PERUSAHAAN MEMBUAT BOT
TUMPAT, KELANTAN: MEMBUAT bot bukan suatu kerja yang dianggap senang sekalipun dilihat nampak mudah. Kerja-kerja seumpama ini perlu dibuat dengan tekun, penuh yakin dan perlukan tumpuan yang sebaiknya. Apatah lagi perusahaan berkenaan bukan sahaja memerlukan tenaga yang mahir dan mencukupi, namun paling penting ialah perbelanjaan untuk menyediakan peralatannya sehingga kerja-kerja berkenaan selesai adalah dianggap rumit juga perlu diberikan perhatian oleh setiap pengusahanya.
Di negeri Kelantan, lazimnya kerja-kerja membuat dan membaikpulih bot banyak dilakukan oleh pengusaha Melayu yang kebanyakannya turut dibantu beberapa kenalan selain penduduk di kawasan terbabit. Namun, amat jarang ditemui kerja-kerja berkenaan diusahakan sendiri oleh kalangan ahli keluarga khususnya adik-beradik sebagai kesinambungan yang pernah diusahakan oleh orang tua mereka sendiri sejak dulu.
Salah seorang pengusaha bot yang ditemui Wartawan RELATIF, Zaffri bin Mahat, 40, dari Kampung Tanjung Che Mah, Tumpat, Kelantan berkata, pembuatan bot berkenaan bermula sejak zaman arwah bapanya sekitar tahun 1930. Malah setelah kematian bapa yang disayangi sejak 15 tahun lalu, beliau bersama adik-beradiknya yang seramai enam orang terpaksa mengambilalih kepakaran dan kemahiran dengan meneruskan tradisi berkenaan sehingga hari ini. Tujuannya adalah supaya tradisi membuat bot tidak ditinggalkan begitu sahaja kerana terdapat manfaatnya terutamanya buat ahli keluarga mereka.
"Sejak kematian bapa 15 tahun lalu, kami adik-beradik yang mewarisi kepakaran dan kemahiran arwah dalam perusahaan membuat dan membaikpulih bot ini. Sehingga hari ini, kami banyak menerima tempahan dalam kerja-kerja ini", ujar Zaffri ketika ditemubual Penulis di kediamannya yang telah telah dijadikan sebuah bengkel.
Katanya, dalam usaha untuk menghasilkan bot perkara utama adalah penggunaan kayu yang agak banyak dan tahan lama seperti kayu cengal. Beliau terpaksa mendapatkan bekalan kayu tersebut di Kuala Terengganu yang mana kayu ini dibawa menggunakan lori muatan.
Menurutnya, setakat ini beliau serta adik-beradiknya hanya menumpukan dalam pembuatan bot kecil kerana perbelanjaan untuk menghasilkan bot berkenaan memerlukan kos yang rendah berbanding bot laut dalam yang didapati kosnya agak tinggi.
"Untuk menghasilkan sebuah bot kecil memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000. Manakala sebuah bot besar untuk kegunaan laut dalam memerlukan kos RM3 juta. Ini kerana, untuk menghasilkan sesebuah bot memerlukan penggunaan kayu cengal kerana kayu cengal agak kukuh dan tahan lama di mana perbelanjaan kayu ini sahaja mencecah kira-kira RM9,000 satu tan. Sementara itu, bagi sebuah bot laut dalam beratnya di antara 200 hingga 300 tan", katanya.
Tambahnya, pada masa dulu beliau pernah memberikan kontrak membuat bot kepada orang lain. Namun, disebabkan harga barangan yang diperlukan pada masa itu tidak dapat dinilai, maka hal tersebut terpaksa diambil balik. Manakala dari segi ketahanan, lazimnya usia bot dapat bertahan selama 50 tahun, tetapi apabila pernah merempuh batu karang tempohnya menjadi pendek. Misalnya jika bot tersebut hanya berlegar di kawasan kuala pastinya akan tahan lebih lama lagi.
Menurut Zaffri, bagi setiap bot purata dapat disiapkan bagi sebuah bot memakan masa sehingga tiga bulan. Keadaan ini berdasarkan kepada barangan untuk membuatnya, kalau barangan tersebut didapati banyak yang rosak, tempoh masa siap dibaikpulih mungkin lebih dari itu tetapi jika sebaliknya hanya memakan masa tiga hari sahaja. Sebaliknya, bagi bot besar pula memerlukan masa siap sekurang-kurangnya selama dua tahun.
Sambungnya, beliau tidak nafikan membuat bot bukan sesuatu yang senang bahkan amat sukar, kerana itu adalah pengalamannya, bukan sahaja memerlukan tenaga yang agak ramai dan sebagainya. Apatah lagi dalam usaha membentuk kayu menjadi bulat sebagaimana yang dapat dilihat dalam kebanyakan bot sememangnya amat sukar dilakukan.
"Misalnya kayu yang digunakan untuk membuat bot perlu dibentuk hampir sama dengan membuat perabot rotan yang mana kayu-kayu tersebut hendaklah dipanaskan terlebih dahulu untuk dijadikan badan bot. Lazimnya jika menggunakan api, akan menjadikan kayu-kayu dapat dibentuk dengan mudah, tetapi perlukan pemerhatian dan ketekunan yang tinggi", jelasnya.
Katanya, bot yang digunakannya sekarang dapat dilayarkan sejauh 200 batu. Ini bermakna kalau diukur jaraknya sehingga ke sempadan Indonesia iaitu perjalanan yang dilalui mencecah masa selama dua hari dan dua malam.
"Bot biasa atau bot kecil ini memerlukan tenaga awak-awak seramai enam orang, bermakna seorang tekong dan lima awak-awak.
"Manakala bagi bot besar pula memerlukan lebih lima orang awak-awak terutamanya bagi pukat tarik. Tetapi bagi pukat jerut, memerlukan seramai 25 orang awak-awak", jelasnya.
Apabila ditanya tentang bot, setelah badan dan bahagian-bahagian lain dalam bot didapati telah siap sepenuhnya, bagaimana pula halnya dengan enjin bot tersebut. Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa, beliau hanya menumpukan dalam pembuatan bot sahaja tetapi berhubung dengan penyediaan enjinnya dilakukan oleh pihak lain yang mahir tentangnya. Ini bermakna, tempat enjin dalam sesebuah bot itu memang disediakan oleh pihaknya, tetapi berhubung dengan pemasangan enjinnya dibuat oleh pihak yang lain pula.
Selain itu, apabila diminta membicarakan tentang hasil tangkapan yang lazimnya dilakukan oleh nelayan-nelayan tempatan terutamanya dari Tumpat sendiri, beliau berkata kebanyakan nelayan dari daerah berkenaan akan keluar rumah sehingga memakan masa sehingga tujuh hari. Kebiasaannya muatan hasil tangkapan yang diperolehi sehingga 10,000 tan.
"Berat bagi sesebuah kapal dan bot lebih kurang 15 tan, manakala bagi bot kecil sekurang-kurangnya lebih satu tan. Lazimnya, bot kecil ini dianggapkan oleh kebanyakan penduduk kampung sebagai "bot ke laut hari" yang mana pergi pagi dan pulang tengah hari.
"Manakala bot yang beratnya 15 tan, kebanyakan nelayan keluar rumah mencecah masa selama seminggu sekali. Bermakna, kalau nelayan terbabit keluar pagi Sabtu, mereka akan pulang ke rumah pada hari Sabtu yang berikutnya dan begitulah rutin harian setiap nelayan yang menggunakan bot 15 tan tersebut", katanya.
Menurutnya lagi, setiap nelayan yang turun ke laut berpandukan kepada keadaan cuaca. Jika keluar dari rumah dalam keadaan cuaca yang baik dan tenang, tetapi apabila sampai sehingga 50 batu tiba-tiba ribut melanda, nelayan terbabit terpaksa berpatah balik untuk mengelakkan sesuatu tragedi yang tidak diingini.
Zaffri bin Mahat boleh dihubungi melalui talian:
012-9885797
Zaffri bin Mahat.
Zaffri bin Mahat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel perusahaan botnya.
Bot ini berusia lebih 50 tahun tetapi masih boleh digunakan, hanya perlukan sedikit baikpulih.
Di antara bahagian bot yang didapati rosak.
Bot baru dalam proses menyiapkannya.
Inilah peralatan yang digunakan untuk membuat bot.
Wartawan RELATIF bergambar kenangan bersama tenaga kerja membuat bot.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
boleh saya mendapatkan no tel encik zaffri untuk kajian saya ...
BalasPadamNo. Telefon beliau telah dipaparkan di perenggan akhir artikel ini. Saya tak pasti no berkenaan boleh digunakan lagi atau tidak kerana no itu sahaja yang diberikannya. Puan cubalah.
BalasPadamno terbaru xada ke?maju bangsa ku
BalasPadam0105335797 no tel zaffri terbaru
Padam