RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 1 Julai 2012

Taman Rekreasi Dataran Kijang


TAMAN REKREASI DATARAN KIJANG

TANAH MERAH, KELANTAN:  KAMPUNG PADANG KIJANG yang terletak dalam daerah Tanah Merah, Kelantan dibuka pada tahun 1926. Asal kampung ini pada masa itu dikenali sebagai Tasik Sibo kerana letaknya berhampiran dengan daerah Pasir Mas. Ini bermakna, jika ada pengunjung yang datang dari jauh akan bertanya, tentunya mereka akan ke Tasik Sibo yang merujuk kepada Kampung Padang Kijang.
 
Ketika ditemui Penulis, Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), Kampung Padang Kijang, Alor Pasir, Yaacob bin Ismail, 62, atau lebih mesra dengan panggilan Pakcik Kob berkata, Kampung Padang Kijang mendapat nama berikutan seekor kijang yang tersandung di sebuah alur di kampung terbabit ketika keluar minum di musim kemarau. Kijang yang tersepit di alur tersebut kemudiannya ditangkap lalu dilepaskan.
 
"Purata penduduk pada masa itu tidaklah ramai iaitu kira-kira lima buah rumah sahaja. Kalau dikira susur galur orang-orang tua yang membuka kawasan ini pada masa itu, saya mungkin di peringkat cucu", ujarnya.
 
Menurutnya, penubuhan Taman Rekreasi berkenaan di bawah seliaannya bermula pada tahun 1997 melalui Program Anak Angkat Politeknik, Kok Lanas, Kota Bharu. Pada masa itu, kawasan berkenaan adalah sebuah hutan belukar dan ketika melihat sikap pelajar Politeknik yang begitu rajin dan berdedikasi membersihkan kawasan hutan ketika melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan terbabit, timbul ilham di fikirannya untuk mewujudkan tapak perkhemahan yang dianggap berpotensi kerana di kawasan Tanah Merah pada ketika itu masih belum wujud aktiviti sedemikian berbanding hari ini.
 
"Bermula dari saat itu, saya memohon bantuan dan sumbangan daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, Tanah Merah di mana sumbangan berkenaan berupa barangan atau perkakasan dalam bentuk binaan tetapi tidak berbentuk kontrak.
 
"Pihak jabatan bersedia memberikan segala sumbangan itu dalam bentuk barangan, kalau sekiranya kita berhasrat untuk membina pondok rehat dengan jumlah tertentu akan diberikan dalam bentuk barangan seperti simen, kayu, zink dan sebagainya bukannya dalam bentuk wang ringgit", jelasnya.
 
Sambungnya lagi, kawasan berkenaan dibangunkan dengan cara gotong-royong yang dilakukan oleh penduduk-penduduk Kampung Padang Kijang tanpa dikenakan sebarang upah. Sejak tahun 1997, bermulalah projek membangunkan kawasan berkenaan, sementara pada tahun 2002, Taman Rekreasi di bawah seliaannya memasuki pertandingan dikenali "Pertandingan Sungai Angkat" di bawah kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dikelolakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tanah Merah sendiri.
 
"Taman Rekreasi Dataran Kijang ini adalah pertama kali memasuki Pertandingan Sungai Angkat itu, di mana buat pertama kali juga taman rekreasi ini berjaya memenangi juara peringkat kebangsaan seluruh negara.
 
"Pada masa itu, taman rekreasi ini dianggap paling cantik atas usaha dan kerjasama semua penduduk kampung ini yang lengkap dengan segala kemudahan asas. Saya sendiri pada masa itu memang tidak menyangka akan memenangi tempat pertama dalam pertandingan berkenaan kerana itulah julung-julung kali diadakan bahkan lawannya bukan sebarangan.
 
"Kejayaan Taman Rekreasi Dataran Kijang memenangi pertandingan sungai angkat itu berkemungkinan kawasan taman rekreasi ini mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan taman rekreasi, jika tidak mana mungkin terpilih menjadi juara seluruh Malaysia", ujar Yaacob lagi.
 
Menurutnya, sungai yang wujud di mana berkenaan adalah sungai asal yang mengalir di hadapan kampung tentunya amat sukar ditemui kecuali di Kampung Padang Kijang. Pada masa itu, taman berkenaan masih belum diberikan nama. Kerana itu, semasa mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh penduduk sebulat suara bersetuju menamakan taman berkenaan sebagai Taman Rekreasi Dataran Kijang sempena mengambil nama Kampung Padang Kijang.
 
Katanya, disebabkan di Tanah Merah tiada taman rekreasi sebagaimana Taman Rekreasi Dataran Kijang, jadi kebanyakan pihak sekolah membenarkan pelajar-pelajar mereka untuk datang ke tempat terbabit. Namun, sejak akhir-akhir ini kebanyakan aktiviti perkhemahan tidak mendapat keizinan pihak sekolah berdasarkan sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Salah satunya mungkin berpunca dari tragedi yang pernah berlaku di Perak beberapa tahun lalu yang menyebabkan kematian.
 
Bercerita tentang sambutan pengunjung, Yaacob memberitahu memang sedia maklum bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan di Taman Rekreasi Dataran Kijang amat dialu-alukan kerana landskapnya amat sesuai untuk tujuan berkenaan, apatah lagi keadaan suasana hutannya yang menghijau yang dianggap menarik dan masih belum terusik.
 
Kebanyakan pengunjung yang datang ke Taman Rekreasi Dataran Kijang, pilihan pertama ialah aktiviti berkhemah. Dari segi keselamatan menurut Yaacob, memang dijamin di mana pihaknya bersedia menyiapkan jurulatih untuk aktiviti sedemikian. Banyak yang datang ke Taman Rekreasi berkenaan yang meminta bantuan pihak jawatankuasa terbabit untuk memasak makanan, jadi pihaknya bersedia berbuat demikian dengan bayaran agak berpatutan.
 
"Setakat ini, kebanyakan pengunjung yang pernah datang melakukan aktiviti perkhemahan di Taman Rekreasi Dataran Kijang ini terdiri dari pihak sekolah dan badan-badan beruniform seperti kadet sekolah dan kadet bomba. Lebih 20 kali badan-badan terbabit melakukan aktiviti di taman rekreasi ini", ujarnya.
 
Lazimnya, kebanyakan pihak sekolah akan melakukan aktiviti di taman berkenaan sebelum bulan Mei dan Jun setiap tahun kerana di bulan-bulan tersebut pelajar-pelajar terbabit perlu menghadapi peperiksaan.
 
Katanya, kebanyakan pengunjung terdiri dari negeri Kelantan sendiri, namun pernah sekali pengunjung dari luar Kelantan yang terdiri daripada beberapa graduan dari Universiti Malaya (UM) sebagai anak angkat. Seramai 80 orang peserta dari Universiti Malaya hadir, di mana penuntut-penuntut terbabit dibahagikan sebanyak dua orang untuk sebuah rumah atau satu keluarga. Penuntut-penuntut Universiti Malaya itu tinggal di taman berkenaan selama dua malam tiga hari.
 
"Sementara dari Pasir Mas pula terdiri dari badan beruniform iaitu Bomba dengan jumlah 400 peserta. Pernah suatu masa, semua peserta Bomba di negeri Kelantan masuk ke taman berkenaan seramai 800 peserta iaitu ketika buat pertama kali Taman Rekreasi Dataran Kijang pada tahun 2003.
 
"Jika peserta agak terlalu ramai tentunya menimbulkan masalah iaitu di kawasan berkenaan kekurangan bekalan air. Berbanding dengan pihak Bomba akan menyedut air dari luar", katanya.
 
Di samping itu menurutnya, Taman Rekreasi Dataran Kijang juga menyediakan kemudahan tandas yang mencukupi meliputi 10 buah untuk lelaki dan 10 buah untuk wanita. Sementara bagi guru pengawas telah dibina tandas yang berasingan.
 
Apabila diminta tentang saranan beliau untuk melihat Taman Rekreasi Dataran Kijang terus maju dan dikenali, beliau menjelaskan, sememangnya ada dalam perancangannya untuk memajukan taman berkenaan supaya sentiasa dikenali oleh penduduk dari luar Kelantan pula. Cuma masalah besar di kawasan taman berkenaan ialah berhubung dengan masalah banjir. Untuk tujuan itu katanya, beliau memang berhasrat untuk membina bangunan kediaman sebagai salah satu kemudahan penginapan kepada pengunjung. Namun, apabila memikirkan tentang masalah banjir menyebabkannya terbantut.
 
"Jika pihak kerajaan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membina bangunan yang tinggi memang agak selamat dan terjamin berbanding sekarang ini. Umpamanya padang bola dan taman berkenaan memang dibeli oleh pihak JKKK sendiri dan bukannya milik individu untuk mengelakkannya diganggu-gugat.
 
"Ini bermakna, telah menjadi hak milik pihak JKKK sendiri menguruskan hal ehwal taman rekreasi ini. Sementara sebuah kantin yang diwujudkan di taman ini adalah milik JKKK yang memberikan sewa kepada penjual yang ingin menjalankan perniagaan makanan di tempat berkenaan", ujarnya.
 
Mengakhiri perbualan, ukuran luas yang merujuk kepada padang bola itu seluas satu hektar (3 ekar). Manakala keluasan taman rekreasi dan tapak perkhemahan keseluruhannya seluas 2 hektar termasuk pulau di taman terbabit.
 
Menurut Yaacob, sebaran media masih belum dibuat apatah lagi sebaran melalui internet. Setakat ini sebaran dibuat dari mulut ke mulut sahaja. Justeru, beliau berharap dan amat mengalu-alukan kehadiran peserta ke taman berkenaan. Walaupun keadaannya tidaklah sebagaimana ketika menjadi juara dulu, namun yang paling penting Taman Rekreasi Dataran Kijang menjanjikan sebuah tempat yang terhibur, aman, nyaman dan mempesonakan.
 
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi:
 
Yaacob bin Ismail
Penyelia Pembangunan Mukim (PPM),
Kampung Padang Kijang,
Alor Pasir,
17500 Tanah Merah, Kelantan Darul Naim.
Tel:  019-9732797
 
Yaacob bin Ismail atau Pakcik Kob.

Pakcik Kob ketika ditemubual oleh Penulis di sebuah kantin di taman rekreasi terbabit.

Inilah sebuah alur tempat kijang tersepit ketika keluar minum.



Panorama taman rekreasi masih ceria dan bernafas.


Inilah sungai hadapan kampung.

Bangunan tempat pelajar Universiti Malaya menginap sebagai anak angkat penduduk Kampung Dataran Kijang.

Kemudahan kantin disediakan untuk menjamu selera.

Tandas juga disediakan untuk lelaki dan wanita.

Pondok rehat yang letaknya di kawasan pemandangan sesuai.

Tempat penglipur lara.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan