RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 27 November 2011

Misteri Terkena Sihir


MISTERI TERKENA SIHIR

TUMPAT, KELANTAN:  Perbuatan santau dan menyihir orang lain akibat dengki dan khianat kerana kelebihan yang dimiliki individu tertentu tidak sepatutnya berlaku di zaman sains dan teknologi kini. Apatah lagi, perbuatan sedemikian melibatkan orang-orang Melayu sendiri. Berdasarkan hukum Islam, perbuatan sedemikian adalah amat jelas mensyirikkan Allah yang dilakukan oleh individu yang lupa tentang agama Islam kerana sikap sedemikian amat jelas menyimpang dari dasar agama yang mulia itu, sedangkan dalam masa yang sama masih mengaku dirinya seorang yang beragama Islam.

Kelemahan orang-orang Melayu dalam konteks dunia moden hari ini adalah berpunca dari minda yang kolot kerana masih mempercayai hal-hal yang karut, tahyul dan tidak masuk akal. Inilah luahan kekesalan yang dilontarkan oleh Fauzi Abd. Razak, 45, atau lebih mesra dengan panggilan Gee dari Kampung Bunohan, Tumpat, Kelantan.

"Saya menerima natijah akibat dengki khianat daripada kalangan orang kampung saya sendiri. Ini adalah kali keempat saya menerima perkara yang seumpama ini", ujarnya.

Fauzi memang tidak dapat menahan kekesalannya hasil perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dengan mencurahkan cecair yang dikenali minyak orang yang mati dibunuh di sekeliling rumahnya di kampung berkenaan bermula dari hadapan hingga ke beranda menuju ke bahagian dapur rumahnya. Kejadian ini dilakukan oleh orang yang tidak berhati perut pada 8 Oktober, 2008 malah beliau mengetahui daripada kesan minyak berkenaan selain makluman daripada keluarganya.

"Sebelum ini, mereka menyantau saya dengan menggunakan khidmat jin, tetapi segala perancangan mereka itu gagal. Lalu mereka menggunakan kaedah ini pula", cetusnya.

Kaedah yang dilakukan individu yang dengki terhadapnya itu tidak memudaratkan beliau dan keluarganya kerana kelebihan yang dianugerahkan Allah terhadapnya dapat mengelak daripada terkena bahana santau tersebut. Justeru, akibat daripada kegagalan itulah pihak berkenaan mula menukar rentak dengan menggunakan kaedah menyimbah rumahnya dengan minyak orang yang mati dibunuh pula untuk tujuan memudaratkan dirinya dan keluarganya. Namun, beliau percayakan Allah S.W.T  lebih dari segala-galanya, kerana itu santau tersebut dianggap tidak menjadi juga akhirnya.

"Salah satu sebab pihak berkenaan cuba mengenakan saya dengan sihir ini kerana dengki semata-mata. Mereka tidak senang dengan sikap saya yang suka bergaul dengan ramai orang berbanding dengan dirinya.

"Mungkin pihak yang menyihir saya tidak disenangi orang lain atau dipulaukan, jadi sayalah yang jadi mangsanya", ujar Fauzi dengan nada sedih.

Menurut Fauzi, beliau yang merupakan seorang kakitangan yang boleh dipercayai dalam bidang rekaan tentunya amat rapat dengan para pelanggan yang sering berurusan dengannya sama ada pelanggan-pelanggan lama mahupun yang baru dikenali. Kadang-kadang pelanggan-pelanggannya itu perlu datang ke rumahnya, beliau terpaksa melayani sekadar termampu menyebabkan kediamannya sentiasa dikunjungi ramai bagi mendapatkan khidmat yang sepatutnya. Jadi, disebabkan rumahnya sentiasa dipenuhi tetamu tentunya menimbulkan rasa kurang senang di hati pihak yang irihati terhadapnya sedangkan sebelum ini hal seumpama itu tidak timbul.

"Saya tidak mengesyakki kakitangan bidang rekaan sendiri turut terlibat. Namun, saya percaya masyarakat sekeliling di kampung saya itu adalah punca segala-galanya", katanya apabila diminta menjelaskan siapakah dalang di sebalik kejadian itu.

Beliau enggan menamakan orang yang terlibat dengan kejadian yang tidak bertanggungjawab itu. Namun, beliau menasihatkan pihak berkenaan supaya kembali ke pangkal jalan dengan tidak memilih dengki khianat yang bersarang dalam hati sebagai melepaskan dendam kesumat yang boleh menimbulkan perkara-perkara syirik dan tahyul itu perlu dihentikan dengan segera. Perbuatan berkenaan menurutnya tidak mendatangkan sebarang faedah sebaliknya boleh menyebabkan tergadainya akidah kerana lebih mempercayai makhluk lain selain Allah.

Justeru menurutnya, jalan paling selamat ialah tidak mengikut langkah-langkah syaitan yang bukan sahaja boleh menyesatkan jalan kebenaran, sebaliknya boleh memudaratkan diri sendiri termasuk amal ibadat yang dikerjakan sekian lama.
 



Fauzi Abd. Razak ketika ditemubual Penulis.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 26 November 2011

Misteri Dibuli Makhluk Halus


MISTERI DIBULI MAKHLUK HALUS

TUMPAT, KELANTAN:  JANGAN kata manusia yang bersifat nakal saja suka 'membuli' sesama sendiri apatah lagi jika terdiri daripada pelajar-pelajar baru, sememangnya akan menjadi makanan pelajar senior. Namun, tahukah anda bahawa makhluk halus adalah pembuli nombor satu terutamanya terhadap manusia yang lemah. Malahan makhluk halus ini juga bagaikan mengetahui jika individu manusia itu baru saja menghuni di kawasan terlibat sama ada baru memulakan tugas di sesuatu kawasan yang pada asalnya telah dihuni oleh makhluk ghaib itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi berdekatan, mangsa gangguan, Mohd. Nawawi Ramli, 29 atau Awie yang merupakan merupakan seorang Pengawal Keselamatan Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat, Kelantan, dari Kampung Kubang Batang dekat sini tidak menafikan cerita tersebut.

"Saya bertugas sebagai pengawal di asrama sekolah itu pada tahun 2007. Semasa memulakan tugas di situ, saya dapati suasananya agak gelap sedangkan lampu asrama sentiasa dipasang setiap kali menjelang malam", jelas Awie sambil jari telunjuknya menunding ke arah asrama sekolah tersebut.

Pada mulanya dia mengesyakki apa-apa dengan kejadian itu disebabkan baru mula bertugas, tentunya masalah tersebut disebabkan berlakunya litar pintas. Malah Awie sendiri malas memikirkan tentang peristiwa pada hari itu. Justeru, beliau membiarkannya kerana tugasnya yang sebenar sekadar mengawal asrama  tersebut dari dicerobohi oleh pemuda-pemuda luar yang nakal dari membuat sesuatu yang tidak diingini terhadap pelajar-pelajar berkenaan.

Namun, gangguan tersebut tidak selesai setakat itu sahaja. Ini kerana, buat kali kedua pula telinga Awie dapat menangkap satu bunyi deruan air yang keluar dari sebatang paip di asrama tersebut. Hairan juga baginya siapa yang menggunakan paip pada malam-malam buta begitu, padahal hanya beliau seorang sahaja yang berada di kawasan itu pada malam kejadian. Beliau kemudiannya bergegas ke arah datangnya bunyi air itu, namun sesuatu yang pelik berlaku kerana hasil pemerhatiannya tidak ada air yang keluar dari batang paip tersebut. Kejadian itu tidak dipedulikannya kerana beliau telah mula menyedari bahawa, segala yang berlaku itu adalah permainan makhluk halus yang sentiasa berkeliaran di kawasan asrama dan jalan raya berhampiran.

Tambah Awie lagi, selang beberapa hari kemudiannya, dari arah padang bola asrama berkenaan iaitu semasa beliau melintasi padang berkenaan, tubuhnya terasa seperti dihembus angin yang agak luar biasa. Dia melihat sekeliling untuk memastikan pohon bergoyang akibat ditiup angin.

"Saya ingat, bukan angin yang bertiup pada ketika itu. Ini kerana, selain waktu tengah hari, didapati tidak ada pohon bergoyang. Ini tentunya kerja makhluk berkenaan", cetusnya.

Menurut Awie, beberapa hari berikutnya, beliau juga terlihat sebatang pohon bergoyang terutamanya di bahagian atas daun pohon tersebut tatkala beliau cuba melewati pohon berkenaan. Sambil mendekati pohon tersebut, beliau cuba mengamati untuk melihat secara lebih jelas binatang yang boleh bertenggek di hujung daun pohon yang bergoyang itu. Memang sah, tiada sebarang binatang di atas pohon itu malah amat mustahil seekor binatang boleh bertenggek di atas daunnya jika dilihat kepada fizikal pohon yang bergoyang itu.

Di samping itu katanya, kadang-kadang beliau juga terkejut sewaktu tiba gilirannya bertugas di asrama tersebut tatkala beliau ingin melelapkan mata walaupun hanya sekejap. Ini kerana, beliau sering diganggu oleh lembaga berkenaan apabila terasa kakinya diheret, malahan kadang-kadang tubuhnya juga turut ditindih. Kejadian seumpama itu sering berlaku terutamanya dari jam 1.00 pagi hingga 2.00 pagi.

"Kadang-kadang terdapat juga kanak-kanak yang tinggal di kawasan asrama tersebut disakat oleh lembaga berkenaan apabila menjelangnya malam. Malah, kadang-kadang saya sendiri pernah mendengar seperti bayi atau kanak-kanak sedang menangis berdasarkan malam-malam tertentu.

"Suatu hari itu, sewaktu saya sedang merokok di luar asrama itu kemudiannya saya meludah beberapa kali, apa yang dapat saya lihat ialah rambut yang mengerbang seperti ditiup angin. Saya agak lembaga tersebut lelaki, tubuhnya agak sasa dan ketinggiannya sehingga dua meter", jelas Awie mengingatkan pengalamannya melihat susuk lembaga yang sering mengganggunya itu.

Awie kemudiannya menceritakan bentuk fizikal lembaga yang menyakatnya sejak awal beliau bertugas di situ sehinggalah hari ini didapati tubuhnya agak sasa dari manusia biasa. Pakaian yang dapat dilihatnya berwarna hitam pekat dan setakat ini hanya lembaga lelaki itu sahaja yang ada di kawasan itu walaupun beliau tidak menafikan mungkin ada makhluk halus lain yang menetap di kawasan yang sama.

"Memanglah, bersebelahan asrama tersebut dijadikan sebagai tempat pembakaran mayat kaum Siam. Saya agak, punca lembaga itu berkeliaran berhampiran asrama berkenaan datangnya dari tempat itu", ujarnya apabila diminta menceritakan sebab kejadian wujudnya gangguan di kawasan asrama sekolah berkenaan.

Tambahnya lagi, kejadian histeria yang melibatkan dua orang pelajar perempuan sekolah tersebut pernah berlaku pada bulan Ramadan lalu. Beliau tidak menolak, selain tekanan yang dialami oleh pelajar berkenaan, namun beliau percaya penyumbang kepada masalah gangguan histeria itu adalah disebabkan makhluk halus yang berkeliaran di kawasan asrama terbabit.

Walaupun beberapa pihak cuba untuk menghindarkan segala masalah yang menghantui pelajar-pelajar berkenaan melalui kaedah tradisional, sebaliknya usaha tersebut menemui kegagalan. Sejajar dengan itu, beliau berharap supaya hal seumpama ini diselesaikan secepat yang mungkin sebelum kejadian yang agak pelik dan luar biasa terus menimpa para pelajar yang menghuni di asrama berkenaan.

   
Mohd. Nawawi Ramli atau Awie ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi berhampiran asrama itu.


Inilah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat Tumpat yang dimaksudkan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri 20 Pelajar Histeria


MISTERI 20 PELAJAR HISTERIA

KOTA BHARU, KELANTAN:  BANYAK kejadian histeria dilaporkan telah dialami oleh pelajar-pelajar sekolah terutamanya di kalangan pelajar perempuan. Terbaru pula, berlaku di Sekolah Menengah Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan bukanlah berpunca dari masalah atau tekanan mental yang dialami oleh pelajar di sekolah terbabit. Ini kerana, jika mengalami masalah gangguan fikiran akan dialami setakat seorang atau dua orang sahaja tetapi bukan dalam jumlah yang ramai malahan penyelesaiannya setakat pelajar itu sahaja.

Namun, melihat senario yang dialami sekolah dan pelajar terbabit menunjukkan ada sesuatu yang mengganggu mangsa yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar. Salah satu penyebab kepada keadaan demikian yang kurang dipercayai oleh segelintir masyarakat kita bahawa akibat dirasuk makhluk jin yang masuk ke dalam tubuh beberapa pelajar terlibat akan menyebabkan pelajar-pelajar lain menerima natijah yang sama.

Hal ini diakui sendiri oleh Pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Madani, Ustaz Haji Rahimi Mohd. Rashid, 41, ketika menceritakan pengalamannya merawat 20 mangsa histeria dari Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab (2), Jalan Merbau dekat sini pada 11 September, 2008 itu.

"Kejadian histeria di sekolah berkenaan pada hari itu, saya dapati kebanyakan pelajar bertempik dan berteriak dalam keadaan berselerakan dan tidak tentu arah. Manakala guru-guru pula amat terkejut tetapi tidak dapat berbuat apa-apa", jelas Ustaz Rahimi tentang kejadian tersebut.

Menurut Ustaz Rahimi, pada permulaan rawatan, beliau hanya bertindak untuk memulihkan mangsa dengan menarik jin yang merasuk mangsa melalui mulut. Kemudian, beliau mengarahkan jin-jin yang ada di dalam tubuh mangsa supaya memasuki tubuh salah seorang mangsa perempuan bagi membolehkannya berdialog seterusnya berunding dengan jin berkenaan.

Jin tersebut terpaksa akur dengan permintaan Ustaz Rahimi lalu berpindah masuk ke tubuh seorang pelajar perempuan berkenaan menyebabkan suaranya serta merta berubah dengan agak kuat, kasar dan garau. Malah, perubahan sikap yang ditunjukkan oleh pelajar yang dihuni jin berkenaan agak ketara lalu tidak sedarkan diri.

"Saya tanya jin itu asal dari mana, kenapa mengganggu pelajar dan apa kesalahan mereka sehingga diperlakukan begitu? Jin berkenaan menyatakan ia datang dari Bukit Keluang, Terengganu. Ini kerana, sebelum bulan Ramadan lalu menurut Guru Penolong Kanan  Ko-Kurikulum, sekolah berkenaan mengadakan aktiviti perkhemahan sambil belajar di bukit berkenaan. Justeru, dari makluman guru berkenaan juga, sebelum pulang pelajar-pelajar berkenaan mendaki sebuah bukit di tepi laut sambil bersuka ria.

"Di samping mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu, pelajar-pelajar berkenaan juga turut mengambil dan membawa pulang barang kesayangan di bawah jagaan jin berkenaan seperti seekor belalang jantan dan tujuh biji batu aneh. Jin itu kata, batu-batu aneh yang diambil oleh segelintir pelajar terlibat itu di dalamnya terdapat puteri-puteri kesayangan mereka. Ada sesetengahnya yang kencing di tempat ibadah mereka", ujarnya.

Tambah Ustaz Rahimi lagi, jin yang menghuni dalam tubuh pelajar perempuan dari sekolah  itu merupakan jin Islam tetapi berkeras apabila diminta keluar segera. Malah, jin itu pula memberi amaran akan tetap kekal singgal di sekolah itu jika syaratnya supaya seekor belalang jantan dan tujuh biji batu aneh itu tidak diserahkan.

Berikutan tidak mendapat sebarang keputusan, Ustaz Rahimi meminta salah seorang guru sekolah berkenaan cuba mencari belalang jantan sebagaimana yang dipinta oleh jin berkenaan. Lantas, salah seorang pelajar lain memberitahu, belalang pelesit sebagaimana yang dimaksudkan itu memang pernah dilihatnya ada di kantin sekolah.

Mendengar sahaja ungkapan 'belalang pelesit', dengan tiba-tiba pelajar perempuan yang ada di kantin sekolah pula bertempik dan bertempiaran lari tidak tentu arah menjadikan keadaan begitu gawat ketika itu.

Sejajar dengan itu, Ustaz Rahimi meminta guru terlibat mencari belalang tersebut sampai dapat sebagaimana yang dimaklumkan oleh pelajar perempuan yang pernah melihatnya di kantin sekolah berkenaan berwarna kelabu sebesar ibu jari.

Belalang tersebut berjaya ditangkap. Ustaz Rahimi menunjukkan belalang jantan milik jin itu ada di tangannya. Setelah melihat belalang berkenaan, jin itu begitu gembira. Namun, masin menuntut supaya menyerahkan tujuh biji batu aneh itu. Ustaz Rahimi meminta jin berkenaan memberitahu nama pelajar yang mengambil batu itu.

"Jin tersebut memberitahu saya nama pelajar itu. Jin itu juga memberitahu saya tentang batu itu sememangnya diletakkan oleh pelajar berkenaan di tempat sempit di celah-celah antara deretan rumahnya tetapi tidak tahu di rumah yang mana satu.

"Saya tengking jin itu dan berkata, kalau kamu sendiri tidak tahu batu itu diletakkan di mana, bagaimana nak dapatkan batu itu kembali?" bentak Ustaz Rahimi.

Pelajar yang mengambil batu itu cuba dihubungi tetapi agak hampa. Ini menyebabkan jin tersebut semakin marah malah berkeras tidak akan patuh lagi sebarang arahan sama ada keluar daripada tubuh mangsa atau sebagainya.

"Aku boleh bagi apa yang aku ada. Belalang ini aku boleh serahkan dan sanggup hantar kamu kembali ke Bukit Keluang. Batu itu aku tidak boleh bagi dan kalau ada selepas ini, aku akan bagi. Tapi aku minta kamu balik dulu", ungkap Ustaz Rahimi menyebabkan jin itu kemudiannya akur dengan pendiriannya kerana menganggap Ustaz Rahimi seorang yang baik dan alim.

Namun, sifat jin walaupun jin Islam memang tidak boleh dipercayai kerana walaupun jin berkenaan akur dengan kata-kata Ustaz Rahimi itu tetapi tetap berkeras supaya orang yang bertanggungjawab membawanya ke sekolah itu supaya menghantarnya kembali ke tempat asal. Keadaan ini menyebabkan Ustaz Rahimi menempelak supaya jin itu pulang sendiri, kerana jin itu boleh datang ke sekolah itu dengan mudah, kenapa apabila disuruh pulang sendiri masih berkeras juga?

Berikutan itu, jin berkenaan terus berkeras kerana bukan salahnya datang ke sekolah berkenaan. Tetapi disebabkan segelintir pelajar berkenaan yang mengganggu dan membawanya ke situ. Ekoran dari itu, Ustaz Rahimi terpaksa berlembut buat seketika kerana memang kesalahan manusia mengganggu kediaman makhluk ghaib itu dan sudah sewajarnya jin berkenaan dihantar kembali ke tempat asal di Bukit Keluang, Terengganu.

Bagi menyelesaikan masalah sedemikian, Ustaz Rahimi meminta guru sekolah berkenaan menemaninya sambil membawa pelajar perempuan yang masih dihuni jin itu ke Bukit Keluang pada hari itu juga. Sehingga tiba di sebuah masjid di Pasir Puteh, untuk menunaikan solat Zohor, jin yang masih menghuni dalam tubuh pelajar perempuan itu tidak henti-henti bertutur sambil membuka rahsia pelajar dan sekolah tersebut yang suka melakukan maksiat.

Tambah Ustaz Rahimi, lebih kurang pukul 5.30 petang, mereka sampai di tempat yang dimaksudkan lalu memapah pelajar yang tidak sedarkan diri itu menuju ke Bukit Keluang. Setibanya di kaki bukit itu, jin itu menjelaskan bahawa rasukan jin bukan sahaja dari kumpulannya saja tetapi turut dilakukan jin kafir yang menghuni di sebuah tanah perkuburan India-Muslim berhampiran sekolah tersebut.

"Saya diminta oleh jin itu supaya memagari kawasan sekolah itu untuk mengelakkan diganggu pula jin kafir itu. Jika tidak, kejadian yang sama pasti berulang", jelas Ustaz Rahimi lantas menepuk belakang pelajar itu menyebabkan jin berkenaan terus keluar dari tubuhnya. Apabila jin tersebut keluar, pelajar berkenaan terus tersedar serta merta dan terpinga-pinga kehairanan mengapa beliau dibawa ke situ.

"Memanglah di puncak Bukit Keluang adalah perkampungan jin Islam di tepi laut itu. Sementara di sebuah bukit bersebelahannya dihuni pula jin Kafir.

"Jadi, saya bagi nasihat dan cadangan kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri,  Pejabat Pelajaran Daerah dan pihak sekolah supaya tidak lagi mengadakan aktiviti perkhemahan di Bukit Keluang, kerana kawasan tersebut tidak sesuai untuk sebarang aktiviti yang membabitkan pelajar sekolah", ujarnya.

Dengan itu, pada hari Ahad berikutnya Ustaz Rahimi bertindak memagari kawasan sekolah berkenaan untuk menghalang daripada gangguan jin Kair yang menghuni di sebuah tanah perkuburan berhampiran. Walaupun jin kafir berkenaan turut terkepung dengan tindakan Ustaz Rahimi itu, namun hari Selasa sebagai hari terakhir khidmatnya, beliau mendapati usaha tersebut dianggap berjaya dan pelajar-pelajar sekolah berkenaan memang bebas daripada sebarang gangguan.

Dalam hal ini, sewajarnya kejadian histeria yang melibatkan ramai mangsa sebenarnya akibat gangguan dan rasukan makhluk jin yang puncanya daripada tabiat dan perbuatan buruk manusia sendiri yang lalai dan suka mengganggu tempat dan kawasan makhluk berkenaan. Salah tanggapan jika dikatakan kejadian itu akibat masalah tekanan jiwa dan minda pelajar, kerana masalah sedemikian biasanya dialami hanya seorang atau dua mangsa sahaja malah penyelesaiannya setakat pelajar itu sahaja. Justeru, berhati-hatilah apabila memasuki daerah terpencil kerana berkemungkinan kita adalah penyebab kemarahan makhluk yang menghuni di kawasan itu yang akhirnya kita sendiri yang pasti menerima natijahnya. 
 

Ustaz Haji Rahimi Mohd. Rashid

Pusat Rawatan Islam Al-Madani milik Ustaz Haji Rahimi.


 Jin itu datang dari Bukit Keluang ini dan dikembalikan ke tempat asalnya di sini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Disakat Makhluk Halus


MISTERI DISAKAT MAKHLUK HALUS

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Sifat makhluk halus tidak akan mengganggu atau menyakat manusia yang berjiwa kental dan berani. Sebaliknya manusia yang sering menjadi mangsa berkenaan terdiri daripada individu yang lemah dan penakut. Bukan wanita sahaja, lelaki juga akan menerima nasib yang sama kerana makhluk ghaib itu boleh menjelmakan dirinya dalam pelbagai bentuk dan rupa yang menakutkan. Makhluk ini tidak memilih waktu, sama ada di siang hari mahupun malam apabila mangsa secara kebetulan terserempaknya pastinya akan berlari sekuat hati sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan diri.

Ketika ditemui Penulis, Abd. Rahman Husin, 46, dari Kampung Delima, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, beliau disakat makhluk ghaib itu di Kampung Necher, Tumpat iaitu kira-kira lima kilometer dari kediamannya ketika sedang asyik mencari daun pitang untuk dijadikan pewarna nasi kerabu.

"Kejadian itu berlaku pada pukul 5.00 petang ketika saya masuk ke hutan di kampung itu untuk mendapatkan daun pitang untuk dijadikan pewarna nasi kerabu. Semasa sedang memetik daun pitang, saya terdengar bunyi seperti sebatang pokok gelam sedang ditebang berhampiran saya. Peliknya, tidak kelihatan orang yang menebang pokok itu.

"Cuma ketika itu, saya lihat pokok gelam itu bergoyang ke kiri dan ke kanan seperti akan tumbang. Lalu saya berhenti memetik daun pitang dan terus berlari keluar dari situ kerana bimbang ditimpa pokok berkenaan atau terperangkap di hutan itu seorang diri", jelas Abd. Rahman.

Menurutnya lagi, setelah berada di luar kawasan berkenaan, bunyi pokok ditebang itu sudah tidak kedengaran lagi seperti mengetahui mangsanya tidak lagi berada di dalam kawasan larangan. Malah, pokok gelam yang tadinya seolah-olah hendak tumbang menyembah bumi, kini kembali seperti sediakala.

Tambah Abd. Rahman, usaha beliau mencari daun-daun pitang adalah rutin hariannya sebagai peniaga nasi kerabu di Pasar Besar Wakaf Baharu sejak empat tahun lalu. Walaupun sebelum ini beliau sering disakat dan mendengar hilaian ketawa makhluk halus sebagai penghuni asal danau itu, namun peristiwa 13 Julai itu adalah luar biasa sekali seolah-olah beliau diberi amaran supaya tidak lagi menceroboh penempatan makhluk berkenaan. Namun, beliau tetap tidak mempedulikan usikan makhluk berdarjat rendah itu.

Abd. Rahman menjelaskan, walaupun beliau tidak nampak kelibat lembaga yang mengganggu dan mengusiknya semasa sedang memetik daun pitang di danau itu, namun usikan pokok gelam tumbang di situ sedikit sebanyak agak menyeramkan kerana itulah kali pertama kejadian luar biasa yang dialaminya. Rasa takut dengan apa yang berlaku itu memang wujud, namun segala ketakutan terpaksa disembunyikan juga kerana itulah punca rezeki keluarganya selama ini.

Baginya, biar bagaimana gangguan yang bakal dihadapinya, beliau tidak mempedulikannya kerana yang penting baginya adalah untuk mencari rezeki untuk keluarganya. Malah, beliau tidak fobia dengan usikan lembaga yang menghuni di danau itu dan beliau akan ke situ lagi untuk mendapatkan sejumlah daun pitang kerana daun-daun itu menjanjikan rezeki yang paling bernilai dari danau tersebut. 

Abd. Rahman Husin.

Di hutan inilah beliau disakat makhluk halus ketika sedang memetik daun pitang.


Inilah rupa dan bentuk lembaga bertanduk (dalam bulatan) yang dirakam penulis menggunakan kamera infra-red pada hari temubual.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 25 November 2011

Misteri Pohon Cengal Menangis


MISTERI POHON CENGAL MENANGIS

TUMPAT, KELANTAN:  PERNAHKAH anda mendengar pokok menangis? Sebatang pohon cengal menangis di Desa Sri Tanjung, dulunya dikenali Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan telah membuktikan pokok juga menangis. Ia adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku ketika majlis memasak bubur asyura sempena bulan Muharam.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Mariam Mat Isa, 46, yang membahasakan dirinya Kak Yam dari Desa Sri Tanjung, Tumpat, Kelantan memberitahu, pohon cengal tersebut ditanam oleh arwah bapanya ketika usianya empat tahun sebagai 'turus pagar' (tiang pagar) untuk menyokong dan meneguhkan kayu-kayu pagar yang lain. Tetapi tanpa diduga, pohon cengal yang ditanam didapati hidup subur dan kini ketinggiannya telah mencecah 6 meter (20 kaki) seolah-olah memberikan gambaran tumbuh-tumbuhan juga mempunyai perasaan seperti manusia.

Menurutnya, pohon cengal itu mengeluarkan air matanya telah disedari oleh penduduk kampung ketika mengadakan rutin tahunan iaitu majlis memasak bubur asyura berhampiran pohon cengal itu. Disebabkan terlalu penat dan kepanasan akibat terdedah dengan api, salah seorang tukang masak bubur asyura itu mengambil kesempatan itu untuk berehat seketika lalu menyandarkan tubuhnya pada batang pohon cengal itu.

Tatkala tubuhnya menyentuh batang pohon cengal tersebut, tukang masak itu berasa tubuhnya agak sejuk yang luar biasa dan dari kilauan api yang sedang marak itu beliau dapat melihat dengan jelas pakaiannya basah kuyup. Menyedari pakaiannya basah, beliau mendongak ke atas untuk mengetahui sama ada hujan turun atau tidak.

Ketika mendongak itulah pohon cengal itu merenjiskan titisan air lalu terkena seluruh mukanya. Bagi mengetahui benar atau tidak pohon cengal itu menitiskan air dari atas, seorang kanak-kanak telah memanjat pohon tersebut dengan membawa sebotol bekas air mineral kosong sebagai bekas tadahan.

Apabila kanak-kanak itu berjaya mencapai dahan yang dikatakan mengeluarkan air, kanak-kanak tersebut melihat dua dahan yang terjuntai ke arah kiblat didapati pecah-pecah dan kelihatan air menitis keluar dari tangkai daun itu.

"Kanak-kanak itu berbisik kepada saya dan ia kelihatan seperti tanda mata air di dahan yang pecah-pecah dan air menitis dari tangkai daun itu", ujar Kak Yam tentang keajaiban pohon cengal menitiskan air mata.

Kak Yam menambah, air mula menitis melalui dua tangkai daun pohon cengal itu ketika waktu Maghrib secara gerimis dan semakin banyak apabila mencecah jam 1.00 pagi. Salah seorang rakannya menyatakan rugi jika air yang menitis dari dahan pohon cengal itu dibiarkan sahaja. Seelok-eloknya airnya ditadah kerana mungkin berguna suatu masa nanti. Jadi, tanpa berlengah lagi Kak Yam menadah air ajaib yang mungkin berguna kepada individu yang memerlukannya. Setelah ditadah, air yang menitis itu memenuhi sebotol air mineral berisipadu 1.5 liter.

"Ramai juga yang datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan air yang menitis dari pohon cengal itu kerana mereka beranggapan airnya turun banyak hakikatnya gerimis saja", ujarnya sambil ketawa.

Pada mulanya beliau tidak begitu percaya tentang dakwaan penduduk setempat yang menyatakan pohon cengal itu mengeluarkan air kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini. Keadaannya berubah apabila beliau melihat sendiri daun hijau muda pohon tersebut mengeluarkan air mata. Beliau berasa sejuk dan nyaman apabila berada di bawah pohon cengal itu seperti sedang berada dalam bilik pendingin hawa.

Tetapi anehnya, apabila Kak Yam keluar dari kawasan pohon cengal itu, air titisannya berhenti secara serta merta. Perasaan percaya apabila seorang penduduk kampungnya bernama Mat Adip menunjukkan kepadanya sebotol air titisan tersebut. Pada malam hari pula daun-daunnya didapati bergerak-gerak dan mengeluarkan air.

"Ada juga yang menganggap pohon cengal itu berkehendakkan tuannya seolah-olah mengenali pemiliknya sebenar sedangkan pemilik sebenar telahpun meninggal dunia", ujarnya yang masih teruja dengan peristiwa itu.

"Dari apa yang Kak Yam lihat, air tersebut berwarna seperti air teh muda dan rasanya agak kelat dan melekat seperti getah", katanya ketika ditanya warna air pohon cengal  itu.

Beliau telah menghubungi abangnya seorang Pengamal Rawatan Tradisional  terkenal di Tumpat. Abangnya berharap supaya Kak Yam menyimpan air pohon cengal itu dalam bekas khas untuk dijadikan sebagai penawar dalam rawatan.

Pada mulanya beliau agak keberatan untuk memberitahu tentang khasiat dan keistimewaan air mata pohon cengal itu kerana bimbang disalah tafsirkan. Namun, salah seorang penduduk kampung berkenaan yang sakit tekak telah mencubanya dengan menyapukan sedikit  air titisan di lehernya dan didapati sakit itu hilang serta merta. Selain itu, kesan penggunaan air titisan pohon cengal apabila salah seorang anak lelakinya yang dianggapkan pemalas kini didapati berubah secara tiba-tiba.

Anak lelakinya itu kini sering ke masjid berhampirans setiap kali masuk waktu sembahyang dan akan sentiasa ke rumah guru agama untuk belajar dan mendalami ilmu keagamaan dan persilatan. Begitu juga dengan anak gadisnya yang kini menjadi pelajar pintar di sebuah kolej di Kedah setelah diberikan air mata pohon cengal itu.

Namun, Kak Yam menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau sengaja memasang batang paip dari rumah dan disalurkan ke arah pohon cengal itu untuk menimbulkan kontroversi dan mendapat keuntungan hasil kontroversi itu. Bagi Kak Yam, biarlah beliau dan keluarganya hidup dalam kemiskinan tetapi tidak akan sesekali menipu orang lain dengan cara melakukan perkara sebegitu.

"Jika sesiapa mahukan air pohon cengal ini bagi tujuan kebaikan, ambillah. Kak Yam tidak kenakan sebarang bayaran untuknya. Malah Kak Yam tidak berniat membuka warung kopi atau menyediakan tabung derma kepada sesiapa yang mengambil air mata pohon cengal ini walaupun ada juga cadangan sebegitu daripada penduduk kampung", kata Kak Yam menamatkan perbualan.

 
Mariam Mat Isa atau Kak Yam.

Dahan cengal yang mengunjur ke arah kiblat didakwa mengeluarkan air mata.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH