RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 28 Disember 2011

Sirih Rawat Kanser


SIRIH RAWAT KANSER

KOTA BHARU, KELANTAN:  KANSER (BARAH) adalah sejenis penyakit yang ditakuti semua orang terutamanya bagi golongan wanita. Lazimnya bagi rawatan moden bagi penyakit kanser akan dimulai dengan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa walaupun perbelanjaannya dianggap mahal. Namun, hari ini ketakutan mangsa penyakit kanser untuk menerima rawatan tidak perlu dibimbangkan lagi kerana rawatan alternatif (tradisional) mampu menyembuhkannya tanpa memerlukan pembedahan.

Memang benar, rawatan kanser sebenarnya tidak memerlukan sebarang pembedahan yang menggerunkan pesakit, sebab ia hanya boleh dirawat dan sembuhnya adalah seratus peratus dengan hanya penggunaan daun-daun sirih, kaedah air penawar serta doa dari ayat-ayat suci Al-Quran sahaja.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar di sebalik rawatan berkenaan, Wartawan RELATIF sempat mewawancara Pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Madani (PRIA), Ustaz Haji Rahimi Mohd. Rashid, dari Lorong Sri Kedeper, Kampung Baung, Jalan Pengkalan Chepa dekat sini yang mempunyai kisah menarik tentang amalan perubatan secara Islam yang diperkenalkannya.

Beliau menggelarkan penyakit kanser seperti kanser payu dara, kanser pangkal rahim, kanser usus, kanser kulit dan bisul sebagai "Raja Saton" iaitu penyakit orang baik-baik, bahayanya memang diketahui umum dan jika tidak rawat dengan secepat mungkin, pesakit akan menemui maut.

"Kanser ada dua jenis iaitu kanser yang mempunyai mata dan kanser tanpa mata iaitu kanser dalam bentuk daging", ujarnya ketika menjelaskan definisi kanser dalam konteks rawatan Islam.

Katanya, 'ketumbuhan' adalah sejenis kanser yang tidak mempunyai mata iaitu dalam bentuk daging dan beliau mengistilahkannya sebagai 'kanser daging'. Kanser jenis ini sukar untuk pecah sendiri tetapi akan terus membengkak yang akhirnya pesakit berkenaan akan terus koma jika rawatan tidak dilakukan dengan segera.

Satu kes yang beliau pernah rawat berhubung dengan kanser daging (ketumbuhan) ialah seorang pesakit dari Kuala Lumpur yang menderita penyakit ketumbuhan dalam hidung. Beliau merawat penyakit berkenaan dengan hanya menggunakan kaedah daun sirih yang diisikan doa-doa serta dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran, daun sirih tersebut hendaklah dikunyah sehingga hancur kemudiannya disemburkan ke tempat penyakit tersebut. Amalan beliau tentang menyemburkan sirih ini diserahkan kepada pasangan yang menerima rawatan darinya iaitu jika isteri yang menerima rawatan, sirih tersebut akan diberikan kepada suaminya untuk berbuat demikian.

"Kaedah penggunaan daun sirih ini sebenarnya untuk mempercepatkan proses pemecahan khususnya untuk penyakit ketumbuhan", katanya.

Ustaz Haji Rahimi juga menasihatkan kepada pesakit payu dara perlu menjalani rawatan lanjutan agar sembuh sepenuhnya. Katanya, kanser payu dara mempunyai tanda-tanda bengkak dalaman dan boleh dirasai sendiri oleh pesakit. Kaedah penggunaan daun sirih, kapur dan pinang diperlukan untuk dilumurkan di tempat yang dijangkiti kuman penyakit berkenaan.

Setakat ini, rawatan kanser yang beliau perkenalkan hanyalah kepada rakan-rakan terdekat sahaja yang memerlukan khidmatnya. Tetapi apabila orang ramai mengetahui bahawa beliau mampu merawat kanser amat berkesan dan begitu menggalakkan kerana penyembuhannya hanyalah dalam masa dua minit sahaja, lebih 20 orang pesakit telah sembuh sepenuhnya dan sihat seperti sedia kala setelah menerima rawatan daripada beliau.

Apabila ditanya, adakah beliau hanya menumpukan kepada rawatan kanser semata. Beliau menjelaskan, selain kanser beliau turut merawat penyakit lumpuh, resdung, kencing manis dengan menggunakan minyak zaitun, memulihkan masalah mati pucuk dan lemah tenaga batin, rawatan gangguan makhluk halus, sihir dan santau.

Menurut Ustaz Haji Rahimi lagi, bagi rawatan makhluk halus beliau boleh mengesan sama ada mangsa terkena gangguan makhluk halus atau sebaliknya. Keadaan ini jelas apabila terdapat satu kes seorang wanita yang mengalami gangguan makhluk halus di mana di dalam tubuhnya telah dijadikan tempat tujuh makhluk halus itu sebagai sarangnya. Wanita berkenaan sebenarnya menderita selama 13 tahun setelah beliau mendirikan rumahtangga apabila tiap-tiap hari ulat berwarna putih keluar dari farajnya.

Untuk rawatan sedemikian, Ustaz Haji Rahimi memberikan air penawar untuk diminum oleh wanita berkenaan. Apabila air berkenaan diminum sambil Ustaz Haji Rahimi menepuk-nepuk di bahu mangsa, keluarlah 'hantu raya'. Terlalu lama hantu raya tersebut menghuni tubuh wanita berkenaan sehingga terlalu degil dan enggan keluar menyebabkannya telah menjadi darah daging.

Dalam tempoh sejam rawatan tersebut, hantu raya itu pun keluar. Apa yang dinyatakan hantu raya itu juga menjadi bukti bahawa suami mangsa menderita kurus kering dan sentiasa keletihan akibat darah dan nanah telah dihisap makhluk laknat tersebut.

"Sihir seumpama ini memang wujud sejak Nabi Musa a.s  lagi. Cuma sihir ini sentiasa kalah apabila bertembung dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan wahyu Allah", jelasnya menyelongkar sejarah asal usul sihir dalam konteks manusia sejak dulu lagi.

Ustaz Haji Rahimi sebenarnya banyak terdedah kepada pendidikan Islam sejak zaman kanak-kanaknya lagi. Beliau mendapat pendidikan agama di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu dan Jabal Aulia, Ajyad Sud dan Masjidil Haram di Mekah. Sesuai dengan rawatan yang diperkenalkannya secara Islam yang berlandaskan kepada ayat-ayat suci Al-Quran, doa-doa Rasulullah S.A.W, doa-doa Nabi dan Aulia Solihin serta bebas daripada unsur-unsur khurafat, tahyul, penyerapan makhluk halus dan amalan-amalan yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Kebanyakan ilmu rawatan tersebut beliau perolehi daripada arwah bapanya sendiri yang juga seorang Pengamal Rawatan Tradisional. Manakala ilmu merawat kanser pula beliau perolehi daripada Tok Saudaranya, Haji Ismail Haron atau lebih dikenali Pak Ngah Haji Wil yang paling tersohor ketika itu yang berasal dari Kampung Gaung, Beta Hilir, Kota Bharu yang juga merupakan Pengasas Pendok Pasir Tumboh. Beliau meminta diajarkan ilmu berkenaan di mana ketika itu tok saudaranya dalam keadaan uzur, hanya beliau seorang sahaja yang berminat dalam bidang berkenaan.

Manakala ilmu yang melibatkan makhluk halus beliau banyak menuntut daripada rakan-rakan yang pernah tersohor seperti dari Kelantan dan Thailand. Sementara banyak kitab-kitab karangan ulama-ulama zaman lampau berhubung dengan rawatan dan ubat-ubatan turut dikumpulkannya sebagai panduan dalam rawatan. Daripada kitab-kitab tersebut, terdapat beberapa kitab perubatan dari dunia Melayu yang diamalkan oleh pengamal perubatan tradisional zaman lampau yang sememangnya amat aktif dalam bidang perubatan telah tidak digunakan lagi selepas pengamal berkenaan menjadi Tuan Guru. Dalam hal ini, beliau bercadang untuk memperkenalkan kembali ilmu perubatan daripada pengamal rawatan tradisional itu supaya tidak terus berkubur begitu sahaja.

Justeru, selain berkecimpung terus dalam bidang rawatan, Ustaz Haji Rahimi juga adalah Pengasas Pusat Bimbingan Al-Quran Al-Madani yang mempunyai 17 cawangan di sekitar Kota Bharu. Inilah khidmat yang dapat disumbangkan untuk kesihatan, kemudahan dan keperluan orang ramai semasa hayat mereka.

Ustaz Haji Rahimi Mohd. Rashid boleh dihubungi:
013-9203223

Ustaz Haji Rahimi Mohd. Rashid ketika diwawancara Wartawan RELATIF di Pusat Rawatan Islam Al-Madani (PRIA) yang diasaskannya.

Daun sirih adalah tumbuhan herba yang boleh merawat kanser.

Inilah Pusat Rawatan Islam Al-Madani (PRIA) miliknya.
  
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rawat Anak Malas


RAWAT ANAK MALAS

PASIR MAS, KELANTAN:  MENUNTUT ilmu kebatinan sudah menjadi kelaziman bagi setiap Pengamal Rawatan Tradisional dan selepas itu perlu melakukan pertapaan atau mengasingkan diri sama ada di gua-gua, bukit dan gunung yang tidak pernah dilalui orang untuk memantapkan dan melengkapkan lagi tuntutan tersebut. Namun begitu, siapa sangka terdapat juga pengamal rawatan tradisional yang tidak pernah belajar dari mana-mana guru sebaliknya kemahirannya itu disebabkan penyakit misteri yang telah dialaminya sendiri.

Peristiwa ini memang sesuatu yang tidak masuk akal. Ini kerana, kepandaian dan kemahiran sebenarnya perlu dimulai dengan belajar, menduduki ujian dan akhirnya memperolehi ijazah untuk melayakkan dirinya lulus dan mantap dalam ilmu yang dipelajari itu.

Tetapi ketahuilah bahawa, jika Allah S.W.T  mengkehendaki umat-Nya berjaya, siapa pun tidak menduga. Begitulah halnya pengalaman yang dialami oleh Pengamal Rawatan Tradisional, Che Dah binti Noor dari Kampung Lati, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya.

"Berhubung dengan rawatan penyakit, Kak Dah tidak pernah belajar dari mana-mana guru. Cuma dapat berubat kerana sering membaca dan mengamalkan berdasarkan kepada petunjuk Al-Quran semata-mata", ujarnya yang membahasakan dirinya Kak Dah ketika menjawab pertanyaan Penulis.

Menurut Kak Dah, kepandaian beliau merawat pelbagai jenis penyakit berikutan suatu penyakit misteri iaitu beliau sentiasa kenyang. Ketika itu akhir bulan Ramadan, beliau sering berulang-alik ke masjid kerana menunaikan solat dan membaca Al-Quran di sana. Beliau akan terasa dan mudah kenyang setelah meminum air zam zam serta makan buah tamar sahaja.

"Pada suatu malam itu, Kak Dah tidak dapat tunaikan solat di masjid. Kak Dah meminta suami membeli roti kerana memang terasa sangat hendak menikmati juadah roti dengan air zam-zam. Dalam pukul 11.00 malam, suami Kak Dah memenuhi permintaan sebab Kak Dah tak tahu nak makan apa. Setelah memakan roti yang dicelup ke dalam air zam-zam itu, Kak Dah diketahui tidak sedarkan diri.

"Apabila tersedar dari pitam buat seketika itu, Kak Dah memohon doa kepada Allah, kalau kebaikan itu biarlah Allah tunjukkan perkara baik. Dan kalau perkara buruk diminta Allah jauhkan", katanya mengingatkan pengalaman yang membolehkan beliau mahir berubat semua jenis penyakit zahir dan batin dengan izin Allah.

Semenjak hari itu, beliau mula membantu orang ramai yang memerlukan rawatan yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, beliau lebih dikenali sebagai "bomoh pensil". Ini kerana, ramai di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang pernah gagal peperiksaan dan ingin mengulang semula persekolahan datang menemui beliau supaya diusahakan untuk membolehkan pelajar-pelajar terlibat dapat menduduki peperiksaan dan menjawab soalan dengan tenang tanpa wujudnya rasa gemuruh. Caranya beliau akan melakukan sembahyang hajat dan mengisikan pensil yang dibawa oleh pelajar-pelajar berkenaan dengan doa sambil menyediakan air tawar sebagaimana yang sepatutnya.

Selain itu, Kak Dah juga membantu pelajar-pelajar sekolah yang dikatakan tidak ada harapan dan malas ke sekolah akhirnya bersemangat untuk meneruskan pelajaran tidak sebagaimana sebelum ini. Hasil ikhtiar beliau kebanyakannya membuahkan hasil yang amat menggalakkan.

Contoh seumpama ini bukan sengaja diada-adakan. Ini kerana, dari makluman sebuah keluarga yang hanya dikenali sebagai Kak Nor Rusiah dari Kampung Jias, Pasir Mas menceritakan, salah seorang anak bongsunya yang baru menduduki kelas pra-sekolah enggan ke sekolah sebagaimana yang diharapkan walaupun dihantar ke tadika tersebut olehnya sendiri. Berikutan tidak mempunyai jalan terbaik untuk memujuk, beliau cuba mendapatkan khidmat Kak Dah supaya anaknya tidak menunjukkan sifat yang sedemikian. Alhamdulillah, selepas itu semangat anak bongsunya bertambah kuat untuk menduduki kelas berkenaan.

Menurut Kak Dah lagi, selain beliau dapat menyelesaikan masalah gemuruh dan gelap hati pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan, beliau juga boleh usahakan masalah lain seperti remaja yang malas sembahyang, masalah rumahtangga pasangan yang di ambang perceraian, gadis sukar dapat jodoh, masalah ketagihan rokok dan dadah, gejala keruntuhan akhlak, kanser payu dara, penyakit kronik yang sukar dirawat termasuk penyakit jantung berlubang. Di samping penyakit akibat gangguan makhluk halus seperti jin dan syaitan, sihir, santau dan saka. Kesemua rawatan yang dilakukannya beliau ikhtiarkan dengan cara sembahyang hajat, di samping pengisian doa dan menyediakan air tawar yang sepatutnya.

Mungkin di Pasir Mas dan khususnya di Kampung Lati itu hanya beliau adalah yang terulung sebagai seorang pengamal rawatan tradisional dari kalangan wanita. Walau bagaimanapun, amatlah sesuai kerana wanita memang sentiasa dihantui pelbagai masalah yang perlu dirawat. Apabila wanita menghadapi masalah dan perlukan rawatan, maka yang perlu merawatnya ialah wanita juga.

"Kak Dah lakukan rawatan ini secara ikhlas sahaja untuk membantu orang ramai yang mmenghadapi masalah tanpa mengenakan apa-apa bayaran. Tetapi jika ada yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas, Kak Dah tidak menolak.

"Kak Dah juga mengadakan hari yang khusus iaitu hari Selasa sahaja bagi orang ramai yang inginkan rawatan di rumah. Manakala hari-hari lain, Kak Dah lakukan rawatan di luar. Kebanyakan keluarga pesakit yang datang jemput sendiri ke rumah mereka", katanya yang turut bersyukur diberikan keistimewaan oleh Allah kepadanya sehingga dapat berbakti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat dan bantuannya sebagai pengamal rawatan tradisional.

Justeru, perlu ditekankan bahawa kelebihan dan keistimewaan seseorang tidak siapa pun yang tahu. Jika Allah mengkehendaki seseorang itu menjadi seorang yang berguna, akan dijadikan-Nya. Ekoran dari itu, jangan kita perkecilkan kelebihan diri seseorang sebab sesuatu itu telah ditakdirkan ke atas diri individu. Paling penting, gunakanlah segala kelebihan dan keistimewaan itu untuk berbakti kepada orang-orang yang memerlukan bantuan kita tetapi tidak menyalah gunakannya untuk tujuan menganiayai orang lain pula.

Kak Dah boleh dihubungi di talian:
011-14998090   
 
Che Dah binti Noor atau Kak Dah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah kediaman Kak Dah merawat pesakit setiap hari Selasa.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD.SALLEH

Selasa, 27 Disember 2011

Rawat Penyakit Gila


RAWAT PENYAKIT GILA

PASIR MAS, KELANTAN:  BARANGAN antik dan pelik sebenarnya amat berguna jika pemiliknya mengetahui tentang rahsia, keistimewaan dan khasiatnya dalam bidang rawatan tradisional. Walaupun sesetengah orang menganggapnya karut dan ragu-ragu tentang kegunaannya kepada bidang rawatan penyakit manusia lebih-lebih lagi yang melibatkan gangguan makhluk halus, tetapi bagi individu yang faham tentang kepentingan dan manfaatnya akan terus menyakini  bahawa bahan-bahan tersebut sebenarnya memberi impak yang besar kepada rawatan yang diperlukan.

Hal seumpama ini bukanlah untuk mempercayai yang kononnya benda-benda tersebut boleh menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh manusia. Sebaliknya sebagai bahan perantaraan di mana bahan-bahan yang dijadikan oleh Allah di muka bumi ini mendatangkan banyak manfaat dan kegunaannya kepada manusia sendiri jika manusia itu berusaha di dalam bidang yang diceburi. Sebab itulah, wajibnya manusia menuntut ilmu adalah sebagai dasar untuk menaikkan martabat manusia di sisi Allah sekaligus untuk mengelakkan kalangan manusia berserah kepada nasib semata-mata yang hanya mewujudkan sifat putus asa. Ia juga dapat dijadikan sebagai jalan ikhtiar terakhir apabila rawatan secara formal tidak membuahkan hasil yang memuaskan atau menemui jalan buntu.

Menyedari hakikat itulah, atas minat dan usaha yang dilakukan oleh seorang Pengamal Rawatan Tradisional, Che Yusoh Che Ali, 62, yang lebih mesra dengan panggilan Pakcu Soh dari Kampung Jenereh, Meranti, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Penulis menceritakan minatnya terhadap barangan antik dan pelik itu bahkan kesan rawatan yang dilakukannya semenjak berhenti sekolah sehingga sekarang amat memuaskan hati telah mendapat kepercayaan di kalangan pesakit yang pernah berubat dengannya.

Katanya, walaupun dianggap barangan antik dan pelik tetapi paling berguna ia boleh merawat penyakit manusia. Pengalaman beliau paling berharga pada tahun 1988 apabila berjaya mendapatkan sebiji "kelapa bertanduk". Menurutnya, kelapa bertanduk tersebut diperolehinya dari seorang jirannya dari kampung itu sewaktu beliau membawa seekor monyet (beruk) untuk tujuan memetik kelapa jirannya. Ketika melalui sebatang pokok kelapa di situ, beliau terpandang kelapa tersebut yang kelihatan bersama tandan kelapa yang lain.

Melihatkan kelapa yang dianggapnya luar biasa itu, beliau meminta dari pemilik pokok kelapa itu untuk mendapatkan kelapa bertanduk sebagaimana yang dimaksudkan itu secara ikhlas. Akhirnya, beliau memperolehi kelapa bertanduk itu setelah diizinkan oleh pemiliknya yang mengetahui Pakcu Soh sememangnya peminat barangan pelik di kampung berkenaan.

Pada mulanya, beliau tidak menyedari kelebihan dan keistimewaan kelapa bertanduk itu. Tetapi semenjak beliau memiliki kelapa berkenaan, semasa hayat seorang warga emas yang juga penduduk asal kampung berkenaan, Tok Awang (meninggal ketika berusia 80 tahun) menyatakan bahawa, rumah Pakcu Soh sentiasa dikunjungi orang ramai sama ada jauh atau dekat bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan penyakit yang diperlukan, tetapi semenjak memiliki kelapa bertanduk itu ramai yang datang kerana ingin melihat keanehan kelapa tersebut dengan lebih dekat.

Beberapa hali beliau memperolehi kelapa bertanduk itu, beliau belum dapat mengesan keistimewaan kelapa berkenaan dari sudut rawatan penyakit. Sehinggalah dalam tempoh sebulan beliau mendapat ilham bahawa, kelapa bertanduk itu mempunyai khasiat untuk merawat penyakit tekanan perasaan (stress) dan penyakit gila. Cara beliau merawat penyakit berkenaan ialah dengan meletakkannya di atas kepala seseorang pesakit dan disapu dari hujung kepala sehingga hujung kaki sebanyak tiga kali.

"Kelapa bertanduk ini telah berusia 19 tahun tetapi masih lagi lekat di tandannya", ujarnya sambil menunjukkan kelapa tersebut untuk dirakam gambarnya.

Selain itu, Pakcu Soh juga memperolehi satu tandan kelapa. Beliau memperolehi tandan kelapa semasa beliau menetap di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu selama empat tahun kerana mengusahakan 'Rawatan Mandi Wap' di sana.

Pada ketika itu, ribut telah melanda dengan kuat di pantai tersebut. Oleh kerana Pantai PCB banyak ditumbuhi pohon kelapa, tentunya banyak daripada daun-daunnya termasuk tandan kelapa yang berguguran akibat dilanda ribut itu. Seketika kemudian, ribut berhenti dan selepas solat Zohor beliau meninjau untuk melihat suasana di persekitaran pantai itu dari serangan ribut. Anehnya, dalam banyak tandan kelapa yang gugur hanya tandan kelapa tersebut yang jatuh terpacak dan berdiri kukuh seperti pohon hidup.

Tanpa berlengah apatah lagi melihat luar biasanya tandan kelapa itu, beliau mengambilnya untuk dibawa pulang. Suatu hari, seorang rakannya dari Terengganu yang terlihat tandan kelapa itu memberitahunya bahawa, menurut kepercayaan masyarakat Terengganu tandan kelapa itu mempunyai khasiat dan keistimewaannya yang jarang diketahui orang. Di antara keistimewaannya ialah dapat menghalang gangguan makhluk halus dan boleh merawat orang yang disakat dan tersampuk oleh makhluk halus itu.

Bahan-bahan lain yang masih dalam simpanan Pakcu Soh adalah terdiri daripada pelbagai jenis batuk antik. Walaupun dikatakan batu antik dan pelik tetapi sebenarnya boleh merawat pelbagai jenis penyakit umpamanya batu senjata lelaki yang berguna untuk melakukan urutan kaki dan refleksologi.

Batu kelulut pula beliau perolehi dari arwah moyangnya bernama Tok Isa, Tok Che Leh, Che Ali (arwah bapanya) dan akhirnya dimiliki oleh beliau. Batu ini boleh digunakan untuk merawat demam panas dengan cara merendam ke dalam air kemudian diminum. Batu busut juga dapat merawat penyakit demam panas dengan merendamnya ke dalam air kemudian diminum dua kali sehari iaitu pagi dan petang.

Batu biji mangga bertindak sebagai penawar segala racun dan santau. Batu ini hendaklah direndam ke dalam air dan meminumnya dua kali sehari. Batu petir putih dan batu petir hitam dapat menyembuhkan penyakit buatan orang serta menghalang gangguan makhluk halus.Caranya, batu ini hendaklah diletakkan di atas kepala kemudian disapu sehingga hujung kaki.

Batu keluar air juga mempunyai keistimewaan dapat menghalang bisa gigitan serangga seperti lipan, kala jengking dan ular berbisa. Cara merawatnya ialah dengan meletakkan batu berkenaan di tempat terkena patukan dan gigitan tersebut.

Manakala batu kura-kura dan batu siput juga mampu mampu merawat bengkak-bengkak dan tersalah urat. Cara merawatnya dengan meletakkannya di tempat yang sakit kemudian disapukannya berulang kali.

Di antara barang-barang pelik yang lain ialah buluh belalai gajah. Barangan ini beliau perolehi dan dihadiahkan oleh seorang pesakit dikenali Tok Mandur Mat yang juga bekas kakitangan JPS semasa mengadakan rawatan di rumahnya. Selain itu, beliau juga memiliki sepasang 'batu kayu' iaitu kayu bertukar menjadi batu yang asalnya diperolehi oleh arwah bapanya di laut.

Manakala rawatan yang beliau berikan kepada pesakit umpamanya refleksologi, urutan tradisional sama ada lelaki dan wanita, urutan selepas bersalin, memulihkan tenaga batin, menaikkan seri wajah, cepat dapat jodoh, mengurangkan berat badan, memulihkan tenaga perempuan selepas bersalin, awet muda, menghilangkan tekanan perasaan (stress) serta memulihkan hal yang melibatkan dalaman dan luaran.

Walau bagaimanapun, itu adalah sebahagian penyakit yang dapat disenaraikan. Beliau sebenarnya tidak memilih penyakit apa yang dihidapi oleh pesakit, beliau akan mengadakan rawatan apabila diminta untuk berbuat demikian.   


Che Yusoh Che Ali atau Pakcu Soh dan kelapa bertanduk.

Pakcu Soh bersama barangan antik yang lain.

Buluh belalai gajah - dihadiahkan oleh seorang pesakit.

Kayu menjadi batu diperolehi oleh arwah bapanya di laut.

Tandan kelapa luar biasa - diperolehi semasa ribut.


Pelbagai jenis batu digunakan dalam rawatan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Keris Kesan Penyakit


KERIS KESAN PENYAKIT

PASIR MAS, KELANTAN:  SESETENGAH orang belajar kerana dipengaruhi oleh rakan semata-mata. Tidak kurang juga segelintir individu menuntut ilmu kerana enggan diperlekehkan oleh orang lain. Berbanding individu yang menuntut ilmu kerana minat yang mendalam akan mencapai kejayaan yang diharapkan. Paling penting dalam apa yang dipelajari itu adalah dengan niat yang satu iaitu untuk berbakti dan membantu orang ramai yang pasti memerlukan bantuannya kelak, adalah seorang yang berfikiran waras malah patut dipuji.

Begitu halnya dengan Pakar Perubatan Tradisional, Che Idris Awang Noor, 68, atau lebih mesra dipanggil Pak Su Deris dari Kampung Seberang Pasir Mas-Salor dekat sini berkata, minatnya terhadap silat dan lebih-lebih lagi terhadap ilmu perubatan tradisional mengatasi segala-galanya.

"Ketika usia 16 tahun Pak Su belajar silat. Tetapi apabila mencecah 18 tahun barulah minat kepada ilmu perubatan tradisional secara kampung", ujarnya yang turut mengaku bahawa beliau adalah dari keturunan pendekar ketika ditemui Penulis di kediamannya berhampiran dengan sebuah jambatan yang menghubungkan laluan Salor, Kota Bharu dan Pasir Mas.

Katanya, ketika zaman kanak-kanak beliau gemar tinggal dengan atuknya yang sering dipanggilnya Tok Ayah dikenali dengan nama Tok Ayah Nik Leh yang ketika itu menetap di Kampung Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu yang mempunyai lima orang anak dan 247 cucu. Dalam jumlah cucu yang seramai itu hanya beliau seorang sahaja yang begitu berminat dengan ilmu kebatinan khususnya yang berkaitan dengan kependekaran dan perubatan tradisional.

Pak Su Deris yang beria-ia mempelajari ilmu seumpama itu memandangkan atuknya itu sudah semakin tua. Jadi, pada hematnya jika tidak diperturunkan kepada generasi yang berhajat sepertinya amatlah rugi baginya. Justeru, beliau sanggup menempuh apa jua cabaran asalkan atuknya itu dapat memperturunkan ilmu kebatinan itu kepadanya.

Mungkin kata-katanya itu ada kebenarannya, maka atuknya sanggup memperturunkan segala ilmu yang ada padanya kerana menurut tanggapan atuknya juga bahawa, di antara sekalian cucu hanya Pak Su Deris sahaja yang layak untuk menerimanya. Maka langkah pertama, beliau dikehendaki membaca, menghabiskan malah memahami setiap isi muka surat yang terkandung dalam buku yang bertulisan jawi itu kemudiannya diperdengarkan kepada atuknya. Sudah agak, beliau begitu lancar dan fasih membacanya dan dalam tempoh setahun, beliau telah dapat membaca kesemuanya kemudian dapat beramal pula dengannya.

Tambah Pak Su Deris lagi, ketika atuknya meningkat usia 115 tahun rawatan terpaksa dikurangkan kerana faktor usia. Maka dalam usia 117 tahun, atuknya meminta beliau supaya membantunya merawat pesakit yang datang dalam jumlah semakin ramai. Kepercayaan atuknya di atas kebolehannya itu tidak dipersiakan begitu sahaja kerana itulah niatnya sejak dulu.

Tiap-tiap hari Selasa dan Jumaat, rumahnya sentiasa dipenuhi orang ramai yang memerlukan khidmat rawatan dari Pak Su Deris. Beliau memulakan rawatan berkenaan sehingga atuknya itu meninggal ketika berusia 120 tahun, Pak Su Deris mula mengambil alih tempat atuknya itu sehingga hari ini yang memakan masa 43 tahun.

Adalah menjadi kebiasaan bagi setiap pesakit yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan terus daripada beliau. Sebaliknya paling kerap ialah ada keluarga pesakit yang datang menjemputnya supaya merawat di rumah masing-masing. Paling jauh sehingga ke Kuala Lumpur, Kedah dan Balik Pulau di Pulau Pinang.

"Sebelum rawatan dibuat, Pak Su menggunakan keris pusaka untuk mengesan penyakit dan asal usul penyakit itu", katanya sambil menunjukkan sebilah keris pusaka yang dibalut dengan kain kuning.

Beliau menjelaskan, rawatan tidak akan lengkap jika penyakit yang dihidapi pesakit gagal dikesan. Ini kerana menurutnya, penyakit yang dihidapi mempunyai sebab dan asal usulnya. Umpamanya orang yang akan mendirikan rumahtangga, ada sebabnya begitu juga dengan meninggal dunia, mempunyai sebabnya.

Menurut Pak Su Deris, beliau boleh merawat beberapa jenis penyakit seperti bengkak hati, masalah dalam perut, kencing manis, kanser, darah tinggi, sakit pinggang termasuk buah pinggang, sembelit, gila meroyan selain penyakit yang berpunca daripada sihir, buang saka, santau atau buatan orang. Caranya beliau akan membuat ujian ke atas pesakit itu terlebih dahulu untuk mengetahui masalah atau sesuatu penyakit yang dihidapi oleh mangsa.

Walaupun begitu menurutnya, ada beberapa jenis penyakit yang tidak boleh dirawat olehnya umpamanya penyakit jantung berlubang, masalah air dalam paru-paru dan masalah hati yang terlalu kronik. Jika pesakit mengalami masalah sedemikian, beliau menasihatkan pesakit itu supaya berjumpa doktor dengan segera.

"Setiap penyakit yang boleh dirawat, Pak Su akan berikhtiar dan menyerahkannya kepada Allah, sebab Allah menyuruh umatnya berikhtiar dan memohon bantuan dari-Nya", ujarnya.

Beliau menambah, selain penyakit yang berpunca daripada sihir atau buatan orang mahupun termakan benda berbisa, beliau juga turut merawat penyakit 'gila meroyan'. Ini kerana menurutnya, ramai di kalangan orang-orang Melayu yang keliru kononnya orang gila meroyan itu adalah perbuatan khianat dari segelintir individu yang dengki. Padahal, orang gila meroyan adalah berpunca ketika proses bersalin dilakukan tidak begitu lengkap dan sempurna.

Beliau mengingatkan, penyakit gila meroyan bukan perkara kecil dan remeh. Gila meroyan ada tujuh jenis kesemuanya dan kebanyakan yang dihadapi oleh pesakit mencecah 199 kes. Secara tidak sedarkan diri dan hilang sifat malu, kebanyakan individu yang gila meroyan akan melakukan apa sahaja seperti bertelanjang, enggan memakai kain, memungut sampah di tengah jalan, hilai ketawa seorang diri, bertutur tidak jelas maksudnya, mengarut, buang anak, mencabut rambut dan sumpah seranah.

Merawat penyakit gila meroyan tidak selesai dalam tempoh 10 minit, untuk menunjukkan wujudnya kecacatan dalaman diri manusia. Merawat penyakit sedemikian dimulai dari awal seolah-olah semasa pesakit itu mula dilahirkan, mandi limau sehingga selesai dan sembuh. Bahan-bahan atau alat yang digunakan meliputi beras (4 kg), beras pulut ( 3 kg), kelapa tua (2 biji), ayam kampung sama ada jantan atau betina (1 ekor), pelita ayam (1 biji), tepung tawar benang keras serta sehelai kain sarung untuk diberikan kepada pakar yang membidani pesakit itu.

Manakala dari segi bayaran yang dikenakan, beliau tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi bahkan di atas dasar keikhlasan pesakitnya. Ini kerana, pesanan arwah atuknya supaya tidak memaksa pesakit membayar harga rawatan sehingga menyusahkan mereka. Sebagai contohnya, sewaktu beliau merawat sakit puan, beliau hanya mengenakan bayaran RM1 sahaja, manakala nilai harga di zaman atuknya ialah dua puluh lima sen.

Di akhir perbualan, selain kerja kampung umpamanya mengambil upah menggali perigi, rutin hidup hariannya ialah merawat pesakit dari pelbagai bangsa yang melibatkan penyakit yang pelik dan luar biasa.  Justeru, Pak Su berharap supaya pesakit tidak perlu menaruh syak dan ragu-ragu kerana rawatan yang dilakukannya adalah berdasarkan kaeah rawatan Islam sebagai ikhtiar seorang hamba Allah yang lemah untuk memperolehi kesihatan dan kebahagiaan hidup yang abadi.



Che Idris Awang Noor atau Paksu Deris.

Keris pusaka yang digunakan untuk menguji dan mengesan penyakit.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Saka: Khodam Jin


SAKA: KHODAM JIN

KOTA BHARU, KELANTAN:  SAKA tidak pernah wujud di zaman Nabi S.A.W  mahupun di kalangan sahabat-sahabat Baginda, tetapi mengapa saka wujud di zaman kita di kalangan orang-orang Melayu? Ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui atau menafikan keluarga mereka mempunyai dan diganggu saka, sedangkan mereka beragama Islam, amat mustahil mereka dianggap pembawa saka.

Dalam konteks ini, adakah masyarakat kita sedar saka sebenarnya boleh memakan diri dan generasi seterusnya yang sealiran darah kerana saka akan tetap wujud selama-lamanya jika tidak dinyahkan kerana setiap orang tidak akan dapat lari dari masalah saka walaupun kita cuba menidakkannya. Dianggarkan 90 hingga 95 peratus orang-orang Melayu mewarisi saka dari keturunan nenek moyang mereka yang terdahulu kerana pelbagai sebab. Ketahuilah juga bahawa, saka itu sebenarnya ialah dari kalangan makhluk halus bernama jin.

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang saka dan asal usulnya, Penulis telah menemubual Pengamal Rawatan Tradisional, Warisan Pusaka Tok Kenali, Aziz Haji Daud, 58, atau Abang Aziz yang kini menetap di Kampung Lundang dekat sini memperolehi ilmu dari warisan wali arwah tersohor Kelantan bernama Tok Kenali dan Abjad Malaysia-Kelantan sanggup berkongsi pengetahuan berhubung fenomena saka yang menghantui masyarakat Melayu dari dulu sehingga hari ini.

Takrif Saka

"Makna saka ialah "khodam jin". Khodam jin ini pula ada dua jenis iaitu Jin Islam dan jin kafir", ujarnya mentakrifkan saka sebenarnya ialah makhluk jin yang wujud dalam aliran darah manusia.

Katanya, walaupun dikatakan jin Islam yang sentiasa beribadat dan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T,  namun setiap yang bernama jin sememangnya tidak boleh dipercayai. Ini kerana, kalau sudah dikatakan jin sifatnya memang jelas hanya ingin memperdayakan dan menyesatkan selain mengenakan pelbagai syarat terhadap manusia yang mengamalkan sesuatu ilmu, apatah lagi jika pengamal ilmu berkenaan inginkan ilmu-ilmu yang dianggap hebat seperti keramat dan kebal (kalis dan tidak lut senjata).

Keadaan ini menurut Abang Aziz, walaupun sembahyang itu telah difardukan kepada manusia, tetapi oleh kerana keinginan yang meluap-luap di kalangan pengamal ilmu-ilmu hebat tadi, manusia sanggup mengikut telunjuk daripada makhluk jin berkenaan supaya turut beribadat untuk mereka pula. Situasi ini menjadikan seolah-olah jin itu pula sebagai tuan yang berkuasa semata-mata kegelojohan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatkan. Padahal, manusia pada hakikatnya hanya perlu menerima perintah dan melakukan ibadat serta suruhan hanya semata-mata kepada Allah S.W.T  sahaja.

"Perbuatan jin memperalatkan manusia ini sebenarnya merupakan satu muslihat untuk mengaut pahala ibadat dari manusia yang berhajatkannya. Dibimbangi jin itu memperolehi pahala ibadat yang banyak, sebaliknya manusia yang diperalatkan itu dalam keadaan menemui Allah tidak mempunyai markah pahala langsung.

"Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Jin yang paling alim juga mempunyai tuan guru dan ulamak. Jika dibandingkan dengan manusia, paling jahat adalah jin bagi manusia yang baik", katanya.

Ini bermakna, jin bersifat mudah menerima apa sahaja perintah manusia iaitu jika seorang manusia memerintahkannya untuk menganiaya atau merosakkan individu tertentu, jin tersebut akan melakukan kerja dan arahan itu untuk menunjukkan makhluk jin itu amat baik terhadap manusia yang mengarahkannya sebagai upah di atas sikap manusia yang suka beramal berdasarkan arahan jin seperti puasa sunat dan solat fardu untuk tujuan mendapatkan ilmu-ilmu yang hebat itu.

Dalam soal ini katanya, apabila jin yang diupah untuk menggigit lain kemudian manusia yang menjadi mangsa gigitan itu datang untuk mendapatkan rawatan, pihak lain tidak akan dapat menyembuhkannya sekalipun ia adalah seorang doktor pakar yang ternyata tidak dapat mengesan jenis-jenis penyakitnya, apatah lagi bomoh-bomoh lain yang dianggap hebat. Sebaliknya, penyakitnya akan dapat disembuhkan apabila mendapatkan rawatan dari pihak yang mengarahkan jin tersebut untuk menganiaya mangsa berkenaan. Berikutan itu, apabila pengamal berkenaan mengarahkan jin tersebut keluar dari tubuh mangsa, jin yang sedang menghuni dalam tubuh mangsa pastinya akan keluar dan selepas itu penyakitnya sembuh, yang sebenarnya berpunca daripada gangguan jin-jin berkenaan. Dalam konteks ini, individu yang beramal untuk tujuan berkenaan akan dipandang mulia dan hebat kerana beliau dianggap seorang sahaja yang berjaya merawat mangsa yang dirasuk jin itu. Hasilnya individu yang beramal dengan ilmu-ilmu itu akan semakin angkuh, riak dan takbur.

Manakala jin bukan Islam (kafir) pula, atas tanggapan orang ramai yang menamakannya sebagai hantu raya, pelesit, hala, pontianak, langsuir, anak kerak dan sebagainya. Jin jenis ini juga turut mengenakan pelbagai syarat kepada tuannya supaya menjamunya dengan makanan yang banyak dan lazat seperti ayam panggang, pulut kuning, telur dadar, bertih atau buah-buahan seperti limau dan epal yang diletakkan di tepi-tepi kampung, tebing sungai, busut anai-anai, pohon-pohon dianggap berpuaka dan sebagainya.

Hantu raya banyak digunakan dalam permainan-permainan rakyat seperti wayang kulit dan main puteri terutamanya bagi watak hanuman kera putih dari spesis beruk. Justeru, hanuman kera putih ini adalah makhluk yang gagah, jadi sesuailah jin kafir menjelma dalam rupa beruk, keram atau monyet. Orang yang memelihara hantu raya misalnya bertujuan untuk mengawal rumah kerana kegagahannya.

Jenis-jenis Saka

Abang Aziz menambah, terdapat tiga jenis saka yang menjadi amalan masyarakat Melayu sejak dahulu sehingga hari ini seperti saka amalan, saka dari pembawa saka dan saka keturunan.

Saka amalan ialah individu yang memperolehinya dengan cara menuntut ilmu tanpa melalui guru. Dalam hal ini, individu berkenaan mempelajari sesuatu ilmu yang dihajatinya melalui buku dan kitab-kitab lalu beramal dengannya tanpa mendapat tunjukajar, bimbingan dan ijazah dari seorang guru yang bertauliah. Dengan itu, individu yang mengamalkan ilmu dengan hanya membaca buku-buku dan kitab-kitab ini sebenarnya telah digantikan oleh makhluk jin sebagai guru mereka. Jadi amat jelas bahawa, saka ini hanya bertenggek pada orang-orang yang alim, warak dan suka menuntut ilmu seperti ilmu-ilmu kebal dan hebat itu tadi.

"Selain itu, terdapat juga pengamal-pengamal ilmu yang memperolehi saka dari guru-guru mereka yang ditakrifkan sebagai pembawa saka lalu masuk ke dalam tubuh pelajar-pelajar mereka", jelas Abang Aziz lagi.

Sambungnya, saka yang paling diwarisi oleh orang-orang Melayu walaupun generasi kini dikatakan tidak beramal dengan ilmu-ilmu yang hebat ialah "saka keturunan" atau disebut juga saka peliharaan. Ini kerana, apabila generasi terdahulu seperti nenek moyang kita yang kemudiannya diwarisi oleh orang-orang tua kita (ibu dan bapa) hari ini yang mempunyai saka, akhirnya akan diwarisi pula sehingga anak, cucu dan cicit yang terakhir. Keadaan ini disebabkan, selagi kita mempunyai pertalian darah dengan keturunan kita tanpa mengira berapa lapis generasi pun, kita akan tetap menerima saka tersebut sama ada mahu ataupun tidak.

Generasi terdahulu seperti moyang lelaki kita banyak menggunakan saka peliharaan ini di mana dari makhluk jin ini akan menyamar atau menyerupai haiwan seperti burung yang besarnya agak luar biasa, harimau, hala dan hantu raya (dapat menyerupai tuan yang memeliharanya).

Manakala kalau perempuan pula suka memelihara hala, pelesit, langsuir dan penanggal. Maknanya, tujuan makhluk berkenaan dipelihara adalah untuk mengawal rumah dan dusun buah-buahan dari dicuri atau dicerobohi oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, jin itulah yang menyerupai tuannya. Kadang-kadang tuannya tidak ada di rumah, sebaliknya apabila penceroboh datang ke rumah yang akan menjadi mangsa, penceroboh akan dapat melihat tuan rumah tidak ke mana-mana sedangkan makhluk berkenaan yang menyamar sebagai tuan rumah tersebut. Dengan demikian, rumah yang akan menjadi mangsa itu akhirnya terselamat dari dipecah masuk atau dirompak.

Tanda-tanda Mendapat Saka

"Tanda-tanda saka memang banyak. Individu yang tubuhnya terkena saka akan berasa sakit di bahagian tulang bahu (tulang kipas), tengkuk berasa berat seperti ditindih sesuatu, cepat marah, menjadi pelupa, pening dan sakit kepala yang amat sangat, dibenci jiran-jiran tetangga, apabila demam bahagian muka sahaja yang terasa panas sebaliknya tubuh berasa sejuk, terasa kebas hujung jari kaki, sakit di bahagian tulang belakang dan pinggang, lutut seperti digigit, suka menangguhkan kerja, terasa malas menziarahi walaupun mendengar berita ada orang sakit dan meninggal, sewaktu tidur malam mudah terkejut, sentiasa berdebar, tubuh terasa kejang, lenguh dan lumpuh, soal makan tiada had iaitu makan terlalu banyak tetapi tidak berasa kenyang", ujarnya memperihalkan tanda-tanda individu terkena saka.

Selain itu menurut Abang Aziz, ada sesetengah individu yang turut mendakwa bahawa setiap kali membaca Al-Quran dan beramal, tubuh mereka seperti kepanasan. Dalam hal ini menurutnya, membaca Al-Quran tidak pernah menjadikan tubuh manusia menjadi panas. Allah S.W.T dan Rasul-Nya sendiri menggalakkan setiap umat Islam memperbanyakkan membaca Al-Quran dengan ikhlas hati kerana Al-Quran sebenarnya sejuk iaitu sebagai penawar terutamanya kepada segala jenis penyakit dan gangguan makhluk halus. Tetapi apabila membaca Al-Quran dengan tiba-tiba tubuh menjadi panas adalah disebabkan individu itu sebenarnya dihuni saka di mana tubuh individu berkenaan telah dijadikan rumah jin sebagai tempat untuk makhluk berkenaan menyebarkan dakyah, memperdayakan dan menyesatkan mangsa.

"Sebaik-baik langkah untuk memagari atau menyelamatkan barangan milik kita sepertti harta benda, rumah, tanah termasuk diri sendiri dan keluarga ialah dengan membaca ayat Qursi, ayat tiga Qul, bismillah seribu dan ayat seribu dinar", katanya.

Dalam hal ini, selain saka tidak wujud di zaman Nabi S.A.W  saka juga tidak pernah dikenali di zaman sahabat-sahabat Baginda S.A.W.  Misalnya Sayyidina Umar Al-Khattab dan Sayyidina Ali bin Abi Thalib juga lut senjata dan mereka meninggal dunia sebagaimana kebanyakan manusia yang lainnya iaitu "setiap yang hidup akan merasai kematian". Tetapi apabila dilihat tubuh ditikam, dibunuh, ditembak atau dipotong tanpa mendapat apa-apa kesan atau tidak lut senjata, ini menunjukkan ia sebenarnya ditepis oleh makhluk jin yang sentiasa bersama individu yang mengamalkan ilmu-ilmu hebat itu.

Justeru, jelaslah bahawa amalan dari ilmu-ilmu yang tidak bersandarkan kepada guru-guru yang bertauliah serta amalan yang menyimpang dari landasan sebenar akan menyebabkan seseorang pengamal ilmu itu tidak akan tahu hujung dan pangkalnya akan mudah mewarisi saka. Ingatlah, saka boleh meranap dan melenyapkan segala pahala amal ibadat yang dikerjakan berpuluh-puluh tahun lamanya yang akhirnya menjadi rugi dan sia-sia.    


Aziz Haji Daud atau Abang Aziz.


Salah seorang mangsa saka seperti 'dicakar'.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

NOTA:

FOTO TENTANG KAEDAH "BUANG SAKA" MENURUT KAEDAH TOK KENALI DAN ABJAD MALAYSIA-KELANTAN AKAN DIPAPARKAN DALAM BULAN JANUARI 2012 NANTI.