RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 8 Julai 2012

Foto: Aneh dan Pelik

ANEH DAN PELIK
Ruangan ini hanya memaparkan tentang Foto: Aneh dan Pelik yang dirakam di beberapa kawasan yang dilawati
Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
WAKAF BAHARU, KELANTAN



WAKAF BAHARU, KELANTAN:  BAGI kelaziman sebatang pokok pisang hanya setandan sahaja yang dapat dilihat secara realiti. Namun, tahukah anda bahawa sebatang pokok pisang yang dimiliki oleh seorang warga emas, Che Amat Che Mahmud, 70, dari Kampung Kubang Batang dekat sini mempunyai lima tandan. Penulis berkunjung ke rumahnya pada 8.7.2012 untuk menemubual tentang keanehan pokok pisang berkenaan, namun hasrat Penulis hampa sehingga petang tarikh tersebut Penulis tidak dapat menemuinya kecuali dapat berbual dengan isterinya. Walaupun Penulis diminta ke kebunnya, beliau tidak ada di situ.

Foto ini dirakam di Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu, Kelantan pada 8.7.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
WAKAF BAHARU, KELANTAN






WAKAF BAHARU, KELANTAN: KALIMAH Muhammad di telinga kanan dan kalimah Allah di telinga kini adik Muhammad Syafiq.

Foto ini dirakam di Taman Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Kelantan pada 23.4.2011.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH 
 PASIR MAS, KELANTAN

Abdullah Abdul Sattar.

Di tempat inilah beliau berbaring sambil merakam awan, tiba-tiba terakam kalimah Allah itu.


Suasana langit tempat beliau merakam kalimah Allah.

Awan kalimah Allah yang dapat dirakam ke telefon bimbitnya.

PASIR MAS, KELANTAN:  KEJADIAN wujudnya kalimah Allah terbentuk di awan putih berlaku pada 11 Mac, 2009 jam 3.30 petang. Sambil berbaring di bengkel mencuci kenderaannya, Abdullah Abdul Sattar mencuba telefon bimbit yang baru dibelinya. Sengaja merakam awan yang putih dan cantik tidak sedar beliau sebenarnya dapat merakam kalimah tersebut dan salah satunya yang paling jelas terletak di sebelah bawah foto tersebut. 

 Foto ini dirakam di Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan pada 30.3.2009.


Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
 MACHANG, KELANTAN

Azizi bin Omar.

Daging kalimah Allah.

MACHANG, KELANTAN:  KEJADIAN menemui daging kalimah Allah ini berlaku pada Hari Raya Aidiladha kelima pada tahun 2008 setelah selesai korban di Kampung Belukar. Kalimah berkenaan ditemui oleh kakak ipar Azizi Omar pada seketul daging yang beratnya tidak sampai sekilo semasa sedang menggorengnya untuk dijadikan sebagai lauk dan juadah kerana anak-anaknya yang akan pulang ke rumah masing-masing.

"Setelah dihiriskan dan dibersihkan, beliau menyapu sedikit kunyit. Apa yang jelas, apabila dimasukkan ke dalam kuali yang siap dipanaskan minyak kelihatan kalimah tersebut timbul. Terlihat kejadian itu, beliau matikan api dapur", katanya.

Foto ini dirakam di kediaman Azizi Omar di Kampung Bukit Tiu, Machang, Kelantan pada 13.12.2008.

 Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
 KOTA BHARU, KELANTAN



Kucing kalimah Allah.

 Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
 PASIR MAS, KELANTAN





Tar kalimah Allah.


Foto ini dirakam di Sekolah Menengah Kebangsaan Othman Talib (2), Tendong, Pasir Mas, Kelantan.


Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 3 Julai 2012

Misteri Lembaga Wanita Dari Kubur


MISTERI LEMBAGA WANITA DARI KUBUR

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Apabila bercerita tentang makhluk halus di zaman moden ini, ramai yang mempercayai kewujudannya kerana jelmaannya mempunyai sebab-sebab tertentu. Malahan ada juga yang menganggapnya sebagai cerita karut yang sekadar untuk menggertak dan menakutkan orang semata-mata.

Namun, bagi yang pernah melalui pengalaman bertemu dengan makhluk terbabit yang digelarkan sebagai "hantu" tentunya akan mengakuinya. Ini kerana, kemunculan dan jelmaan makhluk halus hampir sama dengan rupa manusia, cuma satu anggota sahaja yang tidak ingin diperlihatkan kepada manusia berbanding dengan lain-lain anggota.

Pengalaman seorang warga emas, Abdul Ghani bin Zakaria, 60, atau lebih dikenali sebagai Pak Adib dan Pak Tengah dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan yang bertemu dan sempat menegur hantu yang disangka manusia cukup menyeramkan sehingga tidak segar beliau sedang memecut motosikalnya melalui sebuah jirat Cina dan sebuah tanah perkuburan Islam berhampiran kawasan kejadian akibat terlalu takut.

Katanya, kejadian itu berlaku 18 tahun lalu di mana ketika itu Pak Adib berusia 42 tahun. Menurutnya, pada ketika itu beliau turun dari rumahnya bertujuan untuk ke kampung berdekatan di mana ketika beliau menunggang motosikalnya itu hujan turun dengan renyai-renyai hampir masuk waktu Maghrib. Dengan tidak disangka-sangka, seorang wanita melintas perjalanannya tanpa menunjukkan wajahnya yang sebenar.

Keadaan bentuk fizikal tubuh wanita aneh itu agak tinggi lampai dengan mengenakan pakaian biasa sambil berpayung dengan membawa seorang anaknya. Dilihat kepada wanita tersebut tidak menunjukkan wanita tersebut sebagai "makhluk halus" yang lazimnya dikenali sebagai hantu wanita.

"Pada masa itu, pakcik tidak terfikir tentang makhluk tersebut, namun yang bermain-main dalam kepala pakcik ialah, kenapa wanita tersebut berjalan dengan anaknya seorang diri ketika itu, apatah lagi di waktu hampir Maghrib pula?" ujarnya.

Sambungnya, melihatkan langkah wanita tersebut agak perlahan, beliau yang sedang menunggang motosikalnya lalu menegur wanita aneh itu.

"Apa halnya bawa anak ketika hujan begini?" tegur Pak Adib melihatkan sifat aneh wanita terbabit yang membawa anak ketika hujan renyai-renyai itu. Pada ketika itu, beliau tidak merasai apa-apa melihat wanita aneh apatah lagi matanya sempat melihat wajah wanita berkenaan kerana sudah menjadi kelazimannya suka menegur orang.

Selepas beliau menegurnya, wanita itu membisu seribu bahasa sambil melangkah perlahan-lahan. Beliau segera memperhatikan tingkah laku wanita aneh itu, dengan tiba-tiba wanita tersebut terus menghala ke sebuah alur yang agak gelap di kawasan laluan itu lalu turun perlahan-lahan, kemudiannya ghaib di kesamaran malam yang semakin gelap itu.

Melihatkan wanita tersebut yang begitu berani turun ke kawasan alur air seorang diri ketika hujan renyai-renyai di mana ketika itu hari semakin gelap, beliau pun terfikir bahawa kalaulah keadaannya seperti itu, wanita yang dimaksudkan itu tentunya bukannya manusia sebaliknya "hantu".

Apabila mindanya dapat membaca serentak dengan istilah "hantu", Pak Adib yang tidak perasan segera memalingkan motosikal yang ditunggangnya itu ke arah laluan sebuah jirat Cina dan sebuah tanah perkuburan Islam Kampung Chenderong Batu disebabkan terlalu seram kerana melihat hantu dalam rupa yang sebenar. Katanya, pada masa dulu juga, jirat Cina yang terletak di kawasan laluan itu sering ditakuti oleh sesetengah penduduk kampung kerana dikatakan sebuah kawasan yang agak keras dan sering mengusik.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, beliau terus menunggang motosikalnya dengan agak laju melalui jirat Cina dan tanah perkuburan Islam terbabit lalu menuju ke sebuah rumah Cikgu Ismail sebagaimana yang dimaksudkan. Apabila beliau sampai di rumah cikgu tersebut, beliau mula terfikir lalu memaklumkan pengalaman ceritanya itu kepada abang Cikgu Ismail yang dikenali sebagai Pakcik Mail.

Apabila beliau mengetahui serba ringkas cerita tentang pengalamannya menemui wanita aneh itu, beliau mula berasa lega. Pakcik Mail turut memaklumkan kejadian berkenaan bahawa, terdapat beberapa warga emas di kampung itu yang membela makhluk halus, ada juga yang memuja makhluk tersebut dan kerap kali kejadian itu berlaku dalam keadaan realiti sebagaimana yang dialami oleh Pak Adib itu.

"Pada ketika itu, pakcik hanya melihat keadaan rambutnya yang panjang mengurai tetapi wajahnya tidak kelihatan. Apabila pertanyaan pakcik tidak berjawab, apa yang difahami oleh pakcik biasanya apabila seorang lelaki menegur seorang wanita, wanita terbabit pasti tidak akan melayani teguran itu.

"Tetapi apabila dengan tiba-tiba wanita itu turun dengan mudah ke arah sebuah alur yang berkeadaan gelap, sepantas kilat pakcik terfikir bahawa tentunya wanita tersebut bukannya "manusia" tetapi makhluk halus yang menjelma dalam rupa manusia", ujarnya menyorot tentang kejadian itu.

Ditanya tentang pengalaman melihat makhluk halus yang disangka manusia, tidakkah beliau berasa seram sejuk dan gementar melihat wanita terbabit dengan tiba-tiba turun ke sebuah alur berkenaan sedangkan pada ketika itu suasananya agak gelap, beliau memberitahu, tentunya beliau berasa seram sejuk juga. Disebabkan wanita itulah, beliau tidak perasan memecut motosikalnya dengan agak laju melintasi sebuah jirat Cina dan terus melintasi sebuah tanah perkuburan Islam yang berdekatan.

"Pakcik tidak pasti adakah wanita jelmaan manusia itu keluar dari jirat Cina itu ataupun tanah perkuburan Islam yang berdekatan. Tetapi di kawasan jirat Cina dan kawasan tanah perkuburan itu sering berlaku kemalangan walaupun keadaan jalannya agak tidak sibuk seperti di bandar.

"Malahan pernah berlaku suatu kes yang pernah pakcik dengar, ada orang yang sesat di kawasan tanah perkuburan itu yang tidak menemui jalan (jalan hilang dari pandangan) untuk balik ke rumahnya. Setakat ini, sudah lima orang yang terkena dalam keadaan yang sama seperti pakcik di kawasan tersebut", katanya.

Justeru, makhluk halus boleh  menjelma dalam pelbagai rupa untuk tujuan menguji mangsa. Bagi mangsa yang tanah semangat, makhluk terbabit akan ghaib serta merta. Bagi individu yang lemah semangat dan mudah berasa gementar, jalan pintas ialah cabut lari atau memandu kenderaan dengan laju untuk keluar dari tempat kejadian.  
 
Abdul Ghani bin Zakaria atau dikenali Pak Adib dan Pak Tengah.

Pak Adib menceritakan pengalamannya kepada Penulis.


Ke arah alur inilah lembaga wanita itu berjalan dan turun lalu ghaib dalam suasana gelap di kawasan itu.


Ke arah laluan inilah Pak Adib memecut motosikalnya.

Lembaga wanita itu mungkin menjelma dari jirat Cina ini.


Inilah Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Batu terletak di laluan yang sama dengan jirat Cina.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 1 Julai 2012

Taman Rekreasi Dataran Kijang


TAMAN REKREASI DATARAN KIJANG

TANAH MERAH, KELANTAN:  KAMPUNG PADANG KIJANG yang terletak dalam daerah Tanah Merah, Kelantan dibuka pada tahun 1926. Asal kampung ini pada masa itu dikenali sebagai Tasik Sibo kerana letaknya berhampiran dengan daerah Pasir Mas. Ini bermakna, jika ada pengunjung yang datang dari jauh akan bertanya, tentunya mereka akan ke Tasik Sibo yang merujuk kepada Kampung Padang Kijang.
 
Ketika ditemui Penulis, Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), Kampung Padang Kijang, Alor Pasir, Yaacob bin Ismail, 62, atau lebih mesra dengan panggilan Pakcik Kob berkata, Kampung Padang Kijang mendapat nama berikutan seekor kijang yang tersandung di sebuah alur di kampung terbabit ketika keluar minum di musim kemarau. Kijang yang tersepit di alur tersebut kemudiannya ditangkap lalu dilepaskan.
 
"Purata penduduk pada masa itu tidaklah ramai iaitu kira-kira lima buah rumah sahaja. Kalau dikira susur galur orang-orang tua yang membuka kawasan ini pada masa itu, saya mungkin di peringkat cucu", ujarnya.
 
Menurutnya, penubuhan Taman Rekreasi berkenaan di bawah seliaannya bermula pada tahun 1997 melalui Program Anak Angkat Politeknik, Kok Lanas, Kota Bharu. Pada masa itu, kawasan berkenaan adalah sebuah hutan belukar dan ketika melihat sikap pelajar Politeknik yang begitu rajin dan berdedikasi membersihkan kawasan hutan ketika melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan terbabit, timbul ilham di fikirannya untuk mewujudkan tapak perkhemahan yang dianggap berpotensi kerana di kawasan Tanah Merah pada ketika itu masih belum wujud aktiviti sedemikian berbanding hari ini.
 
"Bermula dari saat itu, saya memohon bantuan dan sumbangan daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, Tanah Merah di mana sumbangan berkenaan berupa barangan atau perkakasan dalam bentuk binaan tetapi tidak berbentuk kontrak.
 
"Pihak jabatan bersedia memberikan segala sumbangan itu dalam bentuk barangan, kalau sekiranya kita berhasrat untuk membina pondok rehat dengan jumlah tertentu akan diberikan dalam bentuk barangan seperti simen, kayu, zink dan sebagainya bukannya dalam bentuk wang ringgit", jelasnya.
 
Sambungnya lagi, kawasan berkenaan dibangunkan dengan cara gotong-royong yang dilakukan oleh penduduk-penduduk Kampung Padang Kijang tanpa dikenakan sebarang upah. Sejak tahun 1997, bermulalah projek membangunkan kawasan berkenaan, sementara pada tahun 2002, Taman Rekreasi di bawah seliaannya memasuki pertandingan dikenali "Pertandingan Sungai Angkat" di bawah kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dikelolakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tanah Merah sendiri.
 
"Taman Rekreasi Dataran Kijang ini adalah pertama kali memasuki Pertandingan Sungai Angkat itu, di mana buat pertama kali juga taman rekreasi ini berjaya memenangi juara peringkat kebangsaan seluruh negara.
 
"Pada masa itu, taman rekreasi ini dianggap paling cantik atas usaha dan kerjasama semua penduduk kampung ini yang lengkap dengan segala kemudahan asas. Saya sendiri pada masa itu memang tidak menyangka akan memenangi tempat pertama dalam pertandingan berkenaan kerana itulah julung-julung kali diadakan bahkan lawannya bukan sebarangan.
 
"Kejayaan Taman Rekreasi Dataran Kijang memenangi pertandingan sungai angkat itu berkemungkinan kawasan taman rekreasi ini mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan taman rekreasi, jika tidak mana mungkin terpilih menjadi juara seluruh Malaysia", ujar Yaacob lagi.
 
Menurutnya, sungai yang wujud di mana berkenaan adalah sungai asal yang mengalir di hadapan kampung tentunya amat sukar ditemui kecuali di Kampung Padang Kijang. Pada masa itu, taman berkenaan masih belum diberikan nama. Kerana itu, semasa mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh penduduk sebulat suara bersetuju menamakan taman berkenaan sebagai Taman Rekreasi Dataran Kijang sempena mengambil nama Kampung Padang Kijang.
 
Katanya, disebabkan di Tanah Merah tiada taman rekreasi sebagaimana Taman Rekreasi Dataran Kijang, jadi kebanyakan pihak sekolah membenarkan pelajar-pelajar mereka untuk datang ke tempat terbabit. Namun, sejak akhir-akhir ini kebanyakan aktiviti perkhemahan tidak mendapat keizinan pihak sekolah berdasarkan sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Salah satunya mungkin berpunca dari tragedi yang pernah berlaku di Perak beberapa tahun lalu yang menyebabkan kematian.
 
Bercerita tentang sambutan pengunjung, Yaacob memberitahu memang sedia maklum bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan di Taman Rekreasi Dataran Kijang amat dialu-alukan kerana landskapnya amat sesuai untuk tujuan berkenaan, apatah lagi keadaan suasana hutannya yang menghijau yang dianggap menarik dan masih belum terusik.
 
Kebanyakan pengunjung yang datang ke Taman Rekreasi Dataran Kijang, pilihan pertama ialah aktiviti berkhemah. Dari segi keselamatan menurut Yaacob, memang dijamin di mana pihaknya bersedia menyiapkan jurulatih untuk aktiviti sedemikian. Banyak yang datang ke Taman Rekreasi berkenaan yang meminta bantuan pihak jawatankuasa terbabit untuk memasak makanan, jadi pihaknya bersedia berbuat demikian dengan bayaran agak berpatutan.
 
"Setakat ini, kebanyakan pengunjung yang pernah datang melakukan aktiviti perkhemahan di Taman Rekreasi Dataran Kijang ini terdiri dari pihak sekolah dan badan-badan beruniform seperti kadet sekolah dan kadet bomba. Lebih 20 kali badan-badan terbabit melakukan aktiviti di taman rekreasi ini", ujarnya.
 
Lazimnya, kebanyakan pihak sekolah akan melakukan aktiviti di taman berkenaan sebelum bulan Mei dan Jun setiap tahun kerana di bulan-bulan tersebut pelajar-pelajar terbabit perlu menghadapi peperiksaan.
 
Katanya, kebanyakan pengunjung terdiri dari negeri Kelantan sendiri, namun pernah sekali pengunjung dari luar Kelantan yang terdiri daripada beberapa graduan dari Universiti Malaya (UM) sebagai anak angkat. Seramai 80 orang peserta dari Universiti Malaya hadir, di mana penuntut-penuntut terbabit dibahagikan sebanyak dua orang untuk sebuah rumah atau satu keluarga. Penuntut-penuntut Universiti Malaya itu tinggal di taman berkenaan selama dua malam tiga hari.
 
"Sementara dari Pasir Mas pula terdiri dari badan beruniform iaitu Bomba dengan jumlah 400 peserta. Pernah suatu masa, semua peserta Bomba di negeri Kelantan masuk ke taman berkenaan seramai 800 peserta iaitu ketika buat pertama kali Taman Rekreasi Dataran Kijang pada tahun 2003.
 
"Jika peserta agak terlalu ramai tentunya menimbulkan masalah iaitu di kawasan berkenaan kekurangan bekalan air. Berbanding dengan pihak Bomba akan menyedut air dari luar", katanya.
 
Di samping itu menurutnya, Taman Rekreasi Dataran Kijang juga menyediakan kemudahan tandas yang mencukupi meliputi 10 buah untuk lelaki dan 10 buah untuk wanita. Sementara bagi guru pengawas telah dibina tandas yang berasingan.
 
Apabila diminta tentang saranan beliau untuk melihat Taman Rekreasi Dataran Kijang terus maju dan dikenali, beliau menjelaskan, sememangnya ada dalam perancangannya untuk memajukan taman berkenaan supaya sentiasa dikenali oleh penduduk dari luar Kelantan pula. Cuma masalah besar di kawasan taman berkenaan ialah berhubung dengan masalah banjir. Untuk tujuan itu katanya, beliau memang berhasrat untuk membina bangunan kediaman sebagai salah satu kemudahan penginapan kepada pengunjung. Namun, apabila memikirkan tentang masalah banjir menyebabkannya terbantut.
 
"Jika pihak kerajaan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membina bangunan yang tinggi memang agak selamat dan terjamin berbanding sekarang ini. Umpamanya padang bola dan taman berkenaan memang dibeli oleh pihak JKKK sendiri dan bukannya milik individu untuk mengelakkannya diganggu-gugat.
 
"Ini bermakna, telah menjadi hak milik pihak JKKK sendiri menguruskan hal ehwal taman rekreasi ini. Sementara sebuah kantin yang diwujudkan di taman ini adalah milik JKKK yang memberikan sewa kepada penjual yang ingin menjalankan perniagaan makanan di tempat berkenaan", ujarnya.
 
Mengakhiri perbualan, ukuran luas yang merujuk kepada padang bola itu seluas satu hektar (3 ekar). Manakala keluasan taman rekreasi dan tapak perkhemahan keseluruhannya seluas 2 hektar termasuk pulau di taman terbabit.
 
Menurut Yaacob, sebaran media masih belum dibuat apatah lagi sebaran melalui internet. Setakat ini sebaran dibuat dari mulut ke mulut sahaja. Justeru, beliau berharap dan amat mengalu-alukan kehadiran peserta ke taman berkenaan. Walaupun keadaannya tidaklah sebagaimana ketika menjadi juara dulu, namun yang paling penting Taman Rekreasi Dataran Kijang menjanjikan sebuah tempat yang terhibur, aman, nyaman dan mempesonakan.
 
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi:
 
Yaacob bin Ismail
Penyelia Pembangunan Mukim (PPM),
Kampung Padang Kijang,
Alor Pasir,
17500 Tanah Merah, Kelantan Darul Naim.
Tel:  019-9732797
 
Yaacob bin Ismail atau Pakcik Kob.

Pakcik Kob ketika ditemubual oleh Penulis di sebuah kantin di taman rekreasi terbabit.

Inilah sebuah alur tempat kijang tersepit ketika keluar minum.



Panorama taman rekreasi masih ceria dan bernafas.


Inilah sungai hadapan kampung.

Bangunan tempat pelajar Universiti Malaya menginap sebagai anak angkat penduduk Kampung Dataran Kijang.

Kemudahan kantin disediakan untuk menjamu selera.

Tandas juga disediakan untuk lelaki dan wanita.

Pondok rehat yang letaknya di kawasan pemandangan sesuai.

Tempat penglipur lara.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH