RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 22 Februari 2012

Pemakaian Topi Keledar


PEMAKAIAN TOPI KELEDAR

TOPI KELEDAR adalah suatu alat yang dicipta khusus kepada golongan penunggang dan pembonceng motosikal sebagai suatu langkah keselamatan jika berlaku 'malang tidak berbau' iaitu nahas jalan raya. Menjadi suatu kewajipan bagi setiap penunggang dan pembonceng motosikal yang menunggang kenderaan dua roda itu untuk memakai topi keledar jika pemilik kenderaan berkenaan menggunakan jalan raya, sama ada di bandar mahupun di kampung.

Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Ordinan Lalu Lintas Jalan 1959 memperuntukkan, adalah menjadi satu kesalahan setiap penunggang motosikal mengabaikan pemakaian topi keledar apabila mereka menunggang motosikal. Dalam hal ini, amat jelas peruntukan undang-undang berkenaan sebenarnya bukan untuk menyusahkan golongan penunggang motosikal tetapi sebagai suatu jaminan terhadap keselamatan mereka apabila menggunakan motosikal di atas jalan raya.

Namun, sejak kebelakangan ini golongan remaja sama ada menggunakan motosikal sendiri mahupun motosikal pinjam dari rakan-rakannya, mereka menunggang kenderaan tersebut tanpa memakai topi keledar yang telah menjadi tanggungjawab mereka ketika berada di jalan raya. Golongan muda mudi misalnya dianggap cuai dan malas apabila mereka lebih selesa tanpa mengenakan topi keledar. Mereka tidak melihat risiko serius apabila enggan memakai topi keledar, apabila nahas hal utama yang dianggap 'nyawa' ialah kepala.

Apabila kepala tidak dikenakan topi keledar, apabila tersandung sesama sendiri ataupun dengan kenderaan empat roda, tentunya motosikal terbabas dan terbalik. Anggota utama yang pasti tidak dapat dikawal ialah 'kepala'. Apabila topi keledar dipakai di kepala, tentunya apabila motosikal yang ditunggang terbabas, risiko kepala yang terhantuk di atas jalan raya akan didapati kurang.

Sikap penunggang di kalangan muda mudi yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di jalan raya bukan sahaja mendatang risiko terhadap kepala dan nyawa, namun contoh yang ditunjukkan oleh mereka adalah tidak sepatutnya. Sepatutnya, mereka lebih sayangkan kepala dan nyawa daripada sayangkan wang ringgit untuk membeli sebuah topi keledar. Ini kerana, topi keledar boleh dibeli jika mengalami kerosakan, tetapi apabila kepala dan nyawa tidak dapat dibeli dengan wang ringgit yang banyak.

Jika tidak menemui ajal ketika berlakunya nahas, sudah tentu menderita seumur hidup dan pada masa itu wang ringgit yang banyak amat diperlukan untuk menyempurnakan rawatan. Tetapi hakikatnya sudah terlambat, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Apabila tubuh telah terlantar di katil hospital, suatu kesalan pasti wujud dan menyesal ketika ini tidak lagi berguna. Justeru, sebelum nyawa di hujung tanduk, berfikirlah semasak-masaknya, kerana orang yang berfikir untuk menyelamatkan nyawa lebih baik daripada menyusahkan hidup dalam derita akibat sikap dan pemikiran yang cetek.


   

Remaja begitu selesa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, mereka sebenarnya berhadapan dengan risiko keselamatan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 19 Februari 2012

Awan Kalimah Allah


AWAN KALIMAH ALLAH

PASIR MAS, KELANTAN:  KALIMAH Allah ada di mana-mana, hanya individu yang sering memerhatikannya malah telah menemuinya akan sedia maklum tentang itu. Sama ada Allah S.W.T  ingin menunjukkan kebesaran-Nya kepada individu terlibat, boleh jadi sebagai petanda individu itu adalah seorang berhati mulia yang dikasihi Allah, mungkin juga sebagai sebab dan musababnya Allah ingin memperlihatkan kekuasaan-Nya juga.

Kejadian wujudnya kalimah Allah terbentuk di awan putih pada 11 Mac, 2009 jam 3.30 petang ketika itu menggamit pengalaman Abdullah Abdul Sattar, 36, di bengkel mencuci kenderaan miliknya yang terletak di Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan apabila beliau secara tidak sengaja atau secara 'kebetulan' terakam kalimah suci itu menggunakan telefon bimbit jenis Sony Ericsson yang baru dibelinya.

Menceritakan pengalaman berharga itu kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh, Abdullah yang menetap di Jalan Masjid Lati dekat sini berkata, pada masa kejadian cuaca pada hari itu agak panas, manakala langit pula amat terlalu cerah dan cantik mata memandang untuk menunjukkan tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Ketika beliau merakam kalimah itu, tidak terasa pun tiupan angin sebagaimana selalu malahan keadaan awan juga sedikit pun tidak berganjak dari tempatnya, justeru menurutnya pemandangan agak jelas dan sesiapa yang mendongak ke atas pada waktu itu kelihatannya langit membiru dan segar mata memandang.

Katanya, tujuan asalnya adalah semata-mata untuk merehatkan badan dalam usaha untuk menghilangkan rasa penat buat seketika kerana berterusan melayani pelanggan yang bertandang tidak putus-putus ke bengkelnya sejak pagi. Oleh kerana pada masa itu semua pelanggannya telah pulang, bengkelnya agak lengang seketika, jadi kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk santai-santai sahaja.

Dengan menghamparkan sekeping papan lusuh untuk berehat di anjung sebuah bangunan terbiar berhampiran bengkelnya itu, beliau mencuba menggunakan teknologi telefon bimbit berkamera yang baru dibelinya. Pada mulanya beliau hanya merakam beberapa batang pohon kelapa berdekatan dengan bengkelnya diikuti beberapa batang tiang elektrik dan selepas itu beliau turut merakam gambar awan putih yang agak cantik untuk membandingkan gambar-gambar tersebut.

"Banyak gambar telah saya rakam. Pada mulanya saya ingin membuangnya kerana menganggapnya tidak begitu penting.

"Dalam banyak keping gambar yang saya rakam, salah seorang rakan saya turut memerhatikan gambar yang saya buang. Rakan saya itu terpandang sekeping gambar agak pelik dan luar biasa. Setelah diteliti, kami dapati awan putih itu membentuk kalimah Allah. Yang lain-lainnya mungkin kalimah Allah juga tetapi agak kecil, kecuali yang satu itu", ujar Abdullah.

Menurutnya, beliau tidak dapat menjelaskan hakikat sebenar, kenapa beliau diberi kesempatan melihat dan merakam kalimah tersebut. Mungkin juga Allah ingin menunjukkan kebesaran-Nya kepada manusia supaya setiap hamba-hamba-Nya sentiasa berfikir tentangnya.

Setakat ini menurut Abdullah, sudah agak ramai yang mengetahui kalimah Allah itu ada padanya. Ada di antara pelanggannya yang memintanya supaya memindahkan dari telefon bimbitnya. Beliau sebenarnya tidak keberatan untuk berbuat demikian kerana menganggap memperlihatkan gambar tersebut kepada umum sebagai sebahagian dari dakwah juga di samping mendidik hati serta menambahkan pengalaman kerana betapa sukarnya untuk merakam kalimah suci itu jika tidak diberikan kesempatan atau jika tidak diizinkan oleh Allah untuk melihatnya.

Justeru, beliau akan terus menyimpan kalimah suci tersebut sampai bila-bila kerana berkemungkinan ia berguna pada suatu masa nanti, walaupun beliau tidak mengetahui apakah manfaat di sebaliknya.

Abdullah Abdul Sattar.

Abdullah Abdul Sattar ketika ditemubual Penulis.

Di tempat dan di atas papan inilah beliau berbaring sambil merakam gambar langit dan awan putih.

Abdullah sedang menunjukkan ke langit, tempat kalimah Allah itu dirakam.

Inilah kalimah Allah (anak panah) yang berjaya dirakam dengan jelas.

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Nahas Jalan Raya


NAHAS JALAN RAYA

MALANG memang tidak berbau. Nahas jalan raya pasti berlaku jika wujudnya kecuaian. Sama ada berlakunya kecederaan dan maut di tempat kejadian, kita jangan lupa bahawa nyawa dianggap paling berharga daripada harta benda dan makanan enak jika kita masih hidup, tetapi apabila berlakunya kemalangan setiap mangsa pastinya akan lupa hal itu. Sewajarnya berhati-hati di jalan raya atau 'anda pasti boleh mengubahnya' adalah sebagai pepatah hidup yang boleh mendidik pemandu-pemandu kenderaan supaya mematuhi segala peraturan jalan raya untuk mengelakkannya daripada tragedi kemalangan maut.

Hari ini, nahas jalan raya yang boleh meragut nyawa semakin membimbangkan semua pihak. Pihak keluarga akan kehilangan orang yang tersayang sama ada suami atau isteri, tunang mahupun ibu dan ayah jika kecuaian itu diletakkan di tempat yang paling utama. Kita sebenarnya boleh berhati-hati di jalan raya jika kita mahu seperti memohon perlindungan daripada Allah S.W.T  untuk menyelamatkan perjalanan yang panjang, tidur yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan supaya mental dan fizikal kita dalam keadaan sihat dan segar, selalu memastikan kenderaan yang akan dipandu dalam keadaan sempurna, memandu secara berhemah, sentiasa menumpukan perhatian kepada aspek pemanduan, memandu secara perlahan dan bukannya secara terburu-buru sama ada ingin cepat sampai ataupun berlumba, elakkan memandu sambil makan dan minum atau menggunakan telefon bimbit, elakkan memotong di garisan berkembar atau apabila kenderaan lain beratur panjang dan sebagainya.

Berdasarkan statistik Ops Sikap XIII hingga Ops Sikap XXII 2011 yang dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik, Bukit Aman berhubung kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian di negara ini turut mencatatkan peningkatan yang agak membimbangkan. Misalnya dalam Ops Sikap XIV 2007 (jumlah nahas: 14,930 dan kematian 207 kes), Ops Sikap XVI 2008 (jumlah nahas: 14,991 dan kematian 190 kes), Ops Sikap XVI 2009 (jumlah nahas: 14,618 dan kematian 212 kes), Ops Sikap XXI 2010 (jumlah nahas: 14,183 dan kematian 201 kes) manakala Ops Sikap XXII 2011 (jumlah nahas: 17,288 dan kematian 199 kes).

Penulis seringkali melihat kejadian nahas jalan raya setiap kali ingin membuat liputan berita. Sama ada mangsa adalah penunggang maotosikal apabila bertembung dengan kenderaan dari arah yang bertentangan atau sebagainya, kejadian nahas berkenaan membawa padah jika kecuaian dan sikap tidak berhati-hati semasa berada di jalan raya diletakkan di tempat yang utama.
Kemalangan sebenarnya dapat dielakkan jika semua pihak bertimbangrasa dan berhemah semasa berada di jalan raya. Amalan memandu secara terburu-buru bukan budaya kita kerana sikap sedemikian boleh mengundang padah. Apatah lagi, jika memandu dalam keadaan mengantuk menjadi penyebab kepada nahas ngeri itu. Dalam hal ini, berhati-hatilah di jalan raya, sayangilah nyawa anda dan ingatlah orang yang tersayang. "Anda boleh mengubahnya".

Sumber: Statistik Ops Sikap XIV 2007 - XXII 2011,
                                                       Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik, Bukit Aman.





Mangsa nahas, seorang penunggang motosikal.


Nahas ini berlaku di Jalan Bunut Payong, Kota Bharu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 18 Februari 2012

Tempat Gian Dadah


TEMPAT GIAN DADAH

PASIR MAS, KELANTAN:  AKTIVITI yang dianggap tidak sihat dan menyalahi undang-undang lazimnya dilakukan secara diam dan tersembunyi. Pelakunya pula melakukannya secara senyap untuk tidak diketahui oleh orang lain yang tinggal berdekatan kerana bimbang diserbu oleh pihak berkuasa. Lantas golongan berkenaan akan membuat perjumpaan di tempat tersembunyi terutamanya di dalam kawasan hutan belukar dan biasanya dilakukan pada waktu malam hari sehingga waktu pagi kerana pada masa berkenaan penduduk di kawasan terlibat sedang nyenyak tidur.

Sememangnya aktiviti golongan berkenaan agak licik dan salah satu tempat yang selalu menjadi tumpuan ialah sebuah rumah kosong yang terletak dalam kawasan hutan dan semak-samun yang telah lama ditinggalkan oleh pemiliknya di Kampung Belukar Aur Cina dekat sini. Walaupun rumah berkenaan telah dirobohkan sebahagian bumbung dan lantainya, namun bagi golongan yang giankan najis dadah tidak mempedulikan hal itu. Mereka sanggup menjadi keldai dadah semata-mata keuntungan yang berlipat kali ganda apatah lagi dapat melepaskan gian terhadap bahan berbahaya itu.

Walaupun tempat najis dadah berkenaan memang diketahui umum di kampung itu, namun sebilangannya tidak ingin membuka mulut kerana bimbang diapa-apakan. Keadaan ini disebabkan golongan berkenaan mempunyai 'kaki' yang boleh memberikan isyarat kepada ahli-ahlinya untuk segera beredar atau melarikan diri sekiranya diketahui oleh pihak berkuasa.

Sebuah kawasan yang dulunya menjadi tempat muda mudi berpesta seks dan melakukan maksiat sambil melepaskan gian dadah, kini telah bertukar sepenuhnya menjadi tempat perjumpaan golongan gian dan keldai dadah. Walaupun pada masa itu kampung berkenaan sering menjadi pertempuan banyak mata golongan keldai dadah, kini pertemuan berkenaan dilakukan hanya seminggu sekali. Lazimnya pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana biasa yang berlangsung di sebelah petang yang kebanyakannya dihadiri golongan penunggang motosikal.

Kini, sebuah rumah yang sering menjadi tempat pertemuan melepaskan gian bahan itu di kampung berkenaan telah dirobohkan kerana pemiliknya telah meninggal dunia, namun pertemuan sekali-sekala itu terus berlaku walaupun tidak sekerap dulu.



Rumah kosong ini terletak dalam semak-samun menjadi kegemaran golongan yang giankan dadah.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 17 Februari 2012

Kumpul Wang Lama


KUMPUL WANG LAMA

TUMPAT, KELANTAN:  LAIN padang lain belalang, lain orang lain pula hobi dan kegemarannya. Ternyata hobi mengumpul dan menyimpan wang lama menjadikan seseorang itu akan sentiasa prihatin terhadap harta benda sama ada miliknya sendiri ataupun daripada pemberian orang lain, malah individu berkenaan akan sentiasa berhati-hati dalam kehidupan harian. Sikap individu seumpama ini tentunya lahir dari hati yang tulus dan ikhlas akan menjadikannya lebih peka terhadap semua perkara.

Hobi mengumpul wang lama adalah aktiviti sihat sebagai pekerjaan santai-santai sambil melakukan aktiviti lain yang juga dianggap berfaedah. Begitulah halnya yang ditunjukkan oleh seorang pengumpul wang lama yang juga warga emas, Abdullah bin Che Ibrahim, 57, atau lebih dikenali sebagai Paksu Llah dari Kampung Sungai Pinang, Palekbang, Tumpat, Kelantan.

Katanya, beliau berminat dan telah menjadikan hobi sepenuhnya sejak berusia 15 tahun iaitu ketika masih di bangku persekolahan dalam Tingkatan Tiga lagi. Ia bertitik tolak daripada minat yang ditunjukkan oleh ibunya yang juga seorang pengumpul wang lama.

"Paksu mula mengumpul wang lama ini sejak berusia 15 tahun lagi. Sebab, terlalu sukar untuk mencari wang lama kalau tidak dikumpul dari awal. Kalau dapat pun, tentunya dalam cetakan baru.
"Hobi dan dorongan kuat mungkin dari sifat ibulah, sebab dia pun peminat wang lama juga", katanya ketika ditemui Penulis di warung kopi miliknya itu.

Menurutnya, kebanyakan wang lama tersebut dikumpulnya hasil pemberian daripada rakan-rakan yang mengenalinya seperti Timbalan Menteri Besar Kelantan sekarang, Y.A.B Datuk Haji Ahmad Yaakob serta rakan akrabnya yang hanya dikenali sebagai Yie yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Tambahnya, rakan-rakannya itu memintanya untuk menyimpan wang yang dimaksudkan kerana mengenali beliau salah seorang yang agak cermat dan bimbang akan hilang jika dijaga sendiri. Malahan tidak kurang juga, Paksu Llah mengusahakannya dengan mencarinya sendiri dengan memperolehinya daripada orang ramai termasuk jiran-jiran terdekat yang masih memiliki wang lama tersebut.

Selain rakan-rakan dan jiran-jirannya, tidak kurang juga wang lama tersebut diberikan oleh beberapa orang pelanggannya yang mengenalinya apabila terpandang beberapa koleksi simpanan wang lama yang terpampang di dinding warung kopinya itu. Mereka dengan ikhlas hati meminta beliau menyimpannya dan menghadiahkannya sebagai kenangan tanpa dikenakan sebarang bayaran atas dasar persahabatan dan menghargai minat yang ditunjukkan oleh Paksu Llah berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan wang lama yang dikumpulnya adalah dari luar negara seperti dari Jepun, Amerika Syarikat, England, Filipina, Indonesia, Thailand, selain wang ringgit Malaysia dalam bentuk ($) dan sebagainya.

Apabila ditanya tentang hasratnya untuk mengumpulnya secara besar-besaran, beliau berkata, usaha dan minat ke arah itu memang wujud dalam dirinya, namun beliau bimbang cita-cita tersebut terbantut.
"Usaha untuk memperbesarkan minat mengumpul wang lama ini memang ada. Tetapi bimbang tidak kesampaian, sebab banyak perkara yang perlu dilakukan", ujarnya.

Selain wang kertas lama yang terpampang di dinding warung kopinya itu, terdapat wang syiling hasil pemberian ibunya sendiri yang seolah-olah menggalakkan minatnya sejak awal turut dipampang di tempat yang sama.

Sambungnya, berita tentang minat beliau seorang pengumpul wang lama bukan sahaja sudah tersebar luas dan telah diketahui oleh penduduk-penduduk di kampung tersebut termasuk jiran-jirannya sendiri, namun ramai juga penduduk dari luar Kelantan yang telah mengetahui minatnya itu apabila telah dimuatkan dalam beberapa akhbar tempatan.

"Paksu sanggup menjual wang kertas lama dari luar negara jika ada yang berminat membelinya dengan harga yang tinggi. Ini adalah rezeki keluarga Paksu", katanya apabila diminta komen sekiranya ada peminat yang ingin membelinya dengan harga yang sewajarnya.

Justeru, hobi mengumpul wang lama adalah aktiviti berfaedah sebagai riadah untuk mendidik jiwa untuk sentiasa menyayangi harta milik sendiri terutamanya yang sukar dicari selain menghargai pemberian orang lain. Itulah hati dan jiwa tentunya akan sentiasa tenang dan berasa puas apabila hasrat untuk mewujudkannya sebagai cita-cita tercapai.

Abdullah Che Ibrahim atau Paksu Llah.

Paksu Llah ketika ditemubual Penulis di warung kopi miliknya.




Inilah beberapa contoh wang kertas lama dan syiling yang sempat dikumpul oleh Paksu Llah.

Teks dan Foto:
  AZMI MOHD. SALLEH