RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 10 Julai 2012

Pisang Bertandan Lima


PISANG BERTANDAN LIMA

WAKAF BAHARU, KELANTAN BANYAK kejadian aneh yang Allah S.W.T  telah tunjukkan kepada manusia supaya kalangan manusia sentiasa berfikir tentangnya. Dalam masa yang sama, hakikat kejadian itu untuk memberikan peringatan dan gambaran supaya setiap manusia tidak terus lalai dan sentiasa memerhatikan tentang kebesaran-Nya kerana dapat menjadikan alam ciptaan-Nya sebegitu rupa. Malahan kejadian aneh dan pelik yang berlaku di sekeliling manusia dewasa ini sebagai tanda akan wujud kejadian lain yang seterusnya.

Begitu halnya kejadian pisang bertandan lima milik seorang warga emas dan tukang gunting, Che Amat bin Che Mahmud, 70, dari Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu, Kelantan yang bukan sahaja dianggap pelik tetapi juga agak unik kerana belum ditemui di negeri Kelantan.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di kediamannya pada 10.7.2012, Che Amat berkata, anak pokok pisang tersebut diberikan oleh adik iparnya yang bongsu, Abdul Muji Haji Abdullah, 43, seorang guru yang menetap di Sabah. Asalnya anak pisang tersebut diambil dari Bukit Bugis, Indonesia yang kemudiannya dibawa ke Sabah. Anak pisang itu kemudiannya dibawa ke Kelantan yang diminta oleh adik iparnya supaya beliau menanamnya kerana mengetahui beliau rajin mengusahakan kebun pisang.

"Adik ipar pakcik yang membawa balik anak pisang itu dari Sabah. Ketika menerimanya, anak pisang itu berukuran sejengkal tetapi tidak mempunyai akar. Adik ipar meminta pakcik supaya menanamnya dengan segera di mana-mana tempat yang sesuai kerana bimbangkan anak pisang itu kering dan mati disebabkan menempuh dua hari perjalanan dari sana. Katanya, harganya tidak kurang dari RM30", ujar Che Amat.

Menurutnya, beliau membawa anak pisang tersebut untuk disemai di sebuah tempat berdekatan dengan beberapa buah rumah tempat beliau bertukang rumah. Beliau tidak segera menyemainya kerana didapati anak pisang tersebut agak terlalu kering apatah lagi tidak mempunyai akar, tentunya akan menimbulkan masalah untuknya hidup. Lantas beliau memacakkan anak pisang tersebut bersebelahan dengan dua batang pisang yang sedia ada di tempat yang dimaksudkan sebagai "menumpang".

Setiap pagi dan petang iaitu dua kali sehari beliau menjirusnya agar anak pisang tersebut mendapat bekalan air dan harapannya supaya akarnya akan tumbuh cepat. Berikutan itu, disebabkan sering menjirus menyebabkan anak pisang itu tidak putus-putus mendapat bekalan air, didapati akarnya mula tumbuh dan ketika itulah beliau menaruh harapan yang tinggi bahawa anak pisang terbabit akan terus hidup, sedangkan pada peringkat awalnya beliau agak ragu-ragu.

"Apabila didapati akarnya semakin banyak yang tumbuh, pakcik mengambil keputusan untuk memindahkannya secara berasingan di tempat baru berdekatan dengan pokok pisang yang lain.

"Disebabkan sering menabur baja, didapati anak pisang itu semakin membesar, walaupun batangnya agak kecil dan tidaklah sesubur pokok pisang yang ada sekarang. Pada hemat pakcik, mungkin bakanya yang asalnya seperti ini juga.

"Pakcik juga diberitahu, baka pokok pisang ini hanya mengeluarkan dua tandan sahaja dan pakcik diminta menjaganya dengan baik", ujarnya.

Setelah berhari-hari melihat perkembangan pokok pisang tersebut, beliau mendapati jangka masa anak pisang itu mengeluarkan jantungnya agak lama iaitu memakan masa selama dua bulan tidak sebagaimana baka tempatan yang pernah ditanamnya. Beberapa hari selepas itu, beliau yang sering memerhatikan sifat pokok pisang tersebut didapati tandan dan jantungnya keluar kedua-duanya. Malah tiga hari berikutnya pula, didapati dua jantung lagi keluar dari batangnya dan selepas itu satu tandan yang terakhir. Apabila dilihat, memang bertandan lima yang didapati tidak berbelit dan kelihatannya agak menarik dan tersusun.

Tambahnya, pada masa pokok pisang itu sedang mengeluarkan tandan dan jantungnya, beliau tidak memagarnya. Namun, disebabkan ramai kanak-kanak yang membanjiri kawasan berkenaan untuk melihat keanehan dan keunikan pisang tersebut, beliau mula memagarnya kerana bimbang dirempuh kanak-kanak yang masuk melihatnya dari jarak dekat. Di samping itu, beliau sengaja melilitkan kain merah di pagar berkenaan sebagai simbolik supaya kanak-kanak tidak cuba merempuhnya dan sebagai simbolik pokok tersebut adalah pokok aneh yang jarang ditemui.

Sambungnya, selang tiga malam selepas pokok pisang tersebut mengeluarkan buah, beliau bermimpi agak pelik, iaitu benda kotor seperti anjing yang dikerat-kerat untuk dibuat sup. Namun, beliau tidak dapat menafsirkannya kerana agak pelik dan memualkan.

Apabila ditanya, adakah beliau sanggup menjualnya jika ada pihak yang sanggup membelinya dengan harga yang tinggi. Beliau menjelaskan, jika pokok berkenaan dijual bermakna ahli keluarganya tidak akan dapat menikmati keenakan rasa buahnya yang mungkin mempunyai rasa yang agak berbeza berbanding dengan pisang tempatan. Namun, kalau anak pisang tersebut beliau sanggup menjualnya dengan harga yang berpatutan tetapi tidak kepada pokok pisang yang ada sekarang.


Che Amat bin Che Mahmud, 70 tahun.

Che Amat ketika ditemubual Penulis di kediamannya pada 10.7.2012.


Inilah pokok pisang bertandan lima yang dibawa dari Sabah dan berasal dari Bukit Bugis, Indonesia.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan