RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 5 Januari 2012

Seni Produk Kraf


SENI PRODUK KRAF

TUMPAT, KELANTAN:  KRAFTANGAN adalah kerja seni menggunakan kemahiran tangan yang dipopularkan sejak zaman nenek moyang lagi, sebenarnya tidak pernah luput walaupun telah berusia berpuluh-puluh tahun lampau. Barangan kraf yang berasaskan dari tumbuh-tumbuhan seperti buluh, rotan, daun mengkuang, daun pandan, tempurung kelapa dan lidi masih lagi mempunyai peminatnya yang tersendiri dan tidak pernah ditelan zaman. Walaupun cara buatannya telah bertukar corak, namun percayalah barangan kraf yang dimaksudkan itu masih lagi dalam keadaan kemas untuk menunjukkan pembuatannya agak halus dan penuh teliti.

Salah seorang pengusaha muda kraftangan berkenaan yang sempat ditemui Penulis, Ariffin bin Mat Ail, 29, atau lebih dikenali Riffin dari Kampung Talak, Tumpat, Kelantan mengakui, barangan kraftangan yang dijualnya itu mempunyai ramai peminat yang tersendiri. Ini kerana, sambutan pelanggan terhadap barangan kraf di kedainya agak memberangsangkan malahan beliau sering kali terputus bekalan. Apabila terjadi hal sedemikian, terpaksalah kedainya ditutup seketika sementara menunggu bekalannya kembali pulih.

"Bekalan kraftangan ini saya perolehi dari kerja tangan orang-orang Kampung Talak ini sendiri dan ada juga dari luar. Setelah siap, mereka akan meletakkannya di kedai ini", ujarnya.

Riffin yang turut mengusahakan kedai kraftangan bersama bapanya sejak tahun 1989 di mana kini telah berusia 20 tahun lalu sering menerima pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitarnya termasuk dari daerah lain seperti Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai. Menariknya, kebanyakan pembeli adalah pelancong dari luar Kelantan seperti Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Walaupun tinggal jauh, mereka sanggup datang sendiri ke kedainya untuk membuat pilihan dan selepas itu beliau akan menghantarkannya melalui keretapi.

"Kebanyakan pelancong dari luar Kelantan ini datang ke kedai saya, mereka membuat pilihan. Selepas mereka pulang, saya akan mengirimkannya melalui keretapi", jelas Riffin sambil menunjukkan beberapa bungkusan barangan kraf itu yang telah ditempah pelanggannya dan siap sedia untuk dihantar kepada pembeli yang dimaksudkan.

Di antara barangan kraf dari buluh seperti bakul, bubu, tuai, timba, acak, sarang burung, serkap ayam, terkup, badan (alat tampi padi). Manakala tikar dan tudung saji pula dibuat daun mengkuang. Sementara penyapu dibuat dari lidi kelapa, manakala bekas umpan pancing pula dibuat dari tempurung kelapa. Harga yang ditawarkan bagi barangan kraf tersebut semurah RM3 dan paling tinggi RM50. Sementara kraf siling dijual secara kiraan kaki, bermakna kalau berukuran 4 x 4 kaki berharga RM16. Menurutnya, kebanyakan pelancong tidak pernah berkira tentang harga barangan asalkan hasrat yang mereka inginkan itu tercapai.

Riffin menjelaskan, kedainya dibuka tujuh hari seminggu. Walaupun kebanyakan kedai di Kelantan ditutup pada cuti hari minggu seperti Jumaat, namun kedai kraf miliknya itu tidak pernah ditutup kecuali jika stok bekalan telah habis. Salah satu sebabnya ialah, beliau sering menerima kunjungan pelancong luar kebanyakannya hari Jumaat dan Sabtu.

"Permintaan tinggi terhadap barangan kraf ini terdiri daripada pemborong. Mereka menempah lebih dari 1,000 barangan. Nilai kesemuanya termasuk pelanggan lain dalam sehari, kami dapat dalam RM400", jelasnya.

Katanya, dalam keadaan cuaca panas dan setiap kali menjelangnya hari raya permintaan terhadap barangan kraf agak menggalakkan dan beliau tidak memang tangan dibuatnya. Namun, kadang-kadang agak perlahan terutamanya pada musim hujan dan bulan puasa.

Justeru, beliau amat bersyukur dengan rezeki yang diperolehinya sekarang. Malahan beliau berharap kepada pelanggan dapat menilai seni hasil kerja tangan dengan menyokong barangan kraf itu sambil membeli produk di kedainya. Selain harganya agak murah, namun kualitinya yang patut dipertaruhkan kerana selain pembuatannya penuh teliti dan halus untuk menunjukkan barangan kraftangan masih mendapat tempat di hati peminat-peminatnya.

Ariffin bin Mat Ail atau Riffin boleh dihubungi di talian:
019-9292022 / 09-7195360
 

Ariffin bin Mat Ail atau Riffin ketika ditemubual Penulis.

Sarang burung turut dijual di kedai krafnya.

Serkap ayam masih ada pembelinya.

Barangan kraf lain dari buluh.

Tudung saji tradisional dibuat dari daun mengkuang.

Tikar mengkuang masih digunakan oleh warga emas.

Bekas umpan pancing dibuat dari tempurung kelapa.

Sebahagian barangan kraf yang ditempah oleh pelanggan dari Johor siap untuk dihantar melalui keretapi.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 4 Januari 2012

Rezeki Kraf Rotan


REZEKI KRAF ROTAN

KOTA BHARU, KELANTAN:  SIAPA kata produk kraf rotan tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat kita kononnya harganya dikatakan agak tinggi berbanding produk yang sama tetapi dibuat dengan bahan-bahan lain. Jika dilihat kepada sambutan di kalangan penduduk tempatan hari ini apatah lagi dari luar Kelantan termasuk pelancong asing menunjukkan produk berasaskan rotan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri malah berpotensi untuk diekspot ke luar negara jika mempunyai tenaga kerja dan modal yang mencukupi. Hakikat ini amat jelas, walaupun produk tersebut dikatakan mampu dibeli dan dimiliki hanya segolongan masyarakat tertentu dianggap bukan alasannya, tetapi perlu ditekankan produk rotan ini buatannya agak unik, kemas dan menarik selain penuh teliti dan mempunyai nilai kesenian mendorong produk berkenaan masih menjadi tumpuan ramai.

Salah seorang Pengusaha A.Rashidah Kraf, Abdul Rahman Wan Yusoff, 53, atau lebih dikenali Abang Man dekat sini mengakui, produk rotan yang dijualnya kini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri disebabkan keunikannya malah amat menarik kerana dibuat dengan tangan secara tradisional tentunya mempunyai nilai kesenian yang menjadi kebanggaan masyarakat Kelantan sejak dulu. Beliau berkata demikian ketika ditemui Penulis di kedainya yang terletak Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa di laluan utama Kota Bharu ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat sini.

"Kalau dihitung, kedai A.Rashidah Kraf milik Abang Man ini sudah berusia kira-kira 15 tahun. Kedia ini dulunya dibuka di Bazar Buluh Kubu, Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu. Kemudiannya berpindah bersebelahan Maybank, Jalan Mahmood. Dari situ, Abang Man pindah buat kali ketiga ke tapak sekarang. Sebab-sebab dipindahkan ke sini kerana berhampiran dengan rumah, usianya lebih kurang tiga tahun di tempat ini", katanya di mana kedainya itu dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam setiap Sabtu hingga Khamis, kecuali hari Jumaat.

Menurut Abang Man lagi, beliau meminati produk kraf khususnya dari rotan semenjak zaman kanak-kanak apatah lagi kebanyakan barangan rumah dan dapur pada masa itu banyak dibuat dari rotan dan sejak dari itulah beliau berazam untuk menjual barangan berkenaan berikutan sambutan luar biasa di kalangan masyarakat setempat. Hasratnya bukan sekadar minat mahupun berazam untuk menjualnya semata-mata tetapi beliau sebenarnya boleh menghasilkan sendiri produk yang dikehendaki oleh peminatnya. Disebabkan itulah beliau tidak begitu sukar untuk mempelbagaikan jenis produk kraf berkenaan menurut citarasa pembeli yang sering datang ke kedainya setiap hari kerana beliau sememangnya pakar dalam membuat barangan yang berasaskan rotan itu.

Di kalangan rakan-rakan dan penduduk setempat yang mengenali beliau sering menganggapnya sebagai 'pandai rotan' atau dengan kata lain tukang rotan. Selain beliau mengetahui jenis-jenis rotan yang sesuai untuk menghasilkan sesuatu produk yang dibuat dengan tangannya sendiri kerana menurutnya dengan cara membuatnya sendiri beliau akan mengetahui kelebihan dan kelemahannya malah di bahagian mana yang perlu ditambah dan sebagainya untuk menghasilkan produk kraf tersebut.

Katanya, bekalan rotan yang akan dihasilkan dan dibuat dengan tangannya sendiri itu kebanyakannya diperolehi dari Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di mana beliau akan menemui sendiri pembekal di tempat-tempat berkenaan untuk mendapatkan bekalan rotan yang baik. Walau bagaimanapun, terdapat juga bekalan rotan tempatan tetapi kebanyakannya terpaksa dihantar ke sebuah kilang memproses rotan yang terletak di Kuala Lumpur kerana negeri Kelantan tidak mempunyai kilang mahupun mesin khusus untuk memproses rotan itu seperti memasak, mengering, termasuk mengadunkan sebatian kimia untuk menghasilkan rotan mentah, malah untuk mengelakkan rotan yang telah masak itu nanti tidak dijangkiti bakteria dan serangga perosak apabila rotan berkenaan siap untuk dijadikan sesuatu produk.

"Memanglah, kebanyakan rotan itu diproses terlebih dahulu sebelum menghasilkan sesuatu produk. Tujuannya, untuk mengelakkan dari dijangkiti bakteria dan masalah serangga yang boleh menyebabkan rotan itu rosak", katanya sambil menunjukkan beberapa jenis produk kraf rotan di kedainya.

Menyentuh tentang harga produk kraf rotan yang dijual dengan harga agak tinggi kerana produk rotan itu dinilai dengan buatannya yang dikatakan agak sukar di samping untuk menyiapkan sesebuah produk itu memakan masa yang agak lama. Namun, jika sesuatu barangan yang dihasilkan itu siap dalam masa yang terdekat, tentunya ia dijual dengan harga yang lebih rendah. Misalnya, bakul tempat meletakkan kain lampin bayi boleh disiapkan hanya sebuah sahaja dalam masa satu hari. Ini kerana, selain ukurannya agak besar apatah lagi cara membuatnya menggunakan kaedah tradisional (tangan) tentunya mustahil untuk menyiapkannya dalam masa yang cepat.

"Misalnya kuda-kuda bayi pula terpaksa mengambil masa selama tiga hari baru dapat disiapkan. Ini kerana, rotan tersebut perlu dipotong mengikut ukuran tertentu, direndam ke dalam air, dibakar malah ia perlu dibentuk dan selepas itu dikeringkan. Jadi, hari ketiga barulah kuda-kuda bayi itu dapat disiapkan", katanya sambil menunjukkan produk tersebut untuk dirakam gambar.

Tambah Abang Man seterusnya, sebuah kuda-kuda bayi dijual dengan harga RM75 untuk seekor. Manakala bakul tempat meletakkan kain lampin bayi berharga RM70 sebiji, bekas bawang pula dengan harga RM45 sebiji. Kesemua produk ini dibuatnya sendiri, manakala bakul-bakul kecil yang lain ditempah daripada orang-orang kampung yang memintanya supaya dijualkan kepada orang ramai.

"Setakat ini sambutan masyarakat terhadap produk ini amat menggalakkan berbanding di kedua-dua tempat dulu. Ini kerana, laluan utama bandar Kota Bharu ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ini memudahkan pelancong melihat dengan jelas produk berkenaan yang dipamerkan di kedai ini", katanya.

Menurutnya, sebab utama sambutan pembeli terus ke kedainya kerana hanya beliau seorang sahaja yang mengusahakan jualan produk kraf rotan di situ. Namun, jika ada pihak-pihak yang memang berniat untuk mengusahakan produk yang sama dalam istilah 'bersaing' dengan beliau, beliau tidak membenarkannya untuk diusahakan di kawasan itu di samping tidak akan memberikan sebarang idea kerana dengan adanya persaingan, tentunya masalah jualan akan terus menurun.

Tambah Abang Man, ramai juga penduduk tempatan yang sering datang berulang kali ke kedainya di samping ingin melihat bentuknya yang cantik, mereka akan membelinya juga kerana tidak mungkin dapat diperolehi di tempat lain yang agak jauh. Malah menurutnya, tidak kurang juga pelancong luar negara seperti dari Amerika, Korea dan lain-lain negara yang memuji kecantikan dan kualiti produk kraf rotan itu. Mereka berhasrat untuk membelinya dengan banyak, namun masalahnya ialah tentang pengangkutan pula yang menjadi halangan.

Kebanyakan pelancong luar negara menurut Abang Man, gemarkan produk kraf rotan itu dalam warna asalnya kerana dikatakan lebih menarik. Berbanding dengan masyarakat Melayu gemarkan kepada barangan rotan yang diwarnakan dan disapu 'vanish' mengikut citarasa mereka kerana dikatakan berkilat, lebih cantik dan menarik. Jadi, rotan berkenaan terpaksa direndamkan terlebih dahulu dengan pewarna kemudian dikeringkan. Berbanding kaum Cina pula suka barangan dari rotan secara tempahan.

"Ada beberapa pelanggan kaum Cina yang tidak berminat dengan produk rotan di kedai ini. Mereka membawa gambar produk itu dan meminta Abang Man menghasilkannya mengikut ukuran yang dikehendaki", katanya.

Sambungnya, di musim-musim perkahwinan beliau kerap menerima kunjungan bakal-bakal pengantin baru untuk mendapatkan barangan kraf rotan. Keluarga bakal-bakal pengantin bukan sekali yang datang ke kedainya itu dan bukan sekadar melihatnya sahaja, di samping memilih yang mana sesuai mereka membelinya dengan jumlah yang banyak sebagai keperluan majlis pertunangan. Kemudiannya, apabila tiba hari perkahwinan keluarga yang sama datang lagi untuk mendapatkan produk yang diinginkan dalam majlis berkenaan. Selepas itu, keluarga yang sama juga datang lagi memilih barangan kraf rotan itu seperti bakul untuk mengisi kain lampin, buaian dan kuda-kuda bayi tadi.

"Kalau dilihat kepada sambutannya yang agak menggalakkan itu, produk kraf rotan ini ada potensi untuk maju jika diberikan perhatian yang sewajarnya.

"Pada asasnya, memang Abamg Man berhasrat untuk mengekspot ke luar negara disebabkan sambutannya yang agak memberangsangkan. Namun, bimbang tidak sempat untuk menyiapkannya kerana perlu menyediakan tukang yang agak ramai, persiapan yang terperinci, perlu ada bengkel yang agak besar malah kosnya pula agak tinggi, keadaan ini tentulah agak sukar", katanya.

Menurutnya lagi, dalam usaha untuk menghasilkan produk kraf rotan yang lebih berkualiti memerlukan sesuatu yang teliti. Ini termasuklah keadaan rotan itu hendaklah betul-betul matang. Jika memilih rotan yang agak muda tentunya akan menimbulkan masalah sewaktu rotan itu dibakar dan dibentuk. Masalah yang agak ketara ialah apabila rotan itu mula dibentuk, sering berlaku kepada rotan-rotan muda ialah ia mudah patah atau putus. Jika barangan kraf yang dibuat dari rotan muda tiba-tiba didapati patah kerana tidak begitu matang, rotan tersebut perlu diganti baru. Ini tentunya menimbulkan masalah besar itu melakukan kerja dua kali yang sepatutnya dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Dalam usaha untuk mendapatkan rotan yang benar-benar berkualiti sememangnya terlalu sukar kerana beliau tidak mempunyai kesempatan masa, jadi beliau membelinya terus dari kilang yang telah siap memprosesnya. Kaedah ini paling mudah kerana tidak perlu kos yang meningkat sebagai upah orang lain untuk mencarinya.

"Di antara peralatan yang digunakan untuk membuat produk kraf rotan tersebut seperti spana untuk meluruskan rotan yang bengkok, gas untuk menghasilkan semburan api, tukul, paku yang sesuai, gunting dan tali rotan untuk tujuan ikatan supaya kelihatan lebih kukuh dan kemas", katanya.

Katanya, lazimnya produk kraf rotan ini tahan lebih lama apabila diletakkan di tempat kering dan beas dari cuaca sejuk dan lembab, ketahanannya boleh mencapai sehingga 10 tahun atau lebih bergantung juga kepada sikap cermat pemiliknya. Ini kerana, rotan jika terlalu lama pasti akan lusuh juga umpamanya ikatan tali yang renggang, paku yang digunakan pasti berkarat juga kemudiannya patah. Jika berlaku hal seumpama itu, ramai juga di antara pemiliknya yang datang ke kedainya supaya membaikinya.

Justeru, sebagai langkah bijak beliau akan mengantikan rotan yang lusuh itu dengan yang baru supaya kelihatan cantik dan tahan lebih lama lagi. Dalam kaedah ini, pastinya pembeli akan membayar harga rotan yang baru diganti itu sementara khidmat membaiki dan menukarnya diberikan percuma sahaja. Manakala mana-mana bahagian rotan yang masih kukuh dan boleh digunakan, beliau akan mencucinya dengan teliti di samping perlu melumurkan 'vanish' untuk menghilangkan segala kekotoran yang melekat pada bahagian-bahagian rotan tersebut supaya kelihatan bersih dan berkilat. Kaedah ini kebanyakannya tidak diketahui oleh pemiliknya kerana mereka sendiri akan kagum bahawa barangan kra mereka kelihatan baru, lebih cantik dan menarik daripada yang asal, ini tentunya menggembirakan mereka.

Justeru, tidak rugi memiliki barangan kraf dari rotan kerana produk seumpama ini akan kelihatan menarik apabila diletakkan di tempat yang sesuai. Jadi, sokonglah produk yang dibuat dari rotan sebagai menghargai sumber kekayaan hutan di negara kita. Jika kita sendiri yang tidak menyokong dan memberikan perhatian, siapa lagi. 
 


Abdul Rahman Wan Yusoff atau Abang Man.


A.Rashidah Kraf milik Abang Man.

Kuda-kuda bayi dari rotan.

Bakul hiasan yang dihasilkan oleh Abang Man.

Buaian bayi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Seni Bingkai Gambar


SENI BINGKAI GAMBAR

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  JANGAN menganggap bahawa sesuatu yang telah rosak dan terbuang itu walaupun dikatakan sampah dianggap sebagai tidak berguna. Kadang-kadang melihat benda yang terbuang itu boleh mendatangkan ilham bahkan darinya juga dapat melahirkan sesuatu yang bernilai seni. Mungkin ia tidak berguna ketika itu, namun kadangkala ia mendatangkan manfaatnya jika individu itu mempunyai minda yang kreatif apabila diterjemahkan dalam konteks yang lain pula.

Sebagaimana pengalaman seorang Pengusaha Ki Gallery, Abdul Suki bin Muhammad, 51,  yang menghasilkan bingkai gambar dari kraf rotan ketika ditemui Penulis di kedainya di Pasar Besar Wakaf Baharu, Kelantan amat bersyukur kerana barangan yang terbuang juga ada manfaatnya asalkan individu itu sentiasa berusaha ke arah itu.

Katanya, sebelum beliau menceburi bidang membuat bingkai gambar dari kraf rotan itu, beliau pada masa itu adalah seorang pelukis. Banyak lukisan potret yang dihasilkan di serambi rumahnya dijual kepada peminat-peminat yang menghargai khidmat yang dicurahkan sementara menunggu diumumkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM).

Pada suatu hari, ketika beliau lalu lalang secara tidak sengaja anak matanya terlihat sebuah kerusi yang diperbuat dari kraf rotan didapati telah rosak yang telah dicampak serta dilonggokkan di tepi jalan oleh pemiliknya. Pada hematnya, mungkin pemiliknya menganggap kerusi seumpama itu tidak perlu lagi disimpan di dalam rumah kerana akan menyebabkan sakit mata memandangnya. Melihatkan keadaan kerusi rotan yang agak lusuh itulah dengan tidak disangka-sangka beliau mendapat ilham bahawa kerusi rotan itu ada seninya yang tersendiri dan individu yang menghasilkannya adalah seorang yang halus tentang seni kraf terbabit.

"Memang saya nampak, bahagian belakang (panyandarnya) menggunakan bilah-bilah rotan kecil. Jadi, saya angkat kerusi itu lalu dibawa pulang.

"Bilah-bilah rotan yang masih boleh digunakan saya atur, susun dan cantumkan pada sebuah bingkai gambar. Setelah selesai, saya dapati agak menarik. Saya cubalah memasukkan sehelai gambar poster ke dalam bingkai gambar itu, memang nampak cantik", katanya yang berjaya mengadunkan kedua-dua ilham seni di bidang tersebut di serambi rumahnya di Jalan Hulu Stesen, Wakaf Baharu ketika itu.

Tambahnya, melihatkan kejayaannya sebagai pencetus seni khususnya dapat menghasilkan bingkai gambar dari kra rotan pada ketika itu, dengan tidak disangka ramai yang datang ke rumahnya melihat sendiri kejayaannya. Menariknya, ramai yang memujinya bahawa cantuman begitu amat cantik kerana mereka tidak pernah melihatnya sebelum ini. Agak teruja juga dengan pelbagai pujian yang diterimanya kerana beliau sebenarnya tidak pernah belajar atau mengambil sebarang kursus dari mana-mana institusi untuk menghasilkan bahan tersebut, kecuali sekadar timbulnya ilham pada masa itu sahaja.

"Disebabkan ada yang menyatakan bingkai itu cantik, saya ambil kesempatan itu dengan menghasilkannya dalam jumlah yang banyak lalu menjualnya di kaki lima bangunan Kelab Pas di Kota Bharu sebagai percubaan di pasaran terbuka.

"Pada hari itu juga, pemilik Bersatu Supermarket di Kota Bharu tertarik dengan bingkai yang saya hasilkan, lalu membeli kesemua bingkai gambar itu secara tunai", jelasnya yang begitu teruja dengan perkembangan sihat kerana telah berjaya menjual kesemua produknya.

Berdasarkan pengalamannya dapat menghabiskan barangan kraf yang dihasilkannya sekaligus menyebabkan timbulnya semangat untuk menghasilkan lebih banyak lagi produk seumpama itu kerana beranggapan selepas ini mungkin banyak lagi tempahan akan diterimanya. Menurutnya, setiap kali bekalan bingkai gambar itu habis dijual oleh pemilik pasar raya itu, beliau diminta supaya menghasilkannya sebagaimana yang diperlukan.

Namun menurutnya, jualan barangan bingkai dari kraf rotan secara kecil-kecilan di kaki lima Kota Bharu hanya dapat bertahan selama setahun sahaja apabila arahan dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) melarang segala jenis perniagaan di tempat yang dimaksudkan atas alasan mengganggu lalu lintas dan menyebabkan kesesakan. Dari situ, beliau terpaksa berpindah ke serambi rumahnya sekarang di Jalan Hulu Stesen, Wakaf Baharu di mana selama 12 tahun beliau menghasilkan bingkai gambar dari kraf rotan itu apabila Pasar Besar Wakaf Baharu sekarang siap sepenuhnya, beliau mendapatkan lot di pasar berkenaan sehingga sekarang sebagai tapak perniagaan baru.

Tambahnya, kini telah mencecah 20 tahun beliau berkecimpung dalam bidang seumpama itu, namun baginya tidak pernah berasa jemu kerana beliau sebenarnya turut dibantu oleh Puan Almiah  binti Ketek atau lebih dikenali sebagai Kak Yah, 50, yang menurutnya amat mahir dengan kerja seni kraf seperti itu.

Katanya lagi, beliau sebenarnya amat bersyukur dengan keadaan sekarang kerana sewa kedai yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjumlah RM75 sebulan amat memadai. Apatah lagi, dengan sambutan pelanggan memang tidak pernah lekang walaupun beliau telah berpindah ke tempat baru. Katanya, selama 20 tahun beliau menghasilkan bingkai gambar tersebut beliau telah dapat membeli sebidang tanah di samping membina sebuah rumah yang didudukinya sekarang.

"Dari segi persiapan, sekurang-kurangnya 100 buah bingkai gambar dapat disiapkan, manakala pendapatannya pula mencecah RM70 sehari", katanya yang begitu gembira dengan perkembangannya sekarang.

Kata Abdul Suki lagi, kebanyakan rotan yang digunakannya sekarang dibekalkan dari Pahang, malahan terdapat juga dari individu yang membekalkannya dari Pasir Mas, di mana beliau terpaksa membeli dalam jumlah yang banyak untuk menampung permintaan yang tidak putus-putus.

Menurutnya, jika dikira purata kasar dengan kayu kira-kira 12 sentimeter (satu kaki) bernilai RM5 termasuk cerminnya sekali. Manakala rotan itu pula dijual dengan harga RM6 untuk satu lapis, namun jika dua lapis harganya dikira tiga kali ganda berjumlah RM15.

Sambungnya, kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan, namun tidak kurang juga pelanggan dari luar Kelantan seperti dari Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Melaka. Kebanyakan pelanggan datang begitu teruja untuk mendapatkan produk berkenaan apabila mereka melancong ke Kelantan dan setelah pulang pelanggan berkenaan singgah di galerinya. Tidak kurang juga anak-anak Kelantan yang bertugas di luar dan apabila mereka kembali ke tempat masing-masing, mereka akan singgah dan membelinya untuk dibawa pulang. Malah terdapat beberapa orang pelancong dari England turut menempah dari beliau untuk dibawa ke negara mereka juga beranggapan bingkai tersebut memang kaya dengan seninya.

Katanya, beliau sering menerima maklumbalas daripada pelanggan yang pernah menempah produk bingkai krafnya itu yang menyatakan bahawa produk yang dihasilkannya itu kaya dengan nilai seni selain kemas dan berkualiti, kebanyakannya memang berpuas hati. Apatah lagi beliau yang turut dibantu oleh Kak Yah yang melakukan kerja agak halus penuh berhati-hati menambahkan lagi kepercayaan pelanggan terhadap kebolehannya. Sekarang ini, beliau menyerahkan buatan produknya itu kepada Kak Yah kerana menganggap Kak Yah mahir, sesuailah dengan sifat yang ada pada seorang perempuan sepertinya. Malahan dalam keadaan tertentu, Abdul Suki menganggap jika pembantunya tiada seolah-olah kekurangan sebelah tangan sebagai simbolik tentang hasil kerja pembantunya yang agak bagus dan memuaskan.

"Setakat ini, pasaran produk bingkai rotan agak menggalakkan kerana jarang individu melahirkan produk seperti ini. Saya menganggap diri saya menang kerana telah berjaya menghasilkan dan memasarkan produk itu sehingga diterima dan dikenali umum. Puncanya, produk yang dihasilkan itu tidak mempunyai pesaing, dengan demikian lebih mudah untuk memasuki pasaran.

"Saya yakin dan percaya atas sikap tekun dengan kerja apatah lagi berjaya menjaga hati pelanggan menjadikan produk kraf ini mendapat sambutan. Manakala tentang bayaran pula memang mampu dibeli oleh semua peringkat menjadikan produk bingkai rotan ini sentiasa mendapat perhatian", jelasnya.

Abdul Suki juga turut menyentuh tentang pelbagai bidang kerja seni yang pernah dilakukannya. Ini kerana, selain menghasilkan bingkai dari kraf rotan tersebut beliau juga turut menghasilkan logo yang dicetak pada baju-T dan sebagainya yang turut dilakukannya di rumah terutamanya sebelah malam sebagai kerja sambilannya. Bidang kerja seumpama ini memang dipelajarinya dan beliau pernah mengikuti beberapa kursus. Misalnya tentang reka bentuk dan corak batik beliau boleh menghasilkannya atas permintaan pelanggan bukan sahaja menghasilkan bingkai dari rotan itu.

Apabila ditanya tentang cita-citanya untuk memperkembangkan lagi galeri dan produknya kini, beliau menjelaskan memang berhasrat untuk berbuat demikian. Namun, beliau bagaimanapun tidaklah terlalu menekankan ke arah itu kerana dengan keadaan galeri yang ada sekarang beliau bebas menghasilkan produk tanpa sebarang tekanan. Jika memperbesarkan perniagaan berkenaan tentunya beliau akan memikirkan tentang pekerja dan sebagainya termasuk operasi dan pengurusannya selain keperluan membayar sewa bangunan lain yang lebih besar yang memerlukan kos yang tinggi.

Walau bagaimanapun, cadangan seperti itu pun sememangnya perlu memandangkan keadaan pasaran sekarang yang banyak persaingan memerlukan beberapa perubahan, apatah lagi dapat menyebarkannya dalam dunia maya seperti internet akan lebih memberikan impak kepada produk yang dihasilkannya itu.

Katanya, beliau tidak dapat menafikan tentang cabaran terhadap produknya apabila sambutan pelanggan kadang-kadang agak dingin. Apabila hal ini berlaku, tentunya akan hilang minat untuk menghasilkan produk yang berkualiti kerana tertekan dengan keadaan itu. Apatah lagi cabaran yang timbul apabila produk telah siap dihasilkan, namun pelanggan yang ditunggu supaya memungut tempahan mereka tidak berbuat demikian, tentunya jika tiada sifat sabar kita akan mudah berasa jemu.

Justeru, harapan beliau terhadap pelanggan supaya mendapatkan produk tersebut di kedainya. Bukan sahaja nilai harga yang mampu dibeli, namun paling penting kita dapat menilai kerja-kerja seni dan dapat memperkayakan khazanah rotan yaang berasal dari hutan di negara kita sendiri.

Abdul Suki Muhammad di kedai miliknya, Ki Gallery.

Abdul Suki ketika ditemubual Penulis.


Sebahagian bingkai dan gambar yang dihasilkannya.

Pembantunya, Kak Yah (kiri) merupakan tenaga mahir yang menjadi harapannya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 2 Januari 2012

Seni Kayu Hanyut


SENI KAYU HANYUT

KOTA BHARU, KELANTAN:  TIDAK semua kayu terbiar itu dianggap tidak berguna yang boleh dilabelkan sebagai sampah dan menyakitkan mata memandang seperti kayu-kayu hanyut. Ini kerana, jika ada kreativiti dalam seni ukiran, kayu-kayu hanyut itu juga bernilai komersial yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan selain mewujudkan aktiviti seni kecantikan ruang rumah atau pejabat lebih-lebih lagi sebagai hiasan meja, atas almari dan boleh dijadikan bahan pameran yang menarik.

Hari ini, kayu-kayu hanyut boleh diperolehi dengan mudah terutamanya di pantai-pantai mahupun di sungai. Ini kerana, apabila air pasang ataupun banjir melanda tentunya kayu-kayu tumbang yang berada di kawasan rendah akan turut dihanyutkan arus lalu terdampar di muara sungai dan pantai. Bagi yang menganggapnya sebagai bernilai seni, tentunya akan merasa rugi jika kayu-kayu berkenaan terbiar dimakan serangga perosak dan dirubah cuaca. Tetapi amat berlainan pula bagi individu  yang melihatnya sebagai bernilai seni kerana setiap perkara yang diciptakan Allah di alam ini mempunyai unsur kesenian, sekaligus jika digarap dan dicernakan dengan baik akan menghasilkan sesuatu yang indah pula.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang bernilainya kayu hanyut kepada pencinta seni ukiran kayu, Penulis telah menemui Ahmed bin Hassan, 54, dari Jalan Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan. Beliau yang juga Pengasas KB Organic Garden yang ditubuhkan sejak bulan September 2007 merupakan seorang warga Iraq dan telah menetap di negeri ini lalu mendirikan rumahtangga dengan gadis tempatan sejak 23 tahun lalu, telah menemui kayu hanyut semenjak 12 tahun lalu lagi.

Ahmed yang juga merupakan seorang 'programmer computer' pada mulanya hanya memberikan tumpuan terhadap tugasnya itu daripada melihat keindahan alam ini secara lebih dekat apatah lagi tentang kayu hanyut itu. Namun, bagi mencari ketenangan agar mental dan fizikalnya sentiasa ceria dan cerdas akibat tekanan yang semakin membungkam kerana sering dibelenggu tugas sepanjang masa, beliau mengambil keputusan untuk melihat suasana yang tenang di luar sambil menghirup udara segar bersama rakan-rakan yang terdiri daripada beberapa orang doktor.

Suatu hari, beliau mengikuti beberapa orang doktor yang diarahkan bertugas di penempatan orang asli di bahagian pedalaman Gua Musang, Kelantan. Menurutnya, pertama kali dapat menjejakkan kaki ke dalam hutan ternyata menyeronokkannya berbanding menetap di bandar yang sentiasa dibebani tugas.

"Pertama kali dapat masuk ke dalam hutan, saya terjumpa sebatang kayu agak menarik lalu dibawa pulang. Setelah dibersihkan, alangkah cantiknya sebagai hiasan meja", katanya sambil tersenyum. Bermula dari situlah minatnya untuk mengumpul beberapa jenis kayu hanyut semakin berkobar-kobar.

"Berhubung dengan bekalan kayu-kayu hanyut ini boleh diperolehi di mana-mana tempat di negara ini asalkan kita berusaha mencarinya. Kayu hanyut ini sebenarnya adalah khazanah alam yang paling berharga dari Tuhan kepada setiap manusia yang tahu menilai kesenian alam ini", ujarnya apabila ditanya bekalan kayu hanyut yang diperolehinya.

Menurutnya lagi, dalam kesempatan lain sewaktu minum kopi di sebuah warung sambil menunggu kenderaan masuk ke dalam sebuah hutan di Tanah Merah, Kelantan beliau banyak menemui pelbagai jenis kayu-kayu yang bertatahkan ukiran menarik serta berunsurkan kesenian lalu diambilnya.

Selain itu, beliau memperolehi kayu-kayu hanyut itu di beberapa buah pantai di Kelantan seperti Pantai Sri Tujoh (Tumpat), Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu), Pantai Dasar Sabak (Kota Bharu), Pantai Irama (Bachok), Pantai Bisikan Bayu (Pasir Puteh) selain di beberapa buah muara sungai seperti di Pasir Mas dan Tanah Merah. Bahkan menurutnya, di kawasan sungai terdapat pulau-pulau kecil yang jarang dilalui oleh orang ramai juga banyak terdampar kayu-kayu hanyut yang paling menarik hasil perubahan alam.

Di samping itu, beliau pernah ke Kuala Terengganu dan Pahang semata-mata untuk mendapatkan bekalan kayu hanyut yang lebih menarik. Selepas itu, beliau ke Perak dan Pulau Pinang kerana semakin minat dengan mengumpul kayu-kayu berkenaan. Jika diketahui di mana saja terdapat kayu hanyut menarik, beliau akan mengambil cuti kerja semata-mata meruangkan masa untuk mengumpulnya dan dibawa pulang.

"Cara saya membawa pulang dalamk banyak keadaan. Kalau sesuai dibawa dengan kereta sendiri akan diusahakan. Jika tidak, terpaksalah menyewa bot dan menempah sebuah lori jika kayu-kayu tersebut agak besar dan dalam jumlah yang banyak", ujarnya.

Ahmed menambah, sekarang ini bekalan kayu hanyut melebihi dari yang dijangkakan. Selain diperolehinya sendiri dengan bantuan rakan-rakannya, beliau juga turut menerima sumbangan dari beberapa orang rakannya. Contohnya, ada beberapa batang kayu cengal yang tersimpan selama tujuh tahun telah disumbangkan oleh seorang rakannya kerana tidak tahu cara memanipulasi kayu tersebut. Jadi, daripada terbiar reput begitu sahaja lebih baik diambilnya yang tahu menilai kesenian kayu-kayu berkenaan.

Beberapa bentuk ukiran kayu yang tersimpan selain sebagai pameran dan jualan di rumahnya kini terdiri dari peta Kelantan, orang sedang solat, kayu anak kuda, ibu mendukung anak, huruf F, kepala unta, kepala itik dan sebagainya. Kesemua kayu hanyut ini menurutnya boleh diguna pakai sebagai barang hiasan meja, diletakkan atas almari rumah, dihiaskan di lobi-lobi hotel dan untuk tujuan pameran dalam pertandingan.

"Misalnya ada sebuah hotel di Kota Bharu ini yang telah dua kali menyewa kayu hanyut daripada saya sempena pameran dan pertandingan landskap hotel berkenaan.

"Setakat ini, saya belum berminat untuk mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan landskap, tetapi tak tahulah untuk masa-masa yang akan datang. Kalau saya menyertainya pun, hanya di peringkat negeri Kelantan sahaja. Sebabnya, kayu hanyut amat sukar diangkat dan disusun kerana terlalu berat apatah lagi kos pengangkutannya juga cukup tinggi", katanya.

Ahmed juga menyatakan, beliau pada dasarnya tidak berhasrat untuk menjadikan kayu hanyut sebagai bahan komersial atau untuk diniagakan kepada peminat-peminat dan penggemar kayu-kayu sedemikian. Usahanya itu adalah sekadar sebagai hobi semata-mata di samping menyumbangkan buah fikiran tentang seni kayu hanyut kepada individu yang berminat. Namun, jika ada yang ingin membelinya, daripada 10 jenis kayu itu, hanya dua jenis sahaja yang dijualnya, manakala lapan lagi sebagai koleksinya sendiri. Jika ada yang ingin membelinya, beliau akan menjualnya dengan harga di antara RM5 hingga RM7,000 mengikut kualiti, bentuk dan jenis kayu itu.

Tambah Ahmed lagi, di Kelantan beliau difahamkan pengusaha kayu hanyut termasuk beliau sendiri hanyalah empat orang sahaja. Ini kerana, warga tempatan khususnya orang-orang Melayu tidak begitu berminat tentang kesenian kayu hanyut berbanding dengan masyarakat di Kuala Lumpur dan Johor seperti masyarakat Cina dan India yang pernah menempah kayu-kayu berkenaan darinya.

"Orang-orang Kelantan sebenarnya tidak faham bahawa kayu hanyut juga ada kepentingannya kepada alam termasuklah juga dari segi mental dan fizikal manusia, tetapi kebanyakan masyarakat di sini mensia-siakan kepentingan kayu itu. Masyarakat tempatan tidak tahu menilai untuk apa kayu itu dijadikan. Mereka sanggup membiarkannya dimakan ulat dan dimusnahkan atau dibakar. Hairannya, apabila kayu-kayu itu dbersihkan dan disusun dengan baik ramai pula yang memujinya cantik dan menarik", ujarnya dengan nada kesal.

Menurutnya, beliau memuji terutamanya warga Singapura apatah lagi orang-orang Inggeris yang dianggap bijak dalam menilai kepentingan kayu hanyut dari sudut keseniannya sebagai hiasan. Jadi, beliau berharap kepada warga tempatan supaya mengubah persepsi sekarang kepada berfikiran seni dan kreatif kerana tidak semua kayu yang bertimbun dengan banyaknya itu boleh dibiarkan atau dimusnahkan begitu sahaja. Ini kerana, ada di antaranya yang menjadi indah dan elok mata memandang apabila dicernakan dengan baik. Maka itulah kehebatan dan kepentingan kayu hanyut yang digarapkan dari alam ciptaan Allah Yang Maha Esa ini.

Ahmed bin Hassan boleh dihubungi di talian:
019-9985473 


Ahmed bin Hassan ketika ditemubual Penulis di premisnya KB Organic Garden.

Kayu hanyut bentuk manusia sedang tahiyyat (tengah).

Kayu hanyut bentuk Anak Kuda.

Kayu hanyut bentuk Itik.

Kayu hanyut bentuk Ulat.

 Pelbagai jenis bentuk kayu hanyut lain.

Inilah premis yang diasaskannya, KB Organic Garden.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 1 Januari 2012

Seni Bonsai


SENI BONSAI

KOTA BHARU, KELANTAN:  LAIN padang lain belalang. Lain orang lain pula hobi dan kegemarannya. Tidak kira apa jua minat di antara seorang dengan individu yang lain, hakikatnya memang berbeza. Pokok pangkalnya hobi yang disemai itu boleh mendatangkan manfaatnya jika masa yang diperuntukkan diberikan tumpuan sepenuhnya. Penting sekali walaupun sekadar hobi, ia boleh memberikan pulangan yang lumayan jika kena dengan kaedah dan caranya.

Begitu halnya hobi dan minat yang begitu mendalam terhadap keunikan pohon bonsai sebagaimana yang diusahakan oleh Mohd. Bohori Che Makhtar atau lebih dikenali sebagai Yie ketika ditemui Penulis di kediamannya di Kampung Pintu Geng dekat sini amat cukup bermakna.

"Pada awalnya minat saya adalah menanam pohon bunga. Tetapi pada suatu hari, saya cuba melihat dengan lebih dekat pohon bonsai ini amat cantik, ada seni dan keunikannya yang tersendiri. Sejak detik itulah saya mula tertarik untuk jadikannya sebahagian hobi utama dan dalam masa yang sama saya mula belajar mengenali bonsai secara lebih dekat", ujar Mohd. Bohori memulakan bicara.

Katanya, dalam masa mempelajari pohon bonsai walaupun terpaksa berhadapan dengan kesibukan urusan perniagaannya, beliau tidak lupa meruangkan masa untuk datang ke tempat-tempat pertandingan pohon unik itu. Minatnya terhadap bonsai tidak selesai setakat itu saja apabila beliau cuba membantu pemilik bonsai bansa asing yang pada anggapannya memerlukan pertolongan, lantas berbuat demikian sebagai alasan untuk meringankan beban itu. Tindakannya itu memang tidak disenangi oleh pemilik bonsai berkenaan, lantas beliau disergah seraya melarangnya menyentuh pohon bonsai yang hidup subur dalam beberapa pasu yang telah diangkatnya sebagai peringatan bahawa individu yang bukan dalam bidangnya dilarang untuk berbuat demikian.

"Sejak disergah pemilik bonsai itulah, saya anggap sebagai suatu cabaran dan ketika itu memang saya bertekad akan menjadi "sifu bonsai". Saya berharap suatu masa nanti, individu yang menyergah saya akan menghormati kemahiran saya di bidang ini", ujarnya penuh semangat.

Tambahnya, beliau meminati bonsai sejak tahun 1990 lagi, tetapi betul-betul aktif dalam tahun 2000. Menurutnya, untuk menyiapkan kerja-kerja bersabit dengan pohon berkenaan memakan masa yang agak lama di antara 5 hingga 6 tahun. Namun, kebiasaannya pohon bonsai betul-betul matang apabila mencapai tempoh usia 6 tahun.

Beliau yang pada awalnya memang mahir dengan teknik menanam pohon bunga beranggapan, kaedah yang sama boleh digunakan juga terhadap pohon bonsai. Kaedah semaian pohon bonsai yang dilakukannya bukan dilakukan terhadap pohon hidup, tetapi sebatang kayu bonsai yang boleh direka bentuk mengikut kehendak sendiri berdasarkan kepada seninya yang unik. Kadang-kadang beliau membelinya secara siap dan apabila pulang, beliau akan merubah bentuknya dan kadang-kadang mengambil kerangka pohon itu saja, kemudian direka bentuk semula supaya kelihatannya semakin menarik.

Menurut Mohd. Bohori, semenjak sering berjinak-jinak dengan pohon bonsai beliau telah dapat mempelbagaikan teknik kreatif, kaedah dan dianggap mahir dalam merealisasikan hasrat dan hobinya yang pernah didakwa oleh pihak-pihak tertentu bahawa beliau tidak akan mencapai cita-citanya itu. Bertolak dari situlah, dalam tahun 2000 buat pertama kalinya beliau memasuki pertandingan bonsai peringkat kebangsaan di Pulau Pinang sebagai menguji sejauh mana tahap kemahirannya di bidang berkenaan dan dalam pertandingan itu beliau mendapat tempat kedua. Dalam tahun yang sama juga, beliau memasuki pertandingan kedua di Kedah di mana beliau juga mendapat tempat kedua.

"Setakat saya menyertai pertandingan rasanya tidak pernah kecundang, paling tidak mendapat tempat ketiga. Namun, saya pernah mendapat hadiah sagu hati bagi pertandingan bonsai peringkat Negeri Kelantan", katanya.

Semenjak memenangi pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan dan negeri yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di mana beliau tidak pernah tewas kepada mana-mana peserta yang dianggap handal di bidang berkenaan, namanya semakin tersohor malah dikenali bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di luar Kelantan khususnya ketika beliau memasuki pertandingan peringkat Asia Pasifik pada 23 Mei, 2008  di Kuala Lumpur. Sehingga kini, ramai yang menganggapnya sebagai "pakar bonsai" malah ada juga yang memanggilnya "sifu bonsai" kerana kemahirannya yang tiada tolok bandingnya berbanding pakar bonsai lain.

Tambah Mohd. Bohori, pengalaman beliau memasuki mana-mana pertandingan peringkat kebangsaan dan Asia Pasifik dulu, cara pemarkahan pihak pengadil sudah berubah sesuai dengan peredaran masa. Kalau sewaktu ketika dulu, pengadil akan melihat dan membandingkan tentang akar pohon bonsai itu, melihat kepada asas dahan pertama, kedua dan ketiga tadi, lebat atau ranting itu serta kesuburan pohon bonsai itu sendiri. Walau bagaimanapun, jika pohon bonsai tidak mempunyai daun, pemilik bonsai berkenaan boleh memasuki pertandingan dan pengadil tidak akan membatalkan penyertaan dengan alasan musim luruh.

"Cara pemarkahan adalah berdasarkan kepada kehendak pengadil misalnya markah 5 atau 10, maknanya jika markah itu semakin kurang adalah semakin baik. Contohnya, jika kelima-lima pengadil bersepakat terhadap pohon bonsai yang diadili, dengan memberikan markah 4, kebanyakan pengadil lain akan memberikan markah yang perbezaannya tidak terlalu jauh sangat", katanya.

Katanya, cara pemarkahan sekarang paling ringkas dan tepat sebagai mengambil contoh pengadilan dari Taiwan. Ini kerana, semua pengadil telah sedia maklum, individu yang memasuki pertandingan berkenaan sudah "sempurna" dengan segala ilmu kepakaran yang dimiliki. Dalam hal ini, tidak perlu melihat kesempurnaan tiap-tiap dahan, ranting dan sebagainya, tetapi pengadil akan melihat secara 'keseluruhan' pokok itu. Pengadil akan memilih dan mengadili hanya lima pokok terbaik untuk memilih empat kategori pemenang dan salah satu pokok berkenaan akan dianggap gagal.

Sementara itu, membicarakan tentang peminat bonsai pula amat berbeza di antara peminat tempatan dengan luar Kelantan, apatah lagi di antara kaum di negara ini. Walaupun bonsai sepatutnya diminati kaum Cina kerana sejarah bonsai sebenarnya paling dekat dengan kaum berkenaan setelah terjadinya rampasan istana termasuk bonsai ketika berlakunya Perang Jepun, tetapi hakikatnya tidak.

Katanya, dia meminati bonsai kerana tiga orang guru asal dari Kelantan seperti Haji Latiff dari Johor, Haji Halim dari Kuantan, Pahang dan Perak kesemuanya bangsa Melayu, hanya terdapat segelintir sahaja yang dikenalinya dari Kuala Lumpur terdiri daripada kalangan bukan Melayu.

Manakala di Kelantan sendiri menurutnya, majoriti kaum Cina meminati bonsai tidak sampai 10 orang jika dibandingkan dengan orang Melayu yang melebihi 100 orang. Senario seumpama ini menurutnya sudah terbalik.

"Golongan minat bonsai di Kelantan kebanyakannya adalah guru bukannya golongan korporat atau mewah. Malah peminat bonsai tidak semestinya terdiri daripada orang kaya, tetapi terdapat juga dari golongan miskin. Ini kerana, orang kaya boleh melakukannya berdasarkan tahap mereka dan begitulah juga sebaliknya", ujarnya.

Mohd. Bohori yang kini menjawat jawatan Timbalan Bendahari Persatuan Seni Bonsai Negeri Kelantan dan Komiti Persatuan Penjing dan Gushi Malaysia juga tidak menolak bahawa bonsai tidak ada nilai harga khusus, apabila diminta menjelaskan tentang nilai harga pasaran bonsai hari ini. Walaupun tidak ada nilai tetapi ia turut bergantung kepada perbandingan di antara satu jenis bonsai dengan bonsai yang lain.

"Contoh jelas dalam hal ini apabila rakan-rakan kita membeli dengan harga RM3,000, pokok kita lebih cantik daripada dia malah dalam spesis yang sama. Tetapi harga pokok kita hanyalah RM2,500 sahaja. Ini menunjukkan bonsai tidak ada nilai, sebaliknya nilai bonsai melalui perbandingan", katanya.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa nama bonsai yang agak tersohor yang turut digemari golongan mewah umpamanya Jeliti dipanggil juga sebagai Santalia Regfolia atau Siew May, Cucur Atap, Kayu Hitam dan Kemuning. Manakala bonsai yang didatangkan dari Indonesia pula dikenali sebagai Mustam. Jika dilihat dari segi harga, bonsai jenis Jeliti bernilai harga tertinggi sehingga mencapai RM280,000 manakala peringkat paling rendah sekitar RM100,000, namun dalam peringkat ini hanya diletakkan sebagai pohon hiasan sahaja tetapi tidak layak untuk memasuki pertandingan.

Katanya, berdasarkan persepsi beliau di Kelantan, setakat ini boleh dikatakan 70 hingga 80 peratus beliau hanya lebih banyak menguruskan pohon bonsai orang lain daripada bonsainya sendiri yang menganggapnya sebagai pakar bonsai sama ada dari segi semaian, seni ukir dan reka bentuk beliau sanggup membantu pelanggan-pelanggan dan peminat-peminat bonsai yang memerlukan kepakaran dan pengalamannya.

Tambah Mohd. Bohori, soal pohon mati memang suatu kelaziman akibat daripada kecuaian dan tahap pengetahuan tentang bonsai rendah. Ini menurutnya, bonsai tidak akan mati tanpa bersebab.

"Pohon bonsai sebagaimana pohon-pohon lain juga, tidak akan mati tanpa bersebab. Kebanyakannya kerana karenah manusia seperti kesilapan menggunakan baja baru khususnya kepada bonsai yang kita sayang.

"Sebab lain berpunca daripada penyakit yang dibawa serangga dan binatang dalam tanah ke dalam batang, semasa menukar tanah, kita memotong dahan malah jika kita buat rawatan hanya akar saja tetapi tidak patut sentuh di bahagian atas pohon itu. Maknanya, jika melakukan rawatan secara keseluruhan tentunya menimbulkan masalah kepada pohon bonsai itu", ujarnya sambil memperkenalkan teknik menjaga dan merawat bonsai menurut kaedah dan pengalamannya.

Menyentuh tentang rawatan terutamanya apabila berlakunya musim hujan, bonsai bagi sesetengah pokok, rawatan tidak patut dilakukan dalam keadaan musim demikian. Ini kerana, apabila ranting dibuang pada musin hujan, tunas baru tidak akan tumbuh seperti bulan-bulan November hingga Disember.

"Kita mula lakukan reka bentuk dan rawatan apabila tibanya musim luruh dari bulan Januari hingga Julai. Manakala pada bulan Mei pula, bonsai memang tidak berbunga, tetapi bagi pohon bonsai Jeliti, bila kita buang daun perlu jarak masa di antara 33 hingga 35 hari, akan keluarlah bunga.

"Selepas daun menjadi tua dalam tempoh tiga bulan, apabila tiba masa 33 hingga 35 hari, pohon jenis ini masih lagi keluar bunga. Misalnya Santalia bunganya berwarna putih. Tetapi ada bonsai jenis lain bunganya berwarna kuning dan pink", jelasnya.

Sambungnya, sesetengah spesis bonsai dengan cara memotong ranting pun masih hidup. Kadang-kadang boleh juga dilakukan secara 'tut' dan sesetengah spesis boleh ditanam menggunakan bijih benih.

"Pada peringkat permulaan supaya pohon bonsai baru ditanam dalam keadaan selamat, hendaklah ditanam dalam pasir. Ini bukan bermakna pasir kasar tetapi pasir halus yang telah diayak, sebab debu-debu pasir itu dikira virus atau pembunuh kepada pokok.

"Debu pasir itu perlu dicuci untuk mengambil pasirnya sahaja. Manakala air bertakung juga amat bahaya kepada pokok bonsai muda yang merupakan penyebab kepada bonsai mati. Ini kerana, air bertakung menjadikan akar bonsai menjadi masam", ujarnya menunjukkan kaedah menanam bonsai yang betul.

Menurutnya lagi, dari segi penggunaan baja sememangnya bonsai perlukan baja untuk hidup sebab itu adalah makanan tumbuh-tumbuhan. Ini kerana, kebanyakan bonsai hidup dalam pasu umpama 'benda bertapis'. Maksudnya menanam dengan kaedah menggunakan pasir dan tanah perlu ditapis iaitu dengan cara menyiramnya setiap hari untuk mengelakkan masalah virus dan jangkitan parasit tanah.

"Dalam sebulan atau dua bulan selepas menanam, memang kita tidak perlukan baja kerana kandungan bahan makanan dalam tanah pada tempoih itu masih mencukupi untuk pokok. Tetapi apabila berlakunya perubahan pada pohon terutamanya apabila daun menjadi kuning, ketika itulah kita perlu membajanya kerana tanah telah kekurangan khasiatnya", katanya.

Justeru menurutnya, ilmu tentang bonsai agak luas apabila peminat-peminat bonsai dapat duduk bersama berbincang, bagaimana untuk memajukan industri berkenaan. Ini kerana, kemahiran sepatutnya dikongsi bersama, bahkan menurutnya jika semua pihak mencari kata sepakat sekalipun dengan individu yang bukan arif tentangnya, lebih baik daripada melakukannya seorang diri yang tentunya sesuatu yang bermanfaat itu tidak akan berkembang. Apabila semua pihak dapat menunjukkan komitmen yang sama, pokok yang tidak cantik sekalipun boleh jadi pokok terbaik apabila berbincang beramai-ramai kerana dari situlah wujudnya pengetahuan yang sama-sama boleh dikongsi sebagai pemangkin minat di bidang itu.   
 
 

Mohd. Bohori Che Makhtar atau Yie ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Inilah sijil penghargaan yang diterimanya sebagai pengiktirafan kemahiran beliau tentang bonsai.

Beliau sering diberi perangsang dan dorongan oleh rakannya, Nik Nazmin Nik Mohd. Isa.

Sebahagian sijil pertandingan yang dipamerkan di Galeri Bonsai miliknya.

Buku-buku rujukan tentang bonsai juga dipamerkan di Galeri Bonsainya.

Inilah bonsai jenis Santalia Regfolia atau Jeliti, pohon bonsai tersohor mencecah harga RM280,000.

Bonsai jenis Kemuning.

Pelbagai jenis bonsai ditanam di laman rumahnya.

Daripada tunggul mati, beliau boleh mereka bentuk bonsai hidup.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH