RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 21 Julai 2012

Pandai Keris


PANDAI KERIS

PASIR MAS, KELANTAN KERIS menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga) adalah senjata bermata dua yang tajam (bilahnya lurus dan berlok atau berkeluk-keluk). Pada zaman dahulu, keris menjadi lambang kemegahan dan semangat orang-orang Melayu. Orang yang tahu bermain keris dianggap pendekar. Walaupun telah bertukar zaman, keris masih diminati malah tergolong dalam seni warisan Melayu sejak dahulu sehingga hari ini, keris tetap utuh di hati orang-orang Melayu. Keris memang sinonim dengan masyarakat Melayu walaupun kini minat terhadapnya dikatakan semakin luntur, namun percayalah keris tidak luput ditelan zaman dan ia tetap di hati masyarakat Melayu yang mengenalinya.

Membicarakan tentang keris, untuk membuatnya bukan suatu perkara yang senang jika tidak memiliki ilmu bertukang tentangnya. Orang yang mahir dalam membuat keris dianggap "pandai keris", namun untuk menyiapkan sebilah keris memerlukan masa. Tetapi untuk membuatnya, perlulah mempelajari selok-belok, cara dan kaedahnya sebelum melangkah lebih jauh untuk membuka bengkel sendiri, apatah lagi minat ke arahnya juga adalah sesuatu yang seharusnya ada bagi setiap orang yang ingin dianggap "tukang keris".

Salah seorang tukang keris yang dianggap "pandai keris" yang ditemui Penulis di bengkelnya, Mohd. Fadzil Abdul Deraman, 36, atau lebih dikenali sebagai Sham dari Kampung Jejuluk, Slow Machang dekat sini berkata, sejarah beliau berkecimpung dalam seni pembuatan keris disebabkan dirinya terlalu minat terhadap seni pertukangan keris sehingga mendorongnya membuka sebuah bengkel yang terletak di Kampung Chengal Hutan, Pasir Mas, Kelantan.

"Pada asalnya, saya menceburi bidang ini kerana tidak mempunyai sebarang kerja. Dengan menceburi bidang berkenaan bukan sahaja saya memperolehi pengalaman berguna, tetapi secara tidak langsung saya memperolehi pulangan yang memuaskan dari hasil jualan kepada orang ramai dan peminat seni ini", ujarnya.

Katanya, pada awalnya beliau tidak mempunyai sebarang kemahiran untuk membuat keris tersebut. Tetapi disebabkan sering memerhatikan orang-orang lama yang berpengalaman dan pakar-pakar dalam pertukangan keris di Kampung Perangkap, dalam hatinya terdetik, tentunya beliau juga mampu melakukan hal yang sama. Setelah banyak mengumpul pengalaman daripada pemerhatiannya itu, beliau mula memcuba sendiri dan menciptakan keris-keris tersebut di rumahnya menurut ilhamnya sendiri. Berkat tekun dan usaha tanpa mengenal jemu, akhirnya segala cita-citanya itu terlaksana di mana sekarang ini beliau mampu menghasilkan keris yang pelbagai corak mengikut tempahan daripada peminat dan penggemar-penggemar senjata itu.

"Setelah memperolehi pengalaman dari apa yang disaksikan sebelum ini, hal pertama yang saya perlu lakukan ialah dengan mewujudkan bengkel sebagaimana hari ini. Bengkel ini ditubuhkan pada tahun 2002 lagi secara sederhana. Dari situ, ramai orang mempercayai saya mampu menghasilkan beberapa bilah keris yang agak bermutu, malah mereka memuji hasil kerja saya", katanya.

Selain beliau sebagai tukang keris, turut membantunya ialah dua orang pekerja setianya di mana kedua-duanya terdiri daripada golongan belia atau anak muda yang mempunyai minat yang sama dan ingin melihat seni warisan keris Melayu tidak berkubur begitu sahaja. Jika tidak, kedua-dua pekerjanya itu tidak akan berada di bengkelnya itu.

Menurutnya, di kawasan berhampiran bengkelnya juga terdapat beberapa tukang membuat keris yang menurut jejak langkah sepertinya. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan tukang-tukang tersebut, beliau kini telah dianggap sebagai "pandai keris" kerana berjaya menghasilkan keris-keris yang bermutu tinggi dan menarik. Katanya, terdapat hanya dua orang tukang keris sahaja di kawasan Kampung Hutan Chengal itu termasuk beliau, sebaliknya kebanyakan yang lain hanya menghasilkan "sarung golok" sahaja.

Sememangnya, beliau membuat keris berdasarkan kepada tempahan orang ramai terutamanya di kalangan peminat dan penggemar-penggemar keris. Beliau terpaksa menyiapkan sebagaimana kehendak orang ramai kerana merekalah pelanggan yang sentiasa diharapkan olehnya.

"Lazimnya, dalam sehari saya mampu menyiapkan tempahan sebilah keris sahaja. Ini kerana, membuat keris bukan sesuatu yang dianggap senang walaupun kita sudah biasa dengannya, tetapi kesukaran itu tetap ada.

"Biasanya dalam sehari itu, saya menyiapkan keris termasuk sarungnya sekali dan kadang-kadang memakan masa selama dua hari", jelas Sham.

Tambahnya, oleh kerana beliau dianggap tukang yang telah agak lama berkercimpung dalam bidang pembuatan keris, biasanya peminat dan penggemar-penggemar keris akan berusaha mencarinya. Apatah lagi, sekarang ini dengan perkembangan teknologi maya, pembuatan keris ini turut dimuatkan ke laman sesawang bagi memudahkan pelanggan dan peminat-peminat keris melihat tukang-tukang keris yang berkemahiran dalam pembuatan keris. Ternyata, melihat perkembangan itu, sekarang ini beliau menjadi tumpuan umum. Banyak yang menempah dari internet, dengan perkembangan teknologi berkenaan lebih memudahkan beliau menghasilkan keris sebagaimana kehendak pelanggan terbabit.

"Saya hanya sebagai tukang keris sahaja, tetapi soal mempromosi dan jualan keris itu diserahkan kepada pihak lain pula", katanya.

Menurut Sham lagi, dari segi harga keris dikira mengikut kategori tertentu. Kalau keris biasa dijual dengan harga RM600 sebilah dan ada yang berharga lebih RM1,000. Sebaliknya, kalau "Keris Malela" memang dijual dengan harga yang agak mahal.

Apabila ditanya tentang lok-lok keris, tempahan lok-lok keris berkenaan berdasarkan kepada minat setiap pelanggan terbabit. Jika pelanggan itu berminat dengan lima lok, beliau akan menghasilkan lima lok, atas tempahan pelanggan sendiri.

"Saya banyak memperolehi bahan-bahan untuk menghasilkan keris umpamanya besi di tempat-tempat besi kitar semula. Biasa bagi saya di tempat kitar semula, saya akan menemui besi-besi lama yang masih boleh digunakan untuk membuat keris.

"Malah biasa juga bagi saya membuat keris dari besi hitam seperti Keris Malela, besi sauh dan besi landasan keretapi. Namun, lazim yang saya lakukan ialah menggunakan besi-besi lama yang dianggap tahan lama", ujarnya sambil menunjukkan keris-keris yang telah siap.

Ditanya, mana lebih baik jika keris dibuat di antara besi sauh dengan besi landasan keretapi. Katanya, membuat keris bukan berdasarkan kepada besi itu keras ataupun tidak. Jadi, dalam bahasa keris beliau akan mendapatkan besi yang mempunyai urat yang menarik kerana besi sedemikian memang sesuai untuk dibuat mata keris di mana jalurannya memang menarik untuk keris. Berbanding dengan Keris Malela yang tidak mempunyai jalur sebaliknya mempunyai lurah. Keris yang mempunyai lurah memang sukar dibuat dan hanya tukang-tukang keris tertentu yang berjaya menghasilkannya.

"Kebanyakan pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada golongan guru yang ternyata berminat dengan keris yang saya hasilkan. Dalam hal ini, saya mendapatkan pelanggan hanya dua orang sahaja yang benar-benar berminat dengan keris itu.

"Guru-guru terbabit akan bertindak sebagai penjual bagi pihak saya dan saya sendiri sebagai pembuat keris tersebut. Saya memang tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasarkan keris-keris itu. Sebabnya, untuk menyiapkan sebilah keris pun memakan masa yang agak lama, iaitu sebilah sehari", ujarnya.

Katanya, dari segi sambutan pelanggan terhadap keris buatannya agak menggalakkan terutamanya dari luar Kelantan seperti dari Kuala Lumpur dan Johor. Selain pelanggan tempatan yang mendapat info dari internet, beliau banyak menerima tempahan dari Negara Brunei (2 orang), Singapura (3 orang). Namun, pelanggan dari Singapura agak ramai yang menempah keris darinya. Bahkan menurutnya, maklumbalas daripada pelanggan setakat ini agak menggalakkan dan rata-ratanya mereka berpuas hati dengan kehalusan seni buatannya. Ini berikutan atas minat pelanggan, ada pelanggan yang memintanya merubah bentuk keris dan ada juga yang memintanya merubah bentuk sarung keris tersebut.

Sementara itu, membicarakan tentang sarung keris memang terlalu sukar baginya. Ini berikutan, kayu yang terbaik dikenali "Kemuning Mas" untuk membuat sarung keris terbabit tidak terdapat di bukit-bukit biasa dan lazimnya diperolehi di kawasan-kawasan hutan dan bukit yang belum pernah diteroka seperti di Gua Musang dan Jeli di pedalaman Kelantan.

Mohd. Fadzil Abdul Deraman atau Sham boleh dihubungi melalui telefon:
013-9119606

Mohd. Fadzil Abdul Deraman atau Sham.

Sham ketika ditemubual Penulis di bengkelnya.

Keris unik hasil ilhamnya yang paling disayanginya.

Sebahagian keris yang telah disiapkannya.

Inilah dua pekerja yang bertungkus-lumus di bengkelnya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

5 ulasan:

  1. assalammualaikum....sya dri pelajar UMK bachok tlh diarahkan utk mmbuat satu kajian brkenaan keris dn sya brcadang utk prgi ke bengkel encik Fadzil pda 7/12/2013 pda hri sabtu ne.adakah bengkel ini msih broperasi lgi dan skiranya beroperasi blhkh sya minta no.hp encik krna no. yg trtera disini x blh dihubungi...hrp encik dpt mmbls dgn scepatt mngkin.

    BalasPadam
  2. Terima kasih kepada Encik Syafiq Misran kerana menghubungi saya. Untuk makluman En. Syafiq, saya tak pasti bengkel Encik Fadzil masih beroperasi atau tidak, tetapi En. Syafiq cubalah pergi dan no. yang tertera di majalah RELATIF itu, hanya itulah no telefon yang diberikan kepada saya, mungkin beliau telah menukar no. telefonnya. Walau bagaimanapun, untuk mendapat maklumat yang lebih sempurna, saya sarankan supaya En. Syafiq menghubungi Pengerusi Persatuan SeniPurba dan Kraftangan Kelantan, Alwi Haji Yusoff (Tel: 019-9589119 atau 09-7447527) ATAU boleh menghubungi Ahli Jawatankuasa Persatuan SeniPurba dan Kraftangan Kelantan, Tg. Ramli bin Tg. Sulaiman (Pok Ku - Tel: 013-9801222). Rencana tentang keris Melayu dan pameran persatuan berkenaan telah disiarkan dalam majalah ini pada 22.1.2012 berjodol "Pameran Keris Melayu". En. Syafiq bolehlah menghubungi pihak persatuan bekenaan. Semoga berjaya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih En.Azmi Mohd Salleh.atas segala maklumat yang diberi.Segala kerjasama anda amat dihargai.

      Padam
  3. Salam, nak tnyo... hok hargo bawoh dr rm150, ado dok?

    BalasPadam
  4. Puan Amirah, Saya tidak pasti tentang harganya. Walau bagaimanapun, cubalah Puan Amirah menghubungi pihak Persatuan SeniPurba dan Kraftangan Kelantan di talian 09-7447527 (atau bercakap terus dengan Pengerusinya, Alwi Haji Yusoff (H/P: 019-9589119) ataupun dengan AJK persatuan berkenaan, Tg. Ramli bin Tg. Sulaiman (Pok Ku - H/P: 013-9801222).

    BalasPadam