RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com
Memaparkan catatan dengan label Rawatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rawatan. Papar semua catatan

Selasa, 20 November 2012

Perubatan Moden, Alternatif, Silat


PERUBATAN MODEN, ALTERNATIF, SILAT

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  MENUNTUT ilmu adalah wajib bagi setiap umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita. Bahkan, amat beruntung bagi yang memiliki ilmu kerana darinya mereka dapat mencurahkan bakti kepada orang-orang yang memerlukannya. Bukanlah tujuan menuntut ilmu itu sebagai dasar untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Ini kerana, jika seseorang itu memerlukan dunia, dia harus berilmu. Bahkan jika memerlukan akhirat, individu terbabit juga perlukan ilmu. Malahan jika individu manusia itu memerlukan kedua-duanya (dunia dan akhirat), dia juga wajar mempunyai ilmu. Apatah lagi, bagi manusia yang hidup di dunia yang sentiasa berhadapan dengan manusia lain, keperluan kepada ilmu mengatasi segala-galanya. Orang yang tidak berilmu berilmu ibarat "tin kosong" atau sampah semata-mata.

Membicarakan tentang hakikat ilmu ini, mungkin tidak ramai yang menuntut ilmu dalam ketiga-tiga bidang sekaligus. Namun tidak bagi Pengamal Perubatan Moden, Alternatif dan Silat, Che Razali bin Che Deraman atau lebih dikenali sebagai Che Razali Tok Bomoh tetapi kadang-kadang beliau juga digelarkan sebagai Abe Li bekas H.A (Pembantu Perubatan) dari Kampung Kutan Tepi Sungai dekat sini yang terlalu minat sehingga berjaya dalam ketiga-tiga bidang itu.

Katanya, sejarah beliau berkecimpung dalam perubatan alternatif walaupun pernah berkhidmat dalam perubatan moden disebabkan beliau banyak mempelajari dari pelbagai jenis kitab, apatah lagi keturunannya sendiri adalah dari kalangan bomoh belaka yang turut memperturunkan segala ilmu perubatan alternatif itu kepadanya. Cuma, beliau belajar dalam kedua-dua bidang iaitu pengamal perubatan alternatif dan silat disebabkan minat yang begitu mendalam terhadapnya.

Menurutnya, ketika bertugas sebagai Pembantu Perubatan (H.A), beliau sempat mempelajari bidang perubatan "Homeopathi" selama tujuh tahun lebih sehingga peringkat "master". Namun, dalam perubatan moden di hospital  dikenali sebagai "konvensional". Manakala homeopathi ini dikenali sebagai perubatan "alternatif". Katanya, walaupun semasa beliau bertugas sebagai Pembantu Perubatan  dalam konteks "perubatan moden", namun beliau yang juga sebagai pengamal perubatan alternatif tetap menerapkan kaedah rawatan alternatif melalui kaedah doa dan wirid.

"Berhubung dengan rawatan tradisional, Abang Li banyak belajar dan mendapat tunjukajar daripada arwah moyang, kemudiannya dari arwah bapa tentang pelbagai kaedah dalam rawatan sedemikian.

"Abang Li belajar rawatan tradisional  ini ketika usia 17 tahun lagi. Manakala sebagai pembantu perubatan ketika Abang Li berusia 23 tahun dan telah berkhidmat dengannya selama 12 tahun. Dalam usia ini, Abang Li telahpun mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Negeri Sembilan pilihan Abang Li sendiri. Abang Li dapat pencen awal sebagai pembantu perubatan", ujarnya kepada Wartawan RELATIF yang membahasakan dirinya sebagai Abang Li sambil mengimbau kenangan beliau belajar sebagai perawat alternatif dan moden.

Tambahnya, selepas itu beliau menyambung pelajaran tentang kaedah perubatan Homeopathi selama tujuh tahun lebih sehingga peringkat master. Katanya, perubatan homeopathi bukan perubatan alternatif, tetapi ada yang menganggap homeopathi sebagai bidang sedemikian. Bezanya, di Kelantan pada masa itu perubatan homeopathi tidak begitu popular sebagaimana hari ini.

Setelah bersara awal sebagai penjawat awam, hari ini, tumpuan utama dalam khidmatnya kepada masyarakat ialah rawatan alternatif kepada orang ramai yang memerlukan. Tentang bayaran, beliau tidak menetapkan harga tidak sebagaimana perubatan moden. Perubatan alternatif berdasarkan kepada keikhlasan dari pesakit.

"Ketika bermulanya musim "tinju (boxing)" dan tomoi, ramai yang datang mendapatkan rawatan daripada Abang Li. Kebanyakan petinju dan tomoi datang mendapatkan rawatan secara tradisional.

"Abang Li akan memberikan semangat kepada petinju sambil memberikan beberapa tip kekuatan badan (termasuk luaran dan dalaman) di samping menyuntik sikap berhati-hati terhadap perbuatan sihir dan santau pihak lawan. Bagi Abang Li, sudah menjadi kelaziman bagi golongan ini, perbuatan kotor seumpama ini menjadi mainan dalam setiap pertandingan", katanya ketika ditemubual di sebatang lorong menghala ke kediamannya.

Misalnya dalam kaedah perubatan alternatif tentang gangguan makhluk seperti "toyol" yang mana, beliau pernah memberikan khidmat menangkap "toyol" yang pernah mengganggu mangsa. Tentang kaedah ini, beliau membaca sepotong ayat dalam Surah Jin.

Apabila ditanya tentang pesakit yang pernah datang mendapatkan rawatan darinya, beliau berkata, kebanyakan pesakit datang dari Kelantan sendiri, sementara dari luar Kelantan agak tidak begitu ramai kerana mereka belum mengetahui tentang kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau berhubung dengan perubatan alternatif itu. Misalnya dari Kelantan, kebanyakan pesakit lazimnya dari Wakaf Baharu sendiri, selain Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Mas.

Sambungnya, berhubung dengan masalah sihir yang dialami oleh mangsa yang akan dirawat olehnya, beliau akan melihat tentang simptom dan akibat sihir tersebut, melihat wajah mangsa dan dari situ beliau akan dapat mengetahuinya dengan cara sentuhan tangannya.

"Bagi mangsa sihir akan mengalami resah dan gelisah ataupun tidak senang duduk. Abang Li akan menggunakan ayat-ayat Al-Quran , ayat Kursi, ayat Haikal dan selepas itu Abang Li akan menyediakan air tawar (sebagai penawar) untuk diminum oleh mangsa sihir.

"Kemudiannya, Abang Li akan memanggil makhluk halus yang membawa sihir itu, sama ada turun ke kaki, mulut dan pusat. Limau kemudiannya akan Abang Li gunakan untuk mengunci makhluk halus tersebut. Dengan izin Allah, setiap rawatan yang Abang Li buat berakhir dengan kejayaan yang diharapkan", katanya.

Menurutnya, di samping memberikan khidmat merawat secara moden dan alternatif, beliau juga turut menyediakan ubat-ubatan dan kebanyakan ubat-ubatan tersebut datangnya dari Amerika, Jerman dan Pakistan. Peranan beliau hanya membancuhnya sahaja untuk diberikan kepada pesakit dan mangsa yang memerlukannya.

Dalam pada itu, beliau juga turut berminat dengan seni mempertahankan diri iaitu "silat". Ini kerana, beliau turut menuntut ilmu dalam persilatan disebabkan keturunan beliau pada asasnya selain minat dengan agama, turut ditekankan ialah dunia persilatan sejak dari dulu telah dipelopori oleh atuknya, nenek dan tok saudaranya sendiri semuanya berminat dalam ilmu persilatan. Misalnya pada diri beliau, beliau mempelajari seni silat sejak dari zaman remajanya lagi iaitu selepas tamat Sijil Rendah Pelajaran (kini PMR) dalam usia 15 tahun.

"Pada mulanya, Abang Li belajar silat dikenali "Silat Spelek" daripada Wan Ismail Tok Bomoh (kini arwah). Selepas itu, Abang Li mempelajari "tomoi". Dalam masa yang sama, Abang Li mempelajari cara-cara dan kaedah menghasilkan ubat secara tradisional.

"Selepas Abang Li bersara dari penjawat awam sebagai pembantu perubatan (H.A), Abang Li turut serta sebagai seorang usahawan dan telah mengikuti kursus di Terengganun dan Kuala Lumpur", ujarnya.

Sambungnya, selepas mempelajari silat spelek dan tomoi, beliau meneruskan minatnya mempelajari "taekwando" dan selepas itu "karate-do" pula. Menurutnya, jika dibuat perbandingan terhadap kedua-dua seni mempertahankan diri tersebut, silat hampir sama dengan tomoi. Tetapi katanya, jika dibandingkan dengan taekwando dan karate-do, silat adalah dianggap lebih baik lagi. Namun, silat dianggap tidak berkembang disebabkan cara pengurusan sesebuah persatuan silat dan teknik mengajar silat tersebut kepada murid-murid dianggap tidak begitu memberangsangkan.

Katanya menambah, beliau berminat terhadap agama, seni mempertahankan diri dan perubatan disebabkan keturunannya yang mendorongnya ke arah itu. Secara berpuitis, kalau tidak kuah jatuh ke nasi, ke mana lagi. Lagipun menurutnya, beliau hanya tiga beradik yang kesemuanya lelaki, hanya beliau seorang sahaja yang berminat ke arah berkenaan berbanding dengan adiknya, manakala abangnya pula berminat sebagai seorang pendakwah.

Che Razali bin Che Deraman atau Abang Li Bekas H.A.

Abang Li ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebatang lorong ke kediamannya.


Gaya seorang ahli seni mempertahankan diri (silat).

Papan tanda menghala ke rumahnya.

Inilah rumah Che Razali bin Che Deraman (Abang Li Bekas H.A).

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 1 September 2012

Strok: Rawat Cara Urut


STROK: RAWAT CARA URUT

PASIR MAS, KELANTAN:  STROK adalah satu istilah penyakit zaman moden yang berpunca dari masalah saraf dalam tubuh manusia. Tetapi penyakit ini berasal dari zaman Nabi Sulaiman a.s  yang berpunca dari gangguan sejenis makhluk jin yang mengalir dalam darah manusia yang digelarkan sebagai "angin merah". Walaupun dalam perubatan moden memanggilnya "penyakit strok", tetapi dalam istilah perubatan tradisional ia dipanggil "angin ahmar". Mangsa yang menderita penyakit ini menyebabkannya tidak boleh berjalan, gagal untuk menggerakkan tangan, muka atau wajah herot sebelah dan badan menjadi lumpuh. Ia dikatakan berpunca dari beberapa sebab seperti masalah penyakit kencing manis dan darah tinggi. Tetapi melalui kaedah rawatan tradisional, jika beberapa bahagian anggota berasa kebas dan lenguh adalah sebagai tanda-tanda awal penyakit tersebut dan hal berkenaan perlulah dirawat atau diurut dengan kadar yang segera.

Walaupun rawatan moden yang menggunakan teknologi canggih dikatakan mampu merawat penyakit strok, tetapi dalam banyak keadaan didapati gagal untuk menyembuhkan penyakit berkenaan. Apatah lagi, apabila sejarah pesakit terbabit dianggap telah lama menghidap penyakit berkenaan, ini tentunya mendatangkan banyak masalah untuk dirawat.

Sebab itulah, jika penyakit yang melibatkan urat saraf, kebanyakan pesakit menggemari rawatan yang dilakukan secara tradisional. Rawatan tradisional ini pada hakikatnya tidak diyakini oleh segelintir masyarakat kerana menganggapnya tidak masuk akal, sedangkan rawatan seumpamanya telah diamalkan sejak lebih 1,400 tahun lalu lagi. Manakala rawatan moden hanya mula dipraktikkan dalam masa 600 tahun kebelakangan ini.

Merujuk tentang rawatan tradisional khususnya yang melibatkan urutan urat saraf seperti penyakit strok ini, di Kelantan sendiri terdapat beberapa pakar urut penyakit strok yang mahir dalam bidang mereka. Salah seorang pakar urut penyakit strok yang sempat ditemui Penulis, Zamri bin Zakaria, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Yie dari Kampung Tanjung Rendang, Lemal, Pasir Mas, Kelantan.

Menurut Zamri, beliau menjadi tukang urut strok sejak 20 tahun lalu iaitu ketika berusia 20 tahun. Beliau mendapat ilmu mengurut ini dari keturunannya sendiri iaitu dari moyangnya sejak turun-temurun yang beliau gelarkan sebagai Mak Teh Timah, di mana moyangnya itu bukan sahaja pakar urut yang disegangi di kampungnya tetapi amat mahir dalam memandikan mayat dan berbidan. Apabila disebut sahaja nama Mak Teh Timah, para penduduk di kampungnya itu akan sedia maklum tentang kemahiran moyangnya itu.

Katanya, asalnya beliau berminat sebagai tukang urut sejak zaman remajanya di mana ketika itu beliau belum lagi mendirikan rumahtangga. Suatu hari, ketika beliau tertidur kerana agak terlalu penat bekerja sebagai pekerja kampung. Dalam tidurnya itu, beliau bermimpi seolah-olah beliau mengajar satu ilmu itu kepada dirinya sendiri tentang kaedah dan teknik mengurut sebagaimana yang diamalkannya sehingga hari ini.

"Situasi ini memang sudah hendak dipercayai. Bagaimana saya boleh mengajarkan diri sendiri tentang satu ilmu yang sukar digambarkan. Teknik yang saya perolehi itu saya gunakannya sehingga hari ini dalam usaha mengurut pesakit", jelasnya.

Ditanya tentang bagaimana cara dan kaedah beliau mengurut, beliau terlalu sukar untuk menjelaskannya. Tetapi melalui ilmu yang diperolehinya itu beliau dapat merasai sesuatu anggota dan saraf yang bermasalah melalui deria rasa tangannya. Ini bermakna, apabila tapak tangannya dapat menyentuh kulit pesakit, ketika itulah beliau dapat mengetahui apakah masalah yang dihadapi oleh pesakit terbabit dan urat serta saraf yang mana yang telah mengalami kerosakan.

Sebagai contohnya, jika sesuatu urat saraf pesakit itu bermasalah dan sakit beliau akan dapat mengesan di mana puncanya melalui sentuhan "tangan ajaibnya". Dalam pada itu, kaedah urutan yang diamalkannya tidak menggunakan wirid atau doa tetapi melalui sentuhan deria rasa tangannya. Beliau akan dapat mengetahui urat saraf itu tidak betul atau urat saraf berkenaan tidak berfungsi, beliau akan berusaha mencari jalan untuk memulihkannya supaya saraf itu kembali berfungsi walaupun hakikat sebenarnya saraf terbabit didapati telah mati.

Misalnya bagi pesakit strok yang berusia lebih 50 tahun didapati tangannya tidak dapat digerakkan. Beliau menjelaskan, hal ini disebabkan urat saraf manusia yang terletak di bahagian belakang badan didapati bermasalah. Dalam hal yang demikian, perlulah urat saraf di bahagian tersebut diurut dan dipulihkan supaya masalah tangan kanan misalnya yang tidak dapat digerakkan itu berjaya dipulihkan. Kaedah mengurutnya ialah bermula di bahagian bawah badan seperti di bahagian tapak kaki sehingga bahagian badan dan baik ke atas.

"Ini bermakna, segala masalah yang melibatkan urat saraf di seluruh tubuh perlulah dipulihkan di bahagian bawah badan iaitu di bahagian tapak kaki kerana di situlah "panel kawalan" dalam tubuh manusia", ujar Zamri.

Menurutnya, serangan penyakit strok berlaku meliputi pelbagai sebab utama seperti darah tinggi, pengawalan makanan yang tidak diberikan perhatian, makanan yang mengandungi kolestrol, apatah lagi badan penat (menggunakan khidmat urat saraf) tetapi tidak pernah diurut juga akan mendatangkan masalah. Contohnya, apabila kita berasa lenguh lalu kita tidak mempedulikannya, lama-kelamaan penyakit lenguh itu akan mendatangkan masalah kepada saraf. Saraf yang dirasakan lenguh itu adalah serangan yang dialami oleh urat saraf, dengan demikian perlulah diservis atau dipulihkan. Apabila satu bahagian saraf bermasalah, tentunya akan dialami oleh bahagian saraf yang lain pula.

Katanya, apabila kita berasa kebas sama ada dialami oleh tangan, kaki dan sebagainya adalah tanda-tanda awal akan diserang strok tersebut. Ia disebabkan perjalanan darah tidak seimbang yang meliputi beberapa hal seperti masalah urat saraf itu sendiri. Hal seumpama ini perlu diberikan perhatian sebelum ia menjadi lebih parah. Misalnya bagi sesetengah masalah, jika duduk bersila agak terlalu lama dan apabila bangun dari duduk itu pastinya akan berasa kebas di mana-mana bahagian. Itu sebagai tanda awal akan mengalami masalah strok, wajarlah ia diurut supaya masalah berkenaan pulih sepenuhnya.

Setakat ini menurutnya, pesakit strok yang pernah dirawatnya melebihi 2,000 orang dan usia pesakit berkenaan tidak menentu. Kadang-kadang terdapat pesakit strok berusia 80 tahun, 50 tahun, 12 tahun, 9 tahun dan 7 tahun (bahagian muka) seperti mata tidak berkelip dan muka serta wajah herot sebelah.

Menurut Zamri, ramai pesakit strok yang pernah menerima rawatan dan urutan darinya bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga dari luar negara seperti dari Jeddah, Taiwan dan sebagainya. Kebanyakan yang datang sama ada dua atau tiga pesakit akan menemuinya untuk mendapatkan rawatan darinya.

Manakala kebanyakan pesakit strok dari luar Kelantan seperti dari Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan banyak lagi. Kebanyakan pesakit berkenaan akan menyewa di beberapa hotel di Kelantan lalu setiap pagi mereka akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan tersebut. Mereka berkunjung ke rumahnya dengan kenderaan sendiri dan kereta sewa yang menunjuk arah ke rumahnya.

"Kadang-kadang, jika didapati pesakit terbabit tidak dapat datang ke Kelantan kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, saya sendiri akan ke rumah pesakit. Misalnya pengalaman saya ke rumah pesakit terbabit di Kuala Lumpur. Saya pernah merawat penyakit strok yang dalam kategori "agak berat" di sana", katanya.

Sambungnya, bukan sahaja penduduk setempat yang sering menerima rawatan berhubung dengan masalah strok yang tidak pernah menerima rawatan di hospital. Namun, paling ramai juga pesakit dari hospital yang datang menerima rawatan darinya. Setakat ini menurutnya, lebih dari 500 pesakit strok yang keluar hospital datang menerima rawatan darinya. Ini termasuklah beberapa pesakit yang terdiri daripada seorang Pembantu Perubatan (H.A) dari sebuah hospital di Pasir Mas, Kelantan sendiri. Hasil urutan yang dijalankannya, pembantu perubatan tersebut akhirnya dapat meneruskan tugasnya seperti biasa kerana telah sembuh sepenuhnya, sedangkan pada awalnya terpaksa diusung.

Berhubung dengan bayaran khidmat setiap kali selepas rawatan dijalankan, beliau tidak meletakkan harga yang wajar dibayar oleh pesakit. Katanya, bagi golongan berada akan membayarnya agak lebih. Hal ini telah dimaklumkan oleh arwah bapanya bahawa, walaupun pesakit tersebut tidak mempunyai sumber kewangan, beliau wajar mengurut pesakit tersebut.

Di akhir bicara, untuk mengelakkan masalah urat dan saraf menjadi rosak apatah lagi sebelum diserang penyakit strok, beliau menasihatkan kepada setiap pesakit bahawa, jika mangsa telah mengetahui menghidap penyakit darah tinggi, beliau berharap pesakit terbabit tidak menjamah hidangan malam.

Ini kerana menurutnya, lazimnya kebanyakan di kalangan orang-orang Melayu bukan sahaja gemar menjamah hidangan malam dengan berselera, tetapi mengambil makanan dalam jumlah yang banyak pula. Hal ini bukan sahaja akan mudah menghidap darah tinggi, penyakit kencing manis juga memang menjadi penyebab serangan penyakit strok jika hal ini terus dijadikan sebagai suatu budaya atau amalan.

Sementara itu menurutnya, tentang pengambilan daging yang berlebihan dalam hidangan menurutnya berdasarkan kepada kualiti darah masing-masing. Misalnya jika kita mengalami masalah sakit dan pening kepala, jadi adalah lebih baik pengambilan daging dikurangkan.

Justeru katanya, apabila berasa tubuh tidak begitu selesa, bahagian leher dan tengkuk berasa berat dan kepala berasa pening, adalah lebih baik menerima rawatan doktor terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kesihatan terbabit. Jika pihak doktor memaklumkan tentang kolestrol dalam darah agak berlebihan, bolehlah beliau memulakan urutan untuk memulihkan urat dan saraf terbabit.

Zamri bin Zakaria atau Pak Yie boleh dihubungi di talian:
012-9679576 

Zamri bin Zakaria atau Pak Yie.

Pak Yie ketika ditemubual Penulis di sebuah warung kopi.

Salah seorang pesakit strok sekadar baring sahaja.

 Pesakit strok telah dirawat melalui kaedah urut oleh Pak Yie.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 2 Jun 2012

Barah: Rawatan Tradisional


BARAH: RAWATAN TRADISIONAL

TUMPAT, KELANTAN:  BARAH menurut Kamus Dewan (DBP) adalah ketumbuhan berbahaya pada kulit atau pada tisu di dalam tubuh yang disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak mengikut kadar yang normal (disebabkan oleh pengaruh bahan-bahan karsinogen seperti bahan kimia dan virus). Penyakit barah ini boleh merebak dan menular yang menyebabkan secara sedar atau tidak pesakit akan berasa kesakitannya, namun secara tidak sedar jika penyakit berkenaan sampai ke kemuncaknya, pesakit barah pastinya akan menderita disebabkan tidak mempedulikan rawatan yang sepatutnya diterima.

Membicarakan tentang barah yang kebanyakannya dialami oleh golongan lelaki dan wanita dewasa, ada orang berkata lebih baik mendapatkan rawatan secara tradisional kerana kaedah yang digunakan ialah secara sentuhan, menggunakan air penawar dan doa-doa serta wirid yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan, malahan bayaran yang dikenakan juga agak rendah. Berbanding rawatan secara moden yang tentunya menyakitkan melalui beberapa sessi pembedahan dalam tempoh tertentu, bahkan bayaran yang dikenakan juga agak tinggi dan membebankan pesakit. Berikutan itu, ramai yang mendapatkan rawatan secara tradisional kerana masih mempercayai kaedah berkenaan lebih relevan dan selamat.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, salah seorang pakar Perubatan Barah Tradisional, Haji Che Awang bin Chik, 61, atau lebih dikenali sebagai Paksu Wil dari Kampung Periuk, Tumpat, Kelantan mengakui, semakin ramai kalangan orang-orang dewasa sama ada lelaki, wanita termasuk kanak-kanak yang mendapatkan rawatan darinya.

Paksu Wil yang merupakan anak bongsu dan beliau memperolehi ilmu mengubati barah daripada arwah bapanya, Allahyarham Paksu Chik yang merupakan Bomoh Barah Tradisional yang agak tersohor di kampung berkenaan. Paksu Wil adalah keturunan keempat yang memperolehi ilmu berkenaan. Manakala masalah "terseliuh" beliau belajar daripada guru yang lain pula.

Pelbagai jenis penyakit yang dirawat oleh beliau seperti penyakit kenan, kayap, kudis, sarat, bertih, campak, senggugut dan medu. Penyakit barah adalah lebih utama, beliau merupakan seorang pakar dalam bidang berkenaan. Kaedah menghasilkan ramuan ubat-ubatan berkaitan dengan penyakit terbabit adalah menjadi rahsianya, sebab hanya keluarganya sahaja yang boleh memberitahunya.

"Paksu mula belajar ilmu merawat barah ini ketika peringkat remaja dalam usia 17 tahun lagi. Paksu hanya menerima "ilmu ibu" dengan cara mempelajari dan mengenalinya sendiri, selepas itu akan masuk sendiri.

"Dengan demikian, secara automatik Paksu akan dapat membacanya walaupun ketika sedang tidur. Selepas itu, Paksu hendaklah menghafal sedikit demi sedikit", jelasnya menyorot sejarah awal beliau mendapat ilmu merawat barah terbabit.

Ketika ingin membuat rawatan terhadap pesakit terbabit, beliau akan dapat mengetahui keadaan pesakit melalui deria dengan cara menyentuh pesakit di bahagian yang sememangnya akan dirasai oleh deria jari-jemarinya. Apabila sampai di tempat yang dikatakan barah itu, dengan tiba-tiba jari-jemarinya tidak dapat merasai apa-apa lagi. Beliau akan meniup di tempat yang dimaksudkan, dengan tiba-tiba beliau akan merasai tindakbalas dari pesakit tersebut seperti ingin beradu kekuatan dengannya. Ketika itulah beliau akan mengetahui penyakit yang dimaksudkan itu.

Beliau kemudiannya akan melakukannya secara ulangan sebanyak tiga kali dan kali ketiga itulah penyakit berkenaan akan memberikan tindakbalas terhadapnya sehingga akan dirasai di bahagian tengkuk. Penyakit ini sememangnya suka mengambil tindakan terhadap orang yang cuba menyembuhkannya, sebab itulah anak-anaknya sendiri tidak ingin mempelajari ilmu berkenaan darinya disebabkan sifat penyakit berkenaan.

"Penyakit barah ini berpunca dari makanan yang dimakan oleh pesakit sehingga menyebabkan barah. Penyakit barah semakin membesar apabila individu memakan kulit ayam, hati dan perut akan menyebabkan barah semakin membiak. Penyakit dari keturunan lazimnya amat jarang berlaku", jelasnya.

Katanya, barah yang paling bahaya ialah "barah tulang" di mana pesakit yang mengalaminya akan berasa seperti dicucuk-cucuk. Di antara penyakit barah lain seperti barah daging, barah angin, barah urat, barah darah dan "raja saton" termasuk dalam kategori yang sama. Kesemua penyakit barah ini mempunyai "penjaganya" di mana barah ini berpunca dari darah dalam tubuh pesakit itu sendiri.

Sambungnya, dalam kes barah tulang di mana pesakit berkenaan akan berasa seperti dicucuk-cucuk. Barah ini perlu diberikan rawatan dan jika rawatan tidak dipedulikan pastinya pesakit akan menderita kesakitan dalam tempoh yang agak lama. Apabila menerima rawatan pastinya barah berkenaan akan sembuh dengan segera. Kalau di hospital, barah seumpama ini hanya diberikan ubat penahan sakit sahaja.

"Paksu pernah memberikan rawatan terhadap pesakit yang dalam keadaan seperti kain buruk (tidak bermaya). Selepas Paksu meniup tubuh pesakit terbabit, dengan tiba-tiba pesakit berkenaan segar dan sembuh seperti biasa", katanya.

Tambahnya lagi, dalam satu kes seorang bayi asyik menangis tidak henti-henti menyebabkan keluarganya dalam keadaan resah. Keluarga berkenaan berasa serba salah kerana apabila diberikan susu kepada bayinya, bayinya itu menolak, sudahnya menangis semahu-mahunya. Bimbangkan sesuatu bentuk gangguan luar yang menimpa bayinya, bapa bayi tersebut menyatakan hasratnya untuk menemui Paksu Wil. Dengan tidak semena-mena, apabila menyebut sahaja nama Paksu Wil, secara tiba-tiba bayinya itu diam serta merta dan tidak lagi menangis sebagaimana sebelumnya.

Sambung Paksu Wil, dalam kes bayi berkenaan walaupun bayi itu tidak lagi menangis dan masalah keluarga berkenaan dianggap selesai, namun keluarga berkenaan perlu berjumpa dengan Paksu Wil juga. Jika keluarga berkenaan enggan berbuat demikian, masalah berkenaan akan wujud kembali selepas itu dan bayinya akan menangis semahunya tanpa henti.

Katanya, Paksu Wil pernah memberikan rawatan terhadap sebuah keluarga Cina yang datang ke rumahnya. Menurutnya, kaum Cina mempercayai rawatan yang dijalankan oleh Paksu Wil ternyata sembuh sepenuhnya dan mereka menemui Paksu Wil bukan dalam masa sehari tetapi sehingga lima dan enam hari tidak sebagaimana bangsa Melayu yang hanya sekali sahaja.

Apabila ditanya tentang bayaran yang dikenakan terhadap pesakit yang datang menerima rawatan darinya, Paksu Wil menjelaskan, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas rawatan yang pernah diberikan kepada pesakit tidak sebagaimana rawatan moden. Beliau hanya mengharapkan keikhlasan dari pesakit itu sendiri. Maksud keikhlasan dari segi menerima rawatan adalah suatu kejujuran yang diharapkan dari pesakit, sebab itulah sesukar manapun rawatan yang dijalankan, penyudahnya adalah kejayaan. Cuma, beliau hanya mengenakan bayaran bagi ubat-ubatan yang dihasilkannya sendiri, kerana untuk menghasilkan ubat terbabit adalah sesuatu yang paling sukar berikutan bahan-bahan herbanya terlalu sukar diperolehi.

"Selain rawatan barah, Paksu juga pernah memberikan rawatan penyakit sarat yang dialami oleh kanak-kanak yang berusia di antara 5 hingga 8 tahun. Namun, kesemua rawatan yang diberikan menemuik kejayaan yang diharapkan", ujarnya.

Ditanya tentang jumlah pesakit dari kalangan masyarakat tempatan (Kelantan) yang pernah menerima rawatan darinya, beliau tidak dapat memberikan jumlahnya kerana agak terlalu ramai yang datang dari semua daerah di negeri ini. Sementara pesakit dari luar negara seperti dari Negara Brunei, Singapura dan paling jauh beliau pernah merawat pesakit dari Amerika Syarikat yang mengalami barah usus. Rawatan terhadap pesakit berkenaan hanya sekali sahaja, tetapi mereka mendapatkan ubat-ubatan darinya sebanyak dua kali.

Menariknya menurut pesakit dari negara tersebut yang memuji rawatan yang dijalankannya mendapati sembuh sepenuhnya dan beliau kini sedang menjalani kehidupan seperti biasa disebabkan penyakitnya telah sembuh. Pesakit berkenaan sering menghubunginya bertanya khabar tentangnya.

Menurutnya, purata pesakit yang pernah menerima rawatan darinya paling ramai dialami oleh golongan wanita dewasa. Kebanyakan masalah masalah yang dihadapi berhubung dengan barah payu dara dan barah pangkal rahim. Sementara yang lelaki pula, masalah yang sering dihadapi oleh golongan berkenaan ialah tentang paru-paru, hati, jantung tersumbat dan ketumbuhan dalam tengkuk.

Justeru, beliau amat berharap jika mengalami sebarang ketidakselesaan, segeralah datang menemui beliau dan Paksu Wil bersedia menghulurkan bantuan yang sewajarnya supaya setiap pesakit akan dapat menjalani kehidupan yang baik dan sempurna seperti sebelumnya.

Untuk mendapatkan rawatan, Paksu Wil boleh dihubungi
melalui talian: 012-9214671 atau 09-7194181  

Haji Che Awang bin Chik atau Paksu Wil.

Di antara pesakit yang sedang menerima rawatan darinya.

Di hadapan rumah beliau sebagai Pusat Perubatan Barah. 

Sebahagian ubat yang dihasilkannya sendiri.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 1 Jun 2012

Rawat Patah Tulang


RAWAT PATAH TULANG

PASIR MAS, KELANTAN:  MASALAH patah tulang sering terjadi dan mangsanya pasti berasa sakit yang amat sangat. Lazimnya patah tulang berlaku terhadap mangsa akibat nahas jalan raya, terjatuh dari pokok, ditimpa benda yang berat atau sebagainya. Namun, mangsa patah tulang tidak perlu berasa bimbang tentang bakal berlaku seperti cacat atau sebagainya kerana rawatan terhadapnya akan dapat mengembalikan sebagaimana keadaan asal malah sembuh sepenuhnya dalam masa tiga hari sahaja. Apatah lagi, rawatan patah tulang terbabit tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar jika dilakukan secara tradisional berbanding di hospital.

Pengalaman salah seorang pakar merawat tulang secara tradisional yang ditemui Penulis, Abdul Rahman bin Daud, 65, atau lebih dikenali Tok Ayah Man Bomoh Patah dari Kampung Chetok Sungai, Pasir Mas, Kelantan mengakui, merawat mangsa patah tulang paling senang baginya dan tidak sesukar mana berbanding yang dilakukan secara moden.

Menyorot sejarah beliau mendapat ilmu merawat patah tulang sebagai bomoh dari arwah orang tuanya. Namun, kebanyakan amalan yang diajari oleh orang tuanya itu adalah sebagaimana wirid yang diamalkannya di dalam sembahyang.Tetapi beliau tidak menolak pernah memperolehi ilmu berkenaan daripada keturunan atuknya yang berasal dari Pattani, Siam.

Katanya, beliau berkecimpung sebagai bomoh patah tulang sejak lebih 10 tahun lalu. Pada awalnya, beliau memang menolak untuk diajarkan ilmu berkenaan kerana menurut adiknya, beliau adalah seorang yang agak lembam. Namun, takdir Allah S.W.T  adalah penentu segala-galanya apabila salah seorang penunggang motosikal yang terbabit dengan nahas jalan raya semasa menunggang menyebabkan beberapa bahagian tulang tangannya patah dua.

"Kalau tersilap rawat kemungkinan tulang mangsa yang patah itu pasti putus. Pada mulanya, Tok Ayah Man berkata tidak kepada mangsa, namun kerana sifat kasihankan penunggang terbabit terpaksalah Tok Ayah merawatnya.

"Hasil rawatan tersebut, masalah patah tulang yang dialami oleh mangsa sembuh sepenuhnya dan apabila dilihat tulang yang patah itu bersambung sebagaimana yang asal. Sekarang ini, mangsa berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)", ujarnya ketika menjelaskan mangsa pertama yang pernah dirawatnya.

Menurut Tok Ayah Man, kaedah beliau merawatnya dengan memasukkan tulang yang patah tersebut kepada asalnya dan selepas itu beliau menggunakan "belat" (bilah-bilah buluh atau papan untuk membalut tulang patah). Semasa memasukkan tulang tersebut, tentunya pesakit akan berasa sedikit kesakitan, namun dalam masa tiga hari sahaja patah tulang tersebut sembuh seperti sediakala. Katanya, kalau tangan yang patah mangsa tidak akan berasa sakit tetapi kalau sendi yang patah atau tercabut pastinya akan berasa sakit.

Sambungnya lagi, kebanyakan mangsa yang datang menerima rawatan daripadanya bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat dan daerah-daerah lain di Kelantan. Namun, agak ramai juga dari luar Kelantan seperti Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan dan paling jauh datangnya dari Singapura. Kebanyakan khidmat yang pernah diberikan bukan sahaja mangsa datang ke rumahnya, namun jika perlu beliau akan ke rumah mangsa untuk membuat rawatan.

Katanya lagi, semasa beliau memulakan rawatan beliau sekadar membaca "bismillah" sahaja. Namun, beliau tidak nafikan semasa sessi rawatan keturunannya itu akan datang membantu. Dengan demikian, rawatan yang dilakukannya agak mudah dan menjimatkan masa. Hasil daripada bantuan keturunannya itu beliau seolah-olah mengetahuinya sendiri dan apakah yang perlu dilakukannya.

Kalau dikatakan keadaan tulang mangsa yang patah itu agak berat dan parah sekalipun, keturunannya akan datang dari arah belakangnya untuk membantu. Dengan sendirinya, beliau dapat melakukannya daripada ilham yang diajarkan melalui keturunannya itu. Jika sekiranya pada awalnya mangsa akan merasa kesakitan semasa rawatan dilakukan, namun dengan bantuan keturunannya, mangsa tidak akan merasai sebarang kesakitan lagi.

Semasa rakaman temubual ini dibuat, mangsa yang mengalami patah tulang yang memerlukan khidmatnya masih menunggu seramai tujuh orang lagi, kesemuanya dari Kelantan. Kebanyakan mangsa patah masih memerlukan rawatannya dan sanggup menunggu agar beliau dapat memberikan rawatan yang diperlukan.

"Walaupun rawatan yang Tok Ayah lakukan melibatkan tulang patah akibat nahas jalan raya, walaupun dikatakan agak parah, namun kesemua rawatan berkenaan Tok Ayah anggap sebagai biasa saja.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi Tok Ayah bahawa setiap orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan, Tok Ayah bersedia memberikan pertolongan apatah lagi yang melibatkan patah tulang dan sendi yang tertanggal.

"Walaupun tugas berkenaan pada sesetengah orang dianggap berat, Tok Ayah berpegang kepada satu prinsip iaitu Tok Ayah hanya berikhtiar dan berusaha sahaja, hanya Allah jua yang menyembuhkannya", ujarnya.

Tambahnya, beliau pernah membuat rawatan mangsa patah tulang yang keluar dari daging malah terdapat "tulang kering" patah beliau sanggup menyambungnya berdasarkan kelebihan ilmu yang dimilikinya.

"Tok Ayah pernah membuat rawatan patah tulang dari beberapa pesakit yang pernah masuk ke wad Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

"Ada seorang doktor pakar dari HUSM yang datang menemui Tok Ayah bagi mendapatkan rawatan untuk anaknya yang patah tulang. Ini kerana, bagi doktor pakar itu tidak sanggup memasukkan besi ke dalam tubuh anaknya", katanya menceritakan pengalamannya merawat anak seorang doktor pakar dari HUSM itu.

Apabila ditanya, apakah sebab pihak hospital merujuk kepada beliau sedangkan di kalangan doktor ramai yang berpengalaman malah mampu merawat secara moden dengan baik, apatah lagi memiliki beberapa peralatan yang moden dan canggih. Tok Ayah Man menjelaskan, pihak hospital memasuki kursus dengan cara dan kaedah lain. Berdasarkan rawatan moden, pihak hospital memerlukan tulang yang senggang (jarak) bagi memudahkan rawatan dijalankan. Sebaliknya, bagi rawatan tradisional menganggap tulang yang senggang (jarak) bermasalah.

Menurut Tok Ayah Man seterusnya, dalam konteks rawatan tradisional, seseorang bomoh patah akan merapatkan tulang yang patah itu supaya lemak yang terdapat pada tulang berkenaan akan turun ke bawah barulah tulang itu akan bercantum balik dengan sempurna. Berbeza pula dengan hospital yang menggunakan "besi skru" untuk mencantumkan tulang. Kaedah ini memerlukan masa yang agak lama, sebab lemak dalam tulang tersebut dihalang atau disekat oleh skru tersebut.

Katanya, salah seorang kanak-kanak yang merupakan mangsa patah tulang baru akibat terjatuh ketika bermain bolasepak berjaya dirawatnya hanya memakan masa selama dua hari sahaja dan apabila masuk hari yang ketiga telah sembuh sepenuhnya. Tulang yang patah itu telah bercantum sepenuhnya, malahan kanak-kanak berkenaan boleh bermain bolasepak yang digemarinya semula.

Jelas Tok Ayah Man, bagi mangsa patah tulang, walaupun kita lihat tidak ada apa-apa, namun setelah beliau menyentuh di tempat terbabit beliau akan dapat mengetahui keadaan patah tulang yang dialami oleh mangsa sama ada serius ataupun tidak. Kalau sekiranya tulang tersebut menembusi daging, beliau akan menariknya kemudian memperbetulkan kedudukannya kemudian beliau akan membelatnya dengan bilah-bilah buluh untuk tujuan memperbetulkan tulang yang patah itu menjadi lurus.

Namun, bagi mangsa patah tulang yang dianggap rawatan lambat dijalankan berikutan terdapat mangsa yang begitu takut untuk menerima rawatan. Lazimnya mangsa datang menemuinya untuk meminta "air penawar". Cara berkenaan agak lambat dari kebiasaannya, namun dari pengalamannya pernah mangsa memberitahu tulangnya telah bercantum seperti sediakala tanpa sebarang rawatan, memadai sekadar mendapatkan air penawar darinya sahaja.

"Pengalaman anak saudara Tok Ayah Man sendiri yang mengalami patah tulang akibat nahas jalan raya ketika menunggang motosikal. Ibunya meminta anaknya itu menemui Tok Ayah Man bagi merawat tulangnya yang berbonjol keluar. Tok Ayah Man hanya sekadar memberikan air penawarnya sahaja, dengan izin Allah tulang anak saudara Tok Ayah Man itu bercantum kembali", ujarnya ketika menceritakan pengalamannya dengan anak saudaranya itu.

Menurut Tok Ayah Man, setakat ini khidmat beliau sebagai bomoh patah, beliau dapati sudah lebih 1,000 mangsa patah tulang yang pernah dirawatnya kembali menjalani kehidupan normal dan dapat menjalankan kerja seperti biasa untuk menunjukkan tulang yang patah itu sembuh sepenuhnya. Mangsa yang pernah menerima rawatan dalam sehari dianggap tidak menentu. Kadangkala agak ramai sehingga beliau tidak dapat menguruskan keperluan hariannya pernah berlaku dalam usaha untuk membantu mangsa pulih sepenuhnya. Lazimnya, kira-kira lima orang mangsa yang datang mendapatkan rawatan darinya dalam sehari.

Katanya, kebanyakan pesakit atau mangsa patah tulang apabila mendapati mereka sembuh sepenuhnya, mangsa berkenaan akan memanjatkan syukur terhadap Allah malah berterima kasih kepadanya kerana berjaya merawat patah tulang yang dialami dalam masa yang agak singkat sahaja.

Apabila ditanya tentang bayaran yang dikenakan terhadap mangsa, beliau sebenarnya tidak mengharapkan sebarang bayaran daripada pesakit atau mangsa, kecuali atas kerelaan dan keikhlasan daripada mangsa itu sendiri. Beliau hanya mengikut sunnah Nabi S.A.W  yang sedia berkhidmat kepada individu yang memerlukan bantuannya sahaja. Beliau tidak menetapkan harga, hanya pesakit atau mangsa yang memberikan hadiah menurut keikhlasan dan kemampuan masing-masing, itulah rezekinya pada masa itu.

Bagi Tok Ayah Man, beliau tidak berasa pelik atau sukar untuk merawat mangsa patah tulang asalkan mangsa berkenaan terus mendapatkan khidmatnya dengan segera. Bagi mangsa patah tulang yang baru pastinya akan sembuh dengan cepat berbanding dengan membiarkannya menderita sakit dalam tempoh yang agak lama, itulah yang paling sukar sekali kerana tulang yang patah itu telah didapati sebati dengan darah dan daging. Pokok pangkalnya, beliau begitu teruja untuk merawat mangsa patah tulang kerana baginya rawatan berkenaan tidaklah sesukar mana.

"Ketika Tok Ayah Man membuat rawatan, Tok Ayah hanya membaca "auzubillah himinnas syaiton nirrajim, bismillah hirrahman nirrahim" dengan kehendak dan izin Allah, tulang yang patah itu bersambung dengan sendirinya pada ketika itu juga", jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan kepada mangsa-mangsa patah tulang terutamanya dari luar Kelantan yang berharap kepada khidmatnya dipersilakanlah ke rumahnya di kampung berkenaan pada bila-bila masa, sebab patah tulang pasti berlaku pada bila-bila masa tanpa perlu takut. Beliau bersedia memberikan rawatan supaya mangsa dapat menjalani kehidupan yang sempurna seperti biasa sebagaimana sebelum mengalami peristiwa tersebut.

Untuk mendapatkan rawatan, Tok Ayah Man boleh dihubungi melalui
talian: 019-9298395.  

Abdul Rahman bin Daud atau Tok Ayah Man Bomoh Patah.

Tok Ayah Man ketika ditemubual Penulis di rumahnya.


Papan tanda menghala ke rumahnya yang dipacakkan di jalan utama kampung berkenaan.

Inilah rumah kediamannya, tempat rawatan patah tulang dijalankannya setiap hari.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 19 Januari 2012

Bidan dan Urut Wanita


  BIDAN DAN URUT WANITA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  LAZIMNYA kebanyakan pengamal rawatan tradisional perlu menuntut ilmu terlebih dahulu dan selepas memperolehi ijazah daripada guru di bidang terbabit barulah mereka layak untuk merawat pesakit. Malahan pernah kita dengar kelebihan di kalangan segelintir di kalangan mereka yang memperolehi keistimewaan sebagai perawat tanpa menuntut ilmu berkaitan, namun dapat juga memberikan rawatan sehingga berjaya. Namun, kelebihan seseorang juga tidak dinafikan apabila memperolehi ilmu terbabit melalui mimpi atau mungkin juga melalui kaedah rohani tanpa mempelajarinya.

Hal ini diakui sendiri oleh Pakar Perbidanan Tradisional dan Urut Wanita, Cik Som binti Kasim atau lebih mesra dipanggil Kak Wan Cik Som, 61, dari Kampung Kebakat, Wakaf Baharu, Kelantan.

Menurutnya, sejarah beliau menjadi seorang bidan dan tukang urut sebenarnya tidak pernah belajar dari mana-mana guru dan kemampuannya dapat melaksanakan kedua-dua tugas tersebut memang mengangumkan penduduk tempatan. Walaupun bapanya seorang tukang urut tersohor manakala ibunya pula seorang bidan yang tidak asing lagi di kampungnya, namun beliau memperolehi ilmu bukan di atas ajaran kedua-dua orang tuanya itu.

Anehnya, cara beliau memperolehi ilmu berkenaan bukanlah menuntut dari arwah bapanya, tetapi sejarah beliau memperolehi ilmu melalui kehadiran keturunannya itu semasa orang lain semuanya tidur. Jadi, setiap kali malam Selasa terutamanya jam 2.00 pagi beliau tidak dapat melelapkan mata apatah lagi untuk pejam walaupun sekejap. Ini bermakna, setiap malam itu keturunannya itu akan hadir sambil memberikan tunjuk ajar secara peringkat demi peringkat sehingga beliau mahir dan mampu melakukan pelbagai kaedah sebagaimana yang diterimanya.

Peringkat awal keturunannya datang mengajarkannya ketika beliau berusia 35 tahun. Semenjak itu keturunannya akan datang mengajarkan segala ilmu dan kaedah sebagai seorang perawat yang mahir dan mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit atas keyakinan dirinya selain berserah kepada Allah sebagai penyembuhnya.

Pada awal beliau menerima ilmu seumpama itu, jika dilihat kepada pandangan zahir sikapnya agak luar biasa dan hal ini memang diketahui oleh anak-anaknya. Justeru, jika terjadinya hal yang agak luar biasa itu anak-anaknya sering akan membangunkannya bimbang dirinya mengalami sesuatu masalah gangguan tidur seperti bermimpi ataupun mengigau. Dengan demikian, beliau berpesan kepada anak-anaknya jika berlaku hal tersebut lagi, tak perlulah beliau dikejutkan kerana beliau bukannya mengigau atau bermimpi.

Misalnya ketika beliau memperolehi ilmu mengurut misalnya, tangan kanannya mengalami masalah pecah-pecah. Beliau pada mulanya agak hairan juga dengan keadaannya itu lalu mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Wakaf Baharu bernama Dr. Singam. Namun, doktor yang ingin merawatnya itu terpaksa menolaknya kerana bimbang dijangkiti kuman.

Bimbang dengan keadaan tangannya yang dianggap jijik itu kerana tidak mengetahui puncanya beliau berkeadaan begitu, beliau akhirnya menemui bapa saudaranya untuk mendapatkan nasihat berhubung dengan masalah penyakit yang hanya dialami tangan kanannya sahaja. Daripada maklumbalas bapa saudaranya itu menyatakan, untuk memberikan gambaran bahawa disebabkan penyakitnya itulah membolehkan beliau memberikan khidmat mengurut dan ilmu berhubung dengan mengurut itu telah diperturunkan melalui tangannya dan beliau tidak perlu bimbang tentang penyakit anehnya itu. Selepas itu, bapa saudaranya merenjiskan air ke tangannya dan beberapa ketika kemudian penyakit jijik tangan kanannya sembuh sepenuhnya seperti sediakala.

Berhubung dengan ilmu yang diperolehi melalui tangan kanannya itu, beliau memberitahu bapa saudaranya tentang penolakan ilmu tersebut. Bapa saudranya agak terkejut dan hairan dengan sikap beliau kerana ilmu tersebut adalah dari keturunan Kak Wan Som sendiri, jadi dia tidak patut menolaknya. Namun disebabkan pertanyaan dan penjelasan sebenar yang diungkapkan oleh bapa saudaranya itu malah penyakit yang dialaminya itu adalah dari keturunannya sendiri, bermula dari saat itulah beliau sanggup menerimanya dan memberikan khidmat rawatan kepada individu atas dasar membantu mangsa dan pesakit supaya berkeadaan sihat.

Menurut Kak Wan Som, selepas beliau memperolehi ilmu yang datang melalui mimpi beliau terpaksa bertembung dengan gangguan jin yang cuba memperdaya dan mengambil kesempatan di atas keadaannya itu. Rupa makhluk jin itu berkepala bulat, perutnya berkadaan buncit luar biasa, tubuhnya berwarna hitam manakala matanya berkelip-kelip menunding ke arahnya. Melihatkan bentuk fizikal jin tersebut, dengan tiba-tiba jin tersebut menerkam ke arahnya bagaikan ingin meratah tubuhnya hidup-hidup. Melihatkan keadaan kelam-kabut itu, Kak Wan Som tidak ingin mengalah kerana dia sanggup mempertahankan dirinya seraya bertakbir "Allah hu akhbar, aku sanggup lawanmu. Aku tak sanggup mengaku kalah kerana kehebatanmu", bentaknya terhadap jin yang cuba ingin membulinya.

Di saat itulah, pertarungan bermula di atas katil tempat beliau baring, namun jin tersebut akhirnya mengaku kalah. Selepas jin tersebut mengaku kalah, beliau bertakbir semula. Sebab itulah, semasa beliau merawat pesakit yang diganggu, disakat dan disampuk makhluk halus, beliau akan meminta pesakit itu bertakbir dengan kalimah "Allah hu akhbar".

Membicarakan perihal mengurut, beliau mampu merawat individu yang diserang penyakit strok atau dikenali juga "angin ahmar" dengan kaedah mengurut. Selain itu, ramai juga pesakit beliau yang datang menerima rawatan untuk memulihkan urat saraf  yang terseliuh. Di samping beliau boleh merawat pesakit yang mengalami masalah perut seperti uluran, medu, kanser malahan kesukaran mendapat anak misalnya beliau akan usahakan mencari ubat dari akar-akar kayu dan tumbuhan herba.

Manakala masalah uluran yang dialami oleh segelintir kalangan lelaki, beliau perlu mengurutnya terlebih dahulu dan apabila mengetahui masalah tersebut barulah diberikan ubat. Perlunya beliau membuat urutan jika mengalami masalah uluran untuk mengenal pasti jenis-jenis uluran sama ada uluran angin, lendir ataupun uluran darah.

Selain itu, Kak Wan Som pernah membuat rawatan lenguh-lenguh strok dengan mendapatkan pohon-pohon herba, kemudiannya direbus dan ditudung kemudian pesakit diminta duduk di atas sebuah kerusi. Manakala air rebusan itu diletakkan di bawahnya dan dibaluti dengan sehelai kain yang hanya kelihatan kepala dan leher pesakit itu sahaja. Kaedah ini menyebabkan peluh mengalir keluar kerana bulu roma akan terbuka dengan mudah malahan kaedah ini juga menjadikan pesakit memperolehi tenaga untuk berjalan. Selepas itu, apabila peluh habis keluar dari badan pesakit, air rebusan itu tadi digunakan oleh pesakit terbabit sebagai mandian yang dibilas pula dengan air yang lain untuk tujuan mencuci peluh tersebut.

Katanya, penyakit kulit merupakan suatu masalah kepada segelintir individu dan di zaman moden ini penyakit berkenaan masih lagi menjangkiti kebanyakan pesakit berpunca daripada pencemaran udara. Walau bagaimanapun, beliau boleh merawat pelbagai jenis penyakit kulit penyebab kepada gatal-gatal seperti campak, bisul kera dan bertih dengan kaedah air tawar.

Misalnya penyakit bisul yang sering dialami di kalangan orang-orang Melayu, beliau akan mengambil halba (sejensi herba dimasak bersama nasi dagang) kemudiannya digiling dan digosok dengan kemenyan dan kemudian bahan-bahan ini ditampalkan di atas bisul tersebut sekadar kelihatan mata bisul itu sahaja.

Manakala bagi rawatan kanser perut, beliau pernah membuat rawatan berhubung penyakit berkenaan melalui kaedah tradisional menggunakan bahan-bahan seperti beras pulut hitam, asam limau dan madu lebah asli. Pulut hitam itu hendaklah digoreng (tanpa minyak) kemudiannya digiling, selepas itu perahkan asam limau dan campurkan dengan madu lebah asli. Bahan-bahan ini hendaklah digaulkan bersama dan sapukan di tempat kanser tersebut. Selepas bahan-bahan ini disapukan dan beras menjadi sejuk, sapu pula kali kedua tetapi bahan asalnya jangan dibuang kecuali apabila beras panas bolehlah dibuang dengan segera. Kaedah sedemikian juga boleh dilakukan untuk merawat bengkak hati (menjadi kuning).

Sambungnya lagi, bagi bayi-bayi yang terkena penyakit kuning, beliau akan mandikan dengan daun susu kambing, daun ketup dan daun inai. Ketiga-tiga daun herba berkenaan akan direbus bersama malah kelihatan airnya berwarna merah serta kuning kemudiannya dibuat mandi.

Katanya menambah, bagi kanak-kanak dijangkiti penyakit cacing akan menyebabkan perut mereka buncit serta dialami oleh kanak-kanak menjadikan mereka tidak selesa dan menyebabkan mereka menangis. Selain beliau membuat tangkal yang dipakai pada leher dan lengan, beliau akan dapatkan daun ketup dan ketumbit diumpalkan bersama lalu ditampalkan di perut.

Sebaliknya jika kanak-kanak diserang sakit sarat dirawat menggunakan pisang kelat. Pisang kelat itu dibakar terlebih dahulu dan dicampurkan dengan sarang angkut-angkut ataupun dengan selut liat. Kaedah seumpama ini akan menyebabkan kanak-kanak tidak lagi kerap buang air besar dan cirit-birit.

Sementara bagi masalah wanita lambat bertemu jodoh akan meminta beliau mencari alternatif wajar bagaimana dapat beliau lakukan dalam usaha menyelesaikan masalah sedemikian. Apa yang diperlukannya ialah mendapatkan bunga tujuh warna, masukkan batang beluru, asam limau nipis dan asam limau purut. Selepas bahan-bahan ini siap, wanita terbabit dimandikan.

Setakat ini atas izin Allah, mandi bunga yang dilakukannya terhadap beberapa orang wanita telah menemui kejayaan. Walaupun kehidupan hariannya tidaklah semewah orang lain, namun kerananya beliau dapat berbakti kepada orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan dari sudut perubatan alternatif dan atas dasar itu beliau tidak ingin menghampakan harapan orang ramai terhadapnya. Alhamdulillah katanya, mangsa lambat jodoh iaitu seorang wanita berusia 45 tahun dari Kota Bharu, Terengganu serta dari Kuala Lumpur  kemudiannya bertemu jodoh selepas rawatan dilakukannya.

Sementara itu, menurut Akta Bidan 1988 wanita-wanita hamil yang akan melahirkan anak perlu bersalin di hospital. Berikutan syarat tersebut, bagi bidan tradisional sepertinya perlu mengambil kursus "Bidan dan Mengurut" yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan dan kursus ini dihadiri oleh beliau di Tanah Merah pada tahun 2008. Dengan demikian, selepas ibu-ibu bersalin di hospital beliau mengambil upah 'bertuku' sambil mengurut untuk tujuan memulihkan urat saraf yang rosak, memulihkan peranakan ibu-ibu bersalin dan sebagainya. Bermakna, dalam kampung berkenaan hanya beliau seorang sahaja yang terpilih untuk mengikuti kursus tersebut kerana kelayakan dan kemahirannya sendiri. Misalnya dalam proses bertuku, pada peringkat pertama beliau akan mengurutnya terlebih dahulu diikuti bertuku khususnya di bahagian belakang, paha dan seluruh tubuh.

Dalam hal ini menurut Kak Wan Som, bagi wanita-wanita sedang hamil dan sedang menunggu masa untuk bersalin, beliau akan menghasilkan minyak khusus seperti minyak kelapa dan sebagainya dengan mengisikan ayat-ayat suci Al-Quran, doa dan zikir khusus bagi memudahkan ibu-ibu bersalin.

Manakala bagi wanita-wanita yang pernah melahirkan anak, tiba-tiba pada satu masa wanita terbabit begitu sukar untuk melahir dan mendapatkan zuriat padahal dirinya masih sihat dan berupaya untuk melahirkan anak. Beliau menyarankan kepada wanita-wanita terbabit supaya mengamalkan memakan pucuk senduduk bagi memudahkan benih jatuh ke dalam sarung telur. Masalah tidak dapat anak berikutan benih sememangnya jatuh ke dalam sarung telur tetapi tidak dapat bertahan lama disebabkan terlalu banyak lendir, telur tersebut berganjak dari kedudukan yang sepatutnya.

Kaedah yang digunakannya dalam rawatan ini, ambil pucuk senduduk dengan memegang menggunakan jari tengah, potong sebelah kiri dan sedikit kanan, ditumbuk kemudian diminum jam 3.00 pagi pada bulan ini dan bulan hadapan pula jam 3.00 pagi dan seterusnya bulan berikutnya jam 3.00 pagi. Selepas itu, tunggu dan lihat perkembangannya.

"Kejayaan ini turut dikongsi oleh seorang ibu dari Kubang Kerian, Kota Bharu setelah mengamalkannya beliau akhirnya dapat melahirkan anak sebagaimana yang diharapkan walaupun sebelum ini terlalu sukar baginya. Kaedah meminum air rebusan pokok senduduk ini akan menyebabkan lendir dalam sarung telur itu akan mengalir keluar, dengan ini telur itu akan melekat dengan sempurna kerana tiada gangguan dari lendir itu lagi", jelasnya.

Jelasnya lagi, masih ada di kalangan wanita yang mengalami senggugut. Melalui rawatan tradisional, terdapat tiga jenis senggugut yang lazim dialami oleh segelintir wanita antaranya senggugut darah, senggugut urat serta senggugut lendir. Bagi pengamal rawatan alternatif sepertinya, kaedah membuat urutan di bahagian sulit pesakit perlu dilakukan untuk mengenal pasti jenis-jenis senggugut tersebut. Hasilnya, setakat rawatan yang beliau berikan terhadap mangsa senggugut menemui kejayaan agak memberangsangkan.

"Bagi pesakit medu pula, Kak Wan Som akan menghasilkan ubat sendiri menggunakan bunga cengkih dicampur dengan limau nipis tujuh biji lalu diisikan dengan doa, bahan-bahan ini perlulah disapukan di bahagian perut", jelasnya apabila diminta menjelaskan hakikat penyakit medu yang masih dialami oleh kebanyakan lelaki dan wanita hari ini.

Katanya, berhubung dengan masalah sakit kepala dan migrain berpunca dari urat saraf mata menjadi terlalu tegang dan penyebab mata menjadi merah dan kesannya turut dialami telinga apabila mutu mendengar agak kurang jelas. Kaedah merawatnya ialah, beliau akan membuat urutan, namun jika masih berasa sakit beliau akan gunakan belahan asam limau nipis yang dibuang pulurnya di mana bahan ini ditekan di bahagian sakit kemudian dilepaskan. Denyutan sakit akan diserapkan oleh asam limau nipis tersebut untuk menjadikan darah turun dan naik dengan sempurna.

"Penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, kolestrol berlebihan tidak pernah dialami oleh masyarakat Melayu zaman dahulu berbanding hari ini. Ia berpunca daripada makanan, di mana beras (nasi) yang merupakan makanan asasi masyarakat Malaysia ditambah bahan kimia, air minuman mengandungi bahan kimia dan sebagainya", ujarnya yang membawa maksud kebanyakan makanan dewasa ini mengandungi bahan aditif makanan yang boleh membahayakan kesihatan.

Apabila ditanya tentang masalah histeria yang sering dialami oleh segelintir pelajar sekolah termasuk guru-guru wanita sejak kebelakangan ini, beliau bersedia membantu merawatnya walaupun tidak pernah berhadapan dengan kes berkenaan sebelum ini. Namun, beliau perlu melihat kepada keadaan mangsa sama ada berpunca dari keturunan (saka), belaan makhluk halus dari moyang mangsa atau terkena sakat di jalanan dan sebagainya.

Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh beliau sewaktu merawat tujuh orang guru wanita termasuk salah seorangnya ialah guru besar sebuah sekolah agama di Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Kelantan yang meminta bantuannya. Punca histeria menurut guru terbabit disebabkan salah seorang dari mereka memotong serumpun buluh yang tumbuh di penjuru pagar sekolah terbabit. Ekoran tindakan guru itu menyebabkan makhluk halus yang ada di pohon itu terus meresapi tubuhnya menyebabkan guru-guru yang lain pula menerima natijahnya.

Ketujuh-tujuh guru tersebut bertandang ke rumahnya dan mereka melingkarinya menjadi bulatan dan beliau bersila di bahagian tengah. Namun, beliau memberitahu tidak pernah memulihkan masalah gangguan histeria sebelum ini, tetapi akan cuba mengatasinya dengan izin Allah.

Menurutnya, di antara bahan-bahan yang digunakannya seperti beras, kunyit dan lada hitam. Ketiga-tiga bahan ini dicampurkan ke dalam satu bekas dan dengan bacaan surah tiga kul selepas itu beliau mencabar makhluk tersebut dengan diajak berlawan dengannya dan semestinya beliau tidak akan mengaku kalah. Selepas itu, beliau menaburkan bahan-bahan tersebut ke arah tujuh orang guru yang diganggu histeria itu.

Selepas terkena bahan-bahan berkenaan menyebabkan ketujuh-tujuh guru perempuan itu tersedar dan beliau meminta mereka mengucap dua kalimah syahadah. Mangsa yang dapat mengucap dua kalimah syahadah ini memberikan gambaran mereka telah pulih sepenuhnya dari gangguan makhluk halus penyebab histeria itu, kemudiannya beliau meniupkan ketujuh-tujuh guru terbabit dengan membekalkan air tawar masing-masing.

Sambungnya, daripada maklumbalas pesakit terhadap rawatan yang diperkenalkannya setakat ini amat memberangsangkan dan pesakit memuji keberkesanan rawatan yang dilakukannya kerana telah sembuh sepenuhnya. Kebanyakan pesakit yang pernah datang menerima rawatan dengan beliau kebanyakannya dari Pasir Pekan (Wakaf Baharu), Tanah Merah, Kota Bharu, Gua Musang, Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.

Namun, paling menarik bagi kebanyakan rawatan yang diterima pesakit dari luar Kelantan yang didapati sembuh sepenuhnya adalah penyakit strok. Selain penduduk tempatan, ramai pesakit luar Kelantan menganggap beliau adalah pakar strok kerana setelah menerima rawatan darinya, penyakit kronik itu sembuh sepenuhnya selain mampu merawat pesakit perut, terseliuh urat saraf dan sebagainya.

Sebagai akhir katanya, setiap pesakit yang menerima rawatan darinya beliau tidak meletakkan sebarang harga tetapi bergantung kepada keikhlasan pesakit itu sendiri. Justeru, beliau berharap jika mengalami pelbagai masalah yang dinyatakan tidak perlu berasa malu dan segan kerana baginya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya dan setiap penyakit itu ada ubatnya.

Cik Som binti Kasim atau Kak Wan Cik Som.

Cik Som ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


 Inilah kediaman Cik Som.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Mandi Wap Herba


MANDI WAP DAN KUKUS HERBA

PASIR MAS, KELANTAN:  Penyakit dirawat melalui pelbagai kaedah bukan sahaja secara moden sama ada melalui suntikan dan amalan memakan ubat. Bukan juga melalui kaedah tradisional yang sering diamalkan seperti urutan urat saraf mahupun dengan meminum air akar kayu ataupun tumbuhan herba. Namun, percayalah semenjak berkembangnya ilmu pengetahuan, beberapa kaedah lain seperti "Mandi Wap dan Kukus Herba" juga mampu untuk memulihkan dan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kronik malah telah dianggap sebagai terapi tradisional terbaik yang pernah diamalkan beberapa tahun lalu. Tetapi dewasa ini disebabkan beberapa faktor tertentu, kaedah sedemikian seperti tersisih dari dunia perubatan.

Menyedari hakikat tentang kaedah sedemikian yang dianggap ringkas, mudah dan tidak menyakitkan telah menjadikannya suatu inisiatif supaya rawatan seumpama ini diperkembangkan.

Seorang Pengusaha Pusat Mandi Wap dan Kukus Herba, Haji Omar bin Sulaiman, 63, atau turut dikenali sebagai Pak Nik Haji Omar dari Kampung Padang Embun, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Penulis berkata, sememangnya kaedah seumpama ini masih mendapat tempat di hati masyarakat kerana selain rawatannya agak ringkas, bayaran yang dikenakan juga agak rendah berbanding lain-lain rawatan yang diperkenalkan.

"Pak Nik pernah diserang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok pada tahun 2003. Ketika itu Pak Nik sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Pada suatu hari, keluarga (waris) Pak Nik menyarankan supaya Pak Nik mendapatkan rawatan melalui kaedah mandi wap di sebuah pekan di Golok, Thailand kerana cara rawatan ini amat pantas untuk menyembuhkan penyakit tanpa berpantang, tanpa disuntik atau tanpa melalui pengambilan ubat", jelas Pak Nik Haji Omar ketika ditanya sebab-sebab beliau menubuhkan pusat mandi wap bersebelahan rumahnya itu sehingga hari ini.

Katanya, menyahut saranan keluarganya itu yang turut memperkenalkannya ke sebuah pekan di daerah Golok, Thailand yang agak tersohor dengan kaedah sedemikian dengan harapan untuk menyembuhkan ketiga-tiga penyakit kronik yang dialaminya, beliau akur dengan ajakan itu walaupun pada mulanya agak keberatan untuk berbuat demikian.

"Pak Nik ikut apa yang terbaik asalkan penyakit ini sembuh seperti sebelumnya, jadi Pak Nik kemudiannya ke sana. Dalam hati Pak Nik bertekad, jika penyakit ini sembuh Pak Nik berjanji akan mewujudkan pusat mandi wap di kampung Pak Nik sendiri dengan harapan dapat membantu pesakit-pesakit lain pula", ujarnya.

Dengan takdir Allah, ketiga-tiga penyakit kronik yang dialaminya itu sembuh seperti sediakala. Dengan hasrat dan azam yang dicetuskan dalam hati kecilnya ketika itu untuk tujuan mewujudkan sebuah pusat mandi wap berasaskan herba akhirnya terlaksana. Pengalamannya dapat merasai sendiri situasi ketika dalam proses rawatan mandi wap di negara gajah putih itu banyak memberikan manfaatnya kerana hakikat yang sebenarnya dapat mencairkan dan memudahkan aliran darah dan selepas itu kesihatannya agak memberangsangkan.

Namun menurutnya, amat berbeza di antara pusat mandi wap yang diusahakannya berbanding dengan pusat mandi wap yang diusahakan di tempat lain terutamanya dari segi penggunaan herba atau akar-akar kayu berubat yang diperkenalkannya. Di antara beberapa jenis herba yang digunakannya dalam proses mandi wapnya terdiri dari lapan jenis akar-akar kayu seperti tongkat ali, teja lawan, teja jantan dan lain-lainnya, berbanding dengan pusat mandi wap di tempat lain yang tidak menggunakan kaedah herba sepertinya.

Tambah Pak Nik Haji Omar, kesemua jenis herba berkenaan turut diusahakannya sendiri kerana berpegang kepada falsafah setiap yang baik itu akan memberikan manfaatnya kepada manusia dan justeru itu herba berkenaan mempunyai kebaikannya kepada tubuh pesakit kerana herba dari akar-akar kayu adalah penyembuh malah penawar terhadap penyakit yang dihidapi manusia paling berkesan di atas muka bumi Allah ini.

Katanya, masa operasi pusat mandi wapnya itu diperuntukkan empat kali seminggu meliputi hari Jumaat dan Sabtu bermula jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam. Manakala hari Isnin hingga Rabu bermula jam 3.00 petang hingga 10.00 malam yang dibuka kepada orang ramai bukan sahaja di kalangan lelaki tetapi juga terdiri daripada kalangan wanita. Namun menurutnya, jika sambutan pelanggan agak luar biasa, masa yang ditetapkan itu akan terus dilanjutkan sehingga kesemua pelanggan pulang.

"Sambutan pelanggan setakat ini agak menggalakkan sama ada lelaki dan wanita. Ini kerana, mandi wap ini bukan sahaja amat baik untuk kesihatan lelaki, namun perempuan juga digalakkan supaya tahap kesihatan memuaskan terutamanya kepada golongan wanita datang bulan agak lewat, tidak seimbang dan seminggu selepas bersalin. Setelah mandi wap beberapa kali, masalah yang dialami akan terasa perubahannya", katanya.

Sambungnya, kebanyakan pelanggan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan, namun terdapat juga pelanggan dari Kota Bharu, Bachok, Machang, malah paling ramai dari Rantau Panjang termasuk dari Jerteh (Terengganu) dan Golok (Thailand).

Apabila ditanya, apakah istimewanya sehingga pelanggan dari Golok, Thailand datang mendapatkan rawatan di pusat mandi wap beliau sedangkan di sana juga mempunyai pusat mandi wap yang agak tersohor. Beliau menjelaskan, salah satu sebabnya ialah terdapat beberapa pelanggan dari Selatan Thailand itu yang pernah mandi di pusat mandi wapnya, jadi apabila mereka pulang hal ini disebarkan kepada beberapa orang rakan-rakan mereka bahawa pusat mandi wap yang diusahakannya amat berbeza dengan di sana.

Apatah lagi, makluman pelanggan di sana yang mengatakan pusat mandi wapnya agak berlainan dari segi penggunaan herba sebagai salah satu kaedah untuk menyembuhkan penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, kolestrol setelah kaedah ini dilakukan berulang kali, penyakit yang dialami pasti pulih menyebabkan pusat mandi wapnya kini agak tersohor juga.

Dari segi bayaran pula dianggap paling murah jika dibandingkan dengan pusat mandi wap yang lain kerana salah satu sikapnya adalah untuk membantu orang ramai supaya sentiasa berkeadaan sihat sebagaimana hasrat beliau sebelum ini. Bayaran sebanyak RM10 yang dikenakan bagi sekali mandi dianggap berpatutan dan dianggap tidak membebankan pelanggan dan setakat ini kesemua pelanggannya amat berpuas hati dengan bayaran yang dikenakannya.

Penetapan masa mandi terserah kepada pelanggannya mengikut kehendak mereka di mana sesetengah pelanggan dapat bertahan dalam masa satu jam, tetapi baginya bukan bergantung kepada masa. Kebanyakan pelanggan-pelanggannya ada yang dapat bertahan selama 15 hingga 20 minit kemudian mereka akan keluar berehat sementara dan selepas itu disambung kembali.

"Amalan mandi wap ini banyak kelebihan dan keistimewaannya kepada kesihatan lelaki dan wanita, salah satunya akan keluar toksik melalui aliran peluh selepas berbuat demikian.

"Dalam hal ini, adalah perlu setiap pesakit perlu melakukannya berulang kali khusus bagi penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, strok, jantung dan kandungan kolestrol yang tinggi dalam darah", ulang Pak Nik Haji Omar lagi.

Katanya, beliau banyak menerima maklumbalas dari beberapa orang pelanggannya yang mendakwa sebelum amalan mandi wap tubuh badan mereka akan sering berasa keletihan, tidak bermaya, malas dan kadang-kadang terlalu sukar untuk bangun pagi serta sering bermenung untuk melaksanakan sesuatu tugas. Namun, selepas mereka mandi wap kelihatan tubuh badan agak sihat dan segar di mana perasaan malas yang menghantui mereka sebelum ini tidak lagi wujud. Bahkan tubuh badan yang berasa lemah dan sentiasa sakit-sakit sebelum ini secara totalnya berubah. Ini disebabkan beberapa jenis toksik dalam badan, asid dan kolestrol dalam darah akan mengalir melalui peluh.

Disebabkan sambutan pelanggan agak menggalakkan, beliau turut berasa gembira kerana usahanya selama ini diterima oleh orang ramai. Apatah lagi dengan niatnya untuk memberikan khidmat dan pertolongan kepada pelanggan yang mengalami masalah kesihatan dan dalam masa yang sama pelanggan mendapat manfaat dari pusat mandi wap yang ditubuhkannya dalam istilah sama-sama memberikan pertolongan kerana beliau sendiri tidak berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja yang lain disebabkan penyakit yang pernah dialaminya sebelum ini.

Sementara itu, salah seorang pelanggan setianya yang setakat ini telah lebih 10 kali sering mandi wap dipusat mandi wap milik Pak Nik Haji Omar, Zulkifli bin Basheer, 35, dari Kampung Pengkalan Datu, Pasir Mas yang juga seorang guru dari salah sebuah sekolah rendah dekat sini yang menghidap gastrik menganggap, semenjak amalan mandi wap di pusat berkenaan beliau berasa tubuhnya agak ringan dari sebelumnya, masalah tidur yang menghantuinya juga telah selesai manakala berat badannya juga semakin menurun (berkurangan).

"Saya mencadangkan supaya amalan mandi wap ini dilakukan dua kali dalam seminggu. Tetapi disebabkan urusan kerja, saya amalkan sekali dalam seminggu, itu sudah memadai", katanya yang begitu teruja setiap kali selesai mandi di situ.

Katanya, beliau menyarankan kepada golongan yang belum pernah mengamalkan mandi wap dan kukus herba itu berharap mencubanya kerana amalan berkenaan boleh menyihatkan badan. Ini kerana, amalan mandi wap sebagai langkah alternatif bagi golongan yang tidak mempunyai masa untuk bersukan. Walaupun  bersukan itu menurutnya lebih baik, namun daripada menyerahkan diri kepada masalah kesihatan disebabkan tidak bersukan, adalah lebih baik dengan kaedah mandi wap akan mengeluarkan peluh yang kotor dari badan. Apatah lagi menurutnya, dewasa ini kita sering terdedah kepada amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan segera serta masalah pencemaran udara, lantas dengan amalan mandi wap boleh menyucikan badan individu itu sendiri selain turut menyucikan darah dalam tubuh badan kita sekali.

Beliau berpendapat dalam hal ini, sepatutnya orang ramai perlu sedar bahawa sewaktu ketika dahulu amalan mandi wap ini sememangnya mendapat tempat, namun disebabkan manusia semakin sibuk menyebabkan kita mengabaikan kaedah berkenaan. Dengan demikian, apabila beliau ke pusat mandi wap dan kukus herba Pak Nik Haji Omar beliau berasa sangat perlu memandangkan dewasa ini kita banyak terdedah kepada masalah pencemaran.

Atas dasar itu, beliar menyarankan dalam peringkat usia 40 tahun ke atas itu di mana kebanyakannya malas bersukan, jadi dengan adanya pusat mandi wap seumpama ini anggaplah sebagai aktiviti riadah di tempat berkenaan kerana kaedah sedemikian menyebabkan peluh akan mengalir keluar dengan banyaknya dari setiap bahagian tubuh yang dianggapnya hampir sama dengan bersukan.

Dalam hal ini, amat jelas sebagaimana hasrat Pak Nik Haji Omar yang bercita-cita bahawa penubuhan pusat mandi wap dan kukus herba untuk membantu pesakit-pesakit termasuk golongan miskin yang tidak mampu menerima dengan harga mahal. Jika beliau berniat untuk menjadikannya sebagai komersial, beliau perlu mencari tempat yang agak luas dan sesuai.

Justeru, jika dijadikan komersial tentunya pelanggan-pelanggannya perlu mengeluarkan kos yang tinggi, jadi adalah memadai beliau mewujudkannya di atas tanahnya sendiri tanpa perlu menambahkan beberapa keperluan lain yang tentunya agak membebankan. Apatah lagi, beliau melakukannya sendiri dengan dibantu oleh isterinya, dalam keadaan ini beliau tidak perlu mendapatkan khidmat pekerja kecuali bersama anak-anaknya. 


Haji Omar bin Sulaiman atau Pak Nik Haji Omar.

Pak Nik Haji Omar ketika ditemubual Penulis.

Papan tanda yang diletakkan di hadapan Pusat Mandi Wap.

Bilik mandi wap lelaki.

Bilik mandi wap perempuan (kiri sekali).

Cikgu Zulkifli Basheer adalah pelanggan setia Pusat Mandi Wap dan Kukus Herba.

Zulkifli Basheer di bilik mandi wap.


Pak Nik Haji Omar juga memperkenalkan kaedah berbekam.

Inilah alat untuk berbekam.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH