RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 26 Februari 2012

Bandar Buketa (Thailand)


KEHIDUPAN MASYARAKAT BUKETA

BUKETA, THAILAND:  NAMA bandar Buketa yang terletak di Narathiwat, Thailand dulunya dikenali sebagai Kampung Lohjud mungkin agak baru bagi segelintir pelancong dari Malaysia. Namun, bagi penduduk Kelantan yang menetap di Bukit Bunga, Jeli yang bersempadan dengan Buketa memang telah sedia maklum bahawa bandar berkenaan telahpun wujud sejak dulu dan kini menuju era perbandaran.

Jika berkereta dari arah Bukit Bunga di Jeli, Kelantan anda akan dapat melihat papan tanda Buketa yang terpampang jelas yang boleh dilalui sama ada melalui jalan sungai tetapi perlu memasuki pos Jabatan Imigresen Malaysia dengan tambang perahunya untuk ke sana sebanyak RM1 seorang atau melalui jalan darat menggunakan Jambatan Persahabatan.

Pembinaan "Jambatan Persahabatan" yang merentangi Sungai Golok sepanjang 120 meter yang ditandatangani pada 14 Oktober, 2004 yang dulunya dikenali sebagai Jambatan Muhibah telah dirasmikan pembukaannya oleh pemimpin di kedua-dua negara di antara Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 21 Disember, 2007  telah mendekatkan hubungan kedua-dua negara berjiran, mengeratkan silaturrahim antara keluarga kedua-dua negara apatah lagi barangan dagangan kedua-dua negara turut bersemi.

Penulis cuba menjengah kehidupan penduduk Buketa dan sempat menemui Datuk Bandar Buketa, Hamdan bin A-Mad yang turut dibantu oleh Timbalan Pegawai Daerah Buketa dari Majlis Perbandaran Buketa, Medam Champa Nillanong Jampa dalam usaha mencungkil rutin harian dan kehidupan penduduk di Buketa yang rata-ratanya beragama Islam malah berbangsa Melayu pula.

Menurut Hamdan A-Mad, pada masa dulu Buketa adalah sebuah kampung atau pekan yang kemudian mendapat nama bertitik tolak dari pokok tar yang hidup subur di tempat berkenaan. Pokok tar tersebut masih wujud sehingga sekarang yang kini letaknya di atas banggol di belakang sebuah rumah penduduk terbabit.

Bercerita secara ringkas tentang Majlis Perbandaran Buketa (MPB), Hamdan A-Mad menjelaskan, Buketa dinaik taraf menjadi bandaran pada tahun 1992. Setakat ini katanya, sudah tiga orang Datuk Bandar dan beliau merupakan Datuk Bandar yang ketiga.

"Pemilihan jawatan Datuk Bandar diadakan empat tahun sekali. Sebelum ini, Buketa bertaraf bandaran kecil, tetapi hari ini Buketa menjadi bandaran sedang", ujarnya ketika diminta menjelaskan tentang bandar Buketa.

Katanya, di peringkat bandaran ada tiga bandaran kecil, pertengahan dan besar. Misalnya Hatyai adalah bandaran besar diikuti Yala (Selatan Thailand) dan Golok (taraf bandaran yang lebih besar dari Buketa). Menurutnya, ahli jawatankuasa bandaran Buketa terdiri daripada 12 orang ahli majlis, di Golok seramai 18 orang dan Hatyai seramai 24 orang kerana bertaraf bandaran besar.

"Jumlah penduduk di kawasan bandar Buketa sahaja kira-kira 4,600 orang dan diselia oleh tiga penghulu. Kesemua dalam Kampung Lohjud ini mempunyai sembilan (9) daerah. Logo bandaran Buketa ialah pokok tar", ujar Hamdan A-Mad lagi sambil meminta salah seorang kakitangannya menunjukkan logo dari baju yang dipakainya kepada Penulis.

Tambah Hamdan A-Mad lagi, taraf Penghulu dan Penggawa masih lagi wujud sehingga sekarang. Namun, bagi Timbalan Pegawai Daerah di Buketa sekarang bukanlah warga tempatan sebaliknya dihantar dari pusat bandar raya Bangkok. Malahan, kebanyakan pekerja pihak pusat yang memainkan peranan, sebaliknya wakil dari Buketa berdasarkan kepada sistem mengundi dan tugas sebagai Datuk Bandar adalah sebagai pengarah semata-mata.

Apabila ditanya tentang taraf hidup penduduk di Buketa sekarang, Hamdan A-Mad menjelaskan, kebanyakan penduduk di Buketa adalah pekerja kampung sebagai penoreh getah, peniaga makanan, pengayuh beca dan pekerja buruh.

Sementara bagi seorang warga emas yang berasal dari Bukit Bunga, Jeli tetapi mempunyai dua kerakyatan, Razali @ Abdullah bin Isa, 61, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah bagi penduduk-penduduk di Buketa berkata, nama Buketa wujud sejak dulu kerana setahunya asal nama Buketa itu ialah Kampung Lohjud.

Katanya, dari konteks pembangunan, amat berbeza di antara Buketa dulu dengan hari ini. Pada masa dulu, Buketa masih terpinggir dan keadaannya diselubungi hutan. Keadaan ini tentunya menyukarkan penduduk di sekitarnya untuk mencari sumber pendapatan apatah lagi pada masa itu kerja memang begitu sukar diperolehi, manakala harga barang juga agak mahal. Bezanya dengan hari ini, walaupun harga barang dikatakan agak meningkat namun disebabkan penduduknya memperolehi pekerjaan yang sesuai mengikut kemahiran masing-masing, tentunya pendapatan yang diperolehi juga bertambah. Sebagai contohnya, walaupun terdapat di kalangan penduduk Buketa bekerja kampung, berbanding dulu yang agak sukar tetapi dewasa ini segala barangan keperluan yang ada di Buketa boleh dijual-beli asalkan ada kemahuan ke arahnya.

"Pada masa dulu, apa yang ada itulah rezeki dan mereka tidak pernah menolaknya, kerana pada masa itu sumber makanan amat sukar diperolehi tidak sebagaimana hari ini.

"Kebanyakan penduduk di Buketa pada masa itu hanya makan ubi kayu dan jagung yang ditanam sendiri sebagai sumber makanan. Manakala kalau ingin makan nasi terpaksa mengerjakan dan menanam sendiri padi bukit dan padi huma. Dulu, kebanyakan makan nasi beras tumbuk, tetapi sekarang makan nasi beras yang siap diproses", katanya.

Tambahnya, penduduk Buketa pada masa dulu, orang-orang kampung memang gemar makan nasi beras yang ditumbuk kerana rasanya lebih manis. Tetapi zaman moden ini ternyata berbeza apabila golongan muda menyatakan beras yang dimesin (beras siap) lebih enak, warnanya putih menarik mata memandang, tetapi hakikatnya telah hilang perisa dalam beras tersebut.

"Pekerjaan utama penduduk di Buketa ialah menoreh getah. Walaupun terdapat penanaman padi, namun kebanyakan padi yang ditanam di Buketa sekadar untuk makanan keluarga kerana padi huma dan padi bukit ditanam oleh keluarga terbabit untuk mengelak berlaku kebuluran.

"Hari ini, rata-ratanya penduduk Buketa membeli beras yang didatangkan dari Chiengrai dan Bangkok sebagai makanan keperluan", jelasnya.

Menurutnya, Buketa mula dibangunkan pada tahun 1976. Jika dibandingkan dengan Kampung Che Him di Tak Bai amat berbeza kerana Kampung Che Him adalah sebuah bandar besar. Jelasnya, Kampung Che Him itu adalah sebuah bandar asal lagi sedangkan Buketa ini adalah baru. Buketa mula dikenali semenjak pembukaan "Jambatan Muhibah" yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Malaysia (bekas), barulah Buketa mula berkembang kerana telah dikenali umum.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi penduduk yang ditemui, Bukhari bin Ibrahim, 30, atau lebih dikenali sebagai Yie berkata, bandar Buketa kini baharu sahaja dinaik taraf sebagai sebuah perbandaran setanding dengan lain-lain bandar di Thailand. Sebenarnya, masyarakat Kelantan sendiri sudah sedia maklum tentang hubungan di antara Buketa (Thailand) dengan Bukit Bunga di Jeli, Kelantan (Malaysia) yang hanya dipisahkan oleh sempadan sungai kedua-dua negara.

Katanya, sememangnya kebanyakan penduduk di Buketa ini adalah pekerja kampung sebagai penoreh getah. Selain itu, kebanyakannya membawa nasib sebagai peniaga di Malaysia khususnya di Kelantan. Keadaan nasib masyarakat di Buketa ini tidaklah sebagaimana di tempat-tempat lain di Thailand. Apatah lagi jika ingin membezakannya dengan keadaan di Malaysia misalnya yang rata-ratanya jauh lebih senang. Sebab itulah, bagi segelintir penduduk di Buketa ini mencari peluang yang terbuka luas lalu merantau ke beberapa negeri di Malaysia sebagai peniaga dan sebagainya. Kalau dibandingkan di Buketa tidaklah sebaik di Malaysia.

"Misalnya, kalau menjadi pekerja (kuli) di Buketa sehari dapat RM20 itu dianggap sudah banyak, namun kalau ke Malaysia saya yakin dan percaya pendapatannya lebih dari itu.

"Manakala dari segi sebagai pekerja pejabat tidak terdapat di Buketa kerana taraf bandarnya agak sempit dan kalau dilihat kebanyakan rakyatnya tidak menjurus ke arah itu. Thailand tidaklah sebagaimana di Malaysia di mana pintu dan sumber rezeki terbuka luas. Jadi, rakyat dapat memilih sebarang jenis pekerjaan yang mampu dilaksanakan oleh mereka. Misalnya, di Malaysia bagi golongan pelajar di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi, apabila mereka keluar sebagai graduan mereka memperolehi pekerjaan sebagaimana kelulusan mereka, sebaliknya tidak di Buketa", katanya.

Sambung Bukhari lagi, sebab itulah bagi golongan terpelajar dan lulusan universiti apabila mereka tamat belajar dan walaupun telah lulus dari universiti yang dimaksudkan, mereka sukar mendapat sebarang jenis pekerjaan sebagaimana kelulusan yang mereka terima, jadi terpaksalah menunggu dan menganggur untuk beberapa tahun.

Katanya, setakat yang beliau fahamkan kebanyakan penuntut universiti di Buketa yang lulus sebagai graduan mencapai lebih 200 orang. Ini termasuklah universiti dan kolej. Salah satu sebab di Buketa sukar mendapat kerja kerana ketiadaan pejabat-pejabat untuk menampung graduan-graduan yang lulus itu. Berbanding di Bangkok adalah sebuah bandar besar dan utama tentunya kebanyakan graduan akan memperolehi sebarang pekerjaan menurut kehendak dan kemahuan mereka. Amat malang juga, terdapat daripada graduan berkenaan yang sukar memperolehi pekerjaan. Akhirnya, terdapat di antaranya yang terpaksa menjadi pekerja kampung dengan mendapat upah yang tidak seberapa. Tetapi bezanya walaupun dikatakan sebagai pekerja kampung, jarang daripada pekerja berkenaan yang menjadi kuli sebaliknya mereka mengusahakan kerja dan tanah mereka sendiri.

"Tahap pekerja pejabat di Buketa tidak sebagaimana di Bangkok. Misalnya di Buketa, hanya terdapat sebuah balai polis kecil yang hanya diduduki beberapa anggota sahaja.

"Selain sebagai seorang penoreh getah yang merupakan satu pekerjaan utama untuk memperolehi sumber pendapatan keluarga, mengerjakan tanah sebagai petani dikira salah satu pekerjaan yang masih dilakukan oleh kebanyakan penduduk di Buketa sebagai pekerjaan turun-temurun. Menariknya, di Buketa segala tunjuk ajar berhubung dengan pertanian diberikan taklimat oleh pihak sekolah", ujarnya.

Kerana itu menurutnya, disebabkan sukarnya mendapat pekerjaan apatah lagi kerja-kerja kampung seperti menoreh getah kurang dilakukan oleh golongan muda hari ini, jadi dalam usaha untuk mencari sumber kewangan keluarga terpaksalah penduduk-penduduk dari Buketa berhijrah untuk mencari pekerjaan di Malaysia terutamanya di Kelantan sebagai buruh binaan dan terdapat juga di kalangan mereka yang bekerja dalam beberapa sektor tertentu di tempat yang dituju.

"Di Malaysia khususnya di Kelantan menjanjikan pendapatan yang lumayan dan memuaskan, sebab itulah kebanyakan anak-anak muda di Buketa berhijrah. Misalnya, bagi anak-anak muda Buketa yang tidak mampu menjadi penoreh getah, mereka akan mencari pekerjaan lain di Malaysia sebagai tukang rumah, berniaga dan sebagainya", kata Bukhari lagi.

Tambahnya, kebanyakan penduduk di Buketa terutamanya yang tinggal di kampung-kampung dan bahagian pedalaman kebanyakannya memiliki rumah sendiri. Manakala bagi rumah-rumah yang disewa adalah terdiri daripada pekerja kampung yang datang ke bandar-bandar besar di Thailand yang bekerja di tempat berkenaan, terpaksalah menyewa rumah termasuk gerai untuk berniaga. Katanya, kebanyakan penduduk di Buketa terdiri daripada orang-orang Melayu beragama Islam dan mereka keluar mencari rezeki kerana perlu menyara keluarga mereka. Manakala kaum Cina pula hanya beberapa kerat sahaja di Buketa untuk menggambarkan keseluruhan penduduk di Buketa adalah majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Membicarakan tentang keluasan Buketa, Bukhari berkata, dianggarkan kira-kira lima kilometer atau tujuh batu yang berbentuk empat segi. Malah beliau difahamkan, Buketa akan dinaik taraf pula sebagai sebuah bandar yang disegani sebagaimana di tempat-tempat lain. Contohnya, dapat dilihat "Burung Orel" sebagai mercu tanda bandar Buketa dan beliau berharap kepada pengunjung yang datang ke Buketa akan dapat melihat dan mengenang haiwan tersebut sebagai simbol bandar berkenaan sebagaimana di Pekan Golok yang kini semakin tersohor.

"Dari segi kemajuan di Buketa dianggap setaraf dengan bandar-bandar lain dan usaha ke arah itu sedang giat dijalankan. Selain Datuk Bandar, Datuk Kampung sentiasa berusaha untuk memajukan Buketa yang akan dapat dilihat dalam beberapa dekad lagi", katanya.

Tambahnya, jika ditanya tentang usaha menanam padi di Buketa sebagai sumber makanan penduduknya, Buketa bukanlah sebuah tempat untuk menanam padi dan kawasan pengeluaran beras. Namun, pada masa dulu pernah ditanam "padi huma" untuk keperluan makanan ahli keluarga petani sahaja. Tetapi jika dilihat kepada senario sekarang memang tidak sesuai untuk tanaman padi. Kebanyakan penduduk di Buketa membeli beras dari Chiengrai, Pitburi dan Bangkok.

Kebanyakan penduduk Buketa membeli beras dari sana dengan harga sekilo RM2. Manakala bagi satu kampit beras terbaik (kelas A) berharga RM30 bagi sekampit beras 10 kilogram, manakala bagi kelas-kelas lain berharga RM18. Kira-kira lapan jenis beras boleh diperolehi di Thailand berdasarkan kepada kelasnya tersendiri yang didasarkan kepada kualitinya. Manakala beras yang paling cantik dan terbaik di Thailand adalah beras cap Pisang dan Arnab. Setahunya, beras seumpama ini di Kelantan dijual dengan harga RM38.

"Kebanyakan ikan laut datangnya dari Pattani dan bandar Narathiwat. Manakala bagi ikan darat kebanyakannya datang dari kawasan terdekat seperti Buketa sendiri dan Perupuk dari bekas sawah padi dan sebagainya.

"Manakala kebanyakan daging datang dari bandar raya Bangkok kerana bandar berkenaan bukan sahaja sebagai tempat ternakan lembu berbanding di Buketa. Kebanyakannya bukan sahaja daging, tetapi lembu hidup juga turut dijual yang datangnya dari Bangkok", katanya mengakhiri perbualan.

Bagi pelancong Malaysia khususnya dari Kelantan yang hidup berjiran di antara kedua-dua negara boleh mengeratkan lagi persahabatan sama ada dalam konteks hubungan kedua-dua negara atau perhubungan kedua-dua keluarga. Ini kerana, penduduk di Buketa yang rata-ratanya beragama Islam malah berbangsa Melayu pula tentunya tiada bezanya kerana kita adalah dari rumpun yang sama, cuma dipisahkan oleh sempadan Sungai Golok yang berjarak 100 meter sahaja.
                   

Penulis ketika melalui Jabatan Imigresen Malaysia di Bukit Bunga, Jeli, Kelantan.


Inilah Jambatan Persahabatan sepanjang 120 meter, dulunya dikenali Jambatan Muhibah yang merentangi Sungai Golok.


Penulis sedang menjejakkan kaki di Buketa dari Sungai Golok.


Tentera negara Thailand sentiasa menjaga sempadan dan keamanan dalam negara.

Datuk Bandar Buketa, Hamdan bin A-Mad.

Penulis (tengah) sedang menemubual Datuk Bandar Buketa (kiri).

Timbalan Pegawai Daerah Buketa, Medam Champa Nillanong Jampa.

Datuk Bandar Buketa (kanan) sebagai jurubahasa ketika temubual Penulis dengan Medam Champa (kiri). 

Razali @ Abdullah Isa atau Pak Lah.

Pak Lah ketika ditemubual Penulis di sebuah restoran.

Bukhari bin Ibrahim atau Yie.

Yie (hujung) ketika ditemubual Penulis.

Salah seorang kakitangan MPB sedang menunjukkan logo pokok tar dari bajunya.

Inilah logo Buketa iaitu pokok tar.


Penulis bergambar kenangan di Taman Burung Orel.

Burung Orel sebagai lambang, simbol dan mercu tanda Buketa.

Penulis bergambar kenangan di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Buketa (MPB).

Suasana di Buketa.


Selain di Malaysia, penduduk Buketa juga berminat sebagai peniaga makanan.

Kebanyakan pemilik rumah memiliki parabola sendiri untuk menonton siaran luar negara.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan