RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 31 Mac 2012

Kampung Ana (Tumpat)


KEHIDUPAN MASYARAKAT
KAMPUNG ANA

TUMPAT, KELANTAN:  KAMPUNG ANA yang terletak dalam daerah ini pastinya terpinggir dari arus pembangunan sekiranya hal yang menyelubungi kebanyakan penduduk di kampung tersebut tidak diberikan perhatian. Ini kerana, walaupun kebanyakan bahagian pedalaman di Kelantan dikatakan telah maju dalam pelbagai aspek, namun kehidupan masyarakat di kampung terbabit seolah-olah diabaikan dan terbeban dengan masalah yang menimpa mereka.

Salah seorang penduduk Kampung Ana yang ditemui Penulis, Mat Rani bin Ismail, 57, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Rani berkata, kebanyakan penduduk di Kampung Ana terdiri daripada bangsa Melayu dan sebahagiannya kaum Siam.

"Saya tidak dapat menjelaskan asal usul Kampung Ana. Ini kerana, ketika saya dilahirkan Kampung Ana telahpun mempunyai nama, orang-orang tua telah memanggilnya Kampung Ana.

"Lagipun, setahu saya arwah moyang saya yang menetap di kampung ini dulupun menyatakan Kampung Ana telahpun wujud. Saya anggarkan, nama Kampung Ana telah wujud sejak lebih 50 tahun lalu", katanya apabila diminta menjelaskan sejarah dinamakan Kampung Ana ketika kunjungan Penulis di kediamannya.

Tambahnya, pada masa dulu hanya terdapat sebuah rumah sahaja di Kampung Ana. Pada masa itu, keadaan keluasan tanah tidaklah banyak sangat, namun apabila diduduki hanya sebuah rumah tentunya dapat diusahakan tanaman sampingan seperti sayur-sayuran dan sebagainya sebagai sumber rezeki. Tetapi jika dibandingkan dengan hari ini, keadaan penempatan di Kampung Ana agak sesak kerana rumah semakin banyak dibangunkan dan kini mencecah 12 buah rumah di Kampung Ana, dengan pembinaan rumah-rumah kediaman terbabit menyebabkan keluasan tanah di kampung berkenaan menjadi sempit.

"Kebanyakan rumah yang dibina di atas satu lot dianggarkan 12 buah yang didiami sekurang-kurangnya 86 orang penduduk dalam satu-satu lot tersebut. Satu lot tanah itu pula kira-kira 900 depa.

"Pada masa dulu sememangnya Kampung Ana adalah kawasan hutan, namun setahu saya ia adalah sawah padi. Peneroka asal yang tidak diketahui namanya tidak pernah menebang atau menebas untuk membangunkan Kampung Ana, namun sawah padi telahpun wujud dan sememangnya sesuai untuk tanaman padi sahaja tetapi tidak sesuai untuk sebarang tanaman lain", ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan rutin harian penduduk-penduduk Kampung Ana terdiri daripada petani sebagai pekerjaan turun-temurun dan tiada kerja lain yang dapat dilakukan di kampung berkenaan. Dalam konteks hari ini, kebanyakan tanah di kawasan Kampung Ana telah diambil alih oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Ana agak tertekan akibat masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan masalah yang dihadapi pada masa dulu, memang keadaan pada waktu itu agak sukar berbanding hari ini. Ini kerana, walaupun tanaman padi tiada lagi di Kampung Ana, namun dari segi pekerjaan hari ini agak tidak membebankan sebagaimana masa dulu. Ini berikutan, kebanyakan anak-anak petani di kampung berkenaan telah memperolehi pendapatan daripada pekerjaan lain yang diperolehi oleh mereka.

"Kampung Ana tidak menjanjikan sebarang pekerjaan buat penduduk-penduduknya selain sebagai petani. Kalau ada kerja-kerja kampung sekalipun, bersawah padi adalah pekerjaan turun-temurun di Kampung Ana.

"Hanya yang dapat ditanam di Kampung Ana ialah padi, usaha menanam sayur tidak dapat dilakukan kerana bukan sahaja tanah di Kampung Ana tidak sesuai untuk tanaman sayur, lebih menyedihkan apabila tiada tempat atau tanah untuk mengusahakan hal tersebut", ujarnya dengan nada agak sedikit sedih dengan perkembangan itu.

Menyorot tentang peralatan membajak sawah padi pada masa dulu sebagai salah satu pekerjaan utama di Kampung Ana, beliau berkata, kebanyakan peralatan yang digunakan oleh pesawah padi di kampung berkenaan adalah dengan bantuan kerbau dan lembu. Beliau difahamkan, keadaan masyarakat di Kampung Ana pada waktu itu memang agak susah, misalnya untuk mendapatkan bekalan ikan sebagai lauk-pauk amat sukar apatah lagi untuk menikmati ikan laut perlukan wang, dengan itu kebanyakan dari mereka menangkap ikan air tawar secara percuma di sebatang sungai di kampung berkenaan.

"Pada masa dulu, tanaman padi tidak dijual sebaliknya ditukar dengan ikan kerana nilai mata wang pada ketika itu adalah atas pertukaran barangan makanan. Jadi, padi terpaksa dibawa ke bandar Tumpat untuk ditukarkan dengan ikan, tidak sebagaimana hari ini.

"Masalah di kampung ini turut dibebani apabila banjir melanda akan memusnahkan segala yang ada di kampung ini", ujarnya.

Katanya, hari ini kebanyakan penduduk tidak dapat menanam padi berikutan tanah di kampung terbabit telah diambil alih oleh pihak Kada pula. Walaupun terdapat sesetengah penduduk yang dapat menjelaskan hasil tanah, namun kesemua itu berikutan penduduk terbabit masih lagi mempunyai tanah, jika tanah telah tiada bagaimana hasil dapat dijelaskan sebagaimana yang berlaku oleh kebanyakan penduduk di Kampung Ana hari ini.

Berikutan tidak mempunyai tanah untuk mengusahakan sesuatu sebagai mata pencarian selagi terdaya tentunya tidak dapat dilakukan. Kerana itu, jika keluarga terbabit ingin mendapatkan pekerjaan perlulah mereka ke bandar mencari pekerjaan sebagai tukang rumah dan sebagainya. Kesukaran semakin mencengkam, contohnya jika orang tua dahulu mempunyai tanah tidak sampai satu ekar, sedangkan anak seramai 10 orang, tentunya tanah tiada lagi dan bagaimana ingin mengusahakan tanah tersebut.

"Jika salah seorang menjual sebahagian tanah tersebut, duit yang diperolehi dibahagikan sama rata, yang ada cuma bekas tapak rumah sahaja. Apatah lagi, tapak bekas rumah saya sekarang ini pun sudah menjadi 12 buah rumah, jadi tidak ada lagi tempat atau kawasan yang dapat dibangunkan.

"Kalau ada anak-anak yang telah meningkat dewasa dan telah berkahwin tidak lagi dapat menetap di atas tanah ini, jadi mereka terpaksa membeli tanah dan menetap di tempat lain", katanya.

Apabila ditanya tentang sebab-sebab pengambilan tanah yang dimaksudkan, beliau berkata, pada masa dulu bagi keluarga beliau yang tidak mempunyai tanah terpaksa menanam padi kemudian kita berhasrat untuk melakukan perkara yang sama dengan tanah orang lain tidak dapat dilakukan. Katanya, hanya yang boleh dibuat setakat dua ekar dengan modal RM500 sahaja, yang lain pastinya tanah terbiar.

"Sebab-sebab lain tentang hal itu, kebanyakan golongan muda hari ini agak malas untuk mengusahakan tanaman padi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas yang masih meneruskan tradisi tersebut.

"Misalnya kalau mengikut usia saya sekarang, nak kerja sebagai buruh binaan sudah tidak larat berbanding dengan golongan muda, jadi golongan dewasa dan warga emas yang masih mengusahakan tanaman padi.

"Disebabkan tiada usaha kerana dilihat tanah terbiar, akhirnya tanah berkenaan terpaksa diambil alih untuk diusahakan projek tertentu yang boleh memberikan manfaat terhadap tanah terbabit", jelasnya.

Tekannya, dalam Kampung Ana terdapat 300 buah rumah. Manakala penduduk yang mengusahakan tanaman padi hanya 20 buah rumah sahaja. Dengan demikian menyebabkan tanah selebihnya itu menjadi terbiar, adi akhirnya kerajaan terpaksa mengambil tanah terbiar itu supaya dapat diusahakan.

"Akibat pengambilan tersebut menyebabkan rezeki segelintir penduduk di kampung ini memang tiada. Tetapi rezeki itu agak luas dan tidak semestinya terus pupus, jadi keluarga saya memperolehi rezeki melalui pekerjaan lain.

"Walau bagaimanapun, sebuah kawasan yang didiami oleh kaum Siam, mereka tidak membenarkan pihak Kada untuk mengambil alih tanah yang dimaksudkan, justeru Kada tidak mengambilnya, kerajaan pusat tidak memaksa", katanya.

Justeru, mungkin ada sinar baru yang dapat memancarkan cahaya ke Kampung Ana sebagaimana kampung-kampung yang lain di Kelantan yang tentunya mempunyai masalah yang sama, namun jika ada usaha tentunya beroleh kejayaan. Adalah wajar, masyarakat di kampung terbabit bangun dan pihak kerajaan juga diminta tidak terlepas pandang supaya penduduk di Kampung Ana tidak terus tersisih dari arus pembangunan negara.

Mat Rani bin Ismail atau Pakcu Rani.

Pakcu Rani ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Sawah padi yang diambil alih.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Terima kasih pada penulis..saya sebagai salah seorang pengusaha di kawasan ana ingin menerangkan serba sedikit tentang objektif kami dikampung Ana.
    Syarikat Am Jelapang Padi bertujuan untuk mengabungkan belia2 daripada Kelantan dan Kedah,
    Pihak syarikat akan mengambil aligh 5 org belia dari kelantan bagi satu mini estet, fungsinya seperti berikut:-
    1)Belia Kelantan yg beminat untuk mengusahakan projek tanaman padi ini akan di ajar teknik2 cara pengurusan yang betul.
    2)Sesiapa yg berjaya mengikuti kursus selama 1 musim akan diberikan 5 ekar setiap peserta.

    untuk mengetahui dengan lebih lanjut maklumat dan cara2 menyertai projek ini sila hubungi
    En Mohd Hisyam di talian 014-8242081 / En Nizam 017-4045477

    Kami mengalu-alukan belia2 dari daerah tumpat untk bersama kami menjayakan projek pemulihan tanah bermasalah dikawasan tumpat.

    BalasPadam