TABIAT DAN BUDAYA
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Komentar" berhubung dengan sikap, tabiat dan budaya di samping pandangan umum terhadap kita
Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
Foto longkang tersumbat ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 8.11.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
PASIR PUTEH, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: SEWAKTU ketika dulu, tempat parkir motosikal di Jalan Doktor dekat sini telah ditukar status menjadi "lorong pejalan kaki". Tetapi kemudiannya, telah dibina kekotak dan apabila dilihat di bawahnya adalah longkang. Kalau terjatuh ke dalamnya, mangsa tentunya tidak dapat dikenali kerana dilumuri air longkang itu. Bahkan melihatkan air longkang itu bukan sahaja berbau busuk kerana didapati bertakung dan telah tersumbat. Longkang tersumbat pula mempunyai pelbagai sebab apabila di dasarnya dihuni pelbagai jenis sampah yang telah mendap. Inilah sikap manusia yang tidak mempunyai kesedaran, bukan sahaja air najis dilepaskan ke dalam longkang berkenaan tetapi sampah juga turut dicampak dengan sewenang-wenangnya.
Foto longkang tersumbat ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 8.11.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
PASIR PUTEH, KELANTAN
PASIR PUTEH, KELANTAN: PAPAN tanda ini memandu arah ke Pantai
Bisikan Bayu. Banyak cerita yang belum selesai apabila anda menjejakkan
kaki di pantai berkenaan disebabkan sikap pihak terbabit membiarkan
pantai berkenaan terbiar begitu sahaja, sehingga pantai yang begitu
cantik dan pasirnya nan putih pada masa dulu kini bertukar wajah.
Papan tanda ke arah Pantai Bisikan Bayu.
Pantai Bisikan Bayu sebagaimana foto di atas adalah laluan masuk
manakala di bawahnya di hujung pantai, dapat disaksikan keadaan lengang
pada hari-hari biasa. Menurut salah seorang penjaja makanan dan minuman
ringan yang ditemui Penulis di laluan pantai terbabit berkata, pada
hari-hari biasa keadaan Pantai Bisikan Bayu memang lengang berbanding
dengan cuti hari mingguan seperti hari Jumaat, Sabtu, cuti am dan cuti
persekolahan. Berhubung dengan hal ini, sepatutnya pihak yang
bertanggungjawab seperti Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Daerah Pasir
Puteh (MDPP) dan wakil rakyat sama-sama turun padang untuk mencorakkan
aktiviti dan menghidupkan suasana pantai yang kini seperti "indah khabar
dari rupa", berbelanja besar tetapi semakin tidak diperlukan
mengakibatkan pengunjung semakin melupakan pantai ini walaupun pada
hakikatnya pada masa dulu, apabila dikatakan Pantai Bisikan Bayu menjadi
tempat aktiviti utama seperti pertemuan penulis dan penyair seluruh
Kelantan dan luar Kelantan, agensi kerajaan dan sekolah. Tetapi kini,
sepi tanpa berita.
Wajah Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan yang agak lengang pada hari-haru biasa.
Masalah najis lembu juga tidak dapat dibendung dan hal ini dapat anda
lihat apabila menjejakkan kaki ke hujung Pantai Bisikan Bayu. Najis
lembu itu pula betul-betul dapat dilihat di hadapan batu asas pantai
berkenaan. Timbulnya masalah ini disebabkan sikap tidak cakna
ketiga-tiga golongan tadi seperti Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Pasir
Puteh (MDPP) dan wakil rakyat. Hal lain boleh mereka berikan perhatian,
tetapi tentang prasarana seumpama ini mereka membiarkannya begitu
sahaja, sedangkan nikmat air, udara, tanah dan keindahan alam ini adalah
dari Allah S.W.T untuk manusia urus dan tadbir dengan baik dan
sempurna. Tetapi itulah hakikatnya, manusia itu sebenarnya rakus dan
tidak sedarkan diri dengan membiakan nikmat alam sekitar yang
dianugerahkan oleh Allah S.W.T itu disia-siakan.
Najis lembu berhampiran tugu (batu asas) Pantai Bisikan Bayu.
Sementara itu, batu asas (gambar ini) yang tercegat kukuh
berhampiran laluan yang dibina di Pantai Bisikan Bayu didapati info yang
dipaparkan pada batu asas berkenaan tidak begitu lengkap dan meluas
sebagaimana yang sepatutnya, seolah-olah Kerajaan Negeri, Majlis Daerah
Pasir Puteh (MDPP) dan wakil rakyatnya tidak mengetahui tentang sejarah
pantai ini. Diminta pihak-pihak berkenaan sentiasa cakna dan memberikan
perhatian terhadapnya.
Info sejarah yang diukir di tugu (batu asas) ini tidak begitu lengkap
Foto ini dirakam di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan pada 24.10.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: KECURIAN motosikal sering berlaku akibat kecuaian pemiliknya dengan meletakkan motosikal mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa berkunci. Lihatlah dalam foto ini, pemilik premis (kedai) memasang notis amaran "Awas! Kawasan Curi Motor", tetapi sikap tidak cakna pemiliknya, motosikal masih diletakkan di tempat larangan.
Foto ini dirakam di sebuah premis di Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 24.10.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: LAZIMNYA, hanya di pusat bandar Kota Bharu seperti di Jalan Doktor sahaja yang sentiasa sibuk dengan kenderaan yang bersimpang-siur, malah pemilik kenderaan parkir kenderaan mereka sesuka hati. Tetapi di Lorong Merican yang bersetentang dengan Jalan Telipot juga, pemilik kenderaan mengambil jalan mudah meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan (bukan di bahu jalan) sehingga mengganggu lalu lintas jalan. Pemilik kenderaan ini pula meninggalkan kenderaan mereka dengan senang hati untuk "menjamu selera" di sebuah restoran berdekatan. Sikap mereka sebenarnya amat menyusahkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Diminta pihak penguatkuasa MPKB-BRI dan polis memantau perkembangan ini di Lorong Merican terbabit.
Foto ini dirakam di Lorong Merican bersetentang dengan Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan pada 24.10.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
BACHOK, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN
BACHOK, KELANTAN: BATU asas ataupun dikenali juga sebagai "tugu" adalah info awal tentang sejarah sesuatu tempat itu. Peranan tugu ini menggambarkan tentang wujudnya sesuatu yang agak tersohor pada masa dulu. Jikalau pengunjung tidak mengetahui tentang latar belakang sesuatu tempat itu, mereka boleh merujuknya kepada batu asas atau tugu itu. Tetapi bagaimana pula jika info yang dipaparkan pada tugu itu ala kadar atau tidak begitu lengkap. Dalam hal ini, peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan kerajaan negeri sepatutnya memainkan peranan yang sama penting.
Foto tugu atau batu asas tentang Bukit Marak ini dirakam di sebatang lorong di Kampung Bukit Marak, Bachok, Kelantan pada 21.10.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: SEBELUM ini, sebuah kawasan "penutup longkang" di Jalan Doktor dekat sini telah dijadikan tempat "parkir motosikal". Tetapi, pada 8.10.2012 yang lalu tempat parkir berkenaan telah ditukar status menjadi "lorong pejalan kaki" di mana "benteng" yang memisahkan dengan bahu jalan telah dibina di atas penutup longkang terbabit. Namun, dalam masa 10 hari didapati benteng berkenaan telah dirombak atau diubah dan telah dijarakkan sehingga mencecah bahu jalan. Kenapa hal ini berlaku? Adakah tiada perancangan awal supaya kerja-kerja tidak dilakukan dua atau tiga kali yang tentunya merugikan?
Di tempat yang sama, tempat parkir motosikal telah ditukar status menjadi "lorong pejalan kaki". Benteng pemisah dengan bahu jalan telah dibina di atas "penutup longkang". Foto ini dirakam pada 8.10.2012.
Dalam masa 10 hari sahaja, benteng pemisah untuk "lorong pejalan kaki" telah dirombak dan dijarakkan sehingga mencecah bahu jalan? Foto ini dirakam pada 18.10.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: SETIAP kali pengubahsuaian di bangunan-bangunan tinggi, hal utama yang perlu diberikan perhatian ialah soal "nyawa". Kontraktor terbabit wajar mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan dengan memberikan penekanan utama terhadap pekerja-pekerja mereka ialah soal "keselamatan" ketika melakukan kerja di tempat-tempat tinggi dengan menyediakan peralatan keselamatan seperti tali, topi keselamatan dan sebagainya. Namun, melihatkan keadaan pekerja dalam foto di bawah ini, pekerja terbabit amat jelas terdedah kepada bahaya jika terjatuh.
Foto ini dirakam di sebuah bangunan Tabung Haji di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 16.10.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: RESIPI "Nasi Goreng Pattaya" dilaporkan dibawa masuk dari Thailand ke Kelantan. Penulis amat kerap kali menikmati nasi goreng sedemikian di mana nasinya dibungkus dengan telur di bahagian luarnya. Pengalaman Penulis yang pernah menikmati nasi ini beberapa kali mendapati lauk (ayam yang digoreng) tidak bertulang dan sepatutnya tidak bertulang kerana yang memakannya tidak mengetahui adakah daging ayam saja yang dibungkus dengan telur itu. Jika daging ayam saja, tukang masak itu memang pandai, telus dan tulus. Tetapi jika dibungkus bersama tulang, tukang masak berkenaan tidak profesional, kerana telah menyusahkan pelanggan yang menyebabkan tergigit tulang ayam itu. Jika tulang itu tersedak, bagaimana halnya? Justeru, pengusaha restoran kena pantau tukang masak mereka.
Foto ini dirakam di sebuah restoran masakan panas di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan pada 26.9.2012.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: ORANG-ORANG tua zaman dahulu sering berpesan, jangan minum air sambil berjalan atau berdiri. Tetapi di zaman moden ini, amalan baik seperti itu tiada lagi. Bukan sahaja remaja hari ini tidak sabar untuk duduk tetapi lebih suka meminum air sambil berjalan, ada yang minum sambil baring, meniarap, sambil mencangkung dalam tandas dan sebagainya. Sikap yang ditunjukkan oleh gadis remaja dalam foto ini tidak wajar dijadikan contoh ikutan kerana minum sambil berjalan. Kalau dia seorang perempuan, wajarlah dirinya sabar dengan meminum air sambil duduk, kan itu lebih terhormat dan tertib sebagai seorang gadis Melayu, gadis Timur yang beragama Islam yang kaya dengan adat dan adab. Minum air pun memperolehi keberkatan kalau diamalkan secara terhormat dan penuh sopan-santun.
Foto ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 9.9.2012.
AZMI MOHD. SALLEH
KOTA BHARU, KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN: SEPATUTNYA haiwan perumah seperti kucing
tidak wajar mendekati makanan apatah lagi kucing kurap. Sikap pengusaha
sebuah restoran di Kubang Kerian dekat sini yang membiarkan kucing
terbabit melahap dan menghabiskan sisa makanan di atas meja berkenaan
menunjukkan pengusaha terbabit cuai dan tidak prihatin dengan perhatian
umum.
Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit di sebuah restoran di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 12.7.2012 jam 11.22 malam.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan