RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 9 Disember 2011

Misteri Kubur Surau Lama


MISTERI KUBUR SURAU LAMA

PALEKBANG, KELANTAN:  Membicarakan tentang kubur, ada di kalangan kita yang kecut perut mendengarnya padahal sebagai seorang msulim, patutlah sentiasa mengunjunginya untuk menginsafkan diri kerana suatu masa nanti kita akan ke situ. Namun, berbeza juga dengan sesetengah kubur yang dianggap segelintir di kalangan kita sebagai suatu tempat mengusik, apatah lagi apabila wujudnya campur tangan dari makhluk halus yang sering menjadikan pusara tempat pengkebumian mayat sebagai lokasi terbaik makhluk halus terbabit.

Dalam konteks ini, suatu kejadian yang turut dikaitkan dengan kejadian mengusik di kubur pernah berlaku di Kubur Surau Lama yang letaknya di Palekbang, Tumpat, Kelantan beberapa dekad yang lalu. Ketika ditemui Penulis, Mohamed Amirul Syafiq Mohd. Nasir, 18, atau dikenali sebagai Bob tidak menafikan hal tersebut. Ini kerana menurutnya, kejadian mengusik di kubur yang dimaksudkan memang sering berlaku di kampungnya malahan semua mangsa mengakuinya kubur tersebut dihuni makhluk halus yang dikenali 'Tok Hala'.

Menurut Amirul, kejadian misteri di Kubur Surau Lama itu diceritakan oleh neneknya. Katanya, setiap orang yang lalu lalang sama ada penduduk dari kampung itu sendiri mahupun dari kampung lain pasti disakat oleh penunggu yang sering menjelmakan dirinya di atas pagar atau di sebalik semak-samun berhampiran sebuah Makam Tok Raja di kubur tersebut.

Katanya, suatu kejadian pada tahun 1970 dulu turut menggempar dan menjadi buah mulut penduduk kampung terbabit apabila seorang warga emas (kini arwah) yang baru pulang dari menunaikan solat Isyak di sebuah surau sering melalui kawasan kubur terbabit untuk sampai ke rumah perlu melalui sebatang jalan yang masih belum diturap ketika itu. Ketika itu jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Apabila mangsa tiba di rumah, tubuhnya berasa tidak selesa dan akibatnya mangsa mengalami demam yang melarat selama tiga hari akibat terkejut apabila basikal yang ditunggangnya itu seperti ditumpangi oleh sesuatu yang tidak kelihatan oleh pandangan matanya kerana dirasakannya agak terlalu berat sedangkan sebelum melintasi kubur tersebut basikalnya dalam keadaan ringan.

"Mulai saat itu, apabila menjelang malam arwah seakan fobia. Dia pernah beritahu tidak akan keluar malam lagi kerana bimbang diganggu makhluk halus yang sering bertenggek di atas pagar di kubur itu", jelasnya.

Sambung Amirul lagi, Tok Hala adalah gelaran yang diberikan oleh masyarakat kampung itu terhadap makhluk halus yang sering menyakat orang yang lalu lalang di waktu malam berhampiran tanah perkuburan. Kadang-kadang mangsa akan melihat makhluk itu menyembunyikan dirinya di sebalik semak-samun di tepi pagar kubur terbabit dan kadangkala bertenggek di atas pagar kubur tersebut. Jadi, walaupun orang yang melintasi kubur tersebut tidak nampak kelibat dan bayang makhluk halus terbabit, padahal Tok Hala telahpun menumpang kenderaan yang pernah melalui kawasannya. Kalaulah mangsa dapat melihat ada penumpang aneh yang berwajah hodoh menumpang kenderaan yang dibawanya, sudah tentu mangsa akan memecut kenderaannya kerana ketakutan.

Walau bagaimanapun katanya, sejak bulan Julai 2008 beliau telah dimaklumkan oleh adik-adiknya bahawa lembaga yang menjadikan perkuburan itu sebagai tempat kediaman dan modus operandi Tok Hala itu semakin menjadi-jadi kerana dikatakan makhluk ghaib terbabit sering merayau setiap waktu senja sehingga malam menjadikan kawasan perumahan sebagai sasaran. Adik-adiknya pernah terlihat bayangan dan lintasan seperti lembaga manusia melintasi halaman rumah mereka dengan pantas ketika waktu senja beberapa kali.

Tambah Amirul, pernah berlaku suatu pengalaman enam orang kaki lepak yang membina sebuah bangsal untuk aktiviti lepak mereka sambil berbual pada waktu malam berhampiran perkuburan yang dimaksudkan, kebetulan pula bangsal yang dibina itu berdekatan dengan salah sebuah rumah rakannya. Kejadian itu berlaku pada pukul 10.00 malam apabila beberapa orang pemuda kaki lepak itu terlihat sebatang tubuh kelihatannya seperti manusia sedang berdiri dalam semak dalam kawasan kubur terbabit. Kalau difikirkan, bagaimana mungkin ada manusia sanggup tinggal dalam kawasan tanah perkuburan apatah lagi pada waktu malam pula.

"Lembaga yang menjelma seperti manusia itu kelihatannnya sudah tua sambil mengenakan ketayap putih di atas kepalanya. Pakaian yang dipakainya adalah baju Melayu berwarna putih manakala kain yang dipakainya agak kurang jelas disebabkan suasana agak terlalu gelap sedang memerhatikan ke arah pemuda-pemuda lepak di situ", jelasnya.

Katanya lagi, penyebab kepada jelmaan lembaga di tanah perkuburan itu apabila salah seorang dari mereka bercakap besar dengan katanya, 'kalau tok hala datang, mereka tidak akan lari dari kawasan itu'. Lantas apabila ternampak jelmaan makhlu ghaib itu, barulah mereka bertempiaran lari meninggalkan tempat lepak mereka.

Apabila ditanya, adakah kejadian berkenaan hanya berlaku di malam hari tetapi tidak di siang hari. Beliau menjelaskan, walaupun tanah perkuburan itu sering ditakuti, namun orang ramai yang melalui jalan itu tidak pernah disakat di waktu siang hari. Sebaliknya, apabila menjelang malam sesiapa sahaja yang melalui seorang diri atau berbual-bual kosong di kawasan itu pasti diganggu dengan pelbagai jelmaan malah kejadian yang sering berlaku apabila makhluk berkenaan akan menumpang kenderaan orang yang melaluinya.

Kata Amirul, dari cakap-cakap dan desas-desus beberapa orang penduduk kampungnya mendakwa Tok Hala itu adalah dari jenis hantu raya yang dibela oleh salah seorang penduduk (kini arwah) untuk menjaga keharmonian kampung dari pelbagai kejadian kecurian dan sebagainya. Apabila tuannya telah meninggal sejak 10 tahun lalu tentunya makhluk berkenaan tidak dapat ke mana-mana, sejak itu dia dianggap oleh sebilangan penduduk kampung itu sebagai 'penunggu'.

Sejak kejadian jelmaan itu, pemuda-pemuda lepak seramai enam orang itu tidak lagi menjadikan aktiviti waktu malam untuk membuang masa. Manakala bangsal yang dibina mereka untuk tujuan itu juga telah dirobohkan. Namun, mereka sekarang hanya melepak di rumah salah seorang rakan mereka pula yang terletak berhampiran tanah perkuburan misteri itu.
 


Mohamed Amirul Syafiq Mohd. Nasir atau Bob sedang menceritakan kepada Penulis tentang misteri Kubur Surau Lama.

Inilah Kubur Surau Lama yang dikatakan mengusik akibat campur tangan makhluk halus.

Makhluk halus dikenali 'Tok Hala' sering menjelma dan bertenggek di atas pagar kubur ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Gua Satan


MISTERI GUA SATAN

JELI, KELANTAN:  JELI yang terletak di Hulu Kelantan memang terkenal dengan tempat-tempat menarik dan penuh misteri seperti Gunung Reng. Selain itu, Gua Satan yang letaknya agak terpencil di Ayer Lanas juga tidak kurang hebat dengan cerita-cerita sedemikian malah ada individu tertentu yang mendapat musibahnya berikutan mengambil sesuatu yang dilarang dari gua tersebut.

Menjejaki Gua Satan yang penuh dengan kisah-kisah misteri kerana dikatakan dihuni makhluk halus yang terdiri daripada bunian Islam. Kesempatan bertemu dengan Abdul Rahim Mohamad, 62, atau dikenali sebagai Pak Him dari Kampung Sungai Satan, Ayer Lanas, dekat sini tidak ingin dilepaskan begitu sahaja.

Katanya, beliau berhijrah ke Kampung Sungai Satan sebagai peneroka sejak 30 tahun lalu adalah berasal dari Kampung Pulau Pak Amat, Sabak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan juga merupakan seorang pengusaha warung kopi yang peramah dan sanggup berkongsi pengalamannya ketika berburu di hutan berhampiran dengan gua tersebut.

Menurut Pak Him, Gua Satan wujud sejak dulu lagi dan sehingga hari ini orang ramai jarang ke tempat tersebut kerana takutkan sesuatu musibah seperti mendapat demam dan tersesat jauh ke dalam hutan jika melanggar pantang larang. Jika seseorang lemah semangat dan berniat serong untuk melakukan gejala maksiat atau sesuatu yang dianggap tidak sihat akan menerima padahnya kerana ketenangan serta keheningan gua dan di persekitaran hutan tersebut mempunyai penjaganya yang tidak dapat dengan mata kasar.

Gua Satan terletak jauh ke dalam hutan tebal dan pada waktu itu jarang orang dapat menemui gua tersebut kerana didakwa oleh Pak Him seperti tidak kelihatan dengan pandangan zahir. Oleh kerana beliau memang berminat memburu sejak zaman remaja lagi, maka selepas melaksanakan segala kerja di siang hari apatah lagi setelah bertukar malam, maka kegemarannya itu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sanggup bersengkang mata semata-mata menghabiskan malam hari dengan memburu kijang, pelanduk, kambing hutan, landak dan sebagainya.

Ketika menceritakan pengalaman pertamanya memburu binatang yang masih dalam keadaan mamai, Pak Him bersama seorang lagi rakannya meneruskan keinginan mereka untuk memperolehi seberapa banyak binatang buruan pada malam yang dingin itu. Mereka berpecah dan kedua-duanya membawa haluan masing-masing kerana tidak elok memburu dengan cara berkumpul di situ.

Semasa sedang asyik mengendap binatang yang akan menjadi mangsa pertamanya bersama lampu suluh dan selaras senapang yang tergenggam erat di tangan, di suatu kawasan yang agak ganjil dalam hutan pada malam itu beliau tiba-tiba berselisih dengan seorang wanita aneh yang separuh usia sedang melalui tempat yang sama seorang diri. Wanita tua aneh yang dilihatnya itu sedang membawa sebungkas kain yang tergenggam di tangan manakala sebahagian lagi seperti bunjut di atas kepalanya. Dengan tidak semena-mena, wanita tua aneh yang dilihatnya pada malam itu menegurnya, buat apa di tengah-tengah malam itu di tempat berkenaan.

"Nak buru binatang, nek. Kalau ada rezeki dapatlah disembelih seekor dua", ujarnya menjawab pertanyaan wanita tua misteri yang berselisih dengan Pak Him di tengah-tengah hutan belantara pada malam itu.

Selepas itu, masing-masing dengan hal sendiri. Sambil menyaksikan keanehan wanita tua yang muncul secara tiba-tiba dalam hutan pada malam itu, beliau dapati langkah wanita tua itu agak pantas tidak sebagaimana manusia. Apabila tiba di suatu selekoh dalam hutan itu, dengan pantas wanita tua misteri itu ghaib secara tiba-tiba. Dengan tidak semena-mena bulu roma Pak Him berdiri tegak seperti ada sesuatu yang agak pelik dengan wanita yang dilihatnya itu.

Sejak dari tadi nasib tidak menyebelahi Pak Him kerana belum memperolehi walaupun seekor binatang buruan. Melihatkan nasibnya ketika itu, beliau mula teringat pesanan orang tua-tua, jika pergi berburu sehari suntuk tetapi belum mendapat hasilnya apatah lagi bertemu pula dengan sesuatu yang agak ganjil dan luar biasa pada malam hari, batalkan sahaja niat itu kerana kemungkinan akan mendapat musibah yang tidak disangka-sangka nanti. Jadi, Pak Him berfikir juga tentang hal itu lalu mengajak rakannya untuk bertolak pulang.

Katanya, disebabkan keletihan yang amat sangat berikutan berburu semalam suntuk beliau tertidur dengan nyenyaknya. Tiba-tiba dalam tidurnya itu beliau bermimpi didatangi seorang wanita tua yang ditemuinya semasa berburu di dalam hutan sebentar tadi. Dalam mimpi itu, beliau diminta oleh wanita tua aneh itu supaya mencari sepohon serai di dalam hutan itu kerana terdapat seekor kambing hutan di situ. Tembak dan sembelihlah binatang itu kemudiannya dagingnya dibuat gulai dan berilah makan kepada seluruh penduduk kampung itu. Wanita tua itu hanya meminta pulut kuning, kelapa muda, tepung tawar serta bedak sejuk sahaja.

Bagi mengetahui apakah benar dengan dakwaan wanita tua misteri dalam mimpinya itu kononnya terdapat seekor kambing hutan di sebalik pohon serai dalam hutan berkenaan, beliau bersama-sama seorang rakannya bergegas ke tempat yang dimaksudkan pada pagi itu juga.

"Memang benar apa yang dikatakan oleh wanita tua itu. Ada seekor kambing hutan berbadan besar berdekatan pohon serai. Kami tembak lalu menyembelihnya di situ juga. Dagingnya dibuat gulai dan diberi makan seluruh penduduk kampung sebagaimana yang dipintanya", ujarnya untuk menunjukkan mimpinya itu adalah benar.

Pada keesokan harinya iaitu kira-kita pukul 5.00 petang, beliau bersama anak sulungnya bergegas ke Gua Satan untuk menyerahkan peralatan yang diminta oleh wanita tua aneh dalam mimpinya semalam. Apabila tiba di muka gua tersebut, beliau meletakkan dulang yang mengandungi pulut kuning, kelapa muda, tepung tawar dan bedak sejuk itu sambil memerhatikannya dalam jarak yang boleh dilihat dengan pandangan mata. Selang beberapa minit kemudian, beliau nampak dengan jelas sepasang tangan cantik dan putih melepak tetapi tidak kelihatan anggota badan lain sedang mengangkat dulang tersebut dan sekelip mata hilang dari pandangan.

Pengalaman kedua Pak Him juga berkisar kepada aktiviti memburu binatang pada malam hari, kerana itulah kegemarannya yang sebenar. Kali ini dia tidak lagi ditemani rakannya, jadi terpaksalah beliau memburu seorang diri.

Ketika sedang mengendap binatang buruan yang pasti menjadi mangsa senapang patahnya itu, dengan tidak semena-mena hujan dan ribut melanda suasana damai dan hening dalam hutan itu. Pak Him terpaksa berlari sekuat hati kerana anak telinganya dapat menangkap dengan jelas bunyi pohon tumbang dengan kuatnya. Kerana tiada lagi tempat untuk berlindung dari hujan dan ribut yang luar biasa itu, beliau terus berlari ke arah Gua Satan kerana tempat itu sahaja yang difikirkannya selamat untuk berteduh dari cuaca pelik buat sementara waktu. Ketika itu jam di tangannya menunjukkan pukul 12.00 malam.

Setelah memasuki gua itu seorang diri, Pak Him membaca beberapa potong ayam Al-Quran kerana bimbang dengan binatang buas seperti harimau dan ular yang pasti menjadikan gua itu juga sebagai tempat untuk berteduh dari hujan dan ribut. Ketika beliau sedang duduk berteleku menanti hujan reda sehingga jam 3.00 pagi itu, telinganya dapat mendengar seperti suara manusia sedang bercakap-cakap diikuti bunyi suara binatang. Akibat terlalu keletihan kerana berlari sekuat tenaga, beliau tertidur dengan nyenyaknya. Beliau terbangun dari tidur ketika jam 9.00 pagi, itupun seperti ada suara seorang lelaki yang membangunkannya. Apabila dilihat kepada jamnya memang tepat pukul 9.00 pagi.

"Tak tahulah siapa yang membangunkan Pak Him dari tidur sebab tidak nampak kelibat orang itu. Nak dikatakan jin, Pak Him rasa tidak. Tapi kalau bunian itu mungkin juga. Yang peliknya, dia bagi tahu Pak Him namanya Tok Haji Taha", katanya yang agak kehairanan dengan peristiwa itu apabila ditanya tentang makhluk yang mengejutkan Pak Him dari tidurnya itu. Tetapi Pak Him percaya, Tok Haji Taha itu adalah makhluk halus dari bangsa bunian Islam yang juga sebagai ketua kaum mereka di Gua Satan itu.

Tambah Pak Him lagi, Gua Satan mengandungi lebih tujuh tingkat kesemuanya. Melalui tingkat keenam mengandungi pelbagai jenis permata yang beraneka warna termasuk batu berlian. Tetapi kesemua batu permata dan berlian itu tidak boleh disentuh apatah lagi jika ada yang berniat untuk membawa pulang sebagai kenangan. Ini kerana, batu permata itu akan hilang dengan sendiri apabila dibawa keluar dari Gua Satan. Individu yang mengambilnya akan menerima penderitaan penyakit seperti pening dan demam-demam.

Kata Pak Him, cerita berkenaan bukan suatu dongengan kerana terdapat kes seorang berketurunan Siam yang datang ke Gua Satan dengan gajah, salah seorang dari mereka terpesona dengan kecantikan batu-batu permata yang berkilauan berwarna biru, merah dan sebagainya itu lalu diambilnya dan dibawa pulang. Dengan tiba-tiba mangsa mengalami demam secara luar biasa. Lantas batu permata yang diambilnya terpaksa dikembalikan dan disebabkan itu demamnya kebah serta merta.

Menurut Pak Him, terdapat satu keturunan Cina yang beria-ia datang ke gua itu dengan jentera penggali kerana tamaknya untuk mendapatkan sejumlah besar berlian serta emas di gua tersebut. Tetapi enjin jentera penggali tersebut tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan individu Cina itu gagal dan pulang dalam kehampaan.

"Dalam Gua Satan ini juga terdapat sebuah bilik yahg cukup cantik seperti bilik tidur kerana terdapat katil di situ. Tingkat paling akhir di Gua Satan ialah sungai. Dapat kita lihat sungai itu mengalir ke dalam gua", ujar Pak Him untuk menunjukkan unik dan peliknya Gua Satan.

Di samping itu menurut Pak Him, berikutan Gua Satan dijaga oleh makhluk halus yang menghuni di situ, setiap pengunjung tidak boleh memasuki gua tersebut sebarangan kecuali dengan panduan Pak Him sendiri ataupun anak sulungnya untuk mengelakkan tersesat, jatuh ke dalam jurang, hanyut dibawa arus sungai dan mungkin disembunyikan makhluk ghaib di situ. Dengan adanya panduan daripada beliau, beliau memang mengenali selok-belok sama ada di persekitaran malah di dalam gua itu sendiri termasuk gua-gua yang berdekatan umpamanya gua kambing.

Katanya, pengalaman beberapa jurugambar sebelum ini yang merakam gambar gua tersebut kebanyakannya agak hampa. Ini kerana, kebanyakan gambar yang dirakam semuanya tidak menjadi malah tidak kelihatan dan mungkin ditabir benda gelap. Keadaan ini seolah-olah gua itu seperti berkeadaan kosong sahaja dan dianggap sebagai jelmaan semata-mata.

Pak Him menambah, menariknya di Gua Satan ialah pengalaman bermalam untuk melihat makhluk berkenaan di kawasan itu. Individu yang pernah melalui pengalaman bermalam di kawasan Gua Satan akan dapat menghidu bau masakan yang agak enak seolah-olah sebuah pesta keramaian dan majlis kenduri kekeluargaan. Kadang-kadang individu yang bertuah akan dapat mendengar tangisan bayi, kanak-kanak yang sedang hilai ketawa dan suara sedang bercakap-cakap.

Gua Satan menjanjikan suatu percutian yang menarik di dalam hutan kerana keindahannya belum lagi dinodai pencemaran. Malahan paling menarik ialah, individu yang bertuah tentunya dapat melihat makhluk bunian yang berkampung di situ terutamanya di malam hari. Kedatangan manusia sememangnya diraikan oleh keluarga mereka, tetapi jagalah batas-batas adab sopan semasa di perkampungan mereka sebagaimana kita menjaga adab kesopanan di perkampungan rakan-rakan kita yang lain dengan tidak melakukan sesuatu yang dilarang dan dibenci seperti tamak, mengambil sesuatu yang tidak diizinkan mahupun melakukan maksiat, perkara yang tidak senonoh serta menjolok mata.   


Abdul Rahim Mohamad atau Pak Him.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 8 Disember 2011

Misteri Bukit Keluang


MISTERI BUKIT KLUANG

BESUT, TERENGGANU:  BUKIT KLUANG yang terletak dalam daerah Besut, Terengganu yang berjarak 140 kilometer dari bandar Kuala Terengganu memang tersohor sebagai sebuah tempat peranginan menarik apatah lagi telah banyak dirakam di dunia maya kerana keunikannya. Tetapi tahukah anda, selain Bukit Kluang mempunyai latar belakang dan sejarah yang tersendiri, bukit tersebut juga mengundang pelbagai kejadian misteri yang hanya diketahui oleh kalangan penduduk di kawasan itu sahaja.

Menjelaskan hakikat ini, Razali bin Hussin atau Abang Li Bonsai, 51, dari Kampung Bukit Kluang, Besut, Terengganu ketika ditemui  Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya berkata, Bukit Kluang mendapat nama dari seorang pahlawan wanita bernama "Khu Foo Luan" yang berasal dari Thailand yang telah melarikan diri lalu berkampung di tempat itu. Ketika lanjut usianya, orang-orang Melayu memang sukar untuk menyebut namanya yang terlalu panjang, jadi alternatif paling mudah mereka memanggilnya "Kluang'.

Katanya, pada masa dulu, Bukit Kluang adalah sebuah pulau di mana satu sumber menyebut, Bukit Keluang dikenali juga sebagai 'Pulau Perhentian Darat'. Ini kerana, banyak batu karang laut yang hanya terdapat di pulau-pulau tetapi tidak pernah ditemui di pantai, amat jelas Bukit Keluang termasuk dalam kategori itu. Sebab itulah, sehingga hari ini kesan-kesan peninggalan batu karang masih lagi wujud namun telah semakin berkurangan akibat dijadikan kawasan peranginan.

Menurutnya, ketika beliau masih dalam usia kanak-kanak kemudahan jalan raya yang menghubungkan ke Bukit Kluang masih belum diturap malah masih diselubungi debu. Kemudiannya setelah Bukit Kluang dibuka secara rasmi untuk dijadikan kawasan peranginan pada tahun 1980 oleh Tan Sri Yusoff Nor menyebabkannya berubah wajah. Selepas pembukaan kawasan peranginan tersebut, orang Kelantan adalah golongan terawal santai-santai di situ sambil menghirup udaranya yang segar di samping menikmati panoramanya yang indah.

Walau bagaimanapun menurut Abang Li, setiap tempat tersorok apatah lagi di sebalik bukit yang tersergam gah sehingga hari ini rupa-rupanya menyimpan pelbagai kisah misteri. Beliau mengetahui kejadian itu berdasarkan pengalamannya sendiri yang telah menetap di belakang bukit itu sejak 15 tahun lalu dan kini beliau adalah generasi kedua selepas moyangnya yang memang berasal dari tempat itu.

"Abang Li pada mulanya tidak tahu Bukit Keluang ini bermisteri, sehinggalah satu kejadian tiga tahun lepas, apabila terlihat kelibat seorang tua berkeadaan ganjil yang tak pernah Abang Li lihat sedang mundar-mandir di kawasan ini beberapa kali.

"Agak-agak Abang Li umurnya dalam ratusan tahun, anehnya dapat berjalan sebagaimana orang muda berusia belasan tahun. Bentuk tubuhnya agak halus dan kurus berwarna hitam, berkedut dan berambut hitam, pakaiannya agak lusuh dan kotor tetapi tidak berbau busuk.

"Ganjilnya, orang tua ini sering membawa baldi kecil di mana di dalam baldi itu terdapat sebuah surah Yassin berwarna merah. Paling peliknya, setiap kali kita berniat untuk membicarakan kisah dan latar belakangnya seperti orang tua itu tahu", ujar Abang Li yang sebelum ini pernah terlibat dengan bidang seni dikir barat.

Kata Abang Li, Bukit Kluang juga mempunyai 17 buah gua, namun gua yang paling tersohor hanya tiga buah terdiri dari Gua Datuk, Gua Jejawi dan Gua Ular. Ramai golongan pertapa dari seluruh negara terutamanya dari Kedah yang datang berkhalwat, bertapa, uzlah dan bersuluk dalam ketiga-tiga gua yang dimaksudkan. Beliau sendiri pernah tidur dalam gua yang dimaksudkan bersama anaknya yang kecil untuk memperolehi pengalaman sebagaimana golongan bersuluk itu.

"Kejadian disakat lembaga atau makhluk yang menghuni di Bukit Kluang memang sering berlaku terutamanya kepada golongan pemancing dari luar. Kebanyakannya berbentuk jelmaan manusia dan bentuk suara. Lembaga ini tidak ada kaitan dengan jelmaan seorang tua sebagaimana Abang Li temui sewaktu ketika dahulu, jelmaan ini lembaga lain pula", katanya.

Tambahnya, menurut cerita orang-orang tua, penghuni ghaib di Bukit Kluang ini meliputi dua kumpulan yang terdiri dari jin Islam dan jin kafir (jahat). Misalnya pada masa dulu, jin kafir suka menyakat atau mengusik orang dan jika ada individu manusia berhajat kepada sesuatu yang tidak baik seolah-olah jin kafir ini boleh memberikan khidmat dan bantuan yang diperlukan. Contohnya, jika ingin melakukan pengkhianatan terhadap orang yang dibenci seperti 'santau' dan 'sihir', maka jin kafir inilah perantaraannya. Manakala upah yang diberikan selalunya seperti kelapa muda, sirih dan rokok.

Sebaliknya jika besar khidmat yang diperlukan, maka besarlah upahnya pernah berlaku di tempat berkenaan pada masa dulu. Namun, pada zaman moden ini, amalan berkenaan tidak lagi diberikan perhatian. Sama ada amalan 'berkhalwat' itu salah atau sebagainya, namun pernah dilihatnya amalan dengan meletakkan lilin dan sebagainya untuk tujuan memuja nombor ekor wujud di dalam gua bukit itu yang dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Abang Li juga pernah bertemu makhluk halus di sebatang jalan raya berhampiran Bukit Kluang ini pada waktu malam sebanyak tiga kali selama 15 tahun Abang Li menetap di sini.

"Pada suatu malam, hujan rintik-rintik turun, ketika itu Abang Li sedang memandu kereta dari arah luar dengan melalui sebatang jalan raya untuk masuk ke rumah Abang Li. Ketika asyik memandu, Abang Li nampak seorang kanak-kanak lelaki sedang berlari dari hujung jalan ke arah kereta yang dipandu Abang Li.

"Memang nampak jelas dari suluhan lampu kereta ke arah batang tubuh kanak-kanak itu yang berlari sambil menundukkan kepalanya untuk mengelakkan hujan membasahi mukanya. Kalau iktu realitinya, sudah tentu kanak-kanak itu kena langgar kerana meluru ke arah kereta sedang bergerak. Namun tidak berlaku sebarang perlanggaran dengan kanak-kanak lelaki itu. Terdetik juga dalam hati Abang Li sehingga tersembul kata-kata, eh apa ni, pelik budak ni?" cetus Abang Li yang ternyata agak hairan dengan kejadian itu.

Sambungnya, tidak selesai dengan kejadian misteri yang melibatkan jelmaan kanak-kanak di sebatang jalan raya masuk ke rumahnya, namun Abang Li turut mengalami kejadian pelik seorang perempuan sedang memangku bayinya yang masih kecil di tempat yang sama. Ketika Abang Li sedang memandu keretanya, beliau terlihat seorang perempuan sedang berjalan perlahan-lahan sambil memangku bayinya itu, tiba-tiba berhenti serta merta di tepi jalan kerana melihat suluhan lampu kereta Abang Li. Perkara yang tidak dapat dilupakan oleh Abang Li apabila perempuan itu menghulurkan bayi yang dipegangnya ke seberang jalan dengan memanjangkan tangannya untuk mengelakkan dilanggar kenderaan beliau. Menurut Abang Li, beliau agak perempuan aneh itu bukan manusia tetapi jelmaan makhluk halus yang menghuni di Bukit Kluang itu.

Menurut Abang Li lagi, pada suatu ketika waktu Maghrib berlaku air pasang agak laju dari pantai melimpahi kawasan rumah yang didiaminya sekarang. Kira-kira jam 3.00 pagi beliau mendapati ada seorang perempuan tua sedang mendayung perahu dengan membawa bayinya sedang menjerit dan menangis dengan suara yang agak nyaring. Beliau yang tidak dapat tidur kerana diganggu tangisan dan jeritan bayi itu lantas berlari ke arah datangnya suara berkenaan sambil merungut kerana terlalu bising untuk tujuan mententeramkannya. Dalam keadaan geram bercampur marah kerana menganggap apa jenis manusia membiarkan bayi mereka menangis seperti itu tanpa berusaha untuk mendiamkannya, Abang Li bergegas ke arah tempat yang dimaksudkan. Tetapi alangkah terkejutnya, sewaktu perempuan tua itu mendongakkan kepalanya ke arah Abang Li, didapati mukanya berkeadaan gelap seolah-olah tidak mempunyai wajah.

"Abang Li juga pernah melalui suatu kejadian misteri melibatkan makhluk halus sering berlaku di Bukit Kluang ini apabila seorang perempuan muda aneh turun dari bukit itu sambil menangis, ketawa dan meminta tolong dari hujung bukit sebelah sini sehingga ke hujung bukit sebalah sana. Dalam masa dua atau tiga hari berlaku kejadian mati lemas. Ini sebagai amaran atau petanda kejadian akan berlaku", ujar Abang Li sambil jari telunjuknya menuding ke arah bukit tersebut.

Sementara itu menurutnya, bersebelahan dengan deretan kawasan rumahnya sehingga ke muara sungai pada masa dulu adalah tapak tanah perkuburan lama. Dalam tiga buah kubur yang dimaksudkan, pernah ada pihak melakukan pemujaan sepetti Kubur Datuk. Digelarkan orang-orang tua dahulu sebagai 'Datuk' kerana arwah adalah seorang pendakwah (mubaligh). Kedatangannya ke situ mempunyai tujuan yang suci sebagai pendakwah untuk menyampaikan ilmu. Dengan takdir Illahi tiba-tiba pendakwah tersebut meninggal dunia dalam sebuah sungai di muara kaki Bukit Keluang itu, sungai itu kemudiannya dinamakan 'Sungai Kluang'.

Lazimnya, aliran air Sungai Kluang terus ke laut, tetapi mayatnya lawan arus. Mayat pendakwah tesebut didapati terperap di sungai tersebut selama dua hari. Melihatkan keadaan itu apatah lagi atas dasar tanggungjawab sesama muslim lalu orang-orang kampung berkenaan mengkebumikan mayatnya di atas tebing sungai berkenaan. Walau bagaimanapun, Kubur Datuk itu didapati telah diceroboh atau digali kira-kira dua tahun lepas. Abang Li difahamkan, kubur tersebut digali oleh pengamal khurafat untuk menurunkan nombor ekor, kononnya untuk memperolehi kekayaan yang cepat sedangkan tindakan mereka itu bercanggah dengan kehendak agama.

Dalam hal ini menurut Abang Li, beliau tidak berniat untuk menganggap Bukit Kluang itu berpuaka atau mengusik sehingga menyebabkan industri pelancongan terjejas dan menyusahkan golongan peniaga yang membina gerai di tempat berkenaan. Namun, sebagai generasi yang berasal dari tempat berkenaan, beliau cuba menyakinkan bahawa setiap tempat yang ada bukit malah kawasan terpencil pula pasti wujud kejadian misteri seumpama itu, apatah lagi jika makhluk berkenaan cuba diganggu.

Justeru, beliau berharap kepada pelancong dan pelajar-pelajar yang datang berkelah atas dasar ko-kurikulum sekolahn supaya tidak berfoya-foya pada waktu malam di kawasan itu apatah lagi cuba melakukan sesuatu yang tidak senonoh dan menjolok mata, tentunya perkara yang tidak diingini pasti akan berlaku khasnya kejadian yang dianggap pelik di situ. Jadi, berusahalah menjaga ketenteraman Bukit Keluang seumpama kita menjaga keluarga kita sendiri.



Razali Hussin atau Abang Li Bonsai ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Pemandangan Bukit Kluang dari arah pantai.

Orang tua ganjil sering mundar-mandir di laluan ini diikuti seorang perempuan menangis, menjerit dan ketawa sebagai petanda ada mangsa mati lemas.

Di jalan inilah kelihatan seorang kanak-kanak berlari lalu dilanggar keretanya dalam hujan rintik-rintik diikuti seorang perempuan tangan panjang sedang memangku bayinya.

Arah datangnya tangisan bayi yang agak nyaring dan perempuan tanpa wajah sedang mendayung perahu melewati air pasang.

 Inilah Sungai Kluang, tempat pendakwah itu meninggal dunia lalu hanyut melawan arus.


Inilah makam seorang pendakwah itu dikebumikan tetapi mayatnya telah digali untuk tujuan khurafat.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 7 Disember 2011

Misteri Pulau Tengkorak


MISTERI PULAU TENGKORAK

TUMPAT, KELANTAN:  PULAU TENGKORAK adalah sebuah pulau cukup misteri dan dilaporkan menjadi tempat persinggahan sekumpulan lanun pada tahun 1969 dulu. Pulau ini terletak bersempadan di antara Kelantan dengan Thailand bagi daratan sebelah sini di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan yang dipisahkan sebuah sungai berjarak kira-kira 200 meter.

Para penduduk dari Kampung Ketil ini memang sedia maklum tentang cerita pulau tidak berpenghuni itu, selain dikenali pulau lanun ia juga didakwa sebagai 'pulau puaka'. Berbagai cerita turut menjadi bualan beberapa penduduk dari kampung terbabit tentang keadaan pulau berbentuk buaya itu yang didakwa mempunyai penjaga dan penunggunya sebab itulah ramai yang ke sana dengan berniat serong akan mengalami beberapa perkara yang agak pelik, justeru sejak itu ramai yang seakan fobia untuk menjejakkan kaki ke pulau terbabit atas alasan diserang rasa takut.

Seorang penduduk yang ditemui Penulis, Zakaria Mamat atau Pak Ya, 43, berkata, sememangnya Pulau Tengkorak kelihatannya agak tenang tetapi kejadian yang berlaku agak tidak masuk akal, banyak misterinya yang belum terungkai.

Katanya, Pulau Tengkorak mendapat nama berikutan penemuan rangka dan tengkorak orang mati dibunuh telah dihumbankan ke pulau itu. Seorang nakhoda kapal yang merupakan Ketua Lanun dan juga raja kejam bernama Tok Sang Niaya telah membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang yang engkar arahannya lalu dengan kejamnya mayat itu dicampakkan ke pulau tersebut. Sehingga hari ini kebanyakan penduduk dari Kampung Geting seakan gementar apabila mendengar cerita pulau tersebut.

"Pulau Tengkorak memang agak keras dan ganjil, jika tidak berilmu tinggi tentunya tidak akan sampai ke pulau tersebut.

"Walaupun agak ganjil, penduduk kampung ini berasa yakin tentang adanya harta karun tertanam di pulau itu memang ada kebenarannya. Salah satu harta karun yang masih tidak dapat diambil sehingga kini ialah kura-kura emas", katanya ketika ditemui di gerai makanan milik kakaknya di tebing sungai kampung tersebut.

Walaupun dirinya tidak pernah membicarakan atau mengaitkan tentang hakikat dan suasana pulau misteri itu, beliau pernah mengalami mimpi sebanyak tiga kali melihat sebuah peti berwarna hitam, namun beliau tidak dapat melihat kandungan di dalam peti tersebut. Beliau yakin peti hitam sebagaimana jelmaan dalam mimpinya itu memang wujud kerana terdapat beberapa orang penduduk dari kampungnya yang pernah bermimpi perkara yang sama dan mereka yakin ada di pulau itu. Cuma kekuatan untuk mendapatkan peti hitam yang ada di pulau itu adalah sesuatu yang paling sukar dilakukan.

"Pernah sewaktu ketika dulu, berlaku kematian berikutan ada kalangan penduduk dari kampung ini cuba untuk mendapatkan harta karun yang dikatakan, namun setakat ini tidak ada seorang pun penduduk dari kampung ini yang berani dan berjaya masuk ke situ setelah kejadian itu berlaku", jelasnya sambil meneguk secawan teh.

Katanya, pengalaman lain yang pernah didengari oleh Pak Ya apabila terjadi suatu peristiwa penduduk dari kampungnya pergi ke pulau itu untuk mencari lokan. Pada mulanya memanglah hasil lokan yang ditangkap agak sedikit, tetapi entah bahana apa secara tiba-tiba lokan itu semakin banyak. Kemaruk dengan hasil tangkapan yang agak luar biasa si pulan itu cuba untuk berpatah balik kerana dirasakannya semakin jauh melangkau ke tengah pulau menyebabkan laluan asalnya hilang, mangsa dikatakan tersesat di pulau itu. Namun, beliau yakin mangsa sebenarnya bukan tersesat sebaliknya kena sorok di pulau itu. Setakat ini menurut Pak Ya, beliau belum pernah menjejakkan kaki ke pulau misteri itu, bukan ingin menuding jari kepada orang lain kononnya penakut sebab beliau sendiri juga tidak berkeyakinan untuk pergi ke pulau tersebut.

Apabila ditanya adakah masa-masa tertentu wujudnya jelmaan dari pulau itu, beliau menyatakannya tidak. Bukan sahaja malam hari paling ditakuti, sebaliknya kerap berlaku di siang hari terutamanya sebelah petang sehingga Maghrib. Hal seumpama ini berlaku berikutan ketenangan penghuni ghaib di pulau itu telah diganggu sama ada penempatan dan barangan milik makhluk itu telah diceroboh atau dimusnahkan.

"Seorang remaja dari Tak Bai, Thailand bermimpi kononnya beliau mendayung perahu, apabila sampai diletakkannya perahunya di tebing sungai. Seraya turun ke dalam air, kakinya terpijak benda keras dan bulat. Apabila berasa agak aneh dengan apa yang dipijaknya itu, dipegangnya benda yang dimaksudkan. Alangkah terkejutnya, kerana apa yang dipegangnya itu adalah sebiji tengkorak manusia", ujarnya.

Sementara itu, menurut kakak Pak Ya, Mariah Mamat atau Kak Yah, 44, berkata, Tok Sang Aniaya memang seorang yang sangat kejam. Tubuhnya setinggi kira-kira empat meter di mana ketika makhluk itu sedang mencangkung hampir sama dengan seorang manusia sedang berdiri. Tok Sang Aniaya menurut Kak Yah sering tidak berbaju dengan hanya mengenakan kain yang diputar (dikilas) di sebelah rusuk sesuai sebagai nakhoda kapal lanun yang dimaksudkan. Menurut cerita yang didengarinya, Tok Sang Aniaya terdampar di pulau itu apabila kapal yang dinaikinya karam semenjak itulah Pulau Tengkorak menjadi miliknya.

"Orang-orang tua dahulu pernah bercerita, salah seorang penduduk dari kampung ini masuk ke Pulau Tengkorak untuk mencari lokan. Hairannya pada hari itu, didapati lokan semakin banyak menyebabkan dia lupa hari sudah beransur senja sehinggakan fikirannya terlupa jalan yang dilaluinya menyebabkannya tersesat.

"Dirasakannya beliau semakin jauh berjalan ke tengah pulau, lalu dilemparkan lokan itu kembali. Setelah lokan itu dicampakkan, perjalanannya tiba-tiba menjadi pendek di mana beliau betul-betul telah berada di tebing sungai", ujarnya mengingati kembali kisah yang begitu tersohor dari mulut ke mulut pada masa itu.

Katanya lagi, satu lagi kejadian yang agak pelik apabila beberapa orang remaja cuba mengambil kesempatan untuk mencuri kelapa muda di Pulau Tengkorak. Apabila mereka mendongak ke atas, mereka dapati pohon kelapa muda itu berbuah banyak. Salah seorang dari mereka memanjat dan apabila buah kelapa yang diidamkan telah diperolehi mereka menjamu bersama-sama.

"Dengan tidak disangka-sangka, mereka tidak dapat melangkah ke mana-mana kerana melihat terlalu banyak buaya telah mengepung mereka. Dalam usaha untuk mengelakkan dari dikerjakan atau menjadi mangsa reptilia terbabit mereka memanjat pohon kelapa tersebut. Setelah menjelang hari siang esoknya, apa yang mereka lihat tidak kelihatan walau seekor buaya pun di situ. Justeru, nasiblah mereka terpaksa bermalam di atas pohon kelapa", ujarnya sambil ketawa kecil.

Sambung Kak Yah lagi, suatu kejadian turut menggemparkan penduduk Kampung Ketil apabila salah seorang kanak-kanak dari kampung berkenaan yang dikatakan merajuk dan membuat perangai telah melarikan diri dari rumah lalu masuk ke Pulau Tengkorak itu. Menurut kanak-kanak itu, beliau menemui sebuah kolam agak besar dipenuhi air yang agak jernih dan bersih tanpa dicemari walau sehelai daun pun. Melihatkan suasana kolam yang agak bersih di pulau itu menyebabkannya terpesona dan kanak-kanak itu berasa agak tenteram sambil berendam di dalamnya selama tiga hari tiga malam.

"Kanak-kanak itu memang bertuah kerana dapat melihat kolam itu dengan sempurna berbanding orang lain yang tidak mempunyai pengalaman seperti itu. Ini kerana, beliau tidak cuba mengambil kesempatan membuat sesuatu angkara. Sebaliknya, sekiranya melakukan tabiat buruk di pulau itu, tentunya akan menerima natijahnya seperti tidak menemui jalan pulang (tersesat), disorok atau sebagainya", ujarnya.

Kak Yah menambah, ada seorang yang berhati mulia telah menemui tiga batang nibong emas sebaik menjejakkan kaki ke pulau itu. Walau bagaimanapun, terdapat masalah apabila nibong emas itu tidak dapat dimiliki kerana terlalu sukar untuk mencabutnya. Namun, peluangnya dapat melihat batang nibong emas itu menandakan Pulau Tengkorak memang kaya dengan peninggalan harta karun mahupun bongkah-bongkah emas milik bunian di pulau itu sememangnya wujud dan bukan sekadar cerita dongeng, cuma cara untuk memiilikinya itu atas rezeki masing-masing.

"Banyak benda berharga boleh dimiliki jika ke pulau itu, namun setakat ini tidak ada pihak yang dapat berbuat apa-apa. Ini kerana, Pulau Tengkorak memang tempat keras. Jika Allah izin, dapatlah sesuatu yang berharga dari pulau itu walaupun dikatakan agak keras dan menakutkan", katanya.

Menurut Kak Yah lagi, kejadian pada tahun 1969 memang tidak dapat dilupakannya apabila seekor buaya putih masuk ke pulau tersebut. Kejadian berkenaan berlaku selepas banjir besar pada tahun 1967, seekor buaya yang entah dari mana datangnya didapati terdampar di pulau tersebut. Sehingga hari ini, tidak pernah berlaku banjir di pulau terbabit.

Setakat ini menurut Kak Yah, belum lagi berlaku sebarang gangguan terhadap penduduk Kampung Ketil itu. Tetapi jika kita berniat ke pulau tersebut secara suka-suka pasti menerima masalah sama ada diganggu ataupun disorok. Munculnya pelbagai jelmaan dan bunyi suara haiwan buas sebagai petanda untuk memberikan gambaran, penempatan makhluk halus di situ telah diganggu.

"Contohnya, pernah anak saudara Kak Yah yang sedang hamil masuk ke pulau itu untuk mencari lokan, tiba-tiba didapati kakinya bengkak agak luar biasa. Beliau kemudiannya dibawa ke hospital, namun doktor kata tidak ada penyakit.

"Kerana tidak puas hati dengan jawapan tersebut, beliau berubat secara kampung dengan Pengamal Rawatan Tradisional. Katanya, anak saudara Kak Yah itu sengaja cari pasal masuk ke pulau tersebut. Kerana terasa sesuatu yang pelik, anak saudara Kak Yah mencampakkan kembali lokan ke pulau itu, secara tiba-tiba penyakit yang dialaminya itu sembuh serta merta", ujar Kak Yah lagi.

Sementara itu, terdapat kumpulan remaja seramai tujuh orang sedang berperahu ke Pulau Tengkorak dengan harapan untuk mendapatkan emas yang didakwa wujud di pulau tersebut. Namun, dengan tidak disangka-sangka, perahu yang didayung mereka diserang ribut yang agak dahsyat menyebabkan perahu yang mereka naiki itu hanyut. Salah seorang dari mereka diserang sakit yang datang secara tiba-tiba menyebabkannya meninggal dunia pada ketika itu juga. Sebab-sebab meninggal hanya Allah jua yang mengetahuinya.

"Bagi Kak Yah bukan mahu percaya makhluk itu hebat, tapi kalau ada niat buruk seseorang ke atas pulau tersebut, lambat laun akan terima akibatnya. Buktinya, pernah suatu masa ada pihak-pihak cuba masuk ke pulau itu untuk membuat kajian dengan tujuan membina sebuah pusat peranginan, akhirnya terpaksa dibatalkan kerana diserang rasa takut", ujarnya.

Seorang lagi penduduk tempatan yang ditemui Penulis, Wan Zainab binti Wan Hassan, 38, berkata, bertahun-tahun beliau menderita sakit kemudiannya beliau kembali sembuh. Setelah sembuh dari penyakit ganjil, secara tidak diduga beliau boleh mengubati orang yang memerlukan rawatan, namun selepas itu beliau menderita sakit sebagaimana sebelumnya. Ketika beliau menderita sakit yang amat sangat itulah, pada setiap malam beliau sering terdengar suara perempuan yang memanggil-manggil namanya. Beliau agak suara tersebut tentunya datang dari pulau berkenaan. Pada suatu malam, beliau bermimpi namanya dipanggil seperti malam-malam sebelumnya sehingga beliau dapat melihat perempuan berpakaian selindang seperti tujuh beradik, beliau agak tentunya puteri bunian dari Pulau Tengkorak itu.

Selepas itu, beliau bermimpi melihat seekor harimau besar, ular, gajah, beruk dan akhir sekali seorang wanita tua yang dikatakan penjaga pulau itu sering dialaminya. Peliknya dalam mimpinya itu, beliau diminta tidak melarikan diri apabila bertembung dengan gajah, ular dan beruk itu.

"Sudah berpuluh bomoh datang ke pulau itu apabila terdengar suara gajah, harimau dan binatang buas lain di pulau itu, akhirnya mereka melarikan diri. Ada juga yang terkejut dengan deruman suara binatang menakutkan itu boleh memanjat sebatang pohon kelapa yang agak tinggi di pulau itu", ujar Wan Zainab sambil ketawa kecil mengingatkan peristiwa itu agak lucu baginya.

Katanya, beliau mengetahui cerita Pulau Tengkorak daripada arwah bapanya yang mendakwa pulau itu adalah tempat persinggahan kumpulan lanun terbabit untuk menyembunyikan harta karun yang dirampas dan dirompak. Menurutnya, agak ramai penduduk kampungnya yang telah menjejakkan kaki ke pulau itu menemui barangan bernilai termasuklah emas di beberapa tempat di pulau terbabit.

Contohnya, salah seorang penduduk dikenali Kak Yam pernah menemui wang dinar dari dalam guri, di mana wang tersebut boleh digantungkan di leher. Namun, paling banyak kali beliau dengar apabila ramai yang menjejakkan kaki ke Pulau Tengkorak selepas itu laluannya itu tidak kelihatan menyebabkan mereka tersesat dan tidak menemui jalan pulang.      
 

Zakaria Mamat atau Pak Ya.


Mariah Mamat atau Kak Yah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di gerai makanan miliknya.


Wan Zainab Wan Hassan sedang menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.

Pulau Tengkorak kelihatan tenang tetapi penuh misteri.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 6 Disember 2011

Misteri Geliga Pasak Bumi


MISTERI GELIGA PASAK BUMI

KOTA BHARU, KELANTAN:  Adakah masuk akal jika ada individu mendakwa telah diberikan sebiji geliga dikenali 'Geliga Pasak Bumi' oleh Raja Kelantan Keenam, Paduka Cik Siti Wan Kembang yang memerintah pada tahun 1610 dan bersemayam di Gunung Dang Besar, kemudiannya ditukar nama kepada Gunung Chinta Wangsa, terletak kira-kira 40 kilometer ke Tenggara Kuala Krai sedangkan beliau telah lama meninggal dunia? Sama ada percaya atau tidak, itulah hakikatnya apabila geliga yang berwarna kuning itu benar-benar wujud dan diberikan oleh seorang yang mengaku dirinya Cik Siti Wan Kembang.

Di sebalik kisah yang dianggap pelik ini, Penulis cuba mencungkil dari pemiliknya yang juga Pengamal Rawatan Tradisional dan Ilmu Ghaib, Darus Mootalu, 44, dari Kedai Mulong, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, pada suatu hari Jumaat jam 11.00 pagi pada tahun 2007, beliau bersama-sama isterinya berkunjung ke sebuah Taman Serendah Sekebun Bunga milik Cik Siti Wan Kembang, dulunya dikenali sebagai Kota Tegayong yang terletak di Pangkal Kalong, Ketereh untuk tujuan mencari ketenangan selain menyedut udaranya yang segar kerana tempat tersebut agak teduh dan suasananya juga agak mempesonakan.

Disebabkan sering ke tempat itu lebih-lagi lagi pada hari Jumaat, beliau yang tidak menyangka dapat menyaksikan dua orang perempuan tidak dikenali muncul di taman itu di mana kedua-duanya mempunyai persamaan. Setelah diberitahu oleh isterinya bahawa itulah Paduka Cik Siti Wan Kembang, Raja Kelantan Keenam yang dimaksudkan dan tempat beliau hadir ketika itu dikenali Kota Tegayong yang merupakan tempatnya bersemayam pada masa silam, beliau mula akur.

Tambahnya, ketika disaksikan kedua-dua orang perempuan itu agak seiras, namun salah satu jelmaan itu berambut panjang manakala Cik Siti Wan Kembang sebenar agak berbeza dengan mengenakan sehelai tudung Arab agak labuh berwarna kelabu termasuklah busana yang dipakainya. Sangkanya ada pengunjung berketurunan Arab turut santai-santai di situ, tetapi setahunya Cik Siti Wan Kembang sebenar memang berketurunan Arab yang merupakan seorang pedagang.

Beliau cuba membezakannya setelah melihatnya buat kali kedua mendapati salah satu makhluk itu adalah jelmaan (menyamar) dan memang agak berbeza apabila kedua-dua kakinya tidak berpijak bumi (kaki di awang-awangan). Cik Siti Wan Kembang sebenar pula didapati kaki kirinya berpijak bumi, manakala kaki kanannya pula tidak. Seraya tangan kanannya menggenggam sedikit tanah dari sebelah kanan tubuhnya untuk tujuan menguji yang manakah jelmaan atau sebaliknya menyebabkan makhluk yang menyamar itu bertempiaran lari lalu terus ghaib.

"Saya nampak perempuan pertama itu, kedua kakinya tidak berpijak bumi. Perempuan satu lagi tu, sebelah kaki kirinya berpijak bumi, manakala sebelah kanannya di awang-awangan.

"Saya gumpal tanah di sebelah kanan kerana mahu tahu yang mana jelmaan dan yang mana asli. Tiba-tiba yang menyamar itu terus ghaib", cetus Darus sambil melakonkan semula detik-detik pada hari itu.

Setelah menyaksikan jelmaan tersebut ghaib, Cik Siti Wan Kembang sebenar terus masuk ke dalam tubuhnya. Dengan tidak disangka, ketika isterinya sedang bersandar di sebatang tiang di taman berkenaan, bahu isterinya itu tiba-tiba dicuit seseorang. Dakwa Darus, pada masa itu beliau tidak mengetahui siapa yang masuk ke dalam tubuhnya hanya isterinya sahaja yang mengenalinya. Apabila tubuhnya dimasuki Paduka Cik Siti Wan Kembang yang dimaksudkan, beliau yang hanya sekadar tahu bahasa Indonesia sahaja tiba-tiba dapat bertutur dalam dialek Kelantan dengan begitu fasih sekali.

Melalui Darus Mootalu, beliau bertanya isterinya dalam dialek yang dimaksudkan tentang tujuan dia datang ke sini. Lantas isterinya menjawab, beliau datang ke taman itu untuk menyedut udara segar kerana setiap kali datang ke situ, jiwanya akan tenang. Pada masa itu juga, isterinya agak terkejut dengan secara tiba-tiba suaminya itu bersuara seperti perempuan. Lantas dijawab, itu bukanlah suaminya tetapi Cik Siti Wan Kembang.

"Ketika itulah Cik Siti Wan Kembang itu menyatakan ada sesuatu yang ingin diberikan iaitu Geliga Pasak Bumi dan isteri saya meminta agar geliga itu dihantar ke rumah. Dan menurut Cik Siti Wan Kembang, selepas saya solat Asar, akan ada benda di atas sejadah saya nanti", terangnya.

Menjelang petang, mereka berdua pulang ke rumah untuk menunaikan solat Asar. Setelah Darus selesai menunaikan solat, beliau pun bagun dari sejadah dan dengan tidak sengaja beliau terlihat ada objek bulat muncul di atas sejadah yang dimaksudkan. Apabila terlihat oleh isterinya akan objek bulat berwarna keemasan itu, beliau akur dan mengakui bahawa objek tersebut adalah pemberian Cik Siti Wan Kembang berupa sebiji geliga.

Selepas memperolehi geliga tersebut, Cik Siti Wan Kembang meminta mereka berdua berkunjung ke taman itu sebagaimana selalu selama tujuh hari berturut-turut. Namun, mereka hanya mampu ke tempat itu selama tiga hari sahaja kerana isterinya demam.

Disebabkan gagal mematuhi kehendak Cik Siti Wan Kembang itu, pada suatu hari semasa di rumahnya, isterinya terdengar suara burung yang agak pelik dari kebiasaannya. Burung tersebut amat cantik, bulunya agak halus dan terdapat warna kekuningan bercampur coklat dan biru.

Kata orang burung tersebut dikenali 'Burung Cenderawasih'. Burung itu bertandang ke rumahnya selama tiga hari berturut-turut dengan suara yang sama. Masuk hari keempat, isterinya mengajaknya ke taman itu dan ketika tiba di sana, tubuh Darus Mootalu terus dimasuki Cik Siti Wan Kembang.

Ketika itulah Cik Siti Wan Kembang itu bertanya kenapa mereka tidak datang ke taman itu selama tujuh hari seperti dipinta. Dan menurut isterinya, dia tidak sihat dan kerana itulah permintaan itu tidak dapat dipenuhi.

Justeru, Cik Siti Wan Kembang meminta agar mereka mencukupkan jumlah hari yang masih tinggal iaitu selama empat hari untuk datang ke taman tersebut. Dan selepas mencukupkan hari yang ke tujuh, dengan tidak disangka, mereka dapat melihat bunga-bungaan berkembang cukup cantik dan mekar dengan banyaknya seperti sebuah taman yang cukup indah. Dan itu hanya dapat dilihat oleh mereka berdua sahaja.

Melihatkan keindahan bunga-bungaan yang terdapat di taman itu, isterinya meminta izin untuk memetik salah satu bunga yang terdapat di situ dan Cik Siti Wan Kembang mengizinkannya.

Selain itu, beliau juga diberikan wang Arab zaman dahulu tertera pohon kurma. Dan beliau diberitahu ialah sebagai tanda Cik Siti Wan Kembang sebenar. Kejadian yang berlaku pada pukul 12.00 tengah hari iaitu hari Jumaat dalam tahun 2007 itu agak mengejutkannya dan isterinya kerana selain dapat mengenali Cik Siti Wan Kembang, beliau turut menerima hadiah yang tidak disangka-sangka.

"Ketika Cik Siti Wan Kembang ada di situ, macam ada tiupan angin lembut, sejuk rasanya. Hairannya waktu tengah hari pun rasa sejuk", jelas Darus.

Sambung Darus lagi, Cik Siti Wan Kembang memberitahunya, semasa beliau memegang tampuk pemerintahan berkerajaan di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai dulu, Geliga Pasak Bumilah yang menjadi temannya dan kerana itulah seluruh rakyat jelata termasuk golongan yang hebat dan handal-handal hibup di bawah kerajaannya dengan aman sentosa tanpa sebarang sengketa selain untuk menjaga keselamatan dirinya.

Tambahnya, bukan sahaja Geliga Pasak Bumi yang berkemungkinan disimpan oleh Cik Siti Wan Kembang di sebelah atas tebing tersebut yang pada masa dulu merupakan singgahsananya sebagai kerajaan keduanya yang banyak memaparkan tentang sejarah silam, namun baginya banyak lagi batu-batu permata lain yang wujud di situ yang tidak diketahui oleh orang ramai dan pengunjung yang sering ke taman itu. Manakala dalam kolam yang dikenali 'Kolam Batu Karang' pada masa dulu banyak terdapat emas bernilai yang menjadi rebutan pelbagai pihak.

Katanya lagi, Cik Siti Wan Kembang memberitahunya, Geliga Pasak Bumi yang diperolehinya itu boleh dijual dan beliau memang tahu bahawa mereka berdua tidak ingin menjualnya. Namun, disebabkan geliga berkenaan ada yang lebih memerlukannya, adalah amat munasabah ia dijual.
  

Pengamal Rawatan Tradisional dan Ilmu Ghaib, Darus Mootalu.

Inilah Geliga Pasak Bumi yang dimaksudkan.

Geliga dalam air masin (kiri), kelihatannya separuh timbul.

Geliga dalam air tawar (kanan), kelihatannya tenggelam.


Inilah Taman Serendah Sekebun Bunga, milik Cik Siti Wan Kembang yang sering dikunjungi kedua-dua pasangan itu.

Di sinilah Cik Siti Wan Kembang muncul di taman itu, di atas tebing ini suatu ketika dahulu adalah singgahsananya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH