RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 6 Februari 2012

Maruah Gadis Melayu


MARUAH GADIS MELAYU

BEGITU seronok remaja-remaja Melayu menconteng arang ke muka kedua ibu bapa mereka. Bahkan paling jelas ialah mencemarkan imej bangsa Melayu apabila ada di kalangan remaja-remaja Melayu sama ada lelaki mahupun perempuan yang begitu bernafsu melakukan perbuatan terkutuk atas nama keseronokan dan kebebasan. Mereka sanggup menunaikan desakan nafsu syaitan dengan melakukan persetubuhan haram dan penzinaan.

Atas nama pembangunan mapan, remaja-remaja perempuan kini tidak lagi bimbang 'daranya' yang menjadi 'mahkota suci' sebagaimana yang dipertahankan dan dibanggakan oleh orang-orang tua zaman lampau, tetapi kini status dara tidak lagi begitu penting kepada golongan gadis-gadis remaja.

Mereka bukan sahaja sanggup membonceng di belakang motosikal teman lelaki sambil berpelukan, meraba dan memberikan kerelaan untuk dibawa ke mana sahaja oleh teman lelaki kononnya atas nama 'cinta'. Kerana cinta, mereka sanggup menyerahkan tubuh dan mahkota kegadisan kepada teman lelaki masing-masing. Walaupun terdapat sesetengah di kalangan teman lelaki mereka yang tidak jujur untuk meratah 'daging gebu' bersama-sama rakan-rakan lelaki yang lain, tetapi gadis-gadis yang dianggap mangsa tidak bimbang mahkota kegadisannya diragut kerana telah mendapat keseronokan nafsu.

Berbanding dengan gadis-gadis remaja zaman dahulu yang sanggup mati untuk mempertahankan dara masing-masing dan begitu perit jika hal ketiadaan dara diketahui oleh kedua orang tuanya terutamanya bapa mereka. Ini bertolak dari sikap tegas orang-orang tua zaman dahulu, walaupun mereka tidak mempunyai pendidikan tinggi malah dianggap 'jahil', namun mempertahankan maruah anak-anak gadis mereka adalah perkara utama untuk menunjukkan orang-orang tua zaman dahulu begitu mengambil berat terhadap gerak-geri anak-anak gadis mereka.

Namun, bagaimana pula dengan sikap orang-orang tua di zaman ini yang dikatakan berpendidikan tinggi, kaya dan berada, arif dengan undang-undang dan sebagainya. Jika diperhatikan, untuk mempertahankan anak-anak gadis mereka dari menjadi mangsa nafsu buas buaya-buaya darat hanya sekadar mencurahkan air di daun keladi semata-mata.

Berita negatif gadis-gadis Melayu yang terjebak dalam kancah seks bebas, berpeleseran sebagaimana yang dilaporkan media semakin membimbangkan. Sesetengah di kalangan mereka yang mabuk kerana minum arak, pil kuda, merokok, berpakaian ketat dan menjolok mata, masuk kelab-kelab malam, pesta seks sehingga kepada melakukan persetubuhan haram sering dipaparkan setiap hari di dada-dada akhbar. Bahkan ada yang terlibat dengan VCD lucah dan video dalam telefon bimbit lucah seperti asam garam bagi gadis-gadis remaja kini.

Kalau sebelum ini pernah digemparkan dengan cerita di Lubuk Tupah. Malah ada remaja-remaja kita yang sanggup dan begitu berani melempiaskan nafsu seks di tangga sebuah stesen pengangkutan awam di pusat ibu kota di Kuala Lumpur. Adengan seks berkenaan kemudiannya disebarkan secara meluas melalui teleon bimbit 3gp dan MMS serta internet malah ia turut dimuat turun dan disalin ke dalam cakera padat video (VCD) yang boleh ditonton pula melalui komputer dengan menggunakan perisian tertentu.

Aksi gadis-gadis Melayu terlibat dengan seks bebas dan murahan tidak habis setakat itu sahaja kerana mereka juga menjadi pertaruhan oleh kumpulan "mat rempit". Teman wanita ketua-ketua mat rempit boleh dibawa ke mana sahaja sekalipun untuk ditiduri jika pertaruhan mereka dalam perlumbaan motosikal haram mendapat kekalahan.

Gadis-gadis berkenaan dianggap murah kerana kesanggupan mereka untuk turut serta dalam kumpulan yang tidak berguna dan membazir masa. Jika mereka berfikiran waras, mereka tidak sewajarnya mencampuri urusan kegiatan mat rempit yang menyesakkan jalan raya dengan berlumba motosikal yang ternyata boleh mengganggu lalu lintas jalan.

Mungkin banyak lagi aktiviti tersembunyi anak-anak gadis kita sama ada masih sekolah dan yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta, misalnya yang turut terlibat dengan aktiviti menggadai maruah ini. Kononnya atas alasan untuk membayar yuran pelajaran, sanggup mahkota kegadisan diserahkan kepada lelaki hidung belang yang membayar harga tinggi dan diberikan telefon bimbit percuma supaya mudah dihubungi atau diberikan sebiji 'burger' sebagai bayaran melempiaskan nafsu terhadap gadis-gadis yang sanggup berbuat demikian.

Mereka sebenarnya tidak ada menyimpan perasaan malu. Ini kerana, bukan sahaja mendapat wang yang sentiasa menjadi 'kegilaan' manusia yang bernama perempuan, namun dalam masa yang sama mereka tidak lagi mementingkan mahkota kegadisan mereka diragut oleh buaya-buaya darat. Asalkan mereka sanggup disayangi dan menjadi buah hati si pemuda yang dicintai, dalam bangsal buruk, dalam tandas, di tepi jalan dan sekalipun di tempat-tempat terbuka, desakan nafsu perlu diturutkan asalkan kedua-dua pihak 'suka sama suka' bahkan sanggup pula dirakam melalui kamera video dan telefon bimbit.

Disebabkan tidak ada perasaan malu juga, gambar-gambar seksi dan sesetengahnya 'seksa' seperti melakukan persetubuhan haram dengan lelaki sanggup disebarkan melalui internet untuk ditonton oleh jutaan pelayar web lucah kononnya wajah mereka yang cantik, glamour ataupun tubuh badan mereka yang seksi lagi menggiurkan itu perlu dipertontonkan kepada umum untuk menyatakan merekalah gadis yang paling seksi yang perlu disaksikan oleh mata lelaki.

Apabila gambar-gambar berkenaan disebarkan di internet, foto yang dipaparkan di beberapa laman sesawang berkenaan dalam keadaan seksi itu tentunya dibuat salinan dan mereka pula yang menjadi virus untuk disebarkan pula kepada orang lain.

Dalam hal ini, adakah gadis-gadis Melayu sekarang dianggap terlalu murah? Di manakah sifat sebagai gadis Melayu sewaktu ketika dulu yang sememangnya dipertahankan oleh orang-orang tua supaya anak-anak gadis mereka sentiasa dalam keadaan suci, untuk bertemu bakal tunang pun memang sukar, apatah lagi untuk diusung ke sana ke mari sehingga melakukan perbuatan terkutuk jika dibandingkan dengan zaman ini? 

Mungkin kita pernah mendengar lagu 'Gadis Melayu' memang menawan untuk menunjukkan pujian terhadap gadis-gadis Melayu yang dianggap cantik dan mempesonakan jika dibandingkan dengan tingkah laku sedemikian rupa?

Kita sedia maklum, gadis-gadis zaman lampau amat pemalu tetapi bagaimana pula dengan perangai gadis-gadis sekarang yang dianggap tidak lagi pemalu, bebas bertemu dengan lelaki yang bergelar buaya darat. Paling menyedihkan, ada di antara mereka yang sanggup mempertontonkan gambar-gambar bogel sedemikian malah telah melakukan persetubuhan haram yang sememangnya diharamkan di dalam Islam. Mereka bukan sahaja mencemarkan maruah orang-orang Melayu, sebaliknya mencabar kesucian Islam yang turut mempertahankan kaum Hawa dari diperalatkan oleh golongan tertentu.

Islam memandang tinggi kaum perempuan jika di antara mereka dapat menjaga kehormatan dan maruah diri, keluarga dan agama Islam. Sebaliknya hari ini, mereka sendiri sengaja mendedahkan keaiban sifat-sifat pemalu wanita malah sanggup pula dinodai kerana inginkan kemewahan dan keseronokan yang sementara.

Di mana-mana pun bukan sahaja gadis-gadis remaja tidak lagi berjaya mewujudkan nilai sopan santun dan budi bahasa dengan taraf mereka sebagai seorang gadis yang menjadi kebanggaan ibu bapa jika dilihat kepada perkembangan moral mereka hari ini. Berpakaian ketat dan menjolok mata menjadi perkara biasa tanpa ada undang-undang untuk mencegah gadis-gadis beragama Islam supaya mengenakan 'busana' atau pakaian mereka secara sopan dan sejuk mata memandangnya. Sebaliknya, mereka lebih selesa mendedahkan kepada lelaki hidung belang malah ada di antaranya yang lebih suka menjadi "gro" dan "pelacur" sama ada bertaraf amatur mahupun profesional.

Dalam konteks ini, apakah kelemahan dan sikap tidak ambil peduli di kalangan segelintir ibu bapa sebagai puncanya? Ataukah ia diakibatkan pembangunan pesat dalam negara yang tidak terkawal, pengaruh bisikan rakan-rakan atau berpunca daripada mental dan fizikal mereka sendiri yang sakit? Jika hal ini sebagai puncanya, bagaimanakah cara untuk membendung kenakalan anak-anak gadis kita dari terjebak ke kancah seks bebas yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri, tetapi hakikatnya boleh mencemarkan maruah orang-orang Melayu dan mengaibkan kesucian Islam di mata agama-agama lain. Justeru, tepuk dada tanyalah hati.   


 

Tulisan: 
AZMI MOHD. SALLEH

Foto:
INTERNET   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan