AWAN KALIMAH ALLAH
PASIR MAS, KELANTAN: KALIMAH Allah ada di mana-mana, hanya individu yang sering memerhatikannya malah telah menemuinya akan sedia maklum tentang itu. Sama ada Allah S.W.T ingin menunjukkan kebesaran-Nya kepada individu terlibat, boleh jadi sebagai petanda individu itu adalah seorang berhati mulia yang dikasihi Allah, mungkin juga sebagai sebab dan musababnya Allah ingin memperlihatkan kekuasaan-Nya juga.
Kejadian wujudnya kalimah Allah terbentuk di awan putih pada 11 Mac, 2009 jam 3.30 petang ketika itu menggamit pengalaman Abdullah Abdul Sattar, 36, di bengkel mencuci kenderaan miliknya yang terletak di Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan apabila beliau secara tidak sengaja atau secara 'kebetulan' terakam kalimah suci itu menggunakan telefon bimbit jenis Sony Ericsson yang baru dibelinya.
Menceritakan pengalaman berharga itu kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh, Abdullah yang menetap di Jalan Masjid Lati dekat sini berkata, pada masa kejadian cuaca pada hari itu agak panas, manakala langit pula amat terlalu cerah dan cantik mata memandang untuk menunjukkan tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Ketika beliau merakam kalimah itu, tidak terasa pun tiupan angin sebagaimana selalu malahan keadaan awan juga sedikit pun tidak berganjak dari tempatnya, justeru menurutnya pemandangan agak jelas dan sesiapa yang mendongak ke atas pada waktu itu kelihatannya langit membiru dan segar mata memandang.
Katanya, tujuan asalnya adalah semata-mata untuk merehatkan badan dalam usaha untuk menghilangkan rasa penat buat seketika kerana berterusan melayani pelanggan yang bertandang tidak putus-putus ke bengkelnya sejak pagi. Oleh kerana pada masa itu semua pelanggannya telah pulang, bengkelnya agak lengang seketika, jadi kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk santai-santai sahaja.
Dengan menghamparkan sekeping papan lusuh untuk berehat di anjung sebuah bangunan terbiar berhampiran bengkelnya itu, beliau mencuba menggunakan teknologi telefon bimbit berkamera yang baru dibelinya. Pada mulanya beliau hanya merakam beberapa batang pohon kelapa berdekatan dengan bengkelnya diikuti beberapa batang tiang elektrik dan selepas itu beliau turut merakam gambar awan putih yang agak cantik untuk membandingkan gambar-gambar tersebut.
"Banyak gambar telah saya rakam. Pada mulanya saya ingin membuangnya kerana menganggapnya tidak begitu penting.
"Dalam banyak keping gambar yang saya rakam, salah seorang rakan saya turut memerhatikan gambar yang saya buang. Rakan saya itu terpandang sekeping gambar agak pelik dan luar biasa. Setelah diteliti, kami dapati awan putih itu membentuk kalimah Allah. Yang lain-lainnya mungkin kalimah Allah juga tetapi agak kecil, kecuali yang satu itu", ujar Abdullah.
Menurutnya, beliau tidak dapat menjelaskan hakikat sebenar, kenapa beliau diberi kesempatan melihat dan merakam kalimah tersebut. Mungkin juga Allah ingin menunjukkan kebesaran-Nya kepada manusia supaya setiap hamba-hamba-Nya sentiasa berfikir tentangnya.
Setakat ini menurut Abdullah, sudah agak ramai yang mengetahui kalimah Allah itu ada padanya. Ada di antara pelanggannya yang memintanya supaya memindahkan dari telefon bimbitnya. Beliau sebenarnya tidak keberatan untuk berbuat demikian kerana menganggap memperlihatkan gambar tersebut kepada umum sebagai sebahagian dari dakwah juga di samping mendidik hati serta menambahkan pengalaman kerana betapa sukarnya untuk merakam kalimah suci itu jika tidak diberikan kesempatan atau jika tidak diizinkan oleh Allah untuk melihatnya.
Justeru, beliau akan terus menyimpan kalimah suci tersebut sampai bila-bila kerana berkemungkinan ia berguna pada suatu masa nanti, walaupun beliau tidak mengetahui apakah manfaat di sebaliknya.
Abdullah Abdul Sattar.
Abdullah Abdul Sattar ketika ditemubual Penulis.
Di tempat dan di atas papan inilah beliau berbaring sambil merakam gambar langit dan awan putih.
Abdullah sedang menunjukkan ke langit, tempat kalimah Allah itu dirakam.
Inilah kalimah Allah (anak panah) yang berjaya dirakam dengan jelas.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan