RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 6 Disember 2011

Misteri Nahas Maut


MISTERI NAHAS MAUT

PASIR MAS, KELANTAN:  KEMALANGAN maut adalah suatu tragedi. Namun, nahas yang melibatkan kematian kebanyakannya akan menjadikan kawasan terbabit ditakuti orang. Ini kerana, pengalaman beberapa mangsa yang terkena usik sama ada diganggu suara mengilai, menjerit dan menangis malah kadang-kadang diganggu jelmaan lembaga yang menakutkan turut menjadi igauan tidur sesetengah mangsa.

Kejadian sedemikian bukan cerita dongeng, namun nahas ngeri apabila mangsa digilis sebuah lori projek pernah berlaku pada bulan Ogos 2009 di kawasan dikenali sebagai kubur bongor di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas dekat sini sememangnya menakutkan orang ramai khususnya di kalangan kanak-kanak yang turut disakat lembaga perempuan mangsa nahas tersebut.

Ketika menceritakan kejadian itu kepada Wartawan RELATIF, Mohd. Khairi Anuar, 16, dari kampung terbabit tidak menafikan akibat nahas ngeri hari tersebut menyebabkan kanak-kanak di kampungnya seolah-olah fobia dengan peristiwa itu apabila salah seorang mangsa pembonceng motosikal digilis sebuah lori projek yang sarat dengan muatan batu-batu kuari akhirnya meninggal di tempat kejadian.

"Kejadian nahas berlaku sewaktu dua pelajar perempuan menunggang motosikal untuk ke sekolah. Ketika mereka membelok setelah tiba di selekoh ladam kuda itu, sebuah lori projek merempuh mereka dengan kuat", ujarnya.

Katanya, kedua-dua pelajar perempuan itu adalh pelajar Tingkatan Empat sekolah berdekatan. Mereka sering ke sekolah bersama-sama dalam sessi petang. Bermulanya kejadian itu menurut Mohd. Khairi, mangsa menunggang motosikalnya dari arah rumah dan apabila sampai di kawasan jalan ladam kuda itu mangsa kemudiannya membelokkan motosikalnya. Dengan tidak diduga sebuah lori projek yang penuh dengan muatan batu-batu kuari tiba-tiba merempuh mereka dengan pantas. Kejadian nahas itu pula berlaku berhampiran dengan tempat projek pembinaan jalan di kampung terbabit.

Tambah Mohd. Khairi lagi, simpang jalan raya yang dikenali ladam kuda itu keadaannya agak sempit, semestinya pemandu-pemandu kenderaan yang melalui kawasan itu sepatutnya memandu secara perlahan dan berhati-hati. Beliau agak, disebabkan pemandu lori itu tidak menyedari ada lagi pengguna jalan raya lain sedang melaluinya apatah lagi disebabkan muatan lori agak padat dengan batu-batu kuari menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak kerana terlalu terkejut, akhirnya mangsa yang hanya berkenderaan kecil menerima natijahnya.

Akibat dirempuh dengan kuat, kedua-dua mangsa terpelanting. Penunggang motosikal itu juga turut tercampak ke sebuah pagar buluh berdekatan dengan kebun tanaman berhampiran semak itu hanya sekadar mengalami cedera ringan dan luka-luka sahaja. Namun, keadaan pemboncengnya agak ngeri apabila terperosok ke bawah perut lori terbabit menyebabkan tayar belakang kenderaan berat itu telah menggilis sebahagian tubuh mangsa dan menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian ketika itu juga.

"Selepas kejadian, mangsa dibawa ke hospital dan kemudiannya dituntut oleh pihak keluarga. Namun, selepas seminggu kejadian nahas ngeri itu, orang-orang kampung mula bimbang, apatah lagi dengan kanak-kanak mula terasa seram sejuk apabila menjelang waktu tengah malam", terang Mohd. Khairi.

Menurutnya, selepas jam 12.00 tengah malam, pengguna jalan raya yang melewati kawasan nahas itu dengan menunggang motosikal secara bersendirian akan sering terdengar dengan jelas seperti suara perempuan sedang menangis. Manakala pengalaman seorang warga emas yang pernah memandu kenderaannya di kawasan terlibat memberitahu, tayar keretanya seolah-olah terpijak suatu objek yang agak keras seperti ketulan batu dan selepas itu berlaku hentakan yang agak kasar terhadap keretanya itu, namun apabila beliau mengundurkan kenderaannya untuk melihat secara lebih dekat objek apakah yang dipijak dan dilanggarnya didapati tidak ada sesuatu yang merintangi atau menghalang laluannya sehingga terasa sesuatu digilis tayar keretanya itu.

Sejak kejadian itu, Mohd. Khairi berkata timbul berbagai reaksi terutamanya di kalangan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang mengetahui sesuatu yang bakal berlaku setiap kali selepas nahas pastinya akan sentiasa berhati-hati dan tentunya tidak akan melalui kawasan itu lagi. Sebaliknya bagi kanak-kanak yang tidak ambil kisah dengan kejadian berkenaan akan sering menggunakan laluan itu sebagai laluan alternatif yang paling hampir untuk ke kampung bersebelahan. Kanak-kanak inilah yang menceritakan kepadanya bahawa, mereka mengalami pengalaman yang agak menyeramkan bulu roma kerana diusik lembaga bersuara perempuan yang tidak kelihatan rupa parasnya apabila mereka melalui kawasan terbabit.

Setelah mengalami pengalaman diusik lembaga bersuara menakutkan itu, menyebabkan lapan kanak-kanak yang menjadi mangsa usikan itu sering dalam ketakutan kerana itulah pengalaman pertama mereka disakat walaupun sebelum ini mereka tidak ambil kisah sangat kononnya tidak apa-apa yang perlu ditakutkan. Jadi, sikap tidak ambil peduli kanak-kanak yang menjadi mangsa usikan itu sebenarnya menyusahkan mereka sendiri dan pengalaman itulah yang mendorong mereka sentiasa berhati-hati.

Justeru sejak hari itu, apabila kanak-kanak berkenaan ingin ke kampung bersebelahan terutamanya pada malam hari mereka akan melalui jalan yang lain kecuali di sebelah siang hari walaupun berkeadaan biasa dan tiada lagi rasa takut kawasan berkenaan agak lengang kerana dijarang dilalui tidak sebagaimana sebelumnya.


Mohd. Khairi Anuar.

Mohd. Khairi Anuar ketika diwawancara Wartawan RELATIF di rumahnya.

Kawasan Nahas: Dua pelajar perempuan dirempuh lori projek.

Di pagar inilah penunggang motosikal itu terpelanting.

Di sinilah pembonceng motosikal (mangsa) digilis lori projek dan meninggal di tempat kejadian.

 Berhampiran semak inilah suara perempuan sedang menangis selepas jam 12.30 malam.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 5 Disember 2011

Misteri Diusik Langsuir


MISTERI DIUSIK LANGSUIR

KOTA BHARU, KELANTAN:  Di zaman moden ini, mungkin ada segelintir individu yang tinggal di bandar menafikan hakikat jelmaan makhluk halus, kononnya makhluk ghaib itu tidak akan wujud di tempat-tempat terbabit. Tetapi telahan itu agak meleset kerana makhluk halus boleh mendiami dan menghuni di mana-mana tempat menurut kemahuan mereka, bukan sahaja di bukit-bukau atau hutan rimba. Sebaliknya di bandarlah tempat yang digemari makhluk berkenaan berikutan banyaknya aktiviti maksiat dan sebagainya yang menjadi kegemaran makhluk berkenaan.

Hakikat yang berlaku di Kampung Aman, Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan adalah contoh terdekat tentang jelmaan wanita berpakaian putih di beberapa simpang di laluan tersebut. Sama ada ingin mempercayainya atau tidak terpulanglah kepada pendapat individu, namun kejadian mangsa diusik oleh makhluk berwajah hodoh itu yang dikenali sebagai 'langsuir' itu memang benar-benar berlaku.

Salah seorang mangsa disakat makhluk yang menyeramkan itu, Khairi Asraf bin Khaidir, 16, dari Kampung Aman dekat sini mendakwa, beliau memang nampak dengan agak jelas makhluk berwajah hodoh itu terbang dari arah sebatang pohon rimbun menyusuri motosikal yang ditunggangnya pada pukul 1.30 pagi itu.

Katanya, sebelum ini beliau dan kedua ibu bapanya menyewa sebuah rumah di Bunut Payong. Semasa di sana, tidak pernah berlaku gangguan dan usikan dari mana-mana makhluk halus terhadapnya walaupun beliau sering keluar malam. Namun, semenjak beliau dan keluarga berpindah ke kampung berkenaan sejak Julai 2009, maka bermulalah episod gangguan itu. Apatah lagi, sejak 8 Oktober, 2009 dia mula bekerja di salah sebuah restoran makanan di Kubang Kerian, tentunya beliau pulang agak lewat pagi.

Tambahnya lagi, semenjak awal menyewa di tempat berkenaan, belum berlaku kejadian beliau diusik perempuan berpakaian putih walaupun kerap keluar malam ke rumah rakannya dari jam 10.00 hingga 11.00 malam. Tetapi sejak bekerja di tempat berkenaan dan sering pulang lewat pagi, sejak itulah beliau sering menjadi mangsa usikan makhluk ghaib itu yang seolah-olah sedang menunggunya sebagai mangsa.

"Memang saya agak sejak dari awal bekerja dan pulang lewat pagi, lembaga perempuan berpakaian putih itu sedang bertenggek di sebatang pohon rimbun di laluan yang sering saya lewati", jelas Khairi.

Menurutnya, pengalaman pertamanya diusik lembaga tersebut ketika beliau sedang menunggang motosikalnya melalui simpang masuk bersebelah Restoran J.J. Lembaga perempuan berpakaian putih itu terbang agak pantas dari arah sebatang pohon rimbun menghala ke arah motosikal yang ditunggangnya pada pukul 1.30 pagi. Cara makhluk yang tidak dikenalinya itu terbang ke arah motosikal yang ditunggangnya dapat dilihat dengan jelas dari hujung rambut hingga hujung kaki di mana ketinggiannya kira-kira dua meter. Melihatkan suasana itu, pada mulanya beliau agak terkejut kerana sebelum ini beliau tidak pernah melalui pengalaman seumpama itu.

Apabila beliau sampai di rumah dalam keadaan tubuhnya yang menggigil itu, mamanya meminta supaya terus ke dalam bilik. Namun, makhluk yang berpakaian putih itu tidak sekadar mengganggunya di sebatang jalan yang dilaluinya pada pagi itu kerana ketika beliau masuk ke bilik pada pagi yang sama, beliau turut diusik oleh makhluk yang sama apabila lembaga terbabit mundar-mandir dan terbang memperlihatkan dirinya melalui cermin jendela rumah yang dapat dilihat dengan jelas dari arah biliknya. Akibat disakat lembaga berpakaian putih itu berkali-kali, beliau mengalami demam selama tiga hari.

Walaupun pernah demam selama tiga hari akibat disakat lembaga yang didakwa oleh orang-orang kampung bahawa makhluk tersebut adalah langsuir beliau mula memahaminya. Mendengar kata-kata langsuir, perasaannya mula goyah dan pada ketika itu juga tubuhnya mula diserang rasa takut dan gementar. Namun, disebabkan faktor kerja beliau meneruskan rutin biasa apabila terpaksa keluar awal malam dan pulang lewat jam 1.30 pagi. Bermula dari saat itu, beliau tidak lagi melalui simpang sebuah restoran makanan itu, sebaliknya melalui jalan lain bersebelahan dengan tanah perkuburan berhampiran rumahnya, di mana tatkala agak hampir dengan kubur tersebut beliau terpandang lembaga putih yang sama sedang bertenggek di bawah sinaran lampu jalan sambil memerhatikan ke arahnya.

Terang Khairi lagi, semasa bertembung dengan lembaga langsuir berhampiran tanah perkuburan itu, beliau cuba mengamati dari jarak beberapa meter sahaja untuk memastikan adakah lembaga yang dilihatnya itu tubuh manusia atau langsuir sebagaimana yang pernah dilihatnya sebelum ini. Memang agak jelas, lembaga yang memerhatikan ke arahnya di bawah sinaran lampu berhampiran perkuburan lama yang dimaksudkannya itu adalah langsuir yang sama dan selepas beberapa kali beliau melihat ke arah makhluk itu, tiba-tiba langsuir itu terus ghaib.

"Pengalaman kali ini agak dahsyat dan menakutkan juga, seolah-olah lembaga langsuir itu mengekori saya dari belakang", katanya.

Lembaga langsuir yang sering mengusiknya itu tidak sekadar mengacahnya di dua tempat itu sahaja. Ini kerana, pada 24 Oktober lalu, beliau turut diusik langsuir yang sama, kali ini di sebatang jalan berhampiran jambatan dan saliran air di mana dari arah tebing jalan itu adalah tanah perkuburan yang sama menuju ke rumahnya. Termasuk beliau, setakat ini sudah tiga orang yang kena ganggu apabila melalui kawasan tersebut. Di antara mangsa yang pernah kena sakat langsuir di kawasan yang sama ialah anak kawan mamanya sewaktu keluar malam untuk ke rumah rakannya jam 1.30 pagi.

Khairi menambah, anak kawan mamanya itu pernah melalui sebatang jalan lurus dari arah tanah perkuburan terus menuju jambatan dan saliran air untuk ke rumah rakannya pada waktu yang dimaksudkan. Dengan tidak disangka-sangka, anak kawan mamanya itu terasa motosikal yang ditunggangnya berasa berat dan bergerak perlahan. Namun, apabila tiba di jalan utama secara tiba-tiba motosikal yang ditunggangnya berasa ringan tidak sebagaimana tadi.

Apabila ditanya, dari arah mana jelmaan lembaga berpakaian putih yang dikatakan langsuir itu muncul. Beliau menjelaskan, beliau agak ada individu dari wanita Indo yang memelihara makhluk tersebut berhampiran rumahnya, di mana individu terbabit memang mengenali mamanya. Di sebelah sisi rumah yang disewa wanita Indo itu ada sebatang pohon kuini dan rumah kosong di mana ada individu yang pernah melihatnya, lembaga yang dimaksudkan itu sering muncul dari arah pohon kuini itu.

Jelasnya, apabila mengetahui kemunculan langsuir itu menyebabkan tubuhnya berkenaan lemah dan sering demam. Demam biasa agak berbeza, sebaliknya demam kerana diusik makhluk langsuir itu menyebabkan tubuhnya berasa panas, bertukar sejuk dan gementar yang agak teruk, terpaksalah beliau menyelimutkan diri untuk mengelakkan tubuhnya terus menggigil secara berpanjangan. Sewaktu beliau mengalami demam itu, beliau terbayang langsuir yang sama dan sering mengintainya yang berada dalam bilik rumahnya.

Di samping itu, sewaktu beliau berada seorang diri di rumah pada waktu malam, setiap kali jam dinding rumahnya menunjukkan jam 3.00 pagi, telinganya dapat menangkap bunyi suara mengilai dengan jelas seolah-olah cuba menyakatnya. Selain itu, telinganya pernah beberapa kali dapat menangkap bunyi seperti ada makhluk tertentu sedang berjalan di atas bumbung rumahnya beberapa kali. Walaupun makhluk halus itu cuba mengusiknya, namun setakat ini makhluk berkenaan tidak pernah mengusik dalam rumahnya kecuali di luar sahaja.

"Sebelum kejadian ini, saya pernah mendapat mimpi yang menakutkan apabila sering diusik lembaga perempuan yang menyerupai pontianak, juga berpakaian putih dan berambut panjang sehingga paras paha", ujarnya walaupun beberapa kali diusik langsuir itu beliau tidak pernah serik untuk ke rumah rakannya pada waktu malam.

Walau bagaimanapun, setelah beliau berhenti kerja dari restoran itu beliau tidak lagi diusik oleh lembaga yang berpakaian serba putih yang dikatakan langsuir yang sering muncul dari arah sebatang pohon rimbun bermula dari simpang jalan yang sering dilaluinya.

Justeru, kini episod beliau sering disakat langsuir itu telah berakhir, walaupun masih keluar malam jam 10.00 malam, cuma beliau perlu pulang awal sebelum 1.30 pagi untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang. 



Khairi Asraf bin Khaidir.

Inilah simpang jalan yang sering dilalui Khairi ketika pulang kerja jam 1.30 pagi.

Langsuir sering bertengek dan terbang mengekori arah motosikal yang ditunggangnya.

Simpang empat ini turut dihuni langsuir yang sering menanti mangsanya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Remaja Disorok


MISTERI REMAJA DISOROK

PASIR MAS, KELANTAN:  MEMANG boleh dikatakan amat mustahil dan tidak masuk akal apabila seorang remaja lelaki yang berwatak lembut seperti seorang perempuan, tidak pernah meninggalkan rumahnya sendiri kecuali dengan mendapat keizinan kedua ibu bapanya. Malah remaja ini seorang yang rajin sembahyang di masjid serta mempunyai tingkah laku yang baik serta jujur. Namun, remaja yang bernama Radhi, 16, didapati telah hilang secara misteri dan didakwa oleh beberapa pihak telah disorok bunian ke sebuah pulau hingga ke hari ini.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang warga emas, Awang @ Abdullah Senik atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, 59, dari Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, Kelantan mendakwa remaja yang hilang itu dikatakan dibawa ke Banggol Kubur yang terletak dalam daerah Thailand serta dipisahkan hanya dengan sebuah sungai berjarak 50 meter dengan Kampung Kolam Gelang Mas, Pasir Mas dekat sini.

"Pakcik sendiri pun hairan juga. Radhi budak yang baik. Semua orang senang dengan sikapnya. Kenapa dia yang disorok sebab dia tidak ke mana-mana. Dia hanya terperap di rumahnya saja", getus Pak Lah sambil mengerutkan dahinya untuk menunjukkan kesedihannya dengan peristiwa pertama di kampung yang berjiran itu.

Katanya, sebelum remaja itu hilang, Radhi pernah ke Pantai Sri Tujuh, Tumpat dan apabila pulang dari pantai itu didapati dirinya seperti tidak keruan dan apa yang dilakukannya seolah-olah tidak mencapai kepuasan serta ada sesuatu yang tidak kena terhadap dirinya. Manakala pada hari yang berikutnya, dua orang rakannya pula ke pantai yang sama tanpa ditemani mangsa dan mangsa hanya terperap di rumah semata-mata kerana masih memikirkan tentang masalah yang dihadapinya. Semasa di pantai itu, kedua-dua rakannya menemui sebunjut bungkusan di mana apabila diteliti terdapat dua bilah keris dan wang syiling dalam bungkusan yang dimaksudkan.

Memikirkan mungkin ada sesuatu yang berguna kepada mereka bertiga nanti, kedua-dua rakan mangsa itu terus membawanya pulang. Salah seorang rakannya mengambil syiling tersebut, sebilah keris diambil oleh rakannya manakala sebilah keris lagi diserahkan kepada Radhi. Setelah menerima sebilah keris tersebut yang bertulis "keris ini kepunyaan Haji Ahmad", menyebabkan masalah yang dialaminya sebelum ini semakin membingungkan fikirannya dan keadaan itu menyebabkannya bertambah sasau. Dalam keadaan tidak dapat memikirkan keadaan dirinya itu menjadikan mangsa seperti dipukau supaya datang ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa. Apabila beliau tersedar, orang ramai difahamkan,  mangsa dibawa oleh suatu makhluk ke tempat kejadian yang dimaksudkan.

Menyedari mangsa didapati hilang lebih seminggu dan disahkan di kawasan pohon sagu bersebelahan sebuah sungai yang dilitupi hutan tebal dan semak-samun, beberapa orang penduduk kampung terlibat termasuk kampung yang berdekatan segera memberikan pertolongan sekadar dengan kemampuan masing-masing. Operasi mencari mangsa turut mendapat bantuan pihak polis yang dianggarkan berjumlah 200 orang dalam usaha menjejaki mangsa. Ketika dalam usaha menjejak mangsa, ada yang ternampak sehelai baju dan seluar yang dipakai oleh mangsa dipintal di sebatang pokok menerung di mana ikatannya menyerupai sekujur mayat manusia.

"Pakcik terkejut juga, kenapa baju dan seluar Radhi diikat macam bentuk mayat. Adakah tanda Radhi tidak akan kembali lagi?" sambung Pak Lah yang masih kaget dengan kejadian pelik dan telah tersebar pantas ke beberapa buah kampung yang berjiran itu.

Dalam operasi mencari mangsa, ramai juga yang terperosok ke dalam kubang kerbau berikutan air sungai melimpah ke tebing malah tanah di situ juga adalah berpaya yang ditumbuhi rumput kecil menyebabkan orang-orang kampung termasuk pihak polis yang turut mencari mangsa mengalami basah kuyup. Namun, mereka tidak menunjukkan sikap putus asa dengan Radhi dapat ditemui semula, namun segala-galanya agak kecewa. Pak Lah yang agak sedih dengan kejadian itu turut memberikan bantuan dengan mencarinya bersama rakannya yang dikenali sebagai Wan tetapi pencarian itu dilakukannya pada hari yang lain.

Berikutan usaha mencari menemui jalan buntu sekadar penemuan sehelai baju dan seluar mangsa, bapa mangsa kemudiannya mengadakan majlis sembahyang hajat, namun penyudahnya adalah sebuah kehampaan. Tanpa merasa jemu dan sebagai ikhtiar terakhir, terpaksalah bapa mangsa mendapatkan khidmat bomoh  kerana kebiasaannya dengan kaedah sedemikian tentunya usaha mendapatkan kembali Radhi yang hilang itu akan berhasil. Lebih kurang 20 orang bomoh termasuk seorang bomoh cilik (bomoh kanak-kanak) yang mendakwa dapat melihat mangsa sedang dibawa ke alam ghaib iaitu ke sebuah gunung di mana di kawasan itu juga seperti sebuah pulau yang tidak diketahui berada di daerah mana.

Manakala terdapat juga beberapa orang bomoh itu mendakwa, Radhi sedang merayau-rayau dan berjalan kaki seorang diri di Batu Tiga, Repek, Pasir Mas, lantas dan tanpa membuang masa kedua ibu bapanya bergegas ke tempat itu, namun mangsa tidak juga ditemui. Selepas itu, Radhi dikatakan muncul di Tanah Merah. Tanpa berfikir panjang mereka bergegas ke tempat yang dikatakan itu, namun agak hampa juga kerana bukannya mangsa tetapi orang lain.

Dalam hubungan ini, seandainya amat jelas mangsa telah dibawa mengembara ke alam ghaib milik bunian kerana bentuk fizikal yang dialami mangsa, mungkin sebagai suatu isyarat, makhluk bunian memang sayangkan keadaan mangsa kerana tiada kepakaran yang boleh merawat penyakit tersebut. Cuma, dalam konteks manusia sekadar berserah kepada kehendak Yang Maha Esa, supaya suatu hari nanti mangsa akan dikembalikan kepada orang tuanya. Mungkin pada masa itu, orang yang pernah melihatnya tidak akan mengenali mangsa yang telah bertukar dari rupa asal kepada sifatnya yang terbaru. Hanya Allah jua yang tahu segala-gala tentang hamba-hamba-Nya.   


Awang @ Abdullah Senik atau Pak Lah.

Pak Lah ketika diwawancara Wartawan RELATIF tentang remaja disorok bunian.

Wartawan RELATIF (kiri) dibantu kanak-kanak ke tempat remaja tersebut hilang.

Di sinilah remaja bernama Radhi didapati hilang dan disorok sehingga hari ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 4 Disember 2011

Misteri Pelajar Histeria


MISTERI PELAJAR HISTERIA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  KEJADIAN histeria boleh berlaku di mana-mana apatah lagi sejak kebelakangan ini mangsa utama adalah terdiri daripada pelajar sekolah. Apabila berlaku di sekolah, lazimnya mangsa yang terdiri daripada pelajar-pelajar perempuan yang lemah semangat akan menyebabkan mereka mudah diganggu kejadian yang tidak diduga itu.

Namun umumnya mengetahui, punca sebenar kejadian histeria di kebanyakan sekolah berkait rapat dengan gangguan makhluk halus yang menghuni dalam kawasan berkenaan selain akhlak dan perilaku pelajar itu sendiri yang gemar membuat bising secara keterlaluan dan tidak mempedulikan nasihat ternyata sebagai penyebab kejadian seumpama itu.

Mengulas kejadian histeria yang berlaku ke atas dua pelajar perempuan Tingkatan Satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu, Kelantan pada 22 Julai, 2009, Pengawal Keselamatan sekolah berkenaan, Mohd. Nor bin Mohamed, 52, atau Pak Nor tidak menolak kejadian itu ada hubungannya dengan sikap mangsa terlibat.

"Setahu Pak Nor, dua mangsa itu dalam keadaan lemah semangat selain duduk berdua-dua dengan membuat bising masing sambil membicarakan perihal makhluk ghaib, jadi mudahlah mereka tersampuk oleh makhluk halus yang kebetulan ada di kawasan itu", jelas Pak Nor yang telah bertugas di sekolah tersebut sejak 15 tahun lalu.

Katanya, walaupun pada masa kejadian beliau tidak bertugas kerana giliran malam, namun beliau mendapat berita itu daripada beberapa pelajar bahawa mangsa gangguan histeria pada hari tersebut memang dialami dua pelajar perempuan dari Tingkatan Satu. Pada hematnya, pelajar terbabit tidak memahami kedudukan sejarah sekolah terbabit terutamanya yang berhubung dengan alam dan perkara-perkara ghaib, jadi dengan membicarakannya perihal makhluk alam lain apatah lagi secara kebetulan makhluk yang dimaksudkan itu berkebetulan ada di kawasan terlibat, tentunya timbulnya rasa geram di kalangan makhluk berkenaan seolah-olah mempersenda golongan mereka. Kesempatan ini boleh jadi digunakan oleh makhluk halus itu untuk menyakat dan mengganggu mangsa supaya mereka memahami hakikat yang sepatutnya.

"Mangsa yang terkena gangguan akan memerhatikan pelajar-pelajar lain dengan pandangan agak luar biasa. Selepas itu, berlakulah gangguan dalam diri mangsa dan keadaannya tidak stabil, mereka bersedih dan menangis semahu-mahunya", jelas Pak Nor yang kemudiannya bergegas ke sekolah terlibat untuk memberikan bantuan dan pertolongan apabila mengetahui kejadian tersebut.

Menurut Pak Nor, pada peringkat awal ketika mangsa mula diganggu makhluk berkenaan sebagai punca histeria itu, beliau difahamkan salah seorang pelajar yang mengetahui keadaan cemas itu turut memberikan pertolongan sambil membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran untuk tujuan menghindarkan gangguan pada tubuh mangsa. Namun, mangsa pulih hanya untuk seketika sahaja sehinggalah beliau bersama rakannya turut memberikan bantuan sebagaimana yang sepatutnya.

Pak Nor menambah, sebelum ini kejadian histeria pernah berlaku di sekolah berkenaan pada tahun 1982 apabila terdapat beberapa pelajar dikatakan duduk berdua-duaan yang menimbulkan syak. Keadaan ini menurutnya menjadi kebencian makhluk halus yang menjadi penghuni asal di tempat tersebut sebelum sekolah berkenaan ditubuhkan selain terdapatnya sebuah jirat Cina di hadapan sekolah terbabit.

Katanya lagi, sekolah berkenaan pada masa dulu adalah sebuah ladang getah yang agak luas, manakala penduduk tempatan pada masa itu sememangnya amat takut untuk melalui beberapa kawasan terlibat yang dianggap mengusik kerana jika ada yang lemah semangat pasti menjadi mangsa disakat beberapa golongan makhluk halus yang berkampung di kawasan sekolah berkenaan.

Kata Pak Nor lagi, satu hal yang dilakukan oleh orang-orang dulu yang terlibat secara langsung tentang kepercayaan karut kononnya untuk mengelakkan mereka sering diganggu, mereka terpaksa melakukan pemujaan terhadap makhluk tersebut. Justeru, makhluk halus yang sememangnya mengetahui kebanyakan manusia adalah lemah dan mudah diperdayakan, jadi dengan cara demikian akan memudahkan makhluk ghaib itu mengambil kesempatan dengan memberikan tekanan dan bebanan terhadap manusia.

Setelah zaman berlalu, apabila tiada lagi seorang manusia pun mempedulikan makhluk berkenaan, apatah lagi akibat kawasan terlibat telah diteroka tanpa mempedulikan kewujudan makhluk halus telah berkampung di situ akan menyebabkan makhluk tersebut cuba membalas dendam. Dengan itu, amat jelas akibat kelalaian manusia menjaga perilaku tentunya menjadi kebencian makhluk halus yang ada di antaranya penganut Islam merasa muak dengan perilaku mangsa terlibat.

"Pak Nor tak nafikan, gangguan tersebut datangnya dari diri pelajar terlibat yang meremehkan waktu solat sehingga memudahkan gangguan berkenaan. Ini kerana, amat mustahil jika pelajar terbabit sentiasa mendirikan dan menjaga solat akan terkena gangguan tersebut", katanya.

Tambahnya, kejadian histeria tersebut berlaku jam 1.00 hingga 6.00 petang. Selain pertolongan pelajar lain, beliau juga turut membantu termasuk pertolongan rakannya sendiri sebagai ikhtiar bagi meredakan keadaan gangguan tersebut sehingga selesai dengan merenjiskan sedikit air. Selepas itu, mangsa terbabit dijemput oleh keluarga masing-masing untuk pulang ke rumah. Namun, semasa kehadiran keluarga mangsa terbabit kejadian yang sama berlaku dan pulih beberapa ketika selepas itu.

Ketika ditanya oleh Penulis tentang sejarah sekolah berkenaan, Pak Nor juga tidak menolak bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu sebenarnya turut dihuni oleh makhluk halus sebagaimana kejadian itu yang terdiri daripada bangsa jin.

Setahunya, makhluk halus yang masih menghuni di sekolah berkenaan terdiri daripada empat golongan yang turut menjaga di beberapa tempat berdasarkan bangsa makhluk itu masing-masing. Gangguan histeria sebagaimana yang dialami oleh mangsa sebenarnya sengaja dicetuskan oleh makhluk halus dari golongan bukan Islam. Manakala di sebelah hujung sekolah berkenaan dihuni oleh makhluk bunian yang sering bermain-main di kawasan terbabit mengikut masa-masa tertentu.

Menurutnya, pengalaman beliau sendiri ketika menunaikan solat dalam sebuah surau sekolah berkenaan, beliau mendapati terdapat beratus-ratus makhluk halus yang turut sama berada dalam surat itu seolah-olah menjadikannya imam solat dan ini membuktikan sekolah berkenaan turut menjadi tumpuan makhluk berkenaan yang merupakan penghuni asal di kawasan itu. Manakala manusia pula adalah penghuni kedua telah mengganggu kehidupan mereka di hutan itu sejak pembinaan sekolah berkenaan lagi.

Dengan demikian, amat jelas baginya jika makhluk berkenaan masih wujud di situ menandakan makhluk berkenaan sayang untuk meninggalkan tempat asal mereka supaya berpindah ke tempat lain. Ini tentunya, jika berlaku perkara buruk atas sikap cuai manusia, tentunya makhluk halus itu membencinya kerana menganggap manusia telah merosakkan ketenangan dan keamanan kawasan mereka.

"Tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan makhluk halus dalam kawasan sekolah ini seperti di surau, di bahagian belakang pejabat koperasi sekolah, kawasan sekolah baru, manakala berhampiran kantin pula terdiri dari makhluk hantu raya.

"Walaupun masih wujud makhluk halus di kawasan sekolah ini, keadaannya terkawal dan kejadian histeria pada hari itu dapat diatasi dengan sempurna", jelasnya.

Walaupun begitu, Pak Nor juga berharap supaya mana-mana pihak hendaklah menjaga perilaku masing-masing. Sebagai manusia yang tinggi budi pekertinya perlu menjaga maruah diri, termasuk keluarga dan agama Islam yang dianuti dalam usaha untuk menghindarkan gangguan histeria itu. Ini kerana, individu yang tinggi akhlaknya tidak akan melakukan perkara-perkara sumbang yang bukan sahaja ditegah agama, dikutuk malaikat tetapi tentunya tidak disenangi oleh makhluk halus dari golongan Islam.

Pak Nor memberikan contoh, sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengawal di sekolah berkenaan sejak 15 tahun lalu di mana beliau perlu membuat kawalan siang dan malam, beliau tidak pernah mengalami sesuatu gangguan sebagaimana yang dialami oleh dua pelajar tersebut. Paling pentin baginya adalah menjaga kehormatan dan mengawal diri, kerana suara bising manusia tidak disenangi oleh makhluk lain yang ada di situ yang gemar kepada keamanan tetapi tidak dapat dilihat oleh manusia.

Justeru, tidak perlulah beliau cuba mengambil tahu aktiviti makhluk halus itu apatah lagi cuba memasang niat untuk melihat rupa paras atau bentuk fizikalnya. Beliau tidak ingin mencari pasal kerana jika tersilap langkah beliau pula akan dipersalahkan. Biarlah beliau dengan kerjanya dan makhluk halus itu dengan aktiviti golongan mereka masing-masing, begitulah sebagai makhluk beriman yang berkongsi alam dengan makhluk lain ciptaan Allah S.W.T. 


Mohd. Nor Mohamed atau Pak Nor.

Pak Nor ketika diwawancara Wartawan RELATIF di halaman sekolah terbabit.


Inilah Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.

Halaman Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Hutan Lipur Bukit Bakar


MISTERI HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR

MACHANG, KELANTAN:  HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR yang terletak 13 kilometer dari bandar Machang, Kelantan dan 63 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu adalah sebuah lata atau sungai berjeram selain tempat perkelahan untuk keluarga mandi manda serta kawasan sesuai untuk aktiviti perkhemahan. Walaupun hutan lipur ini adalah tempat sesuai untuk menenangkan fikiran di samping dapat menyedut udaranya yang segar sambil menikmati panorama hutannya yang menarik dan mempesonakan, namun di sebalik keindahan dan hutannya yang teduh itu, Hutan Lipur Bukit Bakar sebenarnya menyimpan suatu kisah misteri yang hanya diketahui oleh penduduk tempatan sahaja.

Misalnya tragedi lemas penuh misteri sejak pembukaan hutan lipur ini pada tahun 1975 malahan kejadian yang sama berlaku pada tahun 2003, 2004 dan 2005 itu sedikit sebanyak menjadikan pengunjung seakan fobia kerana kejadian sedemikian sememangnya tidak masuk akal apabila air yang tenang lagi cetek itupun boleh menyebabkan mangsa terkapai-kapai kelemasan dan menemui maut ke dalam sebuah batu di sungai itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang pengusaha gerai makanan di tebing sungai di hutan lipur itu, Mohd. Asri Mahmud, 51, mengakui malah tidak menolak bahawa hutan lipur berkenaan ada penunggunya. Ini kerana, setiap kali pengunjung yang datang untuk mandi manda dengan membuat bising dan tidak dapat mengawal diri ketika itulah kejadian lemas berlaku penuh tragis dan bermisteri.

Katanya, seingat beliau Hutan Lipur Bukit Bakar diteroka sejak tahun 1960 lagi. Waktu itu, orang yang meneroka hutan dan bukit berkenaan terdiri daripada kalangan orang yang berilmu tinggi kerana amat sukar untuk memasuki bukit dan meneroka keluasan hutan belantara tanpa memiliki semangat kental dan bukan calang-calang orang boleh melakukannya, tentunya akan melalui pelbagai halangan dan kesukaran selain terpaksa berdepan dengan binatang buas dan makhluk halus yang merupakan penghuni setia di situ jika cuba campurtangan atau mengganggu kehidupan masyarakat mereka.

Apatah lagi kepercayaan karut orang-orang tua dahulu yang menganggap, setiap tempat yang perlu diteroka perlu diberikan sajian berupa sembelihan seekor kambing misalnya untuk sebagai jamuan kepada penunggu di situ sebagai korban agar mereka tidak diganggu nanti adalah realiti sebenar pada masa dulu. Salah satu tempat yang dimaksudkan adalah di sebatang pohon terap yang agak besar di atas tebing berhampiran dengan Lubuk Ayah Man itu adalah tempat asal yang masih wujud sehingga hari ini sebagai tempat pemujaan dan jamuan di mana darah sembelihan itu disimbah ke pohon tersebut selain sebagai tempat buangan saka. Akibatnya, apabila individu berkenaan meninggal, tentunya makhluk berkenaan mula bermaharajalela dan menagih korban sebagai bayaran perjanjian itu kerana makhluk berkenaan tidak lagi memperolehi makanan yang sepatutnya. Dengan demikian, tragedi mangsa lemas yang terjadi beberapa dekad lalu adalah sebagai bayaran yang perlu ditunaikan terhadap makhluk berkenaan akibat pelanggaran perjanjian yang pernah dibuat.

Semenjak Hutan Lipur Bukit Bakar dibuka dengan rasminya pada tahun 1975, penduduk setempat turut mendakwa di sepanjang sungai berjeram itu selain terdapatnya sebuah batu yang agak besar di mana di hadapan batu itu pula dikatakan ada sebuah kolam sedalam paras dada. Di atas batu tersebut pada masa itu sememangnya telah ditanda pangkah menggunakan cat merah sebagai tanda amaran dan simbol larangan kepada pengunjung untuk tidak menghampiri atau mandi manda di kolam tersebut. Ini kerana, pada masa itu individu yang mandi di situ pastinya akan menerima natijahnya sama ada dibayangi jelmaan lembaga yang menakutkan, disakat, meraung-raung tidak keruan dan histeria. Puncanya terdapat jelmaan makhluk wanita berwajah hodoh yang sering muncul dan bertenggek di atas batu besar itu selain sering berada berhampiran kolam misteri itu kononnya kejadian seumpama itu disebabkan seorang wanita pernah mandi di situ yang akhirnya lemas dan meninggal di situ juga.

Maka hari ini sesuai dengan peredaran masa, pengubahsuaian tempat itu dilakukan dengan penuh terancang untuk menjadikannya sebuah lata dan sungai yang agak menarik dalam usaha untuk menampakkan keindahan serta keselesaannya kepada pengunjung seperti beberapa prasarana, gerai makanan dan sebagainya. Namun, tempat yang dikatakan berpuaka itu masih lagi wujud sehingga hari ini dan kerana perubahan itulah dikatakan sebagai punca utama lata di hutan lipur itu menuntut korban setiap tahun. Tragedi lemas yang meragut beberapa nyawa sebelum ini apatah lagi terdapat mangsa yang tidak dapat diselamatkan kerana di kawasan itu adalah sebuah lombong atau lubuk yang dikenali 'Lubuk Ayah Man'.

"Di kawasan itu pada masa dulu adalah sebuah lubuk dikenali 'Lubuk Ayah Man'. Apabila seseorang itu lemas, air yang mengalir laju ke dalam lombong tersebut akan menyedut mangsanya.

"Apabila lubuk itu menyedut mangsa, mangsa yang tidak dapat berpaut di mana-mana tempat akan terus disedut ke bawah batu tersebut. Akibatnya, mangsanya tidak akan dapat naik ke atas dan sudahnya akan menemui maut di dalam lubuk tersebut kerana seolah-olah ada lombong yang sedang ternganga luas di bawah batu besar itu akan menarik dan menelan mangsa ke dalamnya", terang Mohd. Asri.

Menceritakan tragedi lemas pada tahun 2003, tragedi berkenaan masih meninggalkan kesan di hatinya di mana pada tahun tersebut terdapat dua mangsa lemas terus disedut ke bawah batu itu. Akibatnya, mayat mangsa yang sepatutnya terapung du sungai itu didapati hilang entah ke mana. Setelah bertahun-tahun kejadian yang sama berlaku di situ, barulah disyakki bahawa mangsa disedut ke bawah batu itu, jika tidak ke mana mayat mangsa lemas itu ghaib?

Mengingatkan lagi peristiwa mangsa lemas beberapa tahun lalu, Mohd. Asri berkata, beliau turut menyaksikan sendiri tragedi itu tetapi tidak sempat memberikan pertolongan sebagaimana sepatutnya apabila mangsa secara pantas terus tenggelam seperti disedut oleh suatu kuasa luar biasa ke bawah batu tersebut dan jika berlaku seumpama itu tentunya mangsa tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi.

"Saya lihat sendiri rakan-rakan mereka turut terjun untuk memberikan pertolongan supaya mangsa dapat diselamatkan. Namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa, sebab kejadian itu berlaku dengan pantas", ujarnya.

Tambah Mohd. Asri lagi, beberapa mangsa yang turut lemas di sungai itu adalah salah seorang pelajar berusia 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manakala mangsa terbaru pula adalah mangsa yang juga penduduk tempatan yang sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga menjadi mangsa yang sama.

"Dalam kejadian itu, mangsa datang bersama keluarga. Namun, kejadian itu berlaku dengan pantas. Mangsa dapat ditarik, tetapi sudah tidak bernyawa lagi", sambungnya.

Kata Mohd. Asri lagi, beberapa pelajar kadet Polis juga turut diganggu sewaktu berkhemah di seberang sungai itu. Kejadian bermula apabila satu kumpulan kadet tersebut berlakon sebagai bomoh untuk merawat pesakit yang kerasukan. Ketiga-tiga watak pelakon seperti bomoh, pembantunya dan pesakit itu pula secara tiba-tiba terus dirasuk, akibatnya mereka meminta pertolongan supaya dibawa ke hospital dengan segera. Ketiga-tiga rakannya dalam kumpulan yang sama turut memberikan pertolongan, namun mereka juga dirasuk.

Kejadian histeria juga menurut Mohd. Asri pernah berlaku di Hutan Lipur Bukit Bakar ketika aktiviti perkhemahan. Kejadian berkenaan hanya dialami sekolah menengah termasuk pelajar Politeknik namun tidak kepada sekolah agama. Ini kerana, pelajar-pelajar dari sekolah agama mengetahui adab-adab ketika memasuki hutan lipur itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah umpamanya majlis membaca ayat Qursi beramai-ramai dan sebagainya. Malahan apabila makhluk halus di situ sedang mengamuk terhadap mangsa yang membuat bising di siang hari, mangsa yang sedang nyenyak tidur dalam khemah kadang-kadang diangkat oleh makhluk berkenaan lalu diletakkan di bawah pokok. Malah ada yang dicampakkan ke dalam duri di luar khemah pada waktu malam hari.

Sambung Mohd. Asri lagi, beliau tidak menolak apabila sebuah papan tanda Jabatan Perhutanan yang melarang pengunjung membuat bising keterlaluan berkemungkinan untuk merujuk kepada kejadian misteri lemas seumpama itu. Dalam hal seumpama ini menurutnya, pengunjung adalah tetamu dan sebagai seorang tetamu apabila datang ke tempat orang perlulah berhemah dan bersopan. Begitulah juga dengan kawasan hutan lipur berkenaan yang sebagaimana sedia maklum adalah sebuah penempatan makhluk halus pula, jadi setiap yang masuk perlu menjaga adab-adab di dalam hutan dan bukit yang dimasuki.

Manakala seorang pengunjung setia Hutan Lipur Bukit Bakar, Wan Mohd. Roslan Wan Ismail, 30, atau dikenali sebagai Lan, tidak menolak tragedi lemas itu adalah perbuatan makhluk halus yang menghuni di sebuah rumah tumpangan di seberang sungai itu. Beliau yang berasal dari Kampung Limau Manis, Machang turut mendakwa makhluk halus akan bertindak ke atas mangsa yang membuat bising kerana bunyi sedemikian boleh mengganggu mereka sebagai penghuni asal di tempat itu.

Katanya, salah seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah d daerah Tumpat, Kelantan juga turut menjadi mangsa. Ini kerana menurutnya, setiap pengunjung yang ingin mandi manda di sungai itu tidak perlu risau kerana airnya agak cetek malah alirannya juga perlahan dan selamat. Namun, akibat campurtangan makhluk ghaib itu berikutan ketenangan mereka diganggu, apatah lagi akibat kecuaian mangsa yang tidak mempedulikan larangan Jabatan Perhutanan supaya tidak membuat bising sebagai penyebab kejadian seumpama itu.

"Pada saya, punca sebenar kejadian lemas itu kerana mangsa yang mandi di situ seperti tidak dapat mengawal diri dengan membuat bising sambil meraung seperti seorang yang kerasukan.

"Memanglah kalau menurut kata orang-orang tua, jika tidak dapat mengawal diri dengan menunjukkan perasaan terlalu gembira dan dalam masa yang sama lalai pula, pastinya natijah buruk akan berlaku.

"Dalam hal ini, jika ingin mengadakan aktiviti perkhemahan misalnya, pihak-pihak terlibat sepatutnya mendapatkan nasihat Ketua Kampung dan memaklumkannya kepada Imam di kampung ini terlebih dahulu untuk mengelakkan tragedi seumpama itu, sebab di sini kawasan hutan", tegasnya.

Wan Mohd. Roslan menambah, pengalaman beliau di kawasan hutan lipur itu memang sesuatu ada kebenarannya. Ini kerana, apabila hari berikutnya ada pengunjung yang akan menjadi mangsa lemas di sungai itu, akan kedengaran bayi dan kanak-kanak yang menangis agak luar biasa. Selepas tiga hari, tragedi tersebut pun berlaku.

Dalam hubungan ini menurut Wan Mohd. Roslan, bukanlah mempercayai seratus peratus kejadian maut akibat lemas di sungai berjeram itu disebabkan gangguan makhluk halus sebagai penyebabnya. Namun, wajarlah setiap pengunjung mengetahui adab-adab memasuki hutan lipur berkenaan kerana setiap adanya hutan dan bukit tentunya dihuni oleh pelbagai jenis makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru, apabila manusia tidak dapat melihatnya, maka berhati-hatilah apabila memasuki hutan kerana selain binatang buas, makhluk halus juga sentiasa menunggu dan memerhatikan tingkah laku manusia yang bertandang ke tempat mereka.   

Mohd. Asri Mahmud.

Mohd. Asri sedang ditemubual Wartawan RELATIF di gerai makanan miliknya.

Wan Mohd. Roslan Wan Ismail, pengunjung Hutan Lipur Bukit Bakar.

Lubuk Ayah Man: airnya cetek dan tenang tetapi pernah menelan mangsa. Kelihatan tunggul kayu, tempat buang saka dan menyimbah darah binatang sembelihan yang dilakukan ketika dulu.

Lubuk Ayah Man: bahaya apabila air pasang dan laju.

Airnya tenang, tetapi hati-hati kerana bahaya pasti mengundang jika berlaku kelalaian.


Rumah penginapan kosong dan terbiar. Kini dikatakan menjadi rumah langsuir.

Mungkin di sinilah seorang peserta yang berkhemah dicampakkan ke luar khemah dan diletakkan atas duri.


Lihatlah (bulatan) merupakan gerombolan makhluk halus "orb" sedang memerhatikan siapa yang masuk ke Hutan Lipur Bukit Bakar.

Lihatlah papan tanda no. 8: Jangan Bising.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH