RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 2 Mac 2012

Kg.Che Him (Thailand)


KEHIDUPAN MASYARAKAT KG. CHE HIM

TAK BAI, THAILAND:  KAMPUNG CHE HIM yang terletak dalam daerah Tak Bai (Taba), Thailand adalah sebuah perkampungan Melayu yang sekadar dipisahkan dengan Malaysia di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan melalui perhubungan sungai berjarak 300 meter. Sejumlah besar penduduk di kampung berkenaan adalah terdiri daripada bangsa Melayu beragama Islam dan rata-ratanya bertutur dalam dua bahasa iaitu bahasa Siam dan dialek Kelantan. Oleh kerana mereka masih mampu bertutur dalam loghat Kelantan akan memudahkan segala urusan terutamanya dengan para penduduk dari daratan sebelah sini yang sering bertandang ke tempat itu sama ada untuk urusan membeli barangan dan hubungan kekeluargaan.

Berikutan Kampung Che Him, Tak Bai sekadar dipisahkan oleh sebuah sungai melalui jeti utama dari Pengkalan Kubor yang menghubungkan Jabatan Imigresen Kelantan dengan Jabatan Imigresen, Thailand, maka laluan berkenaan dianggap laluan tersohor yang disahkan oleh kedua-dua buah negara berjiran dan rata-ratanya bagi kedua-dua penduduk yang cintakan keamanan dan keharmonian akan menggunakan laluan berkenaan untuk berulang-alik melalui perkhidmatan kapal penumpang (tongkang) dengan tambang sebanyak RM2 seorang.

Menariknya apabila anda ke sana, layanan masyarakat di situ amat mesra sebagai rumpun Melayu yang masih unggul yang cintakan keharmonian dengan menganggap Islam itu sebagai agama persahabatan. Dengan yang demikian, sebagai pelancong kita tidak akan teringat lagi tragedi Selatan Tak Bai yang tercetus beberapa tahun lalu. Setibanya anda di Jeti Tak Bai itu, anda akan disambut oleh sekumpulan penunggang bermotosikal yang menawarkan khidmat menghantar ke destinasi yang ingin dituju selain perkhidmatan kenderaan awam berwarna biru dan hijau yang siap menunggu kedatangan penumpang dan pelancong.

Penulis yang disambut baik sebagai pelancong yang dihargai dari Malaysia daripada beberapa penduduk di Jeti Tak Bai itu kemudiannya dibawa ke kediaman Ahmad bin Yaacob, 49, yang menetap di Kampung Che Him sejak tahun 1990. Masyarakat di kampung itu yang begitu ramah memanggil namanya secara ringkas 'Abang Mat' dan kunjungan Penulis ke kampung berkenaan adalah sekadar untuk mengetahui kehidupan semasa masyarakat di Kampung Che Him tersebut.

Menurut Abang Mat, kebanyakan penduduk Melayu di situ akan bertutur dalam bahasa Siam apabila bertemu sesama mereka dan akan melayani setiap tetamu dari Kelantan dengan dialek Kelantan. Manakala anak-anaknya sendiri tidak begitu mahir bertutur dalam dialek Kelantan tetapi amat fasih bertutur dalam bahasa Siam, namun baginya sering menggunakan kedua-dua bahasa tersebut terutamanya apabila menyambut kunjungan Penulis.

Menceritakan tentang kehidupan dan rutin harian penduduk-penduduk Kampung Che Him, pada masa dulu kebanyakan penduduk kampung berkenaan terdiri daripada golongan nelayan seperti nelayan kecil serta nelayan laut dalam. Bagi nelayan kecil, mereka menangkap ikan di sungai-sungai dan muara sungai serta kawasan pinggir pantai. Manakala bagi nelayan yang mampu berdikari dan mempunyai kelengkapan seperti kapal besar akan menangkap ikan di kawasan laut dalam.

Selain itu, bagi yang mampu membeli dan mengemudi kapal penumpang (tongkang), mereka akan menjadikannya sebagai kapal pengangkutan awam dengan mengutip tambang terutamanya kepada penumpang-penumpang dari sempadan sebagai salah satu sumber pendapatan harian.

Manakala bagi golongan yang mempunyai van sendiri akan menjadikan kenderaan tersebut sebagai kenderaan awam untuk membawa pelajar-pelajar ke sekolah yang letaknya di bandar besar seperti Narathiwat dalam jarak 8 kilometer sebagai pekerjaan sampingan yang boleh menambahkan pendapatan. Mereka akan mengambil tambang di antara 50 sen sehingga 10 baht (RM1) untuk seorang secara pergi dan balik. Malahan bagi ibu bapa yang mempunyai kenderaan sendiri akan menghantar anak-anak mereka sendiri ke sekolah.

Hari ini, apabila dunia semakin maju apatah lagi dengan wujudnya konsep negara berjiran seperti Malaysia (Kelantan), kebanyakan perusahaan di Kampung Che Him telah berkembang pesat seperti pembuatan kain tudung. Sasaran utama jualan kain tudung ini adalah kepada pembeli-pembeli dari Kelantan yang sering ke Kampung Che Him atas urusan perniagaan mahupun kekeluargaan. Namun, perolehan pendapatan yang dianggap paling lumayan di Kampung Che Him sekarang ialah perniagaan kain tudung, barangan runcit berbanding kerja-kerja lain.

Dari konteks perniagaan, kebanyakan peniaga-peniaga di Kampung Che Him memperolehi pendapatan sehari sebanyak 200 baht (Thailand) bersamaan RM20 (Malaysia). Selain itu, kebanyakan penduduk di Kampung Che Him bekerja dengan mengambil upah membelah ikan bilis.

Sementara itu, terdapat ramai kakitangan awam yang memperolehi pendapatan dari kerajaan seperti guru, kastam, imigresen dan sebagainya. Bagi graduan yang keluar universiti lantas memperolehi sebagai penjawat awam, gaji permulaan sebanyak 2,000 baht atau RM800. Pendapatan ini akan sentiasa meningkat berdasarkan kepada kemahiran seseorang penjawat awam itu. Berbeza di Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah layak untuk memohon sebarang jenis pekerjaan. Namun, di Kampung Che Him sijil SPM itu adalah STPM iaitu dalam Tingkatan Enam. Bermakna, jika seseorang pelajar itu memperolehi sijil SPM masih belum layak untuk memperolehi sebarang pekerjaan di jabatan kerajaan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan pelajar STPM yang dibantu kerajaan untuk memenuhi beberapa jawatan khusus dari setahun ke setahun seperti di hospital. Pendapatan di sini juga dikira satu tahun ke satu tahun. Kalau sekiranya jawatan berkenaan masih wujud, pekerja terbabit dibolehkan untuk meneruskan tugasnya di tempat berkenaan, tetapi jika jawatan berkenaan tidak lagi wujud, khidmat pekerja terbabit tidak akan disambung lagi. Berbanding jika pekerja terbabit adalah lulusan universiti atau pusat pengajian tinggi akan mendapat penghormatan daripada pihak kerajaan.

Namun, terdapat beberapa penduduk di Kampung Che Him yang mempunyai lulusan universiti yang telah memperolehi pekerjaan tetapi masih ada yang belum mendapat tawaran di dalam sektor awam terbabit.

Menurut Ahmad Yaacob, terdapat tiga buah sekolah di Kampung Che Him yang jaraknya dari rumah lebih dari satu kilometer, justeru mereka menunggang motosikal sendiri ke sekolah. Sementara sekolah paling jauh yang letaknya di Tak Bai yang jaraknya kira-kira lima kilometer. Di antara tiga buah sekolah tersebut meliputi sekolah tadika, sekolah rendah (sehingga Kelas 6) dan sebuah sekolah menengah.

Menyentuh tentang masalah pengangguran yang sering dialami oleh kebanyakan negara, Kampung Che Him juga tidak terlepas dari beban tersebut. Menurutnya, masalah pengangguran amat sukar diatasi dan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus, masalah pengangguran wujud di Kampung Che Him.

Punca pengangguran di kalangan muda mudi berdasarkan kepada beberapa sebab seperti terpengaruh dengan masalah bahan terlarang seperti penagihan najis dadah. Sebabnya, jika golongan remaja mempunyai pelajaran mereka tentunya dapat berfikir dengan matang bahawa penglibatan dengan gejala dadah misalnya boleh mengundang risiko, jadi jika remaja tidak berpelajaran akan mudah terjebak ke kancah yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri. Selain kurangnya ilmu yang mendorong remaja terjebak dengan mengambil pil-pil yang mengkhayalkan, masalah pergaulan bebas juga menjadi suatu hal yang amat sukar diatasi.

"Masalah golongan remaja atau kanak-kanak terbiar setakat ini di Kampung Che Him belum berlaku lagi dan saya pun tidak pernah mendengar tentangnya. Ini disebabkan keprihatinan kerajaan dalam menangani golongan berkenaan, kerana mereka adalah sebagai aset negara di masa akan datang", katanya.

Sambungnya, dari segi bantuan kerajaan pula tidak dilupakan terutamanya kepada warga emas. Kerajaan banyak menyalurkan dan mengagih-agihkan bantuan bulanan khususnya kepada warga emas dan golongan berkenaan memperolehi 500 baht (RM50) sebulan. Bantuan seumpama ini mula diperkenalkan oleh pihak kerajaan sejak lebih setahun yang lalu bagi meringankan beban golongan terbabit kerana terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan global.

"Selain itu, bantuan kerajaan kepada golongan fakir dan miskin seperti membina sebuah rumah untuk satu keluarga yang daif, ini termasuklah bantuan kewangan berdasarkan masalah yang dihadapi oleh golongan terbabit.

"Manakala bantuan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, itik serta ayam turut tidak dilupakan kepada golongan yang layak. Setakat ini, sudah agak ramai yang telah menerimanya", ujar Ahmad Yaacob.

Tambahnya, ketika negara diancam atau dilanda banjir tsunami pada tahun 2004 dulu, sehingga hari ini tiada lagi banjir yang melanda Kampung Che Him. Bagi bencama seumpama ini, kerajaan segera menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir berdasarkan kepada keadaan kerosakan sesebuah rumah dan barangan lain yang tidak dapat diselamatkan, selain bantuan makanan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

"Misalnya jika rumah yang rosak akibat banjir, kerajaan akan mengagihkan simen sebanyak 30 kampit bagi sebuah rumah yang akan dibina baru. Manakala papan dan sebagainya hanya diberikan separuh sahaja dan pemilik rumah perlu menanggung sebahagiannya pula.

"Manakala bantuan makanan seperti beras, jika kawasan lain mengalami masalah banjir tetapi di Kampung Che Him tidak mengalaminya, bantuan kerajaan akan tetap diterima oleh penduduk Kampung Che Him ini. Manakala Raja Siam sendiri menghulurkan bantuan beras kepada penduduk yang terlibat berjumlah tiga (3) kilogram bagi setiap rumah", tambahnya.

Apabila ditanya tentang sikap prihatin kerajaan yang dikatakan sanggup memberikan bantuan kepada setiap isi rumah tentang pembahagian beras tersebut, beliau menjelaskan, sememangnya setiap rumah memperolehi bantuan beras sebanyak tiga (3) kilogram setiap rumah. Kesemua beras yang diberikan oleh pihak kerajaan itu adalah beras yang terbaik dan bermutu tinggi.

Kata Ahmad Yaacob lagi, tentang kos sara hidup bagi setiap keluarga sememangnya semakin meningkat. Ini kerana, pada masa dulu setiap isu rumah berbelanja kira-kira 200 baht atau RM20 dalam sehari dianggap mencukupi. Sebaliknya hari ini dalam tempoh sebulan, sekurang-kurangnya kos sara hidup sebanyak 5,000 baht atau RM500 terpaksa dibelanjakan kepada makanan sahaja. Hal ini bergantung kepada keadaan sesebuah rumah sama ada keluarga terbabit mempunyai kanak-kanak sekolah mungkin akan lebih dari itu.

"Sementara bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak sekolah, dianggarkan dalam sehari kira-kira 100 baht atau RM10 terpaksa dibelanjakan. Purata kos sara hidup di Kampung Che Him agak menjimatkan berikutan kos makanan di sini agak murah berbanding dengan tempat-tempat lain", jelasnya.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan Malaysia tentang harga barangan, beliau menjelaskan bahawa, dari satu segi harga barangan memang murah di Thailand dan dari segi lain murah di Malaysia. Tetapi bagi penduduk-penduduk di sempadan terutamanya di Kampung Che Him sendiri akan mendapatkan barangan makanan seperti gula, minyak masak, susu dan telur dari Malaysia kerana harganya lebih murah. Tetapi jika dibandingkan dengan Thailand, beras yang merupakan makanan asasi dianggap paling murah.

Katanya, berhubung dengan barangan tekstil seperti pakaian, kebanyakan harga pakaian sama ada di Thailand mahupun Malaysia dianggap hampir sama, tetapi jika dinilai tentang peratusan harga murah masih didominasi oleh Thailand. Namun, terdapat beberapa jenis kain yang terpaksa dibeli di Malaysia kerana harganya jauh lebih murah berbanding dengan Thailand seperti kain wanita, berbanding kain yang dipakai oleh lelaki lebih murah di Thailand. Tetapi bagi kain sepasang yang dipakai oleh orang perempuan amat murah di Malaysia.

Sementara itu, bagi barangan makanan keperluan seperti gula, susu, telur, milo, nescafe, kebanyakan penduduk di Kampung Che Him membeli di Malaysia iaitu di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan yang jauh lebih murah berbanding di Thailand. Ini kerana, barangan seumpama ini di Thailand agak tinggi yang mana bagi setiap satu kilo mencecah sehingga 30 baht (RM3) hingga 40 baht (RM4) berbanding di Malaysia.

Membicarakan tentang perkhidmatan penumpang awam, kebanyakan van di Thailand digunakan oleh pemiliknya sebagai kenderaan awam dan hal ini telah dibenarkan oleh pihak kerajaan. Kebanyakan van ini digunakan oleh pemiliknya untuk mencari sumber pendapatan keluarga yang mana ia digunakan untuk membawa penumpang ke destinasi yang dituju, selain teksi, kereta dan motosikal. Misalnya van bagi golongan dewasa boleh memuatkan seramai 20 orang penumpang, manakala bagi pelajar sekolah sehingga mencecah 25 orang. Tetapi terdapat juga pengangkutan awam paling murah turut digunakan oleh kebanyakan pemilik dan penunggang motosikal untuk mengangkut penumpang sehingga kapasiti penumpang mencecah tiga orang bagi sesebuah motosikal.

"Dari segi tambang, dari Kampung Che Him ke Narathiwat dikenakan tambang sebanyak 30 baht atau RM3 bagi orang dewasa. Manakala bagi pelajar sekolah pula, harga tambang 30 baht (RM3) itu pergi dan balik", ujar Ahmad Yaacob.

Berhubung dengan konsep ko-kurikulum yang diamalkan di kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia, di Kampung Che Him pihak sekolah mendapat peruntukan untuk projek sekolah seperti lawatan sambil belajar terutamanya kepada Kelas Satu dan Kelas Lima. Manakala bagi Kelas Enam yang akan mengakhiri zaman sekolah rendah, mereka akan melawat ke tempat-tempat menarik sebagai sebahagian dari aktiviti pihak sekolah terbabit.

"Misalnya bagi Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam, kerajaan memberikan peruntukan kepada pihak sekolah untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar mengenali tempat-tempat yang belum pernah mereka kunjungi, jadi dengan adanya peruntukan terbabit, pelajar-pelajar akan mendapat peluang itu dan seolah-olah dihargai", katanya.       

Ditanya tentang juadah dan makanan yang sering disajikan untuk keluarga, Ahmad Yaacob menjelaskan, kebanyakan keluarga dan penduduk di Kampung Che Him lebih menggemari juadah dari ikan dalam setiap masakan dan lauk-pauk yang mereka sajikan. Ini disebabkan, kebanyakan penduduk di Kampung Che Him ini terdiri daripada golongan nelayan, tentunya akan menjadikan ikan sebagai juadah kegemaran mereka sejak dulu.

"Kalau di Kampung Che Him, jika ikan dijual misalnya ikan selayang sekilo berharga 40 baht (RM4), ikan kembung 50 baht (RM5). Manakala jika ikan yang dijual itu terdiri dari ikan segar yang baru pulang dari laut pada hari tangkapan dan dijual terus kepada pembeli dengan harga 100 baht (RM10) sekilo", ujarnya.

Sebaliknya pula, bagi kebanyakan ikan yang tidak boleh dimakan atau tiada selera untuk dimakan seperti ikan kakap dan kerapu, segelintir di kalangan nelayan dan orang ramai akan menjual ikan-ikan tersebut sebagai umpan kepada kaki-kaki pancing. Kalau ikan-ikan besar dan banyak, sesetengahnya akan dijadikan sebagai ikan baja kerana dengannya boleh menambahkan sumber pendapatan sampingan kepada keluarga.

Menyentuh tentang kebanyakan hobi dan kegemaran, Ahmad Yaacob tidak menafikan tentangnya kerana hobi dan kegemaran memang tidak dapat dipisahkan. Begitu halnya dengan kebanyakan golongan muda mudi di Kampung Che Him yang terdiri daripada kaki pancing kerana ia adalah sebahagian daripada aktiviti masa lapang tetapi secara tidak langsung boleh mendapatkan sumber makanan dan pendapatan juga.

"Kita dapati kaki pancing khususnya golongan muda memang ramai di Kampung Che Him ini kerana hal ini sebahagian dari hobi mereka di masa lapang. Namun, jika dilihat kawasan untuk aktiviti yang dimaksudkan, dianggap tidak sesuai, kerana itu kita dapati hobi seumpama itu jarang dilakukan.

"Namun, bagi aktiviti memukat ikan dianggap aktiviti tersohor di Kampung Che Him. Ini kerana, ikan-ikan di kawasan ini memang banyak", katanya.

Justeru jelasnya, bagi golongan pemancing, kawasan yang sering dijadikan tempat kaki pancing ialah di antara Pengkalan Kubor dan Tak Bai. Kawasan inilah akan dapat dilihat beberapa pemancing berkumpul bersama kumpulan mereka. Kebanyakan hasil pancing yang diperolehi seperti udang, ikan kakap, ikan selangat adalah sebagai sajian makanan untuk keluarga sahaja. 


Penulis bergambar di Jabatan Imigresen Kelantan, Pengkalan Kubor, Tumpat di laluan ke Thailand.

Inilah jeti Pengkalan Kubor, Tumpat sebagai laluan ke Thailand melalui sungai.

Perkhidmatan kapal penumpang (tongkang) dengan tambang RM2 seorang sejauh 300 meter.

Ahmad bin Yaacob atau Abang Mat.

Abang Mat ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Perkhidmatan darat, kenderaan awam bersedia membawa penumpang dan pelancong ke destinasi yang dituju.


 Pekerjaan utama di Kampung Che Him adalah berniaga makanan.


Salah sebuah Sekolah Menengah Taba, di Kampung Che Him.



Inilah Taman Raja di Kampung Che Him.



Suasana dan pemandangan biasa di Kampung Che Him, Tak Bai, Thailand.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan