RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 3 Julai 2012

Misteri Lembaga Wanita Dari Kubur


MISTERI LEMBAGA WANITA DARI KUBUR

WAKAF BAHARU, KELANTANApabila bercerita tentang makhluk halus di zaman moden ini, ramai yang mempercayai kewujudannya kerana jelmaannya mempunyai sebab-sebab tertentu. Malahan ada juga yang menganggapnya sebagai cerita karut yang sekadar untuk menggertak dan menakutkan orang semata-mata.

Namun, bagi yang pernah melalui pengalaman bertemu dengan makhluk terbabit yang digelarkan sebagai "hantu" tentunya akan mengakuinya. Ini kerana, kemunculan dan jelmaan makhluk halus hampir sama dengan rupa manusia, cuma satu anggota sahaja yang tidak ingin diperlihatkan kepada manusia berbanding dengan lain-lain anggota.

Pengalaman seorang warga emas, Abdul Ghani bin Zakaria, 60, atau lebih dikenali sebagai Pak Adib dan Pak Tengah dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan yang bertemu dan sempat menegur hantu yang disangka manusia cukup menyeramkan sehingga tidak segar beliau sedang memecut motosikalnya melalui sebuah jirat Cina dan sebuah tanah perkuburan Islam berhampiran kawasan kejadian akibat terlalu takut.

Katanya, kejadian itu berlaku 18 tahun lalu di mana ketika itu Pak Adib berusia 42 tahun. Menurutnya, pada ketika itu beliau turun dari rumahnya bertujuan untuk ke kampung berdekatan di mana ketika beliau menunggang motosikalnya itu hujan turun dengan renyai-renyai hampir masuk waktu Maghrib. Dengan tidak disangka-sangka, seorang wanita melintas perjalanannya tanpa menunjukkan wajahnya yang sebenar.

Keadaan bentuk fizikal tubuh wanita aneh itu agak tinggi lampai dengan mengenakan pakaian biasa sambil berpayung dengan membawa seorang anaknya. Dilihat kepada wanita tersebut tidak menunjukkan wanita tersebut sebagai "makhluk halus" yang lazimnya dikenali sebagai hantu wanita.

"Pada masa itu, pakcik tidak terfikir tentang makhluk tersebut, namun yang bermain-main dalam kepala pakcik ialah, kenapa wanita tersebut berjalan dengan anaknya seorang diri ketika itu, apatah lagi di waktu hampir Maghrib pula?" ujarnya.

Sambungnya, melihatkan langkah wanita tersebut agak perlahan, beliau yang sedang menunggang motosikalnya lalu menegur wanita aneh itu.

"Apa halnya bawa anak ketika hujan begini?" tegur Pak Adib melihatkan sifat aneh wanita terbabit yang membawa anak ketika hujan renyai-renyai itu. Pada ketika itu, beliau tidak merasai apa-apa melihat wanita aneh apatah lagi matanya sempat melihat wajah wanita berkenaan kerana sudah menjadi kelazimannya suka menegur orang.

Selepas beliau menegurnya, wanita itu membisu seribu bahasa sambil melangkah perlahan-lahan. Beliau segera memperhatikan tingkah laku wanita aneh itu, dengan tiba-tiba wanita tersebut terus menghala ke sebuah alur yang agak gelap di kawasan laluan itu lalu turun perlahan-lahan, kemudiannya ghaib di kesamaran malam yang semakin gelap itu.

Melihatkan wanita tersebut yang begitu berani turun ke kawasan alur air seorang diri ketika hujan renyai-renyai di mana ketika itu hari semakin gelap, beliau pun terfikir bahawa kalaulah keadaannya seperti itu, wanita yang dimaksudkan itu tentunya bukannya manusia sebaliknya "hantu".

Apabila mindanya dapat membaca serentak dengan istilah "hantu", Pak Adib yang tidak perasan segera memalingkan motosikal yang ditunggangnya itu ke arah laluan sebuah jirat Cina dan sebuah tanah perkuburan Islam Kampung Chenderong Batu disebabkan terlalu seram kerana melihat hantu dalam rupa yang sebenar. Katanya, pada masa dulu juga, jirat Cina yang terletak di kawasan laluan itu sering ditakuti oleh sesetengah penduduk kampung kerana dikatakan sebuah kawasan yang agak keras dan sering mengusik.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, beliau terus menunggang motosikalnya dengan agak laju melalui jirat Cina dan tanah perkuburan Islam terbabit lalu menuju ke sebuah rumah Cikgu Ismail sebagaimana yang dimaksudkan. Apabila beliau sampai di rumah cikgu tersebut, beliau mula terfikir lalu memaklumkan pengalaman ceritanya itu kepada abang Cikgu Ismail yang dikenali sebagai Pakcik Mail.

Apabila beliau mengetahui serba ringkas cerita tentang pengalamannya menemui wanita aneh itu, beliau mula berasa lega. Pakcik Mail turut memaklumkan kejadian berkenaan bahawa, terdapat beberapa warga emas di kampung itu yang membela makhluk halus, ada juga yang memuja makhluk tersebut dan kerap kali kejadian itu berlaku dalam keadaan realiti sebagaimana yang dialami oleh Pak Adib itu.

"Pada ketika itu, pakcik hanya melihat keadaan rambutnya yang panjang mengurai tetapi wajahnya tidak kelihatan. Apabila pertanyaan pakcik tidak berjawab, apa yang difahami oleh pakcik biasanya apabila seorang lelaki menegur seorang wanita, wanita terbabit pasti tidak akan melayani teguran itu.

"Tetapi apabila dengan tiba-tiba wanita itu turun dengan mudah ke arah sebuah alur yang berkeadaan gelap, sepantas kilat pakcik terfikir bahawa tentunya wanita tersebut bukannya "manusia" tetapi makhluk halus yang menjelma dalam rupa manusia", ujarnya menyorot tentang kejadian itu.

Ditanya tentang pengalaman melihat makhluk halus yang disangka manusia, tidakkah beliau berasa seram sejuk dan gementar melihat wanita terbabit dengan tiba-tiba turun ke sebuah alur berkenaan sedangkan pada ketika itu suasananya agak gelap, beliau memberitahu, tentunya beliau berasa seram sejuk juga. Disebabkan wanita itulah, beliau tidak perasan memecut motosikalnya dengan agak laju melintasi sebuah jirat Cina dan terus melintasi sebuah tanah perkuburan Islam yang berdekatan.

"Pakcik tidak pasti adakah wanita jelmaan manusia itu keluar dari jirat Cina itu ataupun tanah perkuburan Islam yang berdekatan. Tetapi di kawasan jirat Cina dan kawasan tanah perkuburan itu sering berlaku kemalangan walaupun keadaan jalannya agak tidak sibuk seperti di bandar.

"Malahan pernah berlaku suatu kes yang pernah pakcik dengar, ada orang yang sesat di kawasan tanah perkuburan itu yang tidak menemui jalan (jalan hilang dari pandangan) untuk balik ke rumahnya. Setakat ini, sudah lima orang yang terkena dalam keadaan yang sama seperti pakcik di kawasan tersebut", katanya.

Justeru, makhluk halus boleh  menjelma dalam pelbagai rupa untuk tujuan menguji mangsa. Bagi mangsa yang tanah semangat, makhluk terbabit akan ghaib serta merta. Bagi individu yang lemah semangat dan mudah berasa gementar, jalan pintas ialah cabut lari atau memandu kenderaan dengan laju untuk keluar dari tempat kejadian.  
 
Abdul Ghani bin Zakaria atau dikenali Pak Adib dan Pak Tengah.

Pak Adib menceritakan pengalamannya kepada Penulis.


Ke arah alur inilah lembaga wanita itu berjalan dan turun lalu ghaib dalam suasana gelap di kawasan itu.


Ke arah laluan inilah Pak Adib memecut motosikalnya.

Lembaga wanita itu mungkin menjelma dari jirat Cina ini.


Inilah Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Batu terletak di laluan yang sama dengan jirat Cina.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan