RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 4 April 2012

Pantai Tok Bali (Pasir Puteh)


PANTAI TOK BALI
(PASIR PUTEH)

PASIR PUTEH, KELANTAN PANTAI TOK BALI yang terletak dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan adalah sebuah pantai yang menarik dengan hembusan bayu yang menyamankan berikutan terdapatnya pokok rhu yang melambai-lambai memanggil pengunjung ke situ. Jaraknya dari bandar Pasir Puteh sejauh kira-kira 16 kilometer di mana projek pembukaannya bersama dengan pembinaan Terusan Semerak yang dibangunkan  oleh Projek Kemasin-Semerak (Perkasa).

Pantai ini dikatakan mendapat jolokan dari nama Kampung Tok Bali, malah difahamkan Tok Bali adalah yang mengembara dari Pattani, Siam lalu meneroka penempatan berkenaan.

Kawasan tepi Pantai Tok Bali amat sesuai untuk sebarang aktiviti seperti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan memancing. Pantai ini sering menjadi tumpuan pengunjung terutama sempena cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu apatah lagi dengan pembinaan 'lebuh raya pantai' yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kota Bharu melalui jalan pantai.

Di antara kemudahan yang disediakan di Pantai Tok Bali seperti penginapan yang selesa, surau, pondok rehat, gerai makanan dan restoran, tandas dan tong sampah.

Turut disediakan untuk pengunjung bagi melakukan aktiviti berdekatan pantai pada malam hari ialah beberapa buah rumah penginapan berharga murah bagi orang ramai yang ingin menikmati dan menyaksikan suasana pada waktu malam di Tok Bali di samping memancing ikan di muara atau terusan Tok Bali.

Selain itu, pemandangan menarik di waktu siang hari juga boleh dinikmati di kawasan rumah api di mana kawasan berkenaan kaya dengan hembusan bayu yang menyegarkan, sesuai untuk aktiviti merakam gambar pemandangannya sambil santai-santai di sana.

Justeru, bagi anda yang mempunyai ruang masa atau untuk menenangkan fikiran dan jiwa yang resah, silalah berkunjung ke Pantai Tok Bali kerana di pantai berkenaan amat sesuai untuk itu dan anda akan lupa segala-galanya apabila berkunjung ke Pantai Tok Bali.

Replika bot nelayan, lambang dan mercu tanda Tok Bali.


Pemandangan Pantai Tok Bali.



Rumah api.

Pemandangan Jambatan Tok Bali dari arah Pantai Tok Bali.

Pemandangan dalam rhu di pesisir Pantai Tok Bali.

Rumah penginapan dan surau.


Gerai makanan di Pantai Tok Bali.

 Tandas.


 Pantai Tok Bali cantik, tetapi pencemarannya kerana sikap manusia yang suka membuang sampah merata-rata.

AKTIVITI KAMI

BAGI Penulis, inilah pertama kali menjejakkan kaki ke Pantai Tok Bali bersama keluarga. Kedatangan kami adalah untuk santai-santai sambil menyedut hembusan bayu di pantai berkenaan. Sambil duduk di tepi pantai, kami kemudiannya beredar menuju ke Rumah Api yang terletak di hujung benteng hakisan ombak dan kami bergambar kenangan di situ.





Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan