RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 11 Julai 2012

Misteri Gadis Baju Kebaya


MISTERI GADIS BAJU KEBAYA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  MAKHLUK halus ada di mana-mana, itu suatu hal yang tidak boleh disangkal lagi. Di mana ada pesta keramaian, tempat sunyi, tanah perkuburan, pasar, masjid dan rumah di situlah menjadi tumpuan makhluk ghaib seperti jin yang menjelma dalam pelbagai rupa seperti manusia, haiwan dan sebagainya mengikut kategori makhluk tersebut. Disebabkan manusia berkongsi alam dengan mereka, maka mereka juga bebas sebagaimana yang dilakukan oleh manusia malah beranak-pinak serta bekerja mencari nafkah. Apatah lagi, jika sesuatu kejadian yang dikatakan tidak masuk akal atau dianggap "mustahil" itu berlaku itu di waktu malam. Ini kerana, selepas Maghrib adalah waktunya untuk makhluk ghaib itu keluar mencari makan dan bekerja. Apabila manusia terserempak dengan mereka, manusia pasti akan dapat melihatnya dan kadang-kadang dapat dirakam pula melalui kamera atau telefon bimbit berkamera.

Hal berkenaan bukannya cerita karut atau dianggap dongeng. Ini kerana, telah agak banyak bukti individu yang terserempak dengan makhluk ghaib yang dikenali sebagai "makhluk halus", kesemuanya berlaku selepas waktu Maghrib, kerana pada masa berkenaan adalah permulaan waktu di alamnya. Apabila makhluk berkenaan bergerak dan menjelma di alam manusia, manusia tertentu akan dapat melihatnya kerana alamnya dengan manusia berjarak tiga saat perjalanan sahaja iaitu paling hampir antara satu sama lain.

Kejadian bertembung dengan makhluk halus ketika awal Maghrib sering kita dengar sehingga menjelang pagi, sebelum waktu Subuh menyingsing. Begitulah halnya dengan pengalaman yang dialami oleh seorang mekanik motosikal, Mohd. Ikhwan Razali, 26, atau lebih dikenali sebagai Iwan dari Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, Kelantan ketika ditemui Penulis pada 10.7.2012.

Katanya, pada 11 Jun, 2012 yang lalu beliau bersama dua adiknya ingin menjamu selera di Restoran Mee Pak San dengan hasrat ingin merasa keenakan meenya yang dikatakan menyelerakan yang terletak di tepi laluan utama Kota Kubang Labu, Wakaf Baharu itu. Apabila sampai di restoran tersebut, beliau mendapatkan sebuah meja makan di bahagian dalam restoran berkenaan lalu menempah makanan yang dihajatkan dengan niat untuk menikmati keenakan mee di restoran terbabit.

Sementara menunggu makanan siap dimasak, salah seorang adiknya cuba merakam foto adiknya yang kedua di meja makan itu menggunakan telefon bimbit berkamera jenama Samsung GT-S5830 sekadar suka-suka sahaja. Ketika foto berkenaan dirakam jam menunjukkan 10.07 malam, beliau menyemaknya untuk melihat tentang status foto tersebut sama ada berkualiti atau kabur, maklumlah merakamnya di malam hari. Apabila terlihat sekeping foto tersebut, beliau agak terkejut kerana kelihatan objek asing yang agak jelas seperti seorang gadis separuh badan yang lengkap berbaju kebaya putih diikuti wajahnya yang agak kusam amat jelas kelihatan di sebelah kanan muka adiknya.

"Salah seorang adik saya yang merakam foto itu memang mengetahui kemunculan objek tersebut adalah makhluk halus. Namun, adik saya yang seorang lagi yang dijadikan sebagai model itu meracau dan menjadi tidak keruan setelah melihat objek makhluk lain tertera di sebelah kanan kepalanya pada malam itu.

"Apabila pulang ke rumah selepas menikmati mee di restoran itu menyebabkan perasaan adik saya tidak tenang seperti kerasukan. Menyedari masalah mangsa, terpaksalah adik saya dipulihkan melalui khidmat pengamal rawatan tradisional. Kini keadaannya telah pulih seperti sedia kala", ujar Iwan.

Apabila diminta komen tentang perasaannya setelah melihat foto tersebut, beliau sendiri berasa gementar kerana tidak pernah mengalaminya apatah lagi melihat makhluk lain yang kelihatannya agak jelas batang tubuh seperti itu apatah lagi dapat dirakam dengan telefon bimbit pula.

"Selepas itu, kami berpindah pula ke meja di bahagian luar restoran kerana bimbangkan kejadian awal berulang buat kali kedua secara realiti", katanya.

Ketika ditanya, kenapa kejadian itu berlaku di kawasan itu, beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan tentangnya. Namun, setahunya pada masa dulu Kota Kubang Labu merupakan sebuah kota dan Istana Raja Jembal yang agak tersohor dalam Sejarah Kesultanan Raja Jembal di Kelantan. Kawasan berkenaan dikatakan agak keras dan panas dan beberapa kes nahas jalan raya yang agak mengerikan pernah berlaku di kawasan terbabit walaupun kejadian pembunuhan ngeri dalam sejarah lampau telah bertahun lamanya berlalu.

Menurutnya, selepas kejadian itu foto dari rakaman yang disimpan utuh cuba diperlihatkan kepada rakan-rakannya untuk melihat reaksi mereka pula. Disebabkan itu, ada di kalangan rakan-rakannya yang enggan melihatnya kerana berasa takut dan seram disebabkan tidak pernah melihat makhluk halus sebagaimana yang sering diperkatakan oleh orang-orang tua selama ini.

Mohd. Ikhwan Razali atau Iwan, 26 Tahun.

Iwan ketika ditemubual Penulis di sebuah warung makanan berhampiran kedai mekaniknya.

Di restoran inilah tempat kejadian, yang dimaksudkan oleh Iwan.

Makhluk halus, gadis kebaya putih (dalam bulatan) muncul dalam telefon bimbitnya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan