tengku Anis sambil menikmati sendiri kehijauan panoramanya yang segar selain dapat menghirup desir angin yang menyegarkan di sebuah taman yang memukau pandangan.

Pintu gerbang Taman Rekreasi Tengku Anis.


Batu asas perasmian.

Padang sebagai tempat riadah.

Wakaf rehat.

Taman permainan kanak-kanak.

Gambar:  Wakaf rehat utama, landskap yang dibina amat menarik.


Kemudahan surau untuk menunaikan solat.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD.SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan