BAHAYA RACUN PEROSAK
SELAIN manusia, haiwan, serangga, bukit dan gunung, tumbuh-tumbuhan seperti pokok, rumpai atau rumput-rampai juga adalah makhluk Allah. Mereka hidup dan mendapat habitatnya atas perintah Allah S.W.T juga. Tumbuh-tumbuhan tidak akan hidup jika tidak diizinkan oleh Allah untuk hidup. Makhluk ini banyak gunanya kepada manusia seperti untuk tujuan perubatan, kayu-kayunya boleh dijadikan kediaman dan sebagainya. Begitu jugalah dengan rumpai atau rumput-rampai yang hidup melata di tepi jalan sama ada di hadapan rumah, di belakang rumah atau di mana saja.
Rumpai bukan sahaja penyeri kepada alam tetapi juga amat akrab dengan pasangannya yang lain seperti air (hujan), udara dan tanah. Mereka adalah rakan yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Jika salah satunya rosak atau pincang, maka rakan-rakannya yang lain akan turut pincang dan rosak. Sebab itulah makhluk ini tidak boleh dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya.
Apabila ada tumbuh-tumbuhan seperti rumpai, mereka boleh menakung air di kawasan tersebut, wujudlah bakteria yang digunakan oleh tanah untuk menghasilkan baja seperti humas. Air hujan yang mengalir selebihnya itu akan ditakung ke dalam telaga yang diciptakan oleh Allah untuk kegunaan manusia juga.
Apakah risikonya apabila kesemua makhluk ini dimusnahkan terutamanya dengan penggunaan racun makhluk perosak oleh individu yang tidak bertanggungjawab? Racun adalah bahan pemusnah bukan sahaja serangga dan rumpai yang turut mati, haiwan dan manusia juga boleh mati jika terminumnya. Kalau manusia itu berfikir, racun boleh memusnahkan makhluk lain, fikirlah kepada diri manusia sendiri apakah natijahnya jika manusia terkena dan terminum racun. Tentunya manusia yang terminumnya, akan berada di atas katil wad hospital berminggu-minggu lamanya untuk tujuan merawat masalah tersebut. Kalau nyawa panjang, dapat hidup lebih lama, jika nyawa pendek ke lubang kubur juga sudahnya.
Dewasa ini, penggunaan racun menjadi kemestian untuk menghapuskan serangga mahupun rumpai dengan cara yang mudah. Beli racun, bancuh kemudian sembur sesuka hati. Hakikatnya, walaupun individu yang menggunakan racun tersebut menganggap tidak membahayakan dirinya sendiri, fikirlah kepada bahayanya kepada orang lain apatah lagi terhadap makhluk lain.
Justeru, amat jelas manusia berkenaan tidak menggunakan minda dan otaknya yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T untuk berfikir. Pihak kerajaan sepatutnya mengawal penggunaan racun makhluk perosak dan rumpai digunakan ke atas alam sekitar kerana ia boleh mendatangkan risiko dan memudaratkan air, udara, tanah dan kesihatan manusia sendiri. Penggunaan racun patut dihapuskan dan tidak dijual dalam negara. Kenapa tidak gunakan kaedah tradisi seperti merumput dan menggembur tanah kerana amalan seperti ini boleh menyihatkan badan sebagai suatu aktiviti senaman. Atau kalau mempunyai wang lebih gunakan mesin rumput yang dijangka lebih selamat.
Rumput ini disembur racun pada 11.4.2012.
Rumput ini mati disebabkan racun dan kepanasan matahari.
Foto ini dirakam di Kampung Bawah Lembah, Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan pada 13.4.2012.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan