RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 20 November 2012

Perubatan Moden, Alternatif, Silat


PERUBATAN MODEN, ALTERNATIF, SILAT

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  MENUNTUT ilmu adalah wajib bagi setiap umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita. Bahkan, amat beruntung bagi yang memiliki ilmu kerana darinya mereka dapat mencurahkan bakti kepada orang-orang yang memerlukannya. Bukanlah tujuan menuntut ilmu itu sebagai dasar untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Ini kerana, jika seseorang itu memerlukan dunia, dia harus berilmu. Bahkan jika memerlukan akhirat, individu terbabit juga perlukan ilmu. Malahan jika individu manusia itu memerlukan kedua-duanya (dunia dan akhirat), dia juga wajar mempunyai ilmu. Apatah lagi, bagi manusia yang hidup di dunia yang sentiasa berhadapan dengan manusia lain, keperluan kepada ilmu mengatasi segala-galanya. Orang yang tidak berilmu berilmu ibarat "tin kosong" atau sampah semata-mata.

Membicarakan tentang hakikat ilmu ini, mungkin tidak ramai yang menuntut ilmu dalam ketiga-tiga bidang sekaligus. Namun tidak bagi Pengamal Perubatan Moden, Alternatif dan Silat, Che Razali bin Che Deraman atau lebih dikenali sebagai Che Razali Tok Bomoh tetapi kadang-kadang beliau juga digelarkan sebagai Abe Li bekas H.A (Pembantu Perubatan) dari Kampung Kutan Tepi Sungai dekat sini yang terlalu minat sehingga berjaya dalam ketiga-tiga bidang itu.

Katanya, sejarah beliau berkecimpung dalam perubatan alternatif walaupun pernah berkhidmat dalam perubatan moden disebabkan beliau banyak mempelajari dari pelbagai jenis kitab, apatah lagi keturunannya sendiri adalah dari kalangan bomoh belaka yang turut memperturunkan segala ilmu perubatan alternatif itu kepadanya. Cuma, beliau belajar dalam kedua-dua bidang iaitu pengamal perubatan alternatif dan silat disebabkan minat yang begitu mendalam terhadapnya.

Menurutnya, ketika bertugas sebagai Pembantu Perubatan (H.A), beliau sempat mempelajari bidang perubatan "Homeopathi" selama tujuh tahun lebih sehingga peringkat "master". Namun, dalam perubatan moden di hospital  dikenali sebagai "konvensional". Manakala homeopathi ini dikenali sebagai perubatan "alternatif". Katanya, walaupun semasa beliau bertugas sebagai Pembantu Perubatan  dalam konteks "perubatan moden", namun beliau yang juga sebagai pengamal perubatan alternatif tetap menerapkan kaedah rawatan alternatif melalui kaedah doa dan wirid.

"Berhubung dengan rawatan tradisional, Abang Li banyak belajar dan mendapat tunjukajar daripada arwah moyang, kemudiannya dari arwah bapa tentang pelbagai kaedah dalam rawatan sedemikian.

"Abang Li belajar rawatan tradisional  ini ketika usia 17 tahun lagi. Manakala sebagai pembantu perubatan ketika Abang Li berusia 23 tahun dan telah berkhidmat dengannya selama 12 tahun. Dalam usia ini, Abang Li telahpun mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Negeri Sembilan pilihan Abang Li sendiri. Abang Li dapat pencen awal sebagai pembantu perubatan", ujarnya kepada Wartawan RELATIF yang membahasakan dirinya sebagai Abang Li sambil mengimbau kenangan beliau belajar sebagai perawat alternatif dan moden.

Tambahnya, selepas itu beliau menyambung pelajaran tentang kaedah perubatan Homeopathi selama tujuh tahun lebih sehingga peringkat master. Katanya, perubatan homeopathi bukan perubatan alternatif, tetapi ada yang menganggap homeopathi sebagai bidang sedemikian. Bezanya, di Kelantan pada masa itu perubatan homeopathi tidak begitu popular sebagaimana hari ini.

Setelah bersara awal sebagai penjawat awam, hari ini, tumpuan utama dalam khidmatnya kepada masyarakat ialah rawatan alternatif kepada orang ramai yang memerlukan. Tentang bayaran, beliau tidak menetapkan harga tidak sebagaimana perubatan moden. Perubatan alternatif berdasarkan kepada keikhlasan dari pesakit.

"Ketika bermulanya musim "tinju (boxing)" dan tomoi, ramai yang datang mendapatkan rawatan daripada Abang Li. Kebanyakan petinju dan tomoi datang mendapatkan rawatan secara tradisional.

"Abang Li akan memberikan semangat kepada petinju sambil memberikan beberapa tip kekuatan badan (termasuk luaran dan dalaman) di samping menyuntik sikap berhati-hati terhadap perbuatan sihir dan santau pihak lawan. Bagi Abang Li, sudah menjadi kelaziman bagi golongan ini, perbuatan kotor seumpama ini menjadi mainan dalam setiap pertandingan", katanya ketika ditemubual di sebatang lorong menghala ke kediamannya.

Misalnya dalam kaedah perubatan alternatif tentang gangguan makhluk seperti "toyol" yang mana, beliau pernah memberikan khidmat menangkap "toyol" yang pernah mengganggu mangsa. Tentang kaedah ini, beliau membaca sepotong ayat dalam Surah Jin.

Apabila ditanya tentang pesakit yang pernah datang mendapatkan rawatan darinya, beliau berkata, kebanyakan pesakit datang dari Kelantan sendiri, sementara dari luar Kelantan agak tidak begitu ramai kerana mereka belum mengetahui tentang kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau berhubung dengan perubatan alternatif itu. Misalnya dari Kelantan, kebanyakan pesakit lazimnya dari Wakaf Baharu sendiri, selain Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Mas.

Sambungnya, berhubung dengan masalah sihir yang dialami oleh mangsa yang akan dirawat olehnya, beliau akan melihat tentang simptom dan akibat sihir tersebut, melihat wajah mangsa dan dari situ beliau akan dapat mengetahuinya dengan cara sentuhan tangannya.

"Bagi mangsa sihir akan mengalami resah dan gelisah ataupun tidak senang duduk. Abang Li akan menggunakan ayat-ayat Al-Quran , ayat Kursi, ayat Haikal dan selepas itu Abang Li akan menyediakan air tawar (sebagai penawar) untuk diminum oleh mangsa sihir.

"Kemudiannya, Abang Li akan memanggil makhluk halus yang membawa sihir itu, sama ada turun ke kaki, mulut dan pusat. Limau kemudiannya akan Abang Li gunakan untuk mengunci makhluk halus tersebut. Dengan izin Allah, setiap rawatan yang Abang Li buat berakhir dengan kejayaan yang diharapkan", katanya.

Menurutnya, di samping memberikan khidmat merawat secara moden dan alternatif, beliau juga turut menyediakan ubat-ubatan dan kebanyakan ubat-ubatan tersebut datangnya dari Amerika, Jerman dan Pakistan. Peranan beliau hanya membancuhnya sahaja untuk diberikan kepada pesakit dan mangsa yang memerlukannya.

Dalam pada itu, beliau juga turut berminat dengan seni mempertahankan diri iaitu "silat". Ini kerana, beliau turut menuntut ilmu dalam persilatan disebabkan keturunan beliau pada asasnya selain minat dengan agama, turut ditekankan ialah dunia persilatan sejak dari dulu telah dipelopori oleh atuknya, nenek dan tok saudaranya sendiri semuanya berminat dalam ilmu persilatan. Misalnya pada diri beliau, beliau mempelajari seni silat sejak dari zaman remajanya lagi iaitu selepas tamat Sijil Rendah Pelajaran (kini PMR) dalam usia 15 tahun.

"Pada mulanya, Abang Li belajar silat dikenali "Silat Spelek" daripada Wan Ismail Tok Bomoh (kini arwah). Selepas itu, Abang Li mempelajari "tomoi". Dalam masa yang sama, Abang Li mempelajari cara-cara dan kaedah menghasilkan ubat secara tradisional.

"Selepas Abang Li bersara dari penjawat awam sebagai pembantu perubatan (H.A), Abang Li turut serta sebagai seorang usahawan dan telah mengikuti kursus di Terengganun dan Kuala Lumpur", ujarnya.

Sambungnya, selepas mempelajari silat spelek dan tomoi, beliau meneruskan minatnya mempelajari "taekwando" dan selepas itu "karate-do" pula. Menurutnya, jika dibuat perbandingan terhadap kedua-dua seni mempertahankan diri tersebut, silat hampir sama dengan tomoi. Tetapi katanya, jika dibandingkan dengan taekwando dan karate-do, silat adalah dianggap lebih baik lagi. Namun, silat dianggap tidak berkembang disebabkan cara pengurusan sesebuah persatuan silat dan teknik mengajar silat tersebut kepada murid-murid dianggap tidak begitu memberangsangkan.

Katanya menambah, beliau berminat terhadap agama, seni mempertahankan diri dan perubatan disebabkan keturunannya yang mendorongnya ke arah itu. Secara berpuitis, kalau tidak kuah jatuh ke nasi, ke mana lagi. Lagipun menurutnya, beliau hanya tiga beradik yang kesemuanya lelaki, hanya beliau seorang sahaja yang berminat ke arah berkenaan berbanding dengan adiknya, manakala abangnya pula berminat sebagai seorang pendakwah.

Che Razali bin Che Deraman atau Abang Li Bekas H.A.

Abang Li ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebatang lorong ke kediamannya.


Gaya seorang ahli seni mempertahankan diri (silat).

Papan tanda menghala ke rumahnya.

Inilah rumah Che Razali bin Che Deraman (Abang Li Bekas H.A).

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 15 November 2012

Gua Keris: Xpdc 10.11.2012


EKSPEDISI GUA KERIS

KUALA KRAI, KELANTAN:  GUA KERIS yang terletak di daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan adalah sebuah gua yang agak menarik. Berbanding dengan gua-gua yang lain, Gua Keris terlalu mudah untuk disusuri dan didaki sehingga ke puncaknya memandangkan susur laluannya agak ringkas dan pendek. Pendakian terakhir untuk sampai ke puncak hanya sampai di tingkat tiga.

Sejarah dan asal usul dinamakan Gua Keris berpunca daripada bongkah batu yang menyerupai "sebilah keris" yang seolah-olah terpacak di tingkat satu dan boleh dilihat oleh setiap pendaki apabila tiba di tingkat berkenaan. Dikatakan juga, bersebelahan bongkah sebilah keris ini dihuni oleh seorang "pertapa" atau digelarkan sebagai "pendita" berikutan terdapat sebuah tempat yang agak bersih apatah lagi kolam yang dikatakan tempatnya mengambil air wuduk sentiasa ditakungi air yang menitis dari puncak gua.

Menyedari betapa menariknya gua berkenaan yang terletak bersebelahan jalan utama berhampiran Gua Ikan, kira-kira 150 kilometer dari bandar Kota Bharu itu, pada 10 November, 2012 kami telah melakukan "Ekspedisi Gua Keris". Di antara peserta ekspedisi kami terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Wartawan RELATIF), Anwar bin Azmi (Anak Sulong Penulis), Azhar bin Azmi (Anak Ketiga Penulis), Anis Sabirin bin Azmi (Anak Keempat Penulis) dan Mohamed Abid Saidin (Abid, Rakan Azhar). Ekspedisi kami turut dibantu oleh Jurupandu, Tengku Mohamed Nasiruddin bin Tuan Ramli yang merupakan remaja dan penduduk tempatan.

Kami bertolak dari Kota Bharu jam 10.20 pagi dan kami tiba di Kampung Gua Ikan berhampiran Gua Keris itu jam 1.45 petang, tiba-tiba kami disambut dengan turunan hujan yang agak lebat yang melanda Dabong ketika itu. Kami mula memasuki Gua Keris jam 2.15 petang setelah hujan didapati reda melalui muka gua berkenaan yang dilindungi hutan dan semak-samun yang tumbuh subur. Berikutan itu, kami terpaksa meredah semak-samun berkenaan untuk tiba di muka Gua Keris dalam keadaan becak air dan lumpur, tidak sampai lima minit ketika kami bergerak di kawasan lembah itu, lumpur mula terpercik mengotorkan pakaian kami. Setibanya kami di muka gua tersebut, langkah pertama kami ialah membersihkan muka gua berkenaan yang telah dilitupi semak-samun dan kayu-kayu patah yang merintangi muka gua berkenaan.

Setelah segalanya selesai, kami meneruskan perjalanan menyusuri muka Gua Keris itu. Ternyata suatu lagi halangan untuk memasuki muka Gua Keris apabila peserta kami terpaksa melangkah masuk ke gua berkenaan seorang demi seorang dengan cara berjalan dalam keadaan tunduk (membongkok) dan badan pula terpaksa mengiring melalui laluan "caruh air" selepas hujan turun dengan lebatnya di daerah Dabong ketika itu berikutan laluan dalam gua berkenaan agak sempit.

Selepas berjaya melepasi ruang masuk pertama ke gua berkenaan, kami sekali lagi perlu bergerak seorang demi seorang secara meniarap dalam caruh air yang sedang mengalir dalam gua berkenaan. Ini kerana, ruang gua tersebut hanya muat dilalui untuk seorang sahaja dan jika kami tidak bergerak secara meniarap sebagaimana yang sepatutnya, peserta kami tidak akan dapat melepasi ruang masuk ke gua itu untuk tiba di sebelah sana. Apatah lagi, keadaan gua berkenaan yang agak gelap, kami terpaksa menggunakan bantuan lampu suluh.

Melihatkan keadaan itu, selaku Ketua Ekspedisi, Penulis meminta peserta yang ingin melintasi dan melepasi muka gua sebelah sini ke sebelah sana, peralatan yang kami bawa seperti beg sandang, lampu suluh, telefon bimbit sebagainya hendaklah dihulurkan dan hendaklah diterima oleh peserta yang telah melepasinya bagi melancarkan pergerakan kami yang terpaksa berjalan secara meniarap dan merangkak itu. Ketika itu, kedengaran hujan turun semakin lebat di luar gua dan air yang mengalir melalui caruh air dalam gua semakin meningkat dan agak deras tetapi tidaklah begitu dalam.

Jarak perjalanan yang terpaksa kami lalu untuk melepasi halangan ruang gua yang agak sempit itu kira-kira 10 hingga 12 meter dalam keadaan lurus dan membengkok. Bagi peserta yang mempunyai badan yang agak kurus memang agak sesuai dan akan berjaya melepasi halangan ruang gua tersebut, namun bagi yang bertubuh agak gempal dan gemuk kemungkinan tidak akan dapat melepasinya.

Dari arah muka Gua Keris yang terletak di tingkat bawah, kami terus menyusur gua berkenaan untuk mendaki ke tingkat satu. Di tingkat satu dalam gua berkenaan, kami lihat dalam gua berkenaan agak luas dan dari makluman jurupandu kami, Tengku Mohamed Nasiruddin Tuan Ramli berkata, gua berkenaan muat diduduki lebih daripada 10,000 orang. Keadaan batu-batunya agak menarik yang dipenuhi dinding, keadaannya juga agak bersih dan menarik mata memandang.

Setelah peserta ekspedisi kami tiba di tingkat satu, jurupandu kami segera menunjukkan ke arah bongkah batu yang menyerupai "sebilah keris" yang agak agak besar seperti terpacak kukuh bahagian tepi dinding Gua Keris di tingkat satu itu. Manakala di sebelah belakang bongkah batu keris itu, dikatakan dihuni oleh seorang pertapa, tetapi tidak kelihatan dengan mata kasar. Beliau mendapat tahu ada seorang pertapa di situ  apabila kolam yang menakung titisan air dari puncak gua yang dijadikannya sebagai tempat untuk mengambil air wuduk sentiasa bersih seperti ada seseorang yang menjaganya.

Ini berikutan, beliau pernah meletakkan dengan sengaja sehelai daun kering di dalam kolam air wuduk itu. Dengan tiba-tiba didapati daun kering tersebut segera dibuang. Bukti lain pula, apabila tiba malam hari beliau sering mendengar bunyi suara orang sedang berzikir yang dapat didengari dengan agak jelas dari kaki Gua Keris itu untuk menunjukkan ada penghuni dalam gua berkenaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kemudiannya, kami meneruskan perjalanan menyusur gua untuk naik ke tingkat dua pula. Untuk naik ke tingkat dua Gua Keris itu, kami perlu keluar dari gua berkenaan dan kami perlu menyusur dan mendaki melalui lereng Gua Keris kerana tiada laluan dalam gua berkenaan yang perlu kami daki. Beberapa ketika, kami tiba di tingkat dua gua tersebut dan kami dapati keadaan batu-batuan dalam gua di tingkat tersebut dipenuhi dinding dan sekali lagi peserta kami terpaksa berjalan secara membongkok. Kelihatan kebanyakan tempat dalam gua di tingkat berkenaan seolah-olah seperti tempat tidur yang dilingkari bilik-bilik. Di kawasan ini agak sesuai untuk djadikan tempat tidur memandangkan suasana dan tempatnya agak bersih.

Di sebuah batu putih bercahaya, kami diberitahu oleh jurupandu kami bahawa, batu itu pada masa beliau masih kanak-kanak, sesiapa yang tiba di situ akan dapat melihat dan terpegun dengan satu "kalimah Allah" yang didapati dengan agak jelas. Namun, disebabkan sikap segelintir pendaki, kalimah Allah itu kini telah didapati pudar kerana dikatakan ada pendaki yang telah memijaknya. Sebab itulah, kawasan berkenaan telah dilingkari atau dipagar dengan tali untuk mengelakkan pendaki seterusnya memijak kawasan dan batu berkenaan.

Di tingkat dua Gua Keris ini juga Penulis dapat melihat seketul bongkah batu yang menyerupai seekor katak berwarna putih betul-betul menghadap laluan ke dinding gua. Apabila dirakam menggunakan "lampu kamera" keadaan cahayanya agak biasa, namun apabila dirakam menggunakan "infra-red", kelihatan cahayanya berwarna hijau bercampur putih. Begitupun, Penulis juga dapat merakam bongkah batu yang agak panjang, apabila dilihat dengan jelas wujud objek aneh, sekali lihat seperti seorang tua berjanggut putih muncul dalam kamera Penulis.

Dalam masa setengah jam kami melihat suasana dalam gua di tingkat dua itu, kami mula beredar untuk mendaki ke tingkat tiga sebagai destinasi terakhir peserta kami dapat menjelajah dan menakluk Gua Keris di daerah Dabong itu. Untuk naik ke ruang guadi tingkat tiga, kami perlu menyusur badan secara membongkok tidak sebagaimana di tingkat satu tadi.

Beberapa minit sahaja, kami kemudiannya tiba di tingkat tiga jam 4.05 petang yang dianggap puncak Gua Keris dan destinasi terakhir setiap pendaki akan tiba dalam gua itu. Selepas meletakkan beg sandang, kami mula membuka bekalan makanan dan minuman yang dibawa dari rumah. Kami berkelah dalam Gua Keris di tingkat tiga sebagai meraikan kejayaan peserta kami dapat menyusur, menjelajah dan menakluk Gua Keris. Setelah dapat menikmati hidangan makanan dan minuman, kami berehat beberapa ketika sebelum beredar pada pukul 4.30 petang.

Apabila ditanya tentang jumlah pendaki dan penyusur gua yang pernah masuk ke Gua Keris, Tengku Mohamed Nasiruddin berkata, ketika zaman persekolahannya pada tahun 2005, beliau pernah memandu kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Dabong termasuk guru-gurunya. Selepas itu, pernah 20 orang pendaki dari Amerika Syarikat yang datang ke Gua Keris turut dipandu olehnya. Terbaru pula pada tahun 2012 ini katanya, seramai 50 orang tentera dari Kem Desa Pahlawan juga dibawa oleh beliau untuk melihat suasana dalam Gua Keris itu. Bagi kanak-kanak dan remaja tempatan iaitu penduduk asal di Gua Keris itu mereka sering jadikan Gua Keris sebagai tempat permainan dan senda-gurau kerana menganggap gua itulah dunia kedua buat mereka.

Tepat jam 4.30 petang, peserta ekspedisi kami mula beredar lalu meninggalkan ruang tingkat tiga dan puncak Gua Keris. Walau bagaimanapun, jika di awal pendakian, peserta kami perlu masuk melalui muka Gua Keris di tingkat bawah. Namun, kami beredar dan keluar dari Gua Keris melalui pintu Gua Pagar pula. Ini kerana, jika kami keluar melalui ruang Gua Keris yang agak sempit di tingkat bawah itu, belum tentu kami dapat melaluinya nanti. Tetapi ternyata, keluar melalui pintu Gua Pagar amat menyelesakan kami kerana kami tidak lagi perlu berjalan secara membongkok, mengiring, merangkak dan meniarap. Namun, bezanya pula, peserta kami terpaksa menuruni lereng Gua Pagar dalam keadaan tanah becak dan licin untuk sampai ke bawah dan terus melalui semak-samun yang melitupi laluan Gua Pagar sehingga kami tiba di jalan utama hadapan Gua Ikan. Tamatlah "Ekspedisi Gua Keris" pada hari itu dan kami tiba kembali di Kota Bharu pada pukul 8.15 malam.  

Peserta "Ekspedisi Gua Keris" pada 10.11.2012.

Gua Keris dirakam dari jarak jauh.

Kami meredah semak-samun, laluan becak air dan lumpur menurut langkah jurupandu. Di sini kawasan rendah dan lembah.

Setelah meredah semak-samun, kami tiba di hadapan muka Gua Keris.


Penulis menunjukkan ruang gua yang agak sempit.

Bantuan lampu suluh diperlukan kerana keadaan laluan dalam gua agak gelap.


Ruang gua yang agak sempit telah kami lepasi dengan cara merangkak dan meniarap dalam caruh air.


Inilah bongkah batu berbentuk sebilah keris yang terpacak kukuh dekat dinding Gua Keris.



Kami menyusur lereng Gua Keris untuk naik ke tingkat dua.


Bergambar kenangan di lereng Gua Keris. Kelihatan makhluk "orb" (putih) melingkari kami.

Bumbung gua di tingkat dua terlalu rendah, untuk melaluinya terpaksa membongkok.

Inilah batu panjang, kelihatan objek (anak panah) seperti lelaki tua berjanggut putih.

Kami bersiap untuk mendaki tingkat tiga pula.

Sebuah kolam kelihatan di suatu sudut di tingkat tiga.

Batu bercahaya di tingkat tiga.

Inilah bongkah batu seperti seekor katak di suatu sudut Gua Keris di tingkat tiga.


Setelah tiba di tingkat tiga dan puncak Gua Keris, kami membuka bekalan.




Bergambar kenangan di tingkat tiga dan puncak Gua Keris.

Tepat jam 4.30 petang, kami mula beredar meninggalkan tingkat tiga dan keluar melalui pintu Gua Pagar.


Kami menuruni lereng Gua Pagar.

Di sebalik semak-samun ini adalah laluan masuk ke Gua Pagar.





Teks:
AZMI MOHD. SALLEH


Foto:
AZMI MOHD. SALLEH & ANIS SABIRIN BIN AZMI

Sabtu, 10 November 2012

Bengkel Pandai Besi


BENGKEL PANDAI BESI

PASIR MAS, KELANTAN:  BENGKEL pandai besi yang dikhususkan bagi projek satu daerah satu industri telah ditubuhkan sejak 40 tahun lalu di bawah satu kementerian ketika itu dikenali Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Bengkel yang ditempatkan di Kampung Perangkap, Pasir Mas sekarang telah diubah ke Kampung Padang Embun.

Menurut seorang pandai besi yang sempat ditemui Penulis, Sulaiman Mat Daud, 64, atau lebih dikenali sebagai Pak Man dari Kampung Padang Embun dekat sini berkata, asalnya bengkel berkenaan pada masa itu ditempatkan di Kampung Perangkap sejak 40 tahun lalu, tetapi kini lebih dikenali Kampung Padang Embun berdasarkan nama kampung berkenaan.

"Pakcik mewarisi ilmu tukang besi ini dari arwah bapa yang pernah menjadi tukang besi semasa hayatnya", ujarnya ketika ditanya dari mana beliau memiliki kemahiran bertukang besi itu.

Katanya, antara peralatan yang dicipta dari besi seperti golok, parang, keris, lawi ayam, kapak, pisau dan sebagainya menurut tempahan. Misalnya jika peralatan dibuat dari "besi kurau" seperti "parang caluh" dijual dengan harga RM300 sebilah. Lazimnya, senjata terbabit dapat disiapkan sepenuhnya termasuk ulu dan sarungnya dijual dengan harga RM50 sebilah berdasarkan keadaan besi tersebut, terutamanya kapak jika disiapkan sepenuhnya dijual dengan harga RM60 sebilah.

Menurutnya, beliau memperolehi bekalan besi daripada tempat, bengkel atau gedung besi buruk di sekitar Pasir Mas. Beliau terpaksa membeli besi-besi itu untuk ditempa dan dibentuk peralatan senjata yang ditempah oleh pelanggan. Lazimnya, besi yang hendak dibeli dalam bentuk keping seperti "besi spring" kenderaan untuk memudahkan dibentuk atau ditempa dan beliau membelinya dari gedung besi buruk dengan harga RM3 sekilo.

"Pakcik tidak menetapkan tempahan pelanggan, kadang-kadang pelanggan itu sendiri yang membawa besi yang hendak ditempa. Biasanya, pakcik akan siapkan peralatan yang ditempah, bekalan besi pakcik akan cari sendiri.

"Tetapi jika kehendak pelanggan yang telah membawa sendiri besi yang hendak ditempa itu, pakcik akan menyiapkannya dengan segera bagi memudahkan pelanggan juga", ujarnya.

Tambahnya, beliau hanya mampu menempa dan membentuk peralatan senjata yang diminta kira-kira 60 bilah sahaja bergantung kepada masa, walau bagaimanapun hal itu tidak termasuk ulu dan sarungnya. Namun, beliau pernah menghasilkan senjata yang dimaksudkan sehingga 200 bilah sehari.

"Di Kampung Padang Embun ini hanya pakcik seorang sahaja yang dianggap "pandai besi" iaitu seorang yang pakar dan mahir dalam menempa besi dan begitulah juga dengan tempat lain, industri pandai besi ini hanya memperuntukkan seorang pekerja mahir dengan besi untuk satu daerah", jelasnya.

Menurutnya, pernah terdapat pelanggan yang menempah sehingga mencecah 30 bilah senjata yang dimintanya untuk jualan, namun hal berkenaan bergantung pula kepada bahan-bahan berkenaan sama ada cukup ataupun sebaliknya. Kalau lebih dari itu, beliau mungkin tidak sempat untuk menyiapkannya, walaupun turut dibantu oleh dua orang pembantu.

Misalnya golok dapat disiapkan sebanyak 20 bilah sehari. Kebanyakan senjata berkenaan dipasarkan khusus oleh satu pihak lain dan kalau diharapkan beliau untuk memasarkannya di kedai-kedai, tentunya beliau tidak sempat untuk berbuat demikian.

"Pakcik terima tempahan bukan sahaja dari penduduk setempat, ada kalanya dari daerah lain. Paling jauh dari luar Kelantan iaitu dari Kedah", katanya.

Katanya, kebanyakan peralatan untuk menempa seperti arang yang diperlukan telah diberikan oleh pihak berkenaan cukup untuk tempoh setahun, dapur dan tempat menempa kesemuanya disumbangkan pihak Kraftangan Malaysia. Manakala sebahagian peralatan besi lain juga turut disumbangkan oleh pihak berkenaan. Pemberian ini dianggap sebagai subsidi dari pihak Kraftangan Malaysia untuk membantu pekerja-pekerja pandai besi meneruskan kehidupan mereka berdasarkan kemahiran masing-masing.

Dalam hal ini, beliau akan melakukan kerja-kerja berkenaan menurut arahan pihak berkenaan. Beliau akan berada di sesuatu tempat misalnya di Kuala Lumpur berdasarkan kepada tempoh yang diberi dan beliau pernah berada di tempat berkenaan selama dua minggu sebagai pekerja di sana.

"Hasil kerja-kerja tersebut pakcik diberikan elaun sebanyak RM100 sehari. Manakala jika barangan yang ditempah pelanggan, pakcik boleh menjualnya atas perkiraan pakcik sendiri tentang harga yang sepatutnya", ujarnya.

Mengulas tentang kerja-kerjanya sebagai pandai besi di Kuala Lumpur pada suatu ketika itu, selepas beliau dapat menyiapkan barangan besi seperti pisau dan sebagainya, sudah ramai yang menunggu dan membeli terus darinya seolah-olah seperti "goreng pisang panas". Beliau begitu teruja kerana barangan yang ditempanya itu habis dijual pada ketika itu juga, ini menunjukkan peralatan dan senjata yang dibuat dari besi dianggap ramai peminatnya yang tersendiri.

Katanya, Kraftangan Malaysia akan sentiasa turun padang untuk memantau tentang perjalanan dan perkembangan bengkel pandai besi yang diusahakannya itu tidak kira waktu kecuali cuti pada hari Jumaat sahaja. Beliau amat bertuah kerana dapat menghasilkan dan menyiapkan tempahan yang dikehendaki oleh pelanggan sebagaimana yang dijanjikan.

Sulaiman Mat Daud atau Pak Man.

Pak Man ketika ditemubual Penulis di bengkelnya.

Pak Man turut dibantu seorang pekerja.


Api digunakan untuk memasak besi supaya mudah dibentuk.

Besi yang panas (warna oren) siap untuk ditempa.

Tempat simpanan barangan besi.

Inilah besi spring kereta untuk membuat senjata.

Sebilah senjata yang siap ditempa.

Inilah bengkel pandai besi yang terletak di Kampung Padang Embun, dulunya dikenali Kampung Perangkap.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH