RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 11 April 2012

Misteri Makhluk Halus


MISTERI MAKHLUK HALUS

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  KAMPUNG KUBANG PALAS yang terletak dalam daerah Kota Kubang Labu, Wakaf Baharu, Kelantan adalah sebuah tempat yang agak panas, keras dan sering mengusik. Kampung ini pada masa dulu yang bersempadan dengan Kampung Padang Tok Ku dalam daerah yang sama adalah sebuah tempat persinggahan dan kawasan istana di zaman Kesultanan Raja Jembal. Akibat peperangan saudara di zaman lampau menyebabkan mayat yang bergelimpangan pada masa itu tidak diurus dengan sempurna sebagai penyebab beberapa kejadian jelmaan lembaga yang tidak berkepala sering mundar-mandir pada waktu malam, perempuan berjalan seorang diri di tengah malam, suara bayi misteri sedang menangis, jelmaan ular besar, lembaga sedang merempit dengan motosikalnya dan sebagainya sering dilihat oleh orang ramai yang lalu lalang di laluan berkenaan.

Walaupun kejadian tersebut telah lama berlalu, namun makhluk halus tidak mengenal zaman kerana mereka akan muncul di mana-mana tempat. Di situ ada manusia, di situ jugalah tempatnya. Jika manusia mempunyai alam dan dunianya, maka makhluk halus mempunyai alam dan dunianya bahkan mereka sebenarnya berkongsi alam dengan manusia, hanya manusia tertentu yang dapat melihat jelmaan makhluk halus terbabit. Sejak peristiwa penemuan makhluk halus oleh beberapa penduduk kampung terbabit, menyebabkan keadaan pada waktu malam di kampung berkenaan menjadi lengang. Penduduk di kawasan terbabit tidak lagi betah untuk berjalan malam apatah lagi jika sampai waktu pagi kerana jelmaan makhluk halus sering muncul di waktu-waktu berkenaan di kampung tersebut.

Salah seorang mangsa yang sering kali melihat jelmaan makhluk halus di kawasan terbabit yang sempat ditemui Penulis pada malam 10 April, 2012 baru-baru ini, Mohd. Kamal Bahrin bin Ibrahim, 48, berkata, jelmaan makhluk halus bukan sahaja berlaku di kawasan-kawasan berkenaan namun di rumahnya sendiri pernah beberapa kali berlaku kejadian yang menyeramkan bulu romanya setiap kali kejadian itu berlaku. Beliau yang membawa Penulis ke tempat kejadian memang berasa seram kerana pernah bertembung dengan makhluk yang dimaksudkan sebelum ini.

Menurutnya, tiga hari yang lalu rumahnya telah dimasuki seekor ular sawa batik yang agak besar berwarna hitam pekat. Beliau yang agak terkejut dengan bentuk fizikal ular tersebut yang agak luar biasa tidak dapat berbuat apa-apa tetapi sekadar membiarkan ular tersebut menyusur masuk kemudiannya keluar dari rumahnya lalu ghaib. Bahkan di kawasan belakang rumahnya, beberapa kali berlaku kejadian yang menakutkan tetapi beliau tidak melayaninya kerana setahunya hal terbabit sememangnya permainan makhluk halus. Apabila ditanya apakah tempat yang dimaksudkan di belakang rumahnya, beliau menjelaskan kawasan itu adalah perkampungan makhluk halus.

"Banyak tempat di kawasan rumah saya ini menjadi laluan dan persinggahan makhluk halus. Contohnya, sebatang lorong sebelah kanan rumah ini, saya sering melihat seorang tua sedang berdiri betul-betul di tengah lorong.

"Bahkan, kadang-kadang makhluk halus itu melalui lorong terbabit terus menuju ke arah rumah ini lalu ghaib di hujungnya", jelasnya.

Tambahnya, beberapa malam yang lalu beliau dan beberapa penduduk kampung berkenaan sering mendengar suara misteri seperti bayi sedang menangis di sebatang lorong laluan penduduk kampung terbabit. Apabila dilihat, memang tidak kelihatan makhluk halus terbabit, namun tangisan bayi yang dimaksudkan semakin jelas apabila hari semakin larut.

Penulis kemudiannya dibawa oleh Kamal ke sebatang Lorong Ustaz Taib di hadapan kediaman rumah Ustaz Taib iaitu seorang imam sebuah surau di kampung berkenaan. Ramai penduduk yang melalui jalan utama di kampung berkenaan yang pernah terserempak dengan lembaga tanpa kepala yang sering mundar-mandir di kampung berkenaan.

"Paling menyeramkan, Ustaz Taib sendiri pernah menegur lembaga tanpa kepala itu. Sangkanya manusia betul. Ustaz Taib kata, beliau bagaikan nak pengsan melihat lembaga tersebut", katanya.

Mohd. Kamal Bahrin juga memberitahu, sebatang lorong sempit di kampung terbabit sering menjadi tempat makhluk halus menjelma di kawasan terbabit. Tempat yang dimaksudkan ialah di bawah pohon rimbun di mana pohon berkenaan mempunyai beberapa kuntum bunga. Kejadian penduduk yang terserempak dengan lembaga yang sedang berdiri di tepi lorong itu bukan perkara baru sejak dulu tetapi turut dialami oleh beberapa penduduk di kampung terbabit. Lorong yang dimaksudkan itu kini menjadi lengang setiap kali malam menjelma kerana penduduk di kawasan itu bimbang bertembung dengan makhluk halus itu jika masih keluar malam lagi.

Selepas itu, Penulis ditunjukkan oleh Mohd. Kamal Bahrin tentang sebatang lorong masuk ke arah pohon-pohon kelapa yang menyeramkan. Salah seorang mangsa, Ariffin Awang iaitu seorang jurutera JKR pernah diusik di kawasan itu.

Penulis kemudiannya dibawa ke sebuah Kubur Ganja yang terdapat di Kampung Kubang Palas itu. Beberapa kejadian yang menakutkan pernah terjadi sebelum ini, apabila seorang suri rumah yang melalui kawasan berkenaan untuk mengambil anaknya di sekolah turut ditumpang oleh langsuir. Bahkan kejadian terbaru minggu lalu apabila salah seorang mangsa yang baru pulang pada jam 12.00 malam tiba-tiba tekaknya berasa haus. Melihat ada penjaja air di tepi laluan itu pada waktu berkenaan, beliau memberhentikan kenderaannya lalu membeli sebungkus air batu. Tetapi dengan tiba-tiba, air tersebut berderai seperti air sawah yang kotor dan penjual terbabit juga terus ghaib.

Malahan menurut Mohd. Kamal Bahrin bahawa, satu kejadian nahas ngeri pernah berlaku di sebatang selekoh masuk ke Kampung Kubang Palas itu. Dalam kejadian nahas itu, penunggang motosikal terbabit menemui ajalnya di tempat kejadian. Sejak itu, kejadian jelmaan makhluk yang menyerupai penunggang motosikal terbabit amat menakutkan.

Justeru, amat jelas makhluk halus boleh menjelma dalam pelbagai bentuk untuk tujuan mengusik dan mengganggu manusia. Bagi manusia yang pernah terserempak dan melihatnya pasti tidak akan berharap untuk melihatnya buat kali kedua. Jadi, kejadian gangguan semakin menjadi-jadi di Kampung Kubang Palas dan siapakah lagi mangsanya selepas ini? 

 
Mohd. Kamal Bahrin bin Ibrahim atau Kamal ketika ditemui Penulis di rumahnya.

Inilah rumah kediamannya.

Jelmaan orang tua sering muncul di kawasan lorong masuk ke rumah Kamal.

Di belakang rumahnya adalah penempatan makhluk halus, di sinilah jelmaan ular sawa batik berwarna hitam menyusur masuk ke dalam rumahnya. Ketika rakaman foto pada 10.4.2012 didapati kepulan asap keluar di kawasan terbabit sebagai bukti wujudnya makhluk berkenaan.

Jelmaan makhluk seperti manusia sering berdiri dan melalui lorong ini ke rumahnya yang terletak di hujung.

Foto pertama (Lampu Kamera): Misteri suara bayi menangis sering didengari di sini.

 Foto kedua (infra-red): Kelihatan seperti lembaga perempuan (dalam bulatan merah) di tengah jalan iaitu di tempat yang sama.

Lembaga tanpa kepala sering mundar-mandir di laluan rumah Imam Surau, Ustaz Taib di kampung terbabit.

Di sinilah lembaga tanpa kepala bertenggek yang pernah ditegur oleh Ustaz Taib.

Lembaga tanpa kepala itu juga sering mundar-mandir di sebatang lorong di kawasan perumahan ini.

Lembaga orang tua sering berdiri di tepi lorong ini.


Inilah lorong pohon kelapa, arah masuk ke rumah Ariffin Awang. Beliau pernah diusik lembaga itu di sini.



Di hadapan Kubur Ganja: Di sinilah terdapatnya jelmaan seorang wanita tua sedang menjual air minum jam 12.00 malam. 

Kamal membawa Penulis ke Tanah Perkuburan Ganja tempat kejadian mangsa membeli air minum oleh lembaga perempuan tua.

 Nahas maut beberapa hari lalu. Jelmaan mangsa maut sering muncul di laluan utama di Wakaf Baharu ini.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan