RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com
Memaparkan catatan dengan label Santai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Santai. Papar semua catatan

Jumaat, 6 April 2012

Pantai Irama (Bachok)


PANTAI IRAMA
(BACHOK)

BACHOK, KELANTAN:  PANTAI IRAMA yang terletak di pinggir bandar Bachok, Kelantan di laluan yang menghadap Laut China Selatan kini telah ditambak untuk mengelakkan berlakunya hakisan adalah sebuah pantai yang cantik malah pesisirnya pula berkeadaan landai. Jaraknya kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu melalui jalan tempatan Kota Bharu - Tawang - Bachok (D5) yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Pantai ini sering dijadikan sebagai tempat untuk mengadakan pesta dan pelbagai acara keramaian selain sesuai dijadikan sebagai tempat untuk berkelah, mandi laut, berkuda dan aktiviti bersama keluarga disebabkan pasirnya yang putih dan halus menerima jumlah pengunjung yang paling ramai setiap hari minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Disebabkan sering dikunjungi orang ramai dari serata daerah sama ada penduduk tempatan sendiri, terdapat pengunjung dari Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas dan Tumpat yang menjadikan pantai ini sebagai tempat untuk berlibur berikutan hembusan bayunya agak nyaman sesuai dengan namanya Pantai Irama. Malahan jika dibandingkan di antara seluruh pantai di Negeri Kelantan, Pantai Irama dianggap menduduki carta pantai yang paling ramai dikunjungi oleh orang ramai dari semua peringkat.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Majlis Daerah Bachok (MDB) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti gerai jualan, surau, pondok rehat, tempat parkir kenderaan yang sistematik, dataran, tempat persalinan, taman permainan kanak-kanak, kolam mandi kanak-kanak serta tandas awam berbayar.

Paling menariknya bagi anda yang mengunjungi Pantai Irama kerana dianggap pantai terbuka dalam semua segi. Ini kerana, jika anda mengunjungi Pantai Irama anda akan dapat melihat penjual makanan bergerak sama ada motosikal, van dan gerai jualan di tepi jalan.

Bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman menunggang kuda juga terdapat di pantai ini secara berbayar di samping terbang dengan belon udara dan sebagainya.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Irama dan bawalah keluarga bersama kerana sememangnya anda tidak akan berasa kecewa apabila bersantai di pantai ini kerana Pantai Irama menjanjikan sesuatu yang menarik dan menghiburkan hati setiap pengunjungnya.



Inilah wajah Pantai Irama menggamit pengunjung.

 Setianya ombak menghempas pantai sebagai rakan yang tidak dapat dipisahkan.

Apabila hari semakin petang, semakin ramai yang masuk ke Pantai Irama.


Pelbagai aktiviti keluarga sebaik sampai di Pantai Irama.


Kolam mandi kanak-kanak.

Gerai makanan turut disediakan sebagai salah satu kemudahan kepada pengunjung.


Wartawan RELATIF ingin mencuba ais batu kacang (ABC) di sebuah gerai di Pantai Irama.

Colek buah bergerak juga turut dijual kepada peminatnya di kalangan kanak-kanak.

Layang-layang dari China juga turut dijual di Pantai Irama.

Tandas awam berbayar sebanyak RM0-50 sen seorang juga disediakan.



Orang ramai dan pengunjung sedang mengerumuni Pantai Irama.



Aktiviti bermain layang-layang, kerana hembusan bayunya sepoi-sepoi bahasa.

 Aktiviti bermain payung terjun dilihat begitu popular di Pantai Irama.


Tidak ketinggalan aktiviti berkuda. Kanak-kanak petah menunggang kuda.



AKTIVITI KAMI

PADA 16 Mac, 2012 yang lalu kami sekeluarga berkunjung ke Pantai Irama untuk menikmati suatu pemandangan yang menarik di samping menyedut hembusan bayu pantai yang menyegarkan. Apabila kami sampai di Pantai Irama, aktiviti utama kami ialah menjamu selera beramai-ramai sambil bersisir di tepian pasir.

Apabila hari semakin menjelang petang dan selepas berehat beberapa ketika, kami mulakan aktiviti apabila salah seorang ahli keluarga kami mengorek pasir untuk dijadikan sebuah lubang lalu menimbus dirinya sendiri. Kedalaman lubang pasir tersebut mencecah pinggang dan apabila ditimbus sambil baring hingga mencecah batang leher.

Beberapa jam kemudian, apabila hari semakin gelap kami bersiap untuk pulang. Ketika itu, salah seorang ahli keluarga kami yang menimbuskan dirinya sendiri dalam lubang pasir itu tidak dapat bangkit berikutan pasir basah seolah-olah menyedutnya ke dalam. Begitu sukarnya ahli-ahli keluarga kami yang lain turut membantu untuk mengeluarkannya daripada lubang pasir itu. Selang beberapa ketika, usaha kami berjaya dan beliau dapat dikeluarkan.

Kami meninggalkan Pantai Irama apabila Maghrib semakin menjelang dan kenangan berada di Pantai Irama memang tidak dapat digambarkan bukan kerana suasananya yang mesra tetapi kunjungan orang ramai bersama keluarga masing-masing menceriakan hari berkenaan.

Kami menjamu selera dari bekalan yang dibawa sebelum melakukan aktiviti.

Lihat keadaan pantai sebelum memulakan aktiviti pertama iaitu mandi laut.

Beberapa ahli keluarga kami tidak sabar untuk menikmati mandi laut.

Salah seorang ahli keluarga kami sedang mengorek pasir.

Rela dirinya ditimbus.

Sekarang, beliau rasai pengalaman berada dalam pasir yang dalam.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 4 April 2012

Pantai Tok Bali (Pasir Puteh)


PANTAI TOK BALI
(PASIR PUTEH)

PASIR PUTEH, KELANTAN:  PANTAI TOK BALI yang terletak dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan adalah sebuah pantai yang menarik dengan hembusan bayu yang menyamankan berikutan terdapatnya pokok rhu yang melambai-lambai memanggil pengunjung ke situ. Jaraknya dari bandar Pasir Puteh sejauh kira-kira 16 kilometer di mana projek pembukaannya bersama dengan pembinaan Terusan Semerak yang dibangunkan  oleh Projek Kemasin-Semerak (Perkasa).

Pantai ini dikatakan mendapat jolokan dari nama Kampung Tok Bali, malah difahamkan Tok Bali adalah yang mengembara dari Pattani, Siam lalu meneroka penempatan berkenaan.

Kawasan tepi Pantai Tok Bali amat sesuai untuk sebarang aktiviti seperti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan memancing. Pantai ini sering menjadi tumpuan pengunjung terutama sempena cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu apatah lagi dengan pembinaan 'lebuh raya pantai' yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kota Bharu melalui jalan pantai.

Di antara kemudahan yang disediakan di Pantai Tok Bali seperti penginapan yang selesa, surau, pondok rehat, gerai makanan dan restoran, tandas dan tong sampah.

Turut disediakan untuk pengunjung bagi melakukan aktiviti berdekatan pantai pada malam hari ialah beberapa buah rumah penginapan berharga murah bagi orang ramai yang ingin menikmati dan menyaksikan suasana pada waktu malam di Tok Bali di samping memancing ikan di muara atau terusan Tok Bali.

Selain itu, pemandangan menarik di waktu siang hari juga boleh dinikmati di kawasan rumah api di mana kawasan berkenaan kaya dengan hembusan bayu yang menyegarkan, sesuai untuk aktiviti merakam gambar pemandangannya sambil santai-santai di sana.

Justeru, bagi anda yang mempunyai ruang masa atau untuk menenangkan fikiran dan jiwa yang resah, silalah berkunjung ke Pantai Tok Bali kerana di pantai berkenaan amat sesuai untuk itu dan anda akan lupa segala-galanya apabila berkunjung ke Pantai Tok Bali.

Replika bot nelayan, lambang dan mercu tanda Tok Bali.


Pemandangan Pantai Tok Bali.



Rumah api.

Pemandangan Jambatan Tok Bali dari arah Pantai Tok Bali.

Pemandangan dalam rhu di pesisir Pantai Tok Bali.

Rumah penginapan dan surau.


Gerai makanan di Pantai Tok Bali.

 Tandas.


 Pantai Tok Bali cantik, tetapi pencemarannya kerana sikap manusia yang suka membuang sampah merata-rata.

AKTIVITI KAMI

BAGI Penulis, inilah pertama kali menjejakkan kaki ke Pantai Tok Bali bersama keluarga. Kedatangan kami adalah untuk santai-santai sambil menyedut hembusan bayu di pantai berkenaan. Sambil duduk di tepi pantai, kami kemudiannya beredar menuju ke Rumah Api yang terletak di hujung benteng hakisan ombak dan kami bergambar kenangan di situ.





Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 2 April 2012

Pantai Bisikan Bayu


PANTAI BISIKAN BAYU

PASIR PUTEH, KELANTAN:  PANTAI BISIKAN BAYU yang terletak di Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan adalah produk pelancongan terawal dibangunkan di jajahan Pasir Puteh. Jarak pantai ini dari bandar Pasir Puteh sejauh 16 kilometer, manakala dari Pekan Cherang Ruku sendiri sejauh tiga kilometer.

Pada masa dulu, Pantai Bisikan Bayu adalah sebuah pantai yang cantik dan landai dengan pasirnya yang halus dan memutih memukau pandangan, sering menjadi tempat pertemuan penulis dan penyair bahkan pantai ini juga telah diabadikan dalam buku "Antologi Sajak" terbitan Persatuan Seniman dan Penulis Pasir Puteh (PUSPA) berjodol "Bisikan".

Tetapi hari ini, pantai berkenaan seolah-olah tidak bernafas apabila pengunjung semakin berkurangan kerana pesisir pasirnya yang kotor dan tidak terkawal apabila banyak kayu-kayu hanyut didapati terdampar di pesisir pantai, namun tiada pihak yang memberikan perhatian untuk membangunkan dalam segala segi dalam usaha untuk menarik pelancong dan pengunjung ke pantai berkenaan sebagaimana pada masa-masa dulu.

Sebelum ini, banyak kemudahan asas yang telah disediakan untuk pengunjung di Pantai Bisikan Bayu seperti pondok rehat, chalet penginapan seperti Taman Rehlah, surau, taman permainan, bilik persalinan dan tandas. Tetapi kini, akibat berlaku peredaran masa dan pengubahsuaian baru-baru ini didapati Pantai Bisikan Bayu kurang menyerlah, kemudahan asas yang siap dibina hanyalah pondok rehat semata-mata, sementara kemudahan asas yang lain agak tidak kelihatan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sepatutnya cakna dan jika sikap membiarkannya akan menyebabkan Pantai Bisikan Bayu yang indah dan mempesonakan pada masa dulu pastinya akan mati dan pengunjung tidak lagi mengenali Pantai Bisikan Bayu.

Kerajaan Negeri Kelantan juga sepatutnya memberikan perhatian yang sama penting jika mengharapkan kedatangan enam juta pelancong ke negeri Kelantan pada tahun 2012 ini dan salah satunya ialah membangunkan semula Pantai Bisikan Bayu kerana pelancong luar negara pastinya akan begitu teruja untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik yang menjanjikan suasana dan pemandangan yang menyegarkan dan pilihannya ialah "pantai".

Papan tanda arah ke Pantai Bisikan Bayu dari jalan utama.







Beginilah suasana pantai dalam konteks hari ini.

Kelihatan pondok rehat tidak bermaya. Kayu-kayu hanyut terdampar di pesisir pasir.

Gerai makanan ringan bergerak, juga agak lengang.

AKTIVITI KAMI

PENULIS pernah berkunjung ke Pantai Bisikan Bayu sebanyak empat kali. Kali pertama ketika mengikuti rombongan pelajar sebuah sekolah swasta, Institut Tok Kemuning, Machang pada tahun 1980. Ketika Penulis tiba di pantai berkenaan, Pantai Bisikan Bayu memang hidup dengan segala aktivitinya dan terdapat banyak gerai jualan yang terdapat di pinggir pantai ini.

Pada tahun yang sama juga, salah seorang rakan Penulis yang mengikuti rombongan pelajar sekolah berkenaan didapati lemas dan dibawa ombak ke tengah pantai. Penulis yang kebetulan melihat kejadian berkenaan segera memberikan pertolongan cemas yang turut dibantu oleh seorang lagi rakan Penulis dengan menarik rambut mangsa ke pinggir pantai.

Kunjungan Penulis buat kali kedua ke Pantai Bisikan Bayu pula pada tahun 1991 iaitu ketika mengikuti program kepenggunaan sebagai Pegawai Persatuan Pengguna Kelantan (KCA). Selepas program berkenaan, Penulis membongkar satu kejadian maksiat yang dilakukan oleh muda mudi dari luar daerah ini dengan menjadikan Pantai Bisikan Bayu sebagai tempat pertemuan untuk berdua-dua dengan pasangan masing-masing. Akibat aktiviti yang tidak sihat ini menyebabkan Pantai Bisikan Bayu tercemar disebabkan sikap manusia yang bernafsu.

Kunjungan Penulis kali ketiga pada 18.10.2009 dan dalam pemerhatian Penulis mendapati, aktiviti di Pantai Bisikan Bayu sememangnya telah mati seratus peratus dan gerai jualan juga boleh dibilang dengan jari. Hanya yang dapat dilakukan ialah aktiviti merakam foto, namun ketika itu banyak sampah dibuang dan dilonggok di Pantai Bisikan Bayu.

Kunjungan Penulis kali keempat bersama keluarga ialah pada 28.11.2011. Namun kunjungan ini juga tidak ke mana kerana Pantai Bisikan Bayu sememangnya mati, hanya aktiviti yang dapat dilakukan selain merakam foto ialah bersisiran di gigi pantai sambil melihat ombak menghempas pantai.



 Penulis bersama keluarga bergambar di atas pasir yang halus dan landai.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH