LANGAU KOTA
KOTA BHARU, KELANTAN: MASALAH kehadiran pengemis dan pesakit mental yang semakin menjadi-jadi di pusat bandar Kota Bharu sejak kebelakangan ini menjadi beban kepada warga kota yang lain. Kebanyakan pengemis dan pesakit mental berkenaan dikatakan bukan berasal dari bandar ini, sebaliknya datang dari tempat lain. Hasil risikan, dikatakan terdapat pengemis berkenaan yang berasal dari beberapa daerah di Bachok, Kelantan.
Pengemis berkenaan menjadikan restoran, pejabat dan bank di pusat bandar Kota Bharu sebagai pejabat mereka untuk meraih simpati orang ramai, sanggup menghulurkan wang ringgit malah mereka juga turut dijamu makanan sebagaimana yang diminta. Mereka datang ke Kota Bharu dengan pelbagai pengangkutan awam seperti bas dan kereta setiap hari, ternyata golongan berkenaan memerlukan wang ringgit sebagai tambang kenderaan awam itu. Sekali lihat mereka juga seperti kakitangan pejabat yang sentiasa bertukar pakaian setiap hari.
Kehadiran langau kota ini menyesakkan pandangan, pastinya menjatuhkan imej negeri Kelantan amnya yang terkenal dengan jolokan "Serambi Mekah" yang ternyata boleh mencemarkan nama Kota Bharu khususnya di kalangan warga pelancong luar yang berslogankan "Membangun Bersama Islam". Masalah seumpama ini adalah wajar diberikan perhatian dan diambil tindakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Misalnya, masalah kehadiran pengemis di pusat bandar Kota Bharu perlu ditangani oleh PBT terbabit seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Sementara, masalah pesakit mental pula perlu ditangani oleh pihak polis. Masalah pesakit mental ini akan dapat ditangani jika pihak polis mengambil sikap cakna sebagaimana yang dilakukan oleh pihak polis di Perak. Pesakit mental ini boleh dibawa ke Hospital Bahagia yang terletak di Tanjung Rambutan, Perak kerana di hospital ini segala keperluan semuanya terurus dan diuruskan dengan baik. Tetapi melihat kepada senario di Kelantan hari ini, seolah-olah tiada pihak yang mempedulikannya seolah-olah pihak berkuasa berkenaan tidak berbuat apa-apa.
Dalam hal ini, sebelum masalah berkenaan berakar umbi yang boleh menjadi virus dan barah dalam masyarakat dan menyusahkan dalam negeri sendiri, adalah wajar hal berkenaan diselesaikan dengan segera.
Pesakit Mental
Pengemis
Pengemis tidak mempedulikan jalanan, asalkan ada yang sanggup memberikan mereka wang.
Seorang pengemis wanita (kanan) menerima pemberian orang ramai.
Pengemis asing (berketayap) juga mengambil kesempatan.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan