RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com
Memaparkan catatan dengan label Seni Warisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seni Warisan. Papar semua catatan

Sabtu, 10 November 2012

Bengkel Pandai Besi


BENGKEL PANDAI BESI

PASIR MAS, KELANTAN:  BENGKEL pandai besi yang dikhususkan bagi projek satu daerah satu industri telah ditubuhkan sejak 40 tahun lalu di bawah satu kementerian ketika itu dikenali Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Bengkel yang ditempatkan di Kampung Perangkap, Pasir Mas sekarang telah diubah ke Kampung Padang Embun.

Menurut seorang pandai besi yang sempat ditemui Penulis, Sulaiman Mat Daud, 64, atau lebih dikenali sebagai Pak Man dari Kampung Padang Embun dekat sini berkata, asalnya bengkel berkenaan pada masa itu ditempatkan di Kampung Perangkap sejak 40 tahun lalu, tetapi kini lebih dikenali Kampung Padang Embun berdasarkan nama kampung berkenaan.

"Pakcik mewarisi ilmu tukang besi ini dari arwah bapa yang pernah menjadi tukang besi semasa hayatnya", ujarnya ketika ditanya dari mana beliau memiliki kemahiran bertukang besi itu.

Katanya, antara peralatan yang dicipta dari besi seperti golok, parang, keris, lawi ayam, kapak, pisau dan sebagainya menurut tempahan. Misalnya jika peralatan dibuat dari "besi kurau" seperti "parang caluh" dijual dengan harga RM300 sebilah. Lazimnya, senjata terbabit dapat disiapkan sepenuhnya termasuk ulu dan sarungnya dijual dengan harga RM50 sebilah berdasarkan keadaan besi tersebut, terutamanya kapak jika disiapkan sepenuhnya dijual dengan harga RM60 sebilah.

Menurutnya, beliau memperolehi bekalan besi daripada tempat, bengkel atau gedung besi buruk di sekitar Pasir Mas. Beliau terpaksa membeli besi-besi itu untuk ditempa dan dibentuk peralatan senjata yang ditempah oleh pelanggan. Lazimnya, besi yang hendak dibeli dalam bentuk keping seperti "besi spring" kenderaan untuk memudahkan dibentuk atau ditempa dan beliau membelinya dari gedung besi buruk dengan harga RM3 sekilo.

"Pakcik tidak menetapkan tempahan pelanggan, kadang-kadang pelanggan itu sendiri yang membawa besi yang hendak ditempa. Biasanya, pakcik akan siapkan peralatan yang ditempah, bekalan besi pakcik akan cari sendiri.

"Tetapi jika kehendak pelanggan yang telah membawa sendiri besi yang hendak ditempa itu, pakcik akan menyiapkannya dengan segera bagi memudahkan pelanggan juga", ujarnya.

Tambahnya, beliau hanya mampu menempa dan membentuk peralatan senjata yang diminta kira-kira 60 bilah sahaja bergantung kepada masa, walau bagaimanapun hal itu tidak termasuk ulu dan sarungnya. Namun, beliau pernah menghasilkan senjata yang dimaksudkan sehingga 200 bilah sehari.

"Di Kampung Padang Embun ini hanya pakcik seorang sahaja yang dianggap "pandai besi" iaitu seorang yang pakar dan mahir dalam menempa besi dan begitulah juga dengan tempat lain, industri pandai besi ini hanya memperuntukkan seorang pekerja mahir dengan besi untuk satu daerah", jelasnya.

Menurutnya, pernah terdapat pelanggan yang menempah sehingga mencecah 30 bilah senjata yang dimintanya untuk jualan, namun hal berkenaan bergantung pula kepada bahan-bahan berkenaan sama ada cukup ataupun sebaliknya. Kalau lebih dari itu, beliau mungkin tidak sempat untuk menyiapkannya, walaupun turut dibantu oleh dua orang pembantu.

Misalnya golok dapat disiapkan sebanyak 20 bilah sehari. Kebanyakan senjata berkenaan dipasarkan khusus oleh satu pihak lain dan kalau diharapkan beliau untuk memasarkannya di kedai-kedai, tentunya beliau tidak sempat untuk berbuat demikian.

"Pakcik terima tempahan bukan sahaja dari penduduk setempat, ada kalanya dari daerah lain. Paling jauh dari luar Kelantan iaitu dari Kedah", katanya.

Katanya, kebanyakan peralatan untuk menempa seperti arang yang diperlukan telah diberikan oleh pihak berkenaan cukup untuk tempoh setahun, dapur dan tempat menempa kesemuanya disumbangkan pihak Kraftangan Malaysia. Manakala sebahagian peralatan besi lain juga turut disumbangkan oleh pihak berkenaan. Pemberian ini dianggap sebagai subsidi dari pihak Kraftangan Malaysia untuk membantu pekerja-pekerja pandai besi meneruskan kehidupan mereka berdasarkan kemahiran masing-masing.

Dalam hal ini, beliau akan melakukan kerja-kerja berkenaan menurut arahan pihak berkenaan. Beliau akan berada di sesuatu tempat misalnya di Kuala Lumpur berdasarkan kepada tempoh yang diberi dan beliau pernah berada di tempat berkenaan selama dua minggu sebagai pekerja di sana.

"Hasil kerja-kerja tersebut pakcik diberikan elaun sebanyak RM100 sehari. Manakala jika barangan yang ditempah pelanggan, pakcik boleh menjualnya atas perkiraan pakcik sendiri tentang harga yang sepatutnya", ujarnya.

Mengulas tentang kerja-kerjanya sebagai pandai besi di Kuala Lumpur pada suatu ketika itu, selepas beliau dapat menyiapkan barangan besi seperti pisau dan sebagainya, sudah ramai yang menunggu dan membeli terus darinya seolah-olah seperti "goreng pisang panas". Beliau begitu teruja kerana barangan yang ditempanya itu habis dijual pada ketika itu juga, ini menunjukkan peralatan dan senjata yang dibuat dari besi dianggap ramai peminatnya yang tersendiri.

Katanya, Kraftangan Malaysia akan sentiasa turun padang untuk memantau tentang perjalanan dan perkembangan bengkel pandai besi yang diusahakannya itu tidak kira waktu kecuali cuti pada hari Jumaat sahaja. Beliau amat bertuah kerana dapat menghasilkan dan menyiapkan tempahan yang dikehendaki oleh pelanggan sebagaimana yang dijanjikan.

Sulaiman Mat Daud atau Pak Man.

Pak Man ketika ditemubual Penulis di bengkelnya.

Pak Man turut dibantu seorang pekerja.


Api digunakan untuk memasak besi supaya mudah dibentuk.

Besi yang panas (warna oren) siap untuk ditempa.

Tempat simpanan barangan besi.

Inilah besi spring kereta untuk membuat senjata.

Sebilah senjata yang siap ditempa.

Inilah bengkel pandai besi yang terletak di Kampung Padang Embun, dulunya dikenali Kampung Perangkap.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH   

Sabtu, 21 Julai 2012

Pandai Keris


PANDAI KERIS

PASIR MAS, KELANTAN:  KERIS menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga) adalah senjata bermata dua yang tajam (bilahnya lurus dan berlok atau berkeluk-keluk). Pada zaman dahulu, keris menjadi lambang kemegahan dan semangat orang-orang Melayu. Orang yang tahu bermain keris dianggap pendekar. Walaupun telah bertukar zaman, keris masih diminati malah tergolong dalam seni warisan Melayu sejak dahulu sehingga hari ini, keris tetap utuh di hati orang-orang Melayu. Keris memang sinonim dengan masyarakat Melayu walaupun kini minat terhadapnya dikatakan semakin luntur, namun percayalah keris tidak luput ditelan zaman dan ia tetap di hati masyarakat Melayu yang mengenalinya.

Membicarakan tentang keris, untuk membuatnya bukan suatu perkara yang senang jika tidak memiliki ilmu bertukang tentangnya. Orang yang mahir dalam membuat keris dianggap "pandai keris", namun untuk menyiapkan sebilah keris memerlukan masa. Tetapi untuk membuatnya, perlulah mempelajari selok-belok, cara dan kaedahnya sebelum melangkah lebih jauh untuk membuka bengkel sendiri, apatah lagi minat ke arahnya juga adalah sesuatu yang seharusnya ada bagi setiap orang yang ingin dianggap "tukang keris".

Salah seorang tukang keris yang dianggap "pandai keris" yang ditemui Penulis di bengkelnya, Mohd. Fadzil Abdul Deraman, 36, atau lebih dikenali sebagai Sham dari Kampung Jejuluk, Slow Machang dekat sini berkata, sejarah beliau berkecimpung dalam seni pembuatan keris disebabkan dirinya terlalu minat terhadap seni pertukangan keris sehingga mendorongnya membuka sebuah bengkel yang terletak di Kampung Chengal Hutan, Pasir Mas, Kelantan.

"Pada asalnya, saya menceburi bidang ini kerana tidak mempunyai sebarang kerja. Dengan menceburi bidang berkenaan bukan sahaja saya memperolehi pengalaman berguna, tetapi secara tidak langsung saya memperolehi pulangan yang memuaskan dari hasil jualan kepada orang ramai dan peminat seni ini", ujarnya.

Katanya, pada awalnya beliau tidak mempunyai sebarang kemahiran untuk membuat keris tersebut. Tetapi disebabkan sering memerhatikan orang-orang lama yang berpengalaman dan pakar-pakar dalam pertukangan keris di Kampung Perangkap, dalam hatinya terdetik, tentunya beliau juga mampu melakukan hal yang sama. Setelah banyak mengumpul pengalaman daripada pemerhatiannya itu, beliau mula memcuba sendiri dan menciptakan keris-keris tersebut di rumahnya menurut ilhamnya sendiri. Berkat tekun dan usaha tanpa mengenal jemu, akhirnya segala cita-citanya itu terlaksana di mana sekarang ini beliau mampu menghasilkan keris yang pelbagai corak mengikut tempahan daripada peminat dan penggemar-penggemar senjata itu.

"Setelah memperolehi pengalaman dari apa yang disaksikan sebelum ini, hal pertama yang saya perlu lakukan ialah dengan mewujudkan bengkel sebagaimana hari ini. Bengkel ini ditubuhkan pada tahun 2002 lagi secara sederhana. Dari situ, ramai orang mempercayai saya mampu menghasilkan beberapa bilah keris yang agak bermutu, malah mereka memuji hasil kerja saya", katanya.

Selain beliau sebagai tukang keris, turut membantunya ialah dua orang pekerja setianya di mana kedua-duanya terdiri daripada golongan belia atau anak muda yang mempunyai minat yang sama dan ingin melihat seni warisan keris Melayu tidak berkubur begitu sahaja. Jika tidak, kedua-dua pekerjanya itu tidak akan berada di bengkelnya itu.

Menurutnya, di kawasan berhampiran bengkelnya juga terdapat beberapa tukang membuat keris yang menurut jejak langkah sepertinya. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan tukang-tukang tersebut, beliau kini telah dianggap sebagai "pandai keris" kerana berjaya menghasilkan keris-keris yang bermutu tinggi dan menarik. Katanya, terdapat hanya dua orang tukang keris sahaja di kawasan Kampung Hutan Chengal itu termasuk beliau, sebaliknya kebanyakan yang lain hanya menghasilkan "sarung golok" sahaja.

Sememangnya, beliau membuat keris berdasarkan kepada tempahan orang ramai terutamanya di kalangan peminat dan penggemar-penggemar keris. Beliau terpaksa menyiapkan sebagaimana kehendak orang ramai kerana merekalah pelanggan yang sentiasa diharapkan olehnya.

"Lazimnya, dalam sehari saya mampu menyiapkan tempahan sebilah keris sahaja. Ini kerana, membuat keris bukan sesuatu yang dianggap senang walaupun kita sudah biasa dengannya, tetapi kesukaran itu tetap ada.

"Biasanya dalam sehari itu, saya menyiapkan keris termasuk sarungnya sekali dan kadang-kadang memakan masa selama dua hari", jelas Sham.

Tambahnya, oleh kerana beliau dianggap tukang yang telah agak lama berkercimpung dalam bidang pembuatan keris, biasanya peminat dan penggemar-penggemar keris akan berusaha mencarinya. Apatah lagi, sekarang ini dengan perkembangan teknologi maya, pembuatan keris ini turut dimuatkan ke laman sesawang bagi memudahkan pelanggan dan peminat-peminat keris melihat tukang-tukang keris yang berkemahiran dalam pembuatan keris. Ternyata, melihat perkembangan itu, sekarang ini beliau menjadi tumpuan umum. Banyak yang menempah dari internet, dengan perkembangan teknologi berkenaan lebih memudahkan beliau menghasilkan keris sebagaimana kehendak pelanggan terbabit.

"Saya hanya sebagai tukang keris sahaja, tetapi soal mempromosi dan jualan keris itu diserahkan kepada pihak lain pula", katanya.

Menurut Sham lagi, dari segi harga keris dikira mengikut kategori tertentu. Kalau keris biasa dijual dengan harga RM600 sebilah dan ada yang berharga lebih RM1,000. Sebaliknya, kalau "Keris Malela" memang dijual dengan harga yang agak mahal.

Apabila ditanya tentang lok-lok keris, tempahan lok-lok keris berkenaan berdasarkan kepada minat setiap pelanggan terbabit. Jika pelanggan itu berminat dengan lima lok, beliau akan menghasilkan lima lok, atas tempahan pelanggan sendiri.

"Saya banyak memperolehi bahan-bahan untuk menghasilkan keris umpamanya besi di tempat-tempat besi kitar semula. Biasa bagi saya di tempat kitar semula, saya akan menemui besi-besi lama yang masih boleh digunakan untuk membuat keris.

"Malah biasa juga bagi saya membuat keris dari besi hitam seperti Keris Malela, besi sauh dan besi landasan keretapi. Namun, lazim yang saya lakukan ialah menggunakan besi-besi lama yang dianggap tahan lama", ujarnya sambil menunjukkan keris-keris yang telah siap.

Ditanya, mana lebih baik jika keris dibuat di antara besi sauh dengan besi landasan keretapi. Katanya, membuat keris bukan berdasarkan kepada besi itu keras ataupun tidak. Jadi, dalam bahasa keris beliau akan mendapatkan besi yang mempunyai urat yang menarik kerana besi sedemikian memang sesuai untuk dibuat mata keris di mana jalurannya memang menarik untuk keris. Berbanding dengan Keris Malela yang tidak mempunyai jalur sebaliknya mempunyai lurah. Keris yang mempunyai lurah memang sukar dibuat dan hanya tukang-tukang keris tertentu yang berjaya menghasilkannya.

"Kebanyakan pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada golongan guru yang ternyata berminat dengan keris yang saya hasilkan. Dalam hal ini, saya mendapatkan pelanggan hanya dua orang sahaja yang benar-benar berminat dengan keris itu.

"Guru-guru terbabit akan bertindak sebagai penjual bagi pihak saya dan saya sendiri sebagai pembuat keris tersebut. Saya memang tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasarkan keris-keris itu. Sebabnya, untuk menyiapkan sebilah keris pun memakan masa yang agak lama, iaitu sebilah sehari", ujarnya.

Katanya, dari segi sambutan pelanggan terhadap keris buatannya agak menggalakkan terutamanya dari luar Kelantan seperti dari Kuala Lumpur dan Johor. Selain pelanggan tempatan yang mendapat info dari internet, beliau banyak menerima tempahan dari Negara Brunei (2 orang), Singapura (3 orang). Namun, pelanggan dari Singapura agak ramai yang menempah keris darinya. Bahkan menurutnya, maklumbalas daripada pelanggan setakat ini agak menggalakkan dan rata-ratanya mereka berpuas hati dengan kehalusan seni buatannya. Ini berikutan atas minat pelanggan, ada pelanggan yang memintanya merubah bentuk keris dan ada juga yang memintanya merubah bentuk sarung keris tersebut.

Sementara itu, membicarakan tentang sarung keris memang terlalu sukar baginya. Ini berikutan, kayu yang terbaik dikenali "Kemuning Mas" untuk membuat sarung keris terbabit tidak terdapat di bukit-bukit biasa dan lazimnya diperolehi di kawasan-kawasan hutan dan bukit yang belum pernah diteroka seperti di Gua Musang dan Jeli di pedalaman Kelantan.

Mohd. Fadzil Abdul Deraman atau Sham boleh dihubungi melalui telefon:
013-9119606

Mohd. Fadzil Abdul Deraman atau Sham.

Sham ketika ditemubual Penulis di bengkelnya.

Keris unik hasil ilhamnya yang paling disayanginya.

Sebahagian keris yang telah disiapkannya.

Inilah dua pekerja yang bertungkus-lumus di bengkelnya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 22 Januari 2012

Pameran Keris Melayu


PAMERAN KERIS MELAYU

KOTA BHARU, KELANTAN:  SENJATA Melayu lama khususnya keris-keris Melayu adalah warisan yang masih wujud sehingga hari ini walaupun golongan muda tidak lagi mengenali perihal sejarah, latar belakang malah hubung kaitnya dengan orang-orang Melayu. Jika warisan ini tidak dijaga dan diberikan perhatian oleh orang-orang Melayu sendiri, sudah tentu keunikan dan kehebatan beberapa jenis senjata sebagaimana yang dinobatkan dan begitu tersohor di zaman lampau akan berkubur juga.

Di Kelantan pada suatu ketika, keris-keris Melayu ini seperti ditenggelamkan zaman dan sejarah kerana tidak ada pihak yang memartabatkan keagungannya tetapi mujurlah selepas itu tampil pula pihak yang beranggapan bahawa warisan senjata-senjata berkenaan ada kaitannya dengan bangsa Melayu itu sendiri dan adalah wajar kepentingannya diperlihatkan kepada generasi seterusnya.

Peranan yang dimainkan oleh Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan dengan menganjurkan beberapa sesi pameran dan pertandingan sedikit sebanyak dapat mengetengahkan keunikan senjata-senjata berkenaan untuk tatapan generasi hari ini patut diberikan pujian. Secara langsung atau tidak, dengan adanya pameran dan pertandingan seumpama itu dapat mengembalikan nolstagia kehebatan senjata ampuh di zaman dulu.

Bersempena dengan Pameran dan Pertandingan Seni Purba Keris Melayu yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohd. IV, Penulis berkesempatan menemui Pengerusi Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan, Alwi Hj. Yusoff bagi mendapatkan gambaran jelas peranan di sebalik penubuhan persatuan tersebut.

"Tujuan diadakan pameran dan pertandingan ini adalah untuk mengetengahkan seni senjata warisan Melayu kepada generasi baru. Kerana kita melihat bahawa senjata Melayu semakin lama semakin pupus dan tidak terjaga.

"Jadi, dengan penubuhan persatuan ini semenjak tahun 1986 dari situlah mula diadakan beberapa aktiviti seperti karnival jualan, menganjurkan pertandingan senjata warisan Melayu, kemudian kita mengadakan bengkel mengenal senjata oleh generasi muda. Inilah beberapa tujuan penubuhan persatuan", ujarnya yang juga seorang Pengurus Eksekutif Warisan Darul Naim, Perunding Senjata Melayu dan Projek Buku Senjata Warisan Melayu.

Katanya, senjata Melayu lama ini berusia 50 tahun ke atas malah ada sebilah keris berusia 200 tahun. Keris ini pula merangkumi pelbagai kategori iaitu keris biasa, bangsawan, raja dan sebagainya.

"Kebanyakan senjata yang dipamerkan dan dipertandingkan adalah milik ahli-ahli persatuan ini sendiri, malah ada juga antaranya yang turut dijual", ujarnya.

Menurut Alwi, kebiasaan dalam sesuatu pertandingan keris Melayu, sekurang-kurangnya tujuh kategori yang dipertandingkan seperti Keris Pandai Sarah dan Keris Alang yang berasal dari Kelantan dan Pattani berusia mencecah 100 tahun, keris Bugis dan keris terbuka Indonesia untuk meluaskan lagi skop. Misalnya dalam kategori Keris Pandai Sarah menurutnya dipecahkan kepada dua peringkat iaitu posisi utama dan posisi tempatan.

"Persatuan ini juga mengutamakan penyimpan baru untuk mengenal senjata baru dan senjata lama seperti cara untuk menjaganya dan sebagainya. Inilah di antara beberapa aktiviti persatuan ini", ujarnya sambil meninjau kelancaran aktiviti berkenaan.

Sementara itu, menurut Ahli Jawatankuasa Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan, Tengku Ramli Tengku Sulaiman, 60, atau lebih mesra dipanggil Pak Ku adalah seorang pandai keris menyatakan, kebanyakan keris Melayu antik berkenaan berusia puluhan tahun sehingga mencecah 200 tahun. Misalnya Keris Banja Bulu Ayam yang berasal dari Pattani berusia 200 tahun, Keris Kundang Jawa pula berusia lebih 100 tahun. Terdapat juga sejenis senjata dikenali "Tongkat 99 Nama Allah" yang merupakan senjata ampuh dari Arab Saudi di mana senjata ini dibuat dari Kayu Kokka, sejenis kayu bahtera Nabi Nuh a.s.

"Ada juga beberapa jenis kain seperti kain cindai dan kain cempaka yang digunakan oleh panglima dan pendekar-pendekar zaman dahulu. Kain ini dikatakan puaka kerana semasa mereka pergi berperang, kain inilah digunakan sebagai selendang untuk melindungi si pemakainya.

"Kain selendang ini didakwa dapat melindungi dari terkena peluru malah jika terkena pun si pemakainya tidak mengalami sebarang kecederaan. Harganya sekarang melebihi RM1,000", ujar Pak Ku yang juga seorang peniaga keris-keris antik di Kota Bharu.

Pak Ku juga turut menunjukkan kepada Penulis sebuah seterika antik dikenali "Ayam Jantan" di mana seterika ini dikatakan boleh tarik duit. Menurutnya, seterika tersebut pada 20 tahun lalu berharga RM10,000. Terdapat dua jenis seterika seperti ini yang mempunyai lima lubang dan sembilan lubang. Semakin banyak lubang, semakin tinggilah harganya.

Selepas itu, Pak Ku turut memperlihatkan sebuah patung berbentuk binatang dibuat dari batu yang berasal dari Negara China sejak tahun 1795 dikenali "Singa Pengapi Datang Pengawal Raja" yang diperolehinya daripada Kapten Lau Teh di Kuala Terengganu berusia lebih 200 tahun.

Sambil menambah kata-kata pengerusinya, Pak Ku menyatakan peranan Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan ini juga adalah untuk memberikan kerjasama dengan pihak Muzium Negeri Kelantan di samping turut memperkenalkan barangan purba kepada generasi baru supaya generasi baru mengenali barangan antik itu juga ada manfaatnya.

Tambah Pak Ku, lebih kurang 200 peserta dari seluruh negara menyertai pameran dan pertandingan keris Melayu antik kali ini yang diadakan tidak kurang dua kali dalam setahun. Pihak persatuan ini menurutnya tidak berhasrat untuk menjelajah negara, namun akan memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak seperti jabatan-jabatan kerajaan dan swasta dalam menganjurkan apa jua pameran yang diperlukan.

Malahan mulai saat ini beliau bertekad akan mengambil daya usaha untuk mengumpul segala maklumat berhubung permainan tradisional Kelantan pula seperti congkak, kertuk, gasing dan sebagainya dalam sebuah buku untuk tatapan dan kajian umum.      


Pengerusi Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan, Alwi Hj. Yusoff.

Tengku Ramli Tengku Sulaiman atau Pak Ku, seorang pandai keris.

 Tengku Ramli sedang menunjukkan seterika dikenali "Ayam Jantan" berusia 20 tahun.

Patung dikenali "Singa Pengawal Raja" dari Negara China sejak tahun 1795.

Senjata antik dari luar negara.

Inilah "Keris Bugis Lurus".

Pelbagai jenis keris Melayu dari Kelantan, Thailand dan Indonesia.


Para pengadil sedang sibuk membuat penelitian untuk memilih keris menarik dan terbaik dalam kategori yang dipertandingkan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH