RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 31 Julai 2012

Pendudukan Jepun di Kota Bharu


PENDUDUKAN JEPUN DI KOTA BHARU

KOTA BHARU, KELANTANPENDUDUKAN Jepun di Kota Bharu, Kelantan bermula pada 8 Disember, 1941 apabila tentera Jepun yang diketuai Jeneral Hisroshi Takumi telah mendarat di Pantai Sabak dekat sini. Menurut Wikipedia, tiga batalion penuh tentera dari Matahari Terbit itu mendarat di Kota Bharu pada pukul 10.30 pagi dan setelah melalui pertempuran sengit, Kota Bharu akhirnya dapat ditawan pada 9 Disember, 1941 jam 2.00 petang.

Dalam pertempuran sengit di antara tentera Jepun dengan tentera Hindia British itu, tentera kedua-dua belah pihak banyak yang terkorban dan tercedera. Begitu juga dengan tentera Jepun. Kolonel Masanobu Tsuji menulis dalam bukunya bahawa 320 orang askar Jepun terkorban serta 538 orang tercedera dalam pertempuran itu dan menggelarkan Kota Bharu sebagai "salah satu kawasan pertempuran yang paling ganas dalam kempen Tanah Melayu".

Tentera Hindia British yang turut dibantu tentera Punjab yang mempertahankan kubu mereka dari diserang tentera Jepun akhirnya terpaksa mengaku kalah dan terpaksa berundur disebabkan kehabisan peluru.

Menurut salah seorang warga emas yang sempat ditemui Penulis, Che Mood bin Salleh, 77, atau lebih dikenali sebagai Pak Mud dari Kampung Gertak Lembu, Salor dekat sini berkata, ketika pendudukan Jepun di Kota Bharu pada masa itu, usianya masih di peringkat kanak-kanak.

"Akibat kehabisan peluru, askar Punjab tidak lagi dapat melakukann tentangan terhadap tentera Jepun. Peluang sedemikian digunakan sepenuhnya oleh tentera Jepun untuk naik ke darat dan askar Punjab terpaksa menyerah diri dengan kehadiran ramai tentera-tentera Jepun tersebut", katanya.

Dalam masa pendudukan Jepun di Kota Bharu, selama enam bulan penduduk di Kota Bharu tidak dapat menikmati ikan laut. Ini kerana, apabila berlakunya peperangan tentunya segala makanan turut terbakar, tercemar dan musnah. Apatah lagi, pada masa itu Tanah Melayu tidak lagi mempunyai kerajaan dan tentunya keadaan pada masa itu agak kelam-kabut.

Disebabkan ikan laut tidak lagi dapat dinikmati akibat terbakar, penduduk-penduduk kampung terpaksa memakan ikan-ikan darat seperti dari sungai dan sawah padi pula. Setelah agak lama tentera Jepun di Kota Bharu, mereka pula terputus bekalan makanan. Ketika tentera Jepun memasuki dan menggeledah kampung-kampung, mereka dapat melihat banyak pokok-pokok kelapa yang tumbuh subur, itulah salah satu caranya mereka memperolehi makanan ialah dengan menembak buah-buah kelapa tersebut.

Justeru, pada ketika itu keadaan penduduk-penduduk kampung memang dalam ketakutan apabila Jepun telah memasuki kawasan kampung-kampung Melayu, seolah-olah "nyawa di hujung tanduk" apatah lagi tentera Hindia British dan askar Punjab telah menyerah kalah dan mereka tidak lagi dapat membantu penduduk-penduduk kampung.

Katanya, apabila bekalan makanan pihak Jepun semakin mendesak bukan sahaja buah kelapa yang menjadi mangsa lahap tentera mereka, segala makanan milik penduduk kampung juga dirampas seperti ubi kayu, ayam dan sebagainya. Manakala petani yang sedang mengerja dan mengusahakan sawah padi, tentera Jepun memaksa petani-petani berkenaan menyerahkan hasil padi kepada mereka dan sesiapa yang cuba melawan akan dipancung.

Tambah Pak Mud, apabila kubu askar Punjab di Kampung Semut Api (berhampiran Pantai Cinta Berahi ketika itu) tidak lagi dapat dipertahankan, askar-askar Punjab di darat ini terpaksa berundur dari serangan Jepun melalui dua laluan alternatif iaitu sungai dan jalan darat. Melalui sungai pula, askar Punjab menaiki bot ke sebelah hulu iaitu suatu kawasan yang masih belum dijejak oleh tentera Jepun lalu mereka menenggelamkan bot-bot di situ untuk tujuan melarikan diri dan tentera Jepun terbabit.

Manakala dari jalan darat pula, sambil askar Punjab melarikan diri melalui Jalan Kuala Krai ke hulu dan apabila tiba di Wakaf Che Yeh, berlaku pula tembak-menembak dengan tentera Jepun yang lebih pantas memasuki Kota Bharu. Apabila askar Punjab tiba di bandar Machang, berlaku sekali lagi kejadian tembak-menembak dengan askar Jepun di situ. Ketika itulah didapati ramai penduduk-penduduk kampung terbunuh akibat terkena peluru sesat pihak tentera Jepun yang menyerang Kelantan agak terlalu pantas. Banyak mayat bergelimpangan di jalan-jalan utama akibat peperangan tersebut.

Tambah Pak Mud lagi, ketika zaman pendudukan dan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu khususnya di Kelantan kebanyakan penduduk terpaksa menanggung azab. Beliau pada masa itu masih dalam zaman kanak-kanak berusia sembilan (9) tahun terpaksalah memakan jagung dan pisang bersama kedua orang tuanya kerana pada masa itu padi tidak dapat diusahakan oleh bapanya. Ini kerana, kalau diusahakan juga tentunya akan dirampas oleh tentera Jepun.

Katanya, cara tentera Jepun merampas hasil makanan iaitu "pagi gemar" tanpa diproses ialah dengan menawan Penghulu Kampung terbabit supaya menyerahkannya kepada mereka. Tentera Jepun tidak menggunakan kekerasan sambil mengancam dengan senjata tetapi memaksa melalui lisan supaya Penghulu Kampung menyerahkan hasil tani kepada mereka dengan segera. Bukan sahaja padi yang siap diketam akan dirampas, padi yang masih di bendang juga terpaksa diserahkan kepada tentera Jepun untuk tujuan menyelamatkan nyawa dari terancam.

Setelah padi tersebut diperolehi, tentera-tentera Jepun terbabit akan menganyamnya dengan kaki untuk meleraikan biji-biji padi tersebut. Padi yang telah siap terkumpul akan dibawa ke satu tempat yang mungkin untuk proses menjadi beras pula dan hal ini memang tidak diketahui oleh sesiapa termasuk penduduk-penduduk kampung sendiri.

"Walaupun begitu, tentera Jepun tidak mengambil hasil padi tersebut secara keseluruhannya, malah mereka meninggalkan bakinya. Setiap hasil padi yang diambil dari keluarga petani terbabit mereka akan memberikan hadiah berupa sehelai "kain berko", katanya.

Ditanya tentang perasaan penduduk-penduduk kampung apabila dengan begitu ramai tentera Jepun memasuki kampung lalu mengambil barangan makanan mereka. Pak Mud menjelaskan, sememangnya orang-orang kampung dalam ketakutan kerana bimbang akan diapa-apakan oleh tentera-tentera Jepun terbabit. Hukuman bagi orang-orang kampung engkar ialah Jepun akan memberikan minum air sabun lalu menginjak-injak atas perut mangsa terbabit.

Menurut Pak Mud, sebuah tempat pasung (potong kepala) terbesar di Kota Bharu terletak di Penambang. Pernah salah seorang bakal mangsa pasung bertindak dengan melawan tentera Jepun terbabit sehingga beliau berjaya melarikan diri. Katanya, jika mangsa tidak mempunyai kekuatan untuk menentang, apabila dapat ditangkap oleh pihak Jepun, hukumannya ialah "pancung". Inilah yang menyebabkan orang-orang kampung ngeri serta sentiasa di dalam ketakutan, mereka tidak berupaya untuk melawan kekuatan tentera Jepun itu.

Sambung Pak Mud, Jepun memerintah Kelantan selama 3 tahun 8 bulan. Semasa pemerintahan awal Jepun, masalah untuk mendapatkan makanan tidaklah terlalu kritikal, namun semakin lama kehidupan penduduk kampung semakin terhimpit akibat kekurangan bekalan dan kesukaran untuk mendapatkan makanan. Maslaah gula juga satu hal, jadi orang-orang kampung terpaksa meminum air manisan seolah-olah menggantikan gula di mana selepas air dan manisan direbus lalu dicampur pula dengan halia.

"Ketika pemerintahan Jepun di Kelantan, makanan yang banyak sebelum ini telah kehabisan. Antara mahu dan tidak, terpaksa penduduk-penduduk kampung memakan ubi kayu, pisang dan sebagainya.

"Bagi segelintir penduduk-penduduk kampung yang baik dengan pihak Jepun, mereka akan mendapat kesenangan yang berpanjangan. Namun, lazimnya mereka pasti akan menjadi orang suruhan pihak Jepun pula", ujarnya.

Sambungnya, kebanyakan orang-orang Melayu yang bekerja dengan pihak Jepun tidak diberikan sebarang elaun atau gaji. Apabila semakin lama makanan kehabisan, Jepun menjual beras kepada orang-orang Melayu dengan wang Jepun sebanyak Yen100 secupak seperti pokok pisang (nilai dikira tandan) dan nenas. Tetapi kebanyakan barangan makanan penduduk-penduduk kampung dirampas untuk makanan pihak Jepun itu sendiri.

Dalam pada itu menurut Pak Mud, masalah anak-anak gadis juga sentiasa dalam ketakutan, apatah lagi dengan ibu bapa mereka. Ini kerana, apabila tentera Jepun melihat anak-anak gadis dan mereka berkenan dengan gadis-gadis tersebut, mereka akan merampasnya secara paksaan. Anak-anak gadis Melayu yang ditangkap pihak Jepun akan dibawa ke sebuah kawasan di Jerangau, Tanah Merah. Ada anak-anak gadis ini dipaksa untuk membina jalan di situ.

Katanya, ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu amnya dan di Kelantan khasnya akan berakhir, didapati ikan darat seperti keli, haruan dan puyu semakin banyak tetapi disebabkan ketiadaan garam, jadi terpaksalah ikan dimasak tawar.

Menyentuh tentang pembinaan landasan keretapi maut di Burma, katanya, apabila Jepun memerlukan khidmat pekerja-pekerja berkenaan, mereka akan mendapatkan keizinan Penghulu Kampung terlebih dahulu, jadi Penghulu Kampung akan mencari pemuda-pemuda terbabit untuk tujuan itu lalu diserahkan kepada pihak Jepun untuk tujuan tersebut.

Katanya, kebanyakan pekerja landasan keretapi maut di Burma terdiri daripada pemuda-pemuda di Salor, Kota Bharu yang berusia dalam lingkungan 20 tahun dipaksa menjadi pekerja di situ. Walaupun ada di antaranya yang dapat pulang setelah diselamatkan oleh pihak tentera Hindia British lalu dibawa melalui jalan laut. Namun, tubuh badan mangsa dipenuhi kudis untuk menggambarkan betapa tersiksanya mereka menjadi hamba abdi Jepun di situ. Bagi yang mengalami nyawa-nyawa ikan akan ditimbus ke dalam lubang dalam keadaan masih bernyawa lagi.

Che Mood bin Salleh atau Pak Mud.

Pak Mud ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Kampung Gertak Lembu dekat Salor juga turut digeledah tentera Jepun.


Dari arah Jalan Kota ini, tentera Punjab berundur dan melarikan diri dari kemaraan tentera Jepun.


Pekan Wakaf Che Yeh pernah digeledah tentera Jepun. Penduduk kampung ketika itu sentiasa dalam ketakutan.

Apabila kehabisan makanan, buah kelapa pula menjadi mangsa tentera Jepun.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan